Wednesday, August 12, 2009

MELAYU LAWAN MELAYU

1. Setelah British dengan pihak sekutunya memenangi perang dunia kedua maka keghairahan untuk meningkatkan kuasa penjajahan di seluruh dunia bertambah. Pihak British umpamanya telah berhasrat untuk mewujudkan gagasan Malayan Union di Semenanjung Tanah Melayu.


2. Pada waktu itu orang-orang Melayu telah bangkit menentang gagasan Malayan Union dan menubuhkan UMNO ( 11 Mei, 1946 ).



3. Setelah melihat bagaimana Jepun, satu bangsa dari timur dan bukan berasal Eropah, telah menduduki Malaya dan menundukkan British di peringkat awal peperangan maka bibit inginkan kemerdekaan telah tersemai di hati sanubari orang-orang Melayu. Berbagai pertubuhan Melayu telah wujud dengan matalamat masing-masing. Pertubuhan dan persatuan inilah yang telah disatukan, dan kerana perpaduan dan azam Melayu yang kukuh untuk memperjuangkan kemerdekaan maka orang-orang keturunan Cina dan India pun telah menubuhkan parti MIC ( Ogos, 1946 ) dan MCA ( 27 Februari, 1949 ) untuk bersama-sama dengan UMNO, memperjuangkan kemerdekaan melalui Parti Perikatan yang dianggotainya.

4. Antara tahun 1946 dan 1951 ada dua aliran pemikiran di dalam UMNO yang boleh dipilih untuk menuju kemerdekaan. Tetapi niat untuk Merdeka tetap ada pada semua pihak. Malahan pihak komunis pun telah berhasrat untuk menjadi juara kemerdekaan dengan cara bersenjata.

5. Dua aliran pemikiran telah membara di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu untuk memperjuangkan kemerdekaan bagi Malaya. Aliran pemikiran pertama ialah saperti perjuangan UMNO yang mahu memerdekakan Malaya sebagai sebuah negara persekutuan yang demokratik dengan sistem raja berperlembagaan.


6. Aliran pemikiran kedua ialah dengan cara bergabung dengan Indonesia dalam apa yang dinamakan di Malaya sebagai 'Melayu Raya' dan di Indonesia di sebut 'Indonesia Raya.' Gagasan ini merangkumi selain Malaya dan Indonesia, termasuk juga negeri dan wilayah lain dalam dunia Melayu di Nusantara.


7. Rancangan ini dipelupuri di Indonesia oleh tokoh saperti Sukarno dan Muhammad Hatta sementara di Malaya pula idea ini didukung, antara lain, oleh tokoh-tokoh seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad ( Pak Sako ), Ahmad Boestamam dan Burhanuddin Al Helmi yang ditemui oleh Sukarno dan Hatta di Taiping di waktu Sukarno dan Hatta singgah dalam perjalanan dari Cambodia ke Aceh. ( Rujukan: Memoir Dr. Suharto - doktor peribadi Sukarno dan bukan Presiden Suharto ).


8. Tujuan Sukarno dan Hatta ke Aceh ialah untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin Aceh supaya tidak menerima tawaran kemerdekaan oleh Belanda kepada Aceh, kerana kemerdekaan Aceh secara terpisah dari Indonesia, hanya akan memanjangkan tempoh penjajahan Belanda keatas Indonesia dan ianya akan menghalang rancangan penubuhan Melayu Raya.


9. Kerana rancangan penubuhan Melayu atau Indonesia Raya inilah maka Bahasa Melayu telah dipilih sebagai bahasa Indonesia.


10. Empat orang pemimpin Aceh dari kalangan ulama yang terdiri dari Teungku Muhammad Dawud Beureu-Eh, Teungku Haji Hasballah Inderaputi, Teungku Haji Hasan Keurung Kale dan Teungku Haji Jakfar Siddiq Lamjabat telah menyokong gagasan untuk menyatupadukan Umat Melayu Islam di Nusantara dan sanggup menolak tawaran kemerdekaan oleh Belanda untuk Aceh berjuang bersama dengan wilayah Indonesia yang lain menuju kemerdekaan.

11. Persatuan Ulama Seluruh Aceh ( PUSA ) di bawah pimpinan Teungku Muhammad Dawud Beureu-Eh dan tiga ulama tadi telah bersetuju menjadi sebahagian dari Indonesia bersyaratkan :

11a. Indonesia dijadikan sebuah Persekutuan dan bukan sebuah Republik,

11b. Indonesia berdiri sebagai sebuah negara Islam, dan

11c. Aceh dibenarkan terus berotonomi dalam kegiatan ekonominya.


( Rujukan: Biography Teungku Muhammad Dawud Beureu-Eh oleh Teungku Mohd Nur El Ibrahimy dan wawancara dengan beliau )


12. Tidak terlaksananya janji inilah yang menyebabkan keadaan politik di Aceh terus bergolak untuk kesekian lamanya.


13. Empat tokoh Melayu yang berjumpa dengan Sukarno dan Hatta di Taiping adalah pemimpin Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ). Nama 'Melayu Malaya' telah digunakan untuk membezakan antara Melayu semenanjung dengan Melayu di Indonesia.

