Sunday, June 13, 2010

APAKAH RELEVANNYA VETERAN MAYC?

MAYC DALAM SEJARAH PERGERAKAN BELIA DI MALAYSIA

TUN DR. MAHATHIR RASMIKAN KELAB VETERAN MAYC MALAYSIA

1. Pada 29 Mei, 2010 di Hotel M Suites di Johor Bharu Tun Dr. Mahathir, selaku mantan Naib Presiden MAYC di waktu presidennya Tunku Abdullah Tuanku Abdul Rahman, telah merasmikan penubuhan Kelab Veteran MAYC Malaysia

2. Dalam ucapan mengalu-ngalukan kehadiran Tun Dr. Mahathir saya telah menyatakan rasional Kelab Veteran MAYC ditubuhkan. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir adalah tokoh yang disegani dalam majlis itu maka ucapan saya mengenai sejarah pergerakan belia di negara ini agak terbatas. Ucapan saya kepada Veteran MAYC di Ipoh Perak pada 21 Mei, 2010 telah menghuraikan dengan lebih jelas lagi perkara tersebut.

SEBELUM MERDEKA

3. Sebelum Merdeka kegiatan belia di dalam negara tertumpu kepada pergerakan Pengakap, Briged St. John Ambulan dan Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Saya terlibat di dalam 'Wolf Cub' atau anak serigala, iaitu pengakap muda, waktu saya belajar di Sekolah Menengah Ibrahim Sungai Petani. Senior saya, dalam pergerakan pengakap pada waktu itu ialah Sdr. Sidek Ghouse dan Sdr. Dato' Syed Ahmad Idid yang lebih terkenal dengan kegiatannya dalam The Fraternity of Adventurous. Saya kenal Sdr. Sidek Ghouse dan Tuan Syed Ahmad Idid (kini Dato') waktu saya di Sekolah Ibrahim Sungai Petani, dari tahun 1954 hingga tahun 1956, walau pun mereka tidak kenal saya di waktu itu. Mereka berdua telah bersetuju melantik saya menjadi Setiausaha Agung MAYC  pada tahun 1972 apabila saya diperkenalkan kepada mereka oleh Sdr. Taib Wahab yang menjadi Setiausaha Kerja MAYC di waktu itu. Sdr. Taib kenal saya sejak beliau menjadi pelajar di Institut Teknologi MARA.

4. Pertubuhan Pengakap, Briged St. John dan GPMS bergiat di dalam sekolah-sekolah, sementara di luar sekolah pula sudah ada pertubuhan Tamil Bell, Hindu Youth, YMCA dan YWCA.

1948 - GPMS

5. GPMS telah ditubuhkan pada 15 Ogos, 1948 oleh Encik Aminuddin Baki, Encik Abd. Wahab Ariff, Encik Mohd Nor Marahakim, Encik Abdul Majid dan Ce' Siti Hasmah (kini Tun Dr) di waktu mereka menjadi mahasiswa di Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward di Singapura. Ianya ialah hasil keputusan Konvensyen Pelajar Melayu Seluruh Semenanjung yang diadakan pada tahun 1948. Sebelum GPMS ditubuhkan pengasas-pengasasnya telah bergerak cergas dalam Malay Boys League Penang Free School (1937), Kesatuan Penuntut Melayu Victoria Institution (1945) dan Kesatuan Penuntut Melayu Selangor (1947).


1949 - YSG > MHYC - 1957

6. Pada 11 Disember, 1949 belia Hindu telah memulakan gerakan mereka di pekarangan Chettiar Hall, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur atas nama 'Youth Spiritual Group'. Pada tahun 1951 'Kuala Lumpur Hindu Youth Organization' telah didaftarkan. Diikuti dengan pendaftaran Hindu Youth Orgaanization (HYO) di Klang dan Ipoh pada tahun 1957. Pada 27 Disember, 1957, iaitu setelah Merdeka, Konvensyen Belia Hindu Pertama telah diadakan di Ipoh di mana Malayan Hindu Youth Council (MHYC) telah ditubuhkan dengan motto 'Service Above Self'. Penaja MHYC ini ialah 1. Encik Satkunam a/l Dr. Unipathy Kandiah, 2. Encik Shanmuganathan a/l Saravanamuthu, 3. Encik Kumarakulasingam a/l Saravanamuthu, 4. Encik Vijayaratnam a/l Saravanamuthu, 5. Encik Senatirajah a/l Murugesu, 6. Encik Balasundram a/l Murugesu, 7. Encik Selvanayagam a/l Kanagasabai, 8. Encik Selvarajak a/l Kandiah, 9. Encik Kanagaratnam a/l Sinniah, 10. Encik Navaratnam a/l Sundram, dan 11. Encik Shanmuganathan a/l Govindasami.

