Wednesday, October 7, 2015

SINAR HARIAN - 6/10/15 - SEMUA KAUM BERSATU


Tidak ingin bersatu punca perpecahan, kata Sanusi

NIZAM ZAIN
6 Oktober 2015


Bekas menteri besar Kedah,Tan Sri Sanusi Junid ketika berucap pada program Bicara Minda & Sesi Dialog yang bertajuk Perpaduan:Mengapa Kita Masih Keliru? bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian Oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM - Veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata, semangat perpaduan rakyat Malaysia boleh “berkubur” sekiranya masyarakat Melayu, Cina dan India tiada keinginan untuk bersatu padu.

Beliau berkata usaha untuk menyatupadukan ketiga-tiga kaum terbesar itu semakin sukar apabila tiada persamaan dari segi pengalaman dan penderitaan bersama susulan jurang ekonomi semakin jauh.

“Kita kenalah ada keinginan nak bersatu, Melayu, Cina, India ingin tak nak bersatu? Melayu ingin tak bersatu sesama Melayu? Cina ingin tak bersatu dengan Melayu? India ingin tak bersatu dengan Melayu?

“Kalau tiada keinginan, itu penghabisannya. Kalau tahap ekonomi itu telah terlalu berbeza, maka dengan sendirinya tiada kebersamaan dari segi pengalaman (hidup),” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian yang bertajuk: Perpaduan: Kenapa kita masih keliru di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang berlaku sejak akhir ini berpunca dari segi perbezaan taraf ekonomi dan tiada sikap kepedulian sesama mereka.

“Sebagai orang Islam kita diminta supaya hendaklah berpegang kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah dan kita sebagai orang Islam juga, kita bersaudara.

Di manakah kita sekarang ini? Melayu sekarang ini ada di peringkat yang berbeza-beza, ada yang sudah kaya, ada di peringkat pertama, ada yang tak peduli pada orang, di sini datangnya perpecahan dalam bangsa kita,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, kebergantungan orang Melayu kepada sistem pendidikan semata-mata tanpa mengambil kira pengetahuan sejarah dan nilai-nilai murni dalam hidup turut menyumbang kepada perpecahan pada hari ini.

“Itulah sebabnya kita dapati sekarang ini, kalau dulu kita mencuri ayam, hari ini kita mencuri harta dan kita merompak negara kerana ilmu ada pada kita tiada nilai-nilai yang baik,” katanya lagi.

Sanusi turut menyindir sikap pemimpin Melayu kini yang gemar menyuruh rakyatnya daripada amalan rasuah, namun mereka sendiri melakukan jenayah tersebut.

“Kita tak boleh ajar orang benda yang kita tak buat, bagaimana kita nak suruh orang jangan rasuah, sedangkan kita sendiri rasuah.

“Taiwan, ada 20,000 pemimpin di semua peringkat yang memiliki ciri-ciri amanah, berani, disiplin dan setia, itu sudah cukup. Adakah Melayu yang amanah, berani, disiplin dan setia seramai 20,000 orang?” soalnya.

SINAR HARIAN - 6/10/15 - MENGHORMATI KEJAYAAN


‘Cina hormat Melayu kalau kita berjaya’

RAZIATUL HANUM A.RAJAK
6 Oktober 2015


Tan Sri Sanusi Junid dalam program Bicara Minda & Sesi Dialog ‘Perpaduan: Mengapa kita masih keliru’ hari ini. 

SHAH ALAM - Bangsa Melayu akan dihormati oleh kaum lain termasuk Cina dan India di negara ini jika mampu berjaya dalam hidup.
 
Veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata, kegagalan pemerintah melahirkan kaum Melayu yang berjaya meskipun telah memimpin negara ini berpuluh tahun menyebabkan kaum ini dipandang hina.

"Cina lama-lama percaya pada 'reincarnation' iaitu manusia yang hidup jadi orang jahat, lepas mati dia hidup balik akan jalani hukuman sebagai orang susah. Manakala yang baik lahir semula sebagai orang senang.

"Tetapi apabila Melayu sekarang dalam keadaan susah, bagaimana kita nak harapkan orang Cina hormati kita?," katanya pada Bicara Minda dan Sesi Dialog Tan Sri Sanusi Junid, Perpaduan: Mengapa kita masih keliru? di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.
 
Menurutnya, kegagalan kepimpinan negara memastikan Melayu terus dihormati menyebabkan pemimpin hari ini berdepan masalah dalam memerintah.

“Selama ini saya lihat orang-orang kita melakukan kegagalan dan apabila orang tak berapa peduli pada kita, kita marah kepada orang kerana bagi mereka, tiada sebab untuk mereka hormat kita. Jika datuk nenek mereka dulu pandang mulia pada penghulu, raja, penjajah, pedagang.

“Tapi kalau kita ini yang sudah memerintah negara ini berpuluh-puluh tahun, tidak dapat membuktikan bahawa kita ini boleh dan berjaya, maka orang pandang hina pada kita. Apabila orang pandang hina, bagaimana kita nak jadi ketua, pemimpin yang dihormati mereka?,” katanya.