14. Sukarno memberitahu empat pemimpin di Aceh tadi bahawa PKMM di Malaya juga sudah setuju untuk Malaya tidak merdeka secara terpisah dari Melayu Raya. ( Rujukan: Wawancara penulis dengan Teungku Mohamad Dawud Beureu-Eh )

15. Apabila UMNO mengisytiharkan hasrat untuk memperjuangkan kemerdekaan Malaya, secara tersendiri, pihak PKMM telah menarik diri dari UMNO kerana perjuangan UMNO akan mewujudkan negara persekutuan yang beraja dan bukan sebuah Republik.


16. Pihak komunis pula terus berjuang menentang British pada mulanya dan kemudiannya menentang pemerintah Malaya yang merdeka sehinggalah tamat dharurat.

17. Parti PKMM telah diharamkan oleh penjajah British kerana berhaluan kiri. Tokoh-tokoh PKMM kemudiannya telah muncul semula dalam gelanggang politik melalui Parti Buruh aliran sosialis di bawah pimpinan Ahmad Boestamam, Parti Islam di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al Helmy. Ada sebuah parti lagi yang bersifat nasionalis yang di pimpin oleh tokoh-tokoh keturunan Indonesia bernama Persatuan Melayu Semenanjung ( PMS ) yang dipimpin oleh Bung Kahar dan Setiausaha Agungnya Bung Isa.

18. Parti PMS telah diharamkan diwaktu konfrantasi Indonesia kerana mereka menyebelahi Indonesia dan beberapa orang pemimpin mereka telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri ( ISA ). Malahan ada rancangan untuk membunuh Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Lee Kuan Yew dalam jangka masa peristiwa konfrantasi.

19. Setelah Malaya merdeka perlawanan debat antara sejarawan Melayu ialah siapakah pejuang kemerdekaan yang sebenar. Walau pun kemerdekaan yang dicapai ialah mengikut model UMNO tetapi pihak PKMM tetap mendakwa sumbangannya cukup besar dalam menghembus semangat merdeka.

20. Terbukti di dalam sejarah bahawa sumbangan PKMM untuk menghembuskan semangat kemerdekaan adalah besar tetapi UMNO-lah, dan bukan PKMM, yang memerdekakan Malaya. Dakwaan sumbangan PKMM ini dibuat oleh pengarang di kalangan keluarga mereka.'


21. Rakyat Malaya tidak pernah terfikir mengenai dakwaan Chin Peng, di dalam bukunya, bahawa beliau juga adalah penyumbang kepada kemerdekaan Malaya. Dakwaan Chin Peng dan penyokong-penyokongnya mudah ditangkis, lebih-lebih lagi kerana orang Melayu yang berugama Islam tidak menganggap negara itu merdeka jika berideologi komunis.

22. Bagi orang-orang Melayu Parti Komunis Malaya tidak dapat memerdekakan negara Malaya kerana mereka yang menganut fahaman komunis itu sendiri sebenarnya sedang dijajah ideologinya kerana komunis bukan ugama asal mereka dan bukan fahaman asli bangsa penganutnya.


23. Perjuangan UMNO ialah untuk:


23a. menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan;

23b. menjadikan Islam sebagai ugama rasmi negara;24c. menuntuk hak istimewa bagi orang-orang Melayu;


23c. menuntut hak istimewa bagi orang-orang Melayu;


23d. mewujudkan negara demokrasi berparlimen; dan

23e. menabalkan sistem raja berperlembagaan.

24. Apa yang dikatakan oleh PKMM sebagai kemerdekaan yang sebenar, pada pandangan saya, ialah sistem republik yang tidak beraja.

25. Kecuali di Pulau Pinang dan di kota dan bandar Parti Buruh, yang kemudian menjadi Parti Sosialis Rakyat Mereka, dan sebelum bergabung dengan PKR mereka menjadi Parti Rakyat, mereka tidak merupakan saingan besar kepada UMNO dan Perikatan.

26. Bagi parti PMIP, yang kini menjadi parti PAS ketidakpuasannya dengan kemerdekaan yang sudah dicapai ialah kerana negara ini bukan negara syari'ah. Saingannya ialah samada ianya lebih Islam daripada UMNO.

27. Dalam perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih memperjuangkan ugama' cerdik pandai ugama dari UMNO dan PAS sentiasa mengkeritik satu sama lain di dalam ceramah dan pidato mereka. Perlawanan debat yang berterusan ini telah memberi kesan negatif kepada generasi muda yang tidak pernah mendengar adanya kebaikan pada ahli-ahli ugama dan yang didengar ialah keburukan yang dilemparkan antara cerdik pandai ugama dari UMNO dan PAS.

28. Untuk jangka masa yang cukup lama permusuhan PAS dengan UMNO ialah sekitar siapa yang lebih Islam. Kemuncak perselisihan ini ialah pada awal tahun enam puluhan apabila PAS mengkafirkan UMNO.

29. Pengkafiran ini ialah kerana UMNO berkawan dengan China dan India, yang bukan Islam, di dalam Parti Perikatan. Dakwaan balas UMNO ialah dengan membezakan kafir di dalam MCA dan MIC dengan kafir yang menjadi anggota parti DAP. Kafir MCA dan MIC dikatakan 'kafir dhimmi' sementara kafir dalam DAP pula ialah 'kafir harbi' yang tidak menghormati Melayu dan Islam.

