Wednesday, September 13, 2017

AMALAH JARIAH TUANKU SULTAN ABDUL HALIM

Qoluinnalillahi Wainna Ilaihi Roji'un.

Walaupun sudah lama saya tidak menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan, kerana kesihatan tidak mengizinkan, tetapi saya terus membuat keputusan untuk menziarahi Almarhum KDYMM Tuanku Sultan Abdul Halim sebaik saja saya menerima berita mengenai kemangkatan baginda melalui media social.
 
Saya bernasib baik kerana masih ada pasangan baju Melayu berwarna hitam dan samping khusus yang digunakan untuk majlis pergabungan yang saya pakai di waktu menjadi Menteri Besar Kedah Darulaman.

Selepas saya menziarahi jenazah Almarhum KDYMM Tuanku Sultan saya telah bertemu dengan Tuanku Sultanah dan kaum kerabat baginda.

Waktu keluar dari dewan saya telah ditemuramah oleh sebuah agensi media yang telah bertanya mengenai pengalaman saya waktu berinteraksi dengan Tuanku Sultan di waktu saya menjadi Menteri Besar Kedah. Oleh kerana pihak media kerajaan tidak mungkin menyiar apa yang saya katakana maka saya turunkan di sini jawapan yang telah saya beri.

Dua pengalaman penting berkaitan dua keputusan yang telah saya buat dan laksanakan setelah KDYMM Tuanku merestuinya ialah seperti berikut.


CAWANGAN MAKTAB MAHMUD

Selaras dengan peranan Baginda Tuanku sebagai ketua ugama dan adat istiadat Melayu saya telah cadangankan supaya Maktab Mahmud membuat perancangan untuk mewujudkan cawangannya di setiap daerah di Kedah.

Pada mulanya Baginda Tuanku tidak begitu yakin atas kemungkinan rancangan ini dapat dilaksanakan dengan batasan wang yang ada pada waktu itu pada kerajaan negeri. Tetapi, setelah saya berjaya mendapatkan persetujuan Jawatankuasa Koperasi Sabena Berhad, yang bertanggungjawab atas semua harta waqaf peninggalan masyarakat Aceh di Malaysia, untuk diserahkan bangunan Sekolah Ugama Kampung Aceh untuk dijadikan cawangan pertama bagi Maktab Mahmud, baginda Tuanku Sultan telah menggalakkan saya untuk meneruskan usaha yang murni ini.

Cawangan Maktab Mahmud kedua telah didirikan di Padang Matsirat, Langkawi, iaitu di dalam kawasan pilihanraya saya sendiri.

Saya tidak sempat mendirikan cawangan Maktab Maahmud di daerah-daerah lain dan mengharapkan pimpinan kerajaan selepas saya akan meneruskan usaha yang murni ini. Kini sudah ada cawangan tambahan di daerah-daerah lain.
 
RUMAH-RUMAH ANAK YATIM DAERAH

Cadangan kedua yang saya persembahkan kepada Baginda Tuanku Sultan ialah untuk mendirikan rumah anak yatim di tiap-tiap daerah di Kedah.

Cadangan ini saya ketengahkan berasaskan pengalaman saya yang tinggal beberapa minggu di Rumah Anak Yatim Air Itam, Penang, di mana saya telah singgah setelah ayah saya meninggal dunia di waktu saya berumur 12+ tahun. Saya singgah di Rumah Anak Yatim Air Itam kerana saya lihat nama itu di atas papan tanda di waktu saya berjalan kaki menuju ke rumah bapak saudara saya di Kampung Melayu Air Itam yang tidak jauh dari rumah anak yatim.

Baginda Tuanku menerima baik cadangan ini dan baginda kelihatan ceria dengan ide ini walaupun, sekali lagi baginda meragukan sumber kewangan untuknya.

Setelah siap rumah anak yatin di hampir di semua daerah saya telah diberi anggaran belanjawawan yang diperlukan sekitar RM90,000.00 untuk setiap bulan di peringkat permulaan.

Oleh kerana hasil negeri Kedah begitu kecil dan terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat untuk belanja pembangunan maka saya telah mempersembahkan kepada ke bawah duli baginda Tuanku masalah yang saya hadapi. Baginda dapat memahaminya dan turut mendo'akan semoga saya dapat mengusahakan untuk mendapat peruntukan perbelanjaan.
 
KEDAH JAGOH BOLA SEPAK NEGARA

Pada waktu saya mula memegang jawatan Menteri Besar Kedah pasukan bola sepak Kedah telah berada dipuncak kegemilangan dengan menjadi johan dalam pertantingan sukan di peringkat kebangsaan.

Pada hari Isnin sebelum mesyuarat Exco pada hari Rabu diadakan saya telah menerima satu kertas cadangan memperuntukkan bajet untuk pemain bolasepak impot yang terdiri dari seorang pemain dari Nigeria dan dua orang pemain dari Brazil. Saya lihat gaji mereka berjumlah RM100,000.00 sebulan.
 
TIADA PERUNTUKAN UNTUK RUMAH ANAK YATIM

Sebelum mesyuarat Exco pada hari Rabu berikutnya saya telah mengadap Tuanku Sultan. Tuanku bertanya samaada saya berjaya mendapat peruntukan untuk pengurusan rumah anak yatim. Baginda kelihatan sedih bila saya saya memberi jawapan yang negative.

