Monday, February 8, 2010

FUNDAMENTAL, MADANI, HADHARI, KRONI & IMIGRAN - PERKATAAN YANG DIBURUKERTIKAN

USAHA MEMUTARBELITKAN ERTI PERKATAAN

PENJAJAHAN BUDAYA

1. William Shawcross di dalam bukunya 'The Sideshow' telah mendakwa bahawa kekalahan Amerika Syarikat di bidang ekonomi di dunia tidak perlu menjadi kebimbangan besar kerana kekalahan itu diimbangi dengan kejayaannya melakukan penjajahan budaya di serata dunia, seperti mempopularkan lagu-lagu pop dan wujudnya rangkaian restoran seperti McDonald dan Kentucky Fried Chicken yang merobah ala cara makan masyarakat dunia. Begitu penting penjajahan budaya sebegini bagi Amerika Syarikat sehingga di satu masa dulu pinjaman Bank Dunia kepada negara China telah dilambatkan sehingga China membenarkan konsert Michael Jackson membuat persembahan di China dan cawangan restoran McDonald mendapat izin untuk beroperasi di Beijing.


PERKATAAN YANG DISALAHTAFSIRKAN
ISLAM DISAMAKAN DENGAN TERRORISM ATAU PENGGANAS 

2. Selain dari penjajahan budaya pihak Barat dan kuncu-kuncunya juga begitu pintar menggunakan senua saluran media baik media cetak, elektronik atau pun siber, sehingga pada masa ini ugama Islam sudah dijadikan oleh mereka seolah-olah sebagai satu ugama yang sama atau 'synonym' dengan pergerakan 'terorism' atau pengganas di dunia ini.

KEINGINAN MEWUJUDKAN MASYARAKAT ISLAM

3. Mulai akhir tahun enam puluhan dan awal tahun tujuh puluhan kegiatan dakwah Islam telah berkembang luas di seluruh dunia, sehingga menimbulkan hasrat dan semangat pada Umat Islam untuk mewujudkan 'Masyarakat Islam' di dunia.

4. Tiba-tiba, kerana kezaliman Yahudi, yang didukung oleh Amerika Syarikat dan Britain, ke atas Umat Islam di Palestin, wujudlah 'suicide bombers' atau pasukan yang nekad kerana terlalu kecewa dengan keadaan di Palestin dan berani mati untuk menyerang pihak yang pro-Israel. Kelompok berani mati ini pada mulanya digelar sebagai 'terrorist' atau pengganas.

PENGGANAS DIGELAR FUNDAMENTALIS


5. Untuk memburukkan nama Islam maka 'suicide bombers' atau pasukan pengebom membunuh diri, yang digelar 'terrorist' atau pengganas ini telah digolongkan dalam kalangan 'fundamentalist' Islam.

6. Di peringkat ini kita mendengar Tun Dr. Mahathir telah menolak gelaran fundamentalist Islam ini jika ianya diberi kepada yang mengganas atas nama Islam, kerana jika kita menerima label ini ke atas mereka berertilah fundamental Islam itu salah dan tidak baik. Kita katakan pengganas, atau teroris, yang bergerak atas nama Islam itu bukan 'fundamentalist' kerana jika mereka itu 'fundamentalist' Islam maka mereka adalah orang yang baik kerana 'fundamental' Islam itu baik.

MASYARAKAT ISLAM DITUKAR DENGAN MASYARAKAT MADANI

7. Sewaktu dengan masa Malaysia sibuk mempertahankan fundamental Islam sebagai baik, dan masyarakat Islam juga baik, Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan rakan-rakannya di Indonesia, seperti Nurcholis Majid dan Amin Rais telah mempromosikan idea reformasi senada dan semasa dengan waktu idea mewujudkan Masyarakat Madani. Malahan dalam usaha melemahkan perjuangan mewujudkan masyarakat Islam Nurcholis dan Amin, yang mendapat pendidikan ugama di Chicago, telah menyatakan bahwa tidak ada konsep negara Islam dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

8. Amin Rais telah menyatakan perkara ini dalam sebuah wawancara di Majalah Panji Masyarakat. Mohammad Roem dalam reaksinya terhadap kenyataan Amin Rais ini mengesahkan tidak tersebut secara khusus nama negara Islam walau pun ianya wujud. Selanjutnya Nurcholis Madjid, yang sedang belajar di Chicago, telah menulis surat kepada Roem dan surat menyurat antara mereka berdua telah dibukukan dengan tajuk 'Tidak Ada Negara Islam; Surat-surat Politik Nurcholis Madjid - Mohammad Roem'. Tajuk buku ini jelas menyesatkan, seolah-olah Roem menafikan keberadaan negara Islam, seperti pandangan Amin Rais.

