Thursday, October 15, 2009

MENYONGSONG FAJAR BARU MALAYSIA


BANGGA DAN LEGA


1. Alhamdulillah, setelah lama saya tidak hadir dalam Perhimpunan Agong UMNO hari ini saya merasa bangga kerana turut hadir. Seorang pemberita Melayu telah bertanya pada saya di dalam bahasa Inggeris ' What do you think of the speech' dan saya secara spontan menjawab 'It is sunshine after a very long bad weather'.

2. Saya berasa lega dan bangga kerana dapat mendengar sendiri YAB Dato' Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan sulongnya sebagai Presiden UMNO, di dalam Perhimpunan Agong UMNO yang pertama beliau hadir sebagai Presiden. Ucapan ini telah berjaya menjelaskan banyak sangkaan tidak tepat terhadap beliau kerana kenyataan dan tindakannya sebagai Perdana Menteri sejak beliau mengambil alih jawatan.


THE CAINE MUTINY


3. Banyak juga tokoh yang terlibat dalam usaha memendekkan tempoh jawatan Perdana Menteri sebelumnya yang merasakan gantian pemimpin UMNO yang berlaku tidak berbeza dengan apa yang berlaku di dalam buku ' The Caine Mutiny ' karangan Herman Wouk terbitan tahun 1951 . Buku fiksyen ini mengisahkan mengenai seorang kapitan sabuah kapal 'destroyer' dari US Navy dalam Perang Dunia Kedua, yang telah dikecam hebat oleh semua anak-anak kapalnya kerana prestasinya yang mengecewakan.

4. Kapitan kapal ini akhirnya ditukar dengan kapitan baru.

5. Apa yang berlaku ialah kapitan baru didapati lebih teruk dari kapitan lama sehingga berlaku 'mutiny' atau 'pemberontakan' di atas kapal.

6. Apabila anak-anak kapal ditanya kapitan yang bagaimanakah yang mereka kehendaki, mereka dengan tegas dan cepat menjawab 'siapa pun boleh asal jangan kapitan yang ada sekarang'. Maka mereka pun mendapat kapitan baru, iaitu kapitan yang memimpin mereka sebelumnya.

KOMUNIKASI DAN PERUBAHAN


7. Mendengar apa yang diucapkan oleh Dato' Najib maka jelaslah bahawa pandangan negatif terhadapnya ialah kerana kegagalan amalan komunikasi setakat ini, kecualilah Dato' Najib memang sengaja ingin menggunakan kesempatan untuk membuat penjelasan dalam Perhimpunan Agong UMNO. Mungkin juga ucapan Dato' Najib telah dibuat setelah beliau mendapat 'feedback' dan telah mengambil tindakan untuk membetulkan apa juga kesilapan yang ada. Dato' Seri Najib telah pun menekankan bahawa beliau sedar, insaf, mendengar dan mahu kepada perubahan.


8. Sejak beliau menjadi Perdana Menteri orang-orang Melayu, malah seluruh rakyat dewasa, mengetahui Dato' Seri Najib mahukan perubahan. Tetapi ramai yang bimbang jika perubahan itu akan merugikan Melayu.

9. Slogan ' Satu Malaysia ' umpamanya sangat membimbangkan sesetengah orang Melayu kerana yang kelihatan mahukan satu Malaysia itu hanya pemimpin utama Melayu sedangkan pemimpin kaum lain masih bercakap mengenai kepentingan kaum mereka sahaja.

KONTRAK SOSIAL


10. Dari ucapan Dato' Seri Najib jelaslah bahawa beliau tidak akan lari dari peruntukan perlembagaan dan beliau juga tidak akan mengorbankan kontrak sosial atau 'social contract' yang sudah wujud atas persetujuan semua kaum di waktu hendak mencapai kemerdekaan.

11. Jaminan ini memang ditunggu-tunggu oleh ramai orang Melayu.

BIASISWA DAN EKUITI


12. Kebimbangan lain yang berlegar dalam fikiran sesetengah orang Melayu ialah soal biasiswa untuk Melayu yang dikurangkan. Peratusan milik ekuiti orang Melayu dan Bumiputera dalam sektor swasta juga gagal dicapai peratusnya sebagaimana yang ditentukan oleh Dasar Ekonomi Baru.

