Monday, June 10, 2013

PRU 13 - UMNO DAN PAS BERGABUNG?


Siapakah Yang Patut Bersara?

MINGGUAN MALAYSIA, AHAD 19 MEI, 2013
 
Masukan ini adalah yang asal sebelum ianya disunting oleh penyunting MM. Yang ditambah tidak berwarna hitam. Sebarang perbezaan dari yang asal atau yang diterbitkan dalam MM hanyalah untuk menjelaskan maksud. 

MUKADIMAH

MELIHAT kepada keputusan pilihan raya yang berakhir beberapa minggu lalu, adalah jelas bahawa sokongan orang Melayu kepada UMNO masih kukuh walaupun orang Cina sudah beralih arah sehingga peristiwa itu digelar sebagai 'Tsunami Cina'. Ia juga memberi petunjuk yang jelas bahawa Barisan Nasional (BN) masih boleh mengekalkan pemerintahan tanpa sokongan orang Cina walaupun hakikatnya ia tidak berapa sihat kepada usaha penubuhan bangsa Malaysia.

Bagi tokoh dan veteran UMNO, TAN SRI SANUSI JUNID, satu petanda jelas bagi apa yang rakyat mahukan sekarang ini adalah supaya Anwar berundur dari pentas politik kerana beliau tidak lagi relevan dalam politik negara. Menurut Sanusi, Anwar adalah penghalang kepada perpaduan Melayu. Beliau kini umpama orang yang sudah luka, kerana kekalahan, tetapi masih tidak dapat menerima kekalahannya dan akan terus kejalan untuk mengajak rakyat berdemonstrasi bersama demi merawat lukanya itu.

Dalam pertemuan yang berlangsung Selasa lepas (14 Mei, 2013) yang dihadiri wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID dan RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH, Sanusi turut menerangkan betapa jelas usaha ke arah perpaduan antara dua parti politik orang Melayu yang terbesar, UMNO dan PAS, perlu dilaksanakan.

”Adalah menjadi satu harapan, kepada bangsa Melayu yang berugama Islam, semoga dalam merealisasikan kerjasama antara UMNO dan PAS ini, walaupun ianya tidak boleh menjadi begitu akrab sehingga sebagai hubungan ’suami isteri’, tetapi kita perlu berkeyakinan atas kemampuan kita untuk  menjadi jiran tetangga yang baik.”

Pemimpin dan ahli UMNO hendaklah menerima hakikat bahawa bangsa Melayu tidak akan rugi apa-apa kalau kita berbaik-baik dengan PAS; malahan banyak isu dan masalah  boleh diselesaikan bersama atas landasan kita adalah se agama dan berbangsa Melayu,” kata Sanusi.

Selain itu beliau juga berpendapat UMNO itu sendiri perlu membetulkan rumah tangganya dahulu untuk memastikan ianya menjadi sebuah parti yang kuat.

”Jika bangsa Melayu ini diibaratkan sebagai sebuah tempayan maka kita wajib menjaga supaya tempayan kita itu tidak sampai pecah kerana jika tempayan sudah pecah kita tidak dapat mewarnakan tempayan itu dengan warna yang kita ingini dan kita juga tidak dapat mengisi tempayan itu lagi. Bila tempayan tidak pecah barulah dapat kita warnakannya dengan warna kebangsaan dan keislaman dan kita isikan Islam dan nasionalisma ke dalam tempayan itu. Tetapi kalau tempayan sudah pecah, kuasa politik tidak di tangan kita lagi, maka tak payahlah kita nak cerita pasal Islam atau nasionalisma lagi, kerana tempayan itu tidak boleh dipakai atau diguna lagi,” ujar beliau.



MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat suasana politik negara selepas berakhirnya pilihan raya?

SANUSI: Saya melihat keputusan pilihan raya kali ini sebagai yang terburuk sekali prestasinya dalam sejarah negara ini. Namun saya tidak terkejut kerana saya memang meramalkan demikian, sejak sebelum pilihanraya lagi. Memandang kepada keadaan semasa, sebelum pilihanraya, dengan menggunakan ukuran tradisional, saya menjangkakan keputusan pilihan raya kali ini tidak banyak memihak kepada BN. Walau bagaimana pun saya mendoakan apa yang berselerak dalam fikiran saya itu tidak betul. Oleh kerana hebat diuar-uarkan dalam media prima negara bahawa BN akan menang dengan kelebihan kerusi yang banyak sehingga mungkin dapat dua pertiga. Saya berdoa ramalan ini benar kerana saya mengetahui ramai penasihat dan mereka yang cerdik pandai dan berkelulusan tinggi dari dalam dan luar negeri yang turut memberi nasihat. Saya menganggapkan sudah ada satu formula hebat, di luar pengetahuan saya, yang boleh membawa kepada kemenangan besar. Namun, apabila keputusan diumumkan saya merasa hampa kerana apa yang saya ramalkan itu betul. Yang sebenarnya pengalaman dan ilmu yang ada pada orang lama ini masih relevan. Saya teringat kepada kata-kata bekas Senator Amerika Syarikat, Tip O'Neil yang menang dalam pemilihan beberapa kali sehingga menjadi Senator lebih dari 40 tahun bahawa 'Politics is Local.'