MADANI BERUBAH KEPADA HADHARI

 9. Bagi yang tidak memahami erti konsep 'madani' yang dicanangkan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim, ianya tidaklah berbeza dengan 'hadhari' yang diketengahkan di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri. Madani dan hadhari ertinya 'civilised' atau bertamaddun. Perkataan madani berasal dari Arab yang dipopularkan di Indonesia sementara hadhari adalah perkataan Arab yang dipopularkan di Malaysia.

10. Sementara Masyarakat Madani, yang di dalam bahasa Inggerisnya ialah 'civil society' itu tidak terbatas kepada orang-orang Islam sahaja, Islam Hadhari pula terbatas kepada Umat Islam tetapi pendekatannya, mengikut yang Tun Abdullah katakan kepada saya ianya ialah satu pendekatan yang boleh diterima oleh George W. Bush, Tony Blair dan Perdana Menteri Australia walaupun Duta-Duta Negara Islam yang menduduki Majlis Universiti Islam Antarabangsa telah berpendapat pendekatannya akan menambahkan lagi salah faham di kalangan Umat Islam di dunia yang memang sudah pun mempunyai banyak masalah.

11. Mengikut pendapat Ulama dalam keluarga saya jika sesuatu kerja Umat Islam itu paling digemari dan disokong oleh golongan kafir maka berertilah kerja kita itu berkemungkinan sudah mula tidak betul.

KRONISMA DAN NEPOTISMA


12. Satu perkataan lagi yang menjadi bahan celaan umum ialah 'kronisma' dan 'nepotisma'. Kronisma bererti membantu kawan sendiri dan jika yang dibantu itu ada hubungan keluarga maka disebut nepotisma. Manipulasi media telah membuat perkataan kronisma dan nepotisma itu dua perkataan yang membawa erti yang tidak baik. Sedangkan di zaman Rasulullah s.a.w. bukan sahaja sahabatnya tetapi juga keluarganya diberi jawatan dan kedudukan jika didapati layak. Malahan ada banyak tokoh yang berkebolehan yang dari kalangan sahabat Rasulullah s.a.w. yang diberi jawatan dan banyak juga yang berkebolehan yang tidak ada hubungan keluarga dengan Rasulullah s.a.w. yang kemudiannya, melalui pernikahan, telah menjadi anggota keluarganya. Kronisma dan nepotisma dalam pengertian sekarang memberi gambaran seolah-olah Saidina Abu Bakar tidak layak menjadi Khalifah selepas Rasulullah s.a.w. wafat kerana beliau adalah bapa mertua Rasulullah s.a.w.; dan Saidina Usman juga tidak layak menjadi Khalifah kerana menikah dengan dua orang puteri Rasulullah, begitu juga Saidina Omar yang tidak mungkin boleh dijadikan Khalifah kerana anaknya menikah dengan Rasulullah s.a.w.. Begitu juga Saidina Ali yang selain menjadi sepupu Rasulullah juga menjadi menantu Rasulullah s.a.w.. Tidakkah ini nepotisma namanya? Malahan seluruh rangkaian kepimpinan Islam di zaman Rasulullah s.a.w. dilantik dari kalangan kronisma dan nepotisma.

13. Islam malah menyeru Umatnya supaya bermula dengan diri kita kemudian atas mereka seterusnya. Dalam Islam yang penting ialah kelayakan dan bukan ada atau tidak hubungan keluarga. Malahan jika seseorang Muslim itu ingin mendapatkan menantu adalah penting kita melihat kepada syarat-syarat yang baik yang ada padanya. Oleh kerana seseorang yang baik itu mungkin layak menjadi menantu kita tidak logiklah jika ia tidak boleh menjadi menantu kalau mahu kerja atau tidak boleh bekerja jika menjadi menantu.

