Monday, April 6, 2015

BILA MELAYU MULA MERAPU

APAKAH MERAPU HOBI BANGSA?
 
Bangsa yang maju di dunia ialah bangsa yang, antara lain, mempunyai sifat  Amanah, Berani, Disiplin, Rajin dan Setia. Tidak ada sifat merapu di kalangan pemimpin dari bangsa yang maju.
 
Walaupun bukan semua rakyat di kalangan bangsa, dalam satu-satu negara, yang maju itu mempunyai sifat ABDRS (Amanah, Berani, Disiplin, Rajin dan Setia) tetapi sejumlah yang mencukupi dari kalangan pemimpin mereka mempunyai sifat ABDRS ini. Begitulah pendapat tokoh Taiwan yang saya perkenalkan dalam masukan blog ini atas tajuk FAKTOR NILAI DALAM KEBANGKITAN BANGSA.
 
Dunia kini sedang menghadapi masalah ekonomi dan keamanan yang terus terancam.
 
Dalam keadaan dunia yang bergelora ini ada kumpulan-kumpulan, di sana-sini, yang secara berterusan memberi perhatian, dalam usaha (a) mencari dan mendalami ilmu pengetahuan, (b) membina rumah-tangga yang bahagia dengan anggota keluarga yang boleh memberi harapan kepada masa depan mereka, (c) membina institusi atau organisasi politik, ekonomi dan masyarakat.
 
Sementara orang lain sedang merancang dan berusaha untuk memperbaiki diri dan institusi mereka, bangsa Melayu, termasuk saya, sedang lalai dengan telatah mengamok, latah dan merapu yang menjadi-jadi dan tidak menguntungkan diri, bangsa, negara, ugama dan umat.

DEMOKRASI DITRANSFOMASIKAN

Mula-mula rakyat disenandungkan dengan harapan 'lebih demokrasi' di dalam UMNO. Lebih ramai yang mengundi untuk tempat di dalam Majlis Tertinggi maka lebih hebatlah demokrasi itu.

Waktu kita mendewa-dewakan demokrasi kita terlupa bahawa ide demokrasi ini muncul dari negara Yunani (Greece) yang pada hari ini sudah menjadi negara termiskin, dan boleh dikatakan bankrup di Eropah

Pemilihan dalam UMNO yang lalu mendapat perhatian ahli-ahli UMNO dan rakyat jelata.


Sedang kempen berjalan tiba-tiba terdengar kisah kehendak kerabat di raja yang mahukan si anu dan si itu wajib dimenangkan sedangkan jika dibiarkan pengundi memilih dengan bebas, sebagaimana yang semestinya di dalam amalan demokrasi, maka beliau, yang dikehendaki menang itu, dikatakan besar kemungkin akan kalah. Bermulalah proses transfomasi demokrasi yang cukup kreatif ala Melayu yang boleh dikatakan merapu.

Untuk memastikan yang mungkin kalah itu juga menang maka cara kita mengamalkan demokrasi mulai berubah dan menjadi lebih kreatif. Kononnya ahli perlu pilih yang ditunjuk dan tidak perlu perubahan kerana UMNO sudah cukup kukuh.
o Maka timbullah ide untuk mengekalkan semua dalam jawatan yang sedia ada tanpa sebarang perubahan.
o Rasa takut kepada amalan demokrasi biasa menular kerana ianya tidak menguntungkan kerabat, dinasti dan kawan.
o Apakah benar berita angin yang terdengar di kalangan orang ramai bahawa selain keluarnya arahan panduan memilih, yang turut mengancam, dan huluran rezeki penawar sebagai pengikat hati, insan di atas, lebih atas dari yang di atas, yang sepatutnya non-politik juga turut terlibat dalam kempen pemilihan UMNO.

Wallahu'aklam.
o Sudah tentu, kalau betul, ianya pasti kerana bisnis.
 
JUAL TANAH PADA CHINA
o

Lepas pemilihan UMNO  kita dengar ada di kalangan yang sepatutnya bersikap non-politik, tetapi berpolitik dalam pemilihan yang baru lalu, di belakang penjualan tanah kepada Cina.
o Betulkah itu?
o Katanya di atas tanah itu akan didirikan kompleks judi kerana ingin bersaing dengan Singapura yang sedang maju dengan pesatnya industry judi hasil dari pelaksanaan secara menang tanpi saingan di bawah idea 'Blue Ocean Strategy'.
o Sebut saja untuk bersaing dengan Singapura lupalah sesetengah dari kita mengenai dosa judi kerana seronok nak lawan dengan Singapura