Friday, December 6, 2013

PUNCA MINAT BELAJAR TAMIL

ORANG INDIA DALAM PENGALAMAN HIDUP SAYA

Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Karangan ini pada mulanya telah saya masukkan atas nama 'ORANG INDIA YANG SAYA KENAL'. Dalam karangan itu saya terlupa menyebut nama-nama doktor keturunan India yang telah merawat saya apabila sakit. Saya telah menjanjikan dalam komen saya bahawa saya akan sebutkan nama mereka pada kesempatan yang lain. Kawan yang menelepon itu juga telah mencadangkan supaya tajuk karangan ini ditukar kepada 'JANGAN MALU JADI MISKIN'. Saya telah akur kepada cadangan itu. Oleh kerana ramai pembaca blog ini berminat mengetahui bagaimana saya berminat mempelajari bahasa Tamil, maka tajuk karangan ini saya ubah sekali lagi menjadi 'PUNCA MINAT BELAJAR TAMIL'. Mudah-mudahan ahli-ahli dan peminat kepada berbilang bahasa mendapat munafaat darinya. Saya sudah lama belajar bahasa Tamil dan sehingga hari ini pun saya masih belajar bahasa itu. 

1. Dalam masukan blog bertajuk 'TIGA BANGSA DI TIMUR ASIA', pada 17hb Mei, 2012, saya telah mengisahkan dengan panjang lebar mengenai tiga bangsa di Timur, dari keturunan Jepun, Korea dan China, yang saya kenali. Saya gambarkan di situ bahawa saya akan turut menulis mengenai orang keturunan lain, seperti India,  yang saya kenali di dalam penghidupan saya selama ini.
2. Sebagaimana karangan saya yang lalu cerita ini hanya sekadar mendedahkan pengalaman saya yang mungkin boleh memberi pengajaran dan munafa'at kepada generasi muda yang dapat mempelajari sesuatu darinya. Jika ada kisah yang tak berkenan di hati keluarga nama-nama tokoh yang diketengahkan di sini, harap tidak diambil hati kerana ini adalah kisah sebenar yang tentunya banyak pahit dan manis, baik dan buruk. Tidak ada niat untuk mencela sesiapa.

3. Sering saya mendengar, di dalam dialog yang saya hadiri, keluhan golongan muda yang sudah terfikir bahawa cara untuk naik ke atas di dalam dunia, politik, ekonomi dan masyarakat hanya terhad kepada anak orang-orang kaya dan orang-orang kenamaan atau melalui 'patronage' sahaja. Kisah yang saya paparkan di bawah ini menunjukkan bahawa semua golongan dan lapisan masyarakat mempunyai peranan di berbagai tahap asal ada kesungguhan dan ketabahan.

4. Bagi golongan 'anonymous' yang sudah tertutup hatinya untuk mengetahui dan memahami perkara-perkara baru, sama-samalah kita do'akan ke hadrat Allah s.w.t. semoga di satu masa nanti hati-hati segelintir mereka ini akan terbuka jua. Beruntunglah bangsa apabila ini berlaku.

YAN
5. Saya telah dilahirkan di Kampung Aceh, Yan, dan setelah beberapa tahun saya telah berpindah ke Kampung Telok Mat Aceh, berdekatan dengan Kampung Lubok Boi, kira-kira 1 batu dari Pekan Yan, arah ke Guar Chempedak. Antara Kampung Telok Mat Aceh dengan Pekan Yan terdapat Sekolah Melayu Yan yang kini diberi nama Sekolah Nyak Gam iaitu Ketua UMNO bahagian di situ dari mula UMNO ditubuhkan.

6. Kampung Aceh terletak di kaki Gunung Jerai dan bertepatan dengan Kampung Aceh, di belakang Gunung Jerai, itulah terletak candi Hindu di Lembah Bujang, Merbok, yang tertua di Tenggara Asia. Gunung Jerai ialah gunung yang tertinggi terpacak megah di dalam kawasan tanaman padi.

ARUS LAUTAN DARI PANTAI KARAMONDAL KE PANTAI YAN

7. Mengikut tesis kedoktoran Duta Iran, di waktu saya menjadi Menteri Pertanian, dalam satu kajiannya mengenai 'The Bay of Bengal', jika seseorang yang sedang belayar atau mendayung dari Pantai Koromondal di pantai Timur India, terjatuh dayungnya atau terpatah layarnya, maka perahu atau kapal layar mereka akan dibawa arus untuk terus hanyut mendarat di sekitar pantai Sungai Limau di Yan Kedah.

8. Oleh kerana aliran arus inilah maka bumi laut pantai negeri Kedah agak unik kerana, selepas beberapa meter dari pantai didapati lautannya dalam, dan selepas itu, lebih jauh di tengah didapati laut yang cetek. Ini menyebabkan pantai Kedah boleh dieksploitasikan dengan di bahagian yang cetek, sepanjang pantai, ke tengah lautan, diwujudkan satu kawasan perairan yang indah sepanjang kira-kira 20 kilometer.

KAPAL LAYAR BERLABOH DI WAKTU MALAM

9. Adalah menjadi tradisi pelayar India bahawa mereka sering tidak belayar di waktu malam. Apabila mereka sampai ke pantai Yan di sebelah petang mereka akan ternampak Gunung Jerai dan terus menyatakan 'Malai Va, Malai Eereuker' iaitu ' Hari sudah petang dan gunung pun ada di sana.' Mereka akan berlabuh di situ.

10. Malai dalam bahasa Tamil, yang berpunca dari bahasa Sanskrit bererti 'gunung' atau 'malam' tergantung kepada cara ejaannya. Itulah sebabnya Gunung Himalaya dikatakan bererti 'Gunung Salji' kerana sejuk dan ada salji (Hi) di atasnya. Apakah mungkin Negara Malaya juga punca namanya dari Gunung Jerai di daerah Yan, Kedah?

CIRCUS DI PEKAN YAN
11. Saya tidak tahu pada umur berapa, tetapi sedarnya saya sudah pernah dibawa ke sebuah khemah besar yang didirikan, berdekatan 'market' lama, arah ke Kuala Yan, untuk mengadakan persembahan 'circus'. Pada waktu itu, kata orang, Pekan Yan ialah pekan yang nombor 4 termaju di Kedah selepas Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim.
12. Syarikat 'circus' ini dimiliki oleh seorang taukeh China. Dari kalangan pekerja hanya seorang sahaja yang berketurunan India yang dipanggil dengan nama 'Tamby' atau adik di dalam bahasa Tamil. Nama sebenarnya tidak ada yang tahu.

PAWAGAM DI YAN
13. Oleh kerana 'circus' ini tidak disambut baik oleh penduduk Yan, yang hanya minat melihat gajah, harimau, ular dan lain-lain haiwan yang berkeliaran di luar khemah,  maka akhirnya taukeh 'circus' ini dikatakan bankrap atau muflis di Pekan Yan. Setahu saya taukeh yang sama juga kemudiannya telah mendukung pembukaan sebuah panggung wayang, atau pawagam, di Pekan Yan dan diberi nama 'Yan Talkies'. Panggung wayang ini terletak di seberang sungai di dalam Pekan Yan, selepas jembatan, di simpang menuju ke Kampung Aceh.
14. Tiba-tiba pada satu hari saya diperkenalkan oleh ayah saya kepada Thangimale sebagai seorang 'operator' atau pemandu mesin tayang filem untuk panggung wayang 'Yan Talkies'. Inilah orang keturunan India yang kedua yang saya kenal selain Thamby. Kononnya Thangimale ialah abang kepada Madhavan seorang operator panggung wayang Empire di Sungai Petani. Oleh kerana 'circus' tadi sudah tidak memberi pertunjukan lagi maka Thamby telah pindah untuk bekerja di Yan Talkies.

PAWAGAM DI GURUN

15. Oleh kerana perniagaan panggung wayang di Pekan Yan juga tidak begitu laris maka taukeh yang sama telah membuka sebuah lagi panggung wayang di Gurun. Pada mulanya pawagam 'Yan Talkies' mengadakan tayangan dua kali pada setiap malam kecuali pada malam Juma'at, kemudiannya, setelah dibuka 'Gurun Talkies' tayangan di 'Yan Talkies' diadakan sekali sahaja sementara tayangan kedua diadakan di Gurun Talkies. Dengan cara itu taukeh mula mendapat keuntungan.

AYAH MEMBAWA RIM FILEM ANTARA PAWAGAM-PAWAGAM
16. Ayah saya sebagai seorang pemandu kereta sewa telah bertanggungjawab membawa rim, atau gulungan filem, pertama gambar yang ditayangkan di Yan, ke Gurun sebaik sahaja selesai ditayang di 'Yan Talkies'. Jauhnya Yan dari Gurun ialah sekitar 10 batu. Oleh kerana satu-satu filem itu ada dua hingga tiga rim maka ayah terpaksa balik ke Yan dari Gurun sebaik sahaja rim atau gulungan filem yang pertama disampaikan ke 'Gurun Talkies'. Bila sampai ke Yan, dan tayangan rim kedua pula sudah selesai ayah terpaksa berkejaran ke Gurun dengan rim kedua. Biasanya bila sampai di Gurun rim pertama baru selesai ditayangkan untuk disambung dengan rim kedua. Begitu jugalah jika filem itu filem India yang panjang dan ada lebih dari dua rim.
17. Apabila ketiga-tiga rim itu tidak cukup panjang maka belum sempat ayah saya sampai dengan rim kedua, atau ketiga, rim yang terawal telah pun diputar dan penonton terpaksa menunggu untuk rim berikutnya sampai.

