Showing posts with label BELIA. Show all posts
Showing posts with label BELIA. Show all posts

Thursday, January 26, 2012

HAMKA: REVOLUSI UGAMA


PENDEDAHAN SEORANG PENGASAS ABIM

HAJI ISMAIL MINA YANG SAYA KENAL

1. Baru-baru ini rakan lama saya, sejak di waktu ABIM ditubuhkan, telah muncul di dalam media massa menjelaskan sebab beliau telah berputus arang dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim (AI). Saya, sebagai salah seorang pengasas ABIM yang ibu pejabat pendaftaran pertamanya adalah di rumah saya di alamat No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur, turut merasa kecewa, sedih dan dukacita dengan pendedahan Haji Ismail Mina, yang saya kenal sebagai seorang yang jujur dan taqwa, dan dahulunya tersangat fanatik terhadap AI sejak awal penubuhan ABIM.
ANWAR SUDAH BERUBAH

2. Saya telah ditemui oleh ramai juga ahli-ahli ABIM lama yang kini sudah berpisah dengan AI dari segi perjuangan. Mereka jijik apabila mendengar mengenai kes maksiat sodomi dan video seks, melibatkan perempuan China, dan dirakam oleh Dato' Eskay. Dato' Eskay dan Nallakaruppan adalah bekas kawan baik AI. Mereka tidak pernah menjadi ahli atau menyokong penubuhan ABIM.

3. Kawan-kawan yang mengasaskan ABIM ini berpendapat kes 'pluralisma' agama yang diperjuangkan oleh AI bukan sekadar menyentuh soal maksiat tetapi melibatkan perkara yang lebih serious, berat dan teruk lagi, iaitu aqidah.

4. Mereka meninggalkan AI kerana mereka mengatakan AI telah berubah dan menyeleweng aqidahnya. Oleh kerana Haji Ismail Mina tidak mempunyai cita-cita politik, dengan berbagai lakonan, helah, strategi dan taktik, beliau dengan hati yang ikhlas tidak dapat menerima sebarang kompromi mengenai aqidah. Sikap begini sepatutnya ada pada semua ulamak yang meletakkan ugama di atas politik.

Sunday, June 13, 2010

APAKAH RELEVANNYA VETERAN MAYC?

MAYC DALAM SEJARAH PERGERAKAN BELIA DI MALAYSIA

TUN DR. MAHATHIR RASMIKAN KELAB VETERAN MAYC MALAYSIA

1. Pada 29 Mei, 2010 di Hotel M Suites di Johor Bharu Tun Dr. Mahathir, selaku mantan Naib Presiden MAYC di waktu presidennya Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman, telah merasmikan penubuhan Kelab Veteran MAYC Malaysia

2. Dalam ucapan mengalu-ngalukan kehadiran Tun Dr. Mahathir saya telah menyatakan rasional Kelab Veteran MAYC ditubuhkan. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir adalah tokoh yang disegani dalam majlis itu maka ucapan saya mengenai sejarah pergerakan belia di negara ini agak terbatas. Ucapan saya kepada Veteran MAYC di Ipoh Perak pada 21 Mei, 2010 telah menghuraikan dengan lebih jelas lagi perkara tersebut.

SEBELUM MERDEKA

3. Sebelum Merdeka kegiatan belia di dalam negara tertumpu kepada pergerakan Pengakap, Briged St. John Ambulan dan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Saya terlibat di dalam 'Wolf Cub' atau anak serigala, iaitu pengakap muda, waktu saya belajar di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Senior saya, dalam pergerakan pengakap pada waktu itu ialah Sdr. Sidek Ghouse dan Sdr. Dato' Syed Ahmad Idid yang lebih terkenal dengan kegiatannya dalam The Fraternity of Adventurous. Saya kenal Sdr. Sidek Ghouse dan Tuan Syed Ahmad Idid (kini Dato') waktu saya di Sekolah Ibrahim Sungai Petani, dari tahun 1954 hingga tahun 1956, walau pun mereka tidak kenal saya di waktu itu. Mereka berdua telah bersetuju melantik saya menjadi Setiausaha Agung MAYC  pada tahun 1972 apabila saya diperkenalkan kepada mereka oleh Sdr. Taib Wahab yang menjadi Setiausaha Kerja MAYC di waktu itu. Sdr. Taib kenal saya sejak beliau menjadi pelajar di Institut Teknologi MARA.

4. Pertubuhan Pengakap, Briged St. John dan GPMS bergiat di dalam sekolah-sekolah, sementara di luar sekolah pula sudah ada pertubuhan Tamil Bell, Hindu Youth, YMCA dan YWCA.

1948 - GPMS

5. GPMS telah ditubuhkan pada 15 Ogos, 1948 oleh Encik Aminuddin Baki, Encik Abd. Wahab Ariff, Encik Mohd Nor Marahakim, Encik Abdul Majid dan Ce' Siti Hasmah (kini Tun Dr) di waktu mereka menjadi mahasiswa di Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura. Ianya ialah hasil keputusan Konvensyen Pelajar Melayu Seluruh Semenanjung yang diadakan pada tahun 1948. Sebelum GPMS ditubuhkan pengasas-pengasasnya telah bergerak cergas dalam Malay Boys League Penang Free School (1937), Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution (1945) dan Kesatuan Penuntut Melayu Selangor (1947).

Saturday, December 12, 2009

MENJAYAKAN SESEBUAH ORGANISASI

PENGALAMAN DALAM MEMIMPIN MAYC


1. Oleh kerana MAYC sudah 5 tahun tidak mengadakan mesyuarat agungnya maka sekembalinya kerahmatullah Setiausaha Agung MAYC yang paling lama, di bawah pimpinan saya, banyaklah pertanyaan yang saya terima, dari ahli-ahli veteran MAYC dan juga pemimpin-pemimpin muda, yang masih berminat dan bergiat di dalam MAYC, mengenai pengalaman saya memimpin MAYC, sebagai Presidennya, selama 30 tahun.