Sunday, September 15, 2013

ISU PERTANIAN - 1986-1995

MENANGANI ISU PERTANIAN

PERJALANAN MENUJU KEMENTERIAN PERTANIAN

1. Sebelum memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan, walaupun sudah menjadi Ahli Parlimen, sejak tahun 1974 sehingga tahun 1978, saya bekerja dalam sebuah bank swasta yang pada waktu itu bernama The Chartered Bank yang kini, sejak sekitar tahun 1978, telah bergabung dengan The Standard Bank dan mendapat nama baru The Standard Chartered Bank. Majority saham bank ini dimiliki oleh rakyat Scotland. Sepanjang saya menjadi Anggota Kabinet dari tahun 1978 hingga tahun 1995 dan menjadi Menteri Besar Kedah dari tahun 1996 hingga tahun 1999 banyaklah pengalaman dan cabaran yang saya hadapi. Walaupun zaman sudah berubah saya dapati banyak masalah yang dihadapi di masa lampau masih menjadi isu yang dihadapi dan diperdebatkan di masa sekarang.

2. Oleh itu saya telah dan akan terus menurunkan, dari masa ke masa, dalam blog ini sedikit demi sedikit perjalanan yang telah saya lalui yang mungkin bermunafaat untuk generasi masakini dan masa akan datang. Yang baik bolehlah dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga program yang dianggap sudah lapuk pula tidaklah patut berulang.

TIMBALAN MENTERI DULU DAN SEKARANG
 
3. Walau pun saya berada dalam Kabinet dari tahun 1978 hingga tahun 1995 selama masa dari tahun 1978 hingga tahun 1980 saya hanya menjadi Timbalan Menteri dan bukan Menteri penuh. Walau bagaimana pun di masa itu seseorang Timbalan Menteri terus memangku jawatan Menteri jika Menteri bercuti, keuzuran atau berada di luar negeri. Keadaan sekarang sudah berbeza.

4. Sebagai Timbalan Menteri di dua kementerian sepanjang masa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri saya bertugas di Kementerian Pembangunan Tanah dan Pembangunan Wilayah dan di Kementerian Dalam Negeri. Menteri saya ialah Allahyarham Tan Sri Abd. Kadir bin Yusof, seorang peguam dan Allahyarham Tun Mohd Ghazali bin Shafie seorang pentadbir dan diplomat.

PENUBUHAN SEMULA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA DAN LUAR BANDAR DAN KEMENTERIAN PELANCONGAN
 
5. Sebelum menjadi Menteri Besar Kedah saya bertugas sebagai Menteri Pertanian setelah sebelumnya saya memegang jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah pun dihapuskan di bawah pentadbiran Tun Hussein Onn dan diwujudkan semula apabila Tun Dr. Mahathir mengambil alih pimpinan negara. Selepas perlantikan menjadi Perdana Menteri itulah Tun Dr. Mahathir telah mengumumkan kewujudan semula Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan penubuhan Kementerian Pelancongan. Malaysia adalah antara Negara yang pertama di dunia yang mewujudkan Kementerian Pelancongan.

PENGLIBATAN DALAM DUNIA SWASTA
 
6. Semua pengalaman dalam berbagai jawatan sangatlah mencabar dan memberi pengalaman dan kepuasan kepada saya walaupun ianya tidak ada kaitan dengan kelulusan dan pengalaman saya dalam bidang kewangan dan perbankan. Semasa saya bertugas di bank saya turut terlibat dalam kegiatan swasta sebagai pengasas SHAMELIN, INSAN DIRANTO dan TUGU INSURANCE yang kini sudah berubah menjadi Arab Malaysia Insurance Berhad. Saya juga telah merancang bersama-sama seorang tokoh perniagaan dari Bahrain yang bernama Hussein Najadi untuk menubuhkan sebuah Bank Islam kerana di waktu itu belum ada bank sedemikian di Malaysia. Malangnya apabila lesennya dikeluarkan Hussein telah dipenjarakan di negaranya kerana melanggar persetujuan negara-negara yang beraja di Timur Tengah dengan Amerika Sharikat yang tidak membolehkan usaha mewujudkan apa jua bentuk institusi kewangan dan bank Islam, di waktu itu. Hussein memikirkan persetujuan itu terbatas untuk bumi Arab yang beraja sahaja sebaliknya ia mengikut rakyat sesebuah negara Arab itu sendiri dan halangan merangkumi kegiatan rakyat negara Arab di seluruh dunia. (Saya agak terkejut mendengar Hussein  Najadi telah terbunuh dengan kejam baru-baru ini iaitu di waktu saya berada di Mekah di akhir Ramadhan untuk melaksanakan ibadah Umrah di sana).

PENGLIBATAN DALAM PERBADANAN DAN JAWATANKUASA KERAJAAN

7. Setelah saya mengenali Tun Abdul Razak, sebagai eksekutif bank dan pemimpin belia MAYC dan Koperasi SHAMELIN, maka saya telah dilantik ke dalam beberapa badan kerajaan seperti BANK SIMPANAN NATIONAL, LTAT DAN FELDA.

8. Saya juga berpeluang menjadi anggota majlis NACIT (National Advisory Council on Industrial Training) dan jawatankuasa yang mengawasi perkembangan kedai-kedai borong runcit Melayu untuk memastikan tidak berlaku 'hartal' jika berulang lagi peristiwa seperti yang berlaku pada 13 Mei, 1969, selepas pilihanraya 1974.

KEMENTERIAN KEMAJUAN TANAH DAN KEMAJUAN WILAYAH
 
9. Oleh itu, dalam menjalankan tugas saya sebagai Menteri jarang sekali saya berinteraksi dengan tokoh-tokoh korporat dan jutawan. Di Kementerian Pembangunan Tanah dan Wilayah saya berkesempatan berhubungan rapat dengan pegawai dan peneroka FELDA, petani dan peladang FELCRA selain dari kalangan penanam getah RISDA. Saya juga sering melawat kawasan KESEDAR dan DARA di Pahang, KEJORA di Johor, KETENGAH di Terengganu, KADA di Kelantan dan KEDA di Kedah. Semua pesertanya dari kalangan yang berpendapatan rendah belaka di waktu itu.

KEMENTERIAN DALAM NEGERI
 
10. Di Kementerian Dalam Negeri pula saya terdedah kepada BANDUAN dalam penjara, PENAGIH dadah, PELACUR yang ditangkap dan PENJENAYAH serta mereka yang menjadi PENGANCAM KESELAMATAN NEGARA.

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA DAN LUAR BANDAR
 
11. Sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar saya berdepan dengan AHLI-AHLI dan masalah-masalah KOPERASI, PEMINJAM BANK RAKYAT dan masalah kerugian tertumpuk BANK RAKYAT kerana hutang lapuk yang bermula dengan skandal United Manufacturers dan perlawanan tinju Muhammad Ali dan Joe Bugner, PEMINJAM WANG MARA, BIASISWA DAN PEMEGANG BIASISWA  MARA, JALAN dan AIR, juga LETRIK  LUAR BANDAR, INDUSTRI KECIL dan pembangunan KRAFTANGAN.

KEMENTERIAN PERTANIAN
 
12. Di Kementerian Pertanian saya berdepan dengan masalah PETANI, PENTERNAK dan NELAYAN.
TERIMA KASIH KEPADA PEGAWAI DAN KAKITANGAN DI SEMUA KEMENTERIAN, DAN MEMOHON MAAF ATAS SEGALA KESILAPAN
DAN SALAHLAKU DAN KESILAPAN TINDAKAN

13. Pada 10hb Julai, 2013 genaplah umur saya 70 tahun, iaitu 18 tahun lebih muda dari Tun Dr. Mahathir yang lahir pada tarikh yang sama. Mengikut kata doktor walaupun saya lebih muda dari Tun Dr. Mahathir tetapi jantung Tun Mahathir lebih muda dari jantung saya.
 