PAWAGAM DI GUAR CHEMPEDAK
18. Dengan lancarnya kegiatan begini maka taukeh pun menjadi ghairah dan membuka saluran ketiga di Guar Chempedak dengan nama Guar Chempedak Talkies. Tempat panggungnya ialah di Jalan ke Jenun. Dengan adanya tiga 'talkies' maka satu filem dapat ditayangkan dalam tiga panggung pada setiap malam, iaitu satu kali bagi setiap sebuah panggung wayang.
   
19. Tugas ayah saya menjadi bertambah berat kerana rim pertama filem yang telah ditayangkan di Yan Talkies, bermula pukul 7 malam, terpaksa dibawa dengan cepat ke Gurun Talkies untuk ditayang di sana mulai pukul 8 malam. Lepas itu ayah saya balik ke Yan untuk ambil rim kedua untuk dibawa ke Gurun apabila rim pertama selesai ditayang di sana. Rim pertama itu akan dibawa oleh ayah saya ke Guar Chempedak untuk ditayang pada kira-kira pukul 9 malam. Begitulah pusingannya, sehinggalah penonton-penonton di Yan telah meminta supaya pertunjukan dilewatkan sehingga selepas Isya kerana para juma'ah masjid juga sudah mula ingin menonton. Kes begini bermula apabila adanya filem-filem menarik seperti Tarzan dan Tiongwa Nara atau filem-filem India yang juga digemari oleh mereka yang mengerjakan solat maghrib secara berjuma'ah di masjid. Apabila ini berlaku maka 'Gurun Talkies' telah menunjukkan tayangan pertamanya mengambil alih giliran yang tadinya di Yan Talkies.

THAMBY JADI SALIM, THANGIMALE JADI TALIB
20. Oleh kerana kegiatan beginilah maka hubungan antara ayah saya dengan Thamby dan Thangimale menjadi begitu mesra sehingga akhirnya kedua-dua mereka telah memeluk ugama Islam. Thamby diberi nama Salim sementara Thangimale diberi nama Talib. Kedua mereka mendakwa Junid sebagai ayah mereka dan pada mulanya tidak berminat dengan nama 'bin Abdullah'.
21. Kecuali dua orang tukang gunting dari keturunan India tidak ada orang berketurunan India yang lain di Pekan Yan.

22. Kerja membawakan rim filem antara panggung wayang gambar di Yan, Guar Chempedak dan Gurun ini berakhir apabila berlaku pertukaran filem yang dulu dikemudiankan dan yang kemudian didahulukan antara tiga panggung wang tersebut. Ayah saya tidak mengetahui siapa yang melakukan kesilapan ini kerana beliau hanya memandu kereta sementara Salim dan kawan-kawannyalah yang mengatur filem itu dan ini mahu dibawakan ke panggung wayang yang mana.

JITRA, KIM SUN DAN MATSIRAT TALKIES

23. Selepas pembukaan pawagam di Guar Chempedak Talib telah berpindah ke Jitra untuk menjadi penayang filem di Jitra Talkies. Selepas itu Talib dibawa ke Langkawi untuk bekerja di Kim Sun Talkies di pekan Kuah. Setelah siap jalan tanah merah dari Kuah ke Padang Matsirat, jalan tar di waktu itu hanya dari Kuah ke Ladang Sungai Raya, barulah Matsirat Talkies, di Padang Matsirat, didirikan berhadapan rumah Panglima Ibrahim sebagai tokoh masyarakat di situ di waktu itu.
DI SEKOLAH MENENGAH IBRAHIM SUNGAI PETANI
24. Selesai belajar di Sekolah Melayu Yan saya dipindahkan ke Sekolah Ibrahim Sungai Petani untuk belajar di Special Malay Class 1, 2 dan 'Standard 6'. Dua guru keturunan India yang saya kenal waktu di sana, iaitu seorang guru perempuan Miss Pooninapathy dan seorang lagi guru lelaki bernama Fernandez. Mereka kelihatan begitu mesra. Guru sukan di Sekolah Menengah Ibrahim ialah Mr. Veerasingham; walaupun namanya India tetapi beliau putih orangnya. Beliau adalah seorang guru yang cukup garang tetapi banyak membantu saya dalam memudahkan saya menjadi pengutip bola tenis di sekolah, apabila guru bermain.

DORAISAMY DAN NAVARATNAM
25. Antara pelajar senior di Sekolah Menengah Ibrahim School ialah pemain kriket dan hoki terkenal bernama Sivaratnam dan Doraisamy. Doraisamy juga seorang tokoh lari 100 ela. Semua pelajar bangga mempunyai kedua orang yang mengharumkan nama sekolah di setiap temasya sukan.
26. Terakhir saya dengar nama Doraisamy ialah dari Lawrence Van Huizen bila saya berkerja bersama beliau di The Chartered Bank, Seremban. Lawrence menyatakan Doraisamy pernah bermain bersamanya dalam pasukan hoki Malaysia. Kalau tak salah ingatan saya Doraisamy kemudiannya bertugas sebagai seorang pegawai polis.

N. V. SARAVANAN
27. Di kalangan pelajar pula ada seorang kawan rapat saya bernama Sathiasegaran. Seorang lagi saya anggap sebagai kenalan di waktu itu ialah Dato' N. V. Saravanan. Sathiasegaran rapat dengan saya kerana kami sama-sama tidak berduit dan sering makan seadanya pada setiap hari, sedangkan Saravanan ialah anak seorang mandor sebuah estet di mana ayah Sathiasegaran berkerja sebagai penoreh getah. Mereka berdua tinggal di Harvard Estet.
28. Sejak keluar dari Sekolah Menengah Ibrahim saya tidak pernah berjumpa dengan Sathiasegaran sehingga hari ini. Saya mendapat tahu bahawa beliau terakhir berkerja di Lapangan Terbang Kuantan. Dato' V. Saravanan ialah ahli exco negeri Kedah di waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah. Pada hari pertama saya bertemu dengan beliau di pejabat Menteri Besar Kedah beliau tersipu-sipu bila saya ingatkan bagaimana hebatnya beliau berlagak sebagai anak mandor yang tidak mahu berkongsi makanan dengan saya dan Sathiasegaran waktu di Sekolah Menengah Ibrahim. Sejak itu kami menjadi sahabat yang baik sehingga hari ini.

MAK TEH
29. Di peringkat awal saya berada di Sekolah Menengah Ibrahim saya menumpang di rumah Mak Teh di Sungai Layar. Kerana ayah saya selalu lambat membayar belanja bulanan RM45-00 setiap bulan kepada Mak Teh saya telah meminta supaya saya dipindahkan dari rumah Mak Teh untuk tinggal di tempat lain.

PENYANYI S. M. YUSOF
30. Dari rumah Mak Teh saya telah berpindah ke rumah Bang Radzi (jika betul ingatan saya) anak Pak Ngah Sulaiman yang menetap di Yan. Bang Radzi, iaitu abang kepada penyanyi terkenal di waktu itu S. M. Yusof (Mohd Yusof bin Sulaiman). Anak Pak Ngah Sulaiman telah memberi sebuah bilik untuk saya berkongsi dengan adiknya. Oleh kerana S. M. Yusof menyanyi hingga melewati tengah malam, malah hampir ke subuh hari pada hampir setiap malam, maka saya telah tidur di atas katilnya sehinggalah beliau pulang.
31. Rumah Bang Radzi ialah di kalangan berek kastam di belakang stesyen kereta api Sungai Petani. Stesyen kereta api pula berada di belakang Jalan Ibrahim Sungai Petani mengikut jalan masuk dari simpang jam besar.

32. Saya ke sekolah dengan berjalan kaki di atas landasan kereta api kerana Sekolah Menengah Ibrahim juga adalah di tepi landasan kereta api arah ke utara.

GERAI MAMAK NASI KANDAR DALAM LAM SENG COFFEE SHOP

33. Pada waktu lapang saya berjalan-jalan di Jalan Ibrahim sehingga terjumpa dengan sebuah kedai kopi bernama Lam Seng Coffee Shop. Di sana terdapat sebuah gerai mamak jual nasi kandar. Saya telah menawar kepada mamak khidmat untuk mencuci pinggan yang dipakai waktu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam, jika mamak sudi membayar saya dengaan sekeping roti canai untuk setiap waktu makan. Mamak bersetuju dan saya pun terus balik ke kedai mamak sebaik sahaja saya pulang dari sekolah. Kerja saya sebagai pembantu kedi, waktu saya tinggal di rumah Mak Teh telah tidak saya kerjakan lagi.

KAMPUNG RAJA SUNGAI PETANI
34. Ayah dan ibu saya kemudiannya berpindah ke Kampong Raja Sungai Petani. Pada jangkamasa saya tinggal bersama ayah di Sungai Petani itulah saya mula mengenal ugama yang dianuti oleh kawan-kawan saya yang berketurunan India, iaitu ugama Hindu. Dalam perjalanan ke sekolah setiap hari saya melintasi kawasan to'kong Hindu di Pekan Lama Sungai Petani. Tanpa malu-malu saya sering masuk ke rumah to'kong dan apabila saya lihat ada patung yang berbelalai, bernama Ganesh, saya tidak segan-segan menggosok belalai simennya sehinggalah disergah oleh salah seorang pendita Hindu di situ.

