Monday, December 23, 2013

KOPERASI - REVOLUSI TIDAK BERTUAN

Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.

Catatan di bawah ini adalah garis panduan kepada ucapan yang disampaikan dalam program 'BICARA TOKOH KOPERASI' anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diadakan di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 24hb Disembar, 2013.
 
Garis panduan ini adalah tambahan kepada 'talking points' yang pernah saya poskan dalam blog ini pada 19hb November, 2013 di bawah program 'BICARA TOKOH' yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cawangan Wilayah Persekutuan.
 
Bagi peminat koperasi saya cadangkan rujukan kepada masukan dalam blog ini pada 1hb Februari, 2012 atas tajuk 'Shamelin - Dihempas Badai Dilambung Gelombang'. Ianya ialah ucapan perasmian Mesyuarat Agung Shamelin yang saya sampaikan 32 tahun yang lalu, sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, pada hari Ahad 27hb Disember, 1981 di Dewan Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Apa yang saya katakan itu masih relevan untuk masa sekarang.
 
Sebagaimana biasa dalam ucapan saya di mana-mana banyak isinya yang terkeluar dari garis panduan yang disediakan. Walau bagaimana pun bahagian yang tercicir dari ucapan tidaklah bererti kurang pentingnya daripada isi ucapan yang dilafazkan. Ianya mungkin tercicir kerana keterbatasan masa atau kerana tuntutan keadaan di waktu berucap.

REVOLUSI

1. Berbagai jenis revolusi telah berlaku di dunia ini sepanjang zaman. Revolusi di Russia tercetus berpuncakan buku Das Capital karangan Karl Marx, revolusi di China berpandukan Buku Merah Mao Tse Tung, revolusi di Jerman berlandaskan buku Mein Kamph (My Struggle) karangan Adolf Hitler. Sementara revolusi di Iran, India, Indonesia pula bertuankan kepada pemimpin di sana seperti Ayatollah Rohullah Khomeini, Mahatma Ghandi dan Soekarno.
 
2. Revolusi di Peranchis dan di Amerika Syarikat pula berlandaskan kebencian kepada sistem yang bertuankan kepada raja di Peranchis dan penguasaan British dengan sistem monarkinya.
 
3. Berakhirnya semua revolusi ini ialah dengan tertubuhnya kerajaan di bawah pemimpin tokoh yang kemudiannya menubuhkan organisasi untuk memperkukuhkan pegangannya ke atas kepimpinan.
 
4. Sepanjang zaman, pemimpin pertubuhan dan kerajaan menjadi pemandu halatuju nasib rakyat.
 
5. Ada negara yang berjaya kerana kebijakan pemimpinnya tetapi banyak juga negara yang mundur atau hancur kerana ketidakmampuan pemimpinnya.

KEKAYAAN

6. Apakah sukatan kekayaan ekonomi dalam dunia sekarang. Tidak lain dan tidak bukan ialah duit.

7. Oleh itu seseorang yang tidak berduit dikatakan miskin
 
8. Dari manakah datangnya duit itu.
 
9. Ianya datang dari bayaran kerana pertukaran dengan barang atau perkhidmatan.
 
10. Duit atau wang dikatakan sebagai 'a medium of exchange' and 'a storage of values' yang bermaksud 'alat pertukaran' dan 'sukatan nilai'.
 
11. Duit diperolehi oleh yang menyumbang khidmat atau membekalkan keperluan. Sumbangan khidmat itu diberi kepada kerajaan, swasta atau badan sukarela. Barang keperluan juga dibekalkan kepada kerajaan, swasta atau badan sukarela.

MELAYU MAKAN GAJI DENGAN KERAJAAN
 
12. Oleh kerana orang-orang Melayu jarang berkesempatan memberi khidmat kepada swasta yang bukan Melayu maka khidmat yang disumbangkan oleh orang-orang Melayu kebanyakannya dibayar oleh kerajaan.

MELAYU JUAL HASIL PERTANIAN
 
13. Begitu juga dengan barang.
 
14. Oleh kerana orang-orang Melayu kebanyakannya terlibat dalam bidang pertanian atau industri kecil dan sedikit yang mampu menggerakkan industri yang mengeluarkan barang keperluan maka barang yang dibekalkan oleh orang-orang Melayu ialah hasil pertanian dan industri kecil dan industri kampung.
 
