Monday, March 28, 2011

THE 2ND ACEH DEVELOPMENT INTERNATIONAL CONFERENCE ( ADIC 2011 )

(Ucapan Penutup Presiden IMAM dan Aceh Club dalam Persidangan ADIC 2011 di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan pada 27hb Mac, 2011 jam 9 malam)

SAMBUTAN

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh

Saudara Pengerusi Majlis,

Dif-dif terhormat,

Para Peserta Persidangan ADIC ke 2 yang dihormati sekalian.

1. Terima kasih atas kesudian penganjur menjemput saya untuk menutup persidangan pada malam ini.

2. Saya bersetuju dengan tajuk ucapan yang diberi, kepada saya untuk majlis pada malam ini, iaitu 'Aceh is My Village' tetapi tajuk ini tidaklah mengikat atau membataskan saya untuk bercakap mengenai sejarah Kampung Aceh di Yan, Kedah.

3. Persetujuan saya untuk turut serta dalam persidangan ini, atau dalam apa jua persidangan, atau diskusi yang dianjur oleh siapa saja, mengenai Aceh ialah kerana Aceh, adalah tempat atau 'kampung' dari mana datangnya ayah dan keluarga ibu saya.

4. Di dalam ucapan saya ini pasti saudara yang hadir akan mendapati ada perkara-perkara yang saya bangkitkan lagi yang pernah saya huraikan di dalam forum, seminar atau persidangan yang lain. Ini adalah pertanda perkara-perkara ini saya fikirkan penting untuk selalu diwarwarkan kerana kesan darinya belum kelihatan pada pedengar.

SEJARAH ACEH SEBAGAI SUMBER INSPIRASI

5. Aceh mempunyai sejarah yang cukup kaya dengan keaiban dan kegemilangannya.

6. Sejarah Aceh boleh dijadikan sumber inspirasi, pengajaran, tauladan dan sempadan, bukan sahaja untuk rakyat Aceh masakini, tetapi juga kepada semua kaum dan bangsa dalam rumpun Melayu di Nusantara dan umat Islam di seluruh dunia.

PERANAN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

7. Pada kesempatan ini saya juga mengucapkan terima kasih kepada pihak UKM yang begitu prihatin terhadap Aceh sejak berlakunya Tsunami sehingga sekarang.

8. Bagi pihak Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia (IMAM) saya ucapkan terima kasih kepada UKM yang pernah menjadi sponsor dan tuan rumah kepada persidangan, anjuran BAKADMA (Badan Kebajikan Pendidikan Mahasiswa Aceh) dan Persatuan Kakitangan Akademik UKM (PKAUKM) yang dinamakan PAPA (Persidangan Antarabangsa Pembangunan Aceh) yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Kamaruddin M. Said  pada tahun 2006.

9. PAPA kedua telah dikembalikan penganjurannya kepada Universiti Malikussaleh di Lhokseumawe, Aceh, untuk diteruskan pada tahun 2007. 

10. Tarikh yang dipilih untuk persidangan terikat kepada kejadian Tsunami pada 26 Disember.

11. Walau pun program PAPA terakhir diadakan di UniMal, tetapi terdapat juga persidangan dan seminar, dengan tujuan dan tema yang mirip, diadakan oleh berbagai pihak masyarakat Aceh di venue yang berlainan, di Indonesia, sempena memperingati kejadian Tsunami.

ACEH DEVELOPMENT INTERNATIONAL CONFERENCE

12. Apabila Aceh Club, sebagai sebuah persatuan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur, tetapi pendukungnya tidak terbatas kepada masyarakat Aceh di Malaysia saja, seperti IMAM, atau masyarakat Aceh diaspora, dijemput untuk turut sama menganjur persidangan ADIC pertama di Universiti Putra Malaysia pihak kami bersetuju jika -

a) kertas-kerja untuk persidangan dibebaskan untuk semua pihak, dalam berbagai bahasa, dari mana sahaja yang berminat mengenai pembangunan Aceh,

b) pembicara dan pembentang kertas kerja dibuka, dalam batasan waktu yang ada, tetapi tidak terbatas untuk mana-mana pihak,

c) peserta persidangan dibolehkan dari kalangan yang berbeza pendapat dan pandangan,

d) persidangan diadakan bukan untuk memperingati bala Tsunami tetapi untuk memperingati bala yang lebih awal yang pernah menimpa Aceh dengan tercetusnya Perang Aceh pada 26 Mac, 1873, iaitu 138 tahun yang lalu.