14. Melalui blog saya pada kali ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua Menteri saya yang sudah pergi meninggalkan kita (Al Fatihah), kepada Timbalan-Timbalan Menteri dan Setiausaha-Setiausaha Parlimen serta kaki-tangan semua Kementerian dari peringkat Ketua Setiausahanya hingga kepada Pembantu Pejabat. Tanpa mereka apalah saya. Saya juga meminta maaf jika terdapat kesilapan, kesalahan, kecuaian dan kekasaran sikap saya di waktu dalam perkhidmatan. Sebagai manusia biasa saya juga tidak sunyi dari kesilapan dan dosa.

15. Dalam blog ini saya hanya akan menyentuh beberapa isu yang timbul, secara ringkas, dan cara penyelesaiannya di waktu saya di Kementerian Pertanian. Semua bahan yang ditulis adalah dari ingatan semata-mata tanpa rujukan kepada catitan dan dokumen.

JANJI PADA HJ. MAN UNTUK NAIKKAN HARGA KELAPA

16. Adalah menjadi satu kebiasaan di bawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir bahawa beliau membuat pertukaran jawatan dan menyusun semula kabinetnya sebelum pilihanraya umum diadakan. Dengan cara itu apa jua kesilapan yang berlaku dalam sesebuah kementerian tidaklah menjadi isu dalam pilihanraya kerana menterinya sudah bertukar.

17. Saya telah dilantik menjadi Menteri Pertanian sebelum PRU tahun 1995? Dan negeri yang berada di bawah pembangkang pada waktu itu ialah Kelantan. Sudah tentulah negeri yang pertama saya lawati ialah negeri Kelantan, khususnya kawasan Bachok. Sekitar 1,000 orang telah hadir dalam perjumpaan itu yang terdiri dari pekebun-pekebun kecil kelapa, ketua dan ahli jawatankuasa UMNO semua peringkat dan kakitangan kerajaan yang kebanyakannya guru-guru.

18. Setelah kira-kira setengah jam saya bercakap seorang pekebun kelapa, Haji Man,  telah bangun mengangkat tangan di tengah-tengah para hadirin sekalian. Saya berhenti bercakap untuk mendengar pertanyaannya yang kira-kira begini ' Ambo nak tanya satu soalan sahaja fasal ambo terpaksa tinggal tempat ini kerana ada janji di Kota Bharu. Soalan ini ambo dah tanya semua Menteri Pertanian sebelum Dato'. Bolehkah Dato' usahakan supaya harga kelapa naik. Ambo dah bosan dengan janji Menteri-Menteri dulu tapi tak se naik,' Saya pun menjawab sebelum Haji Man duduk dengan kata-kata 'Insya Allah sekali lagi saya datang ke sini harga kelapa sudah naik.' Haji Man meneruskan ' Ambo nak beri amaran, selagi harga kelapa tak naik Dato' tak usah datang lagi ke Bachok ini." Saya jawab 'Insya Allah'.

BANK DUNIA MENGANGGAP KELAPA SEBAGAI 'SUNSET CROP'

19. Sebaik sahaja saya duduk kerana selesai berucap maka Ketua Pengarah Pertanian di waktu itu Dato' Abu Bakar Mahmud telah membisik kepada saya bahawa saya telah membuat satu kesilapan besar dengan janji untuk menaikkan harga kelapa kerana, katanya, Bank Dunia telah mengklafikasikan kelapa sebagai 'sun-set crop' atau 'buah senja' kerana ianya tidak memberi harapan di bidang ekonomi bukan sahaja kerana saingannya dengan kelapa sawit tetapi juga kerana santannya mempunyai kolestrol yang tinggi. Bank Dunia akan menghapuskan subsidi untuk pekebun kelapa mulai tahun hadapan. Saya menjawab 'Kalau begitu inilah kali terakhir kita ke Kelantan.'

21. Berikutan dengan janji saya kepada Haji Man inilah maka usaha dijalankan sehingga pada hari ini kelapa sudah menjadi satu hasil tanaman yang sangat menguntungkan dan air kelapa adalah satu minuman yang paling popular di dalam negara dan harganya juga sudah naik dan ekonomik menanam pokoknya. Di seluruh Tenggara Asia pekebun kelapa telah menanam semula kelapa kerana klasifikasi Bank Dunia bahawa kelapa 'sunset crop' ternyata salah.

22. Waktu Dato' Haris Salleh menjadi Ketua Menteri Sabah saya pernah melihat di lapangan terbang Kota Kinabalu nama 'Sanusi's juice' dalam menu minuman dalam restoran di situ. Begitulah popularnya ayer kelapa muda.

MAKANAN - KEMPEN MAKAN IKAN BERLAUK NASI

23. Setelah menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Pertanian dan Makanan sedunia, yang menjadi anggota FAO (Food and Agriculture Organization) di Rom, Itali perhatian saya telah tertarik kepada pentingnya makanan untuk rakyat Malaysia. Saya diberitahu bahawa waktu Jepun menyerang Malaysia dalam Perang Dunia ke 2 tentera-tentera Jepun pendek-pendek belaka. Tetapi kini ada Jepun yang terus meninggi sehingga terpaksa dibedah untuk memberhentikan progres ketinggiannya. Katanya perkembangan begini adalah kerana makanan mereka sekarang.

24. Saya perhatikan banyak tabiat memakan orang Melayu yang merugikan. Umpamanya, kita dapati di kalangan masyarakat nelayan mereka akan menjual ikan mereka untuk menggunakan wang untuk membeli ikan masin. Jika ikan terlalu banyak ditangkap mereka jadikan ikan selebihnya sebagai baja. Oleh kerana mereka bekerja kuat maka mereka akan makan nasi dengan longgokan yang cukup banyak di dalam pinggannya. Untuk menggalakkan mereka supaya lebih memakan ikan dengan mengurangkan memakan nasi maka kementerian telah perkenalkan slogan 'Makan Ikan Berlauk Nasi' sebagai ganti kepada amalan 'makan nasi berlauk ikan'.

25. Mengikut satu pembacaan adalah didapati ikan ialah jenis makanan yang membantu dalam membaiki daya fikir manusia. Wallaahu'alam.

TUKUN TIRUAN DARI TAYAR TERPAKAI

26. Sementara kempen untuk banyak memakan ikan dijalankan pihak jabatan perikanan juga telah menjalankan kajian untuk mencari jalan supaya ikan di laut bertambah banyak. Setelah mendapati ikan itu memberi respon yang cukup menggalakan kepada getaran laluan ombak air dalam lautan maka, untuk menambah tangkapan ikan kementerian telah melancarkan program memungut tayar buruk atau tayar terpakai di seluruh negara. Tayar yang dihimpun itu telah diikat di perut lautan untuk dijadikan 'tukun tiruan'. Bagi setiap satu tukun tiruan 50,000 tayar terpakai telah disusun-ikat oleh pasukan 'frogman' jabatan perikanan dengan susunan yang boleh mengeluarkan bunyi getaran yang dikehendaki apabila air berlalu, yang dapat menarik ikan. Ratusan juta ringgit nilai ikan telah ditangkap setelah beberapa buah tukun tiruan yang menggunakan tayar buruk telah dibina.

27. Lanjutan dari usaha menambah penangkapan ikan, dan memandangkan kepada betapa kurangnya minat anak muda untuk menjadi nelayan laut dalam, maka satu program telah diadakan untuk mewujudkan Angkatan Nelayan Laut Dalam atau ANLD. Mereka dilatih di pusat-pusat latihan nelayan di dalam negara.

