SEKITAR ISU SEKURITI MAKANAN
Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
KEGEMARAN MENULIS
Banyak daripada mereka yang menjalankan tugas, di pelbagai peringkat di dalam kerajaan, tidak suka menulis. Ramai juga yang menulis yang tidak berpengalaman sebagai kakitangan kerajaan.
Ada yang gemar membaca, suka menulis dan sekaligus menjalankan tugas yang dijawat. Di peringkat tertinggi tokoh begini sukar didapati. Tun Dr. Mahathir ialah seorang daripadanya. Saya suka membaca dan bercakap dan lepas itu saya edit ucapan yang telah saya sampaikan secara spontan. Ada juga yang membaca ucapan yang ditulis oleh orang lain. Ada juga yang mengupah orang lain untuk menulis mengenainya atau pun menerbitkan buku atas namanya walaupun yang menulis itu orang lain.
Apabila seseorang pemimpin politik itu selesai menjalankan tanggungjawabnya maka hasil kerjanya akan dinilai oleh rakyat. Kesannya ialah di dalam pilihanraya. Walaupun yang bertanggungjawab menjalankan sesuatu tugas itu menempuhi berbagai masalah dan cabaran tetapi yang menulis mengenai hasilnya kadangkala sudah mempunyai matlamat penulisannya sendiri.
Kecuali seseorang yang digelar ahli politik dari parti pembangkang, yang biasanya mewarnakan bulan yang kuning di langit dengan warna hitam, penulisan untuk tesis universiti pula, dalam ilmu yang kurang pasti, kadangkala di dorong untuk memilih tajuk yang dicadang atau didapati selesa oleh penyelia yang mempunyai matlamatnya yang tersendiri.
PENULISAN TESIS
Seorang pegawai saya dari MARDI pernah digalakkan oleh seorang Professor dari sebuah universiti terkenal di Amerika Syarikat supaya membuat kajian, untuk ijazah PhD-nya, mengenai perbandingan antara minyak kelapa sawit dan minyak kacang soya (A Comparative Study on Soya Bean Oil and Palm Oil). Apaabila siap tesisnya pegawai MARDI membuat kesimpulan bahawa 'Palm Oil is superior to Soya Bean Oil.' Oleh kerana penemuan Sdr. Adnan berbeza dengan kehendak fakulti berkenaan maka Professor beliau mengesahkan bahawa tesisnya cukup baik dan beliau layak mendapat PhD; tetapi pihak universiti tidak dapat menganugerahkannya kerana ianya bertentangan dengan kehendak dan kepentingan sponsor fakulti berkenaan - iaitu Persatuan Soya Bean America Syarikat.
Seorang pelajar pintar dari Indonesia telah digalakkan oleh seorang Professor di Universiti Chicago untuk menulis tesis bertajuk 'There Is No Such Thing As An Islamic State.' Tajuk ini jelas dipilih kerana pelajar tersebut didapati ada potensi untuk menjadi pemimpin politik ala ugama di Indonesia. Dalam mencari bahan untuk memperolehi ijazah PhD maka pelajar tadi dipengaruhi sehingga dia yang mulanya ingin mewujudkan negara Islam, akhirnya menapikan kewujudan negara sedemikian di dalam sejarah. Beliau sukses sehingga menjadi pemimpin sebuah partai politik di Indonesia, dan pernah datang ke Malaysia untuk membantu menjatuhkan Tun Dr. Mahathir yang mempertahankan 'fundamentals Islam' sebagai baik untuk dijadikan panduan. Setelah tumpas di gelanggang politik beliau kini mempengerusikan sebuah syarikat milik jutawan dari Amerika Syarikat yang beroperasi di Indonesia. Di situlah berakhirnya perjuangan beliau untuk Islam.
Tengku Abdul Rahman ialah seorang tokoh besar politik di Malaysia. Beliau sempat menulis pendapat beliau setelah beliau bersara dari jawatan Perdana Menteri.
Tun Dr. Mahathir, selain menulis sebelum dan di waktu menjadi Perdana Menteri, masih menulis atas berbagai perkara yang berkaitan dengan agama, bangsa dan Tanah air.
SEKURITI MAKANAN
SEKURITI MAKANAN
Secara kebetulan, Sdr. Zahrul Akhmal bin Damin telah memilih tajuk berkaitan dengan 'Sekuriti Makanan' dan 'Peralihan Dari Negara Pertanian Ke Negara Perindustrian' di Malaysia di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir.
