Monday, January 4, 2010

KEMBALINYA SEORANG PRESIDEN

GUS DUR DALAM KENANGAN

1. Qoluu Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji'un

2. Saya telah mengenali Gus Dur sejak beliau belum kehilangan penglihatan. Pertemuan pertama ialah sekitar tahun 1971 apabila beliau hadir dalam satu seminar di Dewan Kolej Islam Petaling Jaya. Seminar itu ialah anjuran PKPIM ( Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia ) yang saya menjadi penasihat kewangannya. Turut hadir dalam majlis yang sama ialah seorang pejuang Islam dari Pakistan yang bernama Inamullah Khan.


3. Saya telah berjumpa kembali dengan Inamullah Khan di waktu saya hadir dalam Muktamar Parti Jemaat Islami Pakistan di Islamabad di waktu saya menjadi Setiausaha Agung UMNO. Saya telah mewakili UMNO dalam muktamar itu dan sekaligus menyampaikan sepucuk surat dari Y.ABhg. Tun Dr. Mahathir kepada Presiden Pakistan Zia Ul Haq yang merasmikan muktamar itu. Inamullah Khan ialah Presiden Parti Jema'at Islami. Saya akan tulis di satu hari nanti mengenai kandungan surat Tun Dr. Mahathir kepada Zia Ul Haq itu.

4. Gus Dur pula telah saya temui beberapa kali di waktu beliau menjadi pemimpin parti PKB ( Partai Kebangkitan Bangsa ) sebelum beliau menjadi Presiden, dan beberapa kali lagi setelah beliau menjadi Presiden. Beliau telah berjanji kepada saya, dan telah membuat pengumuman di waktu beliau melawat Aceh sebelum menjadi Presiden, untuk membuat referendum di Aceh untuk meninjau pendapat rakyat Aceh mengenai perjuangan kemerdekaan.

5. Pada mulanya Gus Dur tidak berhasrat menjadi Presiden kerana beliau ditawarkan menjadi Pengerusi MPR ( Majlis Permesyuaratan Rakyat ). Beliau telah datang ke rumah saya di Bukit Damansara di waktu saya berada di Jakarta. Kerana saya tiada di rumah beliau terus ke Rawang untuk berjumpa dengan Pemimpin Arqam, Ustaz Asha'ari. Walau pun ajaran Arqam dianggap sesat di Malaysia tetapi Ustaz Asha'ari, yang berketurunan Jawa, sangat berpengaruh di kalangan Nahdatul Ulama di Indonesia. Bila Ustaz Asha'ari bertanya pada Gus Dur atas sebabnya Gus Dur menerima jawatan Pengerusi MPR sedangkan ada peluang menjadi Presiden, saya difahamkan Gus Dur memberitahu kepada Ustaz Asha'ari bahawa 4 ulama penting tidak menyokongnya untuk jadi Presiden. Lantas Ustaz Asha'ari telah menulis surat kepada 4 ulama berkenaan yang akhirnya telah turut menyokong Gus Dus untuk jadi Presiden. Akhirnya Gus Dur jadi Presiden dan tempat yang dijanjikan untuknya telah dipegang oleh Amien Rais.

6. Dalam semua pertemuan saya dengan Gus Dur saya telah didampingi oleh Allahyarham Bapak Toni Suryo dan isterinya Ibu Astrid yang juga sahabat karib Gus Dur. Kebetulan pula Toni, Astrid dan isteri saya sama-sama belajar di sekolah CIKINI dan TELADAN. Mereka juga berjiran di Menteng.

7. Dalam pertemuan saya yang pertama dengan Gus Dur saya terharu kerana, walau pun saya diberi waktu selama 15 minit kami telah berbincang sampai lebih satu jam. Saya teringat bagaimana marahnya apabila sekretarinya masuk mengingatkan beliau mengenai temu-janji selepas saya telah menunggu begitu lama. Gus Dur terus marah dengan nada keras, dan dengan tangannya menunjuk arah keluar sampai tumpah teh di cawannya. Katanya ' jangan diganggu .... saya dengan sahabat lama ..'. Gus Dur begitu insaf bahawa beliau boleh menjadi Presiden, walau pun tanpa penglihatan, semata-mata kerana 'kekuasaan Allah.'

8. Malah Gus Dur telah mengingatkan kepada saya isi perbincangan saya dengannya pada tahun 1971 di mana, katanya, saya telah menyatakan kepadanya bahawa 'negara Islam tidak mungkin wujud di Malaysia secara demokrasi kerana peratus rakyat bukan Islam terlalu banyak, tetapi Indonesia boleh menjadi negara Islam melalui cara demokrasi kerana peratus Umat Islam begitu ketara. Gus Dur menyatakan perlunya bantuan kawan-kawan jika mahu kearah itu.

