Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
Sudah lama saya tidak menulis kerana saya yakin pengikut blog ini sudah keletihan dengan soal-soal politik yang sering saya ketengahkan. Tengahari tadi saya terjumpa dengan saudara Mior Khairudin Muhibbudin di restoran 'The Loaf' di Bangsar Village II yang mengeluh kerana tiada masukan dalam blog ini begitu lama. Menyambut dorongan beliau sebagai kenalan lama maka saya turunkan di bawah ini sedutan dari muka surat 179-190, dalam buku setebal 473 muka bertajuk
Tun Abdul Razak, Bapa
Pembangunan – Suatu Pengkisahan
Pengarang: Azam Ismail Bakri dan Suziyana Natasya Abdullah
Pengarang: Azam Ismail Bakri dan Suziyana Natasya Abdullah
Isi wawancara saya dengan saudara Azam dan saudari Suziyana, walaupun mengandungi kisah-kisah lama, menjadi relevan apabila filem TANDA PUTERA menjadi bahan kontroversi. Sebagai seorang yang pernah bertugas di Kementerian Dalam Negeri, kegemaran membaca saya melayakkan saya mengatakan bahawa semua pemimpin yang saya kenal yang menjadi penyelesai kepada masalah yang timbul dari peristiwa 13 Mei, 1969 sudah meninggalkan kita tetapi penyebab kepada berlakunya peristiwa 13 Mei, 1969 masih ada yang bermirip wajah dengan mereka di kalangan yang ada dalam gelanggang.
Malangnya mereka yang pernah diamankan dalam kurungan di bawah ISA telah berjaya mempengaruhi usaha menghapuskan ISA dari gudang simpanan senjata untuk mempertahankan keamanan Negara.
Jika Melayu Kehilangan Majoriti
Saya mula mempunyai
perhubungan dengan Tun Razak semasa saya menjadi Setiausaha Dewan Perniagaan
Melayu Negeri Sembilan iaitu pada tahun 1965 dan ketika itu berumur 22 tahun. Dalam
satu Kongres Ekonomi Bumiputera, kami telah mencadangkan penubuhan Bank
Bumiputera. Waktu itu Tun Ismail Mohamad Ali yang juga Gabenor Bank Negara
bersikap agak tidak setuju dan menentang cadangan penubuhan Bank Bumiputera
yang mahu dijadikan sebagai sumber modal untuk orang-orang Melayu.
Ini membuatkan YM
Dato' Syed Ali Al Attas, wakil Dewan Perniagaan Melayu Johor (sekarang memegang jawatan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia), marah dan
berkata kepada Tun Ismail Ali, “You get out from
this meeting”. Jadi saya pun turut sama menghambat Tun Ismail keluar dari
mesyuarat itu. Bila saya balik ke Seremban, pengurus bank tempat saya bekerja,
Chartered Bank di Seremban, telah memanggil saya. Katanya, “Saya dapat laporan
dari pejabat Gabenor Bank Negara menyatakan you were one of those
who chased him out from a meeting. You should not be doing that because
you are just a trainee here.”
(Di dalam satu wawancara dengan Tun Ismail Ali setelah beliau bersara dari menjadi Gubenor Bank Negara beliau telah menyatakan kepuasannya berkhidmat untuk Negara sebagai Gubenor dan beliau hanya telah membuat satu kesilapan di awal masa perkhidmatannya apabila beliau menentang rancangan penubuhan Bank Bumiputra yang kertas-kerjanya telah dibentangkan oleh Raslan dari firma Chartered Accountant Hanafiah, Raslan & Ong.)
Tun Razak
memberitahu saya dia mengetahui kejadian ini. Kali kedua perhubungan saya
dengan Tun Razak berlaku pada tahun yang sama di Morib ketika Seminar Pergerakan Pemuda
UMNO Malaysia. Saya hadir selaku Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban
Timur. Ketua Pergerakan Pemuda ketika itu ialah Senu Abdul Rahman (Tan Sri).