KEJAYAAN ACEH MEMBUNUH PEMIMPIN PERANG BELANDA

13. Selepas pengisytiharan Perang Aceh pada 26 Mac, 1873, pihak Aceh berjaya, 19 hari kemudian, membunuh Jenderal Kohler pada 14 April, 1873 sebagai satu-satunya Jenderal Belanda yang kecundang di luar negaranya.

SILATURRAHIM DENGAN YANG AMAT BERBAHAGIA TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

14. Kerana ketetapan tarikh, yang tidak boleh berganjak inilah, maka satu Seminar Khusus akan diadakan atas nama International Association of Aceh Scholars (IAAS) dan Aceh Club pada 27 April, 2011 kerana Tun Dr. Mahathir, yang dijemput untuk majlis ADIC 2011, berada di Argentina pada hari ini.

PENASIHAT PEMBANGUNAN EKONOMI BAGI NANGGROE ACEH DARUSSALAM

15. Satu salinan kumpulan ucapan Yang Berhormat Menteri Dr. Ir. Mustafa Abu Bakar, yang saya bertanggungjawab menjemputnya ke majlis ini; Yang Amat Berhormat Gabenor Aceh Drh. Irwandi Yusuf; Yang Berhormat Dr. Ahmad Farhan Hamid, Timbalan Ketua Majelis Permusyawaratan Rakyat (MPR) Republik Indonesia, Yang Berbahagia Datuk Bandar Banda Aceh Ir. Mawardy Nurdin dan semua kertas kerja yang dibentang dalam ADIC 2011 akan saya serahkan kepada Tun Dr. Mahathir pada 27 April, 2011 di Dewan Memorial Tun Hussein Onn di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur, sebagai bukti 'ideas for Aceh' tidak ada batasnya.

16. Papers atau 'kertas-kerja' yang disediakan untuk persidangan ADIC yang pertama, yang diadakan di Universiti Putra Malaysia pada 26 Mac, 2010 juga sudah saya serahkan kepada Tun Dr. Mahathir sebagai seorang tokoh yang paling dihormati di seluruh negara Islam.

17. Saya yakin Tun Dr. Mahathir berkemampuan menjadi penasihat kehormat bagi Aceh, ke arah pembangunan yang lebih lancar, di masa akan datang, jika diminta.

18. Saya mengetahui nasihat Tun Dr. Mahathir sangat dihargai oleh banyak negara yang sedang membangun di dunia ini.

BANYAK IDEA UNTUK PEMBANGUNAN ACEH

19. Sejak bala Tsunami menimpa Aceh dan tamatnya perang antara GAM dan pemerintah Indonesia, khususnya angkatan bersenjata Indonesia, tentera dan polis, berbagai persidangan telah diadakan atas berbagai nama, di berbagai tempat, di dalam dan di luar Indonesia, yang dianjurkan oleh berbagai pihak.

20. Walau pun semua bahan pemikiran yang telah terkumpul tidak mungkin dapat dilaksanakan keseluruhannya tetapi ianya menjadi bukti bahawa keadaan di Aceh bukanlah kerana kita kekurangan idea.

21. Saya perhatikan tidak ada satu wilayah, daerah dan negeri di Nusantara yang dikaji lebih banyak dari kajian yang telah dilakukan ke atas Aceh. Boleh dikatakan 'Aceh is an overstudied and overdiscussed province in Indonesia'.

22. Bolehlah kita sindirkan bahawa jika semua kertas kerja dan laporan yang telah ditulis mengenai Aceh, oleh semua pihak baik LSM, Pemerintah, Agensi, Swasta mahu pun Universiti-Universiti, dilemparkan ke laut niscaya sudah menjadi sebuah pulau.

