Wednesday, February 16, 2011

KEKALKAN PERBEZAAN BANGSA SUPAYA MELAYU TIDAK LALAI

KERTAS LATAR BELAKANG DAN PANDUAN BAGI UCAPAN SEBAGAI AHLI PANEL DALAM SIMPOSIUM DILEMA MELAYU ANJURAN ASPIRASI PADA 12HB FEBRUARI, 2011 DI PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA (PWTC), KUALA LUMPUR


"MILIKAN 30% EKUITI BUMIPUTRA MENJELANG 2020 - BAGAIMANA DAN DI MANA MELAYU?"

ANGKA 30 DAN 2020 MENGHANTUI MELAYU

1. Dua angka ini, 30 dan 2020, telah menghantui bangsa Melayu, dan membimbangkan yang bukan Melayu, sejak Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada tahun 1972. Untuk mengenal pasti bagaimana angka 30% ekuiti Bumiputra itu lahir, ada baiknya kita melihat perjalanan sejarah berbagai dasar ekonomi yang telah diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia.

DASAR EKONOMI BEBAS

2. Di waktu kemerdekaan dicapai apa yang kita perjuangkan, dan dipersetujui oleh semua kaum, dalam bidang ekonomi, ialah amalan Dasar Ekonomi Bebas. Kebebasan ini, yang ditafsirkan oleh orang-orang Melayu sebagai kebebasan untuk menerokai berbagai bidang perniagaan dan perusahaan, dengan kerjasama peniaga dan pengusaha asing, jika peniaga dan pengusaha milik China dan India tidak mahu membantu, atau bekerjasama dengan Melayu, sekali pun.

KEKECEWAAN PENIAGA DAN PENGUSAHA MELAYU

3. Apa yang didapati oleh peniaga dan pengusaha Melayu ialah perkataan  bebas itu ditafsirkan oleh peniaga dan pengusaha asing sebagai bebas untuk memilih sesiapa saja yang mereka suka sebagai rakan peniaga dan pengusaha, bebas untuk tidak melayan rayuan dari pihak peniaga dan pengusaha Melayu yang memerlukan bimbingan, dan bebas untuk tidak memberi apa-apa pertimbangan atau layanan untuk monolong bangsa Melayu yang dahagakan rakan-kongsi yang berilmu dan berpengalaman dalam bidang perniagaan dan perusahaan.

4. Sikap begini tidak menyalahi undang-undang atau semangat perlembagaan kerana memang itulah erti Dasar Ekonomi Bebas yang termaktub di dalamnya.

TENTANGAN TERHADAP DASAR EKONOMI BEBAS

5. Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama pada tahun 1965 telah menentang dengan hebatnya Dasar Ekonomi Bebas ini. Tentangan ini adalah kemuncak daripada kegelisahan orang-orang Melayu yang buntu mendapat dukungan dari swasta yang berkemampuan membantu, malahan merasa terhalang kerana sikap mereka menegakkan kebebasan untuk memilih sendiri rakan kongsi atau retailer kepada barang wholesale mereka.

DASAR EKONOMI BARU DIKETENGAHKAN MENGGANTI DASAR EKONOMI BEBAS

6. Akibat dari kegelisahan orang-orang Melayu inilah maka Dasar Ekonomi Baru diketengahkan untuk mengganti Dasar Ekonomi Bebas pada tahun 1972, iaitu setelah 3 tahun berlakunya tragedi peristiwa 13 Mei, 1969.

DASAR EKONOMI BEBAS KEKAL DI DALAM PERLEMBAGAAN

7. Walau bagaimana pun Dasar Ekonomi Bebas tetap kekal di dalam Perlembagaan Malaysia kerana Dasar Ekonomi Baru itu dijangka berlaku hanya selama 20 tahun.

DASAR PEMBANGUNAN NEGARA MENGAMBIL ALIH PERANAN DASAR EKONOMI BARU

8. Jangkamasa Dasar Ekonomi Baru berakhir di zaman Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri. Ianya telah diganti dengan Dasar Pembangunan Negera yang dikatakan oleh Tun Dr. Mahathir sebagai tunjangan atau kesinambungan kepada Dasar Ekonomi Baru di mana kepentingan Bumiputra, sebagaimana yang diperjuangkan di bawah Dasar Ekonomi Baru, diteruskan.

BIDANG PERJUANGAN DASAR EKONOMI BARU

9. Di bawah Dasar Ekonomi Baru dua bidang perjuangan yang telah diketengahkan ialah:

1) Membasmi kemiskinan, dan

2) Menyusun semula masyarakat.

MEMBASMI KEMISKINAN

10. Perjuangan membasmi kemiskinan ini yang merupakan bidang yang paling popular bagi semua kaum, dan parti politik, telah tidak menjadi isu setelah tamat jangkamasa Dasar Ekonomi Baru kerana orang-orang miskin, dari semua kaum, bergantung nasib kepada parti-parti politik dan penulis (samaada pengarang, wartawan atau ahli akademik) kerana orang-orang miskin tidak mempunyai pertubuhan, samaada NGO atau parti politik yang dipimpin oleh orang-orang miskin atau orang-orang yang pernah miskin dan kemiskinan masih dalam ingatan dan kenangan, untuk menyuarakan masalah mereka.

MENYUSUN SEMULA MASYARAKAT

11. Dalam usaha untuk menyusun semula masyarakat pula keputusan kerajaan di waktu itu ialah untuk menghapus pengenalan kaum dengan fungsi ekonomi. Jangan sampai bila disebut Melayu kerjanya hanya dengan kerajaan, dalam pejabat dan jabatan, angkatan polis dan tentera, atau menjadi petani dan pesawah sahaja; sementara orang China dan peniaga atau pengusaha asing monopoli bidang perniagaan dan perusahaan sementara orang India menjadi buruh di ladang.