28. Sementara menunggu kepakaran tempatan terlatih satu program kerjasama perikanan laut dalam telah dilancarkan di Kuantan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir dan Prem Tinsulanonda, Perdana Menteri Thailand. Melalui program ini 50 lesen bot laut dalam telah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan untuk mengusahakan secara usahasama antara syarikat Bumiputra Malaysia, yang memiliki lessen, dengan syarikat milik orang-orang Thailand yang memiliki bot. Berbagai syarat ditentukan seperti bot-bot dibekalkan oleh pihak Thailand sementara pihak Malaysia hanya mendapatkan lesen. Semua ikan yang ditangkap hendaklah diturunkan di pelabuhan Malaysia dan pekerja Malaysia hendaklah diberi peluang apabila saja terdapat yang terlatih dari kalangan ANLD.

29. Setelah saya meninggalkan kementerian saya mendapat tahu bahawa projek usahasama swasta ini telah gagal kerana (a) pengurusan wang yang tidak cekap di pihak kita, (b) pekerja dari ANLD tidak sanggup bekerja lama, sehingga lebih 2 minggu sebelum bot mendarat, (c) rakan kongsi yang tidak selalu jujur dan (d) persengketaan antara pemegang saham sesama Melayu.

BERUBAT JANTUNG DI AMERIKA SYARIKAT

30. Saya telah diserang penyakit jantung sebaik saja saya mendengar keputusan mahkamah tinggi yang mengharamkan UMNO pada tahun 1987. Oleh kerana kepakaran di bidang angioplasty hanya baru saja diperkenalkan di Malaysia maka dari Subang Jaya Medical Center rakan-rakan sekelas dengan saya waktu belajar di Hamburg, Jerman Barat, telah membiayai perbelanjaan saya ke San Francisco Heart Institute untuk dirawat oleh Dr. Myler iaitu salah seorang dari 4 orang yang menemui dan memperkenalkan procedure angioplasty ke dunia perubatan. Yang tiga orang lagi ialah Dr. Hertzler, Dr. Grundig dan Dr. Stetzer.

31. Keempat orang mereka telah berpindah dari Switzerland ke Amerika Syarikat untuk membuka klinik di sana. Tiga orang, selain Dr. Myler, berpraktik di Mid-America Heart Institute di Kansas City.

HAIWAN ARNAB PALING RENDAH KOLESTEROL

32. Sepanjang masa saya berada di rumah sakit saya sempat membaca beberapa buah buku mengenai penyakit jantung yang umumnya tertumpu kepada masalah kolesterol yang menjadi penyebab utama berlakunya penyakit itu. Saya dapati antara haiwan yang boleh dimakan yang mempunyai kolesterol yang terendah ialah arnab.Jauh lebih rendah kolesterolnya daripada daging ayam. Di situlah bermulanya rancangan menternak arnab dan 'Kempen makan daging arnab.' Tetapi saya mohon maaf kerana saya sendiri tak berselera, atau sampai hati, memakan satay arnab, disebabkan anak-anak saya turut menternak arnab sebagai hobi di rumah.

PERBEZAAN ANTARA KAMBING DAN KAMBING BIRI-BIRI

33. Dalam mempelajari mengenai penyakit jantung dan jenis makanan yang membahayakan kerana kandungan kolesterol yang tinggi saya terbaca mengenai kambing dan kambing biri-biri yang di Indonesia dipanggil dumba. Walau pun nama hampir sama perbezaannya ialah sementara kambing memakan kulit pokok getah kambing biri-bira pula tidak makan kulit pokok getah.

34. Sepatutnya apabila pihak British membawa benih pokok getah dari Brazil mereka patut memperkenalkan kambing biri-biri sebagai haiwan ternakan di dalam ladang-ladang getah di Malaysia. Malangnya, samaada sengaja atau tidak sengaja, kambing biri-biri telah diperkenalkan sebagai haiwan ternakan di Australia dan New Zealand sementara kambing yang memakan kulit pokok getah pula diperkenalkan di Malaysia. Dengan sendirinya ladang getah yang begitu luas tidak dapat dimunafaatkan untuk sekaligus dijadikan ladang ternakan kambing biri-biri.

YUSOF CHONG

35. Dalam satu majlis di Pusat Ternakan Perikanan Pulau Sayak, Telok Amboi, Kota Kuala Muda, Kedah satu penemuan penting telah berlaku. Di waktu saya hendak ke bilik air saya melalui kawasan dapur kompleks berkenaan. Pada waktu itulah saya terdengar suara Nat King Cole dengan nyanyian suara yang merdu. Saya fikir itu bunyi tape-recorder sehinggalah saya terdengar Nat King Cole batuk. Saya pun melihat melalui tingkap ke arah suara penyanyi itu. Saya terkejut melihat tukang masak sedang goreng ikan sambil menyanyi dengan nada yang agak serius dan menarik. Sekembalinya saya ke tempat acara saya telah bertanya pada Dato' Shahrom Majid, (adek ipar Tan Sri Rashdan Baba) yang menjadi Ketua Pengarah Perikanan di waktu itu dan diberitahu bahawa tukang masak yang terkenal sebagai penyanyi itu dipanggil Yusof Chong.

36. Saya telah meminta Yusof Chong ditukar ke Ibu Pejabat Perikanan di Kuala Lumpur dan saya ingin bertemu dengannya apabila Yusof sudah sampai ke Kuala Lumpur.

37. Bersama dengan sahabat saya Allahyarham Hamdan Sulaiman ( adek rakan sedarjah saya Dato' Zahari Sulaiman iaitu mantan Eksekutif Kanan Bank Koperasi Rakyat Malaysia yang sebelumnya berkerja di bahagian penyelidikan Jabatan Perdana Menteri) kami sependapat bahawa bakat menyanyi, dan meniru suara-suara tokoh negara, adalah tersia-sia, jika tidak dimunafaatkan, kerana kemampuan Yusof Chong sebagai seniman begitu terserlah.

38. Dalam minggu yang sama, dalam majlis jamuan Kementerian Pertanian yang dihadiri oleh ramai pegawai dan kakitangan kementerian saya berkesempatan mendengar pegawai-pegawai berduet dengan isteri masing-masing dan mendendangkan berbagai lagu klasik dan moden dengan kebolehan yang luar biasa. Ada antara mereka yang mempunyai suara yang, jika mereka bukan isteri pegawai tinggi, boleh menaikkan mereka ke tahap seniman di peringkat nasional.

SENITANI

39. Gabungan kebolehan Yusof Chong dan kemampuan keluarga Kementerian Pertanian dalam bidang seni dan budaya telah menelurkan ide untuk mewujudkan satu pasukan Senitani Kementerian Pertanian. Walau bagaimana pun pasukan Senitani tidak boleh hanya dijadikan pasukan hiburan tetapi lagu-lagu dan lakunannya hendaklah dari yang boleh menasihati dan merobah sikap para petani, penternak dan nelayan ke arah membasmi kemiskinan.

40. Saya telah melihat bagaimana seniman seperti Jamal Kerdil, Jamali Sadat dan Oz sangat digemari oleh orang-orang muda, dewasa dan tua, walaupun dalam adegan lawak mereka terdapat teguran-teguran yang bermakna untuk masyarakat. Yusof Chong juga boleh memainkan peranan yang sama, lebih-lebih Yusof juga boleh menyanyi lagu-lagu yang menarik dan penuh nasihat.

41. Sebagai Menteri yang mempengerusikan Jawatankuasa Pusat Menyambut Hari Kebangsaan saya telah memikirkan untuk dijadikan bidang seni budaya sebagai satu agenda dalam menyambut Hari Kemerdekaan pada setiap 31 Ogos. Maka wujudlah program tahunan yang merupakan satu pertandingan persembahan kesenian dan kebudayaan antara semua kementerian. Hanya pada tahun pertama acara ini diadakan pasukan Senitani telah mengalahkan pasukan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Selepas itu kementerian-kementerian lain telah memenangi pertandingan.