1954 - TAMIL BELL
7. Sementara MHYC merupakan kelab yang membataskan keahliannya kepada yang beragama Hindu, sebagaimana YMCA dan YWCA dianggotai oleh orang-orang yang beragama Kristian, ada sebuah kelab lagi yang diasaskan oleh kaum India tetapi membataskan keanggotaannya kepada bangsa, seperti GPMS untuk orang-orang Melayu, iaitu Kelab Tamil Bell yang ditubuhkan pada tahun 1954.

SETELAH MERDEKA

8. Setelah Merdeka pergerakan Pengakap dan Briged St. John Ambulan tetap giat di sekolah-sekolah sementara GPMS, MHYC, TAMIL BELL, YMCA, YWCA dan lain-lain kelab bergerak di luar sekolah.

1956 - MAYC

9. MAYC telah ditubuhkan pada tahun 1956 oleh Tan Sri Mubin Shepherd yang menjadi Penasihat British kepada Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan DYMM Tuanku Abdul Rahman, yang kemudiannya, apabila Malaya Merdeka, telah menjadi Yang Di Pertuan Agong Yang Pertama. Tan Sri Mubin Shepherd ialah Presiden MAYC yang pertama. Hubungan Tan Sri Mubin Shepherd dengan kerabat di raja Negeri Sembilan telah memudahkan beliau melatih Tunku Abdullah ibn Almarhum Tuanku Abdul Rahman sebagai penggantinya menjadi Presiden MAYC kedua apabila beliau berhenti apabila Malaya Merdeka. Tan Sri Mubin Shepherd telah menganut agama Islam dan bersama-sama dengan Tengku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama, bergerak di dalam PERKIM.

10. Perkahwinan KDYMM Sultan Kedah dengan puteri Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Bahiyah telah mendekatkan Tan Sri Mubin Shepherd dengan kerabat di raja Kedah sehingga seorang dari anggota kerabat di raja Kedah telah menaja penubuhan dan memimpin Kelab Belia Yan yang kemudiannya menjadi kelab belia gabungan MAYC yang pertama di Kedah. Secara kebetulan ayahanda saya Junid sempat menjadi ahli yang aktif dalam bidang bola sepak dalam kelab itu.

1961 - PKPIPTM > PKPIM - 1965

11. Sementara itu membaranya semangat keagamaan di kalangan pelajar-pelajar universiti telah melahirkan Perstauan Kebangsaan Pelajar Islam Persekutuan Tanah Melayu (PKPIPTM) yang ditubuhkan pada 31 Mac, 1961 bertempat di asrama kedua Universiti Malaya. Namanya ditukar menjadi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) pada 29 September, 1965 selaras dengan penubuhan Malaysia. Persatuan Pelajar Islam ini telah diasaskan oleh 10 orang pelajar dari lima Institut Pendidikan Tinggi dalam negara. Mereka ialah: 1. Sdr. Sulaiman Hj. Nordin (Pengerusi - Maktab Pertanian Malaysia sekarang Universiti Pertanian Malaysia), 2. Sdr. Ahmad Johari (Setiausaha - Maktab Pertanian Malaysia), 3. Sdr. Wan Jaafar Abdullah (Universiti Malaya), 4. Sdr. Mohd Ghazali Abdullah (Universiti Malaya), 5. Sdr. Azizuddin Meor Hamzah (Maktab Teknik Kuala Lumpur sekarang Universiti Teknologi Malaysia), 6.Sdr. Annuar Hj. Abd. Razak (Maktab Teknik Kuala Lumpur), 7. Sdr. Ismail Ibrahim (Kolej Islam Malaya sekarang Maktab Perguruan Islam), 8. Sdr. Ahmad Awang (Kolej Islam Malaya), 9. Sdr. Ab. Rahman Hj. Taib (Maktab Perguruan Bahasa), 10. Sdr. Zainal Adnan Yang Yahya (Maktab Perguruan Bahasa). Presiden pertama PKPIM ialah Sdr. Hanafiah Ahmad (1961-1962). Dengan wujudnya PKPIM maka gerakan belia dan pelajar yang berorientasi ugama menjadi tiga iaitu Hindu Youth, YMCA; YWCA dan PKPIM.