PEMBAHAGIAN 30-40-30 MEMUASKAN HATI SEMUA PIHAK

12. Dalam usaha menghapuskan identiti Melayu yang dikenali dalam fungsi ekonomi tradisinya itulah maka diperkenalkan idea 30% saham untuk Melayu dan Bumiputra dalam sektor swasta. Untuk bukan Bumiputra pula mereka disarankan memiliki 40% saham dalam bidang swasta dan pelabur asing disarankan memiliki 30%. Pembahagian ini, dalam teori, dapat diterima oleh semua pihak kerana dari hampir tiada saham yang dimilikinya pihak Melayu dan Bumiputra akan memiliki sebahagian hak; bukan Bumi pula puas hati kerana mereka dijamin akan memiliki lebih dari Bumi sementara pihak asing akan tetap bertapak di negara ini dengan memiliki 30% dari saham di bidang swasta.

PSYCHOLOGICAL AND NOT LOGICAL PERCENTAGES

13. Mengikut apa yang diberitahu oleh Allahyarham Tun Ghazalie Shafie yang saya menjadi Timbalan Menterinya waktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri peratus 30-40-30 ini telah dipilih berasaskan perhitungan psikologi (psychological) walau pun ianya tidak lojik (logical).

14. Adalah tidak munasabah, atau lojik, katanya, untuk menentukan bangsa yang peratus jumlahnya lebih 60% menerima 30% sebagai miliknya dalam ekuiti swasta dalam negaranya sendiri.

15. Beliau bertanya 'Kenapa pula, di Kedah umpamanya, di mana 100% orang Melayu yang menanam padi tetapi dalam bidang ekonomi pertanian padi orang Melayu tidak boleh menguasai 100% ekuiti sektor penanaman padi ini? Kenapa kilang padi perlu dimiliki oleh taukeh China? Jika jumlah orang Melayu di Malaysia 60% kenapakah orang Melayu tidak menjadikan matlamat untuk memiliki hak menguasai 60% dalam bidang ekonomi pengguna (consumer)?

16. Orang Melayu Islam juga tidak memerlukan 30% ekuiti dalam sektor ekonomi maksiat seperti industri judi, arak, kelab-malam atau penternakan babi.

17. Adakah orang Melayu akan menerima 30% ekuiti dalam semua peniagaan dan perusahaan tanpa mempunyai kuasa yang hanya ada pada pemilik ekuiti sejumlah 51% atau lebih. Adalah penting, jika pada keseluruhannya golongan Melayu Bumiputra tidak memiliki 30% ekuiti sekali pun dalam sektor ekonomi berikut orang Melayu Bumiputra mempunyai lebih dari  51% ekuiti atau 100% sekali pun;

1. Perniagaan borong dan runcit,

2. Perusahaan pengangkutan,

3. Perbankan dan kewangan,

4. Perladangan dan pertanian,

5. Industri pendidikan,

6. Industi pelancongan,

7. Industri kesihatan dan

8. Industri tenaga.

18. Untuk memenuhi hasrat melibatkan orang Melayu Bumiputra dalam pelbagai sektor ekonomi maka kerajaan telah mengadakan berbagai perbadanan dan agensi seperti MARA, UDA, PERNAS, PERNAS EDAR, SEDCs, FAMA dan lain-lain.

19. Malangnya, kini, hanya aspek memiliki 30% ekuiti dalam sektor swasta sahaja yang menjadi tumpuan apabila urusan penyusunan masyarakat dibincangkan. Walau bagaimana pun sejarah usaha mendapatkan 30% ekuiti dalam sektor swasta untuk orang-orang Melayu dan Bumiputra telah melalui berbagai halangan dan mencapai kemajuan yang menarik.

KEGAGALAN SISTEM PENJUALAN SAHAM YANG DITAWARKAN KEPADA INDIVIDU YANG BERMINAT

20. Di peringkat awal, peruntukan saham telah diberi kepada individu yang menunjuk minat untuk membeli saham yang baru ditawarkan ke dalam pasaran saham. Ramai sekali yang terlibat. Cara ini jelas tidak akan menjayakan pengumpulan saham swasta menuju sasaran 30% kerana apabila harga saham yang ditawarkan itu naik dengan cepat Melayu dan Bumiputra yang memiliki saham itu akan menjualnya untuk mendapat keuntungan. Walau pun bank swasta memberi pinjaman untuk membeli saham-saham yang ditawarkan tetapi keuntungan yang diperolehi, jika saham yang dibeli itu disimpan, keuntungannya didapati tidak sepadan dengan faedah yang perlu dibayar ke atas pinjaman untuk membeli saham berkenaan. Apabila kerugian berlaku kerana bunga atas pinjaman didapati lebih dari keuntungan yang diperolehi melalui dividen maka lojiklah pemegang saham akan menjual sahamnya.

21. Di bawah sistem ini ramai juga bukan Melayu dan bukan Bumiputra yang mengaut keuntungan dengan memperalatkan kerani dan budak pejabat Melayu di sektor swasta untuk membeli untuk Melayu dan Bumiputera yang kemudiannya dipindah-milik kepada tuan mereka yang bukan Melayu dan bukan Bumiputra.

KEGAGALAN SISTEM PENJUALAN SAHAM YANG DITAWARKAN KEPADA INDIVIDU TERPILIH YANG BERKEMAMPUAN

22. Melihat keadaan ini perubahan dibuat untuk memperuntukkan saham hanya kepada Bumiputra yang berkemampuan melabur iaitu dari kalangan mereka yang tidak bergantung kepada pinjaman untuk membeli saham yang ditawarkan. Cara ini juga terbukti tidak dapat menjamin saham yang ditawarkan akan disimpan dan tidak dijual apabila didapati sangat menguntungkan.

