Friday, December 20, 2013

KOTOR - SATU CARA PERJUANGAN

APA MAKSUD PENDEWAAN TOKOH

Dalam blog The Unspinners pada 13 Disember, 2013 saya terbaca kenyataan seorang bekas Timbalan Menteri yang tercatit seperti berikut:

'Sy kagum Mandela, Che Guevira, Ghandi dan Mother Theresa Adakah brmakna sy Kristian, komunis, Hindu? Sy juga kagum Khomeini. Adakh sy syiah'. (Ejaan seperti dalam blog)

Bekas Timbalan Menteri ini telah dikalahkan oleh calon PAS YB Nasruddin bin Hassan dalam PRU ke 13.

Sekali pandang hebat sungguh hujjah beliau. Beliau bertujuan untuk menidakkan seorang pemimpin parti politik gabungan Pakatan Rakyat yang dikatakan berhaluan 'Syiah' kerana mendewa-dewakan Ayatollah Ruhullah Khomeini. Sudah tentu hujjah begini memerlukan penjelasan untuk tidak mengelirukan masyarakat.

NELSON MANDELA
 
Saya cadangkan supaya kenyataan seperti di atas ini dianalisa dengan teliti kerana ianya boleh mempengaruhi mereka yang tidak mengetahui sejarah. Mandela tidak memperjuangkan ugama Kristian sebaliknya dia menentang penjajah yang mengamalkan sistem Apartheid. Oleh itu kita perlu tanya apakah beliau yang membuat kenyataan begini mengetahui apa yang dia kagumi dengan perjuangan Mandela.

Banyak buku biografi yang telah dikarang mengenai Mandela atau Madiba, dan buku otobiografi yang dikarang sendiri oleh Mandela, yang boleh dibeli atau dibaca selain dari membaca mengenainya melalui internet. Antara yang terbaik ialah otobiografinya berjudul 'Long Walk to Freedom'.

CHE GUEVARA
 
Che Guevara juga menentang penjajahan. Beliau tidak memperjuangkan komunisma untuk negaranya, tetapi beliau juga ingin membebaskan negaranya dari penjajahan. Hanya cara perang gerilanya saja yang sama dengan komunis sebagai satu-satunya cara perjuangan yang dia tahu wujud di waktu itu. Dia belum pernah mendengar cara perjuangan ummat Islam.

Komunisma yang telah terkenal  diamalkan sezaman dengan waktu hidup Che Guevara hanya ada dua pendekatan iaitu pendekatan Marxist-Leninist dan pendekatan Mao Tze Tung yang dinamakan Maoism.

Bagi pelajar yang berada di London dari akhir tahun enam puluhan mereka sangat faham mengenai perbezaan ini, apatahlagi yang belajar di London School of Economics. Professor Joan Robinson adalah antara pengajar yang selalu menekankan perbezaan antara dua jenis komunisma ini.

Marxism-Leninism subur dalam Negara yang sudah maju industrinya dan konflik yang diutarakan untuk mencetuskan revolusi ialah dengan menonjolkan percanggahan antara pekerja dengan majikan. Atau apa yang dikatakan 'the bourgeois and the proletariat'.

Oleh kerana di Negara China, dan di Negara-Negara yang pembangunan industrinya begitu lembab, dan terbatas kepada industri kecil milik keluarga di kampung-kampung maka percanggahan yang ada ialah antara buruh atau perkerja, di ladang atau di bidang pertanian, dengan tuan tanah atau apa yang dikatakan 'landlords and peasants'.

Che Guevera tidak menonjolkan percanggahan antara 'bourgeois and the proletariat' atau 'landlords and peasants' tetapi beliau berjuang secara gerila. Itu saja persamaannya dengan definisasi komunismanya. Antara buku yang terbaik mengenai Che Guevara bertajuk 'Che Guevara - A Revolutionary Life' karangan Jon Lee Anderson. Ada juga novel yang menarik untuk mengenalinya berjudul 'The Death of Che Guevara' oleh Jay Cantor. Buku yang paling menarik bagi saya mengandungi kumpulan penulisan, ucapan dan surat berjudul 'Che Guevara Reader'.

MAHATMA GANDHI
 
Mahatma Gandhi juga seorang pejuang kemerdekaan yang menentang penjajahan British. Dia tidak memperjuangkan ugama Hindu, malahan dia dibunuh oleh seorang fanatik Hindu kerana terlalu toleran terhadap umat Islam.

Gandhi mengarang mengenainya sendiri di dalam buku otobiografi berjudul 'Gandhi - An Autobiography'. Buku biografinya yang juga pernah saya baca ialah 'The Life and Death of Mahatma Gandhi - Leader of our time' karangan Robert Payne.

MARIA THERESA
 
Mother Maria Theresa, sebagai seorang padri, menghayati ugamanya dengan khidmat kebajikan untuk orang miskin di India. Dia tidak memperjuangkan ugama Kristian. Dia pengamal ugama itu. Yang dia tolong ialah orang miskin dan susah dari kalangan Hindu dan tidak terbatas kepada yang berugama Kristian.

Ada perbezaan antara  perjuangan Maria Theresa dengan Mohamad Sabu. Sementara Mother Theresa mengamal ugamanya untuk perjuangan Mohamad Sabu berjuang dengan menggunakan ugamanya. Begitu juga dengan Penasihat PKR.

AYATOLLAH RUHULLAH KHOMEINI
 
Ayatollah Ruhullah Khomeini telah menggulingkan Shah Iran yang bersubahat dengan Barat dan membawa keazaban kepada rakyat Iran. Dia menyatupadukan rakyatnya dengan fahaman Syiah yang dia warisi dari nenek moyangnya. Dia tidak memperjuangkan ugama Syiah untuk yang sudah Syiah.

SESUAI DENGAN TUNTUTAN MASA DAN TEMPAT
 
Berertilah Nelson Mandela, Che Guevara, Mahatma Gandhi dan Maria Theresa meletakkan diri mereka dalam konteks perjuangan yang diperlukan oleh Negara dan rakyat sesuai dengan masa dan tempatnya.
 
Di sinilah letaknya kesucian perjuangan mereka. Pada tempat dan waktunya.
ANTARA KOTOR DAN BERSIH 
 
Untuk memudahkan yang susah memahami teori perjuangan yang sofistikated saya ingin menurunkan apa yang dikatakan perjuangan yang suci dan perangai yang kotor dan mengotorkan.

KUAH DAN NASI
 
Kita ambil saja contoh kuah yang kita bubuh di atas nasi bila kita hendak makan nasinya. Kuah itu kita pindahkan dari dalam mangkuk. Kuahnya bersih di dalam mangkuk yang bersih juga, dan kerana bersihlah kita tuangkan ke atas nasi untuk dimakan. Nasi itu juga bersih.
 
Tetapi, apabila kuah yang bersih itu tumpah ke atas sapra bersih yang menutup meja makan maka kita katakan sapra itu telah menjadi kotor. Apakah sebabnya dua elemen yang bersih apabila bertemu menjadikan sapra itu dikatakan kotor.

PEMAIN BOLA SEPAK
 
Seorang pemain bola mendapat kepujian kerana sering berlatih dengan gigih di atas padang sekolahnya. Budak yang berperangai baik itu selalu mendapat kepujian kerana kegigihannya dalam bolasepak. Pada satu hari dia bawa bola ke dalam dewan menyuarat untuk bermain di sana. Semua yang melihat menjadi marah dan menegur sikapnya yang kotor atau tidak senonoh.

BERCUMBU KASIH
 
Ada amalan yang suci yang dilakukan oleh sepasang suami isteri di dalam bilik di luar dari pandangan orang ramai. Kerja mereka dianggap suci dan diredhai Allah s.w.t.. Tiba-tiba pada satu hari mereka memutuskan untuk membuat kerja yang sama di lapangan di Taman Tasik Perdana tanpa menghiraukan pandangan orang. Mereka dikatakan berperangai kotor walau pun kerjanya yang sama dianggap suci dan bersih bila dilakukan di tempat yang sunyi.

NAJIS DI BADAN
 
Kita tentu sedar bahawa pada setiap masa badan kita, khususnya perut, terus melakukan pencernaan makan yang kita makan. Bila kita mengerjakan salat kita telah mengambil wudhu' untuk membersihkan diri kita untuk kita mengerjakan ibadat itu. Isi perut kita yang masih mengandungi makanan yang dicernakan tidak boleh menyebabkan kita menjadi kotor waktu mengerjakan salat'. Tetapi, sebaik sahaja isi perut itu keluar melalui salurannya maka ianya terus digelar najis dan ianya membatalkan wudhu' kita.

KOTOR PADA TEMPATNYA

Apakah sebabnya barang yang di dalam perut tidak digelarkan najis yang mengotorkan tetapi apabila barang yang sama terkeluar dari diri kita ianya dikatakan najis yang kotor dan mengotorkan.

Sebenarnya yang menentukan kotor atau tidak sesuatu benda atau tindakan itu ialah tergantung pada tempatnya. Kuah selayaknya di atas nasi, najis di dalam perut, bermain di padang bola dan bercumbu kasih bukan di hadapan ramai.

Apabila kerja dan benda yang suci, baik dan bersih waktu berada di tempatnya maka ianya dianggap bersih, baik dan tidak kotor. Jika salah tempatnya maka ianya dianggap kotor.

Begitu juga perjuangan.

PERJUANGAN YANG BERSIH

Perjuangan untuk menentang penjajahan dan kezaliman atau kemiskinan adalah perjuangan suci murni yang baik. Jika perjuangan politik itu bertujuan hanya untuk menang walaupun terkorban kepentingan dan hak dan juga kedaulatan bangsa dan persaudaraan dalam ugama, maka perjuangan itu adalah kotor.

Seseorang yang memperjuangkan Islam tidak boleh dianggap sebagai berjuang di jalan Allah jika perjuangannya memecahbelahkan Ummat dan bersubahat dengan kafir kharbi yang merugikan Ummat.

Hanya dengan mengkagumi pemimpin yang hebat tidak menghalalkan perjuangan seseorang. Sebab kehebatan seseorang pemimpin juga tidak berpindah kepada yang mengkaguminya.
 
Yang penting ialah kesucian sejarah peribadi dan matlamat perjuangan yang jelas dan murni untuk kepentingan Ummat dan tidak bertentangan dengan ugama yang dianuti dan seterusnya bukan untuk kepentingan peribadi.
 
Wallahu'alam.
 

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum wbt Tan Sri.
Sekali lagi kupasan yang "spot on" dan menyeluruh. Kebiasaannya lontaran pendapat oleh 'seseorang' yang menganggap dirinya layak sering menimbulkan persoalan dipengakhirannya. Tidak bagi kupasan Tan Sri. Terimakasih dan saya berasa sangat puas membaca entry terbaru ini...

Uncle

Anonymous said...

individu macm tan sri lah seharusnya berad di sisi ds najib..x perlu upah konsultan