UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN
IDRIS
SEMINAR PERPADUAN UMMAH DALAM PERADABAN
MALAYSIA
TARIKH: 1 - 2 OKTOBER 2013
TEMPAT: DEWAN KONVENSYEN, BANGUNAN E-LEARNING
PEMBENTANG UCAPTAMA: TAN SRI DATO’ SERI SANUSI BIN JUNID
TAJUK UCAPTAMA: ‘PERPADUAN MELAYU DALAM KONTEKS POLITIK MALAYSIA’.
Assalaamu’alaikum Warahmatulaahi Wabarakatuh.
Salawat.
Saudara Pengerusi Majlis,
Dif-dif yang terhormat,
Pembentang kertas kerja yang dihormati,
Para peserta seminar sekalian.
TERIMA KASIH
Saya bersyukur kepada Allah S.W.T. dan mengucapkan ribuan terima kasih atas
penghormatan yang diberi kepada saya dengan jemputan untuk menyampaikan
ucaptama dalam seminar pada hari ini.
Sudah tentu tajuk ini dipilih kerana kecurigaan kita terhadap perpaduan
bangsa Melayu di masa akan datang memandangkan kepada gejala perpecahan bangsa
Melayu masa kini sudahpun mengancam keadaan politik negara.
Kata-kata pujangga Melayu seperti BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH dan Firman
Allah S.W.T. yang bermaksud ORANG-ORANG MUKMIN ITU BERSAUDARA serta BERPEGANG
TEGUHLAH DENGAN TALI ALLAH DAN JANGAN BERPECAH BELAH sudah dijadikan
seolah-olah sebagai slogan yang disenandungkan di dalam lagu untuk hiburan dan
tidak membawa apa-apa erti lagi ‘kepada bangsa Melayu.
PERPADUAN
Apabila kita bercakap mengenai perpaduan sudah tentu ianya mengenai
kumpulan, samaada kumpulan itu dinamakan puak, suku, perpaduan, pertubuhan,
kaum atau bangsa.
Dalam setiap kumpulan itu pula ada pemimpin dan ada pengikut masing-masing.
Dari perhatian saya sepanjang hayat, saya dapati, yang menentukan perpaduan
satu-satu bangsa itu ialah pemimpin-pemimpinnya. Sementara pemikiran rakyat itu
bergantung kepada semangat kebangsaannya, kerana terdedah kepada sejarah
bangsa, tahap ketakwaannya dalam bidang ugama yang dianuti, pendidikan yang
diterima atau pengaruh media massa dengan berbagai orientasi,
pemimpin-pemimpinlah yang akan membuktikan kemampuan mereka untuk menyatupadukan
rakyat setelah semua pemimpin meneliti dan menghayati pengaruh-pengaruh
tersebut.
PENENTU SIKAP PEMIMPIN
Di pihak pemimpin pula ada tiga pendapat yang berbeza mengenai apa yang
menjadi pendorong kepada sikap-sikap mereka, iaitu:
Mengikut –
Sigmund Freud – nafsu menentu segala (kita lihat rata-rata dalam sejarah
dunia pemimpin-pemimpin yang bernafsu besar telah merusakkan negara dan bangsa).
Karl Marx – ekonomi pendorong masyarakat (kita melihat betapa pengaruh
orang-orang kaya yang tidak pernah puas dengan menghambat kekayaannya tanpa
mengira halal dan haram).
Bertrand Russel – kuasalah faktor yang terpenting (sampai ke kampung, dalam
dunia Melayu, keghairahan merebutkan kuasa sudah melarat, selain dari dalam
parti-parti politik sampai ke dalam pertandingan untuk duduk dalam jawatan
kampung dan jawatankuasa mesjid).
Bagi kita yang berugama Islam nafsu, ekonomi dan kuasa adalah faktor-faktor
yang wajib ada asalkan cara meladeni, memperolehi dan menggunakannya adalah
dengan cara halal belaka.
HUBUNGAN EKONOMI DENGAN KUASA