13. Orang-orang Melayu gelisah kerana pemberian biasiswa oleh swasta bukan Bumiputera tidak diagihkan sama kepada Bumiputera sedangkan yang diberi oleh kerajaan kepada Melayu dan Bumiputera sudah dikurangkan untuk diberi kepada bukan Bumiputera. Mereka ingin tahu sebabnya maka pemimpin Melayu sahaja yang ingin bersikap adil dan melaung-laungkan 'Satu Malaysia' sedangkan pihak bukan Melayu dan Bumiputera membisu saja.

14. Begitu juga dengan peruntukan saham tanpa kawalan.

15. Kebimbangan ini sudah terjawab apabila Dato' Seri Najib menggambarkan hanya 'orang gila' saja yang akan mengulangi cara lama yang tidak kesampaian kepada matlamat.

16. Berertilah dengan pembaharuan yang dibuat oleh Dato' Seri Najib hak Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekuiti dan jumlah graduan Melayu dan Bumiputera juga akan bertambah walau pun berkurang peratusan biasiswa dari kerajaan dan tiada sebarang sekatan atas pemilikan ekuiti saham.

17. Walaupun cara Dato' Seri Najib untuk mencapai matlamat belum jelas, tetapi Dato' Seri Najib telah memberi pengakuan dan jaminan bahawa cara beliau adalah lebih terjamin untuk mencapai matlamat kerana beliau tidak 'gila' untuk terus mengikut cara yang tidak membawa kepada kejayaan.

POLITIK WANG


18. Pembaharuan lain yang diketengahkan oleh Presiden UMNO ialah untuk memberi kuasa yang lebih untuk lebih ramai ahli UMNO menentukan siapa yang akan memimpin mereka. Dengan meningkatkan amalan demokrasi maka politik wang dapat dihapuskan.

19. Setakat ini, dari jauh, apa yang boleh difahami ialah sekatan dan halangan yang ada dalam perlembagaan UMNO telah dipinda untuk membolehkan Majlis Tertinggi membuat perubahan. Pindaan ini belumlah sampai kepada memberi kuasa kepada peringkat bawahan membuat pilihan. Pindaan ini memberi kuasa kepada Majlis Tertinggi untuk membuat peraturan yang betul yang boleh memberi kuasa kepada peringkat bawahan membuat pilihan dengan tertib.

20. Adalah sesuatu yang mulia apabila pihak yang berkuasa sanggup mengurangkan kuasanya dengan melebarkan lagi barisan yang boleh memilih pemimpin. Tindakan ini sungguh berani, apabila dilaksanakan, kerana ianya tidak pernah berlaku dalam sejarah politik di dunia.

ENAM PERKARA PENTING YANG MENDAPAT PERHATIAN

21. Enam perkara lagi telah mendapat perhatian saya dari ucapan YAB Dato' Seri Najib; perkara tersebut ialah:
a. Dalam hasratnya untuk membawa perubahan di dalam UMNO beliau tidak lupa kepada tradisi dan sejarah UMNO apabila beliau berkata 'tradisi dijunjung dan perubahan dizahirkan';
b. Dato' Seri Najib tidak menganggap kemenangan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang sebagai jaminan bahawa perubahan mutlak sudah berlaku, tetapi beliau dengan tegas menolak anggapan pihak pembangkang bahawa UMNO sudah boleh ditalqinkan;
c. Dato' Seri Najib mengakui bahawa ada orang Melayu dan Bumiputera yang masih memerlukan bantuan dari Dasar Ekonomi Baru. Lagipun pencapaian ekuiti dalam matlamat DEB setakat ini hanya di peringkat 19.2 % sahaja;

d. Dato' Seri Najib menegaskan bahawa beliau memerlukan sokongan semua pihak untuk menjayakan perubahan melalui kekuatan mental. Dato' Seri Najib mengajak seluruh kepimpinan dan ahli UMNO supaya bangkit bersamanya untuk berubah. Beliau juga mengharapkan semua parti komponen dalam Barisan Nasional juga akan turut berubah seperti UMNO.

