Saturday, October 21, 2017

OTOBIOGRAFI SANUSI - 6. PERSIAPAN KE MCKK

MELAWAT YAHWA NYAK HUSEIN DI JUNJUNG, KEDAH

Ayahanda Junid tidak sempat mengetahui bahawa saya berjaya mendapat tempat di Kolej Melayu Kuala Kangsar untuk meneruskan pelajaran menengah di Tingkatan Satu pada awal tahun 1957 sekitar umur 13+ tahun
Sebaik sahaja saya mendapat surat jemputan ke Kolej Melayu Kuala Kangsar atau MCKK saya telah terburu-buru ke rumah ayah angkat saya Nyak Husein bin Cut Li di Junjung, Kulim Kedah.

Nyak Husin ialah anak sulong Cut Li. Isterinya ialah Nyak Asiah binti Teungku Hamzah iaitu adek kepada isteri pertama Nyak Gam yang bernama Nyak Fatimah binti Teungku Hamzah.
Kebetulan waktu itu di bulan puasa. Selepas makan sahur saya terus ke tempat tidur tetapi tidak dapat memejam mata memikirkan saya masih belum mempunyai dana untuk ke MCKK.
Saya terdengar perbicaraan dalam nada bisikan antara bapak saudara saya dan isterinya mengenai saya, dan dari perbicaraan itu jelas sekali kepada saya bahawa mereka juga tidak berkemampuan untuk menanggung perbelanjaan saya untuk ke MCKK.
Oleh kerana saya tidak berhasrat menyusahkan bapa saudara yang sememangnya bukan dari kalangan orang yang senang berada hidupnya, maka setelah solat subuh, tanpa diketahui oleh sesiapa, saya terus bawa beg berisi pakaian dan berjalan kaki dari Junjung ke Butterworth yang agak jauh juga. Saya tidak sedar berapa jauh perjalanannya tetapi akhirnya sampai juga ke Butterworth setelah berhenti di bawah pokok rindang yang ada sepanjang jalan. Saya tetap berpuasa walaupun dalam keletihan.

Thursday, October 19, 2017

OTOBIOGRAFI SANUSI - 5. SEKOLAH IBRAHIM SUNGAI PETANI

MENJADI PELAJAR
DI SEKOLAH IBRAHIM SUNGAI PETANI.

Berkat bimbingan dan petunjuk oleh Cikgu Md Zain keempat orang kami, Azizan, Ghazali, Hasbi dan saya berjaya ke sekolah rendah aliran bahasa Inggeris di Sekolah Ibrahim Sungai Petani.
Saya di Ibrahim school menduduki kelas Special Malay 1, Special Malay 2 dan Standard Six.

RUMAH MAK TEH DI SUNGAI LAYAR

Oleh kerana tiada tempat di asrama Sekolah Ibrahim maka ayah saya telah memilih rumah Mak Teh di Sungai Layar untuk tempat saya tumpang tinggal. Mak Teh telah mengenakan bayaran RM30.00 bagi setiap bulan. Mak Teh adalah seorang janda yang suaminya telah meninggal dunia dan beliau mempunyai dua orang anak lelaki yang bekerja di tempat lain. Untuk menggunakan masa terluangnya maka Mak Teh telah menjadikan rumahnya sebagai rumah tumpangan untuk disewakan kepada pelajar-pelajar.

Selain saya, ada dua orang lagi yang menumpang di rumah Mak Teh, iaitu Aziz dan Rahman. Aziz sederjah dengan saya sedangkan Bang Rahman sudah di Tingkatan Lima.

Oleh kerana tidak cukup duit maka saya berjalan kaki ke Sekolah Ibrahim sementara Aziz menunggang basikal Releigh dan Bang Rahman memiliki motosikal Honda.

Oleh kerana saya berjalan kaki sejarak lebih satu batu ke sekolah maka saya terpaksa berangkat lebih awal; Aziz mengekori saya dengan basikal atau gereknya dan Bang Rahman, dengan Hondanya berangkat paling lewat kerana beliau perlukan hanya 10 minit saja untuk sampai ke sekolah.

Saya tidak terfikir untuk meminta dari Aziz bagi saya menumpang di belakang basikalnya atau meminta dari Bang Rahman untuk saya menumpang di belakang motosikalnya. Saya merasa bangga kerana bertenaga untuk berjalan kaki kesekolah.