30. Sebenarnya jika Dewan Ulama PAS sahaja yang memutuskan samada UMNO itu kafir atau tidak, kerana berkawan dengan kafir di dalam MCA dan MIC, sudah pasti UMNO tidak dikafirkan. Syaratnya tidak dipengaruhi oleh politik tetapi mengikut perhitungan ugama sahaja. Malangnya tidak demikian.


31. Tiga dari anggota Dewan Ulama PAS iaitu Tok Guru Haji Mohd Nor Teliar, Tok Guru Haji Mohd Noor Selising dan Tok Guru Haji Umar Daud berpendirian bahawa UMNO boleh berkawan dengan MCA dan MIC jika ianya untuk keamanan dan tidak merugikan umat Islam. Tokoh politik PMIP di waktu itu telah memfitnahkan bahawa UMNO nak jual ugama dan bangsa sehingga Dewan Ulama PAS telah mengkafirkan UMNO.


32. Akibat dari perlawanan tarik tali untuk meyakinkan siapa yang lebih Islam antara UMNO dan PAS maka Melayu berpecah dan politik Melayu menjadi begitu lemah sehingga tercetus peristiwa 13 Mei, 1969.

33. Setelah peristiwa 13 Mei, 1969 ketiga Ulama PAS yang menjadi anggota Dewan Ulama PAS ini telah menjadi ahli UMNO setelah mereka memfatwakan PAS bolih menjadi anggota Barisan Nasional kerana mengetahui dari Tun Abdul Razak sendiri bahawa persahabatan UMNO dengan MCA dan MIC ialah untuk keamanan negara dan ianya menguntungkan, dan tidak merugikan orang Melayu Islam. Jelas bagi mereka bahawa UMNO tidak berhasrat menjual ugama dan bangsa sebagaimana yang difitnahkan oleh pimpinan politik PAS di waktu itu.

34. Selaku Setiusaha Agong UMNO saya telah bertemu dengan ketiga Ulama PAS ini di waktu mereka di pilih oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi pakar rujuk UMNO di waktu UMNO bersiap untuk berdebat dengan PAS di satu masa dulu. Istanalah yang telah menghalang perdebatan yang tidak akan menguntungkan Melayu atau Islam itu.

35. Setelah mengetahui sikap UMNO dalam bersahabat dengan MCA dan MIC sebagai kafir zimmi itulah maka Ulama PAS telah bersetuju menjadi anggota Barisan Nasional.

36. Perlu diingat bahawa PAS tidak menyertai BN kerana perjuangannya untuk Islam tetapi lebih untuk bersama dengan UMNO mempertahankan hak dan kuasa Melayu yang telah terhakis sehingga mengakibatkan peristiwa 13 Mei, 1969.

37. PAS dan UMNO pada waktu itu menganggap DAP sebagai kelompok 'kafir harbi' yang menjadi seteru kepada kepentingan Melayu dan Islam.

38. Perlawanan debat atas tajuk 'siapa lebih Islam' telah berakhir apabila PAS berada di dalam BN dan perlumbaan atas tajuk ini telah tiada lagi.

39. Apabila PAS terkeluar dari BN maka PAS terpaksa mencari garis perjuangan baru untuk membezakannya dari UMNO. Maka bermulalah isu 'hudud'. Buat sementara waktu 'hudud' telah dipopularkan dan UMNO telah digambarkan oleh PAS sebagai penghalang kepada terlaksananya hukum hudud.

40. Isu 'hudud' dan 'cita-cita mewujudkan negara Islam' kemudiannya terpaksa diketepikan oleh PAS kerana Dato' Seri Anwar Ibrahim telah berjaya menjambatani persahabatan antara PAS dan DAP yang dulunya di anggap 'kafir harbi'.

41. Umum mengetahui bahawa DAP bukan sahaja anti 'hudud', anti kewujudan negara Islam malah anti konsep ketuanan Melayu yang kelihatan padanya melalui hak istimewa orang-orang Melayu yang terjamin dalam perlembagaan.


42. Oleh kerana semua keistimewaan orang Melayu yang ada di dalam Perlembagaan Malaysia dapat dipertahankan oleh sistem kehakiman kita maka sasaran penentang segala keistimewaan orang-orang Melayu telah menghala kecaman mereka terhadap sistem kehakiman kita.


43. Kerana kepentingan politiklah maka PAS menerima DAP sebagai kawan dan bukan kerana ugama. Politik nampaknya lebih penting dari Islam dan Melayu. Sudah tentu kalangan pimpinan politik Melayu yang bersahabat dengan DAP ini akan membisik kepada penyokong-penyokong mereka yang mempersoalkan 'keharbian' DAP itu bahawa mereka perlu bersabar kerana Melayu yang berkawan dengan DAP hanya memperalatkan DAP sahaja untuk mendapat kuasa. Lepas dapat kuasa barulah program Islam akan diketengahkan. Mereka sebenarnya memperkecil kecerdikan pimpinan DAP. Bagi DAP mewujudkan negara Islam hanyalah ' Over my dead body.'


44. Pilihanraya umum ke 11 pada tahun 2004 telah memberi kemenangan yang terbaik untuk BN. Malangnya, kerana sebab-sebab yang sudah banyak dibahaskan dalam Pilihanraya Umum tahun 2008 BN kehilangan Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan selain PAS kekal memerintah Kelantan.