HARI DEEPAVALI DAN THAIPUSAM
35. Pada hari Deepavali saya sering mendapat kuih-kuih India dari Sathiasegaran. Saya amat tertarik dengan hari Thaipusam kerana pada hari itulah saya ajak kawan-kawan untuk berdiri ramai-ramai di tepi jalan menunggu gerabak yang membawa patung besar dari satu tempat ke to'kong Pekan Lama. Yang menarik bagi kami ialah wang siling yang ditaburkan oleh ceti-ceti yang duduk atas gerabak. Wang ini kami kutip untuk belanja makan di mana ada. Selain wang kami juga melihat buah kelapa dipecahkan untuk dibuang merata-rata. Kami lebih minat kepada wang daripada kelapa.
DI KOLEJ MELAYU KUALA KANGSAR

36. Bapa saya telah meninggal dunia selesai saya menghadapi peperiksaan Standard 6 untuk masuk ke Tingkatan 1 di salah sebuah sekolah menengah.

37. Saya mengetahui berpeluang ke MCKK, di waktu bapa saya baru meninggal dunia, pada umur 12 tahun. Saya terpaksa lambat melaporkan diri kerana tidak berwang untuk memenuhi semua syarat yang diperlukan. Kalau tak salah ingatan saya keperluannya ialah 6 pasang seluar dalam, 6 pasang singlet, 6 pasang baju putih, 6 pasang seluar biru, 3 pasang kasut, 1 pasang selipar, 4 tuala, dan lain-lain. Setelah cukup tambang dan sedikit bekalan wang poket berbekalkan dua pasang semua keperluan saya telah melaporkan diri di MCKK.
38. Yang mengiringi saya dengan kereta-api ke MCKK ialah abang angkat saya Talib yang tadinya bernama Thangimale.
39. Bila sampai ke MCKK Talib telah tinggal saya di muka pintu sekolah kerana dia terpaksa balik ke panggung-wayang tempat dia bekerja kerana tidak mendapat cuti.

MR. HOWELL
40. Apabila kerani besar di pejabat pentadbiran MCKK mengetahui saya tidak membawa semua keperluan sebagaimana yang disyaratkan maka beliau telah melaporkan kepada gurubesar Encik Howell. Dengan berangnya Encik Howell telah menghambat saya balik untuk melengkapkan semua keperluan yang ditentukan. Saya ingin menjelaskan kepadanya bahawa saya tidak perlu 6 pasang seluar dalam kerana saya boleh pakai satu dan yang satu lagi saya basuh sendiri, atau pun saya  tak pakai langsung seluar dalam yang sememangnya saya tak pernah pakai sebelum itu.
41. Mr. Howell tidak mahu dengar apa-apa. Tanpa mengetahui bapa saya sudah meninggal, tanpa mengetahui Talib yang menghantar saya ke sekolah telah pun terus balik setelah menghantar saya di pintu sekolah, dan tanpa ingin tahu saya tidak pun mempunyai wang yang cukup untuk balik kerana saya jangka saya boleh mencari wang dengan mengutip bola tenis apabila guru bermain seperti di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani, atau pun terus ke padang golf untuk jadi kedi sebagaimana saya pernah jadi kedi di English Club Sungai Petani. Saya pun, dengan sebuah beg yang saya tarik terus berjalan dengan bangganya menuju stesen keretapi yang kira-kira satu batu dari MCKK. Saya terasa seperti sedang mengheret trolley set golf di padang permainan.

KEDAI MAMAK NASI KANDAR DI STESYEN KERETAPI KUALA KANGSAR
42. Sampai di stesyen kereta api, yang tidak jauh dari MCKK, saya dapati ada kedai jual nasi kandar mamak di situ. Saya pun, sebagaimana pengalaman saya di Lam Seng Coffeee Shop Jalan Ibrahim Sungai Petani, meminta untuk mencuci pinggan di restoran mamak itu jika mamak boleh membekalkan roti canai untuk sarapan pagi, makan tengahari dan juga malam. Bila mamak bersetuju saya pun terus cari bangku untuk beristirehat sebelum berkerja, dan saya tidak fikir lagi untuk pergi ke sekolah.
43. Kalau betul ingatan saya khidmat saya untuk mamak di restoran stesyen keretapi Kuala Kangsar tidak lebih dari 10 hari. Pada satu hari Sabtu terakhir seorang pemuda telah datang ke restoran untuk sarapan pagi. Bila dia lihat saya berpakaian seragam seperti pelajar MCKK (saya kan ada dua pasang uniform kolej) maka dengan serta merta dia bertanya apa saya buat di situ.

MR. TARA SINGH
44. Saya pun cerita kepada beliau pengalaman saya dihambat balik oleh Mr. Howell. Mr. Tara Singh memberitahu bahawa Mr. Howell telah berpindah dari MCKK dan diganti oleh guru besar baru Mr. N. J. Ryan, seorang ahli sejarah. Mr. Tara Singh meminta saya datang balik ke MCKK pada hari Isnin berikutnya dan melaporkan diri ke laboratory di samping toilet di mana beliau sedang mengajar.

MR. N. J. RYAN
45. Mr. Tara Singh lah yang membawa saya bertemu dengan Mr. N. J. Ryan yang telah meluluskan untuk saya 1st Grade Scholarship yang dengannya saya boleh mendapat RM20-00 duit poket setiap bulan. Mr. N. J. Ryan, sebagai ahli sejarah nampak begitu terpikat dengan kisah saya dan dia juga membenarkan saya menjadi penolong kedi, bila saya suka, di hujung minggu, dan beliau memperkenalkan saya kepada kawannya yang bermain golf di padang Taiping yang, kerana lebat hujannya di sana, tanahnya sama lembek seperti tanah di padang golf Sungai Petani.

PENOLONG GURU PENGAKAP 1ST KUALA KANGSAR
46. Oleh kerana saya pernah menjadi anak serigala ( pengakap junior ) waktu di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani, dan Mr. Tara Singh pula ialah guru pengakap bagi 1st Kuala Kangsar di MCKK maka saya terus mendaftar untuk menjadi ahli pengakap sehinggalah waktu di Tingkatan Enam saya telah pun menjadi Assistant Scout Master, iaitu jawatan tertinggi yang boleh dipegang oleh seorang murid, di bawah guru pengakap. Bagitulah jasa Tara Singh kepada saya. Saya turut bersedih mendengar berita kematiannya di umur yang agak muda di waktu saya mula bekerja di The Chartered Bank beberapa tahun kemudian.

47. Waktu di MCKK saya sangat ketinggalan di bidang sukan dan olah-raga. Saya selalu sakit dan cepat mengah. Hanya setelah dewasa baru saya tahu bahawa dari kecil ada penyempitan di jantung saya. Oleh kerana saya tidak dapat bergiat dalam bidang sukan dan olah-raga maka saya telah memberi perhatian kepada hobi lain, seperti membaca.

DOKTOR ARASU

48. Kira-kira pada tahun 1958 di waktu saya balik ke Yan kerana cuti sekolah saya telah dijangkit penyakit demam panas (typhoid) dan dimasukkan ke Hospital Besar Alor Setar. Jika betul ingatan saya ubat yang diberi kepada saya oleh Dr. Arasu ialah 'chloromasetine'. Inilah kali pertama saya bertemu dengan seorang doktor dari keturunan India. Sebelum ini saya kenal hanya mereka yang bekerja sebagai budak sarkas, pemutar filem, tukang gunting, pelayan dewan makan sekolah dan yang paling terpelajar ialah Mr. Tara Singh.
49. Pada tahun 1960 di Tingkatan IV Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) saya telah terkena penyakit yang disebut, mengikut ingatan saya, 'hymoptysis' atau batuk berdarah. Saya telah dimasukkan ke hospital Ipoh untuk lebih dua bulan kerana menunggu keputusan analisa darah untuk menentukan penyakit oleh Lady Templar Hospital Kuala Lumpur.

50. Katanya, urusan menganalisa darah di waktu itu memakan masa yang sungguh lama kerana ada satu wabak jenis penyakit yang sedang merebak di waktu itu.

PEKERJA TAMIL MENGUASAI HOSPITAL
51. Di hospital Ipoh pada waktu itu semua pekerja, dari doktor, ke misi, ke pembantu hospital, pembersih wad dan halaman, tukang masak dan tukang hidang kesemuanya dari keturunan India belaka. Khususnya suku Tamil.
52. Pada minggu ketiga di hospital saya berasa tersangat bosan dan berpakat dengan pembantu hospital (Hospital Assistant) Tamil supaya membawa saya menonton filem Inggeris atau Melayu di mana jua panggung wayang di Pekan Ipoh. Saya berjanji akan bayar harga tiket masuk untuknya. Pembantu hospital itu menyatakan kepada saya tidak ada filem Inggeris atau Melayu di Ipoh pada waktu itu, yang ada hanya filem Tamil. Saya pun bersetuju menonton filem Tamil pilihan pembantu hospital yang namanya saya sudah lupa.
53. Pada besok malam, setelah semua pesakit sudah tidur saya pun mengatur bantal di bawah selimut supaya kelihatan seperti orang tidur dan secara diam-diam lari keluar dari wad menuju keluar kawasan hospital. Dari sana HA (Hospital Assistant) telah mendayung basikalnya dengan laju melintasi kota Ipoh dengan saya berada di belakangnya atas pelantar basikal. Dalam perjalanan ke panggung-wayang saya ternampak banyak iklan gambar-gambar Melayu, Inggeris dan China yang sedang ditayang di panggung-panggung wayang walaupun yang ternampak oleh HA Tamil yang membawa saya hanya gambar yang dia ingin menonton sahaja.