e. Dato' Seri Najib juga mengingatkan golongan yang anti UMNO bahawa UMNO bukan parti 'racist' dan ianya tidak mabuk kuasa. Jika UMNO parti racist, Malaysia tidak akan popular sebagai satu-satunya negara di dunia yang membenarkan Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan China dan India. Jika UMNO mabuk kuasa sudah tentu UMNO tidak akan mengembalikan demokrasi setelah selesa memerintah setelah demokrasi digantung selepas peristiwa berdarah pada 13 Mei 1969.

f. Dengan keahlian UMNO sejumlah 3,478,393 orang di dalam 19,235 cawangan ( keahlian negeri terbanyak ialah Johor dengan 480,637 ahli, keahlian bahagian terbanyak ialah Kemaman dengan 41,490 ahli dan Cawangan Felda Air Tawar Dua menjadi juara cawangan dengan ahli terbanyak ) Dato' Seri Najib dengan ikhlas, terbuka dan tegas menyatakan keinginan mentransformasikan dan memperkuatkan UMNO sebagai parti keramat dengan:

(i) Menjuarai kebajikan rakyat dengan meningkatkan azam mendekati rakyat dengan merakyatkan UMNO dalam masyarakat,

(ii) Menghidupkan kembali budaya khidmat sukarela di kalangan ahli-ahli UMNO,

(iii) Meneruskan perjuangan UMNO sebagai parti untuk semua rakyat Malaysia yang meletakkan perpaduan nasional sebagai matlamat perjuangan

TINDAKAN SUSULAN

22. Setelah menyampaikan ucapan yang sedemikian bernas dan baik yang merupakan antara ucapan yang terbaik yang pernah disampaikan oleh Presiden UMNO dalam mana jua Perhimpunan Agong ahli-ahli, orang-orang Melayu dan rakayat Malaysia sedang menunggu semoga kata-kata itu dikotakan.

HOW TO RUN ANY ORGANIZATION


23. Dalam usaha pemimpin-pemimpin UMNO, di semua peringkat, ingin memperkuatkan sesebuah organisasi, termasuklah parti, negeri dan negara, saya teringat kepada sebuah buku yang bernama 'How To Run Any Organization' karangan Professor Emeritus Theodore Caplow dari University Virginia terbitan tahun 1976. Buku ini telah dikarang oleh Professor Caplow untuk, pada mulanya, menjadi buku panduan bagi isterinya yang baru dilantik menjadi pengerusi isteri-isteri professor dari fakulti yang dipimpin oleh suaminya.


24. Oleh kerana isteri professor ini hanya menjadi suri rumah-tangga maka sejak didesak menjadi pemimpin persatuan para isteri staf fakulti, beliau tidak berhenti menganggu suaminya bertanya cara dan kerja yang perlu dia buat selaku ketua.


25. Untuk itu si suami telah mengambil cuti belajar untuk mengarang sebuah buku yang boleh dijadikan buku panduan oleh isterinya. Kini buku 'How To Run Any Organization' telah menjadi sebuah buku popular atau 'best-seller'.


26. Di dalam buku How To Run Any Organization Professor Caplow telah menulis mengenai 5 faktor yang perlu mendapat perhatian jika sesebuah organisasi itu hendak dijayakan. Lima perkara itu ialah:


a. Authority - Kuasa,


b. Communication - Perhubungan,


c. Productivity - Pengeluaran ( Prestasi ),


d. Morale - Semangat ( Maruah ), dan


e. Change - Perubahan

AUTHORITY - KUASA

27. Di bawah faktor kuasa Professor Caplow telah mengingatkan betapa penting bagi orang yang berkedudukan tidak lupa dan sentiasa menyedari siapa yang memberi kuasa atau 'empower' mereka. Wakil rakyat perlu ingat kepada pengundi yang memberi kuasa kepadanya dan Menteri pula selain menjadi wakil rakyat perlu setia kepada Perdana Menteri yang melantiknya.

28. Perlu dikaji apakah masalah akan timbul jika terlalu banyak Menteri yang bukan wakil rakyat yang tidak dipilih dalam pilihan raya tetapi menjadi Menteri dengan terlebih dahulu menjadi Senator. Mereka tidak akan terfikir untuk menjaga kepentingan pengundi mereka kerana mereka tidak pernah dipilih.