Ketika perjumpaan di Morib itu banyaklah soalan-soalan sensitif yang kami
tanyakan pada Tun Razak tetapi dia meminta soalan-soalan yang sensitif ini
ditanyakan pada waktu makan. Jadi hari ini saya sudah berumur saya fikir
perkara sensitif pun kita kena cerita. Saya bertanya kepada Tun Razak bagaimana
kalau kerana kita berselisih pendapat
dengan PAS ini maka satu hari nanti bangsa Cina pula yang menjadi Perdana
Menteri atau bukan Melayu yang jadi pemerintah andainya Melayu tidak mempunyai
majoriti di Parlimen? Jawab Tun Razak, “Sanusi, kita bagi kerakyatan kepada
bukan Melayu ini bukan untuk mereka rampas kuasa kita. Kita harapkan dengan kita
bagi mereka kerakyatan, mereka akan kenang budi kita. Kita berdemokrasi seperti
ini selagi Melayu memerintah, kalau Melayu tidak memerintah tidak ada makna
demokrasi kerana demokrasi itu is ruled
by the majority dan di Malaysia ini Melayu adalah majoritinya. Jadi kalau
kita berkelahi dan tiba-tiba di dalam Parlimen kita tiada majoriti, kita tetap
berhak memerintah kerana kita adalah majoriti rakyat Malaysia.” Itulah kata Tun
Razak.
Majoriti adalah Melayu
Saya bernasib baik
kerana ada dua orang Menteri yang mana saya menjadi timbalan mereka. Pertama ialah
Tan Sri Kadir Yusof iaitu seorang pakar undang-undang. Dengan Tan Sri ini saya
menjadi Timbalan Menteri Tanah. Seorang lagi Menteri yang mana saya menjadi
timbalan beliau ialah Tan Sri Ghazali Shafie (kemudian Tun) di Kementerian
Dalam Negeri. Jadi saya tanya pada Tan Sri Kadir katalah apabila Melayu
berkelahi, berlaku kacau dan Melayu tetap hendak memerintah juga kerana Melayu
adalah penduduk majoriti negara ini tetapi tidak mempunyai majoriti di dalam
Parlimen, bolehkah?
Kata Tan Sri Kadir,
“Kita ada polis diraja, askar diraja, kastam diraja dan state civil service semuanya raja yang lantik jadi kalaulah hendak
masuk Parlimen tetapi Melayu tidak cukup majoriti, kita masih boleh memerintah.
Polis di-Raja boleh menjaga keselamatan dalam negara, askar di-Raja boleh
menjaga negara dari ancaman luar dan kastam boleh mengutip cukai untuk membayar
gaji para pegawai. Ini maknanya kita ada institusi raja dan badan-badan yang
Raja lantik. Dari segi teorinya, tidak ada Parlimen pun kita boleh memerintah.”
Begitulah kata Tan Sri Kadir.
Jadi dari situ saya
fahamlah Tun Razak ini apabila dia sebut demokrasi maknanya dia hendak semua
berbilang kaum ini bekerjasama tetapi jika ada niat hendak menjatuhkan Melayu
dan pemerintahan Melayu, “That’s not it”.
Jadi saya rasa pemimpin-pemimpin yang bersikap “chauvinist” dan anti Melayu dalam negara ini harus sedar bahawa
demokrasi yang ada dalam negara ini tidak bertujuan sampai mengorbankan hak
Melayu. Di dalam demokrasi, tetap majoriti yang akan memerintah dan majoriti
itu adalah Melayu.
Tegas memilih calon
Semasa Tun Razak
hendak memilih saya bertanding menjadi ahli parlimen, dia mendapat banyak
tentangan dari dalam UMNO kerana kaitan saya dengan Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM). ABIM itu sebenarnya ibu pejabatnya ialah di rumah saya kerana
saya adalah antara pengasasnya. Saya juga mengamalkan free speech di mana apa yang saya nak kata, saya akan kata. Oleh sebab
itu ramai orang merasa sakit hati dengan saya. Apabila saya hendak dijadikan
wakil rakyat, Pergerakan Pemuda UMNO Kedah telah menentang. Jadi Tun Razak
telah naik ke Gunung Jerai untuk berjumpa dengan wakil Pergerakan Pemuda UMNO Kedah. Di situ
dia telah memberitahu kenapa dia mahukan saya bertanding. Akhirnya Datuk Syed
Nahar telah berkata kalau Sanusi bertanding dia akan memilih untuk bertanding
di bawah tiket bebas. Namun begitu Tun Razak tidak berganjak dan berkata kepada
Pergerakan Pemuda UMNO Kedah jika mereka hendak bertanding di bawah tiket bebas
sekalipun, dia tetap mahukan Sanusi bertanding di Jerai. Selepas itu, Dato' Paduka Abdullah Affandi memberitahu kepada Sanusi, ketika
Tun Razak bertemu dengan Dr Mahathir (Tun), Tun Razak telah bercerita kepadanya mengenai
hal ini dan berkata 'Orang Kedah' membenci Sanusi sama seperti Tunku Abdul Rahman
membenci Dr Mahathir (Tun) dulu. Kata Tun Razak lagi mereka semua salah kerana
Dr Mahathir (Tun) dan Sanusi kedua-duanya adalah orang baik. Kemudian, perkara itu
tidak tamat begitu sahaja kerana Pergerakan Pemuda UMNO Kedah telah memberi signal kepada Pergerakan Pemuda UMNO Pahang untuk
turut sama membuat protes kerana mahu menghalang saya daripada bertanding.