Pada pagi Isnin pertama saya bangun dari tidur, mandi dan terus memakai pakaian untuk kesekolah Mak Teh telah menunjuk kepada saya tiga tudung saji di atas lantai tempat sarapan pagi dihidangkan. Saya dijelaskan bahawa makanan untuk saya di bawah tudung saji yang tidak berplastik, untuk Aziz pula tudung sajinya berplastik tetapi tidak berbunga, seterusnya tudung saji yang berplastik dan berbunga adalah hidangan untuk Bang Rahman.

Bila saya tanya alasan bagi perbezaannya Mak Teh menjelaskan bahawa ianya berbeza kerana bayarannya berbeza. Aziz bayar RM40.00 sebulan dan Bang Rahman bayar lebih lagi.

Setiap pagi sayalah yang pertama bersila untuk sarapan pagi kerana saya terpaksa berjalan kaki ke sekolah. Oleh kerana Mak Teh sibuk di dapur saya telah beberapa kali mengintip untuk mengetahui apa yang ada di bawah tudung saji yang berplastik dan berbunga.

Walaupun saya dapat hanya secawan kopi dan sebutir kueh, sedangkan Aziz dapat kopi dan dua jenis kueh, Bang Rahman dapat lebih lagi saya tidak merasa apa-apa kerana saya tahu mereka membayar lebih banyak dari saya. Mak Teh juga berjanji pada saya bahawa makanan saya akan bertambah jika saya menambah bayarannya.

Lepas makan saya terus berjalan ke sekolah dan bila saya hampir sampai saya dapati Aziz dan Bang Rahman juga sama waktu sampainya dengan saya.

Begitulah pengalaman saya pada setiap hari.
NASIHAT AYAH

OTOBIOGRAFI SANUSI - 4. SEKOLAH MELAYU YAN

PERPINDAHAN DARI KAMPUNG ACEH KE KAMPUNG TELUK MAT ACEH DI PEKAN YAN BESAR.

Saya tinggal di Kampung Aceh hanya beberapa bulan sahaja sebelum berpindah ke Kampung Teluk Mat Aceh di Pekan Yan Besar kerana mudah untuk ke Sekolah Melayu Yan kira-kira 300 meter sahaja jauhnya dari rumah saya. Saya dimasukkan ke darjah satu Sekolah Melayu Yan pada umur 7 tahun di tahun 1950.

Dengan berpindahnya keluarga saya ke Kampung Teluk Mat Aceh maka berakhirlah kehadiran saya di kelas-kelas ugama untuk kanak-kanak di Sekolah Ugama Kampung Aceh.
Rumah saya di Kampung Telok Mat Aceh hanya mempunyai bahagian dapur, bilik tidur untuk ibu dan ayah saya dan ruang serambi di mana saya dan adik saya Abdullah Maamuoum dan adiknya Shamsiah bermain di waktu siang hari dan menjadi tempat tidur di waktu malam. Rumah kami, yang dibuat daripada kayu, adalah rumah yang paling kecil di Kampung Teluk Mat Aceh dan hanya mempunyai 10 tiang dan satu tangga untuk mendakinya.
 
MURID IBU SAYA
Oleh kerana ibu saya pandai memasak dan menjahit maka saya teringat tiga orang kakak yang selalu datang ke rumah untuk belajar memasak dan menjahit dari ibu saya. Dua darinya anak Mek Nab yang nama mereka saya tidak ingat lagi. Seorang lagi bernama Aisyah tetapi saya panggil kakak Cah Tet. Cah untuk Aisyah dan 'Tet' kerana beliau suka bercakap atau berleter dalam segala perkara dengan tidak berhenti-henti.
Untuk ke sekolah saya perlu berjalan kaki dan meniti atas sebatang pokok pinang sebagai jembatan yang menyeberangi sungai kecil atau parit yang besar yang memisahkan rumah saya dengan jalanraya.

OTOBIOGRAFI SANUSI - 3. KAMPUNG ACEH

TEMPAT KELAHIRAN DI KAMPUNG ACEH

Kampung Aceh, Yan Kedah ialah tempat saya dilahirkan. Di zaman penjajahan Inggeris mereka menyebut nama Pekan Yan sebagai 'Yen' iaitu nama yang bunyinya sama dengan mata wang yang digunakan di Jepun. Oleh kerana ada sebuah lagi pekan berdekatan dengan Pekan Yan maka Pekan Yan dinamakan Pekan Yan Besar dan pekan yang sebuah lagi dinamakan Pekan Yan Kecil atau lebih popular sebagai Sungai Yan, sekitar 2.5 batu  jauhnya arah ke pedalaman dari laut menuju ke Guar Chempedak yang jauhnya 7 batu dari Pekan Yan Besar.