29. Semakan juga penting keatas kuasa yang diberi kepada pegawai-pegawai di sekeliling Menteri. Ianya juga tidak membantu untuk memperkukuhkan parti pada pandangan pengundi kerana mereka juga tidak pernah dipilih. Inilah yang berlaku dengan kuasa yang ada pada pegawai di tingkat empat di masa lalu.

30. Menteri juga hendaklah menyedari bahawa dia menjadi Menteri kerana pilihan Perdana Menteri dan bukan kerana beliau itu terlalu pandai. Menteri yang merasa dirinya pandai adalah satu kerugian kepada parti pada pandangan pengundi.

31. Dato' Seri Najib jelas peka kepada kepentingan rakyat dan pengundi dengan slogannya 'RAKYAT DIDAHULUKAN' yang mengikuti 'Satu Malaysia'. Dasar ini sekaligus menyelesaikan semua masalah yang timbul kerana rakyat atau pengundi diketepikan kerana yang memegang jawatan tidak terhutang budi kepada mereka.
COMMUNICATION - KOMUNIKASI - PENERANGAN

32. Faktor kedua ialah communication atau komunikasi yang memberi penerangan. Adalah penting bagi seseorang pemimpin organisasi untuk memastikan rakyat mengetahui apa yang hendak dilaksanakan.

33. Di zaman pemerintahan YTM Tunku Abdul Rahman Putra banyak kegelisahan di kalangan rakyat kerana kritik para intelektual ke atas projek Stadium Merdeka, Masjid Negara dan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.

34. Tukang kritik mempropagandakan Stadium Merdeka untuk bolasepak tidak perlu kerana rakyat belum pandai pakai boot; Masjid Negara pula tidak sepatutnya dibuat berdekatan dengan stesen keretapi kerana gangguan bagi orang-orang yang bersembahyang khususnya di waktu subuh, dan Lapangan Terbang Antarabangsa juga tidak relevan kerana sudah ada Lapangan Terbang Sungai Besi.

35. Di akhir Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia pada tahun 1965 di Morib, Selangor sekumpulan wakil pemuda UMNO telah bertanya pada YTM Tunku mengenai ketiga projek ini. Tunku telah menjelaskan seperti berikut:

35a. Sebagai pelajar di England beliau tinggal di Highbury Islington berdekatan dengan stadium pasukan bolasepak Arsenal. Beliau sering ke stadium apabila merasa bosan belajar. Kerana kenangan inilah beliau buat Stadium Merdeka supaya beliau boleh ke sana apabila beliau teringat stadium Arsenal;

35b. Sebagai Perdana Menteri beliau sering terbang ke sana sini melawat negara asing. Hanya apabila beliau mendarat di Lapangan Terbang Tentera di Sungai Besi sahaja beliau menjadi sebak kerana melihat setinggan begitu ramai. Untuk tidak melihat setinggan beliau buat Lapangan Terbang Subang yang baru; dan

35c) Orang-orang Kedah paling suka mendengar orang membaca Quran. Mereka ke Kuala Lumpur setiap tahun diadakan musabaqah. Kerana tiada kereta dan susah mendapat tempat tidur itulah beliau buat Masjid Negara dekat stesen keretapi supaya orang Kedah boleh datang dengan keretapi dan tidur di Masjid Negara setiap kali diadakan musabaqah.

36. Mendengar semua ini wakil pemuda menjadi bosan terhadap Tunku.

37. Beberapa tahun sebelum Tunku kembali ke rahmatullah saya telah bertemu Tunku dan beliau teringat untuk menjelaskan kepada saya mengenai ketiga projek ini. Kita menyatakan betapa Stadium Merdeka telah menjadi terlalu kecil untuk Malaysia, KLIA juga perlu menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dan tempat untuk Masjid Negara begitu stratejik sehingga Pusat Islam, Muzium Islam Al Bukhari pun dibina di sampingnya.

38. Bila saya tanya Tunku kenapa perkara ini tidak dijelaskan dulu kepada wakil pemuda maka Tunku menjawab ' hangpa terlalu muda untuk faham semua ini dulu'.