Oleh kerana Sdr. Zahrul mengetahui bahawa saya pernah menjadi Menteri Pertanian di dalam Kabinet Tun Dr. Mahathir maka di bawah ini saya perturunkan soalan-soalan yang beliau kemukakan diikuti dengan ulasan dan jawapan dari saya.
Bahan ini bolehlah beliau jadikan sebagai rujukan dalam menulis tesisnya. Sudah tentu kesimpulan dari kandungan tesisnya itu berbeza, sekurang-kurangnya dari segi cara penulisan. Oleh kerana tesisnya nanti, bila siap, tidak didapati di pasaran buku maka saya turunkan di bawah ini pandangan saya mengenainya.
Selamat membaca.
SOALAN
TEMUBUAL BERSAMA TAN SRI DATO’ SERI SANUSI JUNID
Soalan
Pertama (S1)
Bagaimana Tan Sri menilai perubahan yang di bawa oleh Tun Dr. Mahathir dalam menggubah sektor asas ekonomi daripada sebuah negara berasaskan pertanian kepada negara berasaskan perindustrian pada awal tahun 1984?
Soalan Kedua (S2)
Tindakan Tun Dr. Mahathir dalam mempelbagaikan asas ekonomi Malaysia dengan memperkenalkan sektor perindustrian telah memberi impak kepada kedudukan sektor pertanian. Pada pandangan Tan Sri, apakah rasional yang mendorong Tun Dr. Mahathir mengambil tindakan sedemikian?
Soalan Ketiga (S3)
Penyusutan peranan sektor pertanian telah menyebabkan subsektor pengeluaran makanan turut menerima kesan. Sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bertanggungjawab dalam menjamin pengeluaran makanan agar berada dalam tahap yang selamat. Berdasarkan penilaian Tan Sri, bagaimana YBhg Tun Dr. Mahathir melaksanakan tanggungjawab ini?
Soalan Keempat (S4)
Tun Dr. Mahathir pernah memperkenalkan strategi untuk mengurangkan kawasan penanaman padi di luar kawasan jelapang dalam Rancangan Malaysia Kelima (RMK5) pada tahun 1986 hingga 1990 dan Rancangan Malaysia Keenam (RMK6) pada tahun 1991 hingga 1995. Strategi ini dilaksanakan secara beransur-ansur dan digantikan dengan tanaman lain yang lebih menguntungkan. Pada penilaian Tan Sri, sejauhmana Tun Dr. Mahathir dapat mengimbangi strategi tersebut dalam memastikan pengeluaran makanan berada dalam keadaan selamat dan tidak terjejas?
Soalan Kelima (S5)
Setiap tahun kerajaan terpaksa membelanjakan sejumlah peruntukan untuk mengimport sejumlah makanan daripada negara luar. Bagaimana Tan Sri menilai isu sekuriti makanan berikutan pergantungan makanan oleh Malaysia terhadap negara luar ketika Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri?
Soalan Keenam (S6)
Jika dibandingkan dengan negara jiran iaitu Thailand dan Indonesia, mereka dilihat lebih berjaya dalam sekuriti makanan menerusi ukuran nilai eksport makanan yang lebih tinggi daripada nilai import dan nilai imbangan perdagangan makanan yang positif. Pada pandangan Tan Sri, adakah Malaysia mampu untuk mencontohi negara ini dalam sekuriti makanan seterusnya melepaskan pergantungan terhadap makanan daripada negara luar?
Soalan Ketujuh (S7)
Malaysia kerap menghadapi ketidaktentuan cuaca seperti pada tahun 1997, 2000 dan 2003 apabila menerima hujan yang berlebihan hingga menyebabkan banjir. Faktor perubahan cuaca ini mampu memberikan cabaran terhadap pengeluaran makanan negara. Jadi, bagaimana Tan Sri melihat Tun Dr. Mahathir menyusun strategi bagi mengatasi cabaran ini?
Soalan Kelapan (S8)
Selepas kegawatan ekonomi pada tahun 1997, dasar yang diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir memperlihatkan bahawa pertanian untuk sekuriti makanan telah mendapat perhatian. Ini dibuktikan dengan pengenalan Dasar Pertanian Negara 3 (DPN3) pada tahun 1998 seterusnya penubuhan Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) pada tahun 2001. Pada pandangan Tan Sri, mengapa Tun Dr. Mahathir mengambil tindakan sedemikian?