BUKANKAH IMIGRAN ITU PENDATANG ATAU ORANG YANG BERHIJRAH

14. Akhir-akhir ini perkataan imigran pula yang dijadikan bahan untuk bertelingkah antara kaum di negara ini. Walhal imigran itu tidak ada bezanya dengan hijrah, iaitu tindakan Nabi untuk berpindah ke Madinah waktu menghadapi masalah di Mekkah. Apakah menjadi imigran atau pendatang ke Madinah satu penghinaan. Bukankah hijrah itu begitu mulia sehingga tahun kalendar Islam dimulakan dengan Hijrah.

BEZA IMIGRAN DALAM SATU WILAYAH DENGAN IMIGRAN BERPINDAH WILAYAH

15. Di Malaysia ini, bila kita sebutkan China atau India itu imigran dengan sendirinya Melayu juga dipanggil imigran oleh mereka kerana banyak orang-orang Melayu di Malaysia yang berasal dari Bugis, Jawa, Banjar, Mandailing, Betawi, Sunda, Minangkabau, Riau atau Aceh. Jika Melayu yang keturunannya datang dari kepulauan Melayu di Nusantara dianggap sebagai perantau atau imigran maka orang China dari Shanghai menjadi imigranlah bila mereka berada di Canton atau orang China dari Taiwan menjadi pendatang bila pergi ke Beijing atau Hong Kong. Apakah orang keturunan India dari Madras menjadi pendatang jika berada di New Delhi. Tentulah manusia yang siuman dapat membezakan semua ini.

BUKANKAH RATA-RATA PENDATANG LEBIH BERJAYA

16. Tetapi yang penting ialah kenapa perlu malu atau merasa terhina jika menjadi seorang imigran. Tidakkah yang menjadi Presiden Amerika Syarikat semuanya imigran dari Inggeris belaka. Apakah kita mahu dianggap Bumiputra jika hanya setakat mencapai status 'Red Indian' di Amerika Syarikat atau orang Maori di New Zealand atau 'aborigines' atau orang-orang asli di Australia.

17. Malah sebuah gereja di Amerika Syarikat telah menyelidik dan menemui bahawa Perdana Menteri Australia ialah keturunan seorang banduan dari Britain yang ditangkap atas kesalahan mencuri seluar dalam seorang wanita. Malahan Perdana Menteri mungkin bangga dengan kejadian itu kerana jika tidak dengan kecurian itu mungkin beliau tidak sampai ke Australia dan justru itu tidak akan menjadi seorang Perdana Menteri di sana.

IMIGRAN MELAYU DI BRITAIN

18. Yang penting kita sedari seseorang yang berjiwa imigran selalunya lebih gigih dari penduduk setempat di mana juga kerana mereka lebih rajin dari penduduk asli. Itulah sebabnya kita lihat ramai tokoh-tokoh Melayu seperti Jaafar Shawal yang telah berjaya membuka restoran 'Satay House' di London dan di Jeddah setelah beliau belajar berdikari sebagai imigran di Britain mulai tahun 1969. Jaafar memberitahu kepada saya dia bekerja cukup kuat sebagai imigran kerana tiada kawan atau jabatan yang akan menolongnya. Mahu tidak mahu mereka yang berketurunan China, India dan Melayu ( yang berasal dari Indonesia ) juga berjaya  kerana pada mulanya tidak ada pihak yang sudi membantu mereka dan mereka terpaksa berdikari.