9. Dalam pertemuan berikutnya saya telah memberitahu Gus Dur bahawa bank BCA, sebuah bank komersial yang terbesar di Indonesia, hendak dijual. Bakal pembelianya ialah ABN-AMRO sebuah bank Belanda yang dikuasai oleh Yahudi. Gus Dur telah bersetuju dengan cadangan saya supaya syarikat IIUM Holdings Sdn. Bhd. sebuah syarikat, yang bermodal dua ringgit, milik penuh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, yang saya menjadi Presidennya di waktu itu, untuk membeli bank ini, dan menjadikan BCA sebagai sebuah bank Islam yang terbesar di dunia. Gus Dur bersetuju.

10. Setelah balik ke Kuala Lumpur dan memaklumkan hasrat saya kepada Tun Dr. Mahathir, Tun telah mendedahkan dalam satu ucapannya di Melaka mengenai adanya rancangan sebuah bank yang dikuasai oleh Yahudi yang ingin mengambil-alih sebuah bank terbesar di Indonesia maka, saya diberitahu, rancangan pengambil-alihan BCA oleh ABN-AMRO telah terbatal.

11. Saya telah bertemu dengan Gus Dur sekali lagi untuk memaklumkan kesanggupan IIUM Holdings Sdn. Bhd. untuk membayar $1billion untuk membeli sebahagian dari saham BCA untuk dijadikan sebuah bank syariah. IIUM Holdings Sdn. Bhd. akan mendapat dukungan dari orang kaya dan berpengaruh di Dubai. Gus Dur gembira dan berjanji akan mengenengahkan cadangan ini.

12. Beberapa hari kemudian saya mendapat makluman dari Toni Suryo bahawa rancangan mengislamkan BCA tidak dapat dilaksanakan kerana, mengikut Gus Dus, Volcker mantan Presiden Federal Reserve Bank Amerika Syarikat, sebagai salah seorang penasihat ekonomi Indonesia ( seorang lagi ialah Lee Kuan Yew ),
telah tidak bersetuju.

13. Dalam pertemuan saya berikutnya dengan Gus Dur beliau telah melafazkan dukacitanya atas kegagalan rancangan untuk Indonesia memimiliki bank Syariat Islam yang terbesar di dunia. Bila saya bertanya padanya mengenai janji referendum untuk Aceh Gus Dus menyatakan dia tidak mahu tersilap seperti mantan Presiden Habibie yang mengharapkan rakyat Timur-Timur menolak kemerdekaan di dalam referendumnyanya yang berlaku ialah sebaliknya.

14. Walau pun saya sedih kerana Gus Dur tidak mampu melaksanakan janjinya tetapi saya tetap mengenang dan menghargai niatnya yang baik dan keikhlasan persahabatannya.

15. Marilah kita berdoa kepada Allah s.w.t. semoga beliau ditempatkan di kalangan hamba pilihanNYA.

2 comments:

Anonymous said...

Salam Tan Sri,

Jelas di zaman Allayarham menjadi Presiden, beliau seolah-olah menjadi Presiden untuk sementara waktu sahaja.

Untuk menguruskan sebuah negara yang cukup komplek seperti Indonesia memerlukan seorang pemimpin yang mempunyai kekuatan minda, karisma, ilmu pengetahuan, keberanian dan semangat juang yang luar biasa.

Gus Dur mungkin mempunyai sebahagian sahaja darinya. Utusan Malaysia pernah menyiarkan di muka depan gambar beliau tertidur dalam satu majlis yang turut dihadiri oleh Megawati dan gambar itu tidak menyenangkan sekali.

Dalam satu majlis di Kuala Pilah saya pernah bertanyakan pendapat dan komen Tun Dr Mahathir tentang gambar tersebut yang diketawakan oleh para hadiran.

Tun telah menjawab dengan panjang lebar dan menepati maksud soalan saya iaitu apakah boleh sesebuah negara diuruskan hanya melalui mimpi.

Apapun saya juga turut mengkagumi beliau..Alfatihah.Jokiden, NSDK.

Ismail Ibrahim said...

Yang Berbahagis Tan Sri,
Alhamdulillah dapat kita bertemu di dalam blog ini setelah lama terputus hubungan. Saya telah balik ke UKM lebeh setahun yang lalu sebagai Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim.
Saya bertemu dengan Allah Yarham Gus Dur masa kami menghadiri seminar anjuran Japan Institute of Foreign Affairs di Yokohama, masa saya masih KP IKIM dan beliau masih dapat melihat, sekitar tahun 1997 - 98. Turut hadir ialah sarjana lain dari US. Seminar itu mengenai Muslim Culture.
Ilmunya dan visinya memang baik, dia seorang pemikir. Semoga Allah merahmati rohnya.
Saya baru buka blog sendiri dalam sebulan ini, baru tulis sikit2. Alamatnya ialah _ profismail.blogspot.com
Wassalam