45. Bagi PAS kemenangan ini ialah kerana berkawan dengan DAP dan PKR sebuah parti yang di pimpin oleh wanita Melayu tetapi di kuasai oleh professional dari keturunan India.

46. DAP tahu bahawa kemenangan mereka adalah disebabkan kegagalan kepimpinan BN. Itulah sebabnya DAP dengan terus terang mengharapkan supaya pemimpin UMNO tidak berubah se hingga ke Pilihanraya Umum ke 13, supaya BN kecundang.

47. UMNO pula terpinga-pinga kerana malu dan segan untuk mengakui dan mengiktiraf sebab kekalahannya itu. Adalah lebih mudah bagi UMNO mempercayai bahawa kekalahan BN ialah kerana tiada sokongan dari bukan Melayu. Lebih sukar bagi UMNO untuk menerima bahawa bukan Melayu juga menolak BN kerana kecewa dengan kepimpinan BN. UMNO tentu tahu bahawa di negeri kubu kuat UMNO pun ramai orang-orang Melayu yang dulunya menjadi pengundi UMNO dalam Pilihanraya Umum ke 12 tidak menyokong BN.

48. Mungkin penganalisa UMNO merasa mudah untuk nanti menawan kembali hati orang-orang Melayu dengan berbagai macam program barunya. Oleh itu pimpinan UMNO dalam BN, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin MCA, MIC, PKR, DAP dan PAS terus sibuk berusaha untuk berlomba-lomba menawan hati bukan Melayu.


49. PAS agak toleran terhadap keruntuhan moral dalam PKR; PAS juga ingin mengajar bagaimana arak boleh dijual di Selangor sebagaimana di Kelantan. PAS juga membolehkan Islam dikritik oleh DAP berasaskan kejahilan mereka mengenai Islam. Pemimpin PKR juga menjanjikan untuk bersama dengan PAS dan DAP menghapuskan ISA dan menghapuskan banyak lagi yang dirasakan elok dihapuskan untuk mendapat sokongan bukan Melayu.


50. BN juga memperkenalkan dasar liberalisasi yang nampak bagi orang-orang Melayu tidak menguntungkan mereka. Begitu banyak tidakan BN yang membimbangkan Bumiputera; saperti mengurangkan peratus biasiswa kerajaan untuk Bumiputera dari 95% ke 55% sedangkan biasiswa dari swasta bukan Bumiputera 100% kekal diperolehi untuk mereka sahaja. Orang-orang Melayu juga takut kerana melihat saham amanah untuk Melayu tak habis dijual dan yang Bumiputera tak mampu beli dijual saja kepada bukan Bumiputera.

51. Melayu dan Bumiputera kini bergantung hanyak kepada kepercayaan dan keyakinan mereka bahawa pimimpin mereka tidak lupa pada mereka.

52. Perlombaan antara pemimpin Pakatan Rakyat dan BN ialah untuk 'menawan hati bukan Melayu'. Ini adalah peringkat ketiga setelah lebih dulu UMNO dan PKMM, berlawan 'siapa yang lebih menyumbangkan kepada kemerdekaan', dan kemudiannya UMNO dan PAS bersaing pula 'siapa yang lebih Islam antara UMNO dan PAS'.

53. Sementara Melayu sedang berlomba dari segi 'siapa lebih baik kepada orang-orang bukan Melayu' kini timbul pula 'siapakah pengkhianat bangsa Melayu'.


54. Perlumbaan mengenai tajuk 'Melayu yang manakah lebih berjasa kepada bukan Melayu?' telah banyak mengecewakan orang-orang Melayu dan kurang pasti samaada hati bukan Melayu sudah tertawan. Semuanya bergantung kepada maklum balas yang diterima oleh permimpin-pemimpin BN.


55. Adalah jelas kumpulan yang tidak simpati dengan kedudukan orang-orang Melayu, yang dianggap istimewa itu, walau pun Melayu kurang merasainya dalam bidang ekonomi, sudah menunjuk keberaniannya untuk bersikap kurang sofan kepada raja dan ugama Islam.

56. Jika Melayu mengalah dalam hal ini maka ancaman yang lebih besar akan mengancam negara.

57. Apa yang jelas bagi kita ialah kelompok yang kurang sofan kepada raja dan ugama ini juga adalah sama dengan kelompok yang menentang ISA. Apakah dengan tiadanya ISA mereka akan lebih bermaharajalela lagi.

58. Saya bersetuju dengan Mufti Perak yang mencadangkan supaya mereka yang anti-raja dilucutkan kerakyatan. Malahan kita perlu gantikan ISA dengan ALK atau Akta Lucut Kerakyaatan. Dengan adanya ALK kita tidak perlu sibuk kemahkamah tatapi menentukan supaya mereka yang menentang Islam, Raja, Bahasa Melayu, Hak Istimewa Orang-orang Melayu dan kalangan separatist yang ingin mengeluarkan mana-mana negeri dari dalam Malaysia dan menyokong negara lain yang memusuhi Malaysia dilucutkan kerakyatannya. Akta ALK hendaklah mandatory, terbukti saja salah maka lucutlah kerakyatan tanpa hak hakim untuk meringankan hukuman.