Batuk, dompet dan resit
Dalam satu
pertemuan, Pergerakan Pemuda UMNO Pahang telah berkata kepada Tun Razak bahawa
untuk menjadi wakil rakyat, seseorang itu perlu menjadi ahli UMNO selama lima
tahun dan oleh itu tanya mereka Sanusi ini ahli UMNO bahagian mana kerana tiada
bukti menunjukkan saya adalah ahli UMNO? Saya sebenarnya telah menjadi ahli
UMNO sejak 13 Oktober 1963 lagi di Seremban. Apabila saya pergi ke England
untuk melanjutkan pelajaran, saya telah tidak membayar yuran UMNO dan kini
tiba-tiba disuruh menjadi calon. Jadi berdasarkan ini memang betullah
pertanyaan Pergerakan Pemuda UMNO itu saya ini ahli UMNO bahagian mana? Mendengar
soalan itu, Tun Razak pun batuk seperti kebiasaannya dan tiba-tiba mengeluarkan
dompetnya sambil berkata dia sudah tahu soalan itu akan ditanya.
Kata Tun Razak, “Dia
(Sanusi) jadi ahli UMNO Pekan selama lima tahun berturut-turut. Ini resitnya
untuk makluman”. Saya sebenarnya tidak pernah menjadi ahli UMNO Bahagian Pekan
dan macam mana Tun Razak boleh keluarkan resit itu, Wallahualam.
Mengikut Dato' Asri, Presiden PAS di waktu itu, jika Tun Razak gagal meletakkan Sanusi sebagai calon dari UMNO dalam pilihanraya umum 1974 maka PAS sedia menawarkan kawasan Padang Terap untuk Sanusi bertanding sebagai calun PAS.
Jadi akhirnya saya
telah bertanding di Kedah, sebagai calun Barisan Nasional dari UMNO, dan menang tanpa bertanding pada tahun 1974 dan telah
menjadi wakil rakyat selama 30 tahun hingga 2004. Saya barangkali dekat
dengan Tun Razak sebab pertamanya saya juga dari MCKK. Keduanya mungkin kerana
saya duduk dan cergas dalam Dewan Perniagaan Melayu, bekerja di sebuah bank asing dan giat di dalam pergerakan belia MAYC.
Sewaktu Tun Dr. Mahathir
dipecat dari UMNO oleh Tunku Abdul Rahman, saya berada di London. Saya berucap
di Hyde Park Corner mengutuk Tunku Abdul Rahman di atas tindakannya itu. Jadi,
Tunku Mohamad Tunku Besar Burhanuddin selaku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di
sana telah membuat laporan kepada Tunku Abdul Rahman mengenai ucapan saya itu. Jadi
saya telah kena banned daripada
memasuki Malaysian Hall. Semua ini kata Tun Razak dia tahu.
Bank Islam
Ada satu ketika
yang lain pada tahun 1971, saya telah didatangi oleh Ahmad Al Najjar, pengasas
bank Islam di Mit Ghamr, Mesir pada tahun 1951 yang mana bank itu kemudiannya telah
dimiliknegarakan oleh Gamal Abdul Nasir kerana bank Islam, sebagai sebuah bank yang menyelesaikan masalah umma tanpa riba, sudah menjadi terlalu popular.
Ahmad Al Najjar mahu membuka bank Islam di Malaysia dan lalu beliau telah
dicadangkan untuk bertemu dengan saya oleh pelanggan bank saya iaitu Tunku Abdul
Rahman yang ketika itu menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Islam
atau OIC yang berpangkalan di Makkah. Apabila Ahmad Al Najjar bertemu dengan
saya beliau telah menyerahkan kertas kerja mengenai bank Islam itu yang mana
saya serahkan pula kepada pejabat Tun Razak menerusi Tunku Shahriman Tunku
Sulaiman. Teungku Shahriman (Tan Sri) yang ketika itu adalah ketua di Unit
Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICU) Jabatan Perdana Menteri. Kertas itu telah berjalan tetapi bank Islam
berkenaan tidak juga menjadi kenyataan.