39. Walhal ketiga projek ini sebenarnya boleh membuat rakyat bangga jika penerangan yang cukup dan benar telah diberi.
PRODUCTIVITY - PENGELUARAN

40. Faktor ketiga ialah pengeluaran. Sesebuah kerajaan tidak boleh hidup hanya dengan hanya pengumuman slogan tanpa program yang konkrit. Masalah ini boleh diselesaikan dengan adanya sukatan KPI bagi setiap individu dan unit atau jabatan kerajaan. Sesebuah organisasi ataupun kerajaan tidak boleh mengekalkan kuasa hanya dengan membuat pengumuman tanpa perancangan dan tindakan susulan.

41. Pernah berlaku di masa lalu adanya program yang diumumkan sedangkan pihak jabatan yang sepatutnya bertanggungjawab, termasuk EPU dan ICU, tidak mengetahui mengenai projek yang diumumkan itu.

MORALE - SEMANGAT

42. Faktor morale atau semangat ialah faktor keempat dalam senarai Professor Caplow. Semangat ini hanya akan bersemarak membara jika satu-satu projek itu berjaya. Bertambah banyak projek berjaya maka bertambah tinggi semangat organisasi atau kerajaan.

43. Di zaman Tun Dr. Mahathir kita dapat melihat kejayaan dalam bentuk KLIA, KLCC, Menara Telekom, Proton , Jembatan Pulau Pinang, Pelabuhan Kelang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Lebuhraya Persekutuan, LRT, Putrajaya, Cyberjaya dan lain-lain projek lagi.

44. Dalam beberapa tahun yang terakhir ini kita hanya mendengar mengenai projek dan tiada satu pun yang kita lihat.

45. Akibatnya ialah prestasi yang meleset dalam pilihan raya ke 12.

46. Slogan ' PENCAPAIAN DIUTAMAKAN ' adalah jawapan Dato' Seri Najib yang realistik dan relevan untuk melonjakkan UMNO dan Barisan Nasional ke mercu kejayaan.

PERUBAHAN


47. Faktor kelima, mengikut Professor Caplow, untuk menjayakan sesebuah organisasi ialah 'Perubahan'. Dalam mendukung konsep perubahan ini sudah tentu pemimpin dan ahli UMNO yang ingin mengubah UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan hendaklah mengetahui apa dan kenapa perubahan itu wajib dijayakan.

48. Gejala yang menyebabkan perlu perubahan telah diperkatakan , sekitar tahun 1776, oleh seorang professor sejarah dari Universiti Edinburgh di Scotland, yang bernama Professor Alexander Frazer Tytler perlu mendapat perhatian.

49. ' Demokrasi itu selalunya bersifat sementara; ia tidak boleh wujud sebagai satu bentuk kerajaan yang kekal. Demokrasi itu akan terus wujud sehingga tiba masanya pengundi mendapati mereka boleh mengundi untuk diri mereka sendiri hadiah yang mewah dari perbendaharaan. Pada saat itu, majoriti akan memilih calon yang menjanjikan keuntungan terbesar dari perbendaharaan awam, sehingga setiap demokrasi akhirnya akan runtuh kerana dasar kewangan yang longgar, yang selalu disusuli oleh pemerintahan diktator.'

50. 'Purata umur tamaddun besar di dunia, sejak bermulanya sejarah, ialah sekitar 200 tahun. Dalam masa 200 tahun negara-negara ini maju mengikut urutan:

From bondage to spiritual faith;
( Dari perhambaan timbul semangat keagamaan )

From spiritual faith to great courage;
( Kerana semangat ugama muncul keberanian )

From courage to liberty;
( Dari keberanian datanglah kebebasan )

From liberty to abundance;
( Dari kebebasan datang kemewahan )

From abundance to complacency;
( Dari kemewahan datang kepuasan )


From complacency to apathy;
( Dari kepuasan datang sikap tidak peduli )


From apathy to dependence;
( Dari tidak peduli datang sikap bergantung kepada orang lain )

From dependence back into bondage. '
( Dari bergantung kepada orang lain akhirnya kembali menjadi hamba )


51. Malaysia yang dipimpin oleh Melayu dari UMNO belum merupakan sebuah tamaddun yang besar dan tidak memerlukan 200 tahun untuk hancur.


52. UMNO yang berumur 60 tahun dan memerintah selama 50 tahun sudah cukup lama untuk mengalami berbagai tahap dan perkembangan dari keadaan terjajah ( perhambaan ) kepada dijajah semula ( back to bondage again ) jika UMNO tidak membuat perubahan.