19. Salah satu dari sifat orang-orang yang berpindah untuk bekerja di tempat yang tidak ada orang yang dikenalinya ialah mereka tidak malu memilih jenis pekerjaan dan sanggup bekerja kuat walau sebagai buruh atau kuli sekalipun, apatah lagi jika sudah terdesak. Saya pernah berjumpa dengan Din, seorang kawan saya waktu di Sekolah Melayu Yan, Kedah, yang sedang berniaga air tebu dan air kelapa muda dekat perhentian bas di Johor Bharu. Din sungguh bersemangat bila dia lihat saya sebagai Menteri yang sedang mempopularkan air kelapa muda. Din memberitahu saya dia hampir kaya menjual air tebu dan air kelapa dan sering terbang balik ke Kedah melalui Pulau Pinang setelah menaiki kapalterbang di Sinai dan kadangkala di Singapura. Bila dia jumpa kawan-kawan di Kedah dia beritahu mereka dia sedang buat bisnes 'dekat Singapura'. Dia ketawa bila dia katakan 'dekat Singapura' kerana Johorlah maknanya. Bila saya tanya Din kenapa dia tak jual air tebu dan air kelapa di Penang atau Alor Setar, Din memberitahu saya jika dia berniaga berdekatan dengan kampung halaman kawan-kawan akan gelarkan dia 'Din Tebu' atau 'Din Nyiok' dan terlalu ramai pula yang akan datang minum secara percuma. Kami berdua tidak dapat menahan ketawa besar.

20. Bila orang keturunan Melayu, China dan India meminta izin bekerja atau taraf penduduk tetap di Australia, New Zealand, Canada dan Amerika Syarikat apakah mereka meminta jadi Bumiputra di sana atau pun mereka mengisi borang untuk menjadi pendatang atau imigran? Kenapa tidak malu jadi imigran di sana? Adakah kerana bangsa yang kulitnya berwarna masih merasa diri lebih rendah dari bangsa kulit putih walau pun mereka, sebahagian darinya, di Australia dan Amerika Syarikat, adalah dari kalangan mereka yang menjalankan hukuman atas kesalahan di negara asal mereka.

BANGGA JADI IMIGRAN

21. Semua rakyat Malaysia yang keturunannya datang dari Nusantara, di luar Malaysia, dari China dan dari India hendaklah bangga dengan statusnya sebagai imigran yang berjaya. Janganlah sekali-kali kita ubah makna sesuatu perkataan dan lepas itu kita marah dengan makna baru yang disogokkan kepada kita.

22. Kita patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana menjadikan kita rakyat Malaysia atau sekurang-kurangnya menjadi pendatang dengan izin berkerja di Malaysia. Kita juga patut memahami makna sebenar sesebuah perkataan supaya kita tidak mudah diperdayakan oleh pihak-pihak yang mempunyai niat jahat yang mengelirukan, dan melaga-lagakan antara sesama kita.

7 comments:

Nora Isma Fuad said...

as salam Tan Sri...

Tertarik sangat dengan manesfistasi Tan Sri tng imigran,nepotisme,konsep tamadun etc. Kadang2 sebagai 'guru'terasa kelu jika ditanya soalan yang bukan2 oleh murid. Sekarang,saya sudah 'lebih celik' jika diasak dengan soalan lagi. Thanks.

Anonymous said...

Salam Tan Sri,

Kadang-kadang orang Cina dan India yang berada di sini sememangnya berasa sensitif apabila kita mengatakan mereka pendatang, sedangkan itu fakta.

Semata-mata untuk faedah politik kaum ini akan memenupulasikan status mereka dan sering mengatakan mereka merupakan minoriti yang terpinggir dan sering dizalimi. Ada yang sanggup mengadu sehingga ke Ratu England dan PBB. Ada juga bangsa Melayu yang menyokong mereka pun atas dasar kepentingan politik.

Baru-baru ini terdapat juga tokoh politik MIC yang seperti orang hilang ingatan meminta kerajaan menghalalkan kehadiran tanpa kesan seramai lebih 39,000 warga India.

Seperti catatan Tan Sri, kaum imigran selalunya berjaya di mana sahaja, mungkin asalnya demi untuk hidup.

Anihnya Tan Sri orang-orang seperti Annanda Krisnan dan Tan Sri Francis Yeo tidak pernah mempertahankan kerajaan di dunia antarabangsa apabila isu yang mengatakan kerajaan sering menindas kaum minoriti dibangkitkan.

Beribu profesyenal di Malaysia terdiri daripada kaum India dan Cina. Bolehkah mereka berjaya jika kerajaan selamanya menindas mereka?.

Jokiden, NSDK.

Pak Mat Tempe said...