KITA BOLEH MEMERINTAH TANPA CHINA

Kemudian, daripada kajian statistik terdapat dari 222 kerusi Parlimen 135 kerusi mempunyai majoriti pengundi terdiri dari orang-orang Melayu. 47 kerusi lagi mempunyai pengundi Melayu antara 40 hingga 60 peratus. Hanya 40 kerusi sahaja yang pengundi Melayu terdapat dari kumpulan minoriti. 

Jadinya, jika kita lihat kepada 40 kerusi yang orang Melayu dalam keadaan minoriti, dan jika pembangkang menang semua kerusi ini sekalipun mereka tetap tidak boleh menang dalam pilihan raya untuk menubuhkan pemerintahan. Jika Melayu bersatu maka 135 kerusi yang pengundinya majoriti Melayu dan ditambah dengan 47 kerusi yang pengundi Melayunya berjumlah antara 40 hingga 60 peratus, kuasa Melayu Bumiputera dalam Parlimen tidak dapat diancam oleh parti chauvinis Cina DAP. 

Tetapi kita terancam, walau pun tetap memerintah.

Kenapa ini berlaku?

Ianya adalah akibat perpecahan di kalangan orang Melayu.

Jika kita tanya siapakah yang bersalah, sudah tentu kita tidak boleh salahkan DAP kerana sifat kurang ajar dan angkuh pemimpin DAP ini bukan perkara baru. Sikap begini sudah wujud sejak sekian lama, dari mula kewujudan mereka lagi, dan memang begitulah cara dan budaya mereka

Jelaslah bahawa antara PKR, PAS dan DAP, yang konsisten adalah DAP sahaja. PAS tidak konsisten kerana mereka sendiri tidak tahu apa yang diperjuangkannya lagi, sekejap mahukan hudud, sekejab negara Islam dan sekejap negara kebajikan. Kalau DAP gertak sedikit sahaja pun PAS sudah melatah. 

PKR agak konsisten dalam aspek membenci UMNO tetapi dalam soal dasar mereka juga tidak keruan. Di kalangan orang Melayu mereka berlagak sebagai pejuang Melayu. Berdepan dengan PAS mereka laungkan Islam; mereka ketepikan Melayu dan Islam apabila bersama China DAP. Itu imej yang ditunjukkan oleh pemimpin mereka. Sekejap warak macam Khomeini, sekejap macam pelakon Rock Hudson, berbeza nafsu waktu berkhidmat di dalam tentera dan lain pula selera nafsunya apabila berada dalam dunia perfileman. Sekejap sebagai pembela rakyat seperti Nelson Mandela. Boleh berubah mengikut masa dan apa yang dirasakan perlu.

Sekarang ini, bila Pakatan Rakyat sudah kalah, pemimpin mereka membawa pulak penyokong-penyokong ke stadium dan ke jalan nak tunjuk dia masih relevan. Ini berbeza dengan UMNO yang konsisten tetapi mempunyai masalah dalam hal penasihat. Kita tahu Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin orang baik tetapi penasihat mereka yang kurang berkesan.

Namun kelemahan orang yang baik itu tidak terletak pada niat. Niat baik, cara tak reti, pahala dapat kerja tak jadi; niat jahat, cara betul, dosa dapat kerja jadi; niat jahat cara tak reti, dosa dapat kerja tak jadi. Yang kita mahu ialah 'Niat baik, cara reti, pahala dapat kerja pun jadi. Selalunya niat pemimpin adalah baik tetapi yang penting adalah cara yang dilalui. Sudah tentu cara yang diketengahkan oleh pakar dan penasihat itu kurang bijak dan tidak menjadi. Semua pemimpin di dunia memerlukan ramai penasihat, kecuali diktator. Kita perlu mampu menilai pengalaman dan kemampuan penasihat. Jangan hanya menilai niat dan cita-cita yang mereka lafazkan. Saya teringat satu kata-kata bahawa 'jalan ke neraka itu penuh dengan niat-niat baik' (The road to hell is paved with good intentions). Sudah pasti semua niat pemimpin itu betul tetapi cara bertindak menjadi silap kerana cadangan, pandangan dan pengarahan dari penasihat yang tidak tepat disebabkan kurang ilmu dan pengalaman yang relevan.

MINGGUAN: Apakah mungkin fitnah dan pembohongan pihak pembangkang juga memberi kesan kepada BN dalam pilihan raya lepas?

SANUSI: Itu adalah satu masalah penting yang perlu ditangani. Kegagalan UMNO dan BN ialah dalam bidang penerangan dan komunikasi, iaitu respon kita dalam menjelas dan menerangkan sesuatu. Saya teringat kata-kata Mark Twain bahawa pembohongan mungkin sudah berjalan separuh dunia sebelum kebenaran memakai kasutnya. (Lies would have travelled half-way around the world before truth put its boots on). Kalau dilihat kata-kata ini dalam konteks masa depan orang Melayu di negara ini ia sangat bergantung kepada Kabinet dan apakah bentuk perubahan yang berlaku melalui Kabinet yang akan dilantik. Anggota kabinet perlu bijak berkomunikasi. Saya lihat ada di kalangan mereka yang menang ini sudah mula bersikap angkuh dan cuba meminta jawatan. Namun pada saya mereka yang menjadi penasihat yang gagal perlu menerima habuan kerana tanggungjawab atau nasihat yang tidak menjadi. 