KEJAYAAN PEMILIKAN SAHAM MELALUI PERMODALAN NASIONAL BERHAD

23. Strategi yang berjaya ialah dengan mewujudkan skim amanah saham melalui Amanah Saham Nasional dan mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang memegang saham sebagai pemegang amanah bagi pihak Melayu dan Bumiputra. Semua orang-orang Melayu dan Bumiputra berpeluang memiliki saham dalam sektor swasta melalui skim amanah saham.

KEJAYAAN SKIM BIASISWA UNTUK PELAJAR-PELAJAR MELAYU DAN BUMIPUTRA

24. Sementara strategi untuk memiliki 30% saham dalam bidang swasta ini berjaya diurus secara beransur-ansur perjuangan untuk menyusun semula masyarakat juga dijayakan melalui pemberian biasiswa untuk pelajar-pelajar dalam berbagai bidang pelajaran.

KEGAGALAN TIDAK MENGHILANGKAN KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN

25. Walaupun matalamat pemilikan 30% ekuiti atau saham swasta oleh Melayu dan Bumiputra telah tidak tercapai di akhir tempoh Dasar Ekonomi Baru, sementara jumlah cerdik-pandai dan profesyenal Melayu dan Bumiputra, walau pun banyak bertambah, tetapi belum seimbang dengan penambahan cerdik-pandai dan profesyenal bukan Bumiputra, pengenalan Dasar Pembangunan Negara sebagai penyambung semangat Dasar Ekonomi Baru di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamed telah berjaya mengekalkan harapan Melayu dan Bumiputra.

26. Di akhir jangka-masa pimpinan Tun Dr. Mahathir keadaan Melayu dan Bumiputra masih'

1. Belum tercapai matalamat pemilikan 30% ekuiti atau saham oleh Melayu dan Bumiputra dalam sektor swasta,

2. Jumlah cerdik-pandai dan profesyenal Melayu dan Bumiputera masih ketinggalan jumlahnya jika dibandingkan dengan jumlah bukan Bumiputera,

3.  Perjuangan membasmi kemiskinan, walau pun berjaya, masih belum selesai,

4.  Kemampuan dan pengalaman orang-orang Melayu dan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan perusahaan masih cukup ketinggalan.

27. Walau pun demikian keyakinan orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia kepada kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional tetap kukuh. Apabila Tun Dr. Mahathir Mohamed meletakkan jawatan Barisan Nasional, di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi, mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pilihanraya umum berikutnya pada tahun 2004.

28. Kejayaan ini juga tercapai kerana pengundi berpendapat sebagai anak Ulama Dato' Abdullah Ahmad Badawi (kini bergelar Tun) akan meneruskan usaha yang baik oleh Tun Dr. Mahathir dan ditambah dengan idea baru dengan cara baru di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

PRESTASI DALAM PILIHANRAYA UMUM KE 12 TAHUN 2008 YANG MENGECEWAKAN.

29. Di bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi segala harapan, kepercayaan dan keyakinan yang dipamerkan dalam keputusan Pilihanraya Umum ke 11 (2004) telah hancur berkecai disebabkan:

1. Rasuah,

2. Nepotisma,

3. Pentadbiran yang tandus wawasan, lemah kepimpinan dan pengurusan.

KEPIMPINAN YANG LEMAH, RASUAH DAN NEPOTISMA

30. Akibat dari kepimpinan yang lemah, rasuah dan mengamalkan nepotisma ini ialah:

1. Parti pembangkang membuat berbagai tuntutan dan desakan yang bertentangan dengan hak-hak Melayu yang termaktub dalam perlembagaan,

2. Parti komponen dalam Barisan Nasional juga membuat tuntutan yang membayangkan tuntutan yang sama dengan parti pembangkang,

3.  Cerdik-pandai dan profesyenal Melayu yang telah mendapat munafaat dari perjuangan UMNO dan dasar-dasar kerajaan telah memisahkan diri dari dihubungkaitkan dengan UMNO.

TUN ABDULLAH AHMAD DIGANTI DENGAN DATO' SERI NAJIB TUN ABD. RAZAK

31. Berhentinya Tun Abdullah dan digantikan oleh Dato' Seri Najib Tun Abd. Razak adalah laksana terbitnya matahari di hujung bumi setelah terlalu lama suasana mendung merundung alam.

BABAK PERTAMA PENTADBIRAN DATO'  SERI NAJIB

32. Dato' Seri Najib memasuki alam kepimpinannya dengan slogan; Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan. Slogan ini tersangat baik dan ianya senada dengan slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah' sebagai panduan untuk tindakan berprestasi yang diharapkan oleh Tun Dr. Mahathir, sementara mendahulukan rakyat adalah satu matalamat yang mulia.

PROGRAM MEMPERKUKUHKAN PENGARUH BARISAN NASIONAL UNTUK MENGHADAPI PILIHANRAYA UMUM KE 13

33. Sebagai seorang Perdana Menteri keutamaan Dato' Seri Najib Tun Abd. Razak  ialah untuk memastikan kemenangan cemerlang dalam Pilihanraya Umum ke 13 yang akan datang. Untuk itu perhatian hendaklah diberi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan. Pendekatannya ialah melalui konsep 1MALAYSIA dan MODEL BARU EKONOMI.