MENONTON FILEM 'PAALUM  PAZHAMUM'
54. Kami berdua menonton filem 'Paalum Pazhamum' yang bererti 'susu dan buah' yang dibintangi oleh Sivaji Ganesan, seorang pelakon terkenal. Saya turut sedih melihat filem itu kerana sepasang kekasih telah diputuskan hubungan cintanya. Keluar dari penggung wayang saya terus membeli tape lagu-lagu 'Paalum Pazhamum', 'Ponaal Pogattum Poda', 'Alayamaniyin Osai', dan Naan Pesa Ninaipathellam'.
55. Setelah mendengar tape berulang-ulang sepanjang 2 hari pada hari ketiga saya yang berada di wad kelas 3 telah mendapat makanan untuk wad kelas dua dan kadang-kadang makanan dari wad kelas satu kerana pekerja hospital semuanya gembira mendengar saya menyanyi lagu 'Paalum Pazhamum'. Saya pun menjadi lebih rajin belajar dan telah meminta misi beli buku 'Attichudi Auwaiyar' untuk berlatih menulis sehingga pandai.
56. Setelah hampir 3 bulan di hospital saya pun berani bercakap bahasa Tamil yang mudah, yang menjadi modal saya semasa berada di gelanggang politik.

57. Yang menghairankan saya ialah, walaupun begitu lama saya di hospital Ipoh, tidak seorang pun dari doktor yang bertugas di hospital itu saya ingat nama mereka. Mungkin kerana terlalu ramai dan doktornya juga sering bertukar giliran bertugas. Lebih-lebih lagi kerana wabak penyakit di waktu itu saya saya tidak teringat nama penyakitnya.

MR. AND MRS. NAIDU

58. Di MCKK saya dekat dengan guru Ilmu 'Alam Mr. Naidu dan isterinya seorang pakar bahasa Tamil. Saya juga berkawan dengan pelayan bilik makan seperti Madhavan dan lebih dekat lagi dengan Auli, seorang jaguh lari marathon di negeri Perak. Hubungan saya dengan mereka membolehkan saya berlatih bercakap bahasa Tamil. Ada seorang pelayan India lagi yang dipanggil 'Pondan' oleh pelajar MCKK. Dia tidak gemar berbahasa Tamil dan lebih suka berbahasa Melayu. Akhirnya dia memeluk ugama Islam dan kami telah nikahkah beliau dengan seorang anak perempuan orang asli dari hulu Sungai Perak. Acara akad nikah diadakan secara 'simple' di dalam 'squash court' di MCKK.
MR. KRISHNA IYER
59. Guru sejarah Encik Krishna Iyer tidak begitu minat bercakap Tamil, dengan tin rokoknya dia selalu menyenget masuk ke dalam darjah dan berlagak dengan berbahasa Inggeris seolah-oleh dia pernah belajar di England. Encik Krishna Iyer selalu hisap rokok dalam perjalanan ke bilik darjah. Sedutan terakhir ialah di pintu bilik darjah. Dia kulum asapnya waktu meminjak padam punting rokok dan waktu di dalam darjah dia langut ke bumbung sambil menghembus keluar 'smoke-ring' membuat pelajar-pelajar yang pernah merokok menjadi cemburu ketagihan.

60. Pada pagi Ahad 1 Disember, 2013 saya telah bertemu dengan peguam terkenal Encik Sulaiman Abdullah, adik kepada Krishna Iyer, di Caring Pharmacy, Bangsar Village 1. Beliau telah memaklumkan bahawa abangnya, guru saya, kini berada di Kanada kerana sudah mendapat cucu dari anaknya yang tinggal di sana. Seorang lagi saudara Encik Sulaiman ialah Tan Sri Rama Iyer yang pernah menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Kewangan di satu masa dulu. Mengenang jasa abangnya saya gembira berkesempatan memandu Encik Sulaiman ke Pantai Medical Center kerana isterinya sedang dirawat di sana.

MR. RAMALINGAM
61. Saya suka Encik Ramalingam yang mengajar bahasa Inggeris dan pernah tutup semua tingkap bilik darjah waktu dia beraksi sebagai hero di waktu malam di dalam mana-mana filem yang dia baru tonton di pawagam.

MR. JOGINDER SINGH SIDHU
62. Mr. Joginder Singh Sidhu ialah guru sejarah. Beliau baik orangnya dan tidak marah jika pelajar-pelajar ketiduran dalam kelasnya. Katanya di universiti pun pelajar-pelajar tidur apabila mendengar guru sejarah memberi kuliah. Eloklah mereka dibenarkan tidur dari dalam sekolah lagi. Begitulah beliau berseloroh apabila dia marah.

MR. MEHROTRA
63. Seorang lagi guru keturunan India di MCKK ialah Mr. Mehrotra. Beliau mengajar ilmu physics. Garang orangnya dan ajarannya susah masuk bagi saya. Nak tanya pun merasa takut kerana garangnya.

64. Yang mengajar ilmu kimia juga dari India walaupun bukan gelap kulitnya. Namanya Mr. Norton. Beliau adalah seorang guru yang gigih dan disukai oleh pelajar-pelajar.

THE CHARTERED BANK
65. Dari Kolej Melayu Kuala Kangsar saya terus bertugas di The Chartered Bank, Seremban sebagai 'apprentice' atau kadangkala dipanggil 'trainee officer". Saya adalah Melayu yang pertama yang berjawatan di atas jawatan pembantu pejabat ( waktu itu dipanggil budak pejabat ). Ada seorang kerani India dan dua orang pembantu pejabat keturunan India bernama Maniam dan adiknya bernama Subra. Maniam tinggal di Temiang dan cergas dalam parti MIC.

DOKTOR SIVARATNAM

66. Di luar bank saya juga kenal dengan seorang doktor keturunan India yang kliniknya disenaraikan dalam panel doktor untuk pekerja bank. Doktor Sivaratnam, katanya dua beradik dengan pemimpin PAP Navaratnam di Singapura, kemudiannya menjadi pengerusi parti DAP bagi kawasan Seremban di waktu Dr. Chen Man Hin menjadi Wakil Rakyat DAP yang mengalahkan Kwek Kai Dong, Pengerusi MCA bahagian Seremban Timur. Begitulah dari ingatan saya yang kabut di waktu itu.

67. Waktu saya tinggal di tingkat atas kedai tukang jahit yang letaknya sebaris, jauh beberapa pintu sahaja, dengan Restoran Seremban, bertentangan dengan pasar mini A. S. Daood di Jalan Paul, Seremban saya berkesempatan berkenalan dengan seorang peniaga gerai bergerak berketurunan India yang tinggal di bilik sebelah belakang. Bilik depan bilik saya tinggal Sdr. Kasim, seorang pekerja di Percetakan Bharati di Seremban. Beliau kawan sekampung dengan Tan Sri Rais Yatim di Jelebu.

68. Walau pun perniagaannya kecil sahaja saya hairan memerhatikan beliau pulang ke India 2 kali dalam setahun. Dalam perbincangan saya dengannya beliau memberitahu saya bahawa gaji yang hanya RM350.00 setiap bulan itu cukup besar dan saya juga boleh pergi ke India dua kali dalam setahun jika saya tidak membazir. Bila saya memberitahu padanya belanja makan saya setiap bulan beliau ketawa dan menyatakan bahawa saya boleh ikut makan bersama dengannya dengan membelanjakan hanya RM100.00 setiap bulan. Bererti sekitar RM3.33 sehari. Dia minta deposit RM100.00 dari saya dan saya boleh mengikut menu makanannya setiap hari.

69. Hari Ahad pertama saya bangun pagi untuk makan capati dengan dal dan minum susu satu gelas. Saya merasa puas dan gembira. Katanya 'jika awak lapar minum air banyak-banyak supaya cepati kembang dalam perut'. Hari itu dia hidang kurma kari daging kambing dengan roti perata untuk makan tengahari. Malam saya makan cepati lagi dengan kuah kurma tanpa daging. Besok bagi saya dapat satu roti canai dengan dal dan susu. Tengahari saya dapat tosai dan kuah kurma tanpa daging, malam saya makan daging kambing kurma dengan nasi. Begitulah lebih kurang menunya.

70. Setelah satu bulan 'Mamak' (namanya Hamid kalau tak salah) telah mengembalikan RM20.00 dari RM100.00 yang saya dahulukan di awal bulan. Saya hairan dan gembira walaupun berat badan saya telah terasa menurun sepanjang sebulan itu. Sejak itu saya tidak hairan lagi jika kedai makan India dapat meneruskan perniagaannya walaupun dalam keadaan ekonomi Negara menghadapi kesulitan.
PENJUALAN ESTET OLEH SYARIKAT BRITISH KEPADA SWASTA TEMPATAN

71. Pada satu hari dalam satu pertemuan yang saya diajak bersama oleh Pengurus Bank Mr. Roger Holmes saya terdengar perbincangan pihak pemilik estet Dunlop, Guthrie dan Sime Darby mengenai rancangan ibu pejabat mereka di London untuk menjual estet-estet mereka secara beransur-ansur. Dalam perbincangan itu mereka menyebut masalah yang akan mereka hadapi dengan Narayanan selaku Presiden Persatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Estet (NUPW) di waktu itu. Saya menceritakan perkara ini kepada Maniam sebagai seorang kawan sekerja bank yang bukan saja menjadi anggota aktif dalam MIC tetapi juga tinggal bersama keluarganya di Temiang Estet.