Saya pernah diberitahu mengenai cakap-cakap yang menyatakan salah seorang penasihat Perdana Menteri, apabila menerima laporan untuk disampaikan kepada Perdana Menteri telah menyatakan ‘Perkara ini tidak perlu disampaikan kepada Perdana Menteri kerana ia akan menyebabkan beliau tidak gembira’.

Ini menunjukkan wujud satu konsep di kalangan penasihat ini bahawa hanya perkara-perkara yang elok-elok sahaja diceritakan kepada Perdana Menteri, sedangkan yang saya tahu semasa zaman saya dahulu kita akan cerita semua yang baik dan tidak sedap didengar. Begitu juga dalam persidangan UMNO seolah-olah ada cubaan untuk mengawal siapa yang akan berucap, isi ucapan dan sebagainya. Seolah-olah sudah tidak ada lagi zaman di mana para perwakilan boleh bercakap bebas seperti dahulu. Saya berpandangan perlu ada kebebasan dalam UMNO supaya kita telus dan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kemudian pemimpin boleh memberi penjelasan dan jawapan atas apa yang dikritikkan dan merancang, setelah itu, atas apa yang perlu dilakukan.

MINGGUAN: PRU-13 juga menunjukkan sokongan masyarakat Cina beralih arah sehingga Perdana Menteri menggelarnya Tsunami Cina. Apa signal yang Tan Sri lihat dalam perkara ini?

SANUSI: Saya rasa tafsiran label yang berasaskan kaum (rasisme) adalah satu panggilan (conclusion) tetapi sebab kenapa ia berlaku adalah berbeza-beza. 

Ini kerana saya pernah ditemui oleh kawan-kawan dari kaum Cina yang meminta saya untuk memberitahu pihak atasan supaya berhenti atau tidak lagi memberi duit di sana sini lagi. Mereka memberitahu bahawa selepas dapat duit pihak pimpinan yang menerima duit itu hanya ketawa dan mengutuk dengan menyatakan, ‘kita gertak sikit dapat sejuta, kita tepuk meja sikit kita dapat lagi lima juta’. Selepas kawan saya memberitahu perkara ini saya tidak tahu hendak bagi tahu kepada siapa. 

Kalau melalui para penasihat yang dikenali oleh anak saya dia hanya nak bagi dengar benda-benda yang elok sahaja kepada atasannya, dan saya juga tidak ada peluang nak jumpa mereka ini. Saya bertemu mereka semasa majlis rasmi sahaja. Lagipun siapalah saya dan saya juga merasakan masa saya sudah berlalu (out of date) dan barangkali lebih baik saya tidak masuk campur.
 
Sebabnya saya cakapkan di sini ialah apabila saya dapati laporan seperti yang hendak sampaikan tadi itu nampaknya masih relevan lagi. 

Namun ketika emosi harapan kemenangan besar masih bergelora sebelum pilihan raya yang lepas, takkan saya nak minta berjumpa kerana takut masalah yang ingin saya ketengahkan dipandang remeh sahaja. Walaupun saya bukan nak pergi jumpa kerana nak minta projek dan sebagainya namun saya hanya ingin sampaikan pandangan dari kawan saya yang jujur bercakap tentang hal ini.

Satu lagi golongan orang Cina adalah seperti mereka yang tidak mengundi Datuk Seri Ali Rustam yang banyak ditolongnya itu. Mereka sampai hati menyatakan kepada beliau bahawa mereka tidak boleh menyokong beliau kerana tidak mahu memihak kepada pembangkang, kerana, pada ramalan mereka pada kali ini BN akan kalah dan Pakatan Rakyat yang akan menubuhkan kerajaan. Jadi mereka terpaksa sokong sokong Pakatan Rakyat. Mereka nak sokong pihak yang mereka percayai akan menang kerana pada kali ini aura pembangkang membuatkan orang Cina percaya mereka akaan menang. 
 
Itu adalah perkara biasa dalam apa juga pemilihan. Ada saja kumpulan yang meramalkan siapa yang akan menang dalam satu-satu pertandingan, dan mereka akan sokong sebagaimana ramalan mereka itu. Itulah strategi yang perlu diingat. Bila kempen pihak pembangkang begitu meyakinkan sehingga melewati 'critical mass', maka spekulasi atau ramalan orang ramai akan memihak kepada mereka. Ramailah yang akan terpengaruh dan mengundi menyokong pihak yang diramalkan akan menang. 

Hakikatnya sama seperti orang main judi.

Oleh itu ramai orang Cina yang dulunya baik-baik menyokong BN telah menyokong pembangkang kerana mempercayai bahawa pembangkang akan menang. 

Walau pun ada orang Cina yang tak sokong DAP kerana menjadi pembangkang, tetapi mereka juga tidak mahu menyokong BN kerana akan menjadi pembangkang. Pendeknya mereka tidak mahu berada di pihak yang kalah. 

Memang ada orang Cina yang benci pada orang Melayu namun jika mereka benci pada kita pun kita tidak boleh lihat ia sebagai satu kesalahan.