Soalan Kesembilan (S9)
Negara luar dan Malaysia melihat bahawa YBhg Tun Dr. Mahathir telah berjaya memimpin negara dalam tempoh 22 tahun dengan cara tersendiri. Ia dibuktikan apabila asas ekonomi dapat dikukuhkan dengan mempelbagaikan aktiviti yang mempunyai nilai ditambah. Sehubungan itu, sejauhmana Tan Sri menilai pencapaian dasar pertanian khususnya untuk sekuriti makanan sepanjang pemerintahan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri?
Soalan Kesepuluh (S10)
Malaysia merupakan negara anggota kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pertubuhan ini telah menggariskan tentang agenda sekuriti makanan pada tahun 1994. Pada pandangan Tan Sri, sejauhmana YBhg Tun Dr. Mahathir memberi reaksi kepada agenda PBB ini?
Soalan Kesebelas (S11)
Selepas era pemerintahan Tun Dr. Mahathir pada tahun 2003, bagaimana Tan Sri melihat usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Abdullah dan Dato’ Sri Mohd. Najib dalam menjayakan sekuriti makanan dalam menampungi jumlah populasi yang meningkat?
3hb Mei, 2014
ULASAN DAN JAWAPAN
Soalan-soalan yang dikemukakan oleh saudara Zahrul Akmal bin
Damin sebagai calon PhD di Universiti Utara Malaysia.
Saya mengambil perhatian inti-pati yang ditimbulkan dalam
soalan-soalan, yang sedikit disusun semula seperti berikut:
1)
Tun
Dr. Mahathir mengubah
…. daripada negara berasaskan pertanian
kepada negara berasaskan perindustrian pada tahun 1984. (S1)
2)
Selepas kegawatan ekonomi
pada tahun 1997, …
Dasar Pertanian Negara tahun 1998 (DPN3) … dan penubuhan Majlis Keselamatan
Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK) …. memperlihatkan ……. Pertanian untuk sekuriti makanan telah
mendapat perhatian. (S8)
3)
Apakah rasional yang mendorong Tun Dr. Mahathir mengambil
tindakan memajukan sektor perindustrian yang memberi impak kapada sektor pertanian. (S2)
4)
Dalam
Rancangan Malaysia Kelima, dari tahun 1986 hingga tahun 1990, dan dalam
Rancangan Malaysia Keenam, dari tahun 1991 hingga tahun 1995, Tun Dr. Mahathir memperkenalkan
strategi, yang dilaksanakan secara perlahan-lahan, untuk mengurangkan kawasan penanaman padi di luar
kawasan jelapang padi – MADA dan KEDA. (S4)
5)
Bagaimanakah Tun Dr. Mahathir
menyusun strategi bagi mengatasi ketidaktentuan cuaca, seperti dalam tahun 1997, 2000 dan
2003, sebagai cabaran terhadap pengeluaran makanan Negara.
6)
Setiap
tahun kerajaan terpaksa
membelanjakan sejumlah peruntukan untuk mengimpot sejumlah makanan daripada Negara luar. (S5)
7)
Bagaimana
Tan Sri menilai isu sekuriti makanan berikutan pergantungan makanan oleh Malaysia terhadap Negara
luar ketika Tun Dr. Mahathir menjadi
Perdana Menteri? (S5)
8)
Thailand dan Indonesia dilihat lebih berjaya dalam sekuriti makanan
menerusi ekoran nilan ekspot makanan yang lebih tinggi
daripada nilai impot.
(S6)
9)
Bagaimanakah Tun Dr. Mahathir melaksanakan
tanggungjawab, sebagai Perdana Menteri, kerana penyusunan peranan
sektor pertanian menyebabkan subsektor pengeluaran makanan turut menerima
kesan. (S3)
10) Sejauh manakah Tan Sri menilai kedudukan
sekuriti makanan sepanjang pemerintahan Tun Dr Mahathir yang dianggap berjaya memimpin Negara dalam tempoh 22 tahun. (S9)
11) Sejauh manakah Tun Dr. Mahathir
memberi reaksi
kepada agenda Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggariskan tentang agenda sekuriti makanan. (S10)
12) Secara perbandingan dengan Tun Dr. Mahathir sejauh manakah usaha kerajaan di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak dalam menjayakan sekuriti makanan
dalam menampungi jumlah populasi yang meningkat? (S11)
SASARAN PERSOALAN
Daripada inti-pati di atas saya dapati saudara Zahrul telah
menyentuh perkara-perkara dan peranan Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad
Badawi, Dato’ Seri Najib; institusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); negara
Indonesia dan Thailand dan Dasar Pertanian Negara dan kedudukan sekuriti
makanan.