TUN SAMBANTHAN

72. Melalui Maniam saya telah diperkenalkan kepada YB Ayakano Pengerusi MIC Negeri Sembilan. Setelah makan tengahari dengan Ayakano, ADUN Negeri Sembilan, di restoran daun pisang di Jalan Paul kami telah membuat keputusan untuk bertemu dengan Tun Sambanthan selaku Presiden MIC Malaysia. Pada hujung minggu berikutnya kami bertiga telah bersama-sama ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan Tun Sambantham. Hasil dari pertemuan inilah maka sebuah koperasi bernama National Land Finance Cooperative Bhd. telah ditubuhkan. Kalau tak salah saya rancangan awal ialah untuk membeli Nilai Estet dengan pinjaman dari The Chartered Bank. Saya kurang pasti keputusan terakhirnya kerana saya telah berangkat ke London untuk melanjutkan pelajaran.

PRITAM BESAN KARPAL

73. Hubungan baik saya dengan orang India terputus setelah saya pergi dan balik dari London. Di Chartered Bank Jalan Raja, Kuala Lumpur, tempat saya bekerja sebagai akauntan sekembali dari London, saya telah berkenalan dengan dua orang kerani keturunan India, seorang darinya bernama Maniam seperti nama pembantu pejabat di The Chartered Bank, Seremban. Seorang lagi bernama Karuppiah yang menjadi Pengerusi NUBE (National Union of Bank Employees) bagi cawangan The Chartered Bank Jalan Raja. Kemudiannya saya berkenalan dengan Pritam Singh di waktu saya dipindahkan ke ibu pejabat di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Saya difahamkan bahawa Pritam Singh ialah bapa mertua kepada Dion Singh iaitu anak Karpal Singh yang terkenal itu.

SUKA DAN DUKA PEMINJAM WANG

74. Pada satu hari saya menjadi terkejut apabila sampai di ibu pejabat bank Jalan Ampang kerana ramai perkerja berkerumun dekat dengan lif sambil tersenyum simpul dan ada yang kelihatan menyembunyikan kegembiraannya dengan menutup mulut dengan tangan masing-masing. Rupa-rupanya seorang jaga berketurunan Panjab telah terjatuh dalam terowong lif, dari tingkat atas, kerana pintu lif di tingkat atas telah terbuka sebelum lif sampai. Kegembiraan pekerja bank nampaknya bertahan sehari saja kerana pada keesokan harinya sahabat jaga bank tadi telah bertemu dengan setiap seorang dari peminjam wang dari rakannya yang telah menghadapi kemalangan kelmarin. Pada waktu itulah saya mengetahui bahawa peminjam wang menjadi gembira bila mereka fikirkan hutang tidak perlu dibayar apabila yang memberi hutang sudah tiada lagi. Begitulah sifat manusia.

PORIUM

75. Di waktu bekerja di Kuala Lumpur saya pernah tinggal di Jalan Hale, Kampung Baru iaitu di jalan di mana terdapat Masjid Kampung Baru, iaitu kita-kira setengah perjalanan ke Pasar Minggu, di hadapan rumah Ustaz Yazid, kawan tokoh PAS Tengku Zaid (Abang Tengku Nur Asiah yang pernah menjadi Ahli Parlimen, mewakili BN, sezaman dengan saya) menyewa sebelah bawah di belakang rumah kakak Dato' Harun Idris. Saya juga pernah menyewa rumah teres di Jalan Belangkas, Kampong Pandan. Waktu tinggal di sinilah saya berkenalan dengan seorang pemuda keturunan India bernama Mano. Oleh kerana dia sering menggunakan perkataan 'porium' maka saya dan kawan-kawan serumah terdiri dari saudara Dato' Zahari Sulaiman dan saudara Dato' Habib Mansor, yang bertugas sebagai pegawai PTD dan saudara Rahman, yang berkerja dengan syarikat Shell (? Esso) memanggil beliau 'porium'. Kawan yang selalu menggelarkan dirinya 'Porium' waktu membuat komen dalam blog ini sudah tentu tokoh terdekat yang kenal dengan Mano.

76. Klinik Young, Newton & Rakan-Rakan, sebagai klinik yang dipilih dalam senarai panel klinik untuk pekerja The Chartered Bank, membawa ingatan saya kepada seorang doktor India bernama Dr. Pakianathan. Sudah tentu beliau kini sudah berumur lebih dari 80 tahun. Sehingga sekarang, jika saya menghadapi penyakit selesema, batuk dan demam saya akan pergi ke klinik Young Newton di Pusat Bandar Damansara, kerana ianya yang terdekat dengan rumah saya.

77. Pada hari Jumaat 29 November, 2013 yang baru lalu, saya terkejut gembira apabila doktor wanita Dr. Yap, yang mengenali saya sejak saya bekerja di Chartered Bank Jalan Ampang, memberitahu bahawa Dr. Pakianathan masih sihat dan masih berkerja di Klinik Young Newton cawangan KL Sentral. Saya sampaikan salam hormat untuknya kerana, kata Dr. Yap pada malamnya beliau akan bertemu dengan Dr. Pakianathan dalam satu majlis 'reunion'. 

PINJAMAN MARA UNTUK SHAMELIN

78. Di satu masa, setelah Tun Dr. Mahathir meluluskan pinjaman RM3juta dari MARA untuk Shamelin saya sekaligus memangku tugas Pengurus Shamelin. Pemangkuan tugas saya di Shamelin kerana Tun tidak mengharapkan orang lain untuk memikul beban hutang dari MARA. Pinjaman ini telah dijanjikan oleh Tun Abdul Razak sebelum beliau meninggal dunia setelah beliau melawat Sweden dan melihat kewujudan koperasi pengguna 'Koperativa Forbundet' sebagai sebuah koperasi raksaksa yang berjaya di sana. Pada waktu itu selain dari menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Jerai saya juga kekal sebagai Pengurus Chartered Bank.

BERHENTI BERKERJA DI BANK

79. Saya telah berhenti menjadi Pengurus Bank hanya setelah 25,000 peminjam wang bank telah keluar dari belenggu riba, dan setelah Tun Dr. Mahathir meluluskan sebidang tanah yang kini menjadi tapak Taman Shamelin Perkasa di Cheras, Kuala Lumpur.

KERJASAMA ANTARA ORANG INDIA DENGAN MELAYU DAN AMERIKA

80. Usaha terakhir saya untuk Shamelin ialah untuk membina sebuah kilang penapis minyak kelapa sawit bernama Shamelin Oil Palm Refining Sdn. Bhd di Semenyih. Saya berhasrat untuk mengajak Koperasi Serbaguna Malaysia (Malaysian Multi-Purpose Cooperative) milik ahli-ahli MCA dan koperasi National Land Finance milik ahli-ahli MIC untuk turut serta dalam Shamelin sebagai simbol perpaduan berbilang kaum melalui koperasi. Untuk memastikan ada pembeli yang pasti untuk hasil pengeluaran kilang ini maka saya telah menjemput, dan mereka telah menerima, syarikat rangkaian pasaraya di Washington State di Amerika Syarikat yang bernama Pacific Gamble Robinson untuk turut dalam usahasama.

81. Tan Koon Swan, Presiden MCA di waktu itu, yang juga menjadi Pengerusi Koperasi Serbaguna Malaysia tidak mahu ikut serta dalam usahasama yang saya cadangkan. Tun Sambanthan, sebaliknya, kerana hubungan saya dengannya di waktu diperkenalkan oleh Ayakano waktu saya di Seremban dahulu telah turut serta dalam usahasama dengan Pacific Gamble Robinson. Mr. Nolte telah dilantik sebagai Pengarah Urusan. Oleh kerana susah mendapat pinjaman RM3juta dari sumber bank swasta di Malaysia maka pinjaman telah diperolehi dari Inter-Alpha Finance di Singapura dengan jaminan oleh Bank Pertanian di bawah pimpinan Dr. Agus Salim, iaitu sahabat karib Menteri saya Tun Ghazali Shafie.

MENJADI CALON BARISAN NASIONAL

82. Saya tetap teringat kepada semangat yang diberi oleh Tun Sambanthan apabila beliau menyatakan kesanggupannya untuk menjadikan saya calon MIC apabila beliau mengetahui Pergerakan Pemuda UMNO Kedah dan Pergerakan Pemuda UMNO Pahang telah membantah pilihan Tun Razak untuk saya mewakili Barisan Nasional di kawasan Jerai, Kedah. Malahan Dato' Asri Muda juga, sebagai Presiden PAS telah menawarkan saya bertanding atas nama PAS di kawasan Padang Terap yang pada waktu diwakili oleh calon PAS Hj. Ahmad Shukri yang menjadi kawan bapa tiri saya dalam keluarga suku Banjar yang sangat erat hubungan sesama mereka.

ARUMUGAM PILLAI

83. Semasa menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri saya telah berdepan dengan satu masalah yang dicetuskan oleh surat khabar Tamil bernama Tamil Malar milik seorang jutawan India bernama Arumugam Pillai. Tamil Malar telah mengeluarkan berita dalam bahasa Tamil yang mencemarkan imej ugama Islam. Satu demonstrasi besar-besaran telah diadakan di Pulau Pinang oleh umat Islam dari keturunan India bersabit dengan penulisan dalam Tamil Malar ini. Pada waktu itu saya sedang memangku jawatan Menteri Dalam Negeri kerana Tun Ghazalie Shafie sedang berada di luar negeri.

84. Sebaik saja saya turun dari helicopter di Kuala Lipis, kerana menjalankan tugas, saya telah ditemui oleh pihak polis yang meminta keputusan saya mengenai tunjuk perasaan besar-besaran yang sedang diadakan di Pulau Pinang terhadap surat-khabar Tamil Malar. Keputusan yang diminta ialah supaya saya mengharamkan tunjuk perasaan itu untuk membolehkan kerajaan membuat kajian mengenai asal usul  penulisan yang ditujukan atau meminta pihak Tamil Malar untuk meminta maaf atas penulisan itu. Keputusan yang saya buat ialah mengharamkan surat-khabar Tamil Malar.