1966 - 4B

12. Oleh kerana MAYC ialah sebuah NGO maka kegiatannya dibiayai oleh penderma-penderma yang menyokong program belia. Lama kelamaan jumlah ahli MAYC telah bertambah dan dalam satu lawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Dato' Senu Abdul Rahman telah ditanya sebabnya kelab belia seperti MAYC tidak dapat bantuan kerajaan. Dato' Senu telah menjelaskan bahawa tidak ada peruntukan khas dari kementerian untuk kegiatan belia; Kementerian Kebajikan Masyarakat kadangkala membantu tetapi lebih atas pertimbangan budi bicara sahaja. Jika pergerakan belia inginkan peruntukan mungkin boleh diperolehi dari Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB). Walau bagaimana pun oleh kerana KPNLB itu ialah satu kementerian untuk membantu Bumiputera sahaja maka MAYC yang mempunyai ahli dari berbilang kaum tidak layak mendapat bantuan. Begitu penjelas Dato' Senu. 

.13. Dalam perbincangan lain dengan Dato' Senu, setelah perasmian satu majlis Pergerakan Pemuda UMNO Seremban di Nilai, Dato' Senu telah memberitahu wujudnya sebuah gerakan belia di Amerika Syarikat yang bernama 4H. 4H membawa erti tangan (Hand), fikiran (Head), hati (Heart) dan kesihatan (Health). Ikrar anggota kelab 4H ini ialah:

I pledge
                                                  my Head to clearer thinking,
                                                  my Heart to greater loyalty,
                                                  my Hand to larger service,
                                                  my Health to better living.

Oleh kerana agak susah untuk memberi nama mengikut orientasi kegiatan maka 4B diertikan sebagai berfikir (B), bersatu (B), belajar (B) dan berkhidmat (B).

14. Gerakan Belia 4B telah diwujudkan pada 12 April, 1966. Walau pun yang memainkan peranan untuk menubuhkan Gerakan Belia 4B ialah YM Engku Mohsein Abdul Kadir selaku Menteri Muda Kementerian Belia dan Sukan dibantu oleh Encik Abdullah Malim Baginda selaku Penolong Pengarah Belia di Kementerian Belia dan Sukan, tetapi orang kuat Dato' Senu Abdul Rahman iaitu Encik Mohd Kassim Shah telah diketengahkan sebagai Presiden Gerakan Belia 4B yang pertama dari tahun 1965 hingga tahun 1969. Presiden yang kedua ialah Dato' Hj. Shuhaimi Kamaruddin. Dengan tertubuhkan pertubuhan belia 4B maka wujudlah sebuah lagi kelab yang mewakili hanya belia-belia Melayu selain GPMS.

15. Mengingatkan respon atas soalan bantuan kepada MAYC dan maklumat mengenai pergerakan belia 4H di Amerika Syarikat oleh Dato' Senu maka saya, Dato' Ayob Yahya dan beberapa orang ahli belia, termasuk yang menjadi ahli MAYC, yang juga menjadi ahli Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah keluar dari MAYC dan menubuhkan belia 4B di Seremban

16. Walau pun alasan yang diberi untuk menubuhkan Gerakan Belia 4B ialah kerana banyak kelab belia yang tidak bergabung dengan MAYC, sebab yang saya fahami, pada waktu itu, ialah seperti yang diberitahu oleh Dato' Senu Abdul Rahman yang berkaitan dengan bantuan kerajaan. Apabila saya terlibat dalam politik lebih lama barulah saya sedari bahawa dengan keluarnya ramai belia-belia Melayu dari MAYC untuk masuk ke dalam 4B maka tokoh-tokoh UMNO yang memimpin MAYC di waktu itu, seperti Tun Dr. Mahathir, juga ditinggal oleh ahli-ahli MAYC yang menjadi ahli-ahli UMNO kerana mereka keluar dari MAYC untuk menjadi ahli 4B.