PERSOALAN YANG
KETINGGALAN
Apa yang tidak disebutkan ialah persoalan mewujudkan
pekerjaan kepada rakyat jelata, penyusunan semula masyarakat dan usaha membasmi
kemiskinan sebagaimana yang terkandung dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan
dilanjutkan dalam Dasar Pembangunan Negara (DPN).
KESIMPULAN PERSOALAN
Bolehlah difahamkan bahawa saudara Zahrul berminat untuk
meninjau asas perubahan dari menjadi sebuah negara pertanian kepada negara
perindusterian. Berikutan perubahan itu, yang dibuat secara beransur-ansur di
luar kawasan jelapang padi, maka dasar yang ditentukan oleh Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk mewujudkan sekuriti makan, telah terjejas. Keadaan
ini telah meletakkan Malaysia di belakang negara Thailand dan Indonesia dari
segi pengeluaran makanan. Apakah Dasar Pertanian Negara yang diperkenalkan pada
tahun 1998, ikuti dengan penubuhan Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan
Kebangsaan, menjadi satu batu tanda untuk membetulkan keadaan sekuriti makanan
Negara akibat daripada agenda perindustrian yang terdahulunya disasarkan untuk
mengganti status negara sebagai negara pertanian.
PERBANDINGAN ANTARA
PEMIMPIN
Bagi menjawab perkara ke 12 di atas saya tidak berhasrat untuk
membuat penilaian atas perbezaan dasar, strategi dan taktik yang dilaksanakan
di bawah pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Dato’ Seri Najib kecuali
nama Kementerian Pertanian telah diubah dan cara penyelarasan pembangunan telah
diletakkan di bawah koridor-koridor di seluruh negara.
TAMAN PERTNIAN MALAYSIA
Taman Pertanian Malaysia yang pertama di dunia, adalah sebuah
projek agri-tourism yang menjadi sekolah contoh untuk masyarakat petani, penternak
dan nelayan mempelajari dan didedahkan kepada pertanian moden. Namanya, yang
direstui oleh Almarhum Baginda KDYMM Tuanku Sultan Selangor, telah ditukar
menjadi Taman Botanikel, tanpa mendapat restu dari anaknya Almarhum, yang kini
mengganti KDYMM Tuanku menjadi Sultan Selangor. Sebagai Taman Botanikel ianya
tidak lagi menjadi taman yang mempamirkan berbagai bidang pertanian, dan yang
pertama di dunia, tetapi menjadi sebahagian dari ribuan taman botanikal yang
ada di dunia. Peranannya juga sudah tidak lagi sebagai institusi ilmu yang
bertaraf antarabangsa, dengan keluasan tanah sekitar 3,000 ekar tetapi tinggal
hanya 1,000 ekar dan hanya wujud sebagai destinasi pelancungan untuk mesyarakat
tempatan.
PERTUBUHAN
BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)
Pada pendapat saya ada beberapa dasar yang digubalkan oleh
PBB atau agensi-agensinya seperti Bank Dunia, UNESCO, WHO dan FAO yang tidak
praktikal, kerana perbezaan kualiti bumi, cuaca alam, keluasan tanah dan juga
ugama, jika dikehendaki pelaksanaannya dilakukan oleh semua negara anggota PBB.
BANK DUNIA
Program membasmi kemiskinan oleh Bank Dunia, walaupun
berbilion ringgit telah dibelanjakan tidak memberi kesan yang memuaskan. Di
waktu masyarakat tani, dan penduduk luar Bandar yang miskin, memerlukan wang
dari institusi pinjaman Bank Dunia lebih mementingkan kadar faedah bank tidak
melebihi 5% setahun, dan jika lebih dianggap mendera peminjam yang miskin. Bagi
masyarakat tani yang meminjam wang, di masa itu, dengan kadar faedah sehingga
80% setahun, yang menjadi masalah bukan ‘the cost of funds’ tetapi ‘the
availability of funds.'
Jika institusi peminjam wang dibenarkan memberi pinjaman pada
kadar 20%, sebagai contoh, sudah pasti mereka akan menjimatkan 60% dari faedah
yang dikenakan oleh institusi peminjam dan institusi peminjam juga ada insentif
kerana dengan faedah 20% mereka mendapat keuntungan setelah membayar kos
pengurusan yang bagitu tinggi bagi pinjaman-pinjaman yang kecil.