42. Pasukan Senitani telah membuat persembahan di dalam majlis di seluruh negara dan persembahan mereka memberi kesan pengajaran yang berfaedah untuk masyarakat pertanian, penternakan dan perikanan. Yusof Chong akhirnya menjadi seorang seniman yang terkenal dan saya membenarkannya untuk berhenti dari menjadi tukang masak dan mencebur diri sepenuhnya dalam bidang seni budaya asalkan beliau berjanji untuk turut serta dalam acara-acara pasukan Senitani.

43. Begitu bijak Yusof Chong meniru suara-suara tokoh Malaysia bercakap sehingga dalam satu kes yang melibatkan satu rakaman perbicaraan antara seorang tokoh politik terkenal dengan isteri temannya yang ingin dinodainya, maka untuk mempertahankan dirinya perkataan fitnah telah diulang-ulangkan oleh beliau dan beliau mendakwa suaranya itu adalah tiruan oleh Yusof Chong. Maka penyokong-penyokongnya yang sentiasa menganggap apa saja pendedahan mengenai salahlaku tokoh ini sebagai fitnah lebih mudah berhujjah dengan adanya Yusof Chong. Yusuf telah menafikan pernah cuba menodai isteri orang dan tidak pernah berlakon adegan sedemikian.

MERA'IKAN SWASTA YANG BERJAYA

44. Di waktu saya ke Korea Selatan untuk mewakili Malaysia di hari pertabalan Presiden barunya saya telah diberi antara lain, sebuah buku yang menunjukkan cara negara itu merayakan Hari Kebangsaan mereka. Dari buku itu saya dapati ada cara yang menarik yang akan mendekatkan kerajaan dengan swasta dalam program hari kebangsaannya iaitu dengan mera'ikan syarikat-syarikat yang (1) terbanyak pekerja dan (2) terbanyak membayar cukai pendapatan, Pengaruh dari perhubungan dengan pemimpin Korea Selatan maka Perbarisan pekerja-pekerja yang mewakili syarikat yang paling banyak pekerja dan paling banyak membayar cukai, telah dijadikan acara tahunan menyambut ulangtahun hari kemerdekaan.

SEBAB KITA TIDAK TANAM PADI SECUKUPNYA
UNTUK KEPENTINGAN NEGARA

45. Dalam perkara penanaman padi secukupnya untuk negara selalunya timbul pertanyaan atas sebab dengan begitu banyak tanah, khususnya di Sabah dan Sarawak, kenapa kita tidak tanam padi secukupnya sendiri. Kenapa perlu impot beras.

IMPOT LEBIH MURAH

46. Perkara ini telah dibahaskan dengan panjang lebar di semua peringkat pegawai dan kakitangan Kementerian Pertanian dan juga di peringkat ahli-ahli akademik khususnya pakar-pakar ekonomi dan pertanian. Perhitungan yang dipertimbangkan ialah kos pengeluaran padi dalam negara jika dibandingkan dengan harga padi yang boleh diimpot dari China, Cambodia, Vietnam, Myanmar, Thailand dan Indonesia. Oleh kerana pada masa itu harga padi atau beras impot lebih murah dari harga pengeluaran tempatan adalah lebih ekonomik untuk tidak menanam sendiri semua keperluan.

47. Selain itu kita juga memikirkan faktor perdagangan antara Malaysia dengan negara-negara yang mengekspot beras ke negara kita. Oleh kerana negara kita sudah pun mempunyai banyak kilang yang mengeluarkan berbagai produk seperti telivisyen, peti sejuk, cerek, komputer dan lain-lain; maka untuk boleh mengekspot pengeluaran ini ke negara-negara jiran kita perlu membeli beras dari mereka supaya mereka mempunyai dana untuk membayar harga impot barang-barang kita ke negara mereka.

48. Tetapi, oleh kerana negara-negara pengekspot beras tersebut kini sudah pun mengeluarkan sendiri hasil-hasil industri yang dulunya mereka impot dari kita maka strategi ini tidak perlu menjadi perhitungan lagi.

FAO - 'FOOD SECURITY'

49. Walau bagaimana pun negara perlu mengeluarkan padi sendiri setakat yang ditentukan di bawah keperluan 'food security' atau 'keselamatan makanan' sebagaimana yang telah disepakati oleh anggota FAO ( Food and Agriculture Organization ) yang beribu pejabat di Rom, Itali. Walau pun tahap pengeluaran 'food security' ini boleh dipertikaikan kerana banyak negara seperti Singapura tidak pun mempunyai sawah untuk tanaman padi, dan pertimbangan 'food security' tidak relevan difikirkan oleh mereka.
 
MENANAM PADI DI LUAR NEGARA

50. Dalam memikirkan perkara inilah maka timbul akal untuk perbadanan atau syarikat di Malaysia menanam padi di luar negara, baik di China atau di Africa sekalipun. Apabila pengumuman ini tersebar di dalam media massa, sehingga ke peringkat antarabangsa, saya telah menerima tawaran dari wakil kerajaan Hainan di China untuk Malaysia menanam padi di atas tanah seluas ratusan ribu ekar. Kita juga terfikir untuk menanam pada di Cambodia dan Vietnam. Tawaran dari Hainan ini menimbulkan masalah apabila masyarat penanam padi yang berasal dari China di kawasan pantai di Selangor telah menghantar wakil mereka untuk menuntut kembali kawasan tanah yang ditawarkan di China yang, mengikut mereka, adalah milik nenek moyang mereka. Di sinilah terhentinya rancangan ini. Akhirnya LPN telah terlibat, secara langsung atau tidak langsung, menanam pada di sebuah negara (saya dah lupa namanya) di Afrika.

IDE KITA DIPAKAI PIHAK LAIN

51. Saya mendapat tahu bahawa ide ini telah disambut baik oleh Singapura yang kini mempunyai ladang pertanian, termasuk padi, di salah sebuah negara ASEAN dan juga di India. Dengan menjadi pengeluar hasil pertanian maka Singapura kini berkelayakan menjadi anggota FAO.

HARGA BAHAN PERTANIAN KERANA KOS KENDERAAN

52. Dalam berinteraksi dengan pakar-pakar dalam bidang pertanian saya dapati kos hasil pertanian yang dipasarkan di Paris, Peranchis adalah hasil pengeluaran dari Itali, Sepanyol dan negara-negara lain di Eropah. Lebih 60 peratus dari kosnya ialah kerana upah kenderaan yang membawa bahan makanan itu. Ada komentar yang saya dengar bahawa besar kemungkinan bahawa di satu masa nanti makanan akan di tanam dalam bangunan bertingkat apabila upah pengangkutan bertambah tinggi, sehingga lebih ekonomik ditanam sendiri dalam bangunan bertingkat.

TANAM PADI ATAS BUMBUNG

53. Sekitar waktu inilah saya sempat ke Babylon di Iraq dan melihat bagaimana konsep menanam bunga di dinding Babylon yang dilakukan di zaman dahulu. Dalam blog ini juga telah saya jelaskan mengenai pengalaman saya di Taiwan yang mencetus ide untuk mencoba menanam padi di atas bumbung yang sangat hebat dikritikkan.

SUBSIDI PADI

54. Antara hujjah yang diketengahkan untuk tidak menambah kawasan menanam padi ialah kerana industri menanam padi dianggap sebagai industri kemiskinan. Pandangan ini berlandaskan kepada perlunya subsidi yang begitu tinggi untuk beras dalam negara ini dan antara rakyat yang miskin di negara ini adalah petani dan penanam padi.

PEKERJAAN BANYAK ATAS TANAH UNTUK INDUSTRI

55. Jika seorang petani memiliki atau menyewa tanah seluas 3 relong dia hanya dapat memberi pekerjaan bermusim kepada sekitar 4 hingga 6 orang pekerja sahaja, sedangkan jika sebuah kilang didirikan atas tanah yang sama luasnya, ratusan peluang pekerjaan dapat diadakan.