KETAKUTAN MELAYU

34. Berbagai tafsiran telah dibuat mengenai erti 1MALAYSIA dan yang membimbang dan menakutkan orang-orang Melayu ialah jika 1MALAYSIA itu disamaertikan dengan MALAYSIAN MALAYSIA tajaan parti PAP pimpinan Lee Kuan Yew waktu Singapura berada dalam Malaysia. Tetapi, apabila parti KEADILAN, yang di dalamnya ada parti DAP, sebagai anak yatim peninggalan PAP, di waktu Singapura dikeluarkan dari Malaysia, menolak konsep 1MALAYSIA maka kekeliruan ini terhapus dengan sendirinya.

35. Model Baru Ekonomi hanya dikritik oleh orang-orang Melayu apabila ada anggota majlis penasihat mengenainya telah dengan angkuh menidak dan memperkecilkan Dasar Ekonomi Baru di waktu mengenengahkan Model Baru Ekonomi.

SIAPAKAH YANG MEMPERKECILKAN DASAR EKONOMI BARU

36. Mereka yang memperkecilkan Dasar Ekonomi Baru ini terdiri dari kalangan anak-anak muda Melayu yang berpelajaran, biasanya belajar di luar negeri, dengan biasiswa yang mereka perolehi kerana belanjawan kerajaan di bawah bab Hak Istimewa Orang-Orang Melayu yang diperuntukkan dalam perlembagaan, yang diperjuangkan oleh UMNO. Kerana mereka merasa diri lebih pandai dari orang tuanya maka mereka menunjuk taring apabila mereka melihat kedudukan dan kepimpinan UMNO lemah.

37. Mereka ini biasanya terlindung dengan kedudukan mereka yang baik dalam kerajaan dan swasta, walau pun biasanya kedudukan mereka itu jua disebabkan orang yang melantik mereka itu mendapat kedudukan kerana UMNO.

38. Mereka sebenarnya berpenyakit ego sehingga terlupa siapa dirinya yang sebenar. Apalagi jika mereka beristerikan bukan Melayu atau bukan Bumiputera maka mereka merasa kecil menjadi Melayu atau Bumiputera yang dilindungi oleh Perlembagaan dan dasar kerajaan, atau mendapat keistimewaan sebagai Melayu atau Bumiputera.

39. Kalau mereka belajar di universiti yang terkemuka di luar negeri lebih menjadi-jadilah mereka itu anti Melayu dan Bumiputera kerana mereka akan menjadi popular apabila mereka mengutuk bangsanya sendiri.

40. Kalau mereka mempunyai bapa atau ibu yang bukan Melayu, kadangkala mereka malu menjadi Melayu, apatahlagi jika ibu atau bapa yang Melayu atau Bumiputera sudah meninggal dunia atau diceraikan.

41. Kalau mereka berada di dalam parti politik yang bergantung kepada bukan Melayu untuk mereka jadi ketua maka menjadi-jadilah mereka mengutuk bangsa sendiri untuk dipuji bangsa lain.

42. Ada tokoh pelajar Melayu yang mendapat sokongan bukan Melayu di universiti kerana gigih mengutuk amalan rasuah di kalangan pemimpin-pemimpin Melayu dan tidak mengutuk pemimpin bukan Melayu yang rasuah. Sedangkan tokoh ini sepatutnya mengutuk rasuah dengan tidak mengira bangsa.

43. Memanglah jalan yang paling mudah untuk menjadi popular dengan yang bukan Melayu dan bukan Bumiputera ialah dengan mengutuk dan menghina bangsa sendiri, dan semua dasar yang dibuat untuk kepentingan bangsanya tanpa mengira begitu ramai dari kalangan bangsa dan keluarganya sendiri yang masih memerlukan UMNO dan dasar-dasar yang dibuat oleh UMNO.

44. Jika mereka betul-betul bersemangat Melayu dan Bumiputra yang patriotik mereka sepatutnya menolong untuk membetulkan apa-apa yang salah dibuat oleh pemimpin-pemimpin UMNO dari segi pelaksanaan.

APAKAH AKAN SELESAI MASALAH EKONOMI ORANG-ORANG MELAYU DI BAWAH MODEL BARU EKONOMI.

45. Orang-orang Melayu masih tertanya-tanya samaada masalah mereka akan selesai dengan Model Baru Ekonomi.

46. Apakah kedudukan politik orang-orang Melayu akan bertambah kukuh di bawah pendekatan 1MALAYSIA.

47. Pendeknya - apakah orang-orang Melayu dapat memiliki 30% ekuiti saham dalam negara menjelang tahun 2020?

CADANGAN UNTUK BANGSA MELAYU

48. Kita sudah mendengar cadangan supaya semua sekolah China dan Tamil ditutup di dalam negara ini jika kita ingin betul-betul menjayakan idea 1MALAYSIA. Cadangan ini adalah munasabah kerana tidak ada sebuah negara pun di dunia ini yang membenarkan sekolah vernacular yang berasingan ditubuhkan di negara mereka. Kita tidak dapati sekolah-sekolah China di Thailand, Filipina, Singapura dan Indonesia kerana mereka juga mempunyai banyak penduduk China. Di Thailand, Filipina dan Indonesia mereka tidak perlu program 1FILIPINA, 1THAILAND ATAU 1INDONESIA untuk menyatupadukan rakyat kerana rakyat mereka memang bersatu kerana tidak ada sekolah vernacular yang berasingan.

49. Dalam pilihanraya umum yang lalu di Indonesia mereka ketengahkan tema INDONESIA SATU kerana terlalu banyak wilayah atau daerah di Indonesia, seperti Aceh, Sulawesi dan Maluku, yang ingin keluar dari Indonesia. Mereka bukan bertujuan menyatupadukan rakyat tetapi mengekalkan semua wilayah di dalam negaranya.