59. Pihak yang menjadi pengkhianat Melayu adalah mereka yang mempersendakan raja, ugama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa orang-orang Melayu, pihak yang ingin memisahkan negeri dari menjadi sebahagian dari Malaysia dan pihak yang memihak kepada musuh negara atau pihak yang memusuhi Malaysia.


60. INILAH SATU LAGI CARA MENUJU SATU MALAYSIA


Dikarang mulai 12 Ogos, diterbitkan dalam Berita Minggu pada 23 Ogos dan diposkan ke blog in pada 24 Ogos, 2009.

9 comments:

Unknown said...

Tulisan TS Sanusi Junid dlm BM berjudul "Melayu Lawan Melayu" patut dibaca dan dihayati makna yang tersirat dari urutan sejarah penghakisan kuasa politik Melayu sejak era kolonial Britih hingga sekarang. Jelas dari tanggapan beliau Melayu hanya menang sorak tapi negara tergadai. Akibat tsunami politik 2008 UMNO yang kononnya memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu menjadi terlalu defensif, dihantui ketakutan hilang kuasa dan habuan yang para pemimpin rakus menikmati selama ini. Kekebalan UMNO sejak 52 tahun memegang tampuk kerajaan kini hilang kuasa kesaktiannya. Mitos yang dicipta dengan slogan retorika kosong Islam Hadhari menjadi senjata politik beracun yg menikam diri sendiri bilamana Islam Hadhari hilang kekeramatannya bila kepentingan kaum keluarga, anak menantu mengatasi kepentingan Bangsa, Agama dan Tanahair. Kini timbul pula slogan Satu Malaysia yg lebih cepat membawa kehancuran dan hakisan politik kuasa Melayu. Tun Razak memerah otak dan berkorban untuk mempertahankan kuasa politik Melayu tetapi malangnya anaknya sendiri kini telah mengkhianati perjuangan bapanya.
Melayu berpecah 3. UMNO, PAS dan PKR. Malah dalam UMNO sendiri sudah kelihatan puak-puak yg bercakaran, saling tikam-menikam, jatuh menjatuhkan sesama mereka. Wahai para pemimpin Melayu sedarlah dari khayalan kalian. Melayu akan hilang kuasa politiknya kalau kalian tidak mencari perpaduan utk memperkukuhkan perjuangan. Bangsa Cina dan India sedar tentang kelemahan kepimpinan Melayu dan mereka terus mendesak dan berani mempertikaikan hak istimewa Bumiputra dan juga kedudukan Raja-Raja Melayu dan sanggup menghina Islam!
Nampaknya para pemimpin Melayu masih membisu dan takut hendak memperjuangkan apa yg menjadi hak kita seperti mana termaktub dalam perlembagaan.
Bacalah perlembagaan dan laksanakanlah dengan penuh tanggungjawab dan keberanian utk mempertahankan hak kita itu. Dalam perlembagaan tidak disebut langsung secara mutlak lain-lain bangsa kecuali Melayu dan bumiputra Sabah dan Sarawak. Kalau para pemimpin Melayuy tidak berani memperjuangkan hak kita dalam perlembagaan apakah Melayu harus menyerahkan nasib bangsa, agama dan tanahair kepada bukan Melayu?
Melayu tenat. Melayu dihina. Maruah Melayu tiada. Para pemimpin Melayu hanya menjaga kepentingan pribadi dan para kroni untuk kekal berkuasa tanpa memperdulikan nasib Bangsa yang semakin terpinggir dari arus pergolakan politik semasa.
Sepuluh jung masuk pelabuhan Melayu masih bercawat lagi. Berjiwa fiudal, miskin ilmu, takut berfikir dan menentang arus kemungkaran yg membaham masa depan anak cucu kita.
Mereka membina mitos merekalah pemimpin2 Melayu terbaik, pembela bangsa, agama dan tanahair. Sebenarnya mereka pengecut, takut kehilangan kuasa dan habuan lalu mereka menjadi pengemis2 politik untuk meraih dan memujuk bukan Melayu mengekalkan kedudukan mereka.
Siapakah sebenarnya pengkhianat Bangsa, Agama dan Tanahair? Kalau anda jujur dalam perjuangan menuntut hak Bangsa, Agama dan Tanahair anda pasti tahu siapakah gerangannya pengkhianat itu. Hanya Melayu bahlol, kaldai kenyang, juak-juak dan pengampu2 rakus yg tak ada harga diri inilah yang akan menjulang pemimpin2 yg gila kuasa sehingga Melayu menjadi pengemis di tanahairnya sendiri.

mohd sayuti omar said...

Assamualaikum, Tan Sri.

Syabas dan tahniah kerana mengemukakan sebuah penulisan bersumberkan faka dan sejarah, yang semestinya mengundang renungan mendalam dari segenap orang Melayu negara ini.

Seharusnya orang Melayu tidak prejudis kepada pandangan Tan Sri kerana semata-mata Tan Sri bekas Setuasaha Agung Umno atau seorang nasionalis totok.

Kalau kita ikhlas untuk melihat Melayu bersatu bagi menguatkan agama, bangsa dan tanahair, tulisan Tan Sri boleh dijadikan titik tolak ke arah itu. Kalau kita belajar dari sejarah, taktik penjajahan memecahkan Melayu, dan bagaimana politik Melayu sebelum merdeka dan kini, kita akan sedar bahawa apa yang ada di hadapan kita kini adalah 'lembaga hitam' yang amat menakutkan sekali dan bahaya.

