Thursday, September 3, 2015

POLIS SOAL TUN DR. MAHATHIR

Hasrat Tan Sri Khalid Abu Bakar, selaku Ketua Polis Negara (KPN) untuk soal-siasat Tun Dr. Mahathir mengenai kenyataannya di dua kali lawatannya ke BERSIH 4 adalah dialu-alukan.
Mantan wartawan Lester Melanyi juga tumpang semangkuk untuk minta polis menyelidik hubungan Tun Dr. Mahathir dengan Penyunting Sarawak Post, beribu pejabat di London, yang bernama Clare Rewcastle Brown.
Saya dapat meramalkan apa yang akan dilaporkan oleh Tun Dr. Mahathir kepada pihak polis, iaitu 'Saya minta Dato' Seri Najib letak jawatan'. Jika ada kenyataan lain ianya hanyalah sekadar menjelaskan maksud inti laporan itu.  

Setakat ini pihak polis telah mendapat kenyataan dari Pengerusi BERSIH 4 Maria Chin Abdullah yang didampingi, dalam pertemuan itu, oleh 10 peguam termasuk Datuk Ambiga Sreenevasan, Ramkarpal Singh, Eric Paulsen dan Latheefa Koya. Saya percaya Tun Dr. Mahathir tidak memerlukan peguam untuk mendampinginya.
Mengenai permintaan Lester Melanyi saya berpendapat pihak polis juga perlu bertanya bukan sahaja bubungan Tun Dr. Mahathir dengan Clare Rewcastle Brown tetapi juga hubungan antara Tun Dr. Mahathir dengan wartawan-wartawan New York Times, Washington Post, The Guardian di UK, The Australian, Japan Times, The Gulf Gazette dan Tempo di Indonesia. Perlu juga ditanya mengenai hubungan Tun Dr. Mahathir dengan Pengerusi Transparency International Jose Ugaz yang telah mengecam keadaan rasuah di Malaysia dalam hubungan wang 'DERMA' RM2.6 ribu juta dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato' Seri Najib.
Ketidakhadiran Dato' Seri Najib untuk menyampaikan ucaptama dalam forum anti-rasuah bertaraf antarabangsa yang diadakan setiap dua tahun adalah atas nasihat Datuk Paul Low. Oleh itu Dato' Seri Najib terhalang dari kesempatan untuk menjelaskan secara NOTHING2HIDE kepada forum yang dihadiri oleh lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati dari 135 negara anggota. Jika Dato' Seri Najib hadir beliau pasti dapat mendengar sambutan dengan tepukan gemuruh apabila Jose Carlos Ugaz Sanchez Moreno mengecam perilaku rasuah dalam Negara ini.
Datuk Paul Low mengenal Jose Ugaz sebagai seorang penentang rasuah yang ulung dan berani di dunia. Paul tahu Jose Ugaz dapat membezakan antara 'derma' dengan 'rasuah'.
Ini adalah kali kedua Dato' Seri Najib gagal hadir dalam forum penting kerana 'keselamatan'. Ancaman kepada keselamatan dalam majlis NOTHING2HIDE nampaknya berpunca dari sikap seorang yang digelar 'Ali Tinju.' Kita tidak dapat salahkan Ali Tinju atas ancaman 'keselamatan' dalam majlis International Anti-Corruption Conference (IACC).
Nampaknya perkataan 'keselamatan' itu juga perlu diberi tafsiran yang konsisten. Yang jelas dalam program NOTHING2HIDE kewujudan Tun Dr. Mahathir adalah punca kepada khayalan ancaman kepada keselamatan, dan dalam kes IACC kehadiran ribuan para perwakilan menjadi ancaman kepada keselamatan.
Saya tidak setuju dengan YB Lim Kit Siang yang menanggap kenyataan bertulis oleh Tun Dr. Mahathir tidak perlu diambil. Saya berpendapat pihak polis bukan saja patut meminta kenyataan bertulis Tun Dr. Mahathir tetapi kenyataan itu hendaklah disiarkan di dalam akhbar secara meluas.
Malahan saya cadangkan pihak polis bukan sekadar meminta kenyataan bertulis dari Tun Dr. Mahathir mengenai kenyataannya dalam pesta BERSIH 4 tetapi mengemukakan puluhan soalan, jika bukan ratusan soalan yang boleh dijawab dan dijelaskan oleh Tun Dr. Mahathir dalam sebuah buku bertajuk 'KENAPA SAYA DESAK DATO' SERI NAJIB LETAK JAWATAN PERDANA MENTERI DENGAN SERTA MERTA.'

1 comment:

Anonymous said...

Faridina menulis..

Assalamualaikum Tan Sri,

KPN mengesahkan bahawa ayahanda Tun Mahathir akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung dakwaan rasuah terhadap Ketua2 Bahagian UMNO di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan Akta Hasutan sewaktu perhimpunan Bersih tempoh hari.

Uniknya PDRM bertindak hanya berdasarkan laporan polis SEORANG KB sahaja. Wow sungguh efisien rupanya PDRM tak gitu Tan Sri.

Ada SEORANG tu kalau beribu laporan polis dibuat terhadapnya pasti dibakulsampahkan PDRM dan yang melapor pula kena siasat tak gitu Tan Sri.

Minta sangat Tan Sri ulas lebih lanjut.

Wasalam Tan Sri.