50. Bila kita bercakap mengenai 1MALAYSIA matalamat kita hendaklah berbeza dari keadaan di Indonesia, Filipina dan Thailand di mana mereka kesemuanya mempunyai hanya satu bahasa. Di Filipina dan Thailand pula bangsa yang berbeza bukan sahaja mempunyai satu bahasa tetapi juga ugama dan nama yang serupa. Di Indonesia, walau pun ada perbezaan ugama tetapi nama dan bahasa telah disamakan sehingga kita tidak dapat mengenali perbezaan bangsa dari nama dan bahasa. Kita juga tidak dapat membezakan dari perangkaan milik kekayaan siapa yang China dan siapa yang Pribumi jika melihat pada senarai nama.

SWITZERLAND

51. 1MALAYSIA bolehlah bermiripkan Switzerland di mana bangsa Swiss bercakap dalam tiga bahasa, Jerman, Perancis dan Itali, sementara ugama mereka juga berbeza walau pun pihak Katholik dan Protestant boleh bersembahyang dalam satu gereja.

CADANGAN SUPAYA MELAYU TIDAK LALAI

52. Untuk mengelak dari bahaya kelalaian di kalangan bangsa Melayu apabila mereka tidak dapat membezakan atau merasakan perbezaan antara China, India dan Melayu kerana hanya ada satu bahasa, menggunakan satu nama walaupun berbeza ugama, maka saya cadangkan di kekalkan China dan India dengan identiti mereka, seperti sekarang, supaya kita sentiasa nampak perbezaan pencapaian kita dalam sektor ekonomi dan pendidikan pada setiap masa. Kita perlu kekalkan sekolah China dan India, dan memunafa'atkan kewujudannya, dan menjadikan perbezaan antara kita sebagai ukuran atas kegagalan atau pencapaian kita.

53. Dengan itu kita tidak akan lalai sehingga kita sanggup mengorbankan kuasa politik kita, seperti ketua pentadbiran negara di Filipina (Presiden) dan Thailand (Perdana Menteri) adalah dari keturunan China walau pun majoriti rakyatnya bukan China dan kedudukan ekonomi bumiputera Filipina dan bumiputera Thailand masih jauh ketinggalan.

54. Hanya apabila bangsa Melayu dapat melihat dengan jelas betapa jauh tinggalnya dalam bidang ekonomi dan pendidikan, jika dibandingkan dengan bukan Melayu, barulah mereka akan berusaha, jika mereka betul-betul sedar, untuk mengekalkan kuasa politik bagi membolehkan mereka membuat dasar yang boleh membantu mengimbangkan kedudukannya dengan China dan India.

MELAYU JANGAN LUPA

55. Kita tidak dapat nafikan bahawa sudah ada di kalangan bangsa Melayu, individu dan  tokoh, yang  merasa dirinya sendiri sudah setanding dengan China dan India, seterusnya merasakan perjuangan UMNO tidak penting lagi. Begitu juga hak-hak istimewa orang-orang Melayu. Individu dan tokoh begini terlupa bahawa kejayaannya belum menyeluruh dan tidak merupakan kejayaan seluruh bangsa. Begitu juga dengan tokoh dan individu Melayu yang buta 'statistics' dan lupa diri kerana hidup dalam persekitaran negerinya sendiri sehingga terlupa kejayaan Melayu menguasai sesebuah negeri tidak bererti, dan tidak menjamin, Melayu akan berjaya di peringkat nasional. Begitu juga dengan tokoh dan individu Melayu yang lalai dan cuai kerana sanjungan yang diberi oleh bukan Melayu sehingga sanggup menggadai masa depan bangsanya sendiri.

PENTING DIKEKALKAN IDENTITI CHINA DAN INDIA UNTUK SEDARKAN MELAYU

56. Sebagaimana adanya Israel menjadi sebab Umat Islam bersatu dan semua masalah kegagalan Umat Islam di Asia Barat dapat disalahkan kepada Israel, Melayu juga bernasib baik kerana adanya China dan India dalam negara ini yang boleh dijadikan alasan atas kegagalan bangsa Melayu. Selain dapat melihat kejayaan China di sektor korporat Melayu juga sedar betapa orang-orang India bermaharajalela di dunia perundangan, dan betapa banyak khidmat mereka dalam dunia perubatan.

MELAYU JANGAN LALAI KERANA ADA CHINA DAN INDIA YANG BOLEH DISALAHKAN

57. Walau bagaimana pun orang-orang Melayu jangan menjadi selesa dan lalai hanya kerana boleh menyalahkan bukan Melayu apabila Melayu gagal.

PEGAWAI-PEGAWAI MELAYU DALAM SWASTA DAN KERAJAAN

58. Walau pun pegawai-pegawai tinggi dalam swasta dan kerajaan dan ketua-ketua jabatan kerajaan di Malaysia kebanyakannya terdiri dari orang-orang Melayu kita hendaklah tidak terfikir bukan Melayu tidak mempunyai kelayakan menduduki tempt-tempat itu. Kita hanya perlu melihat kepada mutu pentadbiran dan pengurusan syarikat Temasik di Singapura dan jabatan-jabatan kerajaan di Singapura yang kita 'benci' untuk menyukat kemampuan bukan Melayu.

59. Tokoh-tokoh korporat dan Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Melayu dan Bumiputera hendaklah tidak merasa diri lebih tinggi dari bangsanya, sebaliknya mereka hendaklah mengambil inisiatif supaya dipandang tinggi oleh bangsanya.

