Showing posts with label PERJALANAN PERIBADI. Show all posts
Showing posts with label PERJALANAN PERIBADI. Show all posts

Friday, December 6, 2013

PUNCA MINAT BELAJAR TAMIL

ORANG INDIA DALAM PENGALAMAN HIDUP SAYA

Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Karangan ini pada mulanya telah saya masukkan atas nama 'ORANG INDIA YANG SAYA KENAL'. Dalam karangan itu saya terlupa menyebut nama-nama doktor keturunan India yang telah merawat saya apabila sakit. Saya telah menjanjikan dalam komen saya bahawa saya akan sebutkan nama mereka pada kesempatan yang lain. Kawan yang menelepon itu juga telah mencadangkan supaya tajuk karangan ini ditukar kepada 'JANGAN MALU JADI MISKIN'. Saya telah akur kepada cadangan itu. Oleh kerana ramai pembaca blog ini berminat mengetahui bagaimana saya berminat mempelajari bahasa Tamil, maka tajuk karangan ini saya ubah sekali lagi menjadi 'PUNCA MINAT BELAJAR TAMIL'. Mudah-mudahan ahli-ahli dan peminat kepada berbilang bahasa mendapat munafaat darinya. Saya sudah lama belajar bahasa Tamil dan sehingga hari ini pun saya masih belajar bahasa itu. 

1. Dalam masukan blog bertajuk 'TIGA BANGSA DI TIMUR ASIA', pada 17hb Mei, 2012, saya telah mengisahkan dengan panjang lebar mengenai tiga bangsa di Timur, dari keturunan Jepun, Korea dan China, yang saya kenali. Saya gambarkan di situ bahawa saya akan turut menulis mengenai orang keturunan lain, seperti India,  yang saya kenali di dalam penghidupan saya selama ini.
2. Sebagaimana karangan saya yang lalu cerita ini hanya sekadar mendedahkan pengalaman saya yang mungkin boleh memberi pengajaran dan munafa'at kepada generasi muda yang dapat mempelajari sesuatu darinya. Jika ada kisah yang tak berkenan di hati keluarga nama-nama tokoh yang diketengahkan di sini, harap tidak diambil hati kerana ini adalah kisah sebenar yang tentunya banyak pahit dan manis, baik dan buruk. Tidak ada niat untuk mencela sesiapa.

3. Sering saya mendengar, di dalam dialog yang saya hadiri, keluhan golongan muda yang sudah terfikir bahawa cara untuk naik ke atas di dalam dunia, politik, ekonomi dan masyarakat hanya terhad kepada anak orang-orang kaya dan orang-orang kenamaan atau melalui 'patronage' sahaja. Kisah yang saya paparkan di bawah ini menunjukkan bahawa semua golongan dan lapisan masyarakat mempunyai peranan di berbagai tahap asal ada kesungguhan dan ketabahan.

4. Bagi golongan 'anonymous' yang sudah tertutup hatinya untuk mengetahui dan memahami perkara-perkara baru, sama-samalah kita do'akan ke hadrat Allah s.w.t. semoga di satu masa nanti hati-hati segelintir mereka ini akan terbuka jua. Beruntunglah bangsa apabila ini berlaku.

YAN
5. Saya telah dilahirkan di Kampung Aceh, Yan, dan setelah beberapa tahun saya telah berpindah ke Kampung Telok Mat Aceh, berdekatan dengan Kampung Lubok Boi, kira-kira 1 batu dari Pekan Yan, arah ke Guar Chempedak. Antara Kampung Telok Mat Aceh dengan Pekan Yan terdapat Sekolah Melayu Yan yang kini diberi nama Sekolah Nyak Gam iaitu Ketua UMNO bahagian di situ dari mula UMNO ditubuhkan.

6. Kampung Aceh terletak di kaki Gunung Jerai dan bertepatan dengan Kampung Aceh, di belakang Gunung Jerai, itulah terletak candi Hindu di Lembah Bujang, Merbok, yang tertua di Tenggara Asia. Gunung Jerai ialah gunung yang tertinggi terpacak megah di dalam kawasan tanaman padi.