17. Oleh kerana majoriti ahli MAYC beragama Islam, dan memandang kepada perlunya pendidikan agama Islam di kalangan ahli MAYC maka saya telah mewujudkan sebuah jawatankuasa dakwah di dalam Jawatankuasa Pusat MAYC. Walau bagaiman pun saya dapati kegiatannya tidak mencukupi dan sebuah pergerakan belia baru perlu ditubuhkan untuk bergiat dalam bidang dakwah Islamiah. Saya mencadangankan di dalam mesyuarat jawatankuasa pusat MAYC untuk menubuhkan Angkatan Dakwah Malaysia atau singkatnya ADAM. Saya berharap belia-belia boleh bergerak di dalam pertubuhan ADAM sehingga keakhir hayat. Walau bagaimana pun Ustaz Usman Bakar dari Kampung Gajah yang giat di dalam PKPIM menyatakan bahawa beliau dan rakan-rakannya dalam PKPIM berpendapat adalah lebih baik badan dakwah yang baru, jika hendak ditubuhkan eloklah sebagai pergerakan belia kerana untuk orang-orang dewasa sudah ada Persatuan Ulama dan Darul Arqam yang juga sedang ditibuhkan. Ustaz Usman Bakar memberitahu kepada saya bahawa nama yang sesuai ialah ABIM atau Angkatan Belia Islam Malaysia. Saya pun membatalkan rancangan menubuhkan ADAM dan ikut bersama dengan rakan-rakan dalam PKPIM, GPMS dan 4B untuk turut menajakan ABIM.

1972 - ABIM

18. Pada 6 Ogos 1971 di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia sebuah jawatankuasa telah diwujudkan untuk menubuh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Pengerusinya ialah Ustaz Abdul Wahab Abdullah. Kemudiannya, dalam muktamar pertama ABIM pada tahun 1972 Ustaz Ghazali Nawawi ( kini Pengerusi sekaligus pengasas Akademi Al Quran Medic Malaysia, selepas beliau menamatkan perkhidmatannya sebagai Professor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia)  telah dipilih menjadi Presiden ABIM yang pertama, Sdr. Sanusi Junid menjadi Naib Presiden dan kemudiannya, setelah Sdr. Anwar Ibrahim melepaskan jawatannya dalam PKPIM beliau telah dilantik menjadi Setiausaha Agung ABIM. Saya berasa bangga kerana ibu pejabat ABIM yang pertama, waktu didaftarkan ialah rumah saya di No. 3, Lorong Batai Dalam, Damansara Heights, Kuala Lumpur. Kewujudan ABIM menambahkan lagi kelab belia berorientasikan agama di dalam negara.

1975 - GBB

19. Pada tahun 1975, setelah memenangi kerusi Parlimen kawasan Muar Datuk Dr. Neo Yee Pan telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan. Sebelum beliau berpindah menjadi Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 1978 beliau telah memerhatikan peranan yang dimainkan melalui pergerakan belia 4B khasnya dan gerakan belia 'amnya, oleh pemimpin-pemimpin UMNO, untuk mendapatkan tempat di dalam politik. Lantaran itulah beliau menjadi katalis untuk penubuhan Gerakan Belia Bersatu (GBB) yang anggotanya terdiri dari belia-belia keturunan China yang menganggotai MCA. Dr. Neo Yee Pan berjaya untuk menduduki tempat pertama dalam MCA apabila Tan Sri Lee San Choon meletakkan jawatan pada 25 Mac, 1983. Dengan penubuhan Gerakan Belia Bersatu (GBB) untuk belia keturunan China maka bertambahlah lagi kelab belia yang anggotanya terdiri dari satu kaum saja, di samping kelab-kelab belia yang sedia ada seperti Tamil Bell untuk belia keturunan India sahaja dan 4B untuk belia keturunan Melayu sahaja.

20. Oleh itu, peranan MAYC sangatlah penting kerana pertubuhan-pertubuhan belia yang lain adalah tertumpu kepada agama tertentu seperti Hindu Youth, YMCA dan YWCA atau dihadkan keahliannya mengikut bangsa seperti Tamil Bell, GBB, 4B dan GPMS. Dengan wujudnya MAYC semua kaum dari berbilang agama dapat disatukan dengan kegiatan yang relevan untuk belia, kerana tujuan MAYC ditubuhkan ialah untuk memberi kesempatan kepada generasi muda dari berbilang kaum dan berbilang agama, dengan berbagai bahasa ibunda untuk bergiat bersama dalam berbagai kegiatan sosial, sukan, kebajaijan dan kebudayaan supaya mereka mengenal satu sama lain dengan lebih akratb lagi.