Salam hurmat Tan Sri semoga di anugerahkan Allah kesihatan yang baik.

Saya sungguh tertarik dengan tulisan Tan Sri dimana ia banyak memberikan pengetahuan kepada pembacanyanya disamping berkongsi pengalaman yang melucukan.

Kalau boleh ditambah penjajahan budaya itu termasuk berpakaian dimana seluar baju(jeans) berjenama Lee dan Levi's telah menguasai seluruh pelusok dunia sampai tok arab pun dengan bangganya memakai brand tersebut. Kalau nak dikirakan tak lah cantik sangat berbanding dengan harganya tetapi menjadi kegilaan golongan muda termasuk anak2 dan cucu kita tak terkecuali kita sama.

Dengar khabar brand tersebut ciptaan orang keturunan yahudi dan dipopularkan olehnya. Saya kurang pasti mungkin Tan Sri tahu mengenai hal ini. Bukan saya anti kepada pakaian tersebut kerana saya pun memakainya, tetapi apa yang nak disampaikan adalah kejayaan nya atas kegigihan mereka mencipta dan mempopularkan sehingga pasarannya menguasai dunia tak kira bangsa dan ugama. Golongan yahudi juga merupakan imigran diAmerika tetapi menguasai banyak bidang ekonomi dan prniagaan dunia. Mungkin Tan Sri boleh menulis syarikat2 yahudi yang berjaya sebagai iktibar dan galakan kepada kita orang melayu bagaimana mereka berjaya dalam perniagaan.

Akhir sekali saya mengucapkan selamat menulis dan memberikan buah fikiran kepada anak bangsa atas ketajaman fikiran Tan Sri yang di anugerahkan Allah.

Anisah UK said...

Terima kasih TS kerana membuka mata kami yang kurang berpengalaman. Penulisan TS menjadi kelas sejarah tambahan yang patut dibaca oleh rakyat dan imigran Malaysia.

Unknown said...

Assalamualaikum wbt Tan Sri,

Hari ini 25 Safar 1431 Hijrah (10/2/2010) hampir 11 malam.

Membaca posting terbaru Tan Sri mengingatkan saya pada tahun 1996 ketika saya di Aston University Birmingham di mana Yg Bhg Tun Dr Mahathir telah pergi ke Oxford University atas jemputan Oxford Islamic Centre untuk berucap atas tajuk Islam The Misunderstood Religion. Penuh setiap sudut gereja yang menjadi venue Tun (ketika itu masih Datuk Seri) menyampaikan ucapannya. Antara yang turut hadir dari Malaysia termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Hamid Othman serta juga ahli perniagaan (ketika itu) yang kemudiannya menjadi Menteri-Datuk Seri Affendi Norwawi. Amat unik sekali pengalaman untuk berada di dalam gereja dan mendengar ucapan Perdana Menteri Malaysia Ke Empat disitu. Namun bagi ramai pelajar disana sudah biasa untuk Solat Jumaat dalam gereja universiti sebagaimana kami di Aston adakalanya ber Solat Jumaat di gereja Aston University dan adakalanya kami menaiki bas ke untuk ke Birmingham University di mana lebih ramai pelajar Malaysia kat sana dan waktu tu masih lagi ada Dewan Malaysia Birmingham yang terletak tak jauh dari situ.

Berbalik kepada ucapan Tun di gereja Oxford University, Tun menyentuh juga isu gelaran fundamentalist dll. Sebenarnya perkataan fundamentalist
diberikan oleh orientalist barat yang tak sukakan Islam. Begitu juga dengan terma Mohamadan Law yang digunakan untuk merujuk kepada Undang Undang Shariah tetapi para Orientalist barat ingin mengambarkan seolah olah Undang Undang Shariah itu adalah buatan Nabi Muhammad s.a.w. bagi
memberi kefahaman yang salah bagi umat Islam yang membaca buku buku tulisan mereka tanpa membuat apa apa semakan langsung.
Cuba kita baca buku buku tulisan para cendiakawan mat salleh ni, nescaya kita akan sentiasa jumpa terma 'Mohamadan Law' namun bagi umat Islam kita faham yang Undang Undang Shariah datangnya daripada Allah swt dengan pelbagai cara termasuk Al Quran dan Hadith Sahih sebagai sumber utama.