PENYESUAIAN DENGAN KEADAAN SEMASA - ESTET PADI

56. Memandang kepada krisis makanan yang bakal timbul dalam masa yang singkat Malaysia perlu menimbangkan cara menanam padi mengikut teknologi tinggi di dalam ladang gergasi dan perlu dihidupkan semula ide menanam pada atas bumbung, dan sayur-sayuran dan buah-buahan di dalam bangunan sebagaimana yang sedang dilaksanakan di Amerika Syarikat, di Eropah dan di China sekarang ini. Mudah-mudahan penanaman padi secara estet dapat membetulkan konsep bahawa tanaman padi adalah industi kemiskinan


DARI MENANAM SAYUR KEPADA MENANAM BUNGA

57. Dalam satu lawatan saya ke Amsterdam di negeri Belanda saya telah dibawa melawat pasar bunga tulip yang terbesar yang pernah saya lihat. Di situ saya diberitahu bahawa setiap pagi dan petang kapalterbang Boeing 747, tanpa kerusi untuk penumpang, mengangkut bunga-bunga tulip itu untuk dibawa ke Chicago bagi pengedaran di Amerika Syarikat. Saya juga dimaklumkan bahawa Hong Kong juga adalah sebuah destinasi bunga yang paling laris.

58. Dalam satu pertemuan antara Singapura dan Malaysia mengenai pengimpotan sayur-sayuran khususnya tomato pihak Singapura telah menegur pembekal sayur dari Malaysia supaya tidak mengguna pesticide. Mereka juga tidak ingin mengimpot tomato yang ada tanda-tanda telah diketit oleh semut atau serangga. Ini merupakan satu masalah untuk petani di Cameron Highland kerana untuk menghindar dari dihinggap oleh serangga atau semut mereka perlu menggunakan racun tetapi pihak Singapura tidak mahu racun serangga diguna sama sekali. Apabila perkara ini diberitahu kepada saya maka saya telah mencadangkan supaya penanam sayur di Cameron Highland menukarkan kegiatan dari kegiatan menanam sayur kepada menanam bunga untuk pasaran Hong Kong, Taiwan dan Jepun. Dengan cara berdikit-dikit kita tidak bergantung lagi kepada pasaran Singapura yang begitu cerewet.

59. Ide ini pada mulanya ditentang oleh penanam sayur di Cameron Highland kerana kegiatan menanam sayur telah mereka warisi dari nenek moyang mereka sejak di negara China lagi. Secara kebetulan pada waktu pemikiran untuk merubah kegiatan menanam sayur kepada menanam bung dibahaskan sebuah rumah bersekali dengan tanaman sayurnya di Cameron Highland telah terbakar. Kita ambil kesempatan ini untuk membantu yang kurang bernasib baik untuk menukar kegiatannya dari menanam sayur kepada menanam bunga. Masyarakat tani umumnya tidak dapat belajar dari ceramah dan syarahan dalam bilek darjah; mereka cepat belajar apabila mereka melihat bukti dari ide atau satu-satu percakapan itu. Kini usaha menanam bunga begitu giat dikerjakan di Cameron Highland.

'CINTA-TANI' ATAU 'AGRO-LOVE'

60. Oleh kerana pengeluaran bunga pada waktu itu baru bermula maka kementerian terpaksa mengembangkan pasaran tempatan. Teringatlah saya kepada kedai-kedai petrol yang bertaburan di England di waktu saya belajar dahulu di sana. Saya dapati setiap kedai jual petrol mempunyai pelantar atau 'shelf' untuk menjual bunga. Hasil pakatan dengan Ketua-ketua Eksekutif syarikat minyak di negara ini maka beberapa buah kedai telah mengadakan pelantar untuk jualan bunga. Program ini dinamakan 'Agro-love' atau 'Cinta-tani'. Iaitu satu kempen untuk menggalakkan para suami untuk berhenti di kedai petrol dan sementara mengisi minyak kereta mereka turut memilih sekuntum atau seberkas bunga untuk dibawa pulang untuk isteri tercinta yang sedang menunggu di rumah.

61. Program 'Cinta-tani' ini terhenti apabila hasil tanaman bunga bertambah sehingga dapat dipasarkan di pasaraya-pasaraya dan kemudiannya diekspot ke luar negeri. Ada cerita yang menyatakan bahawa ramai juga isteri yang tertanya-tanya atas sebab perubahan tabi'at sang suami dengan tidak semena-mena membawa balik bunga yang sejak menikah dulu tidak pernah dilakukan.

62. Walau bagaimana pun urusan menanam bunga sebagai ganti kepada sayur, di mana mungkin, telah menjadi popular di kalangan petani-petani.

MASALAH BABI

63. Dalam satu Perhimpunan Agung UMNO saya telah seolah-olah mengeloh dengan kata-kata yang bermaksud bahawa saya tidak pernah terfikir akan bertanggungjawab ke atas masalah babi dalam penghidupan saya di dunia. Tetapi, dalam pertemuan Menteri-Menteri Pertanian ASEAN masalah impot-ekspot babi telah diperbincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa kecil.

64. Tanpa mengetahui persoalan dengan sedalam-dalamnya Malaysia telah bersetuju membenarkan babi daripada Thailand dibawa dengan lori dari Thailand ke Singapura melalui Malaysia. Kita tidak nampak sebarang masalah pada keputusan ini asalkan babi dari Thailand itu dibawa dalam lori tertutup dan tidak pun disedari oleh rakyat Malaysia mengenai perjalanannya.

65. Sekitar waktu ini isteri saya, setelah mempunyai lima orang anak yang masih kecil, telah membuat keputusan untuk meneruskan pengajian post-graduate dalam bidang arkitek di Universiti Teknologi Malaysia. Beliau, pada mulanya tinggal dalam sebuah kawasan perumahan yang berdekatan dengan kebun getah. Pada satu pagi satu ternampak sekumpulan anak pinak babi berkeliaran melintas jalan dalam kawasan perumahan itu. Keadaan ini agak aneh dan baru belaku dalam masa yang singkat di waktu itu.

66. Sekembali dari Skudai saya telah meminta pegawai haiwan menyelidik sebab berlakunya babi berkeliaran dalam kawasan perumahan. Kebetulan dalam industri penternakan babi ada seorang Melayu yang turut terlibat. Beliau berpendapat yang diharamkan ialah memakan daging babi dan bukan memeliharanya. Semoga tidak ramai Melaayu yang sedemikian. Hasil kajian memerlukan saya bertemu dengan jawatankuasa persatuan penternak babi Malaysia.

67. Dalam pertemuan itulah saya diberitahu oleh peserta mesyuarat bahawa daging babi dari Thailand lebih digemari oleh pasaran Singapura. Apabila mesyuarat ASEAN membenarkan babi dari Thailand dibawa ke Singapura melalui Malaysia maka kos babi, kos dan masa pengangkutan membuatkan babi dari Malaysia kehilangan pasaran di Singapura. Babi yang tidak ada pasaran itulah antara yang saya lihat dalam kawasan perumahan di Skudai.

68. Pada peringkat awal faktor kos dianggap sebagai terpenting dalam kejadian di atas. Tetapi, apabila seorang tauke dari Indonesia telah membangunkan sebuah ladang babi termoden di sebuah pulau yang berdekatan dengan Singapura, perniagaannya tidak laris walau pun masa dan pengangkutan dan kos babi, kerana cara penternakan modennya agak efisien, lebih rendah dari kos dan masa pengangkutan dari Thailand.