60. Mereka hendaklah tidak merasa tinggi diri dan memandang rendah kepada UMNO yang mempunyai berjuta ahli. UMNO lah yang melalui proses demokrasi dapat mempertahankan kuasa dan memberi keamanan kepada negara dan kemakmuran kepada rakyat; sebaliknya mereka hendaklah mempunyai watak dan keupayaan yang dapat disanjung dan dipandang tinggi oleh berjuta ahli UMNO dari kalangan bangsa Melayu dan Bumiputera.

61. Betapa hebatkah kita jika tidak ada orang yang memikirkan kita hebat? Betapa tinggikah kita jika berjuta orang memandang rendah terhadap kita.

RASUAH DIBERI KERANA DIMINTA

62. Memanglah yang merasuahkan Melayu kebanyakannya China, tetapi kita tidak boleh lupa bahawa yang meminta, mengharapkan dan menerima rasuah itu ialah Melayu. Rasuah itu ialah faktor yang boleh menyelewengkan sesuatu tindakan dari matlamatnya. Kita tidak boleh salahkan China atau India sahaja jika kita rasuah. Orang-orang yang memberi rasuah, walau pun bersalah, sebenarnya tidak akan memberi rasuah kecuali untuk mudah mendapatkan sesuatu yang mereka tidak akan perolehi tanpa memberi rasuah.

PENYUSUNAN SEMULA MASYARAKAT

63. Adalah malang jika kita tambatkan keupayaan Melayu dalam sektor swasta kepada hanya memiliki 30% ekuiti atau saham. Memiliki 30% ekuiti dalam sektor swasta belum bererti Melayu sudah pandai berniaga atau berusaha. Malaysia boleh berbangga dengan kedudukan sebagai sebuah negara Islam yang duduk di tangga ke 17 di dunia dalam bidang perdagangan. Tetapi sifat Islam negara kita itu terletak pada jumlah penduduk yang berugama Islam dan kedudukan dalam bidang perdangan bukanlah kerana keupayaan penduduk yang berugama Islam itu. 

Sebagaimana -

a) negara kaya belum bererti rakyatnya juga kaya,

b) bertambahnya tangkapan ikan, dengan menggunakan ratusan bot perikanan laut dalam yang besar-besar yang dimiliki dan dikendalikan oleh pengusaha dan nelayan-nelayan asing, tidak bererti nasib nelayan sudah bertambah baik.

c) bertambahnya hasil tanaman padi di ladang-ladang besar, dengan menggunakan mesin dan teknologi tinggi, oleh pelabur asing dengan buruh impot, tidak bererti penanam padi sudah menjadi mewah, dan

d) bertambahnya jumlah lembu yang diternakkan oleh pelabur penggembala dari luar negara yang memugar hutan belantara dengan mesin-mesin besar dan membina ranch dan menternak secara moden tanpa menggunakan banyak tenaga buruh tidak bererti penternak di kampung sudah menjadi kaya.

e) memiliki saham dalam sebuah syarikat awam yang bergiat dalam bidang penanaman kelapa sawit tidak bererti kita sudah pandai menanam kelapa sawit atau mengurus ladangnya, berbeza dengan pengetahuan dan pengalaman seorang peneroka Felda kelapa sawit yang memang mengetahui cara mengurus ladang kelapa sawitnya.

64. Begitu jugalah bertambahnya ekuiti dalam syarikat swasta yang ditadbirkan oleh tenaga profesyenal asing atau bukan Melayu belum menjadikan Melayu, yang memiliki ekuiti, pandai berniaga.

65. Tak usahlah kita tunggu sehingga kita memiliki 30%, jika ada 19% pun tidak membawa apa-apa erti jika kita hanya menjadi Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah atau CEO yang rasuah, lagi sombong, dan sangat bergantung kepada bukan Melayu untuk mengurus dan menjayakan syarikat yang sahamnya banyak dimiliki oleh Melayu.

66. Seorang billionaire China, yang kayanya bukan melalui lesen judi atau dukungan kerajaan, berkata kepada saya bahawa beliau tidak bimbang dengan apa jua dasar atau polisi yang dibuat oleh kerajaan yang kelihatannya akan menyekat kemajuan China dan melonjak-cepatkan kemajuan Melayu, asalkan Melayu itu rasuah orangnya. Begitu di Malaysia dan begitu juga di Indonesia di mana billionaire itu juga banyak melabur.

MALAYSIA DAN INDONESIA

67. Jika kita kajikan dari segi kelompok kita akan dapati Melayu yang ada di Malaysia ini terdiri dari keturunan Melayu, Pattani, Jawa, Minangkabau, Bugis, Banjar, Batak, Mandailing, Bawean, Rawa, Aceh dan lain-lain. Begitu juga di Indonesia. Sejarah raja-raja Melayu di Malaysia dan Indonesia juga bertalian, cuma berbeza hanya kerana sejarah penjajahan.

DILAGAKAN KERANA PERSAMAAN

68. Kerana persamaan ini maka kita mudah dilagakan. Tarian kuda kepang jika ditarikan oleh orang Johor keturunan Jawa, di satu pesta seni di luar negara, akan menjadi kemarahan bagi orang Jawa di Indonesia jika orang Jawa Malaysia menyatakan itu tarian berasal dari Malaysia. Sebenarnya kuda kepang itu ialah tarian orang Jawa tanpa mengirakan di mana mereka tinggal. Begitu juga dengan tarian dabus di Perak dirasakan oleh orang Perak sebagai tarian mereka. Nasib baiklah orang Aceh di Aceh tidak memberi perhatian sangat kepada perkara itu. Mujurlah sate di Kajang dinamakan 'Sate' Kajang' dan bukan 'Sate' Jawa' walau pun   tuan punya usaha sate di Kajang berketurunan Jawa.