ARUS LAUTAN DARI PANTAI KARAMONDAL KE PANTAI YAN

7. Mengikut tesis kedoktoran Duta Iran, di waktu saya menjadi Menteri Pertanian, dalam satu kajiannya mengenai 'The Bay of Bengal', jika seseorang yang sedang belayar atau mendayung dari Pantai Koromondal di pantai Timur India, terjatuh dayungnya atau terpatah layarnya, maka perahu atau kapal layar mereka akan dibawa arus untuk terus hanyut mendarat di sekitar pantai Sungai Limau di Yan Kedah.

8. Oleh kerana aliran arus inilah maka bumi laut pantai negeri Kedah agak unik kerana, selepas beberapa meter dari pantai didapati lautannya dalam, dan selepas itu, lebih jauh di tengah didapati laut yang cetek. Ini menyebabkan pantai Kedah boleh dieksploitasikan dengan di bahagian yang cetek, sepanjang pantai, ke tengah lautan, diwujudkan satu kawasan perairan yang indah sepanjang kira-kira 20 kilometer.

KAPAL LAYAR BERLABOH DI WAKTU MALAM

Thursday, May 17, 2012

TIGA BANGSA DI TIMUR ASIA

TIGA BANGSA DI TIMUR ASIA

JEPUN, KOREA DAN CHINA YANG SAYA KENALI

DASAR PANDANG KE TIMUR
1. Di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri beliau telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur. Berbagai tafsiran telah dibuat mengenai dasar ini. Dasar ini yang pada mulanya hanya memandang ke Jepun dan ke Korea Selatan sahaja akhirnya telah merangkumi Taiwan. Walaupun di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan dikatakan ada berbagai perkara yang aneh-aneh seperti wanita Geisha dan mesin judi Pachinko di Jepun, rumah hiburan Kiiseng House di Korea Selatan dan adanya kedai gunting rambut paling besar dengan ratusan banyak kerusi di dalammya dan berdiri di tepinya  tukang gunting wanita yang jelita. Kedai gunting rambut ini sering dilanggani oleh orang yang tidak banyak atau tebal rambutnya, atau pun botak terus, tetapi terlentang di kerusi gunting cukup lama. Sudah tentu yang Tun Dr. Mahathir ingin kita pandang dan lihat di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan bukanlah perkara-perkara seperti itu.

TUMPUAN KEPADA BANGSA DAN BUKAN NEGARA

2. Dalam karangan ini tumpuan diberi bukan kepada 'Dasar Pandang ke Timur yang dilancarkan oleh kerajaan itu, tetapi untuk mengenali kawan-kawan atau kenalan rapat dari kalangan bangsa yang berasalnya dari timur, iaitu bangsa Jepun, Korea dan China. Walaupun dalam menjalani penghidupan ini saya berjumpa dengan banyak manusia dari keturunan lain seperti Inggeris, India, Arab,  Jerman, Peranchis dan banyak lagi, tetapi tumpuan pada kali ini, adalah kepada tiga keturunan bangsa ini kerana ianya relevan dengan Dasar Pandang Ke Timur. Jika disebut nama yang di luar dari kumpulan tiga bangsa ini maka ianya bermaksud untuk melengkapi ide yang diketengahkan. Karangan kali ini melengkapi isi-isi dalam kerangan-karangan sebelumnya khusus yang bertajuk 'ENTREPRENEURSHIP, MANAGEMENT & LEADERSHIP EXPOSURES'. Jika saya ulangkan maka ianya adalah untuk menjelaskan perjalanan cerita.

3. Di bangku sekolah saya kenal bangsa Jepun hanya dari bacaan sahaja kerana saya dilahirkan pada tahun 1943 dan tidak sempat mengalami zaman Jepun dan tiada seorang pun orang Jepun yang saya berjumpa atau kenal pada waktu itu.

COKLAT LEBIH PENTING DARI KEMERDEKAAN

Tuesday, April 24, 2012

BAHAN RENUNGAN

KELUCUAN YANG BERMAKNA

1. Baik di bangku sekolah atau di dalam perjumpaan, kursus dan seminar kita sering mendengar cerita yang lucu tetapi menjadi bahan renungan yang boleh menimbulkan kesedaran dan keinsafan kepada kita. Setelah saya menceritakan mengenai 'definasi joget' oleh Allahyarham Hashim Gera, seorang ahli politik  yang saya katakan dari luar Kedah', yang bermaksud bukan dari negeri Kedah (seperti komen yang menyatakan beliau dari Perak), ada yang menelipon saya meminta supaya saya menulis lebih banyak mengenai hal-hal yang lucu tetapi bermakna.