85. Terkejutlah seluruh masyarakat Tamil apabila surat-khabar yang paling popular dikalangan mereka telah saya haramkan. Banyaklah tuduhan yang dilemparkan menyatakan saya anti-India. Pihak keselamatan telah menasihatkan saya supaya membenarkan penerbitan semula Tamil Malar untuk meredakan atau menenangkan perasaan majoriti masyarakat India. Saya menolak cadangan ini. Saya kekalkan pengharaman Tamil Malar dan mengarahkan pengeluaran dua lessen surat-khabar Tamil yang baru bernama 'Tamil Osai' dan 'Thinamani'. Dengan dua surat-khabar baru ini maka wujudlah tiga surat-khabar bahasa Tamil di waktu itu termasuk 'Tamil Nesan'.

86. Dengan pengeluaran dua surat-khabar Tamil yang baru maka pemilik surat-khabar Tamil Malar terhukum, imej anti bahasa Tamil dipulihkan dan masyarakat India, yang Muslim dan tidak Muslim, semuanya puas hati belaka.

TAN SRI SRI RAM
87. Saya telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO pada 14 Julai, 1984. Pada waktu itulah saya telah menerima tiga dakwaan di dalam mahkamah dari UMNO Bahagian Alor Setar, Titiwangsa dan Ulu Langat. Aduan-aduan ini berkaitan dengan wujudnya cawangan-cawangan UMNO yang tidak berdaftar. Pada waktu ini Ibu Pejabat UMNO bertembung dengan implikasi Seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966. Pertemuan telah dibuat dengan mereka yang mendakwa untuk memaklumkan bahawa UMNO boleh dianggap sebagai pertubuhan yang tidak sah jika kes mereka diputuskan dalam mahkamah. Ternyata kes-kes ini telah diketengahkan kerana persengketaan di antara ahli-ahli dan tokoh-tokoh UMNO cawangan dengan kepimpinan UMNO bahagian masing-masing. Kes UMNO bahagian Alor Setar telah ditarik balik oleh yang mendakwa kerana mereka puas hati Ibu Pejabat sudah mengetahui masalah mereka. Kes Titiwangsa telah selesai kerana UMNO bahagian Titiwangsa telah digantung. Kes UMNO bahagian Ulu Langat telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana affidavitnya tidak lengkap. Setelah kes-kes ini maka semakan telah dibuat untuk memastikan lebih dari 8,000 cawangan yang ada semuanya tertib pendaftarannya.
88. Seorang peguam keturunan India bernama Tan Sri Sri Ram telah dilantik oleh Ibu Pejabat, atas cadangan penasihat undang-undang UMNO (Tun Zaki Tun Azmi),  untuk menjadi peguambela bagi UMNO dalam menghadapi dakwaan 11 orang ke atas UMNO dalam kes di mana cawangan-cawangan dalam UMNO bahagian-bahagian mereka didapati tidak terdaftar tetapi terlibat dalam pemilihan Mesyuarat Agung UMNO bahagian mereka masing-masing dalam tahun 1987.

89. Hakim Tan Sri Harun Hashim telah manjatuhkan hukuman  mengharamkan UMNO pada 14hb Februari, 1988. Bacalah di dalam blog ini penulisan atas tajuk 'ANTARA AKTA DAN UMNO - Kesah Pengharaman UMNO' yang diposkan pada 17hb Jun, 2011.

WATSON PETERS

90. Seorang lagi peguam keturunan India, tetapi beragama Kristian, yang telah banyak menolong saya dalam urusan guaman ialah Watson Peters. Beliau telah diperkenalkan kepada saya oleh Bala iaitu seorang tokoh India yang kisahnya akan didapati lagi dihujung karangan ini.

DR. MOHAN SWAMINATHAN

91. Setelah UMNO diisytiharkan 'haram' saya telah serta-merta diserang penyakit jantung. Dengan pertolongan Dr. Rahmat saya telah dibawa ke Subang Jaya Medical Center untuk rawatan. Setelah berita mengenai serangan ke atas jantung saya itu merebak maka Tan Sri Ibrahim Mohamad (terkenal sebagai Tan Sri Ibrahim Promet) telah memperkenalkan doktor peribadinya kepada saya yang bernama Dr. Mohan Swaminathan. Dr. Mohan adalah adalah seorang cardiologist yang berkelulusan dari Amerika Syarikat dan beliau menjadi penghubung antara pesakit di Malaysia dengan doktor-doktor pakar jantung di Amerika Syarikat.

92. Dengan bantuan Dr. Mohan saya telah berangkat ke San Francisco Heart Institute di California untuk dirawat oleh Dr. Myler. Kali kedua, ketiga dan keempat saya telah dirawat di Mid America Heart Institute di Kansas City. Di sana saya telah dirawat oleh Dr. Hertzler ialah rakan Dr. Myler yang bersama dengan Dr. Grundig dan Dr. Stetszer telah menemui cara rawatan angioplasty waktu mereka di Switzerland. Lawatan saya seterusnya ialah di Hospital Jantung di La Jolla ( disebut La Hoya). Di sana saya diperkenalkan oleh Dr. Mohan kepada Dr. Paul Terstein. Saya difahamkan bahawa Mother Theresa dan Pope John Paul II juga pernah dirawat jantung mereka oleh Dr. Paul Terstein.

MS. KANA

93. Beberapa tahun kemudian saya telah kembali dirawat di Subang Jaya Medican Center oleh Dato' Setia Dr. Anuar Masduki pakar jantung di sana yang kini berpindah di Ara Damansara di hospital yang sama yang sudah berubah nama kepada Sime Darby Medical Center. Seorang pegawai perhubungan awam yang banyak membantu saya dalam hubungan dengan SJMC ialah Ms. Kana. Beliau ialah seorang kakitangan SJMC yang paling digemari oleh semua pelanggan yang mengenalinya.

DR. KANNAN

94. Pada kali ke 14 saya menjalani 'angioplasty procedure' yang dikendalikan oleh Dato' Setia Anuar Masduki, rakan sepersekolahan saya, Dr. Kannan menjadi pembantunya. Saya teringat bagaimana prihatinnya Dr. Kannan mengawasi rawatan saya apabila Dato' Setia Dr. Anuar telah pergi mengerjakan Umrah di Mekkah sementara saya baru saja dirawat melalui 'procedure' yang dianggap berisiko begitu tinggi sepanjang saya menghadapi penyakit jantung.

PENGUNDI INDIA

95. Di kawasan Jerai tidak ramai orang keturunan India. Pengundi India pun tidak sampai 10 orang.

96. Bila saya pindah ke kawasan Jerlun-Langkawi dalam PRU 1978 dan dalam pilihanraya berikutnya ke kawasan Parlimen Langkawi, apabila Langkawi dan Jerlun dipisahkan, maka pada waku itu saya dapati sekitar 700 pengundi terdiri dari orang-orang India. Perhatian saya kepada masyarakat India menjadi bertambah.

97. Pada mulanya semua pengundi-pengundi India setia kepada Barisan Nasional walau pun keadaan ekonomi mereka sangat sederhana kerana mereka bergantung kepada pendapatan sebagai penoreh getah di ladang Boon Siew. Apabila Langkawi mula membangunan sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri saya lihat sikap masyarakat India di Langkawi begitu gelisah.

98. Saya pun terfikir untuk membantu mereka dengan mengetengahkan program dalam kawasan mereka sendiri dengan cara yang tidak terpisah dari cara hidup mereka.

PUSAT PELANCUNGAN DI SUNGAI RAYA

99. Memandang kepada kebanyakan mereka tinggal di Ladang Sungai Raya di mana terdapat patung Hindu bernama Mariaman maka saya rancangkan supaya sekitar patung itulah kita wujudkan program ekonomi mereka dengan cara menarik pelancong ke situ. Program yang saya rancangkan untuk menarik pelancong ialah (a) mengadakan restoran daun pisang, (b) mewujudkan pentas kebudayaan orang-orang India dan (c) menjadikan kuil Hindu tempat pelancong mempelajari peranan berbagai patung yang disembah oleh mereka yang beragama Hindu.

100. Untuk pentas kebudayaan orang-orang India saya telah menghubungi penari tarian India yang terkenal bernama Gopal Shetti untuk mengajar 10 orang pemudi India dari estet Sungai Raya senitari India. Untuk mewujudkan restoran daun pisang saya telah diperkenalkan oleh seorang tokoh India di Bangsar bernama Tanaskothi Balakrishnan, yang dikenal ramai sebagai Mr. Bala, dengan pengasas restoran Devi's Corner yang baru bermula di waktu itu.

GAGALNYA RANCANGAN PELANCONGAN

101. Malangnya setelah 10 pemudi India dilatih sehingga pandai menari tarian tradisional India, dengan wajahnya yang sudah berubah kerana telah diajar bersolek, tidak sempat mereka mempersembahkan tarian mereka di pentas kebudayaan estet Sungai Raya mereka telah dipinang dan menikah dengan pemuda-pemuda India dari Langkawi dan dari luar apabila keserlahan kejelitaan mereka sudah heboh diperkatakan. Gagallah rancangan pentas seni yang diidamkan itu.

102. Rancangan mewujudkan cawangan Restoran Davis's Corner juga dibatalkan kerana suami pemiliknya sekarang telah meninggal dunia dalam satu kemalangan kereta.