23. Soalan yang perlu diketengahkan ialah samaada keadaan di Aceh dan nasib bangsa Aceh sepadan dengan begitu banyak idea yang telah tertulis yang merupakan wadah untuk Aceh.

24. Malahan yang patut juga ditanya ialah apakah si penulis kertas kerja itu sendiri, mampu melaksanakan program yang dicadangkan, dalam penulisannya, jika dia diberi kesempatan berperanan di Aceh.

'DOSE' DEMOKRASI YANG BERLEBIHAN

25. Pada perhatian saya, Indonesia adalah sebuah negara yang rakyatnya sedang menikmati 'dose' demokrasi yang agak berlebihan. Oleh kerana demokrasi itu memberi kebebasan bersuara dan memilih, maka sebelum pemilihan untuk sesuatu jawatan itu dibuat oleh pengundi maka rata-rata kita mendengar orang ramai bersuara.

26. Walau pun mungkin suaranya itu tidak memberi kesan ke atas pemilihan, tetapi cukuplah sekadar untuk pembicara memuaskan rasa hatinya sendiri atau pun hanya untuk menyakitkan hati pendengar.

'SUSHI' DAN 'SUNAO'

27. Pengasas zaibatsu Jepun yang bernama Matsushita telah menyatakan bahawa untuk amalan demokrasi boleh berjalan dengan berkesan dan baik untuk rakyat, masyarakat yang mengamalkan demokrasi itu hendaklah mempunyai dua sifat, iaitu sushi dan sunao.

28. Sushi bererti pihak yang menang, walau pun dengan satu undi, hendaklah dianggap sudah menang dengan mendapat semua undi.

29. Pihak yang kalah pula hendaklah menganggapkan diri telah kalah kesemuanya, walau pun kalah hanya dengan satu undi.

30. Yang menang tidak akan berjalan ke sana-sini dengan bangga walau pun menang dengan satu undi.

31. Yang kalah juga tidak terus mendabik dada kerana kalahnya itu, hampir menang, kerana hanya dengan satu undi.

32. Sunao ialah sifat dapat melihat kebaikan walau dari saingan yang telah telah dikalahkannya atau yang mengalahkannya.

33. Dengan sikap demikian tidaklah demokrasi menjadi punca perpecahan umat.

PEMBUNUHAN DI TENGAH PADANG BOLA SEPAK

34. Saya tidak dapat melupakan satu peristiwa di awal tahun 70an di waktu saya menginap di Aceh Hotel di depan Mesjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh.

35. Pada awal tahun tujuh puluhan, saya telah turut turun ke padang bola yang tidak jauh dari Aceh Hotel untuk menonton satu permainan bolasepak antara pasukan dua kabupaten.

36. Tiba-tiba saya mendengar jeritan orang ramai kerana seorang penonton bolasepak telah menikam dari belakang seorang pemain yang telah tersepak kaki seorang pemain dari pasukan lawannya.

37. Ada kemungkin kejadian ini tidak disengajakan.

38. Tetapi, bagi penonton yang merasa sangat bertanggung-jawab itu, yang perlu disepak ialah bola dan bukan kaki.

39. Oleh itu yang menyepak kaki tidak perlu dihukum oleh pengadil kerana penonton juga turut menjadi pengadil.

40. Sikap tidak sportif atau toleran ini adalah sebahagian dari mind-set yang negatif yang ada pada orang Aceh dan tidak ada kejadian sedemikan di mana jua padang bola sepak di dunia.

41. Bolehkah satu bangsa yang level toleransinya begitu rendah mengamalkan demokrasi tanpa perpecahan?

42. Yang sudah pasti, dalam mana jua pertandingan yang demokratik, ada yang menang dan ada yang kalah, dan tidak boleh jadi seri, seperti dalam pertandingan sukan.