PERANAN METRO TV

69. Rakyat Malaysia juga dilagakan dengan rakyat Indonesia oleh Metro TV di Indonesia dengan membesarkan kesah pekerja rumah dari Indonesia dibelasah oleh isteri taukeh China di Malaysia. Bila Dato' Seri Anwar Ibrahim ditanya oleh TV milik kawannya di Indonesia atas keganasan yang berlaku ke atas pekerja Indonesia jawapannya juga, sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia, tidak membantu hubungan baik antara dua negara sebangsa. Kata Anwar bahawa kita di Malaysia bukan saja kejam terhadap pekerja Indonesia tetapi juga terhadap dirinya kerana dia pernah dibelasah sehingga lebam matanya waktu dalam penjara. Anwar tidak jelaskan kenapa kawan baiknya di waktu beliau menjadi Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tidak tertahan diri apabila Anwar memanggilnya dengan nama yang jijik waktu bertemu di dalam penjara sehingga sanggup melebamkan mata Anwar. Anwar juga tidak menjelaskan bahawa kerana matanya lebam itulah maka beliau dapat menjadikannya sebagai modal untuk mendapat simpati dalam pilihanraya.

70. Malaysia juga tidak boleh jauh hati jika Metro TV memburukkan nama negara kita yang menjadi sumber dana untuk Pahlawan Devisa mereka dan tidak pernah mengimbangi cerita pembunuhan yang dilakukan oleh pekerja Indonesia ke atas rakyat Malaysia. Metro TV juga tidak berhenti memburukkan nama Presiden Indonesia jua. Di waktu usaha menggulingkan Presiden Mesir Hosni Mubarak, Metro TV tidak terhenti-henti menunjuk tindakan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir di Kaherah dan mengaitkan Presiden Mesir dengan Presiden Indonesia. Usaha gigih Metro TV ini tiba-tiba terhenti apabila pihak Metro TV mendapati pertubuhan yang ditaja Bapak Surya Paloh, pemilik Metro TV, yang dinamakan NASIONAL DEMOKRAT mempunyai nama yang sama dengan parti Hosni Mubarak yang juga bernama NATIONAL DEMOCRATIC PARTY.

KITA SAMA RASUAH

71. Satu lagi penyakit yang sama ada pada dua negara rumpun Melayu ini ialah rasuah. Di kedua-dua negara ini yang pergi ke mahkamah atau ke pengadilan kerana menerima rasuah hampir semuanya Melayu belaka. Dalam kes-kes di Malaysia begitu juga dalam kes Bank Century dan Gayus di Indonesia yang terhukum adalah Melayu belaka. China seolah-olah tidak terlibat langsung dengan rasuah.

PANCASILA HAPUS PERBEZAAN

72. Di Indonesia pula, kerana dasar Pancasila faktor kaum tidak timbul lagi lebih-lebih lagi apabila nama China dan Pribumi Indonesia sudah sama.

73. Kita di Malaysia agak berbeza. Kita dapat memahami dan membezakan dan turut marah kepada majikan apabila  pekerja Indonesia yang kita anggap sebagai berugama Islam dipukul apabila bekerja sebagai pembantu rumah di rumah China yang bukan Islam. Kita marah bukan saja kerana kezaliman ke atas pekerja tetapi juga kerana kita serumpun dan kita merasakan seugama dengan pekerja. Di Indonesia mereka tidak melihat perbezaan ini.

74. Di waktu perlawanan badminton untuk Piala Thomas di Kuala Lumpur di satu masa dahulu antara yang mewakili Indonesia ialah seorang yang berketurunan China bernama Rudy Hartono. Pihak Malaysia pula diwakili oleh seorang pemain berketurunan Jawa bernama Misbun Sidek. Pekerja Indonesia telah memenuhi hampir kesemua kerusi di Stadium Negara, kecuali sekitar 300 kerusi untuk tetamu penganjur. Ini ialah disebabkan tiket kaunter telah dibuka pukul 10 pagi dan pekerja Indonesia sudah berbaris dari pukul 6 pagi untuk membeli tiket masuk. Peminat Malaysia mula sampai selepas pukul 8 pagi untuk berbaris di belakang dan tidak sempat sampai di tingkap penjual tiket apabila tiket telah kehabisan. Oleh kerana pemain Malaysia berketurunan Jawa dan majoriti penonto dari kalangan pekerja Indonesia juga berasal dari Jawa kami mengharapkan Misbun akan mendapat sedikit simpati dari penonton sekurang-kurangnya bertepuk apabila Misbun menunjukkan permainan yang baik. Malangnya ini tidak berlaku dan sepanjang permainan hanya Rudy Hartono yang mendapat sokongan dan tepukan.

75. Ini bererti Indonesia sudah berjaya menghapuskan semangat perbezaan kaum, etnik dan daerah tetapi ini tidak menjamin penyemarataan pembahagian rezeki secara menyeluruh. China yang sangat minoriti, jika dibandingkan dengan jumlah China di Malaysia, tetap menguasai ekonomi Indonesia.

KEMERDEKAAN TIDAK MENJAMIN KEJAYAAN

76. Banyak negara yang dulunya dijajah di dunia ini kini masih tidak aman politiknya dan tidak maju ekonominya.

77. Sebelum merdeka negara-negara ini menyalahkan penjajahan. Bila sudah merdeka, jika di Indonesia, ada yang terus memperjuangkan kemerdekaan daerah dengan keyakinan bila daerah sudah merdeka mereka akan menjadi kaya kerana daerahnya banyak hasil bumi dan mampu mentadbir sendiri. Ternyata apabila Aceh gagal mencapai kemerdekaan, sebaliknya mendapat keistimewaan otonomi, mereka  gagal walau pun hanya untuk menggunakan wang peruntukan kerajaan pusat yang begitu banyak untuk pembangunan. Rakyat Aceh bernasib baik Aceh tidak berjaya mencapai kemerdekaan kerana jika sudah merdeka, dengan rasuah yang berleluasa Aceh mungkin tergadai kepada taukeh-taukeh dari Jakarta, Singapura dan Malaysia.

78. Mempunyai sebuah daerah yang otonominya merangkumi pemerintahan berlandaskan Syariah Islam juga tidak menjanjikan Aceh bebas dari rasuah yang menjadi-jadi.

79. Di Aceh ugama tidak mempengaruhi politik malahan politik yang menguasai ugama. Keadaan ini tidak berbeza dari fahaman Anuarisma dan Nikazizsma di Malaysia di mana matlamat menghalalkan cara. Untuk mendapat sokongan politik dari bukan Islam apa yang biasanya tidak dibolehkan oleh ugama sudah dibolehkan oleh pengamal dua fahaman ini. Fahaman ini meletakkan ugama di bawah politik dan bukan politik di bawah ugama. Rakyat Malaysia tidak boleh mengharapkan keadaan yang lebih baik jika mereka memerintah negara ini.

80. Selagi Melayu, di Indonesia dan di Malaysia, tidak merobah sikap mereka dan mengamalkan nilai-nilai murni sebagai panduan hidup dan perjuangan mereka tidak mungkin boleh menyaingi orang-orang bukan Melayu di negara masing-masing.

KEKALKAN PERBEZAAN

81. Keadaan nama yang sama dan satu bahasa nampaknya boleh diterima oleh rakyat Indonesia, dari berbilang kaum, dengan penuh kesenangan dan keharmonian. Mungkin inilah yang akan berlaku di Malaysia jika sekolah China dan India terhapus. Tetapi, apakah ini yang dikehendaki oleh orang-orang Melayu dan Bumiputera di Malaysia. Jika tidak, maka kita bernasib baik orang China dan India juga tidak mahu sekolah mereka dihapuskan.

82. Memandang kepada Indonesia sebagai sebuah negera Melayu yang 10 kali lebih besar ternyata bahawa penghapusan perbezaan nama, perbezaan bahasa dan wujudnya 1INDONESIA tidak menjamin kejayaan Melayu dan Bumiputera.

KUNCI KEMAJUAN MELAYU

83. Sikap negatif yang menjamin kemunduran Melay di Malaysia dan Indonesia ialah rasuah. Oleh itu untuk maju Melayu hendaklah membasmi sifat ini.

84. Sementara itu Melayu dan Bumiputera juga perlu memupuk sifat positif atau nilai-nilai murni untuk mencapai kejayaan. Inilah yang patut menjadi resolusi simposium ini.

APAKAH RESOLUSI SIMPOSIUM INI?

85. Untuk menjayakan semua dasar dan program kerajaan untuk Melayu, Bumiputera dan seluruh rakyat Malaysia maka golongan muda, pelajar dan belia, hendaklah berusaha mewujudkan satu bangsa Melayu Islam yang mempunyai, antara lain, sifat-sifat -

1. Amanah,

2. Berani,

3. Disiplin,

4. Rajin dan

5. Setia.

Sifat-sifat inilah yang pada sejumlah yang cukup banyak dari kalangan pemimpin-pemimpin atasan dan menengah  yang berjaya membangun negara-negara Jepun ( dengan Bushidonya ), Korea Selatan ( dengan Hwarangnya ) dan Taiwan ( dengan Jinshengnya ).

CABARAN KHUSUS UNTUK GENERASI MUDA

86. Selain itu, sebagaimana 40 tahun dahulu satu kumpulan belia dan pelajar telah berusaha menjayakan sebuah koperasi yang bernama SHAMELIN sehingga berjaya  mendirikan lebih 70 buah kedai runcit di seluruh Semenanjung Tanah Melayu belia dan pelajar yang hadir di sini di bawah program anjuran ASPIRASI dan PERKASA hendaklah memulakan sebuah koperasi untuk membuktikan kemampuan orang muda bukan sahaja untuk menegur kerja kerajaan, dan menyalahkan bangsa lain, tetapi jika kita maka kita hanya boleh menyalahkan diri kita sendiri, jika kita gagal menjayakan koperasi itu.

87. Sekian, Wabillahi taufik walhidayah, Assalaamu'alaikum warahmatullaahi wabarakaaatuh.

88. Selama berjuang,

Terima kasih.

Tan Sri Dato' Seri Sanusi bin Junid.

4 comments:

Hamdan Rukun said...

AYAHANDA,

SAYA MENDENGAR PENJELASAN DAN KUPASAN AYAHANDA SEMASA SIMPOSIUM ASPIRASI.
SAYA DAN SELURUH KHALAYAK PUAS HATI MENDAPAT PENJELASAN DARI SEORANG TOKOH YANG AMAT BERPENGALAMAN.

AYAHANDA MASIH AMAT DIPERLUKAN UNTUK SURVIVAL BANGSA.

Anonymous said...

Salam Tan Sri.

Ulasan-ulasan Tan Sri harus disiarkan di akhbar-akhbar supaya menjadi pembuka minda kepada masyarakat.

Zulfadhli Al Fahmi said...

Salam Ayahanda terima kasih atas penulisan bermakna, sepatutnya disiarkan di akhbar dan makalah.. Saya mohon untuk sebarkan.

Anonymous said...

tulisan anda sangat berguna untuk membuka minda saya....