MAYC MENCADANGKAN PENUBUHAN KEMENTERIAN UNTUK BELIA

21. Memandang kepada keengganan KPNLB turut membiayai kelab multi-racial sebaliknya pembiayaannya terbatas kepada belanjawan Kementerian Kebajikan Masyarakat yang terbatas, maka MAYC, dalam mesyuarat agungnya pada tahun 1963 telah mencadangkan Kementerian Belia ditubuhkan untuk menjaga kepentingan belia. Berikutan dengan cadangan MAYC maka Kementerian Belia dan Sukan telah ditubuhkan pada 15 Mei, 1964. Dengan tertubuhnya Kementerian Belia dan Sukan maka MAYC juga boleh kekal sebagai kelab yang anggotanya terdiri dari berbilang bangsa, berbilang agama dan berbilang bahasa dan boleh mendapat bentuan kerajaan sebagai kelab yang melambangkan 1Malaysia.

HAD UMUR BAGI PERTUBUHAN BELIA

22. Di waktu 4B ditubuhkan keanggotaannya dihadkan kepada belia yang berumur tidak lebih dari 40 tahun. Had umur ini telah ditambah oleh Presiden 4B ke 2 Dato' Hj. Shuhaimi Kamaruddin, di waktu beliau memimpin 4B, untuk membolehkan 4B terus dipimpin olehnya apabila umurnya meningkat.

PENDERMA UMUMNYA BERUMUR LEBIH 40 TAHUN

23. MAYC tidak pernah bersetuju dengan cadangan untuk menghadkan umur kepada 40 tahun, kerana pengalaman kelab-kelab belia di Jepun seperti YUAI Youth Club dan NIPPON KENSEI KAI yang keahlian anggotanya dibolehkan sampai ke akhir hayat. Rasional yang dipegang oleh kelab-kelab belia Jepun untuk tidak menghadkan umur di bawah 40 tahun ialah untuk membebaskan ahli dan pemimpin belia dari kongkongan politik berparti. Lojiknya ialah sesebuah kelab belia itu memerlukan biaya untuk bergerak. Oleh kerana dermawan di Jepun ialah di kalangan mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun, atau pun dari kalangan mereka yang sudah berpindah dari hanya menjadi ahli perniagaan yang berjiwa Confucius kepada dermawan yang berjiwa Mencius maka para penderma mahu menderma jika mereka dibenarkan untuk menjadi ahli dan menghadiri mesyuarat agung kelab untuk memastikan derma mereka tidak disalahgunakan. Walau pun mereka yang umurnya lebih 40 tahun ingin hadir dalam mesyuarat agung kelab tetapi mereka tidak berminat memegang sebarang jawatan kecuali, mungkin, sebagai pemeriksa kira-kira sahaja. Di Jepun, kelab-kelab belia mereka tidak terikat kepada pemerintah kerana kerajaan tidak membiayai mereka. Malahan Perdana Menteri Jepun biasanya dari salah sebuah kelab belia di Jepun, dan mereka memahami aspirasi orang-orang muda di Jepun.

24. Walau pun Kementerian Belia dan Sukan telah ditubuhkan atas desakan MAYC melalui usulnya di dalam mesyuarat agung tetapi, secara perbandingan, MAYC paling sedikit mendapat bantuan pihak kementerian jika dibandingkan dengan kelab-kelab belia lain. Ini tidak menjadi masalah bagi MAYC kerana ahli-ahli MAYC yang umurnya lebih 40 tahun lumayan menderma untuk kegiatan-kegiatan MAYC. MAYC malah bebas bergerak di mana saja tanpa sekatan politik oleh mana-mana pihak.

PENGARUH BELIA DALAM POLITIK

25. Walau pun MAYC mempunyai ahli dari berbilang kaum, agama dan bahasa, tetapi majoriti ahli MAYC adalah penyokong UMNO, parti-parti komponen dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional. Ada juga ahli-ahli MAYC menjadi ahli-ahli dan pemimpin dalam parti PAS dan DAP seperti Zainal Rampak dan P. Patto. Di satu masa dulu, di waktu saya menjadi Setiausaha Agung UMNO lebih 40 peratus perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO terdiri dari pemimpin atau bekas pemimpin MAYC.