APAKAH YANG PERLU DITUKAR

43. Adalah menjadi pendapat umum bahawa jika sesuatu kumpulan, kaum, bangsa atau negara itu inginkan kepada perubahan maka caranya ialah dengan merubah atau menukarkan pemimpin, dan bukan membantunya. Seringkali pula terdapat apabila pemimpin itu berubah keadaan kaum, bangsa dan negara itu tidak berubah menjadi bertambah baik malahan kekal seperti biasa atau menjadi bertambah buruk.

44. Ternyata yang perlu diubah bukan pemimpin tetapi sikap, semangat dan cara seseorang pemimpin atau sesuatu kumpulan itu bertindak atau mengendalikan diri.

45. Oleh itu yang perlu diubah ialah mind-set dan bukannya tokoh.

46. Mind-set yang sama, jika ada pada tokoh yang berlainan sekali pun, akan mengekalkan suasana yang ada, atau lebih memburukkan keadaan, kerana sudah ada perebutan jawatan sehingga sudah berlaku perpecahan dalam kumpulan.

FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI PERUBAHAN MIND-SET

47. Untuk membawa kepada perubahan mind-set memakan masa dan memerlukan usaha yang bersungguh-sungguh.

48. Howard Gardner dalam bukunya 'Changing Minds' telah menurunkan tujuh (7) garis panduan dalam usaha untuk merubahkan mind-set. Tujuh garis panduan ini diturunkan di bawah pendekatan 7R iaitu:

1. Reason

2. Reasearch

3. Resonance

4. Rediscriptions (Representation rediscriptions )

5. Resource and rewards

6. Real world events, dan

7. Resistances

KESIMPULAN

49. Kesimpulannya, jika kita gunakan panduan 7R ini maka seseorang pemimpin yang ingin merubahkan mind-set rakyat Aceh hendak mampu berhujjah dan berdebat (reason) untuk mengemukakan sesuatu idea yang berasaskan kepada kajian (research) yang mendalam mengenai sifat dan sikap orang Aceh tanpa bercanggah (resonance) dengan kepercayaan dan budaya orang Aceh dengan menghala (rediscriptions) kepada untung rugi (resources and rewards) yang akan diperolehi oleh rakyat Aceh tanpa halangan  (resistances).

BANYAK PILIHAN DARI SEJARAH ACEH

50. Sebenarnya perbendaharaan sejarah Aceh adalah kaya dengan berbagai peristiwa yang boleh menjadi bahan pengajaran, ditambah pula dengan bahan fikiran yang baru diketengahkan sejak Aceh ditimpa Tsunami.

51. Cerdik pandai, pemimpin dan rakyat Aceh hendaklah pandai memilih yang berguna atau berfaedah dari idea dan bahan yang banyak ini.

APAKAH YANG TIDAK PATUT DIPILIH ATAU DICONTOHI

IDEA ARITA BAKOOY

52. Pada tahun 1420 Sultanah Nahrisyah Malikul Zahir yang digelar Malikah Ratu Nahrasyah Rawangsa Chadiyu, menjadi Sultan Samudera Pasai ke 10 mengganti ayahnya Sultan Khaidir Malikul Zahir.

53. Arita Bakooy telah dilantik oleh Sultanah Nahrisyah menjadi 'Mangkubumi' dengan gelaran 'Maharaja Bakooy Ahmad Permala'.

54. Bakooy adalah tokoh aliran wujudiah yang bertentangan dengan aliran ahlussunnah waljamaah.

55. Beliau mengahwini anaknya sendiri walau pun ditentang oleh Ulama.

56. Beliau berpendapat tidaklah salah jika seorang bapa yang menanam sebatang pokok memetik buahnya.

57. Empat puluh (40) ulama ahlussunnah waljamaah yang menentang idea ini telah dibunuh oleh Arita Bakooy.

58. Arita Bakooy kemudiannya telah dibunuh oleh suami Sultanah Nahrisyah yang bernama Malik Musthofa yang bergelar Pocut Cindan Simpul Alam dengan dibantu oleh Sultan Mahmud Alaiddin Johan Syah dari Kerajaan Aceh Darussalam.

