Tuesday, May 27, 2014

TAWARAN RASUAH BOTAK CHIN DITOLAK

Sanusi dedah pengalaman disimpan 33 tahun bertemu bantuan ganas

Oleh Rashiqah Ilmi Abd Rahim, Berita Harian muka surat 14, Ahad 25 Mei 2014

“Saya pernah ditawarkan untuk berkongsi 50-50 hasil rompakan jika membebaskannya dari penjara. Malah, lelaki yang sama juga pernah mengherdik saya kerana kerajaan lambat menggantungnya.

“Lelaki itu, Botak Chin jugalah yang memberi  inspirasi kepada Jabatan Penjara untuk menukarkan tali yang digunakan untuk menggantung penjenayah daripada disalut baldu ke tali jenis plastik,” kata Tan Sri Sanusi Junid menceritakan pengalaman bertemu Botak Chin pada 1981 ketika menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.

Pengalaman yang disimpan selama 33 tahun itu didedahkan bekas Menteri Besar Kedah itu ketika bertemu dengan penulis di pejabatnya di Mont Kiara, baru-baru ini.

Semuanya bermula apabila beliau dipertanggungjawabkan oleh bekas Menteri Dalam Negeri ketika itu, Allahyarham Tun Ghazali Shafie bagi menyelesaikan kemelut dalam Penjara Pudu yang dicetuskan oleh penjenayah berbahaya, Wong Swee Chin atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.


Keadaan ketika itu menjadi huru-hara apabila Botak Chin bertindak nekad menyerang dan mencederakan wadar Penjara Pudu ketika cuba melarikan diri.

“Pada waktu itu, saya memangku jawatan Ghazali kerana beliau berada di luar negara. Saya ke Penjara Pudu apabila diberitahu Botak Chin mengamuk dan memukul wadar. Kejadian itu mengakibatkan tiga wadar penjara cedera parah, manakala Botak Chin turut dimasukkan ke hospital kerana kecederaan di kepala,” katanya.

Berkongsi pertemuan pertamanya dengan Botak Chin beberapa hari selepas kejadian itu, Sanusi, 71, berkata pada awal perjumpaan, kehadirannya tidak diendahkan lelaki bertubuh sederhana dan tinggi itu, malah selalu merenung tajam ke arahnya.

Sedia berunding

Namun selepas mengetahui jawatannya dalam kerajaan, Botak Chin mula berlembut dan bersedia untuk berunding dengan mendekati Sanusi yang ketika itu memakai pakaian seragam kerajaan berwarna putih dan berjaket biru.

“Dia mendekati saya dan membisik rancangan jahatnya untuk berpakat supaya dia dibebaskan. Dalam perbualan itu, dia turut menawarkan untuk berkongsi 50 peratus daripada hasil rompakan jika dapat membebaskannya,” katanya yang berusia 38 tahun ketika itu.

Mendengarkan rancangannya, Sanusi sekadar tersenyum sinis dan berdiam diri. Melihat perlakuannya itu, Botak Chin terus berang dan mempersoalkan kelambatan proses menjalankan hukuman gantung sampai mati terhadapnya.

“Pasal apa simpan gua, kasi makan, buang duit kerajaan. Gantung gua punya badan dan buang semua habuk dalam parit dan longkang. Apa tunggu lagi...takutkah?,” katanya yang mengulangi dialog Botak Chin pada perjumpaan itu.

Sanusi berkata beliau tidak mengambil endah kata-kata itu kerana tidak mahu mengundang provokasi yang mungkin boleh menyebabkan Botak Chin bertindak ganas.

Beliau dimaklumkan bahawa Jabatan Penjara hanya mempunyai lima tali gantung untuk digunakan pada kes kecemasan yang mana kes Botak Chin tidak dianggap dalam kecemasan. Selain Botak Chin, seramai 36 banduan lain di Penjara Pudu dijatuhkan hukuman mati dan mengunggu masa untuk digantung.

Masih belum ada tali

Sanusi sekali lagi bertemu dengan Botak Chin dan persoalan yang sama dilontarkan kepadanya, namum tidak disangka pertemuan keduanya itu memberi inspirasi kepada Jabatan Penjara menukar jenis tali yang digunakan ketika melaksanakan hukuman gantung ketika itu.

“Dia tanya saya ‘bila mau gantung gua?’ saya meminta dia bersabar kerana masih belum ada tali. Dia kemudian mencadangkan Jabatan Penjara menggunakan wayar untuk menggantungnya.

“Apabila Ketua Pengarah Penjara ketika itu, Datuk Ibrahim Mohamed menemani saya ketika di Penjara Pudu, kami berbincang mengenai tali gantung. Ketika berbincang mengenai penggunaan tali yang disalut baldu supaya tidak menyakitkan banduan ketika dijerut, Botak Chin mencelah dengan mempersoalkannya.