Antara sebab perkara begini berlaku ialah kerana rakyat sekarang sudah mulai melihat dari sudut logikal satu-satu pidato itu, dan bukannya retorik pidato itu sahaja, kecuali retorik itu disusuli logiknya. Retorik Anwar yang karismatik, walaupun tidak ada logiknya, tetapi kerana disusuli oleh pendedahan-pendedahan yang dilakukan oleh penyokongnya seperti Rafizi retorik yang dilaungkan Anwar itu menjadi berkesan. 

Malangnya BN atau UMNO tidak memberi penjelasan yang sebenar dan meyakinkan. Bagi saya kita kena jawab setiap tuduhan yang dilontarkan kepada kita dengan jelas dan jujur. 

Tenaga komunikasi dan penerangan UMNO dan BN perlu memperjelaskan kepada rakyat supaya mereka dapat bezakan retorik yang diputar-belitkan oleh pembangkang dan kebenaran.

Kita tidak boleh menunggu siapa jadi calon Parlimen, DUN dan MB atau KM sebelum mula hendak bekerja. Kerja parti politik ialah memberi penerangan, jawapan dan penjelasan yang benar, ikhlas dan meyakinkan. 

MINGGUAN: Mungkin mereka (Cina) marah dengan kerajaan atau ada perkara yang mereka rasa perlu dilakukan?

SANUSI: Itu adalah perkara biasa. Kita perlu faham kita tidak boleh memuaskan hati semua orang. Bagi orang Cina mereka merasakan sudah sampai masanya untuk mereka bertindak dan pada ketika itu mereka melihat kerajaan memerlukan sokongan mereka. Mereka melihat ia sebagai satu kesempatan untuk meminta macam-macam. 

Bagi mereka duit yang mereka dapat dari kerajaan itu adalah duit rakyat dan bukan duit UMNO atau BN. Dari perspektif ini mereka yang menerima duit itu tidak merasa terhutang budi sehingga membantu dalam pilihanraya. Tetapi, apakah duit itu perlu diberi kepada kesemua termasuk yang tidak layak menerimanya. Dakwaan ini membawa implikasi bahawa kerajaan menyalahgunakan wang rakyat. 

Sebenarnya lebih ramai rakyat yang sangat memerlukan bantuan wang seperti penduduk miskin dan luar bandar. Bagi mereka, walaupun duit itu milik rakyat tetapi mereka akan merasa terhutang budi kepada kerajaan BN yang memberinya. Oleh kerana mereka layak menerimanya maka tidak timbul soal penyalahgunaan kuasa.

Mengenai kebaikan dari pemberian di bawah program BR1M ini saya ada pengalaman peribadi yang menunjukkan orang seperti saya juga, dulu, memerlukannya. Di waktu saya belajar di sekolah Melayu Yan, Kedah pada umur sekitar 7 tahun saya pergi sekolah dengan memakai kasut putih. Kerana perjalanan ke sekolah agak jauh bagi kanak-kanak dan terpaksa melalui kawasan lumpur yang berselut maka saya terpaksa gantung kasut saya di leher. Bila cuti sekolah saya pergi ke rumah pakcik saya yang agak berada di Pulau Pinang

Walaupun pakcik saya berada tetapi keluarga saya tetap susah kerana di kalangan masyarakat sekampung Aceh amalan meminjam duit pada saudara-mara tidak diamalkan, kerana nanti  diungkit walaupun hutang sudah selesai.

Pakcik saya akan bawa ke kedai kasut Bata tepi farmasi Tong Aik di Penang Road, untuk beli kasut dua tiga pasang dan semuanya kasut kulit belaka. Bila saya pergi balik ke sekolah saya akan jual balik kasut tu pada cikgu kerana duit untuk beli kasut getah lebih penting dari kasut kulit yang dibeli untuk saya oleh pakcik yang berada tu. Begitu juga dalam soal BR1M, rakyat lebih memerlukan duit dalam bentuk wang tunai kerana mereka tahu nak belanja untuk apa yang lebih penting dan mereka perlukan dan bukan hadiah yang tidak mereka perlukan. 

Saya ada terdengar satu kisah tentang seorang penyokong parti pembangkang yang menerima kupon BR1M bernilai RM500-00. Waktu dia serahkan kupon itu untuk mendapatkan wang beliau boleh katakan kepada pegawai yang mengendalikan BR1M tu ’bagi sini duit haram tu'. Mendengar kata-kata kesat itu pegawai yang uruskan bayaran itu telah koyakkan kupon bernilai RM500-00 itu dan mengembalikan serpihan kertas yang sudah dikoyak itu kepada orang berkenaan. Bila diminta wangnya pegawai itu menjawab, 'saya tak boleh bagi duit itu kepada puan kerana tidak mahu bersubahat dan berdosa kerana mengedarkan duit haram.

Bagi saya projek BR1M perlu diteruskan tetapi sistem pengedaran perlu diperbaiki. Bukan saya kata tak payah bagi kepada penyokong pembangkang tetapi kepada mereka yang lebih memerlukan samada dari kalangan penyokong atau yang tidak menyokong kerajaan, asalkan mereka tidak kurang ajar. 

Mereka yang merasakan duit itu haram apatahlagi mereka yang tidak memerlukannya, mereka tidak perlu menerima hanya kerana mereka rasa duit tu duit rakyat. Ramai lagi yang layak menerima dan memerlukan bantuan. Untuk menerima mereka hendaklah diminta mengisi borang permohonan dan resit penerimaan dengan ucapan 'terima kasih' dicetak di atasnya.