53. Dari urutan perkembangan di atas UMNO harus mengenal pasti kelompok yang di tahap manakah yang sedang merusakkan UMNO, diikuti oleh Melayu dan kemudiannya negara Malaysia.

54. Jika kelompok yang sudah merasa kemewahan menjadi tamak, dan sebelum mereka menjadi puas, mereka memimpin atau berkuasa di dalam UMNO, dan seterusnya memegang tampuk pemerintahan, maka tidak hairanlah 'politik wang' menjadi berleluasa.

55. Ahli-ahli UMNO hendaklah mengkaji dengan teliti urutan apa yang diperkatakan oleh Professor Tytler; ahli-ahli UMNO hendaklah mengecam di peringkat atau tahap manakah mereka berada; seterusnya ahli-ahli UMNO hendaklah mengenal dan menginsafi diri sendiri, samada dirinya menguntungkan atau merugikan parti dan bangsa.

56. Ahli dan pemimpin UMNO hendaklah disedarkan bahawa Allah tidak akan merobah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu merobah dirinya sendiri.

57. Pemimpin UMNO hendaklah 'constructive' dan 'innovative' dalam menerajui kerajaan.

58. Pemimpin UMNO di semua peringkat hendaklah mengkotakan apa yang dikatakan. Kerana rakyat, iaitu pengundi, adalah pemerhati yang menantikan kenyataan.

59. Sementara kita perlu perubahan kita juga perlu tahu apa, dimana dan bagaimana hendak berubah. Asal kita tidak ubah yang tak patut diubah.


Mula dikarang pada 15-10-2009 untuk Berita Minggu 18-10-2009

5 comments:

Unknown said...

What an inspiring and constructive notes! I also impressed with D.S Najib speech. I think Malaysians will wait and see those promised changes.

Edinburgh said...
This comment has been removed by the author.
Edinburgh said...

I've just favourited this blog! It's both very informative and inspiring! I couldn't agree with you more,"Pembaharuan tidak seharusnya memusnahkan tradisi tetapi hendaklah memperkukuh tradisi itu!"

ade said...

Saya merasa komen yang Tan Sri berikan sewaktu Konferen Antarabangsa: War Crimes di PWTC tempohari amat sinis dan kena tepat pada sasarannya.Ramai hadirin kagum ucapan yang menyindir Menteri Pertahanan Spura ketika lawatan di taman Pertanian..pegawai tinggi mereka melompat-lompat kegelian takut pada lintah/pacat..jawapannya jika bala tentera Spura cuba bikin onar (serang?) Malaysia, Tan Sri tahu utk mengajar mereka -kelemahan mereka hanya takut pada lintah/pacat. Ini belum lagi menghadapi bala tentera Malaysia...hehhee!!!Saya tahu kita tidak jemput perwakilan Spura-sepatutnya perwakilan peringkat tinggi mereka hadir. Sewaktu majlis makan tengahari saya bertemu dengan 3 orang rakyat Spura yg hadir . Saya tanya pendapat mereka ttg lawak Tan Sri tentang peg tinggi tentera Spura yg takut lintah/pacat tadi. Mereka hanya terkedu dan malu saja. Tiada komen yg mereka beri atau mereka sendiri tidak pernah nampak lintah dan pacat.Satu lagi sindiran hebat bilamana Tan Sri bertanya kenapa kerajaan Spura beria benar melengkapi bala tentera dan kelengkapan perang spt kapal selam dan jet pejuang.Satu rumusan mudah yang Tan Sri berikan amat mudah iaitu tubuhkan satu Skuad Pembunuh untuk membunuh mana-mana pemimpin yg gila perang- Selesai Masalah!...heheehe

Unknown said...

assalammualaikum ts...pada hemat saya generasi melayu tak usah mengharap sangat pada hak istemewa orang melayu`...suasana dunia hari ini tidak ada belas kasihan...generasi melayu kena berketerampian...untuk berjaya jnerasi melayu mesti mempunyai ciri ciri brikut...beriman...berilmu...berdisplin..setia...rajin...berani...sabar...sederhana... dan beamanah...insyaallah generasi jenis ini dapat di harap jadi pemimpin yang tau memerjuangkan agama,negara dan bangsa..tk.