59. Kisah ini tidak boleh dicontohi dari sejarah Aceh.

60. Aceh perlu mengelak dari kewujudan Arita Bakooy atau mereka yang moralnya sejenis dengan Arita Bakooy.

APAKAH YANG PATUT DICONTOHI DARI SEJARAH ACEH

61. Pada tahun 1507 bersamaan 12 Rabi'ulawal 913 Hijrah, hari Ahad, Paduka Sri Sultan Alaiddin Johan Ali Ibrahim Mughayat Syah telah bertitah menurunkan 21 Kewajiban Rakyat Aceh yang di Kuala Lumpur kita namakan dalam siaran The Aceh Club dengan nama THE ACEH CODE.

62. The Aceh Code atau kewajiban-kewajiban Sultan Alaiddin Mughayat Syah telah dihebahkan oleh Aceh Club pada 13 Mei, 2005 bukan sebagai bahan renungan sejarah tetapi sebagai sumber inspirasi bernilai Islam, untuk orang Aceh dan Umat Islam di seluruh dunia.

63. Dua puluh satu (21) kod atau kewajiban ini merangkumi lima (5) seperti berikut:

A) Berani – Courage - di bawah kod 1 (Pertahanan diri), 7 dan 8 (Bidang      pertahanan);

B) Amanah - Trustworthiness - di bawah kod 17, 18 dan 19 (Adat istiadat);

C) Disiplin -    Discipline - di bawah kod 9 dan 10 (Ketaatan beragama), 11 (Satu mazhab untuk perpaduan), 12 dan 13 (Kewajiban);

D) Rajin -      Diligence  - di bawah kod 3 (Pertanian), 4 (Metal craftsmanship), 5 (Kegiatan wanita), 6 (Perdagangan), 14 dan 15 (Kerajinan tangan), dan 16 (Penternakan);

E) Kesetiaan - Loyalty  - di bawah kod 2 (Prasarana ibadat), 20 dan 21 (Peraturan mengenai pakaian)

KESIMPULAN

64. Kesimpulan analisa dari 21 kewajiban atau kod ini ialah:

(a). 3 kewajiban atau kod untuk keberanian,

(b). 3 kewajiban atau kod untuk amanah,

(c). 3 kewajiban atau kod untuk kesetiaan,

(d). 5 kewajiban atau kod untuk disiplin,

(e). 7 kewajiban atau kod untuk kerajinan.

PERINGATAN UNTUK SELURUH UMAT ISLAM

65. Pada tahun 1882 Snouck Hurgronje  telah menasihati tentera Belanda di bawah pimpinan Lt. Van Heutsz supaya mengamalkan strategi baru untuk memecahbelahkan tokoh-tokoh Aceh supaya Aceh boleh dikuasai.

66. Oleh kerana Snouck Hurgronje mengetahui bahawa tokoh perniagaan dan ulama Aceh sangat berpengaruh di Mekkah maka beliau, yang sudah berpura-pura menganut agama Islam telah pergi ke Mekkah, sehingga dibenarkan menjadi imam untuk satu sembahyang berjamaah di Mekkah.

67. Tujuan Snouck ialah untuk mencari maklumat mengenai ulama dan padagang Aceh yang ramai di Mekkah untuk melemahkan hubungan, antara sesama mereka dan dengan Aceh, seterusnya melemahkan semangat Perang Aceh.

68. Oleh itu orang Aceh dan umat Islam di seluruh dunia hendaklah berhati-hati semoga tidak wujud di kalangan kita watak seperti Snouck Hurgronje atau pun yang telah diasuh oleh watak seperti Snouck walau pun dari kalangan bangsa kita sendiri.

PILIHAN SEORANG PRESIDEN YANG BUKAN ISLAM

69. Pada 17 Disember, 1963 Presiden Park Chung Hee dari Korea Selatan telah mengunjungi Bilik Gerakan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar di Jalan Dato' Onn, Kuala Lumpur.

70. Waktu itu Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan merangkap Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar.

71. Sebelum taklimat diberi mengenai pembangunan luar bandar Malaysia Presiden Park telah ternampak sepotong ayat dari Al Quran yang tertulis pada mukaddimah papan taklimat kementerian.

