Tuesday, December 26, 2017

ACEH, BANJAR, BETAWI, BOYAN, BUGIS, JAWA, LOMBOK, MADURA, MANDAILING, MINANG, PALEMBANG, RANAU, RAWA, RIAU, SIAK, SUNDA DAN LAIN-LAIN

SEMUANYA MELAYU BELAKA

Jika anda pernah terbaca karangan saya dalam blog ini bertajuk TERIMA KASIH TUN GHAZALI SHAFIE pasti anda akan menemui satu soalan yang pernah saya tanya padanya, sebagai Menteri saya di Kementerian Dalam Negeri atas sebabnya bila beliau bertemu dengan orang Aceh, seperti Teungku Hasan Muhamad Di Tiro, Wali Gerakan Aceh Merdeka, Tun Ghazali Shafie menyatakan neneknya orang Aceh; bila beliau bertemu dengan orang Jawa, seperti Kepala BAKIN Ali Martopo, Tun Ghazali Shafie menyatakan neneknya berasal dari Jawa; bila beliau bertemu dengan tokoh Thailand, seperti General Sayud, beliau menyatakan neneknya berasal dari Pattani, dan bila beliau bertemu dengan orang Minangkabau beliau menyatakan neneknya berasal dari Minangkabau. Saya menyaksi sendiri kejadian ini. Jawabnya ringkas, ' Kerana mereka semuanya Melayu belaka.'

KENAPA SEMUANYA DIPANGGIL MELAYU
 
Apa yang saya tidak tulis dalam blog di atas ialah penjelesan Tun Ghazali Shafie, yang juga disahkan oleh seorang lagi yang pernah menjadi Menteri saya iaitu Tan Sri Abdul Kadir Yusof di waktu saya menjadi Timbalannya di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, selepas Pilihanraya Umum tahun 1978. Mereka berdua, seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang terkenal kebijaksanaannya dan seorang lagi peguam yang handal yang pernah menjadi Peguam Negara yang integritinya tidak pernah dipersoalkan, menyatakan bahawa dalam kad pengenalan rakyat Malaya, berbeza dengan kad pengenalan rakyat Singapura tidak di sebut dari keturunan apa seseorang itu dilahirkan melainkan semuanya ditulis Melayu belaka.

Wednesday, December 13, 2017

OTOBIOGRAFI SANUSI - 8. PENGAKAP - BERSILAT - TAMIL- JERMAN

BERTEMU DENGAN MATRON KALI PERTAMA

Setelah dirotan Mr. Ryan telah menasihati saya untuk bertemu dengan Matron Ce' Embun di klinik yang terletak di hostel bangunan asrama Bangunan Utama di MCKK. Ce' Embun ialah isteri Cikgu Arrifin.
 
Saya agak malu bila berjumpa Matron kerana saya diminta membuka seluar untuk beliau melihat punggung saya yang sudah merah lebam kerana dirotan. Bila Matron melihat saya tersipu-sipu dia berkata, 'Anggap saya seperti ibu sendiri .. jangan malu-malu.' Setelah selesai disapunya minyak di punggung saya Matron pun berkata, 'Sanusi bernasib baik kerana Mr. Ryan pakai rotan yang tebal..... kalau rotan nipis lagi sakit rasanya... kenapa Sanusi dirotan?' Saya jelaskan apa yang berlaku dan saya gembira bila Matron berkata, 'You have done a good job.' Rupa-rupanya dia sudah tahu mengenai kempen mengekalkan Guru Besar dan tidak mahu Guru Besar dari kalangan rakyat Malaysia.

Selesai bertemu dengan Matron Ce' Embun di bangunan besar asrama utama MCKK saya berjalan balik melalui jalan berbumbung sehingga ke pintu pagar sebelum melintasi jalan ke bilik darjah di seberang jalan.

KEDAI DOBI AH CHENG

Kira-kira 10 ela dari pintu pagar saya berhenti di sebuah kedai kecil yang di dalamnya ada dua orang berbangsa China, satu darinya bernama Ah Cheng tukang dobi. Barulah saya teringat bahawa saya dikehendaki menghantar pakaian saya kepada dobi dan untuk itu saya perlukan wang untuk membayar upah kepada tukang dobi.

Ah Cheng seorang yang peramah orangnya. Melihat watak dan air muka Ah Cheng saya teringat kepada Ah Tat penjaga kantin di Sekolah Ibrahim Sungai Petani dulu. Saya juga teringat bagaimana Ah Tat telah mengajar beberapa perkataan bahasa Hokkien untuk membolehkan saya meminta nasi berkuah sayur tanpa difahami oleh pelajar yang lebih berupaya membeli makanan yang lebih enak di waktu itu.