Wednesday, August 30, 2017

SUKAN ASIA TENGGARA (SEA. GAMES) 2017

SUKAN

Saya bukan jagoh sukan kerana dari kecil urat-urat saluran darah saya terlalu sempit dan dengan adanya apa yang doktor katakan 'kinking', di salah satu urat di jantung saya maka, saya selalu mengah, keletihan dan tidak terdaya lama di gelanggang sukan apa pun.

Ini adalah satu kerugian besar bagi saya.

Tetapi, saya suka pasukan saya, baik pasukan sekolah, pasukan kementerian, pasukan negeri atau pasukan negara, bila bertanding, mendapat kemenangan. 

Karangan ini bukan mengenai SUKAN ASIA TENGGARA tetapi mengenai ingatan saya kepada kegiatan sukan yang saya telah terlibat.

HOKI
 
Saya pernah bermain hoki sekali saja dalam pasukan Rumah Ahmad di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Ingatan saya kepada kisah bermain hoki ialah apabila satu pukulan kayu hoki ke geting kaki saya yang sangat sakit rasanya.

SILAT JAWA
 
Walau bagaimana pun saya berminat dengan seni silat. Di musim cuti sekolah, waktu di MCKK saya sering ke Kampung Parit Baru, Hutang Melintang, menziarahi keluarga Pak Long Arshah Hj. Johari iaitu abang bapa tiri saya Ibrahim Haji Johari setelah Junid meninggal dunia di waktu saya berumur 12 tahun. Anak Pak Long Arshad bernama Yusof sering berpasangan silat dengan saya di bawah pimpinan seorang tokoh Silat Jawa yang handal di Telok Intan.


Walaupun ada do'a yang dibaca sebelum bersilat, tetapi dalam acara penamatan latihan silat saya telah diadukan dengan seorang China, yang juga menjadi murid guru silat yang sama, walaupun beliau bukan Islam. Sudah tentu dia tidak di ajar do'a yang dibaca oleh murid silat yang berugama Islam.

Inilah kali pertama saya melihat China yang handal bersilat.

SILAT SUNTING 12
 
Waktu saya mula latihan kerja, pada umur 20 tahun, untuk jadi pegawai di Chartered Bank, Seremban, saya dikenalkan oleh bapa angkat saya Haji Redza bin Haji Said, ahli parlimen kawasan Rembau/Tampin di waktu itu, kepada rakan sekeluarganya Dato' Raja Hanipah, seorang tokoh PAS di Negeri Sembilan. Dato' Raja walaupun berpangkat bapa bagi saya juga menuntut ilmu silat 'Sunting Dua Belas' pada guru silat dari Pak Ismail, seorang pegawai tentera British di Kem Rasah di waktu itu. Kebetulan Pak Ismail berasal dari Kampong Aceh Yan dan isteri beliau, yang juga jagoh bersilat, sering mengajar wanita dari keluarga di raja Johor waktu Pak Ismail bertugas di Johor Bharu.

BERSILAT DENGAN TOKOH PAS
 
Pertarungan terakhir saya diatur oleh Pak Ismail untuk saya bersilat dengan Dato' Raja Hanipah, walaupun beliau 20 tahun lebih tua dari saya. Oleh kerana saya memegang jawatan Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Seremban Bandar dan Dato' Raja Hanipah seorang ahli jawatankuasa pusat PAS, maka perlawanan saya dengan Dato' Raja di sambut oleh masyarakat Rasah sebagai pertarungan silat antara UMNO dan PAS.

PAS menang dalam pertarungan ini apabila tangan kiri saya tercabut dari ikatan sendinya. Itulah kali terakhir saya bersilat secara sukarela.

PERISTIWA BERGELUT DI KLIA
 
Walau bagaimana pun ada peristiwa berlaku di KLIA sekitar waktu saya menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
 
Ibu saudara saya Cut Ida atau Makcik Ida, isteri Teungku Mustapha Daoed Beureueh dari Medan, telah mengidap penyakit hati yang memerlukan pergantian ataupun 'transplant'. Oleh kerana hospitalnya di Singapura menangguhkan pembedahannya lebih sebulan lamanya maka, untuk menjimatkan belanja, beliau membuat keputusan untuk tinggal bersama kami di Kuala Lumpur.