72. Apabila Presiden Park mengetahui maksudnya ayat itu ialah 'Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu merubahnya sendiri' beliau menyebut 'nampaknya agama Islam menghendaki umatnya berdikari atau 'self-help'.

73. Dalam taklimatnya di waktu melancarkan program 'Saemul Undong' di negaranya Presiden Park telah memulakan ucapannya dengan berkata 'The religion of Muhammad has commanded that God shall not change the fate of man until they change themselves.'

74. Program 'Saemul Undong' atau gerakan pembaharuan di Korean Selatan yang berinspirasikan sepotong ayat dari Al Quran telah menjadi satu program contoh untuk dunia membangun.

75. Bermula dengan program inilah Korea Selatan yang dulunya lebih mundur dari Malaysia sebelum Presiden Park Chung Hee datang ke sini, kini menjadi lebih maju kerana mengamalkan sepotong ayat dari Al Quran, malah saingan kepada Jepun.

76. Betapa hebatkah kita membangun negara kita dengan inspirasi mana-mana ayat dari 6,666 ayat di dalam Al Quran?

77. Kenapa kafir boleh belajar dari Al Quran sedangkan kita tidak ke mana?

78. Tidak akan wujud negara syari'ah yang boleh dicontohi atau dibanggakan jika rakyatnya tidak beriman.

MENGENAL TEMPAT KITA DALAM TANGGA BANDINGAN SEJARAH

79. Sebelum dapat memahami di mana kita dan ke mana kita akan tuju elok juga kita pelajari apa yang dirumuskan oleh sejarawan Alexander Fraser Tytler pada tahun 1776 mengenai perangai manusia dalam meniti tamaddun sejarahnya. Alexander berkata:

man moves

(1) From bondage (and poverty) to spiritual faith - Dari perhambaan (dan kemiskinan) timbul semangat keagamaan;

(2) From spiritual faith to great courage - Kerana semangat agama timbul keberanian;

(3) From great courage to liberty - Dari keberanian datanglah kebebasan;

(4) From liberty to prosperity (abundance) - Dari kebebasan datang kemewahan;

(5) From prosperity (abundance) to greed - Dari kemewahan datang sifat tamak;

(6) From greed (selfishness) to frustration - Dari tamak datang kekecewaan;

(7) From frustration to complacency - Dari kekecewaan datang kepuasan;

(8) From complacency to apathy - Dari kepuasan datanglah sifat tidak peduli;

(9) From apathy to dependancy - Dari sifat tidak peduli datanglah sikap bergantung kepada orang lain.

(10) From dependancy to bondage - Dari bergantung kepada orang lain kembalilah kita dijajah.

80. Jika rakyat Aceh masih di peringkat kemiskinan, pihak politik sedang menikmati kemewahan, peniaga dan pengusaha Aceh di peringkat kepuasan sementara cerdik-pandai Aceh di peringkat menikmati kebebasan, maka, tanpa disedari keadaan keamanan di Aceh akan terancam dan sebarang rancangan pembangunan sukar dijayakan.

KITA PERLU MEMA'AFKAN TETAPI TIDAK MELUPAKAN SEJARAH

81. Saya difahamkan bahawa ADIC 2011 ini boleh dianjurkan hanya atas nama Persatuan Pelajar Indonesia (PPI) kerana UKM tidak membenarkan pertubuhan berasaskan daerah berperanan, dan oleh itu pelajar Aceh di sini 'takut' untuk menjemput tokoh-tokoh seperti Dr. Husaini Hasan untuk turut berucap, walau pun beliau sudah ada di sini; dan takut juga menjemput Timbalan Gabenor kerana bimbang menyinggung perasaan Gabenor.

82. Sebenarnya saya telah bertanya pada Professor Kamaruddin, waktu kami bersama dalam satu forum di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), baru-baru ini, samaada halangan kehadiran penceramah adalah dari pihak UKM, jawabnya tidak.

83. Saya juga telah bertanya pada Gabenor Aceh waktu kita bersarapan tadi pagi di Equatorial Hotel samada beliau berhalangan jika Timbalan beliau Muhammad Nazar turut hadir, jawabnya juga tidak.