MINGGUAN: Sekarang yang menjadi masalah adalah terdapat pihak yang tidak boleh menerima keputusan pilihan raya dan cuba mengheret rakyat menyertai perarakan dan perhimpunan haram untuk menyatakan bantahan. Mereka ini hanya segelintir sahaja berbanding keseluruhan rakyat Malaysia yang mahukan keamanan. Apa pandangan Tan Sri?

SANUSI: Bagi saya sistem penerangan UMNO dan BN itu perlu diperbaiki dan tenaga penerang hendaklah terdiri dari mereka yang bukan sahaja berilmu, tetapi berilmu dengan ilmu yang relevan, dan mempunyai pengalaman dan kemampuan untuk menghebah, meyakinkan dan memberi jawapan dan penjelasan.  

Bagi pihak pembangkang cara mengundi yang betul hanya terdapat di tempat yang mereka menang sahaja iaitu di Kelantan, Penang dan Selangor. Di negeri lain semua keputusan adalah penipuan belaka. Mana boleh macam itu. Di negeri yang mereka menang tidak pula timbul isu pengundi hantu, dakwat kekal, pegawai tak sopan dan tidak ada penipuan undi. Di negeri lain yang mereka kalah semuanya tidak betul. Oleh kerana mereka gagal ke Putrajaya berertilah, bagi mereka, undi untuk calon parlimen di dalam negeri yang mereka menang pun tentunya tak betul belaka. Pada hakikatnya, yang sukar mereka nak terima itu ialah kekalahan dan bukan soal penipuan undi dan sebagainya. 

Bagi saya jentera penerangan UMNO dan BN yang gagal mendapat kemenangan yang semestinya dalam PRU 13 hendaklah menjalankan kerjanya sekarang. Kita tahu pihak pembangkang mempunyai cybertrooper yang cukup teratur. Sedangkan saya tahu bukan semua mereka ini cerdik sangat sedangkan ramai yang saya kenal yang boleh menjadi cybertrooper untuk UMNO dan BN yang lebih cerdik dan berkemampuan.

Mereka ini orang muda yang berkelayakan dan menyokong UMNO tetapi mendapat halangan di peringkat bahagian dan cawangan jadi mereka terpaksa bergerak sendiri. Mereka ini lebih berkemampuan dan bukan bertujuan mencari duit pun, lebih kepada nak menolong atau seronok sahaja, tetapi kenalah ada pengiktirafan. Malangnya kita tidak hargai mereka ini. Begitu juga dalam kalangan pensyarah universiti kita tidak memberi mereka peluang yang sepatutnya. Saya dengar 57 orang intelektual yang dulunya menyokong Anwar dari sejak zaman ABIM lagi tetapi malangnya kita tidak manfaatkan ilmu yang ada pada mereka untuk membantu kita. Yang kita pakai hanya dua, tiga orang dan ianya tidak cukup. Sedangkan ramai lagi kawan Anwar yang mempunyai rahsia tentangnya yang kita tidak gunakan betul-betul kerena kita hanya syok sendiri sahaja kerana terlalu yakin menang besar.

MINGGUAN: Tan Sri lihat apakah Anwar masih relevan dalam politik tanah air dan apakah kekecohan yang cuba dilakukannya kebelakangan ini adalah agenda beliau untuk menunjukkan dirinya masih relevan sedangkan rakyat sudah menunjukkan sebaliknya pada pilihan raya lepas?

SANUSI: Seperti yang saya katakan tadi selagi tenaga penerangan UMNO dan BN tidak bergerak lebih cekap dan tersusun selagi itulah Anwar akan memainkan peranannya yang mempurak-purandakan negara. Cara terbaik untuk mengurangkan tekanan yang cuba diberikan Anwar dan cybertrooper mereka, kita hendaklah menggandakan usaha memberi penerangan kerana pihak sebelah sana sudah menjalankan kerja mereka dengan memfitnah dan melagakan rakyat. Saya dapat maklumat menyatakan pihak pembangkang ini ada ratusan cybertrooper yang menjalankan tugas mereka tetapi kita agak terkebelakang berbanding mereka. Anwar akan tetap dengan perangainya begitu, walaupun orang dah jenuh kata dia sudah tidak relevan, tetapi beliau memang pandai memainkan sentimen dan isu seolah-olah dialah yang menjadi mangsa dan ditindas. Sedangkan apa yang berlaku ke atasnya adalah kerana perbuatannya sendiri selama ini. Beliau umpama orang yang sudah luka parah atau kalah tetapi dia tidak terima kekalahan itu dan akan terus berjalan. Sekarang kita lihat keputusan pilihan raya tidak memihak kepadanya tetapi Allah s.w.t masih memberi kemenangan kepadanya di Permatang Pauh serta anaknya di Lembah Pantai sebagai satu peringatan semoga UMNO tidak lalai.
Bagi Anwar semua orang tak betul selain beliau. Tunku Abdul Rahman tak betul, Tun Razak dan Tun Hussein Onn pun tak betul. Tun Dr. Mahathir yang telah banyak membantu dan menaikkan beliau juga tidak betul. Tun Abdullah Ahmad Badawi pun sama tak betul, malah Datuk Seri Najib yang dahulu pernah menjadi orang keduanya dalam Pergerakan Pemuda UMNO juga tidak betul. Dia sajalah yang betul. Malangnya beliau yang mendakwa dirinya paling betul dan hebat telah ditolak oleh rakyat bukan sahaja pada pilihan raya lepas tetapi juga sejak pilihan raya 1999, 2004, 2008 dan yang paling terbaru.