Untuk menghalang dari kesakitan masa dalam penerbangan dari lapangan terbang di Singapura ke KLIA maka doktornya di Singapura telah memberi ubat pelali yang tahan selama 5 jam, iaitu satu jam perjalanan dari mula meninggalkan hospital ke lapangan terbang, satu jam menunggu di lapangan terbang, satu jam penerbangan dan dua jam waktu urusan keluar dari KLIA menuju ke Subang Jaya Medical Center.

Malangnya apabila sampai ke KLIA kami terpaksa tunggu di dalam kapalterbang sehingga lebih satu jam sebelum kereta surung datang untuk mengambil ibu saudara saya. Apabila saya tanya kepada penolak  kereta roda, 'Kenapa lambat sangat?' dia menjawab, 'Itu urusan saya dan bukan kerja awak.' Mendengar nada suara yang tidak sopan itu saya terus menunggu sementera anak muda itu, sambil bergurau dengan kawan-kawannya yang lain, dengan sinis selemba dan perlahan-lahan mendorong kerusi roda ke arah Mak Cik Ida. Bila saya lihat gerak gerinya terlalu perlahan secara bersengaja saya sentuh bahu beliau dari belakang, buat kali kedua, dan dia terus melenting dan menghayun tangan ke arah muka saya sehingga saya sekaligus menarik tangannya dan menghimbau beliau kebelakang.

Tiba-tiba saya terasa ada se orang lain yang sedang menarik kaki saya dari belakang. Saya terus menyepak ke belakang sehingga yang manarik kaki saya itu terpelanting jauh. Lepas itu seorang lain telah menolak kerusi roda yang Makcik Ida sudah duduk di dalamnya.

MAKCIK IDA MENINGGAL DUNIA

Kerana terlalu lama di KLIA dan perjalanan ke Subang Jaya Medical Center Makcik Ida, yang menangis kesakitan sepanjang perjalanan, terlalu terlalu lambat sampai di hospital sehingga doktor mengisytiharkan hatinya sudak begitu rusak dan tidak mungkin di bedah ganti lagi.

Beberapa hari kemudian Makcik Ida, di dalam kesakitan telah dibawa balik ke Medan di mana beliau pada keesokan harinya meninggal dunia.

KAMI TIDAK LAPOR PERISTIWA KEPADA POLIS

Isteri saya mencadangkan supaya saya lapor kepada pihak MAS mengenai peristiwa di KLIA ini. Kami kemudiannya sepakat untuk tidak melapor kerana bimbang kedua petugas yang tidak sopan itu akan hilang pekerjaan dan keadaan hidup tanggungan mereka, yang tidak bersalah, akan terjejas.

Tiba-tiba saya menerima surat saman yang menuduh saya mencederakan dua pekerja lapangan terbang yang menyusahkan Makcik Ida sehingga meninggal dunia bersebabkan dari kelambatan menerima rawatan beliau menemui ajalnya.

PENASIHAT PERSATUAN SILAT GAYUNG MALAYSIA

Bila polis dating ke rumah saya untuk mendengar dari pihak saya mengenai kesan 'memukul di lapangan terbang KLIA' saya telah mengajak pihak polis untuk beristirihat di dalam perpustakaan TOETI JUAIRIAH di Lorong Batai Dalam, Damansara Heights.

Waktu sampai di tingkat bawah perpustakaan saya terdengar seorang pegawai penyiasat polis berkata pada kawannya, 'Patutlah depa kena teruk macam tu, tengok apa ini..' Saya pun sampai ke tingkat bawah perpustakaan di waktu itu dan ternampak sijil perlantikan saya sebagai penasihat PERTUBUHAN SILAT GAYUNG MALAYSIA yang ditanda-tangani oleh Mahaguru Dato' Hj. Meor Osman.