26. Banyak sekali Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar, selain jumlah yang cukup ramai yang menjadi Anggota Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri-Negeri dari kalangan pemimpin dan bekas pemimpin dan ahli MAYC. Kelab-kelab belia selain MAYC juga mempunyai ramai pemimpin dan ahli dari berbagai peringkat yang memainkan peranan dalam perubuhan politik berbagai parti. Ini menjadi bukti bahawa kelab-kelab belia telah menjadi gelanggang latihan untuk seseorang itu belajar memimpin.

27. Berbagai program telah dilaksanakan oleh MAYC untuk membangun kekuatan mental, jasad dan rohaniah (MENJARO) ahli-ahli dalam mempersiapkan belia dan beliawanis dalam menghadapi cabaran hidup dalam bidang politik, ekonomi dan masyarakat (POLEMAS). Sumbangan kelab-kelab belia dalam pembangunan negara adalah sesuatu yang nyata dan tidak dapat dinafikan.
DEMONSTRASI TAHUN 1974

28. Pada tahun 1974 sebuah demonstrasi, yang dianggap menentang kerajaan, telah diadakan di mana tokoh-tokoh belia dari Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah turut mengambil bahagian yang cergas. Oleh kerana pemimpin ABIM dan pemimpin Majlis Belia Malaysia (MBM) pada waktu itu adalah sama maka Kementerian Belia dan Sukan di mana Pengarah Belianya ialah Dato' Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) telah mencadangkan untuk mengharamkan MBM dan menubuhkan badan induk baru untuk belia bernama MAJLIS BELIA KEBANGSAAN (MBK). Rancangan ini didukung oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di bawah pimpinan Dato' Harun Idris yang juga menjadi Menteri Besar Selangor dan pergerakan belia 4B yang dipimpin oleh Dato' Hj. Shuhaimi Kamaruddin, iaitu anak saudara Dato' Harun.

29. Majlis Belia Kebangsaan (MBK) yang dicadangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan itu mempunyai struktur baru di mana setiap kelab belia akan menjadi cawangan kepada kelab induknya, dan ketua kelab cawangan dilantik oleh Presiden kelab induk, seperti kelab 4B di waktu itu, umur ahli kelab belia dibataskan kepada 40 tahun ke bawah dan pemimpin Majlis Belia Negeri (MBN) dilantik oleh Menteri Besar atau Ketua Menteri sesebuah negeri.

MAYC MENENTANG PENGHARAMAN MBM DAN RANCANGAN PENUBUHAN MBK

30. MAYC telah menentang rancangan kerajaan untuk mengharamkan MBM kerana pada pendapat MAYC keputusan untuk mengadakan demonstrasi itu tidak pernah dibuat dalam mesyuarat MBM dan MBM tidak boleh disalahkan. MAYC juga menentang rancangan Kementerian Belia dan Sukan untuk menubuhkan MBK di bawah struktur barunya. Pada pendapat MAYC kebebasan belia akan terbantut apabila dermawan yang umurnya di atas 40 tahun tidak dibenarkan menjadi ahli MAYC dan semua kegiatan MAYC terpaksa bergantung kepada biaya belas kasih pihak kerajaan; menjadikan semua kelab-kelab gabungan sebagai cawangan kelab induk dan ketuanya dilantik oleh Presiden kelab induk akan membunuh semangat demokrasi dalam pemilihan pemimpin di peringkat kelab, dan pemimpin kelab cawangan hanyalah dari kalangan belia yang jinak dengan pemimpin atasan; lantikan pengerusi MBN oleh Menteri Besar (MB) dan Ketua Menteri pula mengongkong kegiatan politik belia dan membawa risiko pemilihan pengerusi MBN diasaskan kepada orientasi politik MB dan KM yang tidak semestinya dari parti yang dipersetujui oleh ahli-ahli MAYC. Struktur ini hanya menguntungkan Dato' Harun dan Dato' Haji Shuhaimi selaku Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua 4B kerana merekalah yang akan menentukan siapa yang menjadi Pengerusi MBN, iaitu pemimpin 4B yang ditunjuk oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada MB.