69. Jawapan yang saya terima mengenai perbezaan antara daging babi dari Thailand, Malaysia dan Indonesia ialah daging yang paling sedap datangnya dari Thailand dan Malaysia duduk di tangga kedua di depan Indonesia. Apabila melihat gambar-gambar ladang saya membuat kesimpulan bahawa lebih kotor cara penternakan maka lebih sedap dagingnya. Itulah sebabnya daging babi dari ladang termoden berteknologi tinggi di Indonesia susah untuk dipasarkan.

IMPOT DAGING LEMBU UNTUK 'STEAK' ATAU MASAKAN 'CURRY'

70. Mengenai daging lembu pula saya hanya mengetahui ada bezanya antara sumber daging lembu yang diimpot untuk masakan 'curry' dan untuk dijadikan 'steak'. Daging untuk steak diimpot dari Negara maju seperti New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat. Kini Jepun pun sudah mengekspot daging lembu halalnya ke Malaysia untuk steak. Daging untuk steak lebih mahal dari daging untuk 'curry' yang diimpot dari India. Daging untuk 'steak' agak lembut dan rupanya juga cantik dilihat. Lembu untuk steak itu dipelihara khusus untuk tujuan diekspot untuk 'steak'.

71. Keadaannya berbeza dengan daging lembu untuk 'curry' yang diimpot dari India. Sebagaimana diketahui jumlah lembu ternakan di India lebih banyak dari jumlah penduduk India sendiri. Malangnya, orang-orang India yang berugama Hindu tidak boleh makan daging lembu yang menjadi haiwan sembahan dan keramat bagi mereka. Mereka yang kuat dengan fahaman Hindu lebih rela mati kelaparan dari makin daging lembu. Oleh itu lembu-lembu tua yang menarik kereta lembu akan terserah atau tertinggal untuk orang-orang India yang berugama Islam untuk menyembelihnya untuk diekspot. Itulah sebabnya daging lembu dari India keras jika dibandingkan dengan daging lembu dari Negara-Negara maju. Oleh kerana daging lembu impot dari India dimasak sebagai 'curry' masalah kerasnya tidak menjadi penghalang kepada kita memakannya.

LADANG TERNAKAN LEMBU DI INDIA MILIK JUTAWAN ARAB

72. Pada satu hari saya telah dihubungi oleh pegawai Kedutaan Kerajaaan Saudi Arabia untuk membuat temu-janji dengan pelawat dari Negara mereka. Ternyata pelawat dari Saudi Arabia itu bukan ulama tetapi jutawan yang menghadapi masalah kerana berlakunya peperangan antara Iraq dan Iran. Di waktu peperangan Iraq-Iran ini kerajaan India telah memihak kepada Iran sementara kerajaan Saudi Arabia pula menyokong Iraq. Oleh kerana Saudi Arabia juga mengimpot daging dari India maka masalah timbul apabila Saudi Arabia menghalang pengimpotan daging lembu dari India yang begitu banyak. Saya menjadi kehairanan kerana saya tahu di Saudi Arabia orang Arab tidak masak 'curry' daging lembu.

73. Ternyata daging lembu yang diimpot ke Saudi Arabia ialah daging untuk 'steak' dari ladang yang besar-besar dan moden di India yang dimiliki oleh saudagar Arab atas nama isteri kedua mereka dari kalangan jelitawan atau celebrity di sana. Dengan sekatan impot daging dari India maka mengamoklah jelitawan India yang sangat tercinta itu. Inilah yang menjadi masalah besar bagi jutawan-jutawan Arab yang memerlukan Malaysia sebagai Negara transit atau persinggahan bagi daging lembu dari India yang hendak dibawa ke Saudi Arabia.
 
USAHA MEMBERSIHKAN PASAR BORONG DI MALAYSIA

74. Selain dari keputusan peringkat ASEAN yang melibatkan laluan babi dari Thailand ke Singapura ada lagi satu keputusan yang menimbulkan kontroversi yang melibatkan Thailand, Malaysia dan Singapura. Iaitu mengenai cara membawa ikan dari Thailand masuk ke Malaysia dan Singapura. Untuk jangkamasa yang cukup lama ikan dari Thailand dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan, dan seterusnya, melalui Malaysia, ke Singapura, dengan menggunakan tong yang dibuat dari kayu. Membuat tong ikan dari papan sudah menjadi satu perniagaan dan perusahaan yang besar di selatan Thailand.

75. Oleh kerana semua tong yang membawa ikan ke luar Thailand ditinggal di pasar destinasi maka kewujudan begitu banyak tong ikan menjadi satu beban di pasar-pasar borong di Kuala Lumpur dan Singapura. Oleh itu satu keputusan telah dibuat untuk menghalang tong kayu yang ditinggalkan di pasar borong destinasi untuk diganti dengan tong plastik yang perlu dibawa balik ke Thailand untuk diguna berkali-kali dalam urusan pengangkutan ikan. Dengan cara itu pasar borong ikan di Kuala Lumpur dan Singapura bersih dari peninggalan tong kayu oleh pembekal ikan dari Thailand.

76. Keputusan ini telah ditentang oleh pembekal papan untuk pembuatan tong kayu dan disambut oleh pembeli ikan Thailand di Kuala Lumpur yang turut bersimpati dengan pengusaha pembuatan tong kayu di Thailand. Keadaan hanya reda setelah pendedahan dibuat mengenai masalah mengesan senjata yang dibawa masuk dalam tong ikan dari kayu yang banyak memakai kayu dan pertukaran kepada tong plastik juga bertujuan untuk menyelesaikan masalah jenayah di dalam Negara yang kebanyakan senjata penjenayah itu datangnya dari Thailand.

77. Apabila pertukaran dari menggunakan tong kayu kepada tong plastik disebabkan untuk mengurangkan jenayah dan bukan hanya kerana kebersihan di pasar borong maka sokongan seluruh masyarakat telah diperolehi walau pun dari mereka yang tidak terlibat dengan urusan jual beli ikan di pasar borong.

BOT LAUT DALAM TAIWAN MEMILIH PENGKALAN DI PULAU PINANG

78. Dalam mengkaji perkembangan Malaysia di bidang perikanan didapati, selain dari ikan di lautan Malaysia dicuri oleh nelayan asing, minat nelayan Malaysia agak kurang untuk terlalu lama di lautan, pengkalan tempat berlaboh bot laut dalam yang tidak lengkap, ada satu keputusan yang merugikan Malaysia dari menyebabkan industri perikanan yang dulunya berkembang maju di Seberang Prai telah terkubur dengan keputusan itu.

79. Pada satu ketika dulu bot-bot perikanan laut dalam dari Taiwan dibenar mendaratkan tangkapannya di Pulau Pinang. Malangnya, setelah peristiwa penumpang bot dari Negara China komunis memutuskan untuk lompat ke dalam bot perikanan laut dalam Taiwan yang sedang cergas di Selat Melaka, pihak kerajaan, kerana ingin memelihara hubungan baik dengan China telah memutuskan untuk tidak membenarkan bot-bot Taiwan mendarat di Malaysia lagi.

80. Tanpa bekalan ikan yang mencukupi maka semua perusahaan mengetin ikan yang ada di Seberang Prai telah tutup dan berpindah ke Selatan Thailand. Dalam pertemuan dengan mereka saya mendapat jaminan mereka akan kembalikan industri berkenaan ke Malaysia jika cukup bekalan ikan. Sebagai Ahli Parlimen Langkawi saya telah mencadangkan supaya Pulau Langkawi mengadakan  pelabuhan yang sesuai untuk menerima pendaratan bot-bot perikanan laut dalam yang begitu banyak dari Taiwan.