84. Ternyatalah rasa takut dan bimbang itu hanyalah dalam hati pelajar.

NASIHAT

85. Oleh itu, jika ada orang bertanya kepada saya:

86. 'Apakah satu nasihat yang ingin saya sampaikan kepada pelajar, pemuda, pemudi dan rakyat Aceh pada malam ini? Maka saya tanpa malu, walau pun ada yang bukan dari keturunan Aceh yang hadir di sini, sebagai penganjur majlis ini, atau sebagai pembentang kertas kerja yang turut cintakan Aceh, berkata -

87. Jangan takut.

88. Mulailah memaafkan kesalahan antara sesama sendiri.

89. Maafkanlah, walaupun kesalahan itu tidak dilupakan.

AKIBAT TIDAK MAHU MEMAAFKAN

90. Perkelahian antara Syiah dan Sunni di dalam sejarah Aceh dan juga di dunia ini ialah kerana kita lupa kepada ajaran Al Quran tetapi sentiasa mengingati kesilapan nenek moyang kita yang tidak terampun.

91. Sengketa antara keluarga Ulama dan Bangsawan yang dulunya ditajakan oleh pihak Belanda;

92. Sengketa antara yang berpendidikan Barat dan Pesantren;

93. Sengketa antara anggota keluarga yang terbunuh dan yang bertanggungjawab membunuh, baik TNI atau GAM di dalam konflik yang telah berlalu;

94. Sengketa antara yang ingin menunjuk diri sebagai lebih Indonesia dari Aceh dan yang ingin menunjuk diri lebih Aceh dari Indonesia;

95. Sengketa antara yang berkuasa, yang ingin berkuasa, yang memberi kuasa yang masing-masing tidak pernah berkepuasan dan berbagai sengketa yang lain.

96. Tidak ada maaf antara yang bersengketa.

PENUTUP

97. Di waktu sengketa di Aceh saya pernah dihukum untuk dipendekkan umur oleh paman atau 'Yah Cek' saya sendiri. Sebelum saya meminta orang Aceh memaafkan kesilapan, besar atau kecil antara sesama sendiri, saya sendiri telah memaafkan yang menghukum saya untuk ditiadakan. 

98. Walau pun di akhir hayatnya, saya diberi kesempatan untuk membalas dendam, namun saya tidak mengambil kesempatan itu kerana tidak pernah terbersit dalam hati saya untuk melakukan hal tersebut.

99. Oleh itu, marilah kita berazam, mulai malam ini, untuk bergerak supaya kita bermaaf-maafan, supaya kita dapat memberi peluang untuk Aceh menjadi maju dan menjadi daerah contoh untuk Republik Indonesia.

100. Marilah kita membuat pengakuan bahawa masalah Aceh adalah masalah dari dalam kita sendiri dan 'Allah tidak akan merubah nasib sesuatu kaum kecuali kaum itu merubahkan dirinya sendiri.

101. Sekian, sampaikan salam saya kepada semua rakyat Aceh.

102. Dengan Bismillahirrahmanirrahim saya menutup acara ADIC 2011 pada malam ini.

103. Terima kasih.

4 comments:

Unknown said...

Walaupun pemikiran Dr. Mahathir hebat dan mengagumkan, tapi dia seorang yang Islam yg liberal. Part itu saya tidak setuju. Jadi bab hal ehwal mengenai Islam jangan bagi Dr. M mengepalainya. takut timbul fitnah

ta.sakti said...

Saya ucapkan selamat ber ADIC

ta.sakti said...

Saya ucapkan selamat ber ADIC

Anonymous said...

Ditujukan kepada Hj Al Azmy

Tahukan saudara bahawa Tun Dr Mahathir bukanya liberal kerana pemikiran Islamnya lebih hebat daripada orang yang mengaku Ulama tetapi memecah belahkan umat Islam.

Aceh perlu perubahan serta pendidikan yang meyeluruh supaya hilang sifat benci sesama sendiri.