Tanpa kita sedar dari dulu hingga kini gaya kita berpolitik sebenarnya merugikan diri sendiri dan menguntungkan orang lain. Kita persis menjadi penjolok kepada buah yang tinggi untuk orang lain yang menunggu memunggutnya. Sedih, kita menegang urat dan menepis semut dan kerenga untuk menjoloknya tapi orang lain yang mendapat nimatnya lebih dari kita.

Kita orang Melayu Pas dan Umno berebut atau berlumba untuk menawan hati orang Melayu sejak dulu lagi. Perebutan ini menjelaskan orang Melayu ada kuasa, ada nilai politik. Seperti mana kata Tan Sri sebelum merdeka Umno dan PKMM (Pas) berebut untuk menjadi juara kemerdekaan. Selepas merdeka berebut pula untuk menjadi juara Islam. Apakah manfaat daripada perbuatan itu?

Pada saya kemenangan dalam kedua-dua perjuangan ini subjektif. Kalau Umno boleh diiktiraf sebagai pemenang kemerdekaan, namun ia tidak semua dapat dilakukan Umno. Bukan semua kemerdekaan yang dicapai oleh Umno. Masih ada juzuk-juzuk dalam kemerdekaan itu tidak dicapai dan memerluka kesatuan Melayu, dan inilah yang menjadi pertikaian.

Begitu juga kalau Pas mengaku ianya Islam, ia tidak semua dapat adden yang diperjuangkan itu kalau sekalipun Pas mendapat kuasa saya tidak fikir Pas mendapat keseluruhannya. Untuk menambah nilai merdeka Pas perlu kepada bantuan Umno.

Secara jujur kalau Pas ingin mendaulatkan Islam tentulah mereka perlu memilih kawan yang seagama dan sebangsa dengannya. Tetapi soalnya pula bila ulama parti itu mengkafirkan Umno, maka menyebabkan mereka akan menerima DAP sebagai kafir sedarhana (harbi)yang boleh dipercayai.

Pertentangan inilah yang berlaku dalam komuniti Melayu hari ini. Perwujudan Umno dan Pas membawa kecelakaan kepada orang Melayu! Kita sebenarnya terlebih berpolitik dan meninggalkan keutamaan-keutamaan lain. Baik Umno maupun Pas.

Saya setuju dengan pandangan Tan Sri kuasa Melayu akan terhakis kalau Melayu terus bergaduh. Tetapi untuk membaikan mereka, Umno dan Pas amatlah sukar bagaikan untuk mencampurkan (sebatikan) minyak dan air. Walau dalam bekas sama pun mereka terpisah, tetapi kerterpisahan yang demikian tidak boleh dimanfaatkan oleh bangsa.

Makanya Tan Sri kita perlu kebijaksanaan dan ilmu untuk mencampurkan kedua unsur itu menjadi sebati. Apakah ada kemunasabahannya kalau keduanya di letakkan dalam satu bekas baru?
Ilmu untuk jadi berani seperti yang Tan Sri sarankan perlu. Dengan membuang unsur-unsur yang menolak antara satu sama lain, mungkin ia boleh bercampur. Di sini idea yang dilontarkan Nik Aziz mungkin boleh diterima atau diujipakai iaitu bubarkan Umno dan Pas dan satukan mereka atas nama lain.

Debat mengenai masa depan Melayu ini menarik dan tidak akan kesudahan kerana pemimpin keduanya yakin kepada formula dan kaedah masing-masing. Bagi saya, hanya satu saja cara untuk menyatukan Pas Umno dengan ada satu kejutan kurba. Tanpa kejutan yang boleh menyedarkan kedua pihak yang kini pada saya khayal dan mabuk, maka selamanya kita akan berkecamuk. Tetapi sesudah ada kejutan, barulah saraf kealpaan iu akan pulih.

Tegasnya Tan Sri kita harus merancang atau mencipa apakah bentuk kejutan aau getaran itu. Kalau ia sampai memerlukan kepada sebuah tragedi apa salahnya!

Wassalam dan selamat berpuasa.
MOHD SAYUTI OMAR,(MSO) Kl.

August 22, 2009 11:12 PM

Anonymous said...

Salam Tan Sri,

Saya terkejut melihatkan ada beberapa posting baru dalam blog TanSri. Lama dah saya menanti..dan ternyata berbaloi dengan artikel Tansri yang boleh saya anggap antara yang terbaik pernah saya baca semenjak dua ini. Terimakasih kerana membawa saya menyelusuri sejarah perjuangan/perpaduan Melayu dari saat mencapai merdeka sehingga ke hari ini.

Saya tidak pandai berkata2 tapi teringin juga melontarkan pendapat untuk tatapan Tansri.

Apa yang saya perhatikan, soal perpaduan Melayu hangat diperkatakan sejak PRU12, yakni wujud satu kebimbangan akan masadepan bangsa bila BN dipukul teruk, mengejutkan Umno dari lamunan mimpi indahnya bahawa ia tidak mungkin dicabar dengan serius. Apalagi bila bangsa lain kelihatannya bersatu didalm pembangkang yang turut disertai kumpulan Melayu kedua terbesar iaitu Pas.