Kemenangan yang tipis seperti sekarang ini memanglah perit dan sakit bagi UMNO dan BN tetapi, pada hakikatnya yang paling sakit, sedih dan perit adalah orang seperti Anwar sendiri. Beliau telah menguar-uarkan bukan sahaja pada seluruh rakyat Malaysia tetapi juga kepada masyarakat antarabangsa bahawa beliau akan menang dalam pilihan raya kali ini. 
 
Malang baginya kerana menang tak cukup kerusi dan tak boleh tubuh kerajaan.
 
Allah s.w.t. hanya mengizinkan UMNO dan BN menang sedikit sahaja mungkin supaya kita tidak sombong yang kemudian akan memakan diri kita sendiri dalam pilihan raya akan datang.
 
Mungkin, kalau UMNO dan BN menang banyak keadaan tidak begini tetapi sekarang ini akibat menang sikit ramai yang termenung. Mungkin ada sesuatu yang Tuhan nak tunjuk pada orang UMNO dan BN supaya mereka sedar dan bangkit balik supaya lebih kuat dan dipercayai serta diterima oleh rakyat pada pilihan raya akan datang.

MINGGUAN: Apakah Anwar perlu bersara dari politik pada pandangan Tan Sri?

SANUSI: Itulah yang sepatutnya. Keputusan pilihan raya ini jelas menunjukkan rakyat tidak mahukannya lagi. Kalau kita lihat keputusan pilihan raya ini, orang-orang yang rapat dengannya dahulu, tetapi kemudiannya menolak perjuangan Anwar dan memasuki UMNO dan bertanding dalam pilihan raya pun kalah. Belum lagi orang kanannya dalam parti seperti Saifuddin Nasution juga kalah. Dia ni adalah orang kanan Anwar seperti penasihat kepadanya, malah jadi setiausaha agung parti juga kalah. Apa maksud semua ini orang kanannya dalam parti kalah dan bekas sahabat juga kalah. Katanya Anwar nak Azmin Ali jadi Menteri Besar tetapi isterinya Wan Azizah nak Khalid Ibrahim. Masalahnya yang menentukan bukan mereka tetapi DAP. PAS sudah tentu sukar nak jadi Menteri Besar kerana bukan senang nak tutup kelab malam, pusat urut dan pelbagai lagi maksiat kerana akan ditentang habis-habisan oleh DAP yang sangat-sangat ditakuti oleh PAS.

Tengoklah apa jadi kepada Datuk Hasan Ali. Sekarang ini nyawa politik Anwar banyak bergantung kepada DAP apatah lagi yang boleh menentukan jangka hayat politik beliau adalah Karpal Singh. Kalau Karpal bersin sikit pun tak tentu arahlah Anwar. Bagi ramai ahli-ahli PAS Anwar tidak lagi relevan dan tidak mungkin PAS mahu bertuankan pasangan Nurul Izzah dan Azmin Ali. Lagi mustahil untuk PAS bertuankan Karpal Singh. Oleh itu adalah jelas Anwar sudah tidak relevan dalam politik tanah air dan sudah sampai masanya untuk bersara.
 
Kerusi PKR dan PAS menurun, yang bertambah ialah kerusi DAP.
Mungkin juga Anwar tidak akan bertindak sedemikian kerana hajatnya untuk menjadi Perdana Menteri terlalu besar dan beliau akan terus berusaha kerana itulah matlamatnya sejak dahulu. Anwar akan terus melancarkan demonstrasi, mengajak rakyat turun ke jalanan, merusuh dan sebagainya kerana beliau telah aktif dalam gerakan sebegini sejak sekian lama.

MINGGUAN: Jika kita lihat keadaan sekarang, rakyat sudah semakin jelas siapa Anwar dan hubungan rapatnya dengan pihak luar terutama Amerika Syarikat dan tokoh yang rapat dengan Yahudi. Apakah rakyat sudah faham atau bagaimana?

SANUSI: Itu semua bergantung kepada kerja-kerja yang dijalankan oleh penerangan UMNO dan BN, cybertrooper serta pengurusan media selepas ini. Memang kebanyakan hal tentang ini sudah dinyatakan kepada umum tetapi ia perlu diperjelaskan berulang kali. Kalau dahulu ramai yang ingat apabila skandal seks luar tabii atau kes liwat Anwar akan mengakibatkannya hilang populariti dalam UMNO dan rakyat akan menolaknya. Tetapi ia tidak berlaku malah perkataan liwat itu pula yang semakin popular. Kita bagi penerangan tetapi rakyat mungkin tidak dapat faham apa yang berlaku dan kenapa Anwar tidak boleh menjadi pemimpin di negara ini. Kita perlu menjelaskan kepada rakyat keseluruhannya bahawa ini semua bukan cerita bohong atau fitnah dan mereka perlu faham apa kesannya jika pemimpin sebegini memerintah negara - apa implikasinya. Ia perlu diberi penerangan secara konsisten dan berulang-ulang tanpa jemu supaya masyarakat lebih jelas dan faham kenapa perlu tolak pemimpin sebegini.

MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat kedudukan Pas pasca PRU-13?

SANUSI: Satu perkara yang akan menjadi tragedi ngeri kepada Anwar selepas ini adalah dengan tidak terlantiknya Datuk Nik Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan. Walaupun mungkin ada ’penyejuk’ bagi Nik Aziz anaknya menang, tetapi umum tahu bahawa anaknya itu adalah berbeza dengan Nik Aziz. Sebelum ini yang menjadi ’penyelamat’ kepada hubungan Anwar di dalam PAS selain pihak Anwarinas adalah Nik Aziz sendiri. Berbanding pihak Anwarinas yang kita tahu bukanlah tahu sangat pasal agama berbanding Nik Aziz malah bapanya dahulu pun dihormati orang ramai. Kehilangan Nik Aziz mungkin akan menimbulkan konflik antara Anwar serta pihak-pihak ulama dalam PAS yang sebelum ini tidak bersetuju dengan pendekatan Anwar seperti penggunaan kalimah Allah dalam Bible dan sebagainya.

Saya lihat selepas ini mungkin ramai pihak di dalam PAS akan mengkaji hubungan mereka dengan DAP dan saya tahu ramai orang cerdik pandai dalam PAS yang tidak akan bersetuju untuk menjual agama dan orang Melayu hanya kerana kepentingan politik. Namun bagi UMNO dan BN pula kita tidak boleh angkuh dan sombong terhadap mereka walaupun kita menang. Janganlah lepas ini kita sombong dan riuh pula mengatakan ’walaupun menang sikit tetapi yang penting menang’ tak bolehlah macam tu. Kita kena terima hakikat tidak rugi apa kalau berbaik-baik dengan PAS malah banyak perkara yang boleh dikongsi bersama atas landasan agama dan orang Melayu.
 
Adalah menjadi harapan ramai pemikir dalam UMNO supaya dalam soal kerjasama antara UMNO dan PAS ini walaupun tidak boleh menjadi mesra sebagai ’suami isteri’, tetapi kedua pihak perlu yakin mereka mampu menjadi jiran tetangga yang baik. Kita mempunyai pengalaman dan cita-cita yang boleh kita perjuangkan dan kongsi bersama.

MINGGUAN: Tan Sri melihat kerjasama antara UMNO dan PAS ini perlu menjadi realiti atau bagaimana?

SANUSI: Saya melihat ia bergantung kepada watak-watak yang diketengahkan oleh kedua belah pihak. Watak yang dikedepankan oleh UMNO itu biarlah yang bersesuaian dan bukan mereka yang bukan sahaja jahil agama tetapi teruk pula kelakuannya. Kalau orang yang perangai teruk paling jauh mereka boleh pergi pun sekadar mendekati tokoh seperti Mat Sabu sahaja.
 
UMNO mempunyai orang yang ada ketokohan dan kredibiliti untuk duduk semeja dengan orang PAS dalam soal kerjasama dan kita boleh memberi ruang dan peluang kepada mereka untuk berbincang masa depan dan hala tuju orang Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
 
Namun paling penting kita perlu jelaskan kerjasama yang bagaimana perlu diadakan antara kedua parti ini di peringkat permulaan.
 
Kita lihat sahaja kepada tahun 1946 apabila Inggeris ingin memperkenalkan Malayan Union. 
 
Orang Melayu dari pelbagai latar belakang sama ada tokoh nasionalis, para ulama, pegawai-pegawai pentadbir, guru-guru, anggota kerabat di raja dan sebagainya telah sama-sama merasa malu dan sanggup bersama mengembalikan maruah bangsa dan agama. Sebabnya ialah, ketika itu, orang Melayu malu dan sedar tentang kedudukan raja-raja Melayu yang ingin diturunkan kedudukan hanya ketaraf penghulu sahaja. 
 
Setelah kita bersatu negara pun mencapai kemerdekaan.
 
Kemudian pada tahun 1951 orang Melayu berkelahi lagi dan kemudiannya tertubuhlah PAS yang, kerana perpecahan, kemudiannya, pada tahun 1962 PAS pula bertindak mengkafirkan UMNO.

Akibatnya undi calon UMNO berkurangan pada tahun 1964; tetapi padah buruknya terasa hanya pada 13 Mei, 1969. Kesan propaganda pengkafiran ini mengambil masa 7 tahun (dari tahun pengkafiran) sebelum padahnya dirasai.
 
Memang propaganda itu mengambil masa yang lama untuk memberi kesan dan bukan terus berlaku setelah dilancarkan. Kesan pengkafiran pada 1962 hanya berlaku pada tahun 1969. 
 
Selepas peristiwa 13 Mei, 1969 pemimpin UMNO seperti Tun Abdul Razak dan pemimpin PAS seperti Datuk Asri Muda, dan beberapa orang lagi tokoh UMNO dan PAS, kerana merasakan tindakan pemuda DAP merupakan satu penghinaan kepada orang Melayu, telah bersetuju untuk bergabung dalam Barisan Nasional. 
 
