Wednesday, June 16, 2010

MENUJU PEMBEBASAN PALESTIN

PERPADUAN TURKI, IRAN DAN MESIR YANG DI TAKUTI

1. Professor Karl Schiller ialah seorang ahli ekonomi yang terkemuka, dan dianggap sebagai bapa kapitalism di Jerman Barat. Beliau juga adalah arkitek pembangunan ekonomi Jerman Barat di waktu Helmut Schmitt menjadi Chanselornya. Beliau telah dilantik oleh Helmut Schmitt menjadi Menteri Ekonomi dan Kewangan dalam kabinetnya.

2. Dalam tahun 1969, di waktu ekonomi Jerman Barat tumbuh dengan pesat sehingga industri di Jerman Barat menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja Professor Schiller, dalam satu kulliyyahnya di Universiti Hamburg, telah menyatakan adanya dua pilihan cara untuk menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja di Jerman Barat, sebelum tembok Berlin dirobohkan. Pilihan pertama ialah seperti yang diambil oleh Jepun iaitu dengan beralih kepada tenaga robot. Pilihan kedua pula ialah dengan membawa masuk tenaga buruh dari negara asing.

3. Dalam syarahan yang sama Professor Schiller mendedahkan kebimbangan pemimpin-pemimpin Jerman Barat terhadap kehancuran negara Israel kerana dengan kehancuran itu orang-orang Yahudi yang berasal dari Jerman akan kembali ke Jerman Barat; dan ini akan membawa kembali berbagai masalah yang menyebabkan mereka dibunuh berama-ramai oleh Hitler dahulu.
4. Mengikut Professor Schiller negara-negara Barat perlu, dengan berbagai cara, menghalang kehancuran Israel, bukan kerana sayang kepada Yahudi Zionis itu tetapi, kerana takut dan bimbang mereka kembali semula ke Jerman Barat dan lain-lain negara Barat jika Israel hancur.

Sunday, June 13, 2010

APAKAH RELEVANNYA VETERAN MAYC?

MAYC DALAM SEJARAH PERGERAKAN BELIA DI MALAYSIA

TUN DR. MAHATHIR RASMIKAN KELAB VETERAN MAYC MALAYSIA

1. Pada 29 Mei, 2010 di Hotel M Suites di Johor Bharu Tun Dr. Mahathir, selaku mantan Naib Presiden MAYC di waktu presidennya Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman, telah merasmikan penubuhan Kelab Veteran MAYC Malaysia

2. Dalam ucapan mengalu-ngalukan kehadiran Tun Dr. Mahathir saya telah menyatakan rasional Kelab Veteran MAYC ditubuhkan. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir adalah tokoh yang disegani dalam majlis itu maka ucapan saya mengenai sejarah pergerakan belia di negara ini agak terbatas. Ucapan saya kepada Veteran MAYC di Ipoh Perak pada 21 Mei, 2010 telah menghuraikan dengan lebih jelas lagi perkara tersebut.

SEBELUM MERDEKA

3. Sebelum Merdeka kegiatan belia di dalam negara tertumpu kepada pergerakan Pengakap, Briged St. John Ambulan dan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Saya terlibat di dalam 'Wolf Cub' atau anak serigala, iaitu pengakap muda, waktu saya belajar di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Senior saya, dalam pergerakan pengakap pada waktu itu ialah Sdr. Sidek Ghouse dan Sdr. Dato' Syed Ahmad Idid yang lebih terkenal dengan kegiatannya dalam The Fraternity of Adventurous. Saya kenal Sdr. Sidek Ghouse dan Tuan Syed Ahmad Idid (kini Dato') waktu saya di Sekolah Ibrahim Sungai Petani, dari tahun 1954 hingga tahun 1956, walau pun mereka tidak kenal saya di waktu itu. Mereka berdua telah bersetuju melantik saya menjadi Setiausaha Agung MAYC  pada tahun 1972 apabila saya diperkenalkan kepada mereka oleh Sdr. Taib Wahab yang menjadi Setiausaha Kerja MAYC di waktu itu. Sdr. Taib kenal saya sejak beliau menjadi pelajar di Institut Teknologi MARA.

4. Pertubuhan Pengakap, Briged St. John dan GPMS bergiat di dalam sekolah-sekolah, sementara di luar sekolah pula sudah ada pertubuhan Tamil Bell, Hindu Youth, YMCA dan YWCA.

