Di bawah ini saya turunkan satu ulasan oleh Dato' Zaini Hassan di ruang CUIT yang memperkenalkan buku karangan Dr. Muhammed Abdul Khalid yang pernah saya temui di waktu beliau sedang menyiapkan tesisnya yang kini diterbitkan dengan tajuk THE COLOUR OF INEQUALITY. Ulusan lanjut mengenai buku ini akan saya turunkan dalam masukan blog berikutnya. Selamat membaca.
Dr. Muhammed dan The Colour of Inequality
Dr. Muhammed dan The Colour of Inequality
Oleh Zaini Hassan
Utusan Malaysia, Kolom Rencana, 8 Oktober 2014
SAYA mengenali Dr.
Muhammed Abdul Khalid semasa beliau menjadi penyelidik di ISIS beberapa tahun
lalu.
Beliau juga adalah
pengikut setia kolum ini. Dan saya turut mendapat banyak input daripada beliau
dalam hal-hal berkaitan sosial, ekonomi dan politik.
Baru-baru ini, beliau
telah menerbitkan sebuah buku, yang antara rakan-rakannya ternanti-nantikan.
Saya diminta beliau mengulas bukunya.
Saya merasa terhormat
untuk mengulas bukunya bertajuk The Colour of Inequality - Ethnicity, Income,
And Wealth In Malaysia (Warna Ketidaksamaan - Etnik, Pendapatan dan Kekayaan di
Malaysia).
Dr. Muhammed, ialah
seorang ahli ekonomi Melayu muda yang berasal dari Pulau Pinang. Berkelulusan
ijazah kedoktoran dari Perancis.
Yang menarik
perhatian saya mengenai buku ini adalah sejarah political economy mengenai
jurang kekayaan di Malaysia, terutamanya di antara kaum bumiputera dan bukan
bumiputera, dan hala tuju jurang ini yang bagi saya amat menggerunkan.
Buku ini yang penuh
dengan data dan fakta menunjukkan bahawa jurang kekayaan (asset) adalah lebih
teruk daripada jurang pendapatan (income), baik dari segi kaum, mahupun di
antara yang kaya dan yang miskin.
Walaupun negara kita
dapat mengurangkan kadar kemiskinan dan jurang pendapatan sejak DEB
diperkenalkan, namun kebelakangan ini jurang pendapatan kembali melebar.
Yang mengejutkan,
jurang pendapatan di antara bandar dan kampung ketika ini amatlah teruk sekali,
malah lebih teruk daripada tahun 1957! Dari segi jurang pendapatan antara kaum,
ia makin melebar sejak tahun 2009.
Jurang pendapatan di
antara kaum bumiputera dan Cina telah meningkat sebanyak 10 peratus dari tahun
2009 hingga 2012, dan ini bukan sahaja pertama kali ia berlaku sejak tahun
1970, tetapi juga sekaligus melenyapkan segala pencapaian yang dicapai sedekad
yang lalu.
Yang mengejutkan saya
adalah data yang menunjukkan kedaifan rakyat Malaysia, terutamanya kaum
bumiputera dalam pemilikan harta, termasuk hartanah dan saham.
Dari segi pemilikan
aset kewangan, 72 peratus yang tidak mempunyai aset ini adalah kaum bumiputera.
Namun jika dilihat
dari segi kaum, majoriti penduduk di negara kita ini, baik bangsa Melayu, kaum
Cina mahupun India tidak mempunyai sebarang aset kewangan.
Ini mungkin sesuatu
yang tidak masuk akal tetapi Dr. Muhammed menunjukkan bahawa inilah realitinya.
Jika dilihat dari
segi pemilikan Amanah Saham Bumiputera (ASB), lebih kurang separuh daripada
kaum bumiputera di negara ini mempunyai akaun bersama ASB.
Daripada separuh yang
ada akaun itu, purata simpanan adalah lebih kurang RM15,400, tetapi jika dikaji
lagi, lebih dua pertiga atau 72 peratus hanya mempunyai RM554 sahaja!