Pada satu Seminar
Ekonomi Bumiputera di mana kertas itu sepatutnya dibentangkan, Ghafar Baba
(Tun) yang menjadi pengerusi telah menolak kertas cadangan penubuhan Bank Islam
berkenaan kerana Tabung Haji yang sepatutnya akan membentangkannya telah tidak
hadir. Bila saya memasuki bilik kuliah mesyuarat berkenaan, saya telah
diberitahu oleh Dato' Wan Ismail bahawa kertas itu telah ditolak. Lalu saya
dengan cepat mengangkat tangan dan memberitahu Ghafar bahawa rancangan pembangunan Bank
Islam itu tidak boleh dibatalkan kerana kita yang hadir semuanya akan menanggung dosa jika kita menolak rancangan penubuhan Bank Islam itu. Tun Ghafar dengan serta merta berkata usul itu
perlu dihidupkan, katanya 'kerana takut dosa' dan dengan itu luluslah usul penubuhan Bank Islam itu.
Kedai Runcit dan Kebimbangan Berulang Tragedi 13 Mei
Tun Razak telah
meletak saya dalam Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dalam lembaga
pengarah Felda dan Jawatankuasa Penyelarasan Kedai-Kedai runcit di bawah ICU. Satu hari, di dalam satu
mesyuarat, semua Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (SEDC) telah diarahkan
untuk mengadakan kedai borong runcit. Semua SEDC telah berbuat demikian kecuali
SEDC Johor yang ketika itu berada di bawah Tan Sri Basir Ismail. Tun Razak
pernah marah pada Tan Sri Basir kerana katanya tidak bersikap nasionalistik. Namun
begitu kata Tan Sri Basir dia adalah orang pertanian dan hanya tahu mengenai
menanam pokok sahaja dan tidak tahu mengenai membuka kedai runcit.
Koperasi Shamelin
yang saya pimpin telah diberi jaminan oleh Tun Razak untuk diberikan pinjaman,
selepas beliau melihat kejayaan Koperative Forbundet di Sweden, untuk meluaskan
kedai runcit di seluruh negara.
Rupanya Tun Razak ada
sebab tersendiri mengenai hal berkaitan pembukaan kedai runcit ini. Saya mendapat
tahu perkara ini kemudiannya dari Tun Razak sendiri. Katanya, “Sanusi kita
tempatkan awak di dalam badan milik tentera (LTAT) ini bukan untuk awak jadi askar, bubuh
dalam FELDA board bukan untuk jaga
FELDA atau peneroka, saya lantik awak merata ini kerana penyelarasan urusan kedai runcit. Saya bubuh awak dalam
LTAT supaya awak boleh jadi penyelaras kalau tahun 1978 nanti ada pilihanraya
dan berlaku lagi rusuhan antara kaum dan semua peniaga Cina masa itu tidak mahu
bekalkan makanan kepada kedai-kedai Melayu, pada waktu itu awaklah akan jadi coordinator di antara PERNAMA (milik tentera), PERNAS Edar (pemborong milik PERNAS),
SENAMA (milik MARA) dan SEDC di seluruh negara.” Ini bermakna Tun Razak walaupun dia nampak
tenang dan dia merasakan perpaduan sudah wujud, tetapi he doesn’t take things for granted.
Dia tahu, kerana keghairaan politik bukan Bumiputra, ada
kemungkinan tragedi seperti 13 Mei boleh berlaku lagi dan oleh itu dia membuat
persiapan supaya seandainya ia terjadi, kedai-kedai runcit tetap ada untuk
membekalkan makanan. Itulah sebabnya selepas pilihanraya 1978 banyak kedai
runcit termasuk di bawah Pernas Edar telah tutup. Orang kata, it was a wrong economic programme tetapi
sebenarnya, it has served the political
purpose menjauhkan kita dari apa-apa masalah berkaitan bekalan makanan.
Tun Razak dan Tun Dr Ismail
Ada pertanyaan
mengapa Tun Razak telah mengambil Tun Dr Ismail sebagai timbalannya sedangkan
ketika itu dia tidak lagi berada dalam kerajaan? (Tun Dr Ismail melepaskan
jawatan Kabinet sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri pada tahun 1967 atas
sebab kesihatan. Kemudian apabila Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun
1970, Tun Ismail telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri).