Saya memberitahu kepada polis bahawa saya tidak pernah belajar silat gayung dari Mahaguru Meor Osman, tetapi saya tidak beritahu tentang silat Jawa yang saya pernah belajar di waktu kecil di Parit Baru, Hutan Melintang dan juga silat Sunting 12 yang diajar oleh oleh Pak Ismail di Rasah, Seremban. Saya pun bertanya apa maksud 'depa kena teruk'. Pihak polis menjawab, 'Yang kecil dari dua orang yang saya pukul tercabut tangan dari sendi bahu dan yang lebih tua telah patah tulang rusok.'

Oleh kerana 'depa kena teruk' saya mengambil keputusan untuk mengaku salah di dalam mahkamah majistret.

Bila sampai hari perbicaraan saya telah mengaku bersalah tetapi saya minta izin majistret untuk merayu supaya hukumannya dikurangkan. Dalam ucapan saya telah huraikan kisah kematian Makcik Ida akibat dari kelambatan layanan di lapangan terbang dan sikap penolak kerusi yang kurang sopan dan lembab dalam menjalankan tugas. Majistret telah menangguhkan perbicaraan untuk seketika. Dalam pertemuan sebentar dengan majistret beliau mencadang saya minta supaya diadili dan menarik balik pengakuan salah setelah beliau mendengan kes saya. Saya lihat kemerahan mata beair puan majistret yang mengadili saya.

MENANG DALAM MAHKAMAH KALAH DALAM MEDIA

Saya memberitahu bahawa saya mungkin menang dalam mahkamah tetapi proses pengadilan akan makan masa begitu lama dan, sebagai seorang ahli politik pencen, saya akan di serang oleh media dan akan kalah di mata masyarakat yang ingin melihat dan mendengar keburukan ahli politik.

Perbicaraan di teruskan dan saya dihukum denda RM1,000.00 bagi seorang yang saya pukul dan jumlah bayaran ialah RM2,000.00.

Inilah kisah saya di dunia bersilat tanpa melayakkan saya ke Sukan Asia Tenggara atau S. E. A. Games.

BOLA SEPAK

Dalam bidang bola sepak pula saya hanya main sekali sahaja dalam pasukan Kementerian Pertanian Malaysia dalam perlawanan dengan Kementerian Pertanian Sarawak. Saya captain pasukan Kementerian Pertanian Malaysia dan Dato' Alfred Jabu menjadi kapten pasukan Kementerian Pertanian Sarawak. Saya diletak sebagai centre-forward.

Dalam pertandingan di Kuching saya telah berdiri di depan gol lawan apabila bola telah ditendang dan terus mendarat di kaki saya. Tanpa saya buat apa-apa bola itu melenting ke dalam gol lawan dan pasukan Kementerian Pertanian Malaysia telah menang 1-0 dalam pertandingan dengan Kementerian Pertanian Sarawak.

GOLF

Isteri saya juga tidak giat dalam sokan atau olah raga kecuali main bola keranjang waktu beliau belajar di Jakarta.

Oleh kerana saya pernah jadi kedi di waktu muda saya mengambil kesempatan dari keahlian dalam kelab golf tempatan untuk mengajak isteri saya sekali sekala berjalan dalam padang golf, khususnya di Subang Golf Club.

Di waktu mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian ASEAN diadakan di Bandung, selain dari acara sampingan pertandingan golf antara Menteri-Menteri Pertanian ASEAN ada juga pertandingan antara isteri-isteri Menteri Pertanian ASEAN. Saya telah mendaftar nama isteri saya sebagai peserta tanpa izin beliau.