MAYC KELUAR DARI MBM

31. Oleh kerana Pengarah Belia di waktu itu telah mengetahui MAYC menentang penubuhan MBK sebagai ganti kepada MBM maka pemimpin-pemimpin MAYC telah diberitahu bahawa kerajaan akan mengharamkan MBM dan mengikut Akta Pertubuhan apabila badan induk MBM diharamkan maka semua kelab yang bergabung dengan MBM akan menjadi haram dan tidak sah wujud lagi. Apabila MAYC mengetahui mengenai ancaman ini maka MAYC di dalam mesyuarat agungnya telah memutus untuk keluar dari bergabung dengan MBM sebelum MBM diharamkan. Dengan cara ini maka MAYC tidak haram apabila MBM diharamkan. Yang haram ialah kelab-kelab yang masih bergabung dengan MBM.

PERDANA MENTERI TUN ABDUL RAZAK SOKONG PENDIRIAN MAYC

32. Tindakan drastik MAYC kerana keluar dari MBM telah menarik perhatian Tun Abdul Razak, dan beliau telah menjemput saya ke rumahnya pada satu pagi sebelum Tun ke mesyuarat kabinet. Saya telah menjelaskan kepada Allahyarham Tun sebab-sebab MAYC menentang pengharaman MBM kerana MAYC tidak menganggap MBM terlibat dalam demonstrasi kerana MAYC sebagai anggota MBM tidak pernah merestuinya, dan tidak ada keputusan mesyuarat MBM untuk berdemonstrasi. MAYC juga menentang rancangan penubuhan MBK oleh Kementerian Belia dan Sukan kerana MAYC menganggap struktur MBK akan melemahkan semangat demokrasi dan semangat juang belia-belia di masa akan datang. Pemimpin belia di masa akan datang akan terdiri dari mereka yang patuh dan ingin mengekalkan jawatan walaupun bertentangan dengan prinsip. Belia akan hilang keberanian dengan terbantut demokrasi dalam sistem pemilihan pemimpin. Pemimpin belia di masa yang akan datang hanya akan menjadi pengikut Dato' Harun dan Dato' Haji Shuhaimi. MAYC bukan belia sedemikian.

33. Tun Abdul Razak bersetuju dengan pendirian MAYC dan terus membatalkan rancangan penubuhan MBK.

MAYC KEMBALI MENJADI ANGGOTA MBM

34. Apabila saya menyerah pimpinan MAYC kepada Dato' Syed Hamid Albar perkara yang pertama yang diputuskan oleh MAYC di bawah pimpinan baru ialah untuk mengembalikan MAYC ke dalam MBM. Bagi saya ini bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana MBM itu ialah MBM yang kekal wujud kerana perjuangan MAYC jua. Dato' Syed Hamid, yang belum bergiat di dalam MAYC di waktu peristiwa MAYC keluar dari MBM berlaku, mungkin tidak mengetahui sebab MAYC bertindak demikian dan tidak merasakan kehebatan MAYC mempertahankan nama baik MBM di waktu itu.

IDE SIAPAKAH UNTUK MENGHARAMKAN MBM DAN MERANCANGKAN PENUBUHAN MBK?

35.. Entah kenapa, apabila Ketua Pengarah Belia waktu MBM hendak diharamkan, menjadi Timbalan Perdana Menteri, dalam lawatan beliau ke Kedah di mana saya menjadi Menter Besarnya, beliau telah tarik saya ketepi hanya untuk membisik bahawa beliau dan saya adalah sependapat mengenai tentangan saya terhadap pengharaman MBM dan Penubuhan MBK.                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                           

36. Malangnya, apabila Ketua Pengarah Belia yang sama menjadi Perdana Menteri Malaysia Ke 5 seorang Menteri yang tidak pernah terlibat dalam kegiatan belia telah melaksanakan program yang hampir sama dengan yang dicadangkan oleh Ketua Pengarah Belia, yang sama, di masa Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan hendak mengharamkan MBM dan menubuhkan MBK, di zaman Tun Abdul Razak dahulu.

37. Jelas sekali MAYC di zaman Perdana Menteri ke 5 tidak pernah mengeluarkan pendapat untuk mempertahankan pendirian MAYC sebelumnya. Mungkin kerana MAYC Kebangsaan tidak rajin mengadakan mesyuarat agung sebagaimana yang dikehendaki oleh perlembagaannya. Walau bagaimana pun mereka berminat kepada pendapatan yang diperolehi dari harta MAYC walau pun hutangnya tidak diuruskan.