15. Berertilah pendapatan orang-orang Melayu adalah kerana khidmatnya kepada kerajaan dan jualan hasil pertanian dan industry kecil dan industri kampung.

KERAJAAN INSTITUSI TERBESAR
 
16. Oleh kerana kerajaan adalah institusi yang lebih besar jika dibanding dengan swasta, dan oleh kerana majoriti rakyat yang berkhidmat dengan kerajaan terdiri dari orang-orang Melayu berertilah orang Melayulah yang paling banyak memperolehi pendapatan atau mendapat wang atau duit dari kerajaan.

MELAYU MAJORITI BEKERJA DENGAN KERAJAAN
 
17. Jika sukatan kekayaan itu dibuat berpandukan jumlah mereka yang berkhidmat dengan kerajaan bererti oleh kerana orang Melayu yang terbanyak menerima wang atau duit dari kerajaan maka orang Melayulah yang boleh dikatakan sebagai orang kaya.
 
18. Tetapi, kenapakah orang-orang Melayu terkebelakang dari segi ekonomi dan kewangan.
 
 WARISAN PENJAJAH

19. Adalah satu pendekatan yang popular untuk menyalahkan penjajah kerana dasarnya yang mengenepikan keutamaan kepada orang-orang Melayu

20. Oleh itu kita pindah dari Dasar Ekonomi Bebas ke Dasar Ekonomi Baru.

CARA MELAYU MEMBANGUN NEGARA

21. Pendekatan secara desakan supaya kerajaan mengadakan berbagai institusi, program, cara dan dasar untuk membantu Melayu