Seperti mana Tun
Razak sangat suka pada Dr Mahathir (Tun), Tun Razak juga paling suka pada Tun
Dr Ismail. Dr Mahathir (Tun) bila dipecat, Tun Razak tidak menentang tetapi
apabila dia menjadi Perdana Menteri, dia melantik Dr Mahathir (Tun) duduk di
dalam Kabinetnya pada tahun 1974 sebagai Menteri Pelajaran.
Niat memerangkap Kuan Yew
British pernah
memikirkan akan ada masalah di rantau ini dengan Lee Kuan Yew di Singapura nampak
cenderung berhaluan kiri dan Soekarno di Indonesia pula baik dengan Parti
Komunis Indonesia. Kerana memikirkan kemungkinan Singapura dan Indonesia yang sama-sama berhaluan kiri boleh bekerjasama hingga boleh menyebabkan mereka “menutup” Selat
Melaka dan kapal-kapal dari Eropah, kerana ketiadaan lautan antarabangsa, terpaksa melalui Selat Lombok untuk ke Jepun
dan Hong Kong, British lalu mencadangkan supaya penggabungan Malaysia dengan
Singapura dibuat. Tujuan penggabungan ini adalah kerana Malaysia mempunyai
undang-undang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan dengan itu boleh digunakan
untuk menangkap mereka yang berhaluan kiri di Singapura yang mungkin boleh
menimbulkan masalah. Namun begitu pada ketika itu Tunku Abdul Rahman menolak
gabungan dengan Singapura kerana bimbang penggabungan berkenaan akan menyebabkan
demografi negara ini berubah sehingga penduduk Cina lebih ramai daripada Melayu
bilangannya. Namun begitu pada waktu itu, Tun Datu Mustapha Harun di Sabah dan
Tun Abdul Rahman Ya’kub di Sarawak juga sedang cuba berusaha untuk merdeka dan
bersama-sama masuk Malaysia.
Putar belit
Andainya Sabah dan
Sarawak memasuki Malaysia, maka kemasukan Singapura mungkin boleh diterima
kerana dari segi konteks Bumiputera, Bumiputera tetap majoriti dengan mengambil
kira jumlah penduduk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Sewaktu Tunku Abdul
Rahman menghadapi ancaman masalah sedemikian daripada Lee Kuan Yew itu, cerita Tun
Razak pada kami ketika perjumpaan di Morib tadi, memang ada niat Tun Dr Ismail
untuk menangkap Kuan Yew. Jadi adalah berbeza isi cerita kandungan sebuah buku
kononnya dikarang oleh Tun Dr Ismail dan diterbitkan di Singapura dengan cerita
apa yang kami Pemuda UMNO dapat tahu. Apabila Singapura dikeluarkan
dari Malaysia, pada waktu itulah Tun Dr Ismail telah meletakkan jawatan. Perletakan
jawatan Tun Dr Ismail itu bukan disebabkan dia sakit seperti dakwaan di dalam
buku itu tetapi kerana dia tidak setuju melepaskan Singapura keluar dari
Malaysia. Jadi apabila Tun Razak mengambil alih kuasa, dia membawa Tun Dr
Ismail kembali. Saya rasa Tun Razak pun sependapat dengan Tun Dr Ismail bahwa
Singapura tidak patut dikeluarkan dari Malaysia.
Di dalam buku
bertajuk “Inside No 10” karangan Shirley
William, iaitu bekas setiausaha kepada Perdana Menteri Britain, Harold Wilson,
sewaktu Singapura dibuang dari Malaysia ada satu cerita menarik. Apabila Singapura
dipecat, Kuan Yew telah pergi berjumpa dengan Harold Wilson. Buku itu menyebut,
“Harry was in tears when he said that
Tunku was smart. He got rid of me before I got rid of him”. (Harry adalah
nama panggilan rakan-rakan untuk Lee Kuan Yew)
Ini bermakna Tunku
Abdul Rahman sudah pun tahu Lee Kuan Yew dengan putar belitnya merasakan sudah tiba
tempoh untuk mengambil alih kuasa di dalam Malaysia. Tunku Abdul Rahman
merasakan daripada Lee Kuan Yew mengambil alih kuasa dan huru-hara berlaku, adalah
lebih baik Singapura dipecat dari Malaysia. Dan pemecatan ini bukan satu
masalah bagi Tunku Abdul Rahman kerana pada awal pun, sewaktu British
mencadangkan penggabungan Malaysia dengan Singapura, memang dia sendiri pun
tidak berapa bersetuju.
No comments:
Post a Comment