Jurang yang sama
dihadapi oleh kaum yang lain, malah jurang di antara kaum India yang paling
teruk sekali di mana 64 peratus kaum India di negara ini tidak ada satu sen pun
aset kewangan, berbanding kaum Cina (56 peratus) dan golongan bumiputera (64
peratus).
Kedaifan yang sama
berlaku dari segi pemilikan hartanah apabila tiga-perempat orang yang tidak
mempunyai aset ini adalah daripada golongan bumiputera.
Di mana silapnya,
terutamanya di kalangan bumiputera walaupun pelbagai polisi dilaksanakan dan
berpuluh agensi telah ditubuhkan?
Adakah kerana Melayu
malas, boros, tiada kelulusan tinggi ataupun ada faktor yang lain?
Dr. Muhammed telah
menunjukkan bahawa terdapat kajian mendapati bahawa faktor kadar tabungan,
perbelanjaan, mahupun pendidikan bagi kaum bumiputera adalah sama dengan kaum
yang lain. Jadi di mana silapnya?
Penulis menghuraikan
tiga perkara.
Pertama, diskriminasi
kaum terhadap graduan Melayu walaupun mereka mempunyai kadar kelayakan yang
sama dengan kaum lain menghalang golongan ini untuk mendapat pekerjaan dan gaji
yang setimpal dengan kaum lain, iaitu sumber penting untuk pengumpulan aset.
Kedua, inherited
asset (harta pusaka) kaum lain terutamanya kaum Cina, lebih banyak memberi
harta kepada anak-anak mereka, walaupun golongan majoriti kaum Cina juga tiada
aset.
Ketiga, dan yang
paling penting sekali, kegagalan pihak pemegang amanah, baik daripada parti
Melayu seperti Pas atau pun UMNO yang jelas sekali tidak mengambil endah
mengenai status sosioekonomi bangsa Melayu.
Wawancara Dr.
Muhammed dengan orang kuat parti-parti politik ini menunjukkan bahawa mereka
ini lebih suka berpolitik daripada menyelesaikan masalah ekonomi kaum Melayu.
Kecuaian ahli politik
ini, disambung pula oleh syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC).
Dr. Muhammed
menyatakan, berdasarkan temubual beliau dengan ketua-ketua GLC, jelas menunjukkan
mereka bukan sahaja tidak memberi perhatian terdapat dasar bumiputera, malah
ada di antara mereka yang mengutuk dasar bumiputera.
Malah ada yang
mencaci bangsa Melayu sendiri.
Tidak hairanlah GLC
seperti UDA yang diberi amanah untuk meningkatkan penguasaan hartanah kini
lebih senang mengalibabakan projek yang diberi.
Tiba masanya untuk
kita kaji semula kesemua polisi dan agensi-agensi yang bertanggungjawab
terhadap peningkatan sosioekonomi kaum bumiputera.
Yang saya risaukan
adalah kesimpulan buku ini, di mana penulis Dr. Muhammed, amatlah khuatir dan
pessimistic mengenai masa hadapan.
Dasar-dasar kerajaan
yang sedia ada, terutamanya dasar pendidikan, dasar pencukaian dan kerenah GLC
ini akan membuat jurang makin meluas dan majoriti rakyat negara ini, daripada
semua kaum, akan makin melara.
Ini adalah time-bomb,
jika ia tidak ditangani dengan segera.
Saya menyeru agar
pembesar negara kita, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang membaca buku
ini.
Kita masih ada masa.
Selesaikanlah dengan segera. Biar kita ikhlas tentang kegagalan kita, supaya
jalan penyelesaian dapat dibuat.
1 comment:
"Ketiga, dan yang paling penting sekali, kegagalan pihak pemegang amanah, baik daripada parti Melayu seperti Pas atau pun UMNO yang jelas sekali tidak mengambil endah mengenai status sosioekonomi bangsa Melayu."
TUAN TERMASOK DIDALAM KANDANG ORANG YANG BERSALAH.
Post a Comment