Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Pada kesempatan ini saya masukkan semula karangan saya dalam blog ini pada 16 Februari, 2010 yang mengandungi nota ucapan yang saya sampaikan pada 23 Februari, 2010 kepada pemimpin-pemimpin GPMS. Teori 18 Tahun mula saya ketengahkan dalam ucapan saya sebagai Presiden MAYC dalam Mesyuarat Agung MAYC ke 34 pada tahun 1988 iaitu 29 tahun yang lalu.. Perlu diperhatikan bahawa karangan ini berakhir dengan tahun 2005 dan kita sudah melihat prestasi BN dalam PRU ke 13 di mana BN, walaupun menang, ianya telah kehilangan 'popular vote', iaitu menang dari segi kawasan tetapi kalah dari segi jumlam pengundi. PRU ke 14 paling lewat perlu diadakan pada tahun 2018. Jika PRU 14 diadakan pada tahun 2018 berertilah PRU ke 15 perlu di adakan pada tahun 2023, iaitu 18 tahun dari tahun 2005. Karangan lanjutan Teori 18 Tahun ini akan saya persembahankan dalam masa yang terdekat. Selamat membaca.
MENGIMBAS KEMBALI ANGKA 18
GPMS - SINGA PERJUANGAN BANGSA
1. Pada hari Sabtu 13 Februari, 2010 saya telah dijemput ke satu kursus untuk pemimpin-pemimpin baru GPMS, dari seluruh negara, di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras. Perjumpaan bermula pada pukul 2.45 petang. Walau pun tahun ini dinamakan tahun baru harimau untuk orang-orang China tetapi GPMS telah memilih gelaran 'Singa Perjuangan Bangsa' untuk pemimpin dan ahli organisasi mereka.
MELAYU DIGUGAT DAN DIGIGIT
2. Setelah selesai menyanyi lagu GPMS Presiden GPMS telah menyampaikan ucapan aluan dan selepasnya saya dijemput untuk berucap atas tajuk 'Melayu Digugat dan Digigit'. Persoalan yang harus saya huraikan ialah mengenai bagaimanakah singa perjuangan bangsa ini harus bertindak bila bangsanya telah digugat dan digigit.
MAYC TIDAK DAPAT MEMBANTU
3. Keadaan majlis ini berbeza dengan majlis MAYC Wilayah Persekutuan yang saya hadiri pada petang 6 Februari, 2010 di Pusat Kecemerlangan Rakan Muda, Komplek Belia, Kg. Pandan. Majlis ini diberi tajuk 'Bicara Tokoh'. Pemimpin-pemimpin muda MAYC ini ingin mengetahui sejarah gemilang perjuangan MAYC di masa silam kerana MAYC yang baru kini masih di peringkat penubuhan sementara MAYC lama pula mengikut undang-undang, tidak ada lagi, kerana lima tahun berturut-turut MAYC tidak mengadakan mesyuarat agungnya; dan mereka yang masih mengaku sebagai pemimpin-pemimpinnya, walau pun sebenarnya sudah tidak sah lagi, sedang sibuk memikirkan cara memfaraidkan harta pusaka persatuan sementara persatuan mati tanpa kubur. Begitulah gambarannya. Oleh itu, MAYC sebagai sebuah pertubuhan kini tidak mungkin boleh turut membantu GPMS jika bangsa Melayu sudah tergugat dan digigit.
JANGAN SALAHKAN ORANG LAIN
4. Sebenarnya tidak ada orang yang berani menggugat dan menggigit bangsa Melayu kecualilah orang-orang Melayu sendiri memaksa dirinya supaya digugat dan digigit.
DUA PEMIMPIN BELIA JADI PERDANA MENTERI
5. Allah s.w.t. telah mentakdirkan dua tokoh belia menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia, seorang dari MAYC, iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang pernah menjadi Naib Presiden MAYC, dan seorang lagi lagi dari GPMS iaitu Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi. Hampir ada yang ketiga dari ABIM.
6. Saya perhatikan perbezaan yang ketara antara kedua orang tokoh ini. Tun Dr. Mahathir kekal dengan kawan-kawannya yang seangkatan dalam belia dan sedarjah dengannya di sekolah menengah dan di universiti. Beliau terus berkawan dengan Presiden MAYC ke 2 Allahyarham Tunku Abdullah, iaitu kawannya di waktu dalam MAYC, malahan yang memecat beliau dari MAYC pun beliau kekalkan sebagai kawan. Tun Dr. Mahathir juga rapat dengan kawan-kawan dalam SAHOCA dan setiap tahun ada pertemuan dengan doktor-doktor yang belajar dengannya di Universiti Malaya, Singapura. Malahan kawan-kawan lama Tun Dr. Mahathir lebih mempengaruhinya dari anggota keluarganya sendiri. Jika ada anggota keluarga yang mempengaruhi beliau itu adalah pengaruh kerana ilmu yang ada pada mereka dan jawatan yang mereka perolehi sendiri, seperti Tun Dr. Ismail Mohd Ali, Gabenor Bank Negara dan Gen (B) Hashim Mohd Ali yang naik dalam tentera atas kemampuannya sendiri.