Perkataan Hadhari adalah perkataan yang di jadikan joke oleh banyak pihak bila melihatkan ketika Hadhari dicanangkan jugalah tempat tempat hiburan di KL makin hebat bertambah dengan aktifnya malam malam di Jalan P Ramlee, dengan Jalan Ampang Zouq, dengan depan KLCC, dengan Ain Arabia, dengan Jalan Bukit Bintang, dengan Bangsar, dengan The Curve, dengan Hartamas.Meriahnya zaman Islam Hadhari sehinggakan waktu malam jumaat dan malam malam bulan Ramadhan dihidupkan malam malamnya dengan meriahnya oleh kaki kaki botol dan macam macam lagi

Akhir kalam Tan Sri, bukan sahaja agama kita di salah ertikan awal minggu ini akhbar International Herald Tribune menyiarkan berita muka depan di Manila ramai rakyatnya berbunuhan kerana lagu karoeke Frank Sinatra My Way. Masing masing mempunyai intrepetasi sendiri bila menyanyikan lagu tersebut mengikut kefahaman mereka dan akhirnya mereka saling berbunuhan hanya kerana lagu My Way dan disebabkan sekurang kurangnya 6 orang telah terbunuh kerana lagu tersebut maka lagu My Way telah mula ditiadakan oleh kebanyakkan karoeke di Manila.
(Sila google search: Sinatra Song often strikes deadly chord, International Herald Tribune 8/2/2010)
Berikut adalah petikan berita tersebut hasil salah faham dalam menintrepetasikan lagu My Way
Indeed, most of the “My Way” killings have reportedly occurred after the singer sang out of tune, causing other patrons to laugh or jeer.
“The trouble with ‘My Way,’ ” said Mr. Gregorio, “is that everyone knows it and everyone has an opinion.”

Selebihnya Tan Sri perlu baca sendiri lapuran muka depan yang bersambung hingga ke mukasurat 3, IHT bertarikh 8/2/2010. Inilah lapuran berita yang kelakarnya menyamai filem filem komedi Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

25 Safar 1431 Hijrah 1137 mlm
(10/2/2010)

drsyediskandarislamicbankingfinance.blogspot.com atau
isikcorpadv@gmail.com

Anonymous said...

salam..cam mana tan sri..sihat?

mohd sayuti omar said...

Assamualaikum Tan Sri, doa saya Allah berikan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada Tan Sri sekeluarga dan juga saya sekeluarga.

Tulisan TS memang menarik dan ada maklumat baru dan merangsang jiwa untuk jadi kuat dan bersemangat. oleh memecahkan kekeliruan dan kekburan dalam memahami sesuatu perkara.

Misalnya mengenai pentafsiran istilah yang salah dan penjenamaa Islam oleh pemimpin, satu huraian yang jelas dan nyata. Kita kadang suka kepada nama atau istilah walhal apa yang kita ingini benda yang sama.

Kita sukar tukar nama, pakai istilah baru kerana kita nak tunjuk kita lebih baik daripada orang lain walhalnya benda sama atau malahan kita yang kurang. Saya musykil perkara ini sejak lama dulu. Disebabkan kerana istilah dan tafsiran berbagainya kadang kala mengeliru dan menyesatkan (kepercayaan politik) golong tertentum dan ia merugikan negara.

Jadi bila TS huraikan ia menjelaskan apa-apa yang mungkin keliru berhubung perkara itu. Sesungguhan pemikiran dan sumbangan idea TS masih diperlukan negara.

Di sini saya nak beri pandangan pada TS agar tidak terlalu panjang dalam dan banyak topik dalam satu-satu posting. Pembacaan blog biasanya mahu cepat, maka ia hendaklah rengkas. Bagi mereka yang tidak tahan akan merasa letih untuk membacanya, sebaliknya bagi mereka merasakan pencambahan idea dan catat sejarah oleh TS mampu membukan pemikiran baru merasakan apa yang TS catat atau postkan tidak pernah cukup.

Wassalam,
Mohd Sayuti Omar,
Wangsa Melawati, KL.