UNESCO
ILMU TANPA MORAL
UNESCO umpamanya hanya menekan kepada factor ilmu dalam
pendidikan secara terpisah dari nilai-nilai murni yang tersangat penting untuk
mendampingi mereka yang berkelulusan dan berpendidikan. Jika ada sentuhan
mengenai nilai ianya tidak cukup untuk memberi kesan kepada masyarakat.
Kewujudan generasi muda masa kini yang miskin nilai-nilai dalam hidup turut
menjadi tanggung-jawab UNESCO.
RANCANGAN KELUARGA
Malaysia telah membuat satu dasar kependudukan yang berbeza
dengan yang ditentukan oleh WHO. Sementara WHO memperkenal ‘Rancangan Keluarga’
Malaysia telah memperkenalkan ‘Rancangan Keluaraga Besar.’ Malaysia meletakkan
5 orang anak bagi sesuatu pasangan keluarga yang berbeza dengan ketentuan WHO
yang mencadangkan 2 orang atau sepasang.
Bagi negara yang ingin maju berbagai jenis industri perlu
diwujudkan. Bagi sesetengah industri seperti industri kereta, modal yang
diperlukan, dengan faedah yang dikenakan ke atas pinjaman, tidak mungkin dapat
dibayar jika kereta yang dikeluarkan itu tidak ada pasaran yang mencukupi.
Oleh kerana industri berat, seperti industri kereta, diperlukan
sebagai asas kepada industri pertahanan, negara yang terbatas jumlah
penduduknya perlu bergantung kepada pasaran ekspot untuk menjayakan
industrinya. Mengikut perhitungan Tun Dr. Mahathir sesebuah negara yang jumlah
penduduknya sekitar 75 juta sahaja yang boleh betul-betul Merdeka dan dapat
membangunkan industri apa jua tanpa bergantung kepada pasaran ekspot.
FOOD AND AGRICULTURE ORGANIZATION (FAO)
SEKURITI MAKANAN
Perkara sekuriti makanan yang ditimbulkan di bawah inti-pati
ke 2, 7, 11 dan 12 adalah dasar yang ditentukan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB). Ianya mendapat perhatian, dari segi pengurusan, daripada
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Sedunia (Food and Agriculture Organization –
FAO).
KELUASAN TANAH
Adalah tidak mungkin bagi negara Singapura atau Hongkong
(sebelum tercantum semula dengan China) menjadi sebuah negara yang mempunyai
jaminan sekuriti makanan yang cukup, sebagaimana kehendak PBB, kerana tanahnya
untuk ditanam padi hampir tiada.
KUALITI BUMI
PBB juga tidak boleh mengharapkan negara Greenland atau
Kuwait, kerana cuacanya, yang tersangat dingin atau tersangat panas, untuk
mengeluarkan gandum yang mencukupi untuk rakyatnya.
PEMBAZIRAN
Mengikut perangkaan FAO di waktu saya menjadi Menteri
Pertanian, pengeluaran padi di dunia adalah melebihi dari permintaan, tetapi
sistem atau kemampuan pembahagiannya tidak merata dan menyeluruh. PBB gagal
dalam urusan pembahagian rezeki yang membazir ini.
PERBEZAAN UGAMA
PBB juga membatasi tafsiran jenis sekuriti makanan kepada
tanaman ‘cereal’ dan tidak termasuk ikan dan ternakan. Jika ternakan dimasukkan
sekalipun dalam definasi sekuriti makanan, ianya tidak dapat menyelesaikan
masalah kebuluran di India walaupun di sana jumlah rakyat India lebih rendah
dari jumlah lembu yang dipelihara oleh mereka. Ini disebabkan ugama Hindu
menghalang penganutnya dari memakan daging lembu.
FAKTOR POLITIK
Tidak praktiknya konsep sekuriti makanan ternyata apabila
wujud perubahan politik seperti menggabungkan negara-negara di Eropah ke dalam
Kesatuan Ekonomi Eropah. Apakah dengan penyatuan ini negara-nagara yang tadinya
tidak mencukupi makanan tetapi kini tidak perlu memikirkan perkara itu
semata-mata kerana walaupun Negara tertentu tidak mencukupi makanan tetapi
gabungan negara-negara dari Kesatuan Ekonomi Eropah sekuriti makanan dalam satu
kelompok besar itu adalah mencukupi.