Menyentuh soal kaum India, beliau berpendapat kaum India lebih memandang kepada orang-orang yang berkedudukan atau berjawatan tinggi kerana konsep mereka yang mengagungkan sesuatu yang tinggi.

“Kalau kaum India lain. Mereka tidak memandang rendah kepada orang miskin kerana mereka tidak ada konsep ‘reincarnation’. Tetapi orang India menghormati orang-orang tinggi. Jika di Indonesia ada restoran sederhana, orang India tidak mungkin akan buat begitu. Mereka akan letak nama restoran akhbar maharaja, ...maharani...yang hebat-hebat punya.

“Mereka memang suka berkawan dengan orang-orang besar. Sebab itu kalau kita lihat yang berkawan dengan orang besar-besar ...kalau dia tengok kita besar sahaja, mereka datang.

“Jadi, kalau Melayu berjaya, saya rasa bukan sahaja India, Cina...semua orang akan pandang mulia pada kita,” katanya.

Dalam pada itu, mengimbas kembali perjalanannya pada tahun 1966 ke England, beliau memberitahu pandangan anak-anak muda rakyat negara ini di luar negara berbeza dengan zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila golongan muda meletakkan negara di depan berbanding kaumnya.

Sehubungan itu katanya, setelah apa yang menimpa Malaysia mutakhir ini, sukar untuk rakyat negara ini bangga untuk memberitahu dunia tentang asal usulnya.

“Apabila saya berjumpa anak-anak Cina dan India, saya tanya dan mereka akan jawab ‘i am Chinese, Indian from Malaysia’. Tapi ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri), kalau jumpa seorang China dan India, mereka akan jawab ‘i am Malaysian’. Bermakna Malaysia itu telah diletak di depan daripada kaumnya.

“Tapi apabila negara dia (jadi) macam sekarang...saya ke Indonesia, orang Indonesia pun menangis. Dulu dia pegang juara. Dialah negara yang paling hebat. Sekarang, kita lagi hebat. Bukan dalam bidang badminton, dalam bidang rasuah. Jadi, sekarang ini, banggakah rakyat nak beritahu kepada orang dia dari Malaysia dalam keadaan negara begini?,” katanya.

SINAR HARIAN - 6/10/15 - TPPA BAGUS?



Orang politik memang kata TPP bagus, penyelamat

RAZIATUL HANUM A RAJAK
7 Oktober 2015



Bekas menteri besar Kedah,Tan Sri Sanusi Junid ketika berucap pada program Bicara Minda & Sesi Dialog yang bertajuk Perpaduan:Mengapa Kita Masih Keliru? bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf,Shah Alam.- Foto Sinar Harian/AFIQ RAZALI

SHAH ALAM - Orang-orang politik memang akan mengatakan bahawa perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) sebagai penyelamat kepada situasi negara ini meskipun hakikatnya adalah sebaliknya.

Pemimpin veteran, Tan Sri Sanusi Junid berkata, ketika dalam keadaan terdesak, manusia akan menggunakan apa sahaja jalan yang ada di depan mata untuk menyelamatkan diri.

“Kalau orang yang hampir lemas dalam sungai, dia jumpa kayu pun dia pegang, najis pun dia pegang. Dia dah tak peduli apa dah. Waktu itu, dia tidak fikir dah tentang kepentingan bangsa, kepentingan apa...dia dah lemas, jadi, apa orang bagi...nak berkawan, dia akan peganglah (terima). Tak fikir dah kepentingan bangsa.

“Sekarang ini sudah tidak ada kepentingan bangsa. Jadi, kalau kita tanya pada orang politik, mereka akan jawab banyak manfaat. Tanpa TPP, kita akan hancur. TPP lah penyelamat kita. Jadi, kita kena sokonglah sebab ia penyelamat kita.’ Itu cakap orang politik. Saya pun dulu orang politik tapi sekarang taubat banyak,” katanya ketika menjawab soalan salah seorang penonton dalam program  Bicara Minda & Sesi Dialog, ‘Perpaduan: Mengapa kita masih keliru?’, di Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Menurutnya, sejak awal lagi beliau telah melahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan menandatangani TPP untuk berkawan dengan AS.

“Semua orang kata benda ini (TPP) tidak elok. Saya daripada awal lagi kata, tentu mereka (kerajaan) tandatangan. Elok atau tidak elok, dia (kerajaan) akan tandatangan kerana yang penting dia (kerajaan) nak berkawan dengan Amerika Syarikat (AS).

“Jika nak berkawan dengan AS, kena tandatangan tapi kita lupa AS itu negara pokai. AS ada senjata, jika kita nak berkawan dengan orang yang ada senjata, kita boleh berkawanlah tapi tiada manfaat kepada kita,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kapitalisme di AS mampu berdiri kukuh kerana bantuan musuh-musuh sistem itu sendiri seperti negara-negara Arab, Islam dan China.

“(Vladimir) Lenin pernah cakap, satu hari nanti, kapitalis akan dikuasai oleh komunis. Hari ini dah jadi dah. Jika bukan kerana komunis, ekonomi AS sudah lingkup.