PERANAN BERBAGAI PATUNG DALAM KEPERCAYAAN HINDU

103. Cadangan saya untuk menghimpun semua patung Hindu di kuil Sungai Raya Estet juga gagal kerana beberapa orang tokoh MIC tempatan berpendapat bahawa patung-patung itu akan berkelahi sesama sendiri jika diletak di satu tempat. Katanya patung Ganesh (yang terkenal pintar dengan kepala gajahnya yang besar, gagah seperti gajah dan juga kaya menyebabkan patung ini memakai banyak barangan emas) yang berbelalai itu tidak boleh diletak di tepi Kuubiran (patung yang menjaga kekayaan di dunia seperti emas dan intan berlian), Kali (yang bertindak sebagai Malaikalmaut), Saraswathy, Mariamanan (yang gemar kepada orang-orang miskin) dan seterusnya. Sedangkan semua tahu bahawa patung-patung itu tidak mungkin berkelahi kerana apabila hidung patung Mariaman di Sungai Raya, didapati patah pun mereka terpaksa bawa tukang dari India untuk membaikinya. Saya yakin jika semua patung yang disembah oleh orang-orang Hindu diletak di satu tempat dan ditulis atas papan di bawahnya segala peranan patung itu dengan jelas sebagaimana dalam brosur yang disediakan, sudah tentu para pelancong berminat untuk mempelajarinya untuk memahami perbezaan antara agama di dunia ini, khususnya di Malaysia.

PATUNG MARIAMAN DAN SUBRAMANIAM

104. Presiden MIC Dato' Seri Samy Vellu pernah melawat patung Mariaman di ladang Sungai Raya, Langkawi tetapi beliau tidak pernah melawat kuil untuk patung Subramaniam dekat pekan Kuah kerana nama patung itu, kata beberapa orang ahli MIC, sama dengan saingan politiknya Dato' Subramaniam yang pernah menjadi Timbalan Menteri Pertanian di bawah saya. Beliau kemudiannya diganti oleh Dr. Marimuthu. Dr. Marimuthu berasal dari Sungai Petani.

KETINGGALAN DALAM PEMBANGUNAN LANGKAWI

105. Semakin pesat Langkawi membangunan semakin ketinggalan nasib penoreh getah keturunan India di Sungai Raya. Dengan saingan yang bertambah cemas dari pihak pembangkang, apatahlagi dengan kemungkinan sabotaj dalam pilihanraya oleh tokoh-tokoh UMNO sendiri, maka saya telah memberi perhatian kepada kegelisahan mereka.

106. Agak susah bagi saya untuk mengetahui sikap mereka terhadap kerajaan memandang kepada hubungan baik saya dengan mereka. Oleh itu saya terpaksa melawat kawasan mereka di waktu petang iaitu selepas pukul 3.30 tengahari, iaitu setelah mereka lali dengan todi yang mereka minum.

MENGELUARKAN ISI HATI BILA SUDAH MABUK

107 i. Dalam satu lawatan saya telah didekati oleh seorang penoreh getah yang biasa saya kenal untuk beliau bertanya, 'Awak siapa?'.

107 ii. 'Saya wakil rakyat sini.'

107 iii. Dia bertanya seterusnya, 'Apa fasal awak sini mari?' mengikut loghatnya.

107 iv. 'Saya mahu cakap-cakap dengan penyokong saya lah.'

107 v. 'Oh, awak ada ingat ya? Saya mahu tanya itu MB saya ada tolong undi dia ada ingat kah?'

107 vi. Saya jawab 'Ada'.

107 vii. 'Apa macam dia ada ingat?'

107 iix. 'Dia ingat ane undi dia dan bila menang dia boleh jadi MB.'

107 ix. 'Baik juga dia. Ada ingat. Itu Dr. Mahathir saya ada tolong ke?'.

107 x. 'Ada, dia ketua Barisan Nasional. Bila awak undi saya dan MB dan saya menang maka Mahathir pun menang la.'

107 xi. 'Thank you, thank you and thank you. ............'

RUMAH HAIWAN DI PULAU SINGA BESAR

108 i. Setelah berehat seketika dia sambung percakapan, 'Awak apa nama?'.

108 ii. 'Nama saya Sanusi.'

108 iii. 'Awak man ta ri bukan?' maksudnya 'Menteri'.

108 iv. 'Ya'.

108 v. 'Itu atas Pulau Singa Besar apa ada?' dia bertanya dengan nada garang.

108 vi. 'Ada burung, ular, binatang-binatang liar untuk pelancong'.

108 vii. 'Awak sana sudah pigi ke?' maksudnya 'pergi'.

108 iix. 'Sudah.'

108 ix. 'Itu burung, monyet, semua binatang ada tolong awak bila election kah?' lagi garang kemabukan.

108 x. 'Tidak, dia mana ada undi' saya jawab menyesuaikan dengan loghatnya.

108 xi. . 'Apa fasal itu burung tarak tolong awak, tarak tolong MB, Mahathir juga, tapi dia dapat rumah cantik. Saya banyak tolong awak semua, sampai sekarang tarak rumah.'

MASALAH MASYARAKAT INDIA DI LANGKAWI

109. Walau pun mabuk tetapi jelas sekali bahawa penoreh getah itu bercakap benar kerana antara masalah masyarakat India di mana-mana ialah pelajaran, kesihatan dan perumahan. Bermula dari situlah maka saya telah berunding dengan Tan Sri Boon Siew pemilik estet untuk memberi sekeping tanah, secara percuma, untuk didirikan rumah untuk penoreh-penorehnya. Inilah projek perumahan yang pertama untuk penoreh-penoreh getah estet keturunan India yang wujud di Malaysia.

M. G. G. PILLAI

110. Saya mula berkenalan dengan M. G. G. Pillai, yang blognya dulu bernama SANG KANCIL, sejak beliau melaporkan mengenai kejayaan rancangan pinjaman untuk masyarakat petani di Kedah, penggatih teksi (penarik beca) di Kelantan dan pekebun kelapa di Selangor pada tahun 1972 di dalam majalah FAR EASTERN ECONOMIC REVIEW yang beribu pejabat di Hong Kong. Persahabatan ini berterusan sehingga beliau meninggal dunia. Kini saya meneruskan perhubungan dengan keluarganya melalui dua anaknya seorang darinya, Sreejit Pillai menjadi wartawan dan seorang lagi, Sreekant, ialah seorang peguam.

111. Pillai jugalah yang memperkenalkan saya dengan Tan Koon Swan. Pada mulanya saya menulis surat kepada Tan Koon Swan mengajak beliau bersama dalam usahasama mendirikan Shamelin Oil Palm Processing Sdn. Bhd bersama dengan NLFC. Kemudian saya dibawa oleh M. G. G. Pillai ke pejabatnya di bangunan bertingkat bertentangan bangunan Koperasi Polis berdekatan dengan bulatan ke Jalan Syed Putra. Tan Koon Swan di waktu itu turut menjadi Pengerusi sebuah syarikat biskut yang saya ingin membeli untuk Shamelin dan Insan Diranto. Tan tidak berminat.

112. Persahabatan saya dengan M. G. G. Pillai berterusan walau pun beliau adalah seorang pengkritik kerajaan yang kadang-kadang idenya itu melangit dan di luar bayangan yang munasabah, termasuk kritiknya terhadap saya dan juga Tun Dr. Mahathir. Tetapi Pillai ialah seorang yang terbuka untuk perbahasan.

TANASKOTHI BALAKRISHNAN

113. Melalui Pillailah saya mengenali Mr. Bala kerana Pillai tahu saya boleh berkawan walau pun dengan orang yang tidak setuju dengan saya. Bala adalah seorang pengikut setia V. David, tokoh DAP yang cergas dalam persatuan sekerja seperti MTUC. Saya juga mengenal baik V. David.

BALA

114.  Banyak maklumat yang saya perolehi dalam persahabatan saya dengan Bala. Beliau hidup sederhana walau pun menjadi seorang kontraktor yang berjaya. Walau pun banyak kawan beliau tidak pernah makan kecuali di rumahnya. Jika kawan-kawannya makan sekalipun dia tetap dengan minum sahaja, itu pun jika dia tidak boleh mengelak. Saya tidak percaya bila beliau meramalkan YB Shahrizat, selaku Ketua Wanita UMNO akan kalah dalam perlawanannya buat kali pertama dengan Nurul Izzah. Darinyalah saya mengetahui ramai Ketua Cawangan UMNO Lembah Pantai telah pergi ke rumah Anwar Ibrahim untuk memujuk Anwar supaya meletakkan anak perempuannya sebagai calon. Setelah diyakinkan boleh menang barulah Anwar meletak Nurul Izzah sebagai calon.

115. Mengikut penduduk sekitar Bangsar dan Jalan Maarof wakil mereka sebelum Nurul Izzah baik PR-nya tetapi tidak menyelesaikan masalah yang diketengahkan. Wallahua'lam. Akibatnya beliau kalah.

DR. BALA

116. Ada seorang lagi yang namanya sama, iaitu 'Bala', yang saya bertemu di Institut Jantung Negara. Beliau ialah Dato' Dr. K. Balachandran. Saya telah diperkenalkan oleh Dato' Setia Anuar Masduki dari SDMC kepada IJN sebelum saya menjalani rawatan angioplasty terakhir kerana persiapan untuk menjalani 'By-Pass'. Saya ke IJN untuk menjalani angioplasty cerotic di sana. Saya berpeluang dirawat oleh Tan Sri Dr. Robaiyah iaitu Ketua Eksekutif di IJN. Sejak itu saya bertemu dengan Dato' Dr. Bala apabila saya ke IJN. Selain menjadi doktor Dr. Bala juga adalah seorang yang sangat prihatin dengan hal-ehwal pendidikan orang-orang miskin di dalam masyarakatnya.

