Asm. Wbt. Sdr. Pembaca. Memandang kepada kenyataan Presiden UMNO Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dalam ucapannya, sebagaimana yang tersiar dalam media sosial, yang menyentuh mengenai pengharaman UMNO, sempena penglibatannya dalam UMNO selama 40 tahun, saya masukkan kembali tulisan saya pada 17hb Jun, 2011 pukul 12.34 tengahari, supaya perselisihan yang bergelora dalam UMNO dan negara sekarang ini tidak disalahertikan oleh generasi akan dating. Saya akan perlengkapkan lagi karangan ini, dengan catitan berwarna biru jika saya dapati perlu tanpa mengosotkan lagi keadaan. Selamat membaca.
KESAH PENGHARAMAN UMNO
KESAH PENGHARAMAN UMNO
Sepanjang saya mengarang dalam blog ini sering terdapat kritik, herdikan, sindiran dan hentaman yang bersabit dengan pengharaman UMNO di waktu saya menjadi Setiausaha Agong. Saya telah berdiam diri kerana perkara itu sudah pun berlaku dan UMNO kini sudah saperti sediakala.
Walau bagaimana pun perkara ini tidak memuaskan hati kawan-kawan saya yang ingin saya menjelaskannya.
UMNO sebenarnya diharamkan kerana ada 'manusia' yang menjadi ahli UMNO yang tidak puas hati dengan hasil pemilihan dalam Perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1987. Untuk mengharamkan keputusan pemilihan itu mereka telah membawa UMNO ke mahkamah. Akhirnya UMNO itu sendiri yang diharamkan oleh Hakim.
Setelah melihat perkembangan politik, selepas UMNO diharamkan, tidak menguntungkan 'manusia' ini maka mereka menyokong apabila ada pihak yang ingin menghidupkan semula UMNO yang sudah diharamkan itu.
Oleh kerana UMNO telah diharamkan di bawah Akta Pertubuhan yang wujud di waktu itu, maka pihak yang ingin menghidupkan UMNO lama ini telah memilih untuk menyokong usul untuk meminda Akta Pertubuhan, walau pun apa yang perlu dipinda ialah perangai, tabi'at dan nafsu 'manusia' ini.
Usul yang dikemukakan perlu dikebelakangkan ( back-dated ) supaya yang sudah dihalalkan menjadi haram, dan UMNO yang sudah haram menjadi halal semula, cuma dengan cawangan Umno yang tidak berdaftar sahaja yang tidak dibolehkan hadir dalam Perhimpunan Agung jika pemilihan diadakan semula.
Bagi saya semua rakyat perlu patuh kepada undang-undang negara dan menanggung risiko jika melanggarnya. Kita tidak boleh pinda undang-undang dadah berbahaya jika yang dihukum gantung kerana mengedarnya ialah anggota keluarga yang kita sayangi. Kita tidak boleh salahkan undang-undang jika yang salah ialah sikap, fi'il, perbuatan, tindakan dan amalan kita.
Oleh itu pada kesempatan ini saya perturunkan di bawah ini ucapan saya di dalam Parlimen pada 6hb Disember, 1988 yang berkaitan dengan kesah ini yang dapat memberi fakta, kefahaman dan pengertian yang sebenarnya.
Ucapan ini ialah jawapan saya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menentang usul dari Anggota Parlimen yang mencadangkan supaya Akta Pertubuhan dipinda untuk mewujudkan semula UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.
Selain dari catitan dalam dokumen Parlimen sebuah buku kecil telah diterbitkan mengenai perkara ini. Malangnya, tidak ramai yang berminat membaca minit Parlimen apatahlagi mereka yang tidak ingin kesalahan mereka diketahui oleh umum.
Nama buku kecil yang telah dicetak mengenai perkara ini ialah:
Selain dari catitan dalam dokumen Parlimen sebuah buku kecil telah diterbitkan mengenai perkara ini. Malangnya, tidak ramai yang berminat membaca minit Parlimen apatahlagi mereka yang tidak ingin kesalahan mereka diketahui oleh umum.
Nama buku kecil yang telah dicetak mengenai perkara ini ialah:
Antara Akta dan UMNO
6hb Disember, 1988
USUL GUA MUSANG
1. Menteri Pertanian (Dato' Seri Sanusi bin Junid): Tuan Yang Di Pertua: saya bangun untuk membahaskan Usul yang telah dikemukakan oleh wakil dari Gua Musang kelmarin. Alangkah baiknya jika Yang Berhormat dari Gua Musang membawa Usul untuk mengesahkan bahawa UMNO Baru dan UMNO ’46 itu sama.
2. Saya telah mendengar dengan penuh minat dan teliti sama ada di dalam atau di luar Dewan, semua hujah-hujah yang telah diutarakan oleh Yang Berhormat dari Gua Musang dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain khususnya dari kalangan Pembangkang.
TIDAK IKHLAS
2. Saya telah tidak mengganggu mana-mana kenyataan dan teguran yang telah dibuat. Saya telah mendengar dengan penuh kesabaran segala tuduhan-tuduhan yang saya rasa tidak tepat dari segi fakta dan tidak ikhlas dari segi niat.
3. Di situlah punca kekecohan berlaku sekarang ini di dalam masyarakat Melayu.
AHLI UMNO
4. Pertamanya, saya ingin menjawab tuduhan yang meyatakan saya tidak sayang kepada UMNO. Saya telah menjadi ahli UMNO pada pukul 2.45 tengahari, hari Ahad, 13hb Oktober, 1963 di waktu umur sekitar 20 tahun.
5. Saya telah mejadi ahli UMNO di waktu Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden. Saya menjadi Ahli Parlimen di waktu Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan Predisen UMNO; menjadi Timbalan Menteri di zaman Tun Hussein Onn memimpin UMNO dan menjadi Menteri di zaman Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Sudah 25 tahun menjadi ahli UMNO, lebih panjang umur saya di dalam UMNO dari di luar UMNO. Tidak benar jika saya dikatakan tidak sayangkan UMNO.
PERPADUAN BANGSA
6. Oleh itu saya selaku Setiausaha Agung UMNO di waktu ia diisytiharkan oleh Mahkamah sebagai pertubuhan yang tidak sah, membuat penjelasan-penjelasan tanpa gangguan dari Ahli-ahli Yang Berhormat kerana saya fikir penjelasan ini boleh membantu membawa kepada sedikit sebanyak ke arah perpaduan bangsa dan negara.
3000 TAHUN
7. Wakil daripada Gua Musang dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain telah membawa kita kepada peristiwa-peristiwa sejak tahun 1946 iaitu 42 tahun yang lalu. Ada juga yang telah mendedahkan kita kepada kata-kata hikmat sejak sebelum Nabi Isa alaihissalam. Kita juga telah mendengar falsafah-falsafah dari Benua India, dari zaman Yunani dan seluruh dunia; pandangan ahli fikir Islam juga telah diketengahkan dan peristiwa-peristiwa sejarah, baik Majapahit, atau zaman Melaka telah disebut sehinggalah perbincangan kita telah melalui jangka masa 3000 tahun.
SEJARAH
8. Izinkan saya di peringkat akhir nanti membawa Dewan yang mulia ini ke tahun 1897 iatu 91 tahun yang lalu semoga kita dapat melihat perkembangan sejarah bangsa kita yang mungkin dapat memberi panduan kepada kita dalam mengendalikan masa kini untuk masa depan yang lebih cemerlang.
9. Sama ada Usul Yang Berhormat Mulia dari Gua Musang itu diluluskan atau tidak, masalah perpaduan Melayu tidak mungkin akan selesai.
10. Tuan Yang di Pertua, terlebih dahulu saya ingin membawa Ahli-ahli Yang Berhormat kepada peristiwa-peristiwa yang telah dibangkitkan dalam Dewan ini sejak kelmarin.
PERKARA PENTING
PERTAMA – IDEA UMNO KE MAHKAMAH
11. Pertama, bilakah idea membawa UMNO ke Mahkamah bermula?
12. Selepas pemilihan UMNO dalam Perhimpunan Agung yang diadakan dari 25hb-27hb Mei, 1984, saya telah dilantik menjadi Setiausaha Agung UMNO pada 14 Julai berikutannya. Pada waktu itu saya telah menerima tiga dakwaan di dalam Mahkamah:
DAKWAAN
1) Dari Bahagian Alor Setar,
2) Dari Bahagian Titiwangsa dan
3) Dari Bahagian Ulu Langat.