22. Sejak Merdeka  kita sudah adakan:

22.1. Kongres Ekonomi Bumiputra Pertama dalam tahun 1965

22.2. Kongres Ekonomi Islam Pertama dalam tahun 1968

22.3. Kongres Ekonomi Bumiputra Kedua dalam tahun 1968

22.4. Kongres Ekonomi Islam Kedua dalam tahun 1972

22.5. Kongres Ekonomi Bumiputra Ketiga Yang Pertama dalam tahun 1980

22.6. Kongres Ekonomi Bumiputra Ketiga Yang Kedua dalam tahun 1992

22.7. Kongres Ekonomi Bumiputra Keempat dalam tahun 1999

22.8. Kongres Ekonomi Islam Ketiga dalam tahun 2009

TUMPUAN KEPUTUSAN KONGRES EKONOMI ISLAM DAN BUMIPUTRA

23.1. Kerajaan memperkenal RUKUNEGARA

23.2. Pengenalan Buku Revolusi Mental

23.3. Kerajaan tingkatkan taraf Sekolah Kebangsaaan khususnya di luar Bandar

23.4. Kerajaan ubahkan RIDA menjadi MARA

23.5. Kerajaan tubuhkan Pertubuhan Peladang

23.6. Kerajaan adakan kuota dalam kawasan pembangunan

23.7. Kerajaan tubuhkan Bank Bumiputra

23.8. Kerajaan ubahkan Maktab MARA jadi Institut Teknologi MARA

23.9. Kerajaan wujudkan Tabung Pembangunan Ekonomi Islam

23.10. Kerajaan wujudkan Tabung Kewangan Orang-orang Islam

23.11. Kerajaan tubuhkan Kompleks Kewangan dan Permodalan

23.12. Kerajaan tubuhkan Yayasan Sebaran Am

23.13. Kerajaan tingkatkan taraf pemborong Bumiputra

23.14. Kerajaan kempen 'peniagaan adalah ibadat'

23.15. Kerajaan awasi Bumiputra yang diperalatkan oleh Bukan Bumiputra

23.16. Kerajaan awasi Bumiputra menjual ekuiti di bawah dasar pengswastaan

23.17. Kerajaan perhatikan pembocoran dan penyelewengan dalam anugerah dan pemberian kontrak

23.18. Kerajaan mengawasi sikap mendapat pemberian dengan memperalatkan pengaruh politik

23.19. Kerajaan memantau sikap boros, enggan bayar hutang, malas dan tidak berdaya tahan

23.20. Kerajaan mengawasi penyelewengan dalam pemberian lesen

23.21. Kerajaan menyeru birokrasi supaya bersikap bersih dan beretika murni

23.22. Kerajaan perlu terapkan pendidikan Islam.

23.23. Kerajaan memerhatikan perkembangan ekonomi, kewangan dan perbankan Islam

23.24. Kerajaan membangun masjid sebagai pusat pembangunan

23.25. Kerajaan menubuhkan LUTH, FELDA, PNB dan PETRONAS
 
24. Adalah jelas bahawa pembangunan bangsa Melayu bergantung kepada peranan kerajaan.

KEADAAN MELAYU MASAKINI

25. Setelah 56  tahun Merdeka -

25.1. Genggaman kuasa politik semakin merosot

25.2. Pencapaian di bidang ekonomi mengecewakan

25.3. Masyakat Melayu Islam dilanda dengan keruntuhan moral

25.4. LGBT, Jenayah, Dadah menjadi-jadi

25.5. Rasuah, nepotisma, penyelewengan dalam tugas salahguna kuasa menjadi-jadi.

CABARAN

26.1. China tanya 'apa lagi Melayu mahu?'

26.2. Melayu tanya 'apa lagi China mahu?'

PERSOALAN

27.1. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin kerajaan,  telah gagal menyelesai masalah keamanan dunia

27.2. Pertubuhan negara-Negara G8 dan G20, yang diwakili oleh pemimpin-pemimpin kerajan Negara yang menjadi anggota,  telah gagal mengawasi ekonomi dunia.

27.3. Rata-rata kepercayaan rakyat atas kemampuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah mereka telah terhakis.

27.4. Kepercayaan rakyat kepada pemimpin sudah tipis.

CADANGAN UNTUK MASA DEPAN

PENGARUH BUKU

HAMKA

28. Dalam menghayati hidup sebagai seorang 'cooperator' saya sangat terpengaruh dengan buku yang saya baca pada tahun 1962 di waktu saya di Tingkat Enam Bawah di Kolej Melayu Kuala Kangsar.

29. Tujuk buku itu ialah 'Revolusi Ugama' karangan Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau singkatnya HAMKA. Kesan buku ini ke atas saya ialah mengenai 'perpaduan' sebagai senjata yang boleh menyelesaikan semua masalah umat. Butir isi buku ini saya sudah lupa.

30. Yang nyata bagi saya ialah survival politik bangsa kita bergantung kepada perpaduan dan survival ekonomi bangsa kita juga bergantung kepada perpaduan. Perpaduan yang dimaksudkan bukanlah perpaduan modal tetapi perpaduan manusia atau perpaduan Ummat.

31. Dalam mencari konsep perpaduan dalam bidang ekonomilah maka saya bertemu dengan ide 'koperasi'.

DAEWOO

32. Waktu saya di Jerman pada tahun 1969 saya telah bertemu dengan Dr. Kim Woo Chong dan beberapa orang lain yang datang dari Korea Selatan dengan membawa 10,000 helai baju bermutu tinggi tetapi tanpa jenama untuk dijual ke pasaran Eropah. Mereka ialah pengasas syarikat DAEWOO.

33. Sebagai pegawai di bahagian impot barang-barang Asia di bank, tempat saya berkerja, saya dipertanggungjawabkan untuk menjual 10,000 helai baju ini.

34. Dari Dr. Kim Woo Chong saya mendapat inspirasi apabila mendengar bahawa beliau bersama beberapa orang pemuda telah memutuskan untuk turut bersama membangun ekonomi negara mereka. Pada waktu itu Korea Selatan di bawah Malaysia dari segi pembangunan ekonomi.

35. Kumpulan Dr. Kim Woo Chong telah memilih untuk mengajak 100 orang wanita Korea Selatan untuk belajar menjahit baju bermutu tinggi, seperti baju-baju berjenama, Selepas itu mereka telah menjahit 10,000 helai baju yang cukup tinggi mutunya untuk dibawa ke Eropah. Pada waktu itu Dr. Kim Woo Chong dan kawan-kawannya memiliki hanya 50 buah mesin jahit.