KESATUAN EKONOMI EROPAH
UNTUK NEGARA-NEGARA DI EROPAH
DAN PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU
UNTUK SEMUA NEGARA ANGGOTA DI DUNIA
Jika Kesatuan Ekonomi Eropah dianggap sebagai sebuah kesatuan
yang sekuriti makanannya mencukupi, sedangkan ada negeri di kalangan
negara-negara anggota Kesatuan Ekonomi Eropah yang tidak mencukup sekuriti
makanannya. Maka lojiknya Malaysia, sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu tidak perlu menghiraukan masalah sekuriti makanan, kerana gabuangan
semua Negara dalam PBB mempunyai pengeluaran makanan yang mencukupi seperti
yang ditentukan oleh definasi sekuriti makanan.
Oleh itu dasar sekuriti makanan hanya boleh dijadikan dasar
dengan harapan semua negara sedar mengenai bahaya tidak cukup makanan di dunia.
KENAPA NEGARA
BERPINDAH DARI PERTANIAN KE PERINDUSTRIAN.
AHLI POLITIK DARI
NEGERI JELAPANG PADI
Sebagai seorang ahli politik Tun Dr. Mahathir bertindak untuk
memajukan negara tanpa mengenepikan rakyat. Kerana rakyatlah maka beliau, dan
BN dipilih untuk memerintah negara.
MENANAM PADI ERTINYA
KEMISKINAN
Sebagai seorang yang dilahirkan di negeri yang menjadi
jelapang padi negara beliau dapat melihat dengan jelas betapa kemiskinan dan
penanaman padi menjadi dua anggota kerabat yang setia.
Beliau juga menyedari penanam padi tidak bekerja sepanjang
tahun kerana hanya di waktu menanam dan menuai sahaja mereka kesibukan untuk
beberapa minggu sahaja.
PENGGUNAAN TANAH YANG
LEBIH EKONOMIK
Sebagaimana yang selalu disebut dalam ucapannya bahawa satu
ekar tanah yang digunakan untuk menanam padi hanya dapat memberi perkerjaan
kepada hanya beberapa orang, mengikut musim, jika dibanding dengan ratusan
pekerja yang bekerja sepanjang tahun di atas tanah yang sama jika didirikan
satu industri atau perusahaan.
Tanah, sebagai sumber alam yang paling berharga hanya
disiasiakan jika ditanam dengan padi.
SYARAT BANTUAN BANK
DUNIA
Perbadanan Kemajuan Pertanian Muda (Muda Agricultural
Development Authority – MADA) adalah satu projek penanaman padi yang paling
berjaya dan menjadi projek contoh yang dibiayai oleh Bank Dunia.
Untuk mematuhi kepada syarat sumbangan Bank Dunia maka
kawasan MADA tidak boleh ditukar penggunaan tanahnya kecuali untuk menanam
padi.
Memanglah benar dengan adanya rancangan MADA, dan
kemudahannya untuk membolehkan penanaman padi dua kali dalam setahun, maka
pendapatan para petani berlibat ganda dua kali.
Malangnya ianya tidak merobah kemungkinan akan lebih ekonomik
jika tanah dalam kawasan MADA itu ditukar dengan tanaman seperti kelapa sawit
atau pun dijadikan sebahagian darinya sebagai tanah untuk industri.
Itulah sebabnya dikatakan oleh ahli ekonomi pertanian bahawa
Kedah, sebagai negeri jelapang padi, berkorban untuk negara, yang bermaksud
mengorbankan potensi untuk menjadi lebih mewah semata-mata untuk memastikan ada
pengeluaran padi, walau pun tidak cukup, untuk negara.
Di perairan Seberang Perak sudah ada contoh bagaimana pemilik
tanah menjadi berlipat ganda lebih mewah apabila sawah mereka dikeringkan dan
ditanam dengan pokok kelapa sawit.
TANAM PADI ATAS BUMBONG
Dalam memikirkan masalah tanah di dalam kawasan MADA satu
cadangan telah dibuat untuk mencuba tanam padi di atas bumbung rumah. Adalah
difikirkan dengan cara itu projek perumahan dapat dibangunkan sementara kawasan
untuk tanaman padi tidak menjadi kurang. Dari eksperimen di pusat MARDI di
Kepala Batas dan di Kampung Paya Pahlawan ternyata projek ini viable. Dengan
penggunakan air dan baja yang terbatas kawasan padi atas bumbung itu boleh
memberi kemudahan menanam padi lebih dari 3 kali setahun. Cadangan ini,
walaupun ditolak oleh media tempatan 25 tahun yang lalu sudah mula dilaksanakan
untuk menyelesaikan masalah ketiadaan tanah yang mencukup berdekatan dengan
tempat ramai penduduk; sementara kawasan tanaman terlalu jauh yang menyebabkan
kos hasil meningkat lebih kerana kos pengangkutan.
