Monday, January 9, 2012

KEMATIAN YANG BERMAKNA

WASIAT ORANG TUA

KELAHIRAN DI BANYUMAS

1. Pada 26 Disember yang lalu saya berada di Jakarta dalam satu majlis do'a selamat untuk mertua saya Ibu Toeti binti Mahyuddin yang genap umurnya 84 tahun pada 28 Disember, 2012. Acara diadakan lebih awal kerana pada 26 Disember itu Jakarta masih sepi kerana cuti Natal selama dua hari dari 25 Disember. Perjalanan kereta lebih mudah untuk sekitar 50 orang tamu dari kalangan anak cucu dan 15 orang kumpulan Salawat Zikir Sakinah yang terdiri dari 15 wanita Aceh di Jakarta yang dipimpin oleh Tjut Ellyzar Banta Ali.

2. Mertua saya telah dilahirkan di Banyumas, Jawa kerana bapanya, Mahyuddin, yang berasal dari Bukit Tinggi, Sumatera, dan kawan Tan Malaka, ialah Pegawai Daerah atau Residen di Jawa di bawah pemerintahan Belanda.

3. Tan Malaka dan Bapak Mahyuddin adalah dari keluarga ulama dan gambar mesjid di Canduong, Bukit Tinggi, yang didirikan oleh ayahanda kepada Bapak Mahyuddin selalu ditayang sebagai latar belakang waktu dibaca berita dalam Televisyen Padang.

4. (Ahli-ahli PAS patut mengetahui bahawa di Canduong, Bukit Tinggilah Dato' Menteri Besar Kelantan menghantar sejumlah muslimat untuk belajar menekat di sana.)

5. Saya terkejut apabila diminta memberi sedikit kata sambutan kerana sudah lama saya tidak bercakap di depan umum walau sekecil mana jua jumlah yang hadir. Saya telah meminta supaya ucapan saya sampaikan di akhir majlis supaya sempat saya berfikir.

6. Saya terfikir alangkah baiknya jika mereka membaca blog saya maka senanglah saya tidak berucap.

7. Apabila teringat kepada blog, yang saya sudah lama tidak menulis di dalamnya saya teringat juga kepada kata-kata nista dalam komen-komen yang dibuat oleh seteru dan saingan politik saya yang kadang-kadang perseteruan itu berlaku disebabkan saya menyokong Tun Dr. Mahathir atau pun kerana tindakan saya yang tidak menguntungkan mereka.

8. Semua komen dari dua kumpulan itu saya tidak peduli. Tetapi saya merasakan mereka yang bersalah kerana dakyah mengenai saya yang tidak tepat faktanya perlu saya jawab, sedikit demi sedikit, walau pun dosa mereka sudah saya ampunkan.

9. Kebanyakan fitnah atau/dan kemarahan mengenai saya yang dibuat kelompok ketiga ini, samaada dengan membuat komen dengan senarai fitnah yang salah atau hanya menyergah marah dengan do'a supaya saya cepat mati.

10. Sudah tentu mereka yang mendo'akan saya supaya cepat mati tidak memahami ugama sedangkan saya yang tidak warak mendo'akan supaya Allah s.w.t. memberi petunjuk kepada mereka.

11. Inilah sebabnya saya sudah mula menulis apa yang saya patut beri tajuk 'As I See It' atau 'Pada Pandangan Saya' supaya jika orang marah atau benci kepada saya biarlah atas sebab yang betul.

12. Apabila teringat kepada 'mati' saya pun terfikir untuk bercerita mengenai mati kepada mereka yang hadir dalam majlis ulangtahun ke 84 ibu mertua saya itu.

13. Saya telah menempuh beberapa kematian di dalam hidup saya. Sudah tentu saya sedih apabila ditinggalkan oleh ibu dan dua orang adek saya, Abdullah Maamuoum dan Shamsiah.  Saya juga merasa kehilangan bapa tiri saya yang baik, Hj. Ibrahim bin Haji Johari, yang menjadi pilihan bapa saya sebelum bapa saya meninggal dunia. Bapa saya berasal dari Aceh dan bapa tiri saya berasal dari Banjarmasin. Keluarganya datang ke Teroi, Kedah setelah singgah di Bagan Serai, dan Sungai Manik di Perak setelah berpindah dari Batu Pahat, Johor di mana dia ada hubungan keluarga dengan Kiai Salleh. 

14. Bapa Ibrahim Hj. Johari adalah sesuku Banjar dengan bekas Ahli Parlimen PAS Padang Terap Haji Ahmad Shukri dan bekas Setiausaha Agong PAS Ustaz Shukri. Bapak Ibrahim belajar di Pondok Pokok Sena dan di Semanggol. Beliau adalah ahli PAS sehingga ke akhir hayat sementara ibu saya terus menjadi ahli UMNO sejak Ketua Wanita UMNO Khatijah Sidek.

15. Semua ini saya tidak kesahkan dalam majlis ulangtahun ibu mertua saya. Berikut ialah intipati ucapan saya. Bahan yang berwarna di bawah ini menjadi maklumat tambahan yang saya tidak ucapkan.

NASIHAT DAN WASIAT DARI TIGA ORANG TUA

16. Tiga orang yang sebelum mereka menghembuskan nafas terakhir telah memberi nasihat dan wasiat yang sangat bermakna kepada saya. Iaitu bapa saya, Junid bin Cut Li, yang meninggal waktu saya berumur 12 tahun, bapa mertua saya, Teungku Hasbullah Daoed Beureu-Eh, yang meninggal waktu saya sudah berada dalam Parlimen dan Dato' isteri saya Teungku Muhammad Daoed Beureu-Eh yang meninggal waktu saya masih menjadi Menteri.

17. (Keluarga Teungku Muhammad Daoed Beureu-Eh berasal dari Pattani, dari keluarga Sheikh Daud Pattani, dan dibawa ke Aceh melalui Trengganu di mana bapanya ialah ulama  di sana).

NASIHAT AYAHANDA JUNID

18. Allahyarham Junid telah menasihati saya supaya belajar:

18a) Teringkas,

18b) Menaip,

18c) Memasak sekurang-kurang dua jenis masakan ( ikan dan daging ),

18d) Main tennis dan golf dengan mula-mula jadi pemungut bola tennis dan menjadi pembantu kedi.

19. Ayah saya juga memberi dua pandangan yang bernas untuk penduan hidup saya, iaitu:

19e) Jika anakanda ingin naik kapalterbang percuma hendaklah anakanda belajar rajin-rajin, dan

19f) Manusia itu suka kepada pangkat dan tidak suka pada kerja; jika anakanda mahu mempunyai banyak kawan maka anakanda perlulah memilih kerja dan tidak gila menghambat pangkat.

20. Itulah sebabnya saya belajar teringkas dan menaip di Commercial School di depan hospital Kuala Kangsar, dan sebelumnya menjadi pembantu kedi di padang golf Sungai Petani di Kedah dan memungut boleh tenis apabila guru memain tenis, selain mengambil upah mencuci kereta guru di waktu lapang.

21. Saya juga sering mencuci pinggan di gerai mamak dalam Lam Seng Coffee Shop, Jalan Ibrahim Sungai Petani selama 3 bulan pada hari-hari kelapangan.

22. Kerana menjadi Golf kedi untuk Charles McGregor Pengurus Wilayah The Chartered Bank, Ipoh maka saya akhirnya berpeluang menjadi kadet dalam bank di Seremban.

23. Di Seremban saya telah dilantik sebulat suara sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan Seremban Bandar, Setiausaha UMNO Bahagian Seremban Timor dan Setiausaha Dewan Perniagaan Melayu Negeri Sembilan kerana saya tahu membuat minit dan laporan mesyuarat yang lengkap kerana kebolehan dalam bidang teringkas dan menaip, dan saya juga berkelulusan book-keeping di waktu itu. 

24. Bila saya menuntut di London saya dapat menambah pendapatan dengan mengambil nota kulliyah pensyarah secara teringkas, menaip sebagai nota dan menjual nota yang saya perbanyakkan kepada pelajar-pelajar lain.

25. Waktu di Hamburg saya, untuk beberapa kali, di hujung minggu telah menjual meja, untuk 10 pelanggan, di depan rumah di waktu malam untuk jiran-jiran Jerman yang ingin memakan 'Makanan Eksotik Asia'.

WASIAT BAPA MERTUA

26. Bapa mertua saya telah meninggal dunia kerana penyakit kanker.

27. (Teungku Hasballah berpangkat Kolonel dalam Tentera Nasional Indonesia (TNI), bersama Bustanil Ariffin dan Rahman Ramli - kedua ini kekal di dalam TNI sehingga ke pangkat Jenderal - dan kemudiannya menjadi salah seorang dari 8 orang ketua barisan tentera mujahiddin yang melawan dengan TNI. Waktu di hutan dalam perang gerilya beliau menghabiskan masa membaca kumpulan buku-buku 'History of the World' karangan Arnold Toynbee dari muka pertama hingga akhir).

28. Sebagai seorang yang mengidap penyakit kanker dan minat membaca, beliau telah membaca buku 'The Cancer Ward' dan dapat mengikuti perkembangan penyakit itu dalam dirinya. Bapak menyembunyikan buku itu dari mereka yang melawatnya di rumah dan di Hospital Besar Kuala Lumpur.

29. Pada satu petang beliau memberitahu saya bahawa dia perlu keluar dari hospital kerana penyakitnya sudah melarat dan beliau tidak mungkin lama lagi di dunia ini. Bila dia minta saya terbangkannya ke Aceh saya agak terkejut kerana ibu mertua dan keluarganya kebanyakan berada di Jakarta. Beliau tidak mahu pulang ke Jakarta kerana dia katakan kita berperang dengan mereka (maksudnya TNI yang beibu-pejabat di Jakarta.

30. Beliau bersetuju untuk dibawa pulang ke Jakarta apabila saya menjelaskan bahawa apabila dia pulang ke rahmatullah kita akan kebumikannya di bumi ciptaan Allah dan bukan milik Tentera Nasional Indonesia.

31. Saya pun mengiringi mertua lelaki saya dalam penerbangan terakhir MAS dari Kuala Lumpur ke Jakarta dan tiba di Jakarta dalam keadaan sungguh dha'if pada hampir tengah malam. Dari lapangan-terbang saya mengiringi mertua saya ke rumah di Jalan Kusumaatmadja yang dulunya bernama Jalan Tosari. Sampai di rumah sudah lebih dari pukul 12 malam.

32. Selepas beliau sembahyang subuh, di atas katil, keesokan paginya Teungku Hasballah telah meminta ibu mertua saya memanggil saya ke tepinya. Setelah ibu mertua saya meninggalkan kami berdua di dalam bilik beliau pegang tangan saya dan menyatakan:

32a) Sebentar lagi saya akan kembali ke rahmatullah,

32b) Jagalah ibu mertuamu dengan baik,

32c) Anakanda dan isteri anakanda hendaklah bertanggungjawab ke atas adek-adek,

32d) Halanglah ayahandanya Teungku Muhammad Daoed Beureu-Eh dari berhubungan dengan Teungku Hasan Di Tiro (bapa saudara saya),

(Mengikut maklumat dari ayahanda Teungku Hasballah Daoed Beureu-Eh ada empat orang yang dikenali oleh masyarakat yang menghendaki supaya Aceh menerima tawaran kemerdekaan oleh Belanda, iaitu seorang ulama Teungku Hasan Keurueng Kalee, seorang pengusaha Nyak Mahmud (ayah kepada Wali Nanggroe Teungku Malik Mahmud), Kepala Polis di Aceh Nyak Hashim dan ayahanda Teungku Hasballah sendiri.

Tetapi Teungku Hasballah dan Teungku Haji Muhammad Hasan Keurueng Kalee telah menerima keputusan  untuk menyertai Indonesia kerana Persatuan Ulama Seluruh Aceh (PUSA) telah menerimanya.

Kata Teungku Hasballah orang yang turut menyokong kuat supaya Aceh menyertai Indonesia adalah Teungku Hasan Di Tiro.

Apabila saya bertanya pada Teungku Hasan Di Tiro atas sebabnya beliau yang tadinya menyokong kemasukan Aceh ke dalam Indonesia, merubah fikiran dan berusaha supaya Aceh terlepas dari Indonesia, Teungku Hasan Di Tiro memberitahu kepada saya bahawa negara Indonesia telah tidak diwujudkan sebagai negara syarikat, yang dicadangkan olehnya, sebagaimana yang dipersetujui oleh Soekarno dan Hatta dalam pertemuan dengan 4 ulama Aceh.

Perkara ini diperkuat oleh keterangan Teungku Muhammad Daoed Beureu-Eh yang menyatakan Teungku Hasanlah yang menyumbangkan ide supaya Indonesia, yang Aceh berada di dalamnya, diwujudkan sebagai negara syarikat. Buku karangan Teungku Hasan Di Tiro berjudul 'Demokrasi Untuk Indonesia' adalah bukti yang nyata atas ide ini.

Teungku Muhammad Daoed Beureu-Eh pula memberitahu kepada saya bahawa 3 janji yang dimungkiri oleh Soekarno yang menyebabkan Aceh memberontak ialah:

a) Mendirikan Indonesia sebagai negara Syariah,

b) Mendirikan Indonesia sebagai negara syarikat dan bukan sebagai republik, dan

c) Memberi otonomi dalam bidang ekonomi dan perniagaan kerana sebelum wujudnya Indonesia pun Aceh bebas berniaga tanpa perlu mendapat izin dari kuasa di luar Aceh.

Kerana mungkir janji inilah maka Aceh berperang gerilya dengan Indonesia dari tahun 1953 hingga 1962.)

32e) Kamu menjadi pemegang amanah ke atas lombong emas keluarga kita di Tutut, Aceh. Keuntungan dari tambang atau lombong emas itu hendaklah kamu bahagikan seperti berikut:

32ei) 90% untuk Universiti Syiah Kuala dan IAIN Ar-Raniry,

32eii)   9% untuk Masjid Raya Baiturrahman di Banda Aceh, dan

32eiii)   1% untuk keluarga.

33. Jika kamu tidak dapat mengekalkan pembahagian mengikut peratus ini serahkanlah balik lombongan emas ini kepada kerajaan.

34. Ayahanda Teungku Hasballah Daoed Beureu-Eh telah tiba di Jakarta pada sebelah malam, dan beliau tidak dapat melihat hari siang di Jakarta kerana meninggal di waktu subuh berikutnya.

35. Saya telah melaksanakan semua wasiat di atas tetapi gagal menghalang nenekanda Teungku Muhammad Daoed Beureu-Eh dari berhubungan dengan Yah Chik Teungku Hasan Di Tiro.

36. Walau pun urusan tambang emas itu hampir berjaya saya uruskan dengan kerjasama Broken Hills Mining di Australia dan Selangor Mining Corporation di Malaysia tetapi kerana ada tokoh tinggi dari kerajaan Indonesia ingin merobah cara pembahagian peratus pembahagian keuntungan maka saya terpaksa melepaskan tanah lombong itu sebagaimana diwasiatkan.

WASIAT TEUNGKU MUHAMMAD DAOED BEUREU-EH

37. Sebagaimana ramai orang tahu  Tengku Muhammad Daoed Beureu-Eh telah dipukul berdarah di rumahnya di Beureunuen selepas sembahyang subuh, disuntik supaya tidak sedar kemudian dibawa dengan helikopter dan seterusnya diterbangkan ke Jakarta, untuk dibutakan matanya dan berada dalam tahanan rumah selama 18 tahun.

38. Dalam tahanan rumah tidak ramai yang boleh menziarahi nenekanda Teungku Muhammad Daoed Beureu-Eh. Saya boleh menziarahinya kerana sebagai seorang Menteri yang memegang paspot diplomatik saya tidak dapat dihalang.

39. Dalam masa nenekanda Teungku Muhammad Daud berada dalam tahanan beliau, kerana tidak ada rakan dan teman untuk berbincang-bincang, telah menjadi pelupa sehingga pada akhir hayatnya yang beliau ingat hanya untuk mengerjakan solat dan terus tanpa berhenti membaca al Quran kerana beliau ialah seorang hafiz.

40. Oleh kerana saya telah menerima panggilan telefon menyatakan nenekanda Teungku Muhammad Daud Beureu-Eh telah beberapa kali, akhir-akhir ini, apabila sedar memanggil nama saya dan isteri saya maka saya pun berangkat ke Beureunuen untuk menziarahi beliau.

'KA PUWO QUR'AN U ACEH'

41. Ketika saya dan isteri sampai di samping katil nenekanda,tiba-tiba beliau sedar dan terus memanggil 'Mana Sanusi, mana Ina? Mana Ina, mana Sanusi.' Bila saya dan isteri memegang tangannya dan berkata, 'Ini Sanusi dan Ina Abutjhik' beliau terus dengan suara tegas menyatakan 'Ka Puwo Qur'an u Aceh' bererti 'Bawa balik Qur'an ke Aceh'.

42. Beliau mengarahkan demikian lebih dari tiga kali, berselang-seli dengan ketidakserannya, sebelum saya meninggalkan beliau untuk beliau kemudiannya kembali ke rahmatullah.

43. Pesanan beliau 'Ka Puwo Qur'an U Aceh' memabawa erti yang mendalam seolah-olah beliau beranggapan Qur'an tidak ada lagi di Aceh.

44. Sebagaimana kita sedia maklum Nabi Besar Muhammad s.a.w. di waktu sebelum diangkat menjadi Rasul bergiat cergas dalam bidang ekonomi atau khususnya perniagaan. Beliau gigih dan amanah. Setelah Nabi diangkat menjadi Rasul beliau terus menjadi pendidik Ummat dalam segala bidang termasuk, antara lain, cara beribadat dan cara berperang. Beliau memberi petunjuk dalam semua urusan. Qur'an memerintahkan dalam ayat pertama bermula dengan perkataan 'Iqra'' iaitu menyeru Ummat supaya membaca atau menuntut ilmu.

45. Setelah Tsunami rakyat Nanggroe Aceh Darussalam telah menumpukan perhatian dalam bidang ekonomi perniagaan dan pendidikan. Ribuan pelajar Aceh kini berada di seluruh dunia menuntut ilmu pengetahuan dan mencari pengalaman.

46. Oleh itu Aceh perlu mengekalkan tarafnya sebagai negara Syariah walau belum sempurna dilaksanakan.

47. Rakyat Aceh hendaklah menentang sesiapa saja, dengan apa jua cara, pihak-pihak yang ingin menghapuskan Undang-Undang Syariat.

48. Aceh tidak perlu membuang Undang-Undang Syari'at untuk pembangunan di Aceh kerana pihak yang menghendaki pembuangan itu merasa takut dihukum kerana ingin membuat maksiat secara terbuka dengan aman di Aceh.

49. Itulah yang saya faham mengenai 'Ka Puwo Qur'an U Aceh'.

PENGALAMAN PERIBADI

50. Pengalaman saya yang keempat tidaklah mengenai orang yang akan kembali ke rahmatullah tetapi seorang yang hampir kembali ke rahmatullah tetapi sebaliknya ajal belum tiba. Ia itu saya sendiri.

51. Saya adalah seorang yang mengidap penyakit jantung. Beberapa kali hendak di by-passkan tetapi tidak jadi kerana keadaan jantung saya yang saluran cabang darah di jantung kecil dari 1.7 ml. diameternya. Angioplasty ialah pilihan terbaik. Setelah 10 kali saya menjalani perubatan jantung secara angioplasty jantung saya telah diserang lagi. Pada kali ini doktor angioplasty saya sendiri mencadangkan saya menjalani by-pass kerana sumbatnya sudah di tempat yang lebih membahayakan.

52. Untuk by-pass saya perlu menjalani berbagai scan. Apabila didapati ada sumbat sehingga sekitar 80% pada urat leher yang menyalurkan darah saya ke otak, yang bererti saya hidup dengan 20% oksijen sahaja, saya telah dihantar ke Institut Jantung Negara kerana bagi cara perubatan angioplasty cerotic tempat terbaik adalah di IJN. Selesai dibuka saluran cerotic oleh IJN saya kembali lagi kepada doktor saya dan urusan by-pass diputuskan akan dibuat oleh doktor bedah yang pernah membedah jantung ibu saya dan mengetahui kecilnya diameter urat di jantung saya sama dengan yang di jantung ibu saya.

53. Di waktu sedang menunggu hari operasi by-pass tiba-tiba jantung saya diserang lagi. Pada waktu ini doktor jantung saya menyatakan 'we have to do the unavoidable'. Waktu sedang terbaring setengah sedar menjalani angiogram untuk mengetahui keadaan semasa jantung, jantung saya diserang lagi. Badan saya begitu lemah dan ingatan saya bertambah kurang. Tanpa saya mengetahui doktor menasihatkan supaya dua orang anak saya yang belajar untuk PhD mereka di luar negeri dipanggil pulang secepat mungkin.

54. Pada waktu itu saya terdengar dari jauh seolah-oleh suara wanita yang menyatakan, secara sedar atau tidak sedar, sementara saya juga sedar atau tidak bahawa kes saya itu agal 'fatal'. Saya terjaga kerana tersentak dengan kedengaran itu, walaupun mungkin bukan suara tetapi hanya khayalan saya, yang menyatakan saya 'mungkin kembali ke rahmatullah'.

LINTASAN FIKIRAN SEORANG
YANG HAMPIR, TETAPI TAK JADI,
MATI
KERANA AJALNYA BELUM SAMPAI

55. Pada waktu itu saya terfikir -

55a) Apakah sembahyang saya selama ini betul belaka, kerana saya mula  sembahyang tanpa tinggal, atau jarang-jarang tinggal, sejak umur sekitar 8 tahun, dan bacaan dalam sembahyang, yang telah saya pelajari sejak waktu kecil itu mungkin ada ayat yang tersilap bacaannya kerana dimakan masa,

55b) Apakah anak-anak saya akan menjaga dan mematuhi ibu mereka kerana keluarga dan kawan-kawan  persekolahan isteri saya hanya ada di Jakarta.

55c) Apakah anak-anak dan menantu saya akan bersatu dan tidak berkelahi sesama sendiri sehingga menyusahkan ibu mereka., dan akhir sekali saya

55d) Berazam untuk menulis pengalaman  saya atau  bercerita pada penulis supaya semua isu dapat diluruskan supaya mereka yang dihasut tidak berdosa kerana tidak mengenali dan memahami saya.

56. Alhamdulillah, dengan izin Allah, beralaskan kepintaran doktor saya, maka ajal saya belum sampai.

57. Saya mohon ma'af jika penulisan saya yang lepas dan yang akan datang menyinggung perasaan sesiapa jua kerana saudara juga akan menulis demikian jika saudara berpengalaman 'mati tak jadi' seperti saya.

58. Sebagaimana kata orang tua-tua

58a) Yang pahit itu ialah ubat kepada yang sakit

58b) Kebenaran adalah laksana racun yang membunuh fitnah dan kepalsuan

58c) Kebenaran adalah pengkhiatan dalam empayar pembohongan, di mana

58d) Seekor kambing putih dianggap huduh apabila berada dalam kumpulan kambing hitam.

Wallahua'lam


6 comments:

Anonymous said...

SALAM PAK SANIUSI
YA SUKA TULISAN DAN KIASAN PK SANUSI
SYA JUGA ANK MURID SHEIKH AHMAD S'BN, ARWH AYH SAYA NEGALI PK SANUSI , SYA AMT FAHAM KIASAN DARI PAPARAN SEBELUM MATI WASIAT MATI DAN TELAH MATI .
SYA MERINDUI KIASAN SEBEGINI
ALLAH LANJUTKAN USIA PK SANUSI DAN DIKEKALKAN DGN KESIHATAN YG BAIK
DUA TAHUN SYA DIACHEH -SUKA MASAKAN PINDANG IKAN 'PAPES'

SALAM

Anakanda Athirah said...

Assalaamualaikum Ayahanda,

Alhamdulillah, I can never thank Allah enough to have given us more time with you in 'fighting fit' health (as you call it).

Thank you for sharing your thoughts. Insya Allah, please be assure that Nyanyak's always our top priority and on behalf of your children, I promise to take care of her and make sure she's happy.

As for us siblings, there may have been bumpy roads and potholes here and there, but we've always rise to the occasion. Insya Allah, we'll always sail as a team no matter how high the waves.

Love u Ayah.
My prayers are with you always.Insya Allah.

Manda said...

I don't think we siblings argue as much as other siblings do. so nothing to worry about there.

Yes we argue with Nyak ALL the time, but we always obey. So again, nothing to worry there either.

So the only thing that needs done is your book!

Allya said...

Assalamualaikum Ayah dearest,

We are truly grateful to Allah subhanahu wa ta'ala for letting you recover to your “fighting fit” state. Please don’t worry too much about us arguing. At most times we argue because we care for each other and sometimes crave for love from the other . I know I am one of the sensitive ones and I will try my best to improve myself and not let my emotion take its toll on me easily . We will surely look after Nyanyak and we will try produce as much grandchildren for Ayah and Nyanyak to keep you both happy and occupied (in a good way ), insyaAllah. Thank you Ayah for everything you have done for us, for making sure we live in comfort. We love you very very much always.
Hugs,
Allya

Anonymous said...

Assalamualaikum,
Saya baharu mengikuti blog saudara.Amat tersentuh dengan cacatan sudara yang ini.Betapa masa begitu berlalu.Terkenang saya kapada masa lampau yang sudah begitu lama berlalu.Saya pernah mengikuti saudara menaiki sabuah VW Beetle1968 milik saudara 41 tahun lalu ka Sg Aceh. Menginap buat beberapa malam di rumah ibu saudara.Dilayan dengan cukup baik & mesra oleh arwah ibu saudara dan arwah bapa(tiri) saudara dan keluarga saudara.( Semoga Allah menempatkan roh mereka dikalangagn roh Hambanya yang solehah & yg. solleh- Amin).Saya igin mohon maaf dari saudara kerana ada kadangkala sangkaan buruk terhadap saudara - tanda berdampingan,hanya berdasarkan tulisan2 mungkin sapertimana saudara sebutkan dari musuh2 saudara.

Anonymous said...

rahma meutuah

assalamualaikum abusyieik sanusi djuned...lon tuan na keuh sidroe pelajar aceh yg na di malaya..meunarek that keunarang droeneuh..trimoeng geunaseh keu banmandum nasehat yg ka neubri..seumoga droeneuh beu panyang umu beusehat sabe geubri le poe teuh allah,,,beujeut neupuwoe teuma al-qur'an u nanggroe aceh lage yg ka geu wasiet keudroeneuh....amin