TAN SRI DR. AMPI

117. Seorang doktor India yang lain yang saya kenali lebih awal dari Dr. Bala ialah Tan Sri Dr. Ampi. Beliau dan anaknya ialah pakar ENT di Pantai Medical Center.

DR. GANESH -- PMC

118. Selain Tan Sri Dr. Ampi saya juga kenal baik dengan Dr. Ganesh yang ibu-nya berjiran dengan anak perempuan saya di Damansara Heights. Dr. Ganesh adalah pakar yang sering merawat Tan Sri Hanafiah Hussain seorang tokoh anggota keluarga. Walau pun Dr. Ganesh tidak pernah merawat saya tetapi beliau merawat anak saya.

DR. GANESH - PUSRAWI

119. Nama Ganesh, sebagaimana nama Bala, membawa ingatan saya kepada seorang lagi Dr. Ganesh yang lebih muda dan berkerja di Pusrawi. Saya bertemu beliau waktu saya kesakitan jantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Dari sana Dr. Ganesh telah menghantar saya dengan ambulan ke SJMC dan sejak itu beliau sering menghubungi saya melalui sms.  

HINDRAF

120. Bala juga memberitahu kepada saya mengenai usaha untuk mewujudkan Hindraf kerana ahli-ahli MIC dan masyarakat India kecewa dengan pemimpin mereka Dato' Seri Samy Vellu. Saya telah menasihati beliau supaya mereka menulis terus kepada Perdana Menteri mengenai masalah mereka. Saya diberitahu kemudiannya bahawa mereka yang telah berbuat demikian telah dihukum apabila yang dilapor menerima laporan mengenainya. Berertilah surat yang ditulis kepada PM diketahui oleh yang dilapor di dalam surat itu. Akhirnya Hindraf ditubuhkan dan cerita selanjutnya diketahui umum.

121. Walau apa pun kesalahan Hindraf dalam kata-kata dan tindakan mereka tetapi Dato' Seri Najib pasti mengetahui mengenai masalah mereka dan memasukkan wakil mereka ke dalam cabinet apabila masyarakat India ternyata banyak membantu BN dalam PRU 13 di masa pengundi China membuat angkara.

PILIHANRAYA KECIL HULU SELANGOR

122. Saya telah menghadiri satu kempen dalam Pilihanraya Kecil Hulu Selangor di waktu YB Kalimanathan mula bertanding. Pada waktu itulah saya bertemu dengan mantan kawan Anwar Ibrahim bernama Ezam, kini Senator. Beliau memberitahu kepada saya bahawa rakan-rakan Yahudi yang menyokong Anwar kini sudah berubah haluan dengan program yang diatur olehnya. Dia juga memberitahu bahawa selama puluhan tahun dia mendengar Anwar mencela saya sehingga dia jadi teringin nak tengok saya itu bagaimana. Ini bukanlah kali pertama saya bertemu dengan mantan kawan Anwar memberitahu sedemikian. Saya tersenyum saja kerana memikirkan betapa banyak saya memperolehi pahala tanpa perlu beribadat.

123. Pada malam kemen Pilihanraya Kecil yang sama saya telah didatangi oleh Bala yang bertanya kepada saya 'Kenapa TPM luluskan RM5juta untuk Sekolah Rendah Tamil'. Katanya bantuan itu hanya menguntungkan kontraktor dan pekerja dari Indonesia dan Bangladesh yang terlibat dalam pembinaan sekolah di situ. Kanak-kanak yang belajar pun tidak ramai dan setelah lulus sekolah rendah Tamil, tanpa kelulusan di sekolah lain, mereka tidak boleh mendapat apa-apa pekerjaan. Apabila mereka besar dan kecewa pastinya mereka akan sokong pembangkang.

BAGI PINJAM WANG DAN TIDAK PERLU BERI PERUNTUKAN

124. Bala mencadangkan sebuah koperasi pinjaman wang ditubuhkan untuk membantu masyarakat India yang menghadapi masalah kewangan. Mereka yang meminjam kepada Ah Long. Jika RM5 juta itu dipinjamkan, dan bukan dihadiahkan, kepada koperasi ini, maka ianya dapat membantu mengeluarkan orang-orang India yang terikat kepada Ah Long yang kejam itu. Purata 5,000 orang India boleh dibantu jika tiap seorang diberi pinjaman RM1,000-00 dengan faedah 10 atau 15 peratus setahun. Dengan cara itu mereka pasti akan menyokong yang membantu mereka. Bala cadangkan saya menjadi pengerusi syarikat sedemikian.

125. Bila saya tanya pada Bala mengenai faedah 10 hingga 15 peratus setahun, beliau mengesahkan bahawa  peratus itu paling rendah jika dibandingkan dengan yang dikenakan oleh Ah Long. Saya tahu bahawa faedah begini adalah perlu jika koperasi hendak diuruskan dengan cara yang beruntung kerana kos pentadbiran dan pengurusan hutang-piutang yang kecil-kecil adalah lebih mahal dari kos untuk pinjaman berjuta-juta ringgit kepada jumlah peminjam yang lebih kecil.

AVAILABILITY OF FUNDS

126. Masalah kewangan masyarakat India yang terikat dengan hutang, dengan faedah terlalu tinggi, adalah sama dengan masyarakat Melayu yang terbelenggu dengan hutang berfaedah tinggi. Mereka, sebagaimana penanam padi di utara Semenanjung Tanah Malayu yang mendapat pinjaman dari Chartered Bank, adalah sama. Bukan masalah the 'cost of borrowing' tetapi masalah the 'availability of funds' asalkan kosnya bukan setinggi kos yang dikenakan oleh Ah Long.

127. Jika pihak yang berkuasa menganggap tidak adil jika faedah atas pinjaman si miskin dinaikkan sedikit lebih dari faedah yang biasa dikenakan, apakah adil jika mereka terpaksa meminta bantuan Ah Long dengan kadar faedah yang 'membunuh' semata-mata kerana dasar supaya mereka kononnya tidak didera dengan faedah yang lebih tinggi yang mereka mampu membayar?

INDIA PILIH SEKOLAH CHINA
(Asyok - Asokarajan A/L Nadaraja)

128. Pengalaman terbaru dan terakhir saya, dalam beberapa hari yang lalu, dengan seorang berketuruan India telah membuat saya termenung lama kerana ianya membuka perspektif baru dalam pemikiran saya. Namanya Asokarajan a/l Nadaraja dan pangilannya Asyok. Beliau bekerja sebagai pemandu teksi. Dia tinggi orangnya dan berjambang. Dalam perjalanan saya dari LKIA ke pejabat di Mont' Kiara saya sempat diberitahu olehnya bahawa 9 orang dari 10 anaknya telah dia hantar ke tadika dan sekolah rendah China. Yang di tadika China 3 orang berumur 3, 4 dan 6 tahun dan yang di sekolah rendah China 6 orang dari darjah 1 hingga darjah 6. Anak tertuanya 12 tahun dan yang terbaru ialah 6 bulan.

129. Apabila saya bertanya pada Asyok kenapa dia pilih pendidikan China untuk anaknya dan tidak ke sekolah Tamil atau Melayu. Jawabnya: Kalau ke sekolah Tamil atau Melayu banyak cakap tapi tak pandai kerja. Sekolah China boleh kerja. Sakit saya mendengarnya.

130. Wallaahua'lam.  

5 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt Tan Sri.
Sejak dari dulu saya begitu kagum dengan penulisan-penulisan dan teks ucapan Tan Sri. Kali ini saya tidak terkecuali. Penceritaan dari zaman kanak-kanak hinggalah bergelar ahli politik amat berhubung kait. Kupasan dan huraian berselang-seli. Setiap kali membaca tulisan Tan Sri, saya akan merasa tidak sabar untuk sampai ke penghujungnya kerana disitulah merupakan "summary" kepada penceritaan awalnya tadi. Tahniah Tan Sri. Saya doakan agar Tan Sri dan keluarga beroleh kesihatan yang baik. Teruskanlah menulis Tan Sri.

Uncle

Sanusi Junid said...

Asm. Wbt. Sdr. Pembaca yang budiman. Ada juga panggilan telefon yang saya terima bertanyakan sebab saya tidak menyebut pengalaman saya dengan orang-orang India di hospital SJMC, IJN dan kisah saya mengharamkan Tamil Malar yang dimiliki oleh Arumugam Pillai. Terima kasih atas teguran ini dan Insya Allah saya akan sambung pada kesempatan yang lain.

Anonymous said...

Tan sri, kenapa tidak bukukan apa yang ditulis dalam blog ini macam Tun Dr Mahathir.

aya cadangkan, patut buat biografi tan Sri.

-GHOTOTKACA- said...

Kekuatan Tan Sri Sanusi adalah 'ingatan'... sebagai orang muda berusia 30-an, saya kagum dengan ingatan tan sri... setuju diterbitkan kumpulan tulisan blog ini dalam bentuk buku... amat bermanafaat kepada semua peringkat umur, dari yang muda ke tua...

semoga allah swt lanjutkan usia tan sri untuk berkongsi pengetahuan yang amat bernilai ini...

-GHOTOTKACA-

Sanusi Junid said...

Asm Wbt. Sdr. Komentor yang budiman. Terima kasih kerana telah mengikuti masukan-masukan dalam blog saya selama ini. Ianya menjadi sumbir inspirasi bagi saya untuk terus menulis. Insya Allah pada satu ketika yang baik dan sesuai saya akan terbitkan buku yang mengandungi karangan saya dalam blog selama ini.