13. Kesemua aduan-aduan ini berkaitan dengar wujudnya cawangan-cawangan yang tidak berdaftar. Pada waktu inilah Ibu Pejabat telah bertembung dengan implikasi Seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966.
SENGKETA AHLI/TOKOH
14. Pertemuan-pertemuan telah dibuat dengan mereka yang telah membawa UMNO ke Mahkamah untuk memberitahu bahwa UMNO boleh menjadi pertubuhan yang tidak sah jika kes ini diputuskan di dalam Mahkamah.
15. Ibu Pejabat mendapati semua kes ini telah diketengahkan kerana wujudnya persengketaan di antara ahli-ahli atau tokoh UMNO cawangan dengan kepimpinan UMNO bahagian masing-masing.
16. Saya telah bertemu dengan mereka semua yang terlibat dan telah memberitahu kepada mereka bahwa jika kes mereka diteruskan, besar kemungkinan UMNO itu sendiri boleh diisytiharkan sebagai badan yang tidak sah.
17. Atas sebab-sebab inilah maka ahli-ahli UMNO dari Bahagian Alor Setar telah menarik keluar kes mereka dari Mahkamah kerana mereka berpuas hati masalah mereka telah diketahui oleh Ibu Pejabat dan mereka tidak sampai hati untuk bertindak sehingga mereka boleh mengharamkan UMNO.
TITIWANGSA
18. Wakil-wakil cawangan dalam bahagian Titiwangsa juga telah ditemui. Mereka juga telah mengambil tindakan mahkamah ke atas Bahagian dan UMNO Malaysia. Mereka yang mengambil tindakan ini juga telah disaman oleh ahli yang lain dalam cawangan yang sama. Kes ini telah selesai dengan tergantungnya UMNO Bahagian Titiwangsa.
ULU LANGAT
19. Ahli UMNO dari Bahagian Ulu Langat telah enggan menarik kes mereka dari Mahkamah dan telah tidak menghiraukan peringatan dari Ibu Pejabat. Tetapi UMNO bernasib baik kerana Mahkamah telah memutuskan dengan izin, Yang di Pertua:
(Dengan izin)
“High court struck out the originating summons on the grounds that affidavit filed by the plaintiff was irregular as it did not meet the reuquirements or one of the orders in the Rules of the High Court which stated that the sources of information must be cited in the affidavit.”
“Mahkamah Tinggi membatalkan saman pemula dengan alasan bahawa affidavit yang difailkan oleh plaintiff tidak mengikut aturan kerana ia tidak memenuhi kehendak-kehendak atau salah satu aturan di dalam Rules of the High Court yang menetapkan punca maklumat hendaklah disebut di dalam affidavit”.
20. Bahagian Ulu Langat juga akhirnya tergantung.
8000 CAWANGAN
21. Setelah melalui pengalaman ini saya telah mengarahkan Ibu Pejabat UMNO supaya menyemak tiap-tiap satu dari lebih 8,000 Cawangan untuk menentukan semua Cawangan berdaftar.
5000 TIDAK BERDAFTAR
22. Kakitangan Ibu Pejabat telah meneliti satu demi satu Cawangan sehingga 5,000 Cawangan didapati tidak berdaftar.
23. Pada waktu itulah saya telah mengarahkan supaya semua Cawangan didaftarkan semula.
24. Saya juga telah mengarahkan supaya pada tahun berikutnya iaitu pada tahun 1985, setelah Cawangan berdaftar, ahli-ahli Jawatankuasa UMNO di peringkat Cawangan dan di peringkat Bahagian dipilih semula dan ahli-ahli Jawatankuasa UMNO di peringkat Cawangan dan Bahagian yang dipilih pada tahun 1984 tidak dibenarkan memilih sebagai Jawatankuasa dalam mesyuarat agung penubuhan pada tahun 1985.
ARAHAN
25. Sebaliknya mereka diminta mentadbirkan Cawangan atau Bahagian sahaja. Arahan ini dibuat kerana pilihan mereka pada tahun 1984 dijangka tidak sah.
ALLAH MAHA MENGETAHUI
26. Walau bagaimanapun, Majlis Tertinggi yang telah dipilih pada tahun 1984 telah tidak dipilih semula pada tahun 1985, walaupun pada tahun 1984 lebih 5,000 Cawangan telah menghadiri mesyuarat agung Bahagian-bahagian dan memilih wakil Bahagian ke Perhimpunan Agung.
27. Tetapi UMNO Malaysia pada tahun 1985 telah tidak dibawa ke Mahkamah. Apakah mungkin kerana jawatan Presiden telah tidak dipertandingkan pada 1984, Allah Maha Mengetahui.
28. Ahli Majlis Tertinggi yang dipilih pada tahun 1984 bersetuju sebulat suara tidak diadakan semula pemilihan pada tahun 1985 kerana pada tahun 1987 kita akan ada pemilihan sekali lagi.
29. Jika UMNO boleh diisytiharkan tidak sah kerana kewujudan cawangan yang tidak berdaftar yang melibatkan diri dalam Mesyuarat Agung berertilah atas prinsip yang sama, Majlis Tertinggi yang dipilih pada tahun 1984 juga boleh jadi tidak sah.
UMNO NASIB BAIK
30. Malahan UMNO boleh jadi tidak sah sejak tahun 1966.
31. UMNO bernasib baik kerana tidak ada yang membawa UMNO ke Mahkamah.
32. Bermaknalah bukan wujud atau tidaknya cawangan yang tidak berdaftar yang menyebabkan UMNO tidak sah, tetapi kerana adanya orang yang membawa UMNO ke Mahkamah yang menyebabkan UMNO menjadi tidak sah.
MT 1984
33. Usul yang dibawa ini ialah untuk dikebelakangkan tarikh pindaan kepada 1hb Januari, 1987 sedangkan UMNO boleh terus dibawa oleh ahli-ahlinya yang sudah diajar untuk membawa UMNO ke mahkamah untuk terus didakwa.
33. Apakah pihak Pembangkang boleh menjamin jika Usul ini diluluskan, tidak ada di kalangannya yang akan membawa UMNO ke Mahkamah kerana wujudnya cawangan yang tidak sah sejak tahun 1966 sehingga tahun 1984?
34. Bagaimana pula dengan kedudukan Majlis Tertinggi yang dipilih pada tahun 1984?
KEDUA – KES DI MAHKAMAH
35. Wakil dari Gua Musang telah mendakwa di dalam ucapannya bahawa pihak peguam defendan bertanggungjawab meminta supaya UMNO diisytiharkan sebagai badan yang tidak sah. Ini adalah satu kesilapan yang paling besar yang pernah saya dengar mengenai kes ini.
36. Inilah tuduhan kedua yang perlu dijelaskan pada malam ini.
37. Besar kemungkinan pandangan begini datangnya daripada membaca akhbar-akhbar asing yang telah menyebut demikian dan menggunakan perkataan “kamikaze”.
38. Mark Twain, dengan izin, telah menyatakan: “Lies would have travelled half way round the world before truth put its boots on”.
“Pembohongan mungkin telah menjelajah ke setengah dunia sebelum kebenaran itu mula bertapak”.
NOTA HARUN HASHIM
39. Dari nota pembicaraan yang ditulis oleh Hakim Dato’ Harun Hashim bertarikh 4hb Februari, 1988 terpampang di muka 67, kata-kata berikut, dengan izin, Tuan Yang Di Pertua:
(Dengan izin) “Defendants not asking for any declaration – merely to dismiss the case. The Court does not have to decide on the illegality at all. Issue of representation alone is enough to decide the case”.
“Defendan tidak memohon sebarang pengisytiharan – hanya untuk membuang kes. Mahkamah tidak perlu memutuskan berkenaan keharaman sama sekali. Isu berkenaan representasi sahaja adalah mencukupi untuk memutuskan kes ini.”
40. Ini bererti nota Hakim jelas menyatakan bahawa pihak yang didakwa melalui peguamnya tidak meminta supaya satu pengisytiharan dibuat mengenai sah atau tidak sahnya UMNO.
41. Kami menghendaki supaya kes ini dibuang dari mahkamah. Perkara ini boleh dibuat oleh Mahkamah dan pendirian peguam yang didakwa telah disokong dalam keputusan Mahkamah Agung, kemudiannya menyatakan pada muka 9 seperti berikut:
(Dengan izin) “The Learned Judge could have struck out their suit in limine”.