“Kapitalism AS hidup kerana didukung oleh musuh-musuh kapitalism...komunis China beli saham dia, Islam beli saham dia, Arab beli bon, China beli bon.

“Jika Rusia, China tidak mahu pakai Dolar AS, sudah (tentu) lingkup AS. Sebab itu AS naikkan harga bunga di supaya nilai duitnya naik dan orang tak mahu jual dah kerana orang berharap ia akan naik lagi. Itu sahaja cara dia berniaga,” katanya.

SINAR HARIAN - 6/10/15 - TUN M BAHAYA


Periksa otak kalau kata pembangkang beli Dr M

NIZAM ZAIN
6 Oktober 2015



Sanusi Junid

SHAH ALAM - Tindakan pemimpin pembangkang untuk menggulingkan kerajaan melalui undi tidak percaya di Parlimen dan perhimpunan jalanan didakwa lebih selamat berbanding usaha untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada jawatan Perdana Menteri.

Demikian kata pemimpin veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid sambil menyifatkan beliau kini dalam bahaya kerana menjadi penyokong kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang lantang mengkritik dan cuba menjatuhkan pentadbiran Najib.

“Sekarang ini, Mat (Mohamad) Sabu lebih selamat duduk di Malaysia daripada saya, pasal Mat Sabu dia nak guling kerajaan, itu OK.

“Yang tak boleh, saya ini orang Tun Mahathir...Tun Mahathir pula nak guling Perdana Menteri, itu salah.

“Mengguling kerajaan OK, tak boleh tangkap, jadi itulah masalah kita,” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian yang bertajuk: Perpaduan: Kenapa kita masih keliru di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Sanusi juga mendakwa mana-mana pihak yang menyokong termasuk memuji tindakan Dr Mahathir itu boleh kehilangan projek daripada kerajaan.

“Sekarang ini, kita punya pemimpin hampir semua mencemarkan, (bila) kita asyik puji Tunku Abdul Rahman, orang pula serang dia, (bila) kita nak puji Tun Razak, takut anak dia untung, nak puji Tun Hussein Onn, takut anak dia untung.

“Jadi nak puji siapa? Sekarang nak puji Dr Mahathir, ada orang kata nanti tak dapat kontrak,” ujarnya.

Sanusi berkata lagi, bangsa Melayu tidak akan selamat jika dakwaan mengatakan pakatan pembangkang membeli beliau dan Dr Mahathir itu benar.

“Kalau saya pembangkang boleh beli, kalau cina DAP boleh beli saya, saya ingat tiada Melayu boleh selamat, saya yakin sangat (saya masih) sayangkan Melayu ini.

“Kalau Dr Mahathir nak ikut pembangkang, saya ingat orang yang bercakap itu kena pergi periksa otak dia dengan doktor, sebab dia tak kenal (Dr Mahathir),” katanya lagi.

SINAR HARIAN - 6/10/15 - SEDIA DIPANGGIL


Sanusi sedia kalau dipanggil Jawatankuasa Disiplin

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI
6 Oktober 2015


Bekas menteri besar Kedah,Tan Sri Sanusi Junid ketika berucap pada program Bicara Minda & Sesi Dialog yang bertajuk Perpaduan:Mengapa Kita Masih Keliru? bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf,Shah Alam. - Foto Sinar Harian/AFIQ RAZALI

SHAH ALAM - Veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata, beliau sanggup memberi keterangan bila-bila masa sahaja kepada Jawatankuasa Disiplin Umno sekiranya namanya dikaitkan dengan tujuh pemimpin Umno yang dipantau kerana dikatakan melanggar parti.

Sanusi berkata namun begitu, beliau masih belum menerima sebarang panggilan daripada Jawatankuasa Disiplin parti sehingga hari ini.

“Saya memang suka orang hendak bersyarah ini, saya boleh beri penerangan bila-bila masa sahaja, awak panggil saya datang, masalahnya Umno tidak mahu panggil,” katanya ketika sidang media selepas berakhirnya Program Bicara Minda dan sesi dialong bersamanya, di Kumpulan Media Karangkraf, hari ini.

Terdahulu spekulasi bertiup kencang apabila nama Sanusi dikatakan sebagai salah seorang daripada tujuh pemimpin Umno yang dipantau.

Pemerhati berpendapat kemunculan semula Sanusi yang ligat menghentam kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak akhir-akhir ini turut mencetuskan persoalan antara pemimpin Umno yang berada dalam pemantauan ibu pejabat parti itu.

Kelmarin, Setiausaha Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mencetuskan tanda tanya selepas mendedahkan tujuh pemimpin Umno dipantau kerana dikatakan melanggar disiplin parti.

Tengku Adnan yang juga menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun tidak mendedahkan individu yang terlibat dan sebabnya.

Mengenai laporan itu, Sanusi dalam nada sinis berkata, jika laporan itu menyenaraikan namanya sebagai individu dipantau, beliau turut ada senarai nama sendiri.

“Saya pun pantau dan saya ada buat senarai saya sendiri. Jika dia (Tengku Adnan) tidak buat, apa yang dia nak buat,” jawabnya sinis.