81. Keputusan untuk mendaratkan bot-bot Taiwan di Langkawi telah dibatalkan dan dipindahkan ke Pulau Pinang kerana, sementara prasarana boleh diadakan di Langkawi tetapi ianya tidak dapat mengadakan kemudahan hiburan untuk nelayan-nelayan Taiwan yang ingin beristirihat setelah begitu lama di laut dalam. Kemudahan begini sebelumnya telah mereka menikmati apabila bot-bot mereka berlabuh di Selatan Thailand. Pulau Pinang memang lengkap dengan kemudahan sedemikian yang tidak ingin kita benarkan di Langkawi.


DASAR EKONOMI BARU - MEMBASMI KEMISKINAN

82. Membasmi kemiskinan adalah satu dari dua matlamat Dasar Ekonomi Baru. Matlamat lainnya ialah Menyusun Semula Masyarakat. Buat kali ini saya tumpukan perhatian kepada perkara membasmi kemiskinan.

83. Diwaktu melancar KOTAK AWAL MEMBASMI KEMISKINAN (1ST AID BOX FOR POVERTY ERADICATION) dalam satu majlis bersama anggota Lembaga Pertubuhan Peladang pada 2hb Oktober, 1989 saya telah menyatakan:
' ... bagi saya kemiskinan adalah pengalaman hidup, bukan satu khayalan ataupun satu latihan pemikiran akademik.

Bagi saya kemiskinan adalah seperti cinta, kasih, sakit dan pedih yang kita tidak boleh cerita sehingga orang terasa sendiri realitinya.
Keindahan lukisan ialah kerana kegagalan pelukisnya untuk
memberi gambaran yang tepat, dan jelas, seperti yang dilihat.

Begitulah indahnya kemiskinan, dan begitulah juga pedihnya kemiskinan
yang digambarkan di dalam lukisan dan dibaca dalam penulisan.'
Kita tidak boleh cerita mengenai percintaan sehingga menjadikan orang yang mendengarnya terasa macam orang yang sedang betul-betul bercinta.

Kita juga tidak boleh bercerita mengenai kesakitan sehingga orang yang mendengarnya turut merasa sakit.

Begitu juga kita tidak boleh bercerita mengenai kemiskinan sehingga orang yang mendengar merasa sama seperti orang miskin menderitainya.

Kemiskinan bukanlah satu tajuk yang boleh kita karang dengan gambaran yang tepat. Miskin, seperti suatu hasil seni, satu lukisan, bukannya sebuah gambar, atau foto, yang boleh tampak dengan jelas.
Begitulah indahnya kemiskinan; dan begitu jugalah indahnya kepedihan

( Petikan dari buku 'Perjuangan Yang Belum Selesai' terbitan Lembaga Pertubuhan Peladang )

TAMAN PERTANIAN SEBAGAI SALAH SEBUAH SEKOLAH
UNTUK MEMBASMI KEMISKINAN

84. Oleh itu bagaimanakah caranya kita mengajar masyarakat petani, perternak dan nelayan untuk keluar dari klasifikasi kemiskinan. Pengalaman saya sebagai individu yang pernah miskin ialah dengan menunjuk bukti bagi sesuatu kaedah dan bukan dengan memerintah, memberi arahan, membuat ucapan dan syarahan. Berasaskan pemikiran inilah maka saya telah membina Taman Pertanian Malaysia sebagai sebuah sekolah untuk menjadi tempat belajar, melalui contoh dan bukti mengenai apa yang boleh dikerjakan oleh masyarakat petani, penternak dan nelayan.

85. Oleh kerana projek ini memakan belanja yang besar dan perlu wujud secara 'viable' atau ekonomik maka pendekatannya ialah secara 'touristic' atau diwujudkan sebagai projek 'agro-tourism'. Untuk itu tempatnya hendaklah tidak jauh dari kota besar dan, jika boleh, berdekatan dengan lapangan terbang antarabangsa. Saya telah memberi garis panduan ini kepada pihak MARDI di bawah pimpinan Tan Sri Mohd Yusof Hashim.

86. Saya teringat ada dua proposal yang dicadangkan. Satu berdekatan dengan Lapanganterbang Sinai di Johor dan satu lagi di Shah Alam, Selangor berdekatan dengan Lapanganterbang Antarabangsa Subang. Walau bagaimana pun tanah di Shah Alam ini telah dirancangkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato' Ahmad Razali Mohd Ali sebagai tapak perumahan.

87. Saya telah dilantik menjadi Menteri Pertanian pada tahun 1986 iaitu sebelum Pilihanraya Umum ke 7 yang diadakan pada 3hb Ogos, 1986. Oleh kerana ada kemungkinan Menteri Besar Selangor akan berubah maka besar kemungkinan projek perumahan yang dirancangkan boleh dibatalkan. Tidak ada jalan lain untuk menjayakan projek ini kecuali dengan mendapat sokongan KDYMM Tuanku Sultan Selangor Sultn Sallehuddin.

KENAPA TAMAN PERTANIAN DAN BUKAN TAMAN BOTANICAL

88. Alhamdulillah, KDYMM Sultan Sallehuddin begitu positif menerima cadangan untuk mewujudkan Taman Pertanian di negeri Selangor. KDYMM Sultan telah bertanya kenapa diberi nama Taman Pertanian dan bukan Taman Botanical seperti yang ada di Singpura. Saya menjelaskan bahawa jika ianya dinamakan Taman Botanical maka persembahannya terbatas kepada aspek botanical atau tanaman sahaja. Sektor pertanian pula, mengikut definasi FAO di Rome merangkumi bidang penternakan dan perikanan walau pun dalam nama FAO (Food and Agriculture Organization - Pertubuhan Makanan dan Pertanian) ikan dan haiwan, dimasukkan dalam klasifikasi makanan atau 'food'. Alasan kedua ialah jika ianya diberi nama Taman Botanical maka ia akan menjadi Taman Botanical dari antara ribuan Taman Botanical di dunia ini. Sedangkan ianya boleh menjadi Taman Pertanian yang pertama di dunia. KDYMM Tuanku Sultan sungguh gembira dengan bayangan bahawa negerinya akan memiliki Taman Pertanian yang pertama di dunia. Baginda malah dapat menggambarkan Taman Pertanian akan membuat Selangor bertambah terkenal bukan sahaja dengan Selangor Pewter atau apa yang kini di namakan Royal Selangor.

TAMAN PERTANIAN YANG PERTAMA DI DUNIA

89. Sebagai seorang Sultan yang begitu peka dengan keindahan alam baginda telah berulang-kali menyebut perkataan 'first in the world ..... Selangor to have the first Agriculture Park in the world ..... Selangor will be visited by more tourists ..... Taman Pertanian ....... akan jadi sekolah untuk petani, penternak dan nelayan'. Taman Pertanian yang tadinya merupakan khayalan saya yang didukung oleh semua Ketua-ketua Jabatan dan Agensi di Kementerian Pertanian kini sudah menjadi satu impian indah kepada KDYMM Tuanku Sultan Selangor.

90. Sebaik sahaja KDYMM Tuanku Sultan Selangor menyatakan persetujuannya pihak MARDI dengan segera telah menyediakan pelan kasar pembangunan Taman Pertanian Bukit Cerakah Shah Alam yang telah di tandatangani oleh KDYMM Tuanku Sultan waktu kami mengadapnya di Padang Golf Sultan Sallehuddin di Shah Alam. Dengan komitmen KDYMM Sultan pihak Kementerian Pertanian merasa yakin projek perumahan yang dirancangkan itu akan terbatal begitu sahaja. KDYMM telah berjanji untuk memastikan siapa sahaja yang menjadi Menteri Besar Selangor akan menyokong projek ini.