“Hakim Yang Arif sudah boleh membuang tindakan guaman mereka “in limine”.
KEPUTUSAN DIPERLUKAN
42. Ini bererti jika soal kesahihan UMNO ditimbulkan dari awal lagi, pihak Hakim Mahkamah Tinggi boleh membuang kes ini tetapi apabila keputusan diperlukan juga di dalam Mahkamah atas sah atau tidaknya cawangan-cawangan UMNO, maka Hakim tidak ada pilihan lain kecuali mengisytiharkan UMNO sebagai badan yang tidak sah.
HAKIM TIADA PILIHAN
43. Siapakah yang menuntut supaya soal sah atau tidak sahnya UMNO ditimbulkan? Tidak lain dan tidak bukan, pihak peguam bagi Kumpulan 11. Dengan izin, di dalam Amended Statement of Claim, para 22(b) berbunyi:
(Dengan izin) “By virtue of Section 12 of the Societies Act 1966. UMNO Malaysia cannot establish a branch without prior approval of the Registrar of Societies and such unauthorised branches are deemed unlawful and therefore do not legally exist”.
“Sehubungan dengan Seksyen 12, Akta Pertubuhan 1966, UMNO Malaysia tidak boleh menubuhkan cawangan tanpa terlebih dahulu memperolehi izin daripada Pendaftar Pertubuhan dan cawangan yang sedemikian adalah disifatkan tidak sah dan oleh itu mengikut undang-undang ia tidak wujud”.
44. Adalah jelas jika ini yang dituntut oleh peguam yang mendakwa, maka UMNO menjadi tidak sah.
45. Izinkan saya, Tuan Yang Di Pertua, menjelaskan dalam bahasa Inggeris.
(Dengan izin) Our lawyers demanded that as the plaintiff’s claim will result in UMNO as a whole being declared illegal, that the Court’s decision should not be based on the question of illegality. Our lawyers further maintaned that if legality be made the subject of the case, then the action should be dismissed in limine. Unfortunately, the plaintiffs succeeded in persuading the Court to decide on legality. UMNO was therefore declared illegal.
“Memandangkan bahawa tuntutan Plaintiff akan mengakibatkan UMNO keseluruhannya diiystiharkan tidak sah, Peguam kami tidak menuntut supaya keputusan Mahkamah hendaklah tidak didasarkan atas persoalan ketidaksahan, tetapi peguam kami menegaskan sekiranya ketidaksahan dijadikan pokok persoalan kes, maka tindakan tersebut hendaklah dibuang “in limine”. Malangnya, Plaintiff berjaya meyekinkan mahkamah untuk memutuskan persoalan kesalahan”. Dengan itu UMNO telah diisytiharkan tidak sah.
46. Saya ulangi di sini, peguam Kumpulan 11-lah yang menuntut supaya soal sah atau tidaknya UMNO dibangkitkan.
47. Oleh kerana peguam yang mendakwa telah membangkitkan Seksyen 12 Akta Pertubuhan 1966 dalam Para 22 (b), Amended Statement of Claim, maka Hakim Dato Harun telah menyatakan pada muka 24-25 keputusan bertulisnya bertarikh 14hb April, 1988, dengan izin, Tuan Yang Di Pertua:
(Dengan izin) “The provisions of Sections 12(3) and 41(c) are clear and unambigous and it will do violence to the language of the statue if only the unapproved branches are declared by the Act to be unlawful societies but the parent body is not”.
“Peruntukan Seksyen 12(3) dan 41(c) adalah jelas dan tidak taksa dan ia akan melanggar pembahasan statut sekiranya cawangan-cawangan yang tidak diluluskan sahaja diakui oleh Akta sebagai pertubuhan tidak sah tetapi badan induknya tidak begitu.”
48. Mahkamah Agung telah mempertahankan keputusan ini.
SEDIH SUARA HALUS
49. Setelah Mahkamah Tinggi mengumumkan pada 14hb Februari, 1988 bahawa UMNO ialah badan yang tidak sah, pihak defendant terdengar peguam yang mendakwa menyebut mengenai rayuan. Pada waktu itu pihak kami mendengar dengan sedih suara halus yang nyaring menikam dari kalangan pendukung Kumpulan 11 menyatakan, dengan izin,
“We have got what we want. Please do not appeal”.
“Kita sudah dapat apa yang kita mahu. Tolonglah jangan merayu lagi.”
KETIGA – PENDAFTARAN
50. Soalan ketiga ialah sekitar pendaftaran UMNO Baru. Pihak kami terus menunggu rayuan kerana yang mendakwa telah kalah dan menghancurkan UMNO dalam kekalahan mereka. Kami tidak ingin percaya jeritan halus di Mahkamah. UMNO tidak dapat bergerak kerana telah diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah.
HARI JADI TUNKU
51. Tiba-tiba di Hari Jadi Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman di Pulau Pinang tercetus berita mengenai rancangan penubuhan “UMNO Malaysia”.
DR MAHATHIR, GHAFAR
52. UMNO Malaysia dipimpin oleh tokoh yang tidak pernah terlibat dalam penubuhan UMNO pada tahun 1946. Yang anih ialah Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Dr. Mahathir yang terlibat dalam penubuhan UMNO ‘1946 dan juga Yang Amat Berhormat Encik Ghafar Baba yang turut memimpin UMNO, di waktu ianya diisytiharkan tidak sah tidak dilibatkan atau dirundingkan langsung mengenai penubuhan parti politik baru yang dinamakan UMNO Malaysia.
53. Adalah tidak benar jika dikatakan mereka telah dijemput. Surat jemputannya datang setelah UMNO Malaysia ditubuhkan.
54. Saya mengetahui secara peribadi perasaan Tunku Abdul Rahman terhadap Dato’ Seri Dr. Mahathir sama seperti sikap Tunku terhadap bapa Dato’ Seri Dr. Mahathir yang menjadi gurunya.
JASA WIRA
55. Pada waktu itu terlintas di hati kami bahawa pihak Kumpulan 11 yang sudahpun diisytiharkan sebagai wira kerana jasa mereka mengharamkan UMNO tidak akan membuat rayuan.
56. Apabila kami mengetahui permohonan untuk menubuhkan UMNO Malaysia telah dimasukkan ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan, kami pun tergesa-gesa mengadakan perjumpaan dan memasukkan permohonan di sebelah petang hari yang sama atas nama UMNO 88. Oleh kerana kesuntukan masa, Unsang-undang Kecil UMNO’88 sempat dibuat hanya dua muka dan tidak sama dengan yang ada pada UMNO Baru.
57. Perlembagaan UMNO Baru adalah hampir sama, malahan lebih sama dengan perlembagaan UMNO tahun 1946 jika dibandingkan kehampiran persamaan perlembagaan UMNO yang diharamkan.
UMNO 88
58. Oleh kerana kesuntukan masa Undang-undang Kecil UMNO ’88 dibuat hanya dua muka sahaja berbanding dengan Undang-undang Kecil UMNO Malaysia yang sungguh rapi. Pendaftar Pertubuhan telah menolak permohonan pendaftaran UMNO Malaysia dan UMNO ’88 kerana pendaftaran UMNO masih wujud. Di waktu ini, walaupun UMNO masih wujud tetapi ianya tidak sah, lantaran itu tidak boleh berfungsi.
SHOW CAUSE LETTER/SURAT TUNJUK SEBAB
59. Pada petang 8hb Februari, 1988, saya telah menerima “show cause letter” – surat tunjuk sebab dari Pendaftar Pertubuhan. Pendaftar ingin mengesahkan atas kewujudan 30 cawangan yang tidak berdaftar dan sama ada kewujudannya itu disengajakan.
SETIAUSAHA AGUNG
60. Sebagai Setiausaha Agung UMNO yang tidak sah tetapi masih wujud, saya telah menjawab surat Pendaftar Pertubuhan. Saya mengesahkan apa yang telah disahkan di dalam Mahkamah, tetapi saya menafikan ianya dilakukan dengan sengaja. Ada yang bertanya jika ianya tidak sengaja kenapakah pendaftaran dibatalkan? “Tidak sengaja” yang dimaksudkan ialah tidak sengaja di peringkat Ibu Pejabat tetapi yang dibawa di dalam Mahkamah bukanlah Setiausaha Agung sahaja. Apabila pendaftaran UMNO dibatalkan barulah UMNO baru didaftarkan.
61. Inilah untungnya berada di dalam kerajaan kerana kita mengetahui bila pendaftaran UMNO dibatalkan, supaya pembaharuan sijil dapat dibuat dalam bentuk UMNO Baru.
62. Perkataan “Baru” telah dimasukkan atas kehendak Pendaftar Pertubuhan untuk membolehkan pendaftarannya dibuat.
63. Saya telah menjawab dengan cepat kerana saya, di sepanjang masa kes ini di mahkamah sedang menjalani rawatan jantung di Subang Jaya Medical Centre. Sebaik sahaja selesai urusan pentadbiran ini, saya telah bertolak ke luar negeri pada 14hb Februari, 1988 untuk pembedahan atau rawatan jantung.
DELEGATION OF AUTHORITY
64. Tuan Yang di-Pertua, ada juga Ahli-ahli Yang Berhormat yang mengecam pentadbiran Ibu Pejabat sebagai tidak cekap.
65. Adalah penting dingatkan bagi sesebuah pertubuhan yang mempunyai ahli lebih 1 juta orang dan bagi sesebuah pertubuhan yang mempunyai cawangan lebih 8 ribu cawangan, sistem pentadbiran perlu diketahui sebelum dikecam. Dalam menjalankan pentadbiran organisasi yang besar seperti UMNO perlulah ada delegation of authority (penurunan kuasa).
66. Saya ingin membaca di dalam dewan ini keputusan Majlis Tertinggi yang memberi “power of delegation” (kuasa penurunan kuasa) kerana saya perlu mempertahankan pentadbiran Ibu Pejabat yang saya anggap antara yang terapi dalam sejarah UMNO.
1984
67. Pada 7hb Februari, 1984, di dalam peringatan mesyuarat M.T. UMNO di bawah kepala:
“Perkembangan Politik Semasa”.
“Mesyuarat telah membincangkan dengan panjang lebarnya mengenai masalah-masalah dan kekecohan yang berlaku semasa mesyuarat-mesyuarat agung cawangan-cawangan UMNO, Pemuda dan Wanita dan yang mungkin akan berlaku di dalam perwakilan-perwakilan Bahagian UMNO, Pemuda dan Wanita.
KEPUTUSAN M.T.
68. Majlis Tertinggi telah mengambil keputusan iaitu memberi arahan dan kuasa penuh kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Wilayah.
1. Bertindak menyelesaikan sebarang kekecohan jika berlaku di peringkat Cawangan-cawangan dan Bahagian-bahagian di Negeri-Negeri, Wilayah masing-masing termasuk Pergerakan Pemuda dan Wanita.
KUASA PERHUBUNGAN UMNO
2. Jika berlaku sebarang pertiakaian atas hak kehadiran sesebuah cawangan di dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan Bahagian, Perhubungan hendaklah menentukan cawangan-cawangan yang berhak hadir di mesyuarat-mesyuarat perwakilan Bahagian-bahagian yang berkenaan.
3. Keputusan Perhubungan adalah muktamad dan pihak perhubungan hendaklah bertindak mengarahkan mana-mana bahagian yang telah menyalahgunakan kuasa dan bertindak dengan sewenang-wenangnya melucutkan seseorang ahli jawatankuasa Bahagian supaya ditarik balik.
4. Hendaklah menghantar pemerhati di dalam mesyuarat-mesyuarat perwakilan Bahagian termasuk Pergerakan Pemuda dan Wanita dan bertindak menyelesaikan sebarang kekecohan jika berlaku.
69. Ini keputusan Majlis Tertinggi dalam mesyuarat pada 7hb April, 1984. Apakah ianya masih berlaku pada tahun 1985?
1985
70. Apakah keputusan ini masih berlaku untuk tahun 1985.
71. Pada 6hb Julai, 1985, Mesyuarat Majlis Tertinggi di antara lain telah menurunkan seperti di bawah ini:
“Perkara Berbangkit:
Setiausaha Agung telah menarik perhatian Majlis Tertinggi kepada perkara-perkara di muka 15, Agenda 2 mengenai undang-undang dan tafsiran Perlembagaan bagi menyelesaikan masalah-masalah yang timbul di peringkat Bahagian dan kes-kes UMNO yang dibawa ke mahkamah.
Setiausaha Agung telah melaporkan bahawa setelah Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 30hb Mac 1985 satu majlis dialog telah diadakan dengan Pengerusi-Pengerusi Tetap, Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Penubuhan Bahagian-bahagian dan didapati adanya perbezaan pendapat dari segi tafsiran undang-undang dan perlembagaan atau kuasa membubarkan UMNO bahagian di pertengahan penggal. Oleh itu pada 2hb April, 1985 satu perjumpaan telah diadakan di antara pengerusi-pengerusi atau wakil badan-badan perhubungan negeri untuk menentukan garis panduan dan tindakan.
Keputusannya:
Untuk menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam 22 Bahagian, Setiausaha Agung mencadangkan supaya diberikan kuasa kepada Badan Perhubungan Negeri untuk menyelelesaikan semua masalah yang berbangkit di dalam sesebuah negeri dengan rujukan dibuat kepada Ibu Pejabat hanya untuk mendapatkan pandangan Peguam UMNO mengenai aspek undang-undang bagi satu-satu aduan.
Majlis Tertinggi bersetuju dengan cadangan Setiausaha Agung dan mengulangi persetujuan menurunkan kuasa kepada Badan Perhubungan UMNO Negeri yang telah diberi oleh Majlis Tertinggi pada 7hb April, 1984”.
72. Ini keputusan tahun 1985.
73. Bagaimana pula keadaan pada tahun 1987?
74. Pada 7hb Februari 1987, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pahang meminta penjelasan dari Yang Berhormat Datuk Seri Setiausaha Agung sama ada ketetapan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi dahulu masih terus diiktiraf, dan dengannya segala perselisihan mengenai mesyuarat agung Cawangan dan Bahagian hendaklah diselesaikan oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri.
75. Datuk Seri Setiausaha Agung menerangkan keputusan Majlis Tertinggi yang terdahulu yang bersabit dengan perkara tersebut belum dimansuhkan, tetapi Badan Perhubungan UMNO Negeri tidak dibenar memecat atau menggantung sesiapa sebelum diputuskan oleh Jawatankuasa Disiplin.
76. Setiausaha Agung juga menegaskan hanya cawangan-cawangan yang sah, yang sudah berdaftar pada atau sebelum 31hb Disember, 1986 boleh menghantar wakil ke Mesyuarat Agung Perwakilan Bahagian.
AHLI MAJLIS TERTINGGI AKUR
77. Ahli-ahli Yang Berhormat.
Adalah jelas bahawa tidak ada langsung penyelewangan ataupun sebarang kecuaian pengarahan, pengurusan dan pentadbiran di peringkat Ibu Pejabat. Tidak ada ‘political mismanagement’. Semua yang ada di dalam Dewan ini kecuali yang tidak menjadi Ahli majlis Tertinggi pada waktu itu turut bertanggungjawab pada keputusan-keputusan MT kerana mereka tahu dan bersetuju dengan keputusan-keputusan yang telah dibuat itu.
KUMPULAN 11
78. Tuan Yang Di Pertua dan Ahli-ahli yang Berhormat,
79. Untuk menyelesaikan semua masalah ini Majlis Tertinggi telah melantik sebuah Jawatankuasa yang tersidi dari Datuk Abdullah Haji Ahmad Badawi, Dato Napsiah Omar, Dato’ Abdul Kadir Sheikh Fadzil, Dato’ Hussein dan saya sendiri untuk berjumpa dengan Kumpulan 11 setelah kita tahu implikasi daripada semua ini.
PERJUMPAAN 12HB OKTOBER, 1987
80. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, ada yang dari Kelantan yang telah dikidnapkan, tidak dibenar langsung hadir dalam perjumpaan. Ada yang datang daripada kalangan Kumpulan 11 dibawa makan tengah hari di Ampang Park Restaurant; makan malam di Lake Club; diberi kursus bagaimana hendak bercakap dengan Setiausaha Agung; bagaimana hendak mendekati Setiausaha Agung supaya tidak dipengaruhi oleh Setiausaha Agung.
ILMU-ILMU
81. Kemudian Kumpulan 11 ini pun datang ke Ibu Pejabat UMNO. Bila sampai ke Bangunan Ibu Pejabat UMNO mereka pun naik ke atas; apabila kita pelawa minuman; mereka tidak mahu minum kerana ada pesanan atas kemungkinan Setiausaha Agung menggunakan ilmu-ilmu sihir yang boleh mempengaruhi orang-orang yang minum.
HELAH
82. Pelawaan makan juga ditolak kerana pesanan; kononnya tidak boleh makan sehingga selesai perbincangan. Dalam perjumpaan di pejabat-pejabat peguam-peguam tertentu, yang ada di dalam Dewan ini sama ada sebagai pemerhati ataupun sebagai Ahli yang Berhormat, mereka telah dibekalkan surat tidak mahu menarik balik kes ini dari mahkamah dan surat-surat itu semuanya ditaipkan berasingan menggunakan lain-lain typewriter setelah ditukarkan perkataan. Tukarlah perkataan bagaimanapun tetapi sebagai pelajar tujuh bahasa, saya kenal bahasa yang digunakan dalam surat-surat itu berinspirasikan satu sumber. Surat-suratnya sahaja berlain-lain. Kemudian datang dalam mesyuarat. Kami minta kepada kumpulan 11 yang hadir, kami merayu kepada mereka. “Tariklah kes ini dari mahkamah kerana UMNO boleh hancur”. Kami memujuk mereka. Pada waktu itu mereka telah mengesahkan segala persengketaan yang mereka hadapi di peringkat Bahagian masing-masing.
UMNO BOLEH HANCUR
83. Kemudian mereka bertanya “Apakah Dato’ Seri Dr. Mahathir boleh mengampun kami jika sekiranya kami tarik balik’. Saya katakan,”Saya pernah melakukan kekasaran terhadap Dato’ Seri Dr. Mahathir pada tahun 1973 dulu tetapi saya diampun sampai jadi Menteri”.
84. Saya merayu terus kepada mereka supaya tarik balik. Kemudian salah seorang dari mereka mengatakan, “Kalau kami tarik balik, kami akan malu. Kami malu hendak tarik balik”.
SETIAUSAHA AGUNG TIDAK SALAH
85. Mereka mengakui bahawa saya sebagai Setiausaha Agung tidak bersalah. Kemudian saya mencadangkan “ Oleh kerana awak sudah mengakui bahawa saya sebagai Setiausaha Agung tidak bersalah, bagaimana jika saya mengaku salah supaya awak tidak malu?”
86. Tariklah kes ini dari mahkamah.
87. Tuan Yang Di Pertua,
88. Untuk menyelesaikan masalah malu, saya telah tawarkan diri saya untuk meletak jawatan sebagai Setiausaha Agung dan mengaku salah walaupun mereka sudah katakan saya tidak salah.
89. Kemudian salah seorang dari mereka bertanya, “Apakah yang kami dapat kalau kami tarik kes ini?”. Saya tanya “Apa awak mahu?” Lama kelamaan saya mencadang, “Kalau mahu untuk peribadi, datanglah ke pejabat untuk beritahu, kalau mahu secara umum, mintalah di sini”. Tiba-tiba salah seorang mencelah, “Ada jawatan Menteri, berilah!” Saya tanya, “awak yang 11 inikah yang mahu jadi Menteri?” “Bukan kami tetapi dari geng kami”. Saya mencadang, “Okay Dato’ Seri Dr. Mahathir saya tahu memangku jawatan Menteri Undang-Undang dan dia bukan lawyer. Saya bolehlah membawa balik ke Majlis Tertinggi untuk menyokong supaya salah seorang dari tokoh yang awak sokong jadi Menteri Kehakiman”. Satu orang lagi mencelah “Takkan satu sahaja!”. Saya tanya dia, “Awak hendak berapa?”
MAHU DR. M LETAK JAWATAN
90. Seorang yang lain menjawab, “Paling kurang dua.” Saya kata, “Susahlah kalau dua, fasal yang kosong satu dan Menteri-menteri yang ada ini tidak ada minat hendak meletak jawatan.” Kemudian saya bertanya, “Kalau ada dua jawatan mahukah awak tarik balik kes ini?” “Okay, malam ini saya letak jawatan sebagai Menteri Pertanian supaya ada dua kekosongan.” Waktu itu semuanya diam sejurus, kemudian seorang berkata, “Yang kita mahu Datuk Seri Dr. Mahathir letak jawatan.”
MESYUARAT AGUNG SEKALI LAGI
91. Ahli-ahli Yang berhormat.
92. Selepas mereka beritahu demikian saya berjanji, akan memberitahu Dato’ Seri Dr. Mahathir syarat yang dikenakan untuk mereka mahu tarik balik kes ini dari mahkamah. Saya kemudiannya bertanya apakah mereka setuju supaya Encik Ghafar Baba menjadi Perdana Menteri. “Encik Ghafar Baba pun kami tidak mahu, kami hendak Mesyuarat Agung diadakan sekali lagi.”
93. Kumpulan 11 hendaklah mendedahkan siapa di belakang mereka supaya mereka tidak kesepian apabila digolongkan sebagai tokoh yang mengkhianat seperti Si Kitol, Raja Mudaliar dan Sang Rajunatapa.
SEKSYEN 70
94. Jelas ini bukan soal legal atau undang-undang.
95. Ada orang yang bertanya sebabnya kita tidak gunakan seksyen 70 dan sebagainya untuk memberi pengecualian supaya UMNO tidak terlibat dengan semua kesalahan di bawah akta.
96. Tentu kita tidak gunakan seksyen 70 sebab kita tahu kita tidak salah.
96. Tentu kita tidak gunakan seksyen 70 sebab kita tahu kita tidak salah.
97. Dengan izin, 'the fact that we didn’t use section 70 is enough proof of our innocence'.
“...bahawa kita tidak menggunakan seksyen 70 adalah bukti nyang cukup bahawa pihak kita tidak bersalah.”
98. Kalau kita tahu kita salah, kita betulkan. Kita sudahpun membetulkan kesalahan yang wujud pada tahun 1984.
MEREKA CEKAP
99. Tuan Yang di-Pertua,
100. Kalau pihak kami hendak pakai seksyen 70 sekalipun tidak mungkin kerana Penasihat Undang-undang kepada Kumpulan 11 sudahpun mengambil tindakan yang perlu supaya semua dokumen di Ibu Pejabat disimpan “in custody”, supaya kami tidak boleh tambah document secara back-dated untuk membetulkan keadaan (Remedial action).
101. Jadi mereka lebih cekap, tetapi kita pun tidak berniat untuk menggunakan Seksyen 70 untuk membenarkan kesalahan. Adalah lebih baik kita membetulkan sesuatu yang tidak betul. Sebaliknya desakan mereka yang cekap untuk menyuruh kita menggunakan seksyen 70 setelah dokumen berada di dalam “safe custody” membuktikan niat buruk mereka. Kecekapan mereka itu salah digunakan.
102. Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
103. Pokok pangkal di dalam semua masalah di depan kita ini ialah 'ambition' atau cita-cita hendak menjadi Perdana Menteri.
104. Inilah pokok pangkal kepada masalah ini. Oleh itu sebagai bekas Setiausaha Agung UMNO saya ingin memberi satu formula untuk menjadi Perdana Menteri.
105. Serahkan kepada Allah S.W.T.
SEJARAH PERDANA MENTERI
106. Tokoh Melayu yang pertama bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri ialah Dato’ Onn bin Jaafar; beliaulah manusia pertama yang bercita-cita hendak menjadi Perdana Menteri Malaysia.
107. Kalau dia tidak sanggup hendak menjadi Perdana Menteri, dia tidak akan tubuh UMNO untuk memperjuangkan Kemerdekaan.
108. Tetapi rancangan Dato’ Onn tidak sama dengan rancangan Allah s.w.t.
109. Itulah sebabnya Dato’ Onn letak jawatan, kerana mengikut planning Allah s.w.t., Tunku Abdul Rahmanlah yang menjadi Perdana Menteri yang pertama.
110. Itulah sebabnya Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Tun Dr Ismail dan rakan-rakan lain berpakat mengajak Tunku untuk memimpin UMNO selepas Dato’ Onn berhenti. Maka Tunkulah jadi Perdana Menteri.
111. Allah S.W.T. Maha Mengetahui,
112. Apabila Tunku menjadi Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Timbalan Perdana Menteri. Allah s.w.t. Maha Mengetahui bahawa Tunku Abdul Rahman umurnya panjang.
13 MEI
113. Jika masa beliau berhenti menjadi Perdana Menteri ialah apabila beliau sudah tiada lagi, maka sampai sekarangpun beliau masih menjadi Perdana Menteri. Maka berlakulah peristiwa 13 Mei, sebagai alasan sehingga Tunku terpaksa berhenti.
TUN ABDUL RAZAK
114. Allahyarham Tun Abdul Razak terpaksa memilih seorang Timbalan. Beliau meneliti siapa yang patut menjadi Timbalan. Beliau dapati yang patut menjadi Timbalan Perdana Menteri ialah orang yang setia kepadanya iaitu Tun Dr Ismail walaupun pernah melawan dengannya dahulu.
TUN DR ISMAIL
115. Tun Dr Ismail pun jadi Timbalan Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak.
116. Tetapi Tun Abdul Razak juga cekap.
117. Sesuai dengan selera Allahyarham Tun Dr Ismail, Tun Razak memberi Tun Ismail jawatan Menteri Dalam Negeri, satu jawatan yang mungkin tidak boleh menambah undi dalam sebarang pertandingan UMNO.
KESILAPAN DATO’ MUSA
118. Jika ada satu kesilapan yang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri dahulu, iaitu Ahli dari Kota Tinggi sekarang, ialah kerana memilih untuk sekaligus menjadi Menteri Dalam Negeri. Beliau berjaya menambah hanya 4 undi setelah 3 tahun menajdi Timbalan Perdana Menteri daripada tahun 1981-1984. Jika dalam masa 3 tahun jadi Menteri Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri undi yang bertambah hanya 4 undi, bermakna beliau hanya berjaya menambah kawannya satu satu pertiga orang kawan setahun.
RANCANGAN ALLAH
Ahli-ahli Yang Berhormat,
119. Tun Dr Ismail telah jadi Menteri Dalam Negeri. Beliau seorang doktor dan beliau tidak sakit sementara Tun Abdul Razak bukan doktor dan dia sakit. Sepatutnya yang bukan doktor dan yang sakitlah yang dulu kembali kepada Allah s.w.t.
120. Tetapi dalam rancangan Allah s.w.t Tun Ismail tidak menjadi Perdana Menteri, maka Tun Ismail pergi dahulu. Bila Tun Ismail kembali ke rahmatullah dahulu daripada Tun Abdul Razak maka Tun Abdul Razak memilih Tun Hussein Onn sebagai Timbalannya.
TUN HUSSEIN ONN
121. Tun Hussein Onn lebih tua daripada Tun Abdul Razak. Tun Hussein bernikah dengan kakak dan Tun Razak bernikah dengan adik. Mengikut peraturan alam, yang tua sepatutnya pergi dahulu tetapi dalam planning Allah s.w.t. Tun Hussein akan menjadi Perdana Menteri maka Tun Razak yang lebih muda diambil dahulu oleh Allah s.w.t. Maka naiklah Tun Hussein menjadi Perdana Menteri.
DR. MAHATHIR
122. Bila naik Tun Hussein menjadi Perdana Menteri, beliau perlu memilih Timbalannya. Ada 3 Naib Presiden UMNO di waktu itu, iaitu Encik Ghafar Baba, Tengku Razaleigh dan Dato’ Seri Dr. Mahathir. Dia hendak pilih yang mana, dia tidak boleh pilih Encik Ghafar sebab dia tahu Encik Ghafar melawan bapanya dahulu – tahun 1951. Nasib Tengku Razaleigh kurang baik, barangkali Tun Hussein lebih suka orang yang berumahtangga, maka Dato’ Seri Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan. Allah s.w.t. Maha Mengetahui, Tun Hussein juga umur panjang, maka ditakdirkan Tuhan beliau sakit jantung.
SAKIT JANTUNG
123. Orang yang sakit jantung tidak semestinya cepat mati. Yang Berhormat Encik Ghafar Baba sakit jantung, saya pun sakit jantung. Sekarang doktor kata, saya 10 tahun lebih muda dari dahulu.
MUSA HITAM
Ahli-ahli Yang Berhormat,
124. Kerana takdir Allah, sakit jantung sebagai alasan, Tun Hussein membuat keputusan untuk berhenti. Naiklah Dato’ Seri Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Ada 3 Naib Presiden di waktu itu, iaitu, Encik Ghafar Baba, Tengku Razaleigh dan Dato’ Musa.
125. Pada waktu itu Encik Ghafar tidak terfikir beliau ada peluang menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana beliau dan Dato’ Seri Dr. Mahathir sama “muda”. Dato’ Seri Dr. Mahathir juga tidak terfikir hendak melantik Encik Ghafar menjadi Timbalannya kerana beliau juga tahu Encik Ghafar sama "muda" dengannya.
126. Maka tinggallah Dato’ Musa dengan Tengku Razaleigh sebagai saingan. Pada waktu itu antara dua orang yang bersaing ini Tengku Razaleigh kelihatan lebih popular tetapi, akhirnya seorang saja yang menang iatu Dato’ Musa.
127. Biar terus terang saya katakan bahawa Dato’ Musa menang sebenarnya kerana sokongan yang tidak langsung yang diberi oleh Dr Mahathir melalui penyokong-penyokongnya, seperti saya dan kawan-kawan Dr. Mahathir yang lain, kepada Dato’ Musa Hitam, di waktu itu.
SEBAB MUSA LETAK JAWATAN?
Ahli-ahli Yang Berhormat,
128. Bila Dato’ Musa menang beliau pun dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.
129. Kemudian Dato’ Musa letak jawatan.
130. Kenapa Dato’ Musa letak jawatan?
131. Kerana mencari sebab kenapa Dato’ Musa letak jawatanlah maka semuanya jadi kelam kabut sekarang ini.
REZEKI GHAFAR BABA
132. Sebenarnya Dato’ Musa letak jawatan kerana rezeki Encik Ghafar Baba.
133. Sekarang apa yang menjadi perkiraan ialah umur dua orang tokoh di hadapan saya ini kelihatan sama muda. Sekarang semua orang tertanya yang mana akan mati dahulu. Bila Encik Ghafar Baba sakit ada yang menangis, ada yang buat kenduri. Apabila Dato’ Seri Dr. Mahathir batuk, ada orang yang naik bimbang ada yang meningkat harapan. Ada kemungkinan dua orang hamba Allah yang sama muda ini akan hidup sampai semua yang ketagih hendak jadi Perdana Menteri mati dahulu.
NASIB BANGSA MELAYU
Ahli-ahli Yang Berhormat,
134. Sebagaimana saya minta pada awal-awal tadi, saya secara ringkas meletakkan nasib bangsa Melayu ini dalam “framework” yang lebih luas. Apa yang akan saya ceritakan ini bukanlah satu “law”, bukan satu “theory”, bukan satu “hypothesis”. Ianya hanya satu garis panduan yang mempunyai 1-2 tahun “error”.
SEJARAH PENTING
135. Saya mulakan dengan tahun 1897.
136. Pada tahun 1897 Thailand telah bermesyuarat dengan British. Pada mesyuarat Thailand dengan British itulah satu keputusan telah dibuat, 4 buah negeri Melayu telah diserahkan kepada Thailand dan 4 buah negeri Melayu masuk ke Malaya. Ke Thailand – Weng, Narathiwat, Pattani dan Yala. Ke Semenanjung – Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Apabila ini berlaku, tahu sahajalah bagaimana nasib orang Melayu yang beragama Islam di Selatan Thailand, jika dibandingkan dengan yang di sebelah kita.
137. Kita sudah menjadi satu golongan yang jumlahnya berkurangan kerana kita mengetahui jumlah Melayu yang ada di Semenanjung hampir sama dengan jumlah Melayu yang berada di Selatan Thailand.
138. Sehingga satu waktu negeri-negeri Melayu di Semenanjung telah berpecah kepada 4 kumpulan iatu: negeri yang dahulunya di bawah jajahan Siam- Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu; Negeri Straits Settlements – Pulau Pinang dan Melaka; Negeri Federated Malay States – Pahang, Perak, Selangor da Negeri Sembilan dan Negeri Johor daripada kumpulan Johor-Riau dahulu.
PENASIHAT BRITISH
139. Daripada tahun 1897 Orang Putih telah memperkenalkan British Advisor. Satu demi satu kerajaan negeri telah menerima British Advisor dan setiap negeri yang menerima British Advisor telah memuat “state national anthem” sendiri, menyanyi lagu negeri sendiri, menghormati bendera negeri sendiri.
140. Bilakah selesai proses mengadakan British Advisor untuk negeri-negeri Melayu. Selesai dalam 18 tahun.
SEMANGAT NEGERI
141. 1879 + 18 kita dapat 1915. 1914 ialah tahun bilamana negeri Johor, negeri terakhir, menerima British Advisor. Daripada tahun 1915 negeri-negeri Melayu diajar berfikir bukan dari segi Melayu, tetapi dari segi negeri. Tidak wujud lagi orang Melayu pada waktu itu. Yang ada ialah orang Perlis, orang Kedah, orang Pulau Pinang, Seberang Prai, orang Perak, orang Kelantan, Terengganu, Pahang dan lain-lain.
142. Pendek kata, proses mewujudkan semangat kenegerian sudah mula berlaku sejak tahun 1915 dan jiwa kemelayuan telah mula dihakiskan. Pendek kata, mulai tahun 1915 bermulalah semangat kenegerian.
CHINA/INDIA
143. 18 tahun kemudian. (1915 + 18 = 1933) iaitu pada tahun 1933, apabila ekonomi dunia pulih semula, setelah melalui krisis dari tahun 1929 ke 1932, orang-orang keturunan Cina dan India datang balik ke Malaysia – mereka telah balik ke negeri masing-masing di waktu harga bijih dan harga getah turun semasa ekonomi dunia meleset.
SEMANGAT PERKAUMAN
144. Mulai tahu 1933 inilah orang-orang keturunan Cina dan India yang datang balik beramai-ramai atas dorongan Orang Putih telah dibahagi-bahagikan mengikut kerja. Melayu dipisahkan daripada orang Cina dan daripada orang India. India di ladang, Melayu di kampung, Cina di lombong dan berniaga kecil-kecilan. Semangat perkauman telah diasaskan mulai tahun 1933.
145. Pada tahun 1946, selepas British menang Perang Dunia Kedua, apabila semangat perkauman sudah menular di dalam negara, apabila semangat kenegerian sudah menjadi-jadi sampai orang Melayu sudah tidak ada panggilan bangsa lagi, pada waktu itulah Orang Putih mahu tubuhkan Malayan Union.
146. Pada waktu itulah Dato Onn telah bangun menentang Malayan Union dan menyarankan slogan “Hidup Melayu” bagi UMNO kerana Melayu pada waktu itu sudah mati. “Hidup Melayu”, “Hapuskan Semangat Kenegerian” sehingga Melayu bersatu, dengan Cina yang bersatu dan India yang bersatu melalui parti masing-masing mula berjuang untuk kemerdekaan negara.
PAS
147. 1933 + 15 = 1951. Pada tahun 1951 Melayu berpecah lagi kerana Pengerusi Dewan Ulama UMNO telah keluar daripada UMNO, untuk tubuh PAS. Yang anihnya, orang yang keluar daripada UMNO untuk tubuh PAS, ini tidak pernah memimpin PAS, malahan British menghadiahkan kepada beliau jawatan Ahli Dewan Perundangan Pulau Pinang. Pendek kata, memecahkan Melayu kepada UMNO dan PAS boleh dapat hadiah daripada pihak penjajah.
148. Tahun 1951 ialah tahun celaka apabila bangsa Melayu berpecah melalui parti yang berlaku sampai hari ini.
JANJI MERDEKA
149. Tahun 1957 Malaya merdeka. Bila kita merdeka, kita telah membuat perjanjian keselamatan dengan British. Jika dalam masa 10 tahun Melayu, Cina dan India berkelahi sehingga berlaku pertumpahan darah, maka, British akan kembali memerintah. Bermaknalah jika kita bergaduh antara kaum pada tahun 1967 ataupun sebelumnya, maka kita akan dijajah semula.
PUNCA 13 MEI
150. Kita bernasib baik, kita tidak berkelahi sebelum tahun 1967, tetapi kita berkelahi pada tahun 1969.
151. Di manakah letaknya punca perkelahian ini?
152. Punca perkelahian ini kerana keruntuhan kuasa politik Melayu.
153. Apabila kuasa politik Melayu terjejas, saya dipahamkan, ahli-ahli DAP di waktu itu, dengan penuh semangat dan cita-cita telah pergi ke rumah Menteri Besar Selangor dan kencing di tiang bendera rumah Menteri Besar. Itulah sebabnya semangat Melayu meluap sehingga tercetus peristiwa berdarah 13 Mei.
PAS KAFIR UMNO
154. Kemerosotan kuasa politik UMNO bermula dengan PAS mengkafirkan UMNO. Ini berlaku pada tahun 1962. Apabila UMNO dikafirkan oleh PAS pada tahun 1962, orang Melayu mula berpecah. Nasib baik pada pilihanraya tahun 1964 perpecahan itu belum membawa kesan buruk. Tetapi pada pilihanraya tahun 1969, setelah tujuh tahun kempen kafir-mengkafir menular sampai merata-rata, banyaklah kerusi UMNO yang kalah dalam pilihanraya itu, termasuk di kawasan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sekarang.
155. 1951 + 18 = 1969.
RATA-RATA CERITA EKONOMI
156. Lepas tahun 1969, Melayu sebagai Bumiputera sibuk dengan Dasar Ekonomi Baru. Rata-rata kita bercerita fasal ekonomi, kita berhenti cerita fasal politik. “No more political courses”, dengan izin. Semua kursus-kursus politik sudah tidak ada lagi. Yang ada pada kita hanya kursus ekonomi. Di masjid, khutbah ekonomi. Radio cerita fasal ekonomi. TV cerita fasal ekonomi. Akhbar cerita fasal ekonomi. Segalanya fasal ekonomi. Memang boleh kita bercerita fasal ekonomi, tetapi jikalau kita bercerita fasal ekonomi dengan cara yang terpisah daripada kesedaran politik, kita mewujudkan satu masyarakat yang materialistik dan materialismenya itu tidak disampingi oleh semangat perjuangan.
BERKORBAN
157. Pada waktu itu bangsa Melayu yang tadinya berjiwa politik lebih daripada berjiwa ekonomi dan sanggup berlumba-lumba hanya untuk jadi kaya. Daripada bangsa yang mahu berkorban, sudah jadi bangsa yang mahu kaya.
158. Yang kita mahu ialah sambil kaya sambil berkorban.
ISU EKONOMI
159. 1969 + 18 = 1987
160. Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini, sejak tahun 1946, apabila mahu memilih pemimpin, soalan yang pertama ditanya samada pemimpin itu boleh diharapkan untuk memperjuangkan kepentingan politik Melayu dan kepentingan negara Malaysia.
161. Pada tahun 1978, malangnya isu dalam pemilihan UMNO ialah isu ekonomi, sampai orang kampung pun mula bercerita mengenai harga bijih timah naik turun; orang kampung turut bercerita harga getah naik turun; orang kampung cerita mengenai harga minyak kelapa sawit naik turun; orang yang tidak pernah ada kereta, yang naik gerek ke sana sini pun mula cerita fasal harga minya petrol naik turun.
SALAH SIAPA
Tuan Yang Di Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat.
162. Kempen ekonomi yang telah kita buat waktu pertandingan 1987 telah merosakkan pemikiran Melayu mengenai ekonomi (economic thinking of the Malays). Harga minyak turun di Indonesia, orang tidak salahkan Presiden Suharto; harga minyak turun di Arab Saudi, orang tidak salahkan Raja Fahd; harga minyak turun di Britain orang tidak salahkan Ratu Elizabeth ataupun Margaret Thatcher: harga bijih timah turun di Thailand, orang tidak salahkan Prem Tinasulanon; harga kelapa sawit turun di Indonesia, orang tidak salahkan Presiden Suharto.
163. Harga apapun turun, orang tidak salahkan pemimpin, tetapi harga bijih, kelapa sawit, getah, harga apa sahaja yang turun, di Malaysia orang cuba salahkan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad.
164. Sekarang ini bila harga barang-barang ini sudah naik orang mengatakan ini tidak ada sangkut paut dengan Dr. Mahathir. Jadi, kerja Dr. Mahathir ini perturun sahaja, tidak boleh naik.
MINAT MELAYU – BERMUSIM
Tuan Yang Di Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian.
165. Setelah saya katakan semua ini, soalan yang ketinggalan ialah,
166. “Bilakah masalah ini akan selesai?”
167. Saya rasa tidak lama lagi selesai, kerana minat Melayu dalam menghadapi masalah adalah bermusim-musim.
KOMUNIS
168. Pada satu msa dahulu orang Melayu sibuk dengan hal komunis. Apabila orang Melayu sibuk dengan hal komunis, maka pada waktu itu semua orang bercerita fasal komunis, sampailah 2 orang Timbalan Menteri kena tangkap. Setelah itu orang Melayu tidak mahu cerita fasal komunis lagi kerana sudah ada Melayu yang terkorban.
FREEMASON
169. Kita cerita pula fasal Freemason; semua “hot” fasal Freemason. Bilakah tamat fasal Freemason? Bila Ibu Pejabat Freemason depan Muzium Negara ditolak bulldozer, Melayu merasa puas. Walhal Ibu Pejabat itu pindah ke tempat lain. Yang penting bagi kita bukanlah perpindahan ibu pejabat tetapi Ibu Pejabat yang ada sudah kena tolak dan kita rasa puas seolah-olah Ibu Pejabat sudah terkubur atau Freemason sudah terkorban.
RASUAH
170. Lepas itu kita dengar cerita rasuah; rata-rata kita dengar fasal rasuah. Bila tamat kes rasuah? Bila seorang Menteri Besar masuk jel fasal rasuah, lepas itu, kita rasa sudah cukup kerana sudah ada yang terkorban.
PENYAKIT SAMAN
171. Pernah saya ramalkan di dalam perjumpaan-perjumpaan di luar dewan ini dulu, apabila UMNO sudah mula terkena penyakit saman menyaman, saya beritahu di dalam perjumpaan di mana-mana, kes saman menyaman ini hampir tamat kerana sekarang ini Ketua Hakim Negara sedang menghadapi panel. Bila dia kena sahaja, dia yang biasa terima saman kena saman, dan jika dia pula diberhentikan, waktu itu tamatlah kes saman menyaman. Ramalan itu adalah tepat kerana sekarang ini sudah tamat kes saman menyaman kerana sudah ada korban.
172. Apakah isu seterusnya tahun ini?
173. Waktu kita mahu merayakan Hari Kemerdekaan, saya katakan isu masa depan ialah bersatu.
BERSATU
174. Itulah sebabnya Jawatankuasa Hari Kemerdekaan mencadangkan, tema BERSATU – marilah kita berkelahi fasal bersatu (let us quarrel about unity). Sekarang kita sedang berkelahi fasal ini – fasal perpaduan. Kita berkelahi fasal perpaduan dan kita akan terus berkelahi fasal perpaduan sehingga ada korban.
175. Bilakah kita akan terkorban kerana tiada perpaduan?
TAHUN 2005
176. 1987 + 18 = 2005
177. Apabila negara tidak aman lagi dan apabila sistem Raja berperlembagaan sudah terancam begitu hebat, apabila sistem demokrasi berparlimen menjadi punca berbagai masalah pada waktu itu, apakah akan ada lagi keharmonian dalam negara seperti sekarang ini?
BANGSA SASARAN
178. Telitilah cara kita berpolitik. Apabila bangsa Melayu berpecah belah akhirnya Cina dan India jadi sasaran; apabila Cina berpecah belah akhirnya Melayu dan India jadi sasaran; apabila India berpecah belah, akhirnya Melayu dan Cina jadi sasaran, tetapi terlebih dahulu mereka sesama sendiri menjadi sasaran.
MELAYU BERSILAT
Tuan Yang Di Pertua,
179. Adat Melayu berkelahi macam orang bersilat, mula-mula seorang tumbok dulu; lepas tumbok dia tunggu, sehingga orang lain tumbok balik; kalau sudah terasa sakit; dua-dua berhenti, lalu bersalam, kalau masing-masing tidak sakit, seorang akan sepak dan setelah menyepak, dia akan tunggu penyepak lawan; akhirnya lawannya menyepak setelah sama-sama sakit, mereka pun bersalam.
180. Apa yang menjadi masalah dalam Dewan ini ialah semua yang bercakap merasa dirinya betul, yang membangkang merasa diri betul, yang mencadang juga merasakan betul. Belum ada yang sakit tenat.
SIAPA SAKIT
181. Baguslah macam itu, daripada semua kata dirinya salah. Oleh kerana kita semua betul, akhirnya siapakah yang akan sakit, yang akan terkorban.
182. Siapakah di antara kita yang akan sakit?
183. Apakah kita semua akan sakit? Kita atau bangsa kita?
PERPADUAN KAUM – VISION KITA
184. Saya percaya akhirnya semua akan sakit.
185. Apabila bangsa sudah jadi sakit, apabila Melayu sudah menjadi seperti pendatang haram Vietnam, seperti pelarian Palestine, pada waktu itu sakit Melayu sakit tenat. Tenat Melayu tenat Malaysia.
186. Kejayaan kita di masa depan bergantung kepada kebolehan kita untuk menyatupadukan bangsa kita kembali dan menyatupadukan antara kaum di dalam negara.
187. Kemampuan kita untuk menyatupadukan bangsa dan antara kaum atau antara bangsa bergantung kepada kemampuan kita untuk meninjau “the vision of the future”. (wawasan masa depan).
188. Terima kasih Tuan Yang Di Pertua.
5 comments:
Salam Tan Sri,
Terima kasih krn sudi memberi penjelasan yg panjang lebar berkenaan sejarah pengharaman UMNO. Sesungguhnya penjelasan ini dpt menambahkan pengetahuan dan pemahaman berkenaan isu tersebut, terima kasih sekali lagi saya ucapkan.
Cuma saya tertanya - tanya, masih terdapat lagikah cawangan - cawangan UMNO yg masih belum berdaftar ketika ini? Kalau masih ada, saya berharap UMNO dpt belajar dari pengalaman pahit tersebut, agar dpt mengelakkan dari pisang berbuah 2 kali.
Salam Tan Sri,
Saya pernah membaca habis sebuah buku Tan Sri (Tidak ingat judunya) berkaitan : Himpunan Ucapan Tan Sri Dalam Perhimpunan Agung UMNO.
Malangnya buku itu dipinjam teman tetapi tidak dipulangkan. Rasanya banyak yang diungkapkan dahulu...mula berlaku sekarang...terutamnya berkaitan dengan 'selang 13 tahun'...kisah lembu jantan, si kitul dan garapan menarik pengkisahan dan bidalan Tan Sri.
Berkaitan pengharaman UMNO : rasanya dalam 'buku itu' ada huraian lengkap.
Terima kasih Tan Sri.
Alangkah baik ada tokoh baru seperti Tan Sri. Saya ingin menjadi salah seoranya...
Kerana nafsu berkuburlah satu perjuangan.tetapi darinya wujud kelahiran yang lebih indah.malangnya kerana nafsu sekali lagi kita menghadapi cabaran sama.Mengapa kita tidak mengambil pengajaran? Walau berbeza fahaman mengapa kita tidak dapat berkerjasama?Saya telah lihat hasil perpecahan dahulu bukan sahaja perpecahan dari segi ahli.Malah keluarga dan saudara mara serta sahabat handai juga turut menjadi korban.Bangkitlah bangsa ku dan bersatu. Sentiasa ingat perjuangan hendaklah dengan penuh keikhlasan.Yang Ikhlas-Tarmizi Abdullah Maamuom-Anakandamu
Semoga semua yg memegang jawatan dalam UMNO dipersiapkan dengan pengetahuan asas mengenai UMNO agar semangat penubuhan dan asas perjuangan dapat di warisi. Tanpa pengetahuan dan penghayatan semangat PASTI landasan perjuangan akan bertukar dan hilanglah semangat asal perjuangan yg akn membawa keruntuhan.
BORN77:
PM vs TPM...
Bila ini berlaku selepas ANWAR..sy cuba memahami senario yg sebenarnya..huraian diatas amat membantu sy memahaminya.
pandangan sy..UMNO parti yg relevan utk org MELAYU...namun pemimpin yg di dlmnya perlu IKHLAS memimpin dan bkn ada tujuan lain.. DAP semakin kuat pengaruhnya di sbbkan pimpinan yg kurang AMANAH...
Jgn kuburkan UMNO di sbbkan hanya mahukan nama dan kekayaan atas perjuangan UMNO...
TERIMA KASIH
Post a Comment