Untuk tidak terus bersedih kami berbincang panjang mengenai kecemerlangan pasukan Kedah yang menjadi johan negara.

Saya terus menyebut alangkah baiknya jika kita menang dengan kudrat dan kebolehan pemain dari Kedah sendiri tanpa bergntung kepada pemain impot. Baginda tersenyum tetapi, titah baginda, 'Di England pun depa banyak pemain impot.'

Memang benar hamper semua pasukan di Eropah ada pemain impot dalam pasukan mereka.

TANGGA KENARI SERIBU TAHUN


Dalam pertemuan pada minggu berikutnya saya telah mencadangkan kerajaaan mendirikan pusat latihan untuk pasukan bola sepak Kedah di satu tempat peranginan yang unik di negara Malaysia, iaitu di kaki Gunung Jerai, di Titi Hayun berjiran dengan Kampung Aceh, Yan. Di situ, saya persembahkan, kerajaan boleh bina TANGGA KENARI sempena nama pasukan bolasepak Kedah sebagai KENARI.

Bila tangga simen kita bina dari kaki gunung sehingga ke kemuncak gunung kita bukan sahaja berjaya membina sebuah tangga simen buatan manusia yang tertinggi didunia, tetapi kita juga boleh jadikan Gunung Jerai sebagai pusat pelancungan yang luar biasa di dunia dengan kemudahan tangga yang boleh didaki sementara menikmati flora dan fauna yang kita tanam sepanjang jalan naik ke puncak gunung.

Tuanku kelihatan terpegun sambil tersenyum mendengar ide ini. Baginda bersetuju dan mengangguk kepala bila saya katakan, 'Jika pasukan bola sepak Kedah menggunakan TANGGA KENARI untuk naik kepuncak gunung pada setiap hari mereka pasti akan menjadi johan atas kudrat sendiri kerana staminanya sangat tinggi.'

Pada minggu berikutnya kertas cadangn untuk membuat TANGGA KENARI SERIBU TAHUN telah dibentang dalam mesyuarat Exco.

Sebelum mesyuarat mesyuarat Exco Baginda Tuanku telah bertanya mengenai peruntukan untuk rumah anak yatim. Saya katakan bahawa jumlah belanja untuk mengendali rumah anak yatim ialah RM90,000.00 sebulan, iaitu sama banyak dengan peruntukan bajet yang diminta oleh Persatuan Bola Sepak Kedah untuk pemain impot sejumlah RM100,000.00 setiap bulan.

Maklumat ini membuat baginda termenung lama dan saya lihat genangan air mata di wajah baginda Tuanku. Baginda bertanya, 'Awat Dato' fikir lebih baik kita batalkan pemain impot dan ubah belanja ke rumah anak yatim?' Saya menjawab, 'Itu yang sebaiknya.'

Baginda bertitah, 'Rakyat Kedah akan kecewa dan marah, sanggupkan Dato' jika rakyat marah Dato'. Saya tak sampai hati.'

Saya menjawab, 'Biar rakyat marah patek.'

Tuanku tersenyum dan baginda titah bertanya, 'Bila tangga KENARI nak siap?' 'Insya Allah tak lama lagi... lepas itu kita jadi juara balik.'

Tuanku genggam tangan saya paling erat pada hari itu dan saya pun menerima kutukan dari peminat bola sepak Kedah kerana menamatkan kontrak pemain impot termasuk Adigun sebagai seorang pemain pujaan.

MOHON PERSEFAHAMAN SEMUA PIHAK


Inilah kali pertama saya sebutkan perkara ini untuk pengetahuan umum. Sekaligus saya berharap buruk sangka akan terhapus dari kalangan mereka yang menyangka saya telah menyakitkan hati baginda Tuanku Sultan, dengan pemecatan pemain impot, sehingga Kedah kalah dalam pertandingan bolasepak, walaupun menjadi juara sebelum saya menjadi Menteri Besar. Saya tidak mungkin bertindak demikian tanpa persetujuan Baginda Tuanku.

Dari kisah ini jelaslah bahawa Baginda Tuanku Sultan sanggup mengorbankan kegemarannya demi ugama Islam yang maha suci.

MENDIRIKAN CAWANGAN MAKTAB MAHMUD DAN RUMAH ANAK YATIM DI SETIAP DAERAH ADALAH DUA KEPUTUSAN AMALAN JARIAH YANG FAEDAHNYA AKAN BERTERUSAN UNTUK SELAMA-LAMANYA.

SEPANJANG PEMERINTAHAN BAGINDA TUANKU SULTAN ABDUL HALIM AMALAN JARIAH BAGINDA BEGITU BANYAK DAN DI LUAR KEMAMPUAN UNTUK KITA MENGHITUNGNYA.

ALLAH SAHA YANG MAHA MENGETAHUI.

SAMA-SAMA KITA DO'AKAN SEMOGA ALLAH MENGAMPUN SEGALA DOSA TUANKU, MENERIMA SEMUA IBADATNYA DAN MENEMPATKAN BAGINDA DI KALANGAN UMAT YANG DIKASEHINYA. AMIN YA RABBAL 'ALAMIN.


Nota: Kisah selanjutnya akan saya sambung dalam satu masukan blog akan datang.