Monday, January 11, 2016

MALAYSIAN INSIDER 31/12/15: INSTITUSI RAJA KEBAL

HANYA INSTITUSI RAJA YANG MASIH KEBAL DI MALAYSIA
Hanya institusi beraja belum dihapuskan di Malaysia, kata bekas menteri

OLEH NABIHAH HAMID

Published: 31 December 2015 3:07 PM 


Pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata, 1MDB adalah satu pengajaran bagi semua negara demokrasi di dunia dan hanya institusi beraja sahaja yang tidak mampu diusik kuasa politik. – Gambar fail The Malaysian Insider, 31 Disember, 2015. 

Membandingkan pemerintahan Malaysia dengan kerajaan Firaun, pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata hanya institusi beraja di Malaysia sahaja masih terpelihara dan tidak dihapuskan.

Bekas menteri Kabinet itu mengatakan, syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seakan-akan kebal dan hanya doa merupakan jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah pentadbiran negara hari ini.

"1MDB adalah satu pengajaran bagi semua negara demokrasi di dunia. Di Malaysia hanya institusi beraja sahaja yang belum boleh ditukar, disenarai hitam, diturunkan pangkat, dipecat dan sebagainya oleh kuasa politik.

"Keadaannya hampir sama dengan masalah Nabi Musa apabila diperintah Allah menjatuhkan Firaun. Hanya doa yang boleh menjamin harapan,” kata Sanusi yang merupakan setiausaha agung Umno dan naib presiden pada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad kepada The Malaysian Insider.

Sanusi mengulas kenyataan Putrajaya yang tidak bercadang menjalankan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan 1MDB bagi mengenal pasti punca masalah dan mencari kaedah mempertingkat prestasinya.

Menurut menteri besar Kedah dari 1996 hingga 1999 itu, beliau tidak terkejut malah menjangkakan perkara itu bakal berlaku.

"Saya sudah meramalkannya. Sama bimbang seperti program Nothing2Hide," katanya merujuk kepada program dialog yang seharusnya dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menjelaskan tentang 1MDB. 

Sementara itu, bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengecam keengganan Putrajaya menubuhkan RCI bagi menyiasat 1MDB.

"Satu formula dan tindakan untuk memastikan pertikaian kes skandal syarikat 1MDB yang berhutang sejumlah RM42 bilion amat diperlukan secara kadar segera.

"Ia agar segala persepsi negatif yang menyelubungi warga Malaysia mahupun luar negara dapat dihakis secara total bagi mengembalikan keyakinan semua pihak terhadap permasalahan ini.”

Beliau yang ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) kerana ingin membuat laporan terhadap 1MDB berkata, penubuhan RCI amat perlu memandangkan pasukan penyiasat 1MDB dilihat gagal memberikan penyelesaian.

"Akhirnya, struktur siasatan terungkai apabila bekas peguam negara dihentikan perkhidmatannya secara tiba-tiba, pegawai-pegawai SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) ditahan untuk soal siasat, jawatan pegawai polis dirombak manakala 3 orang anggota PAC dilantik secara serentak dan mendadak sebagai timbalan-timbalan menteri.

"Apabila situasi ini berlaku ia menimbulkan perasaan resah dan tidak puas hati di kalangan rakyat! Rakyat terus mempertikaikan cara kerajaan menangani isu kes skandal 1MDB," katanya kepada The Malaysian Insider.

Sebelum ini beberapa parti politik seperti DAP, PAS dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa RCI ditubuhkan bagi menyiasat skandal 1MDB.

Namun 12 Mac lalu usul penubuhan RCI yang dibentangkan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar untuk menyiasat 1MDB ditolak Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. – 31 Disember, 2015.

2 comments:

Anonymous said...

licik girl says,

salam. we are all living in the end of time. a lot of things have been foretold by our noble prophet Muhammad S.A.W. look thru all the hadeeths n u may find some relevance to d becoming of our current events. i agree with you on 'doa'. we pray in our solah, n we pray in our hearts. we pray when the day of judgement finally comes, we'd be placed in noble places, with the noble servants of God; i.e- the prophets, the syuhada, the frens of Allah, etc. keep on fighting for the cause we believe in, n pray...

Anonymous said...

Raja-Raja Melayu pendirian mereka konsisten.Sebab sikap konsisten itulah Dato' Onn Ja'afar menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) pada tahun 1946 untuk melawan Malayan Union.Sir Harold MacMichael adalah utusan Inggeris yang berjaya mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.PEKEMBAR menentang persetujuan Raja-Raja Melayu itu,yang mana kemudiannya Raja-Raja Melayu yang berasa sedar dan kesal mendakwa mereka diperdaya oleh MacMichael.Masalah negara kini,...apakah Raja-Raja Melayu akan sedar serta kesal,dan kemudiannya mendakwa mereka diperdaya oleh si Pahlawan Bugis pula?