1948 - GPMS

5. GPMS telah ditubuhkan pada 15 Ogos, 1948 oleh Encik Aminuddin Baki, Encik Abd. Wahab Ariff, Encik Mohd Nor Marahakim, Encik Abdul Majid dan Ce' Siti Hasmah (kini Tun Dr) di waktu mereka menjadi mahasiswa di Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura. Ianya ialah hasil keputusan Konvensyen Pelajar Melayu Seluruh Semenanjung yang diadakan pada tahun 1948. Sebelum GPMS ditubuhkan pengasas-pengasasnya telah bergerak cergas dalam Malay Boys League Penang Free School (1937), Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution (1945) dan Kesatuan Penuntut Melayu Selangor (1947).

Wednesday, June 2, 2010

YAHUDI ZIONIS YANG TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

USAHA BETUL PASTI DIBERKATI ALLAH S.W.T.


1. Tidak ada yang menganggap dirinya manusia yang tidak terkesan dengan tindakan Zionis Israel yang zalim ke atas kapal yang membawa sukarelawan, ubat dan keperluan kemanusiaan untuk penduduk di Gaza.

2. Dato' Azumu Tak, seorang Veteran UMNO dan MAYC telah menalifon saya pada pagi kelmarin l Jun, 2010 menyatakan telah menerima telefon dari anaknya Ahmad Faizal atau TEJA menyatakan beliau berada di atas kapal kedua bersama YB Nizar Anggota Parlimen Parit dan mereka masih selamat. Saya mendengar nada suara Dato' Azumu yang sayu dan sama-sama kami mendo'akan semoga misi kita berjaya dan diberkati Allah s.w.t. hendaknya. Sama-samalah kita mendo'akan semoga roh mereka yang telah syahid dalam misi kemanusiaan ini mendapat tempat yang sebaiknya di sisi Allah s.w.t..

WAWANCARA LARRY KING DENGAN EHUD BARAK

3. Apabila membaca mengenai kekejaman Israel ini saya teringat kembali kepada satu wawancara dalam CNN antara mendiang Ehud Barack dan Larry King sebelum persidangan OIC ke 10 yang diadakan di Putrajaya dari 11 hingga 18 Oktober, 2003. Persidangan ini diadakan kira-kira 13 hari sebelum Tun Dr. Mahathir berundur dari menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober, 2003 setelah menjadi Perdana Menteri sejak 16 Julai, 1981..

3. Larry King telah bertanya Ehud Barack 'How do you feel Mr. Prime Minister about the coming OIC gathering in Kuala Lumpur?' Ehud Barack menjawab dengan bertanya balik kepada Larry King 'What are they going to do in Kuala Lumpur that I should be concerned about?' Larry King menjawab 'They are going to pass resolutions sto condemn you over your activities in Palestine.' 'Is that all?' tanya Ehud Barak. 'Yes, what do you think about that?' 'They have been doing that all this while, so many times ....... they can carry on doing it ........ I am not bothered.' 'What would bother you then?' tanya Larry King. "I would be bothered if they are providing enough funds or weapons for the Palestinians. Or send their tanks and soldiers to Palestine. As far as talking or passing resolutions is concerned, they can carry on. They have done that many times before.'

DO'A YANG TIDAK BERJAWAB

4. Di Mekah pada 10 hari terakhir di bulan Ramadhan, yang bermula pada 27 Oktober, 2003, saya telah bersama-sama dengan berjuta orang juma'ah bersembahyang Terawih dan Tahajjud dan di dalam do'a Qunut dengan panjang lebar mendo'akan supaya bumi Palestin didaulatkan kembali. Saya pun teringat bahawa do'a begini telah mula saya ikuti sejak saya mula ke Mekah, berkali-kali, sepanjang 30 tahun sejak tahun 1974 bila saya mula menjadi anggota Parlimen. Saya percaya do'a ini sudah dibaca sejak Israel menduduki Palestin. Kenapa do'a umat Islam ini tidak berjawab sedangkan Allah menjanjikan akan mengabulkan do'a lebih-lebih lagi bagi umat yang teraniaya. Tentu ada sesuatu yang salah pada umat Islam itu sendiri. Apakah 'username' dan 'password' kita salah maka kita tidak dapat layari do'a kita di alam cyber?