KEBERANGKATAN TUANKU SULTAN DUA KALI KE TAMAN PERTANIAN

BUKIT CERAKAH MENJADI BUKIT CAHAYA SERI ALAM

91. Dua kali KBDYMM Tuanku Sultan telah berangkat mencemar duli di Taman Pertanian. Pada lawatan pertama KDYMM Tuanku telah menukar nama Taman Pertanian Bukit Cerakah kepada Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam sesuai dengan tempatnya di Shah Alam; mengikut cerita KDYMM Tuanku nama Bukit Cerakah itu ialah salah batang oleh pihak tentera Jepun yang banyak menerima kecelakaan di bukit itu, KDYMM Tuanku menjelaskan sambil ketawa berdekah-dekah.

92. Lawatan KDYMM Tuanku kali pertama memberi gambaran kepada kami bahawa Tuanku begitu minat mendengar burung menyanyi. Oleh kerana burung pula menyanyi jika cuaca agak dingin maka apabila KDYMM Tuanku membuat lawatan kedua KDYMM Tuanku telah masuk kebahagian dalam Taman Pertanian di mana KDYMM Tuan mendengar burung menyanyi di situ. Begitu khusyuk KDYMM Tuanku mendengar burung menyanyi KDYMM Tuan telah menunggu cukup lama di tempat yang sama sehingga sempat mendengar burung mengulangi nyanyian yang sama dari tape-recorder yang disediakan oleh Ketua Pengarah Haiwan Tan Sri Dato' Ahmad Mustafa Babjee. KDYMM Tuanku tersenyum kerana telah mengesyak ada sesuatu yang tak kena kerana burung mula menyanyi baik sahaja KDYMM Tuanku sampai di tempat itu.

TIDAK MENDAPAT KELULUSAN EPU DAN ICU

93. Pihak MARDI telah mengemukakan kertas projek kepada pihak Unit Perancang Ekonomi di Kementerian Kewangan dan Unit Pelaksanaan dan Penyelarasan di Jabatan Perdana Menteri untuk mendapat kelulusan. EPU menolak projek ini sebagai tidak ekonomik dan ICU pula menolaknya kerana bukan projek keutamaan, dan tidak prioriti. Oleh itu saya terpaksa menggunakan sumber dalaman untuk membangun projek ini.

94. Satu perjumpaan ketua jabatan dan agensi telah diadakan untuk memulakan pembangunan Taman Pertanian Malaysia. Oleh kerana saya pernah menjadi Ahli Parlimen yang menduduki Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara maka saya mengetahui hanya beberapa tahun setelah perbelanjaan untuk satu-satu projek itu dibayar barulah sebarang perbelanjaan yang tidak teratur disoal-selidik di dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. Banyak sekali pegawai yang telah membuat kesalahan telah pun dinaikkan pangkat dan dipindah kebahagian lain sebelum kesilapannya itu disoal-selidik. Oleh kerana perbelanjaan untuk Taman Pertanian ini belum diluluskan oleh EPU dan ICU maka saya terpaksa berunding dengan ketua jabatan dan agensi yang hampir bersara untuk membelanjakan peruntukannya supaya soal-selidik mengenai perbelanjaan yang tidak diluluskan ini tidak perlu dijawab oleh Ketua Jabatan dan Agensi berkenaan.

SOKONGAN KESELURUHAN PEGAWAI TINGGI KEMENTERIAN

95. Banyaklah perbelanjaan permulaan telah digunakan dari peruntukan Jabatan Perikanan kerana Ketua Pengarahnya Ungku Ubaidullah begitu yakin dengan projek ini dan sanggup membelanjakan peruntukan jabatannya untuk membangun tasik baru dan menyelia tasik yang sudah ada di Taman Pertanian. Ketua Jabatan Haiwan, Tan Sri Ahmad Mustafa Babjee dan Ketua Pengarah Jabatan Parit dan Taliair Tan Sri Shahrizzaila Abdullah juga gigih membangun kawasan yang dikhaskan untuk Jabatan Haiwan sementara Tan Sri Shahrizzaila menyediakan infrastuktur saliran dan perparitan di seluruh Taman Pertanian. Dato' Bakar yang di gelar Marios gigih di kawasan untuk tanaman buah-buahan. Apabila Dato' Shahrom Majid mengganti tempat Ketua Pengarah Haiwan dan Dato' Jamil Ali mengganti Ketua Pengarah Pertanian Dato' Bakar kegiatan bahagian masing-masing bertambah gigih lagi.

96. Agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di bawah Dato' Rahim, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan FAMA juga cergas dengan kegiatannya. Malahan LPP telah mengerakkan puluhan ribu peladang untuk bergotong royong dalam kumpulan yang bergilir-gilir untuk membangun Taman Pertanian Malaysia.

PENERBITAN BUKU

97. Banyak sekali buku-buku dan risalah-risalah yang diterbitkan oleh berbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian. Antara yang terpenting ialah hasil-hasil penyelidikan oleh pakar-pakar di bidang pertanian, perikanan dan penternakan yang diselenggarakan oleh jabatan-jabatan berkenaan dan MARDI.

98. Buku-buku yang disenaraikan di bawah ini telah khusus diterbitkan atas inisiatif ketua-ketua jabatan dan digalakkan oleh pejabat Menteri:

98a. Pertanian dalam Al Quran

Buku ini telah diterbitkan dengan tujuan untuk membuka hati pembaca dan kakitangan kementerian, dan orang-ramai betapa hebat petunjuk Allah s.w.t. kepada dunia pertanian. Sekaligus ia menyedarkan mereka yang kurang arif betapa Al Qur'an telah lebih awal menyatakan fakta-fakta sebelum ditemui oleh ahli-ahli sains.

Oleh kerana buku ini tidak terdapat di dalam Perpustakaan Toeti Juairiah maka penulis blog ingin membeli dari sesiapa yang mempunyai lebih dari satu buku ini, atau pun mendapatkan satu fotokopi untuk perpustakaan.

98b. Taman Pertanian

Buku ini, yang diurus penerbitannya oleh Tan Sri Ahmad Mustafa Babjee, merupakan dokumentasi bagi Taman Pertanian. Pihak pengunjung ke Taman dapat membandingkan keadaan taman ini sekarang.

98c. Rivers of Malaysia

Buku ini telah diterbitkan oleh Tan Sri Shahrilzaila di waktu kementerian melancarkan kempen "Cintailah Sungai Kita". Kekayaan bumi Malaysia yang indah dengan sungai-sungai yang mengalir dapat dihayati dengan mendalami buku ini.

98d. Waterfalls of Malaysia

Buku ini yang juga diterbitkan oleh Jabatan Parit dan Taliair bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai keindahan alam Malaysia dan menarik perhatian pengendali pelancungan untuk memelihara air-terjun yang ada untuk tarikan pelancung dari dalam dan luar negeri.

98e.. VIPs at the Park.

Di zaman kemuncaknya Taman Pertanian telah menjadi pusat yang popular bagi pelancong dari dalam dan luar negeri. Malahan ianya destinasi kedua yang paling popular selepas ibu kota Kuala Lumpur. Dengan terpaparnya gambar-gambar pelawat seperti DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan-Sultan, Maharaja Jepun, Perdana Menteri dan Menteri, dan para penyelidik, pemikir dari seluruh dunia ianya menunjukkan betapa hebat potensi untuk Taman Pertanian menjadi satu destinasi ilmu bagi seluaruh masyarakat dunia.

PERHATIAN.

Walaupun saya telah menulis dengan panjang lebar di sini, tetapi ianya belum merangkumi semua aspek, dan mungkin ada dari kalangan staf kementerian pertanian yang ingin saya tambah di sana-sini. Insya Allah saya akan terbitkan masukan blog ini dalam bentuk buku kecil untuk mereka yang berminat. Jika ada perkara-perkara yang pembaca ingin saya terangkan dalam buku kecil itu nanti sila sms kepada telefon bimbit saya atau terus menyebutkannya dalam komen di bawah. Saya akan tambah atau betulkan isi blog ini dari masa ke masa jika pengisian dan pembetulan atau penjelasan tidak begitu panjang.

Terima kasih.