Showing posts with label KEMISKINAN. Show all posts
Showing posts with label KEMISKINAN. Show all posts

Tuesday, August 4, 2015

BR1M - UNTUK BASMI KEMISKINAN?

ADAKAH SALAH MEMBANTU ORANG MISKIN?

1. Soalan di atas telah ditujukan oleh Perdana Menteri kepada Tun Dr. Mahathir kerana Tun Dr. Mahathir menyoal lojiknya program BR1M yang menabur wang, tanpa diminta, termasuk kepada pihak yang sudah mampu berdikari dari segi kewangan, walaupun tidak berlimpah ruah wangnya.

2. Bukan Tun Dr. Mahathir sahaja yang menyoal kebijaksanaan projek ini kerana ada ramai ibu bapa dari sekolah-sekolah di persekitaran Kuala Lumpur, yang menerima BR1M, tertanya-tanya sebabnya kerajaan berbelanja begitu banyak wang sedangkan permohonan dari sekolah untuk projek bagi kemudahan murid telah ditolak oleh Kementerian Pendidikan kerana tiada peruntukan.

3. Malahan ada yang keluarga mereka bekerja di kedutaan luar negeri mendapat teguran kerana mengambil BR1M sedangkan biaya yang diperlukan oleh kedutaan-kedutaan di luar negeri tidak dapat dipenuhi kerana Kementerian Luar Negeri kekurangan wang.

4. Keangkuhan soalan ini juga memberi implikasi seolah-olah kerajaan tidak memberi perhatian kepada masalah kemiskinan sebelum BR1M diperkenalkan.

5. Walaupun kedudukan nilai Ringgit Malaysia kina sudah teruk merudum turun sehingga pelajar-pelajar kita di luar negara pasti kekurangan wang, kita dengar bahawa program BR1M lebih diutamakan.

6. Saya percaya bukan saya sahaja, tetapi juga semua pesara Melayu akan merasa tersinggung apabila membaca soalan ini kerana ianya menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri tidak sedar betapa hebat kerajaan Barisan Nasional, yang dipimpin oleh UMNO bermula di zaman bapanya Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah di zaman pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamed telah banyak memberi perhatian kepada usaha membantu rakyat yang miskin.

7. Walaupun Dato' Seri Najib sasarkan soalan itu kepada Tun Dr. Mahathir, sebagai pengkritik utama beliau, tetapi beliau tidak harus lupa bahawa program UMNO sejak Merdeka, dan sepanjang pemerintahan KAMI atau KITA, tidak pernah lupa kepada orang miskin dari semua kaum, khususnya Bumiputera.

8. Malahan, kerana kesedaran inilah maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah diperkenalkan setelah peristiwa berdarah 13 Mei, 1969.

9. Sebelum DEB diperkenalkan, dari sejak Merdeka lagi, berbagai projek telah dilaksanakan untuk meningkatkan ekonomi rakyat khususnya di luar bandar. Bagi rakyat yang memerlukan tanah pula Felda telah ditubuhkan dan bagi rakyat yang kurang tanah tetapi ada tanah kerajaan di samping tempat tinggalnya kita adakan rancangan Felcra.

10. Atas kesedaran kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengimbangkan peranan rakyat dalam bidang ekonomi maka banyak syarikat milik kerajaan dan perbadanan telah ditubuhkan. Puncak segala penubuhan institusi membangun ekonomi Melayu dan Bumiputera ialah kewujudan Permodalan Nasional Berhad dan Khazanah Nasional.