Pada majlis penyampaian hadiah pemenang acara golf pada esok harinya saya, yang telah kalah teruk, lambat hadir. Di waktu saya dan isteri sampai ke majlis penyampaian hadiah saya terdengar isteri saya menjadi juara golf kerana menang dalam acara pertandingan golf antara isteri-isteri Menteri.  Saya agak tercengang kerana isteri saya, walaupun telah saya daftarkan tetapi tidak pernah bermain dalam pertandingan di Bandung. Rupa-rupanya isteri saya menang kerana tiada seorang pun dari isteri Menteri yang lain yang telah mendaftar untuk bertanding.

MENYOKONG PASUKAN UNTUK MENANG

Dari kisah-kisah di atas jelaslah saya tidak aktif dalam sukan dan olahraga. Tetapi saya gigih melihat bila pasukan negara saya bertanding dengan pasukan-pasukan negara lain, sebagaimana juga saya menyokong kuat pertandingan antara pasukan hoki Sekolah Ibrahim Sungai Petani waktu saya belajar di sana, dan pasukan ragbi MCKK apabila melawan dengan Vijaravudh College, Bangkok, Anderson School di Ipoh, Victoria Insitution di Kuala Lumpur, apatahlagi jika berlawan dengan Clifford School Kuala Kangsar.

Walau bagaimana pun saya tidak berminat jika pasukan satu-satu negeri itu kuat kerana pemain dari luar negara dilibatkan.

KERAJAAN MENANG RAKYAT KALAH

Waktu saya menjadi Presiden Universiti Islam Antarabangsa Ketua Perlembagaan Universiti ialah DYMM Sultan Pahang. Beliau juga adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Asia.

Pada satu hari saya terserempak bertemu dengan Menteri Sukan dan Olahraga Qatar di bilik menunggu lapangn terbang Dubai. Dalam perbicaraan singkat dengannya dia menyebut bahawa beliau mengenai boss saya DYMM Sultan Ahmad Shah kerana jawatannya sebagai Pengerusi Persatuan Bola Sepak Asia.

Saya telah bertanya mengenai prestasi DYMM Sultan Ahmad Shah. Jawab Menteri Sukan dan Olahraga Qatar semua pihak suka apabila Malaysia menjadi ketua persatuan kerana Malaysia terkenal dengan kecekapannya menguruskan pertandingan apatahlagi kerana Malaysia juga tidak begitu pandai untuk menang dalam pertandingan.

Saya terus menjadi, kecekapan membuat persiapan itu disebabkan pihak kerajaan Malaysia sungguh teliti untuk memuaskan hati setiap negeri yang terlibat dalam pertandingan dan juga kabajikan dan kemudahan untuk pemain-pemain. Soal kemenangan, saya katakana, ianya lebih bergantung kepada kemampuan pemain dan jurulatih dan bukan peranan mekanisma kerajaan.

Menteri Qatar menyanjung semangat kesukanan Malaysia yang sanggup menerima kekalahan tetapi tetap bersemangat melayu hati rombongan dari negara-negara peserta.

RAKYAT MENANG KERAJAAN KALAH

Oleh itu, dalam pertandingan sukan SEA 2017 ini adalah jelas kemampuan peserta dan jurulatih patut mendapat kepujian.

Tetapi, peranan penganjur agak memalukan. Kita di marahi oleh Indonesia kerana perkara mudah, yang penting, seperti letaknya warna bendera merah putih Indonesia juga mengelirukan. Kita tidak dapat menyalahkan mesin cetak semata-mata. Negara-negara lain juga turut tersinggung apabila di papan iklan bendera-bendera untuk negera juga telah bertukar antara negara-negara yang terlibat.

Sama-samalah kita berdo'a semoga penganjur untuk sukan SEA dan lain-lain acara yang melibatkan negera-negara lain diuruskan oleh pihak lain di masa-mana akan datang..

SAYA MENDAPAT TAHU ADA PEMIMPIN NEGARA YANG MENINGGALKAN STADIUM SHAH ALAM SETELAH PASUKAN BOLA SEPAK MALAYSIA DIKETAHUI KALAH DALAM PERTANDING MALAM TADI.

SEPATUTNYA KITA PISAHKAN SUKAN DARI POLITIK.
.

  

No comments: