Siapakah Yang Patut Bersara?
MINGGUAN MALAYSIA, AHAD 19 MEI, 2013
Masukan ini adalah yang asal sebelum ianya disunting oleh penyunting MM. Yang ditambah tidak berwarna hitam. Sebarang perbezaan dari yang asal atau yang diterbitkan dalam MM hanyalah untuk menjelaskan maksud.
MUKADIMAH
MELIHAT kepada keputusan
pilihan raya yang berakhir beberapa minggu lalu, adalah jelas bahawa sokongan orang
Melayu kepada UMNO masih kukuh walaupun orang Cina sudah beralih arah sehingga
peristiwa itu digelar sebagai 'Tsunami Cina'. Ia juga memberi petunjuk yang jelas
bahawa Barisan Nasional (BN) masih boleh mengekalkan pemerintahan tanpa
sokongan orang Cina walaupun hakikatnya ia tidak berapa sihat kepada usaha
penubuhan bangsa Malaysia.
Bagi tokoh dan veteran UMNO,
TAN SRI SANUSI JUNID, satu petanda jelas bagi apa yang rakyat mahukan sekarang ini
adalah supaya Anwar berundur dari pentas politik kerana beliau tidak lagi relevan dalam politik
negara. Menurut Sanusi, Anwar adalah penghalang kepada perpaduan Melayu. Beliau kini umpama orang yang sudah luka, kerana kekalahan, tetapi masih
tidak dapat menerima kekalahannya dan akan terus kejalan untuk mengajak rakyat berdemonstrasi bersama demi merawat lukanya itu.
Dalam pertemuan yang berlangsung
Selasa lepas (14 Mei, 2013) yang dihadiri wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan
RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH, Sanusi turut menerangkan betapa jelas usaha
ke arah perpaduan antara dua parti politik orang Melayu yang terbesar, UMNO dan PAS, perlu
dilaksanakan.
”Adalah menjadi satu harapan, kepada bangsa Melayu yang berugama Islam, semoga dalam merealisasikan kerjasama antara UMNO dan PAS ini, walaupun ianya tidak boleh menjadi begitu akrab sehingga sebagai hubungan ’suami
isteri’, tetapi kita perlu berkeyakinan atas kemampuan kita untuk menjadi jiran tetangga yang baik.”
Pemimpin dan ahli UMNO hendaklah menerima hakikat bahawa bangsa Melayu tidak akan rugi apa-apa kalau kita berbaik-baik dengan PAS; malahan
banyak isu dan masalah boleh diselesaikan bersama atas landasan kita adalah se agama dan berbangsa
Melayu,” kata Sanusi.
Selain itu beliau juga berpendapat
UMNO itu sendiri perlu membetulkan rumah tangganya dahulu untuk memastikan ianya
menjadi sebuah parti yang kuat.
”Jika bangsa Melayu ini diibaratkan sebagai sebuah tempayan maka kita wajib menjaga supaya tempayan kita itu tidak sampai pecah kerana jika tempayan sudah pecah kita tidak dapat mewarnakan tempayan itu dengan warna yang kita ingini dan kita juga tidak dapat mengisi tempayan itu lagi.
Bila tempayan tidak pecah barulah dapat kita warnakannya dengan warna kebangsaan dan keislaman dan kita isikan Islam dan nasionalisma ke dalam tempayan itu. Tetapi kalau tempayan sudah pecah, kuasa politik tidak di tangan kita lagi, maka tak payahlah kita nak cerita pasal Islam atau
nasionalisma lagi, kerana tempayan itu tidak boleh dipakai atau diguna lagi,” ujar beliau.