TANAM PADI DI LUAR
NEGARA
Bagi sesetengah negara yang taraf hidup rakyatnya lebih
rendah dari Malaysia, seperti negaraa –negara di Afrika dan China, di masa
lalu, usaha menanam padi dapat membantu ekonomi rakyat di sana.
Setelah diumumkan rancangan Malaysia untuk menanam padi di
luar negara maka Malaysia pernah
ditawarkan untuk menanam pada di atas 100,000 ekar tanah di Hainan di selatan
negara China. Ide ini tidak dapat dilaksanakan kerana implikasi politik
disebabkan oleh tuntutan keluarga China di Sabak Bernam yang menyatakan tanah
di Selatan China itu milik datuk nenek mereka.
Walaubagaimanapun rancangan menanam padi di luar negara telah
dilaksanakan oleh Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di salah sebuah negara di
barat Afrika.
Berikutan dengan pengumuman mengenai rancangan menanam padi
di luar Negara, oleh Malaysia, adalah difahamkan bahawa ide ini telah
kemudiannya digunakan oleh Singapura yang telah menanam padi di Cambodia dan
juga sayur-sayuran dan buah-buahan di India. Kerana inisiatif di bidang
pertanian seperti inilah maka Singapura, yang tidak mempunyai tanah untuk
pertanian, telah layak menjadi ahli FAO.
DEB dan DPN
Di dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Dasar
Pembangunan Negara (DPN) sebagai kesinambungan kepada matlamat DEB yang penting
ialah usaha membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Untuk menjayakan usaha menyusun semula masyarakat
pendekatannya ialah melalui pendidikan dengan pemberian biasiswa di dalam
berbagai bidang ilmu pengetahuan.
KERJA dan PENDAPATAN
Yang terpenting dalam usaha membasmi kemiskinan ialah setiap
rakyat mempunyai pekerjaan. Sudah tentu tidak banyak pekerjaan yang boleh
diwujudkan jika tanah yang ada digunakan untuk usaha pertanian.
Oleh itu segala usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah Negara perindustrian hendaklah difahami sebagai usaha untuk mewujudkan
pekerjaan untuk rakyat.
Dalam bidang pertanian pula kemiskinan boleh dikurangkan jika
petani dapat menjual hasil tanaman mereka dengan harga yang baik di pasaran.
Oleh kerana petani di sawah padi tidak berkerja sepenuh masa,
dan mengikut musim, maka tanaman lain hendaklah diusahakan yang boleh dijual
dengan harga yang lumayan.
Pekebun kecil kelapa di satu masa dulu digolongkan sebagai
golongan miskin kerana pokok kelapa dianggap oleh Bank Dunia sebagai
‘sunset-crop’ atau ‘tanaman Maghrib,’ dan Bank Dunia tidak lagi memberi subsidi
untuk pekebun kecil kelapa dan pekebun kelapa dikehendaki menggantikan tanaman
mereka dengan koko.
Tugas kerajaan ialah untuk menaikkan harga kelapa dengan
mempopularkan minuman air kelapa muda. Dengan itu kelapa menjadi ‘sunrise crop’
atau ‘tanaman matahari naik’ dan tidak memerlukan subsidi lagi.
Selain dari menanam tanaman yang hasilnya ada pasaran dengan
harga yang lumayan seseorang petani juga diajar untuk berusaha mengeluarkan
hasil industri kampong dan industri kraftangan.
Dalam usaha untuk membasmi kemiskinan dan mewujudkan
pekerjaan Kementerian Pertanian telah memberi perhatian bukan kepada hasil
pertanian tetapi kepada taraf dan kualiti hidup masyarakat tani.
‘THE MAN BEHIND THE
TREES’
Pendekatan kerajaan lebih kepada pendapatan dan mutu hidup
petani, penternak dan nelayan dan bukan kepada pengeluaran padi, tangkapan ikan
dan ternakan haiwan. Pendek kata, jika di bidang tanaman pokok getah kerajaan
tidak melihat kepada pengeluaran susu getah tetapi kepada penoreh getah sebagai
‘manusia di belakang pokok’ atau ‘the man behind the trees.’