Ini bukanlah bermakna selepas peristiwa 13 Mei, 1969 ahli UMNO yang dikafirkan oleh PAS pada tahun 1962 sudah berubah; dan ahli PAS yang kurang semangat Melayunya juga sudah berubah. Yang berubah ialah sikap Melayu Islam terhadap keperluan untuk bersatu kerana UMNO dan PAS malu keatas sikap kurang ajar Cina DAP kerana mereka berhasrat nak ambil alih negara ini.
 
Kemudian pada tahun 2008 Tsunami politik berlaku dan agak menyedihkan apabila ternampak pemimpin tertinggi UMNO tidak merasa malu atas prestasi terburuk itu. Saya dan Tun Dr. Mahathir telah keluar dari menjadi ahli UMNO kerana saya tidak tahan melihat pemimpin UMNO masa itu secara tidak sedar diri sanggup berpeluk-pelukan dengan Lim Guan Eng.
 
Kali ini BN kalah lebih teruk dari tahun 2008 tetapi Alhamdulillah Najib tahu malu dan saya lihat di muka televisyen wajahnya agak sugul apabila mengisytiharkan kemenangan.
 
Pilihan raya kali ini juga merupakan pukulan hebat kepada PAS dan PKR kerana mereka kalah kerusi berbanding dengan DAP yang dapat keuntungan besar. 
 
Walaubagaimana pun dalam BN, UMNO menang besar berbanding parti-parti komponen yang lain.

Kedua-dua parti UMNO dan PAS perlu rasa malu kerana yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Islam di negara ini. Kita janganlah ikut perangai Anwar kerana beliau memang buat apa pun tak tahu malu. Namun yang penting perlu ada kerjasama antara dua parti utama orang Melayu ini, mungkin PAS tidak sampai masuk dalam BN kerana saya melihat ia agak susah untuk berlaku sekarang ini. UMNO itu sendiri pun perlu membetulkan rumah tangganya dahulu serta memastikan ia menjadi sebuah parti yang kuat.
 
Sekali lagi saya ulangi apa yang telah saya katakan awal tadi. Bangsa Melayu bolehlah diibaratkan sebagai sebuah tempayan. Kita kena jaga supaya tempayan kita jangan retak sampai membawa kepada pecah; kerana, jika tempayan sudah pecah maka susahlah kita nak gunakannya balik. Bila tempayan dah pecah nanti tak bolehlah kita warnakan tempayan itu dengan warna Islam dan isi didalamnya cita-cita Islam. Begitu juga semangat nasionalisma dan isi perjuangannya tidak dapat diwarnai pada tempayan atau diisi ke dalamnya. 
Dengan perginya Anwar dan Nik Aziz, secara beransur-ansur, dari pentas politik, maka pintu untuk kerjasama antara UMNO dan PAS sudah mula terbuka.

4 comments:

Hj Ismail mina said...

Sanusi.
PAS tidak mahu bergabong dengan UMNO.Selagi ada Nik Aziz mereka tidak akan bergabong.

MCA dan Gerakan sudah mati.Sokongan cina kapada DAP.

Apa kata BN bergabong dengan DAP.

PKR dan PAS tidak ada jalan lain melainkan terpaksa join DAP.

Kita bunoh tiga burong dengan satu batu.

padi hangin said...

Tan Sri,

Seperti yang TS katakan,PM mempunyai penasihat-penasihat.Setelah kita mengetahui begitu gagalnya dan tak betulnya nasihat yang diberi,patutnya ada pula satu badan lain untuk memberi tunjuk ajar kepada PM yang tak berapa tahu itu.

Persatuan bekas wakil rakyat,Mubarak tak mampukah nak nasihat PM jika tindakan kerajaan tak betul terutama melibatkan orang melayu ?Mungkin Mubarak pun tak berjalan betul agaknya.Tun M,Tun Daim dan ramai lagi tokoh tentulah jadi ahlinya.Nak harap NGO lain sebagai pendesak,tak jalan nampaknya. Rasanya TS anggota Mubarak jugak.

Walaupun saya duk di kampung,bekerja kampung pendalaman di Yan,saya pun boleh terasa sangat tindakan DS Najib yang tak betul dan keterlaluan.Contoh dalam menunaikan banyak permintaan orang cina dan india serta janji memperkasakan orang melayu yang tak tertunai.Saya hairan mengapa DS Najib macam tak tahu pun semua itu?Adakah DS Najin terlalu berpandangan jauh?

Sebenarnya sesiapa sahaja yang mengambil berat tentang melayu akan menjadi sangat kecewa dengan pemimpin yang kita julang,kini semacam khianat gayanya.Malu pun ada kerana punyai pemimpin semacam ini.Inilah kelemahan DS Najib yang kurang ilmu dan pengetahuan lebih-lebih lagi tentang Malaysia kini dan rakyatnya.Kelemahan yang tidak boleh ada pada seorang Perdana Menteri tanah melayu, Malaysia.

Unknown said...

Setuju dgn padi hangin. Saya bkn org tua. Umur 40an...tapi sgt terasa DS Najib bkn saje belkangkan Melayu...tapi terlalu liberal...rasanya NGO2 Melayu/Islam tak larat buat report police ...so siapa harapan kita? TS Muyidin

Anonymous said...

You are Like the Grandpa Trying to Relive his Youth.

Granpas should just grow old gracefully OK? Dont Ikut the Supergran Mahathir or you'll end up with 3 times Bypass.