2. Sebelum itu ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kapada yang membuat teguran di dalam komennya yang betul mengenai Haji Hadi dan Kitab Zabur. Memanglah benar kawasan Haji Hadi ialah di Marang dan bukan Kemaman dan Kitab Zabur pula ialah untuk Nabi Daud a.s. (yang disebut di dalam buku Yahudi sebagai King David) dan bukan Nabi Musa. Teguran begini sangatlah saya hargai.

3. Ada di antara pembaca blog ini yang telah mencadangkan supaya saya padamkan komen yang rhetorik dan tidak sopan yang dibuat berulang-ulang oleh orang yang sama atau dari kumpulan yang sama, yang digelar sebagai Cyber Trooper. Sehingga kini saya fikirkan ada baiknya kita benarkan mereka membuat komen negatif sedemikian supaya kita sentiasa teringat bahawa masih ada segelintir dikalangan bangsa kita yang masih mempunyai banyak kekurangan dari segi ilmu, budi, bahasa dan adab. Walau pun mereka menghentam tetapi yang penting ialah mereka membaca apa yang ditulis, walau pun tidak semuanya, dan Insya Allah, kita do'akan, hati mereka akan terbuka, kerana yang bersalah, yang diketahui oleh Allah s.w.t., tentu mengetahui akan kesalahan peribadinya.

4. Cyber Trooper yang menegakkan yang salah ini perlulah kita pandang dengan penuh simpati kerana itulah kerja yang mereka diupah untuk mengerjakannya. Mudah-mudahan rezeki sedemikian halal untuknya.
5. Mengenai pertanyaan samaada Ustaz Ismail Mina boleh dikatakan seorang pengasas ABIM sedangkan namanya tidak ada dalam senarai pengasas yang terdaftar, sebenarnya nama DS Anwar Ibrahim juga tidak ada dalam senarai pengasas, kerana beliau memimpin satu persatuan pelajar pada waktu itu tetapi saya sebutkan beliau sebagai pengasas kerana, sebagaimana Ustaz Ismail Mina beliau turut mengasaskan ABIM. Ketua Jawatankuasa Pengasas ABIM ialah Prof. Dr. Ghazali Nawari dan saya nombor dua dalam senarai.

ENAM BUAH CERITA

6. Enam cerita, berita atau kesah yang saya diberitahu atau mendengar ialah:

6.1. Ucapan Ketua Penerangan UMNO Melaka YB Abd. Ghani Ishak mengenai orang Inggris, China, India dan Melayu bila ramai, ada beberapa orang dan bila tinggal bersendirian.

6.2.  Isi soal jawap mengenai perangai pekerja estet Melayu China dan India, selepas syarahan seorang bekas executive syarikat Dunlop, Charles Handy, di Universiti London, atas tajuk 'Management of Estate Workers'.

6.3. Cerita Sdr. Zulkifli, dari Benta, Pahang, waktu duduk-duduk bersama isterinya Zainab, berasal Negeri Sembilan, di rumah mereka di Highbury Islington, London apabila tersebut rancangan menjual satay di SOHO berdekatan dengan Piccadilly Circus.

6.4. Jawapan YB Haji Redza Haji Said, ahli Parlimen Kawasan Rembau-Tampin yang memujuk saya untuk menjadi ahli UMNO, dan tidak ahli PAS sebelum saya menjadi ahli UMNO pada 13hb Oktober, 1963.

6.5. Jawapan Tun Abdul Razak kepada Pergerakan Pemuda UMNO Pahang dalam satu majlis yang diadakan oleh pergerakan itu kepada soalan 'Kenapa Sanusi Junid dibenar menjadi calon Barisan Nasional sedangkan dia tidak menjadi ahli UMNO'.

6.6. Jawapan Tunku Abdul Rahman, setelah bersara, ke atas pertanyaan saya kenapa beliau 'benci' kepada Tun Dr. Mahathir.