UNTUK MENAMBAH TANAMAN,
IKAN DAN TERNAKAN
Adalah mudah jika matlamat kerajaan ialah untuk menambah
pengeluaran padi, tangkapan ikan dan ternakan haiwan. Usaha ke arah ini boleh
dilaksanakan dalam masa yang singkat dengan penggunaan modal yang mencukupi.
Untuk menambah pengeluaran padi, umpamanya, kerajaan hanya
perlu memberi kawasan tanah yang luas beribu ekar untuk ditanam dan dituai padi
dengan menggunakan teknologi tinggi sebagaimana yang ada di negara-negara
seperti Amerika Syarikat dan Kanada. Atas puluhan ribu ekar tanah pengeluar
sedemikian hanya perlu beberapa ratus pekerja sahaja.
Tetapi, cara ini, walaupun dikatakan di dalam perangkaan
sebagai kemajuan di bidang pertanian tetapi ianya tidak membantu untuk
meningkatkan pendapatan dan mutu hidup petani di Malaysia.
Begitu juga dalam bidang perikanan. Hanya dengan membenarkan
penggunaan bot menangkap ikan yang besar jumlah tangkapan ikan boleh meningkat
tanpa meningkatkan pendapatan dan mutu hidup nelayan.
Dalam usaha menambahkan hasil ternakan juga ianya adalah
mudah jika kita membenarkan ribuan ekar tanah digunakan oleh pelabur besar
sebagai ranch untuk ternakan sebagaimana yang berlaku di negara yang
menggunakan ‘cowboys’ untuk mengawal haiwan ternakan dengan menggunakan kuda.
Tetapi pelaksanaan projek begini, sementara menambah hasil
ternakan, atau makanan, tidak membantu untuk meningkatkan pendapatan dan mutu
hidup para penternak yang berkurangan modal dan pengalaman.
‘PROSPER THY NEIGHBOUR’
Apabila kerajaan menjalankan program untuk menambah pekerjaan
melalui perindustrian maka banyaklah hasil industri memerlukan pasaran. Antara
pasaran bagi hasil industri di Malaysia, di masa lalu, ialah Burma, Cambodia,
China, India, Indonesia, Laos, Thailand dan Vietnam. Oleh kerana negara-negara
ini mendapat pertukaran wang asing dari hasil ekspot beras maka pertukaran wang
asing yang diperolehi inilah yang membiayai impot hasil industri kita ke negara
mereka.
Dasar mengimpot dari negara jiran inilah antara yang termasuk
dalam program ‘prosper thy neighbour.’ Adalah
menjadi keyakinan kerajaan bahawa hubungan diplomatik yang baik dapat
ditingkatkan dengan saling membantu jiran dengan mengimpot hasil mereka, yang
turut membantu ekspot kita, selain dari berkongsi teknologi yang ada pada kita
untuk membantu negara yang memerlukannya daripada kita. Kita tidak kedekut untuk berkongsi ilmu dan teknologi yang ada pada kita dengan negara-negara yang memerlukannya, kerana, jika kita tidak bantu sekalipun, melalui penyelidikan lambat laun mereka juga akan menemuinya sendiri. Malaysia membina persahabatan dengan membantu negara lain dengan memberi apa yang ada padanya. Sementara itu kita pesatkan usaha penyelidikan untuk menemui teknologi baru.
NEGARA YANG BERGANTUNG KEPADA MALAYSIA
MENJADI NEGARA YANG BERSAING DENGAN
MALAYSIA
Oleh kerana negara-negara yang mengimpot hasil dari industri
Malaysia turut membangun dalam bidang perindustrian yang sama dengan kita, juga
untuk memberi pekerjaan kepada rakyat mereka, maka dari negara yang bergantung
kepada pertukaran wang asing dengan dengan mengekspot beras kenegara kita,
negara-negara pengimpot ini sudah menjadi saingan dengan kita untuk pasaran
hasil industri.
Keadaan beginilah yang mendorongkan kita untuk turut membuat
perubahan dengan wujudnya Dasar Pertanian Negara (DPN3) tahun 1998 dan
penubuhan Majlis Keselamatan Makanan dan Pemakanan Kebangsaan (MKMPK).
Tan Sri Dato’ Seri Sanusi Junid,
Mantan Menteri Pertanian Malaysia.
8hb Mei, 2014