Kampung Aceh terletak di kaki Gunung Jerai, sebuah gunung yang melonjak tinggi ditengah-tengah kawasan sawah padi dan tidak jauh dari pantai Selat Melaka. Di kaki Gunung Jerai, arah ke laut, terdapat Tanjung Jaga sebagai sebuah tempat berkelah yang paling popular di masa lampau. Tidak jauh dari pantai Tanjung Jaga terdapat sebuah sanatorium yang dibina oleh penjajah British dan lengkap dengan kolam mandi untuk pembesar-pembesar Inggeris, anggota kerabat di raja Kedah dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri Kedah di waktu itu. Di situlah kanak-kanak seperti saya mula ternampak perempuan-perempuan 'orang putih' bermandi 'bogel' walau pun sebenarnya mereka berpakaian 'bikini' yang kami tidak tahu namanya di waktu itu.

OTOBIOGRAFI SANUSI - 2. LATAR BELAKANG KELUARGA

PERKAHWINAN IBU DAN AYAH

Hasil perkahwinan Junid bin Cut Ali dengan Juairiah binti Nyak Osman saya telah dilahirkan di Kampung Aceh, Yan, Kedah pada hari Rabu 10hb Julai, 1943. Nyak Osman adalah pengurus perniagaan Cut Ali.

Bonda Juairiah mempunyai tujuh orang adik iaitu Abasiah, Azizah, Sayuti @ Daud, Latifah, Omariah, Pak Chik dan Aniyah. Mereka lapan beradik kesemuanya dua darinya lelaki, iaitu Yah Cut Sayuti dan Pak Chik yang nama sebenarnya saya tidak tahu. Pak Chik sama tua dengan saya sementara Aniyah lebih muda dari kami. Kedua mereka telah meninggal dunia sebelum saya masuk ke Sekolah Melayu Yan, Kedah pada tahun 1950.

TEH ABASIAH NYAK OSMAN
 
Emak saudara yang saya panggil Teh Abasiah adalah seorang yang kekal dalam kenangan manis saya kerana beliaulah tempat saya menangis apabila dimarahi oleh bonda Juairiah. Teh Abasiah telah mendirikan rumahtangga dengan Nyak Ghani bin Nyak Amin yang telah menjadi antara kumpulan peneroka pertama yang turut memugar hutan belantara dan menanam pokok getah di rancangan tanah FELDA Lembah Bilut, Bentong Pahang.

KEWAJIBAN MEMBAWA SENJATA
PESANAN
SULTAN ALAIDIN RIAYAT SYAH PADA TAHUN 1507

Adalah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat Aceh untuk membekalkan anaknya dengan sebilah pisau di waktu berumur sekitar 5 tahun. Dengan pisau inilah kami telah berjalan ke sana sini dalam kampong untuk menetak pokok-pokok yang rendah yang dapat kami capai dahannya.

OTOBIOGRAFI SANUSI - 1. PENGENALAN

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Masukan blog kali ini berbeza sedikit kerana, sebagaimana tajuknya, ianya bertujuan memenuhi permintaan ramai sahabat yang meminta saya mengarang buku mengenai sejarah hidup saya dan juga seterusnya mengarang sebuah memoir mengenai penglibatan saya dalam masyarakat dan politik. Saya jawab 'Insya Allah.'

Buat permulaan saya tulis dulu INTRO BIOGRAFI SANUSI JUNID. Lepas ini saya akan terus memasukkan cebisan cerita tambahan secara beransuran, bila ada 'mood'.

Adalah menjadi harapan saya semoga generasi muda yang membacanya akan menyedari betapa sulitnya bagi seorang anak yatim yang bapanya, sebagai imigran, pemandu teksi dan lori, meninggal dunia waktu umur saya sekitar 12 tahun, untuk menjalani hidup yang penuh dengan cabaran, menuntut ilmu dan mencari pengalaman, tanpa dukungan keluarga yang ternama, berharta, berpengaruh dan berkedudukan.

Untuk tidak melambatkan penulisan saya tinggalkan dulu apa-apa fakta, yang tidak jelas, yang akan saya isi apabila sudah mendapat pengesahan mengenainya.

Saya mengalu-alukan sebarang cadangan, tambahan, teguran dan pembetulan dalam proses saya menulis biografi ini sebelum ianya dibukukan.

DARI ACEH KE KEDAH