36. Sembilan tahun kemudian, pada tahun 1978, saya telah melawat Korea Selatan sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Tanah dan Pembangunan Wilayah. Saya terkejut bila disambut di lapangan terbang di Korea Selatan oleh Dr. Kim Woo Chong dan kawan-kawannya.

37. Saya telah melawat kilang mereka dan dalam masa 9 tahun dari 100 orang pekerja mereka sudah memiliki kilang pengeluaran barang-barang pakaian dengan pekerja sejumlah 150,000 orang kesemuanya. Dari hanya membekal syarikat Otto Versandt yang saya kenalkan kepada mereka di Hamburg pada tahun 1978 Daewoo sudah menjadi pembekal pakaian kepada syarikat gergasi Sears Roebuck dan J. C. Penny di Amerika Syarikat dan juga Marks & Spencer di United Kingdom.

38. Yang mengejutkan saya ialah apabila Dr. Kim Woo Chong memperkenalkan saya kepada pekerja-pekerjanya yang beliau anggap sebagai kawan dan beliau bukan sebagai bos mereka.

39. Oleh kerana itulah saya telah berusaha mendapatkan izin dari Dr. Kim Woo Chong untuk menterjemahkan bukunya bertajuk 'Every Street is Paved with Gold' ke dalam bahasa Melayu yang saya beri nama 'Kekayaan Ada di Mana-mana'.

40. Program Daewoo ini dimulakan di bawah gerakan SAEMUL UNDONG yang bertemakan 'BERDIKARI' dan tidak bergantung pada kerajaan. Gerakan yang dimulakan oleh kerajaan Korea Selatan ini mengajar rakyatnya supaya tidak bergantung kepada kerajaan.

TIDAK BERGANTUNG PADA KERAJAAN

41. Rakyat hendaklah bersatu dan mengambil inisiatif untuk tidak bergantung kepada pemimpin dan kerajaan tetapi secara musyawarah bertindak sendiri untuk menjaga kepentingan bersama di bawah jemaah pemimpin yang tidak duduk di dalam kepimpinan dengan lama tetapi secara silih berganti.

42. Jemaah pemimpin tidak boleh menjadi tuan tetapi hanya sebagai penyelaras untuk memastikan perjalanan organisasinya tertib, cekap dan berkesan.

43. Dengan pendekatan, yang tidak bertuan inilah perlu digerakkan koperasi sehingga:

44. Di semua kampung perlu diadakan Koperasi Industri Kampung;

45. Di semua daerah perlu diadakan Koperasi Pembangunan Daerah;

46. Di semua negeri perlu ada Koperasi Pembangunan Negeri;

47. Di peringkat nasional semua pihak perlu mendukung Koperasi Pembangunan Negara.

48. Setiap agensi dan kementerian perlu mewujudkan Koperasi Kebajikan Pekerja dan Kementerian yang bukan saja menjamin kebajikan ahli-ahlinya tetapi juga menjadi pengawas bagi semua penyelewengan yang mungkin berlaku supaya ianya tidak berlaku.

49. Jika semua koperasi ini 'tidak bertuan' kerana pemimpinnya hanya mempunyai kuasa penyelaras yang sementara, dengan ganjaran sederhana yang dipersetujui oleh semua ahli, maka di situlah letaknya harapan untuk semua kaum dalam negara ini bersatu maju dalam aman dan bahagia.

50. Inilah yang dinamakan

REVOLUSI TIDAK BERTUAN.

51. Mengikut Carne Ross dalam buku terbitan tahun 2011 bertajuk 'The Leaderless Revolution' beliau mencadangkan 4 ide untuk menjayakannya, iaitu:

52. Pertama: Satu kesedaran bahawa dalam dunia tanpa batas di abad ke 21 tindakan seseorang individu boleh memberi kesan yang besar.

53. Kedua: Tindakan dan bukan percakapan yang akan memberi keyakinan.

54. Ketiga: Penyelesaian bagi satu-satu masalah hendaklah dengan melibatkan mereka yang menghadapi masalah itu.

55. Keempat: Rakyat perlu mengambil balik kuasa yang telah dirampas darinya - iaitu kuasa untuk menyelesaikan masalah sendiri.

56. Sekian, Wallahu'alam.

1 comment:

johan5150 said...

very good chronology..tq.