MAYC KINI

38. Saya difahamkan, sementara semua kelab belia yang ada di negara ini sudah pun ditubuh semula di bawah struktur baru yang dikehendaki oleh kerajaan pihak MAYC yang saya tinggal sudah tidak bermesyuarat agung sepanjang lebih 5 tahun, dan MAYC baru pun masih menunggu mesyuarat agung penubuhannya.

39. Sementara pergerakan belia kini bergerak dengan lembab jika dibandingkan dengan masa yang lalu, Kementerian Belia dan Sukan pula dibeban dengan berbagai jenis kegiatan sukan seperti Piala Thomas dan Uber (di mana kita gagal mara ke perlawanan akhir) dan Piala Bola Sepak Dunia di Afrika Selatan di mana kita hanya berjaya menghantar seorang pengadil sahaja iaitu saudara Subkidin Mohd Saleh.

PENUTUP

40. Jika Barisan Nasional berasa cemas dengan sambutan generasi muda terhadap pemerintahan ianya dapat difahami jika pihak kerajaan memberi perhatian yang lebih kepada kegiatan pertubuhan-pertubuhan belia. Kegiatan parti pembangkang masakini diterajui oleh pemimpin-pemimpin yang ramai pernah gigih di dalam pergerakan belia di masa lalu, sedangkan pemimpin muda dalam parti kerajaan masa kini telah tidak terdedah kepada gelombang aktiviti pergerakan belia.

41. Soalannya ialah samada kuda-kuda yang dididik di dalam gelanggang mampu berlumba dengan kuda sarkas di kandang dan seterusnya dengan kuda lumba di padang..

42. Dalam keadaan negara memerlukan barisan pelapis yang dinamik dan bertanggungjawab, lebih-lebih lagi dengan keadaan persengketaan antara kaum dan di dalam setiap kaum belia perlu didedah, dilatih dipimpin dan diajar memimpin supaya rakyat dapat bersatu dengan pengalaman bersama, penderitaan bersama dan azam untuk bersatu disemarakkan semula.

43. Melalui pertubuhan-pertubuhan belia kerajaan dan masyarakat boleh menggerakkan tenaga muda dalam usaha membasmi kemiskinan, pengangguran, maksiat, gejala sosial, dadah dan sebagainya. Belia dan beliawanis boleh memainkan peranan menyatupadukan rakyat Malaysia.

44. Kelab Veteran MAYC ditubuhkan sebagai jawapan kepada soalan-soalan di atas. 

5 comments:

Nordin Razak said...

Saudara Sanusi.

Saya maseh ingat lagi pada tahun 1971 sawaktu saya menjemput Sdr sanusi ka satu majelis Forum University malaya,saudara ada menyatakan kapada saya yang Dr Mahathir saorang pemimpin yang tiada ada maruah.Dia memakan duit haram pelacoran bersama denga Tengku Abdullah,.

Saya bertanya bagaimana,maka saudara mengatakan kapada saya yang bangunan MAYC di jalan Loonie itu merupakan sarang pelacoran dan inik di biarkan berlaku oleh Tungku Abdullah dan Dr Mahathir.

Sekarang ini nampaknaya saudara sanusi tak habis memuju Tun Mahathir sampai saya naik muak.

shamsuri ismail said...

organisasi belia melayu hari ini terjadi lembab kerana dasar kerajaan sendiri.jabatan belia pun separuh nyawa kalau dilihat dari dekat.kongkongan politik umno yang berlebihan menyebabkan belia melayu jadi layu.pemimpin belia hanya nampak hebat diluar.tapi ditempat sendiri hampas sahaja.tokoh-tokoh belia yang ditonjolkan kemana pergi selapas dapat sijil dan anugerah.semangat kesukarelaan dikalangan belia/remaja pun sudah terhakis sedikit demi sedikit.masa depan pertubuhan belia dimalaysia amat memilukan.menteri belia pun tengok macam tak ada hala tuju kementerian yang diterajuinya.relek sahaja.

Anonymous said...

Dahulu belia adalah tempat melahirkan pemimpin pelapis.Sekarang wang ringgit yang melahirkan pemimpin pelapis Saya rasa tak perlulah ada lagi pertubuhan belia sama ada 4B atau MAYC.Biarlah semua itu menjadi legenda dalam lipatan sejarah.

edin boy said...

nordin razak,

i'm sure everyone says things and change their mind, especially in politics. It's a little immature for someone to dig out pretty old stuff like that.

abukabir said...

Saya sokong komen edin boy 100%