Kemungkinan laungan perpaduan yang lebih kuat didengar dari Umno adalah lebih kepada survival politik Umno yang kini terancam ?Kenapa laungan ini tidak kedengaran semasa BN menang besar PRU11 ?

Kerana waktu itu Umno kuat dan mendapat sokongan padu ahli dan rakyat ? Atau waktu itu ketika TDM menyerahkan kuasa kepada PL, negara berada dalam keadaan terbaik dan rakyat mengharapkan PL bakal melengkapkan lagi wawasan yang diwarisi dari TDM ?

Tujuan saya bertanyakan diatas kerana hati kecil saya mengatakan masalah sebenar bangsa Melayu kini bukanlah sangat 'perpaduan Melayu' antara Pas-Umno. Kalaupun Pas-Umno bersatu, apakah itu satu gerenti bangsa Melayu kembali gah, tidak lagi diperlekehkan bangsa lain ?

Bagi saya semua cakap2 perpaduan Melayu kini hanyalah satu alasan untuk menyedapkan diri. Iya, saya tidak nafikan perpaduan orang Melayu itu penting tapi bagi saya jawapan sebenar masalah bangsa Melayu kini adalah PEMIMPIN nya.
(perlu dirungkai lagi tapi saya rasa TanSri dan pembaca lain faham)

Saya bukan ahli mana2 parti.aya pernah mengundi 4x untuk BN dan yang terakhir untuk Pas. Walaupun orang kampung mengatakan saya orang Umno, saya akan jawap saya bukan orang Umno tapi saya orang Mahathir !

Wassallam..

budak-kom said...

aslm tan sri.lama tan sri tak menulis.patut tan sri lebih banyak menulis.tun kata tan sri baca buku lebih banyak dari beliau.dan banyak tun belajar dari tan sri.ramai orang kata tun hebat tapi tun selalu n banyak belajar dari tan sri.patut lah tan sri dan tun berkawan baik.jaga tun baik2 macam pesanan arwah tan sri megat junid kepada saudara mathias chang.tan sri patut menulis lebih banyak lagi mengenai bermacam hal dalam dunia ini.selamat kembali tan sri dan teruskan menulis

Anonymous said...

Yang dihormati TS,

A’kum wbt.

1. Sukalah saya merujuk kepada rencana TS yang bertajuk ‘Perjuangan UMNO sia-sia apabila hak orang Melayu makin terhakis’ yang disiarkan oleh Berita Minggu bertarikh 23 Ogos 2009.

2. Diakui bahawa UMNO telah memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu. Benar bahawa UMNO telah mengangkat martabat Bahasa Melayu (Perkara 152). Setuju UMNO telah memelihara kesucian Agama Islam (Perkara 3). Ya, UMNO telah mempertahankan Hak Keistemewan orang Melayu (Perkara 153) dan tanah rezab (Perkara 89). Sungguh UMNO telah memuliakan institusi Raja-Raja Melayu (Perkara 38).

3. Tetapi setelah 52 tahun merdeka,:

• siapakah yang membunuh tulisan Jawi sehingga menyebabkan anak-anak Muslim tidak panadai membaca al Quran, nipis imannya dan terkuburnya Utusan Melayu?

• siapakah yang menjualkan tanah-tanah rezab Melayu kepada bukan Melayu dan tidak diganti?

• siapakah yang tidak mematuhi Penyata Razak dan melanggar Perlembagaan Malaysia dengan membenarkan SRJK?

• siapakah yang menjual hak Melayu dengan menetapkan kuota perumahan hanya 30% untuk Melayu, menurunkan kuota kemasukan ke IPTA dan biasiswa ke 55%, kini menghapuskan pula kuota ekuiti unuk Melayu?

• siapakah yang memberikan kawasan majoriti Melayu kepada bukan Melayu untuk bertanding?

• siapakah yang serahkan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada bukan Melayu sedangkan ADUN UMNO adalah yang teramai di masa lalu?

• siapakah yang menyebabkan orang Melayu Pulau Pinang merempat seperti orang Melayu di Singapura?

• kini siapakah yang bersedia menggugurkan ‘kaum’ dan ‘agama’ daripada semua dokumen rasmi?

http://darahtuah.wordpress.com/2009/08/26/gugurkan-kaum-dan-agama/

• lantaran itu, siapakan yang menlenyapkan Semenanjung Tanah Melayu, bangsa Melayu dan agama Islam nanti?

4. Jawapannya? UMNO?

5. Akuilah bahawa UMNO bukan sahaja telah memberi ‘betis’ bahkan telah memberi ‘peha’ juga kepada bukan Melayu. Apa hasilnya? Mereka akan tetap tinggalkan BN/UMNO, seperti yang terbukti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan, terakhir, di Permatang Pasir. Pemimpin UMNO masih tak pandai membaca fakta politik? Buta huruf?

6. Seperti yang pernah saya tuliskan, usaha-usaha tolak ansur yang dibuat oleh DS Najib, saya maintain, tidak lebih daripada ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendung berciciran’. Keputusan di Permatang Pasir, khususnya di Kg. Cross Street, Permatang Pauh dan Sama Gagah, mengukuhkan lagi pandangan saya.

7. Yang menjadikan Melayu terus dirundung malang ialah kerana adanya Melayu lain yang sanggup pula memberi ‘celah peha’ kepada bukan Melayu demi untuk menjadi PM. Dia sanggup menjadi ‘hulu kapak’ yang bersedia untuk menumbangkan ‘pohon’ yang besar. Justeru, bukankah orang yang sedemikian itu merupakan pengkhianat bangsa?

8. Pada masa yang sama ‘kaduk sudah naik junjung’ dan ‘telunjuk sudah mencocok mata’. Dalam situasi sedemikian itu, ‘sebelum nasi menjadi bubur’, maka sudah wajarlah ALK diperkenalkan.

Terima kasih.

Darahtuah.

Halim Tuah said...

PAS KAFIRKAN UMNO KERANA PERINTAH MALAYSIA DENGAN PARTI BUKAN ISLAM
Sejak tahun 1964 PAS telah menyatakan UMNO kafir kerana berkongsi kuasa memerintah Negara ini dengan para pemimpin bukan Islam seperti MCA & MIC kerana PAS menyifatkan perkongsian kuasa yang dilakukan oleh UMNO bercanggah dengan ajaran Islam.

Tetapi sebaliknya bila PAS hendak menyertai PR, TG Hadi Awang berfatwa pula dalam bukunya yang bertajuk “AMANAT HAJI HADI – PENGHURAIAN DAN PENJELASAN” di mukasurat 8 & 17 menyatakan bahawa HARUS bekerjasama dengan dengan orang bukan Islam. Sewaktu PAS menyertai Kerajaan Campuran dengan UMNO/BN di tahun 1973-1977, TG Nik Aziz dalam bukunya yang bertajuk “SIKAP SAYA” terbitan 15 Disember 1977 di mukasurat 3 memetik fatwa Dewan Ulamak PAS Pusat bahawa “Kerajaan Campuran adalah HARUS dan diTARJIH oleh Kongres”

Dengan itu jelas sekali PAS memang mempermainkan Hukum Allah dan berfatwa mengikut kepentingan politik dan bukannya kepentingan Islam. Sebab itu hukum-hakam dalam PAS boleh berubah mengikut isu dan kepentingan politik, sehingga PR menjadi HALAL WAJIB disokong, sementara UMNO/BN menjadi HARAM dan WAJIB ditentang. Surah al-An’am ayat 57 Surah an-Nisa’ ayat 46.

http://www.youtube.com/watch?v=PRzYG9vJXAQ

http://www.youtube.com/watch?v=D8Dw3Pv1Lbc

http://www.youtube.com/watch?v=LtRlJNbS_Ec

melayu yang memerhati said...

Melayu oh melayu,especially those in malaysia...
Bangunlah dan sedarlah bahawa u can never be friends or even supporters of DAP..
Looking at it now,the malays in PKR and PAS are thinking that they are making use of DAP but in actual fact it is DAP who are making use of those stupid malays,such as the defacto leader of PKR.
Wahai kaum melayu,sesungguhnya saya bukan lah anak bumi tetapi saya sangat berharap agar BN dan UMNO tetap bersatu dan terus memerintah negara Malaysia yang tercinta kerana sekiranya tumpas BN di PRU yg akan datang, maka di situ jugalah akan tumpasnya dan lenyapnya orang-orang Melayu.
Percayalah, pengkhianat seperti DSAI tidak mungkin dan tidak mampu membela nasib melayu sekiranya BN tumpas.
Dengarlah rintihan ku,,sesungguhnya saya bukan dari negara mu tetapi saya sangat cintakan bangsa Melayu..
Takbir!!

Anonymous said...

Kepada kedua-dua nasionalis 'Didi' dan 'darahtuah':

Tahniah di atas penulisan tn/pn yang padat, jitu dan tepat! Kalian berdua berjaya meluahkan apa yang tersirat di dada.

Apakah perbezaan antara Malaysian Malaysia dan 1Malaysia? Akhirnya orang bukan Melayu telah berjaya di dalam misi mereka. 48 tahun akan datang merupakan tempoh yang amat penting bagi bangsa Melayu. Kesilapan pemimpin Melayu hari ini tidak mungkin dapat diperbaiki lagi sekiranya negara ini tumpas ke bangsa lain. Tengok sahajalah bagaimana pulau Singapura dengan cepat dipenuhi oleh bangsa asing, walhal satu masa dahulu itulah kampung halaman orang Melayu.

Kelonggaran Program Malaysia My2nd Home, kemasukan pelajar2 serta pelancong asing secara berleluasa kini digunakan sepenuhnya bagi mengurangkan komposisi bangsa Melayu di negara ini.

Pada masa yang sama, siapakah yang menyerahkan kementerian2 strategik kepada pemimpin asing? UMNO.

Siapakah yang menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan (MECD) bagi membantu usahawan Melayu? UMNO juga.

Adakah anda yakin, anda masih mahu memberikan undi anda kepada UMNO pada PRU-13 ini? Think again!

Unknown said...

salam dan doa untuk semua...pada perkiran politik semasa sudah tidak ada satu parti yang manpu membela bangsa melayu..inilah akibat daripada melayu berpecah...harapan saya akan ada peminpin melayu yand boleh menyatukan bangsanya...bersatu kita teguh berpecah kita roboh...jika dah roboh ranap lah kita..