“Mana lu tahu sakit atau tidak...yang sudah mati kena gantung cakap sama lu ka?,” katanya menceritakan kisah lucu itu.

Kata Sanusi, selepas berakhirnya dialog itu, pihak Jabatan Penjara menukar tali gantung disalut baldu kepada jenis plastik. Bagaimanapun, kini Jabatan Penjara menggunakan tali gatung diperbuat dari jenis jut dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit leher banduan yang digantung.

Beliau berkata, setiap tali gantung yang dimport itu mempunyai nombor siri dan diklasifikasikan sebagai senjata serta disimpan dalam peti besi. Ketika menerimanya daripada ejen pembekal, Jabatan Penjara akan menguji ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat 90 kilogram selama 72 jam.

Kronologi jenayah Botak Chin

1967
Ø  Terbabit dalam kumpulan Geng 360 di Kuala Lumpur dan melakukan jenayah kecil seperti mencuri.

19 April 1969
Ø  Melakukan rompakan bersenjata pertama bersama tiga rakan.

September 1969
Ø  Memiliki senjata pertama Revolver .22 lalu menubuhkan geng sendiri. Melakukan lapan rompakan pada bulan itu tetapi akhirnya ditahan polis dan dipenjara tujuh tahun.

November 1974
Ø  Dibebaskan daripada penjara. Cuba memulakan kehidupan baru sebagai insan biasa tetapi pendapatan sebagai penjual sayur tidak memuaskan hatinya.

April 1975
Ø  Kurang setahun selepas dibebaskan, Botak Chin kembali aktif dengan menubuhkan geng baru yang dianggotai Ng Cheng Wong (Ah Wong), Beh Kok Chin (Pangkor Chai) dan Teh Bok Lay (Seh Chai).

Mei 1975
Ø  Pergi ke Thailand dengan bantuan rakan untuk membeli senjata api.

2 Jun 1975
Ø  Merompak RM5,800 daripada sebuah pusat perjudian di Sentul. Hasil rompakan digunakan untuk membeli lapan senjata api dan peluru di Thailand.

20 Julai 1975
Ø  Merompak RM95,000 dari sebuah bank di Jalan Imbi, Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, beberapa pemain mahjung dirompak RM10,000 selain barang kemas dan barang berharga di sebuah kuil Cina di Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur. Merampas tiga pistol milik tiga anggota polis. Merampas senjata api milik pengawal keselamatan dalam rompakan sebuah bar di Sentul.

26 Oktober 1975
Ø  Rompakan terbesar dilakukannya apabila melarikan RM218,000 dan menembak pengawal keselamatan yang membawa wang di Kelab Lumba Kuda. Hasil rompakan sekali lagi digunakan untuk membeli senjata api di Thailand. Dia kemudian memiliki 19 senjata api, lima bom tangan dan kira-kira 1,000 peluru. Menyedari kedudukannya sebagai ketua mula terancam kerana ada yang cuba mencabarnya, Botak Chin bertindak. Ketua geng Lima Jari Gunung, Tua Pui Lek dan anggota gengnya sendiri iaitu Ah Wong, kemudian ditemui mati ditembak di kawasan lombong tinggal di Jinjang. Orang kanannya, Seh Chai, mati membunuh diri selepas dikepung polis di Jalan Alor.

Awal 1976
Ø  Botak Chin mengambil anggota baharu, diikuti tiga rompakan dengan wang yang dilarikan kira-kira R400,000. Pada masa sama, tujuh orangnya mati ditembak selain ada yang ditangkap. Polis juga merampas 15 senjata api, peluru dan bom.

22 November 1975
Ø  Cuba membunuh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Kulasingam Sabaratnam atau S Kulasingam yang memburunya tetapi gagal.

16 Februari 1976
Ø  Ditahan polis dalam satu serbuan di sebuah kilang di Kuala Lumpur. Dua pengikut kanannya terbunuh dalam pertempuran dengan polis.

11 Jun 1981
Ø  Maut di tali gantung di Penjara Pudu.


Tindakan serang tiga wadar gemparkan negara

Tanggal 2 Januari 1981 pada jam 3.30 petang mencatat tragedi hitam yang menggemparkan negara apabila penjenayah paing dikehendaki, Botak Chin menyerang dan mencederakan tiga wadar penjara akibat terdesak untuk melepaskan diri daripada hukuman mati.

Peristiwa itu berlaku kira-kira enam bulan sebelum penjenayah terbabit maut di tali gantung pada jam 3 pagi, 11 Jun 1981 di Penjara Pudu dalam usia 28 tahun.

Malah, sehingga kini, pisau sepanjang empat inci yang digunakan Botak Chin ketika menikam tiga wadar penjara iaitu Sarjan Abdullah Ahmad, A Rafar Manap dan Tuready Abdullah masih menjadi persoalan kerana tiada siapa yang tahu bagaimana penjenayah itu boleh mendapat senjata itu.

Tiga wadar penjara

Tragedi bermula apabila wadar penjara A Rafar Manaf yang ditugaskan membawa Botak Chin yang berada di dalam kandang yang tidak jauh dari bilik akhir itu ke bilik mandi. Bilik akhir ialah tempat seorang banduan menjalani hukuman mati.

Dalam pergelutan melepaskan diri itu, Botak Chin menikam bahagian bahu dan abdomen A Rafar sebelum menikam Sarjan Abdullah yang cuba memberi bantuan kepada rakannya sejurus mendengar kekecohan itu.
Tuready yang berada berhampiran sel itu turut cedera kerana cuba memberi bantuan kepada dua wadar ketika itu. Meskipun berjaya mencederakan mereka itu, Botak Chin gagal lolos dan mengalami kecederaan di kepala akibat kejadian itu.

Selain kejadian itu, dia pernah mencederakan wadar dalam usaha mempertahankan bahan letupan yang disimpannya di bilik mandi penjara. Difahamkan, bahan letupan seperti paku dan kabaid itu dibawa secara beransur-ansur menerusi konconya yang melawatnya di penjara bagi membantu melarikan diri.

Hakim kena ugut

Kegagalan melakukan pelbagai helah menyebabkan anggota kumpulannya pula bertindak mengugut wanita pertama dilantik Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Siti Norma Yaacob.

Siti Norma yang ketika itu Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, menerima ugutan itu kerana anggota kumpulan Botak Chin tidak berpuas hati dengan keputusannya memenjarakan ketua kumpulan mereka.

Berikutan insiden itu, Siti Norma yang juga Pengerusi Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terpaksa hidup dalam jagaan dan pengawasan polis selama beberapa bulan kerana menjatuhkan hukuman penjara ke atas Botak Chin.

Bukan itu saja, mungkin tidak ramai yang tahu, dia pernah berpura-pura tidak waras bagi mengelak tindakan undang-undang dan pernah mencoba membunuh diri sebanyak dua kali ketika menginap di Hospital Bahagia selama 18 hari pada April 1981.

Namun, hasil pemeriksaan yang dikendalikan bekas Pengarah Hospital Bahagia Ulu Kinta (HBUK), Tan Sri Dr. M. Mahadevan mendapati dia normal untuk menjalani pembicaraan di mahkamah.

Dalam laporan akhbar, New Straits Times pada 13 Jun 1981, kali terakhir ketua samseng itu dilihat bertemu dengan keluarganya, dia kelihatan tidak menyesal dan sempat berjenaka bagi menghiburkan keluarganya buat kali terakhir. Petang itu, dia sempat menikmati makanan terakhirnya yaitu mi goreng, ayang goreng dan buah serta air kosong.



6 comments:

Anonymous said...

Salam Tan Sri.
Ini semua sejarah yang tak pernah diketahui...Terimakasih kerana berkongsi cerita menarik ini.

Uncle

Anonymous said...

Salam, Kekadang kisah saperti ini atau kisah yang tidak di ketahui oelh umum hendak lah di beritahu, sebab nya orang awam akan slah sangka dan juga tidak terduga perkara saperti ini boleh berlaku dan di tanggung orang yang bertanggung jawap, kepada menteri, ketua2 jabatan tinggi, polis yang dah pencen dan juga yang lain di harap ceritakn lah pengalaman masing dlam menjalankan tugas supaya kita tidak dapt beljar dan mengetahu kejadian sebnar dari pada di simpan dalam hati. Macam prasangka dan niat yang tidak baiak boeleh di adahkan untuk menjatuhkan sesorang itu biar yang masih kerja dan juga masih hidup dan juga akan berpencen.
orng lama 1957

berasiam said...

Bilakah agaknya Tan Sri mahu berkongsi cerita tentang tentera Vietnam yang cuba menduduki pulau di Laut China Selatan dan kisah rombongan Bosnia yang memohon bantuan PM Mahathir ketika peperangan di sana?

Anonymous said...

Salam Tan Sri,
Sangat menarik pengalaman yang Tan Sri kongsikan.
Tan Sri, i was doing my master now in human rights.
Jika Tan Sri sudi, saya ingin melakukan wawancara dengan Tan Sri untuk mendapatkan pandangan Tan Sri tentang Hukuman Gantung di Malaysia samada perlu/tidak dimansuhkan memandangkan Tan Sri mempunyai pengalaman yang berkaitan.
Terima Kasih.

email saya : duta1404@gmail.com

kucingcomot said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Salam Tan Sri,

Terima kasih kerana berkongsi sejarah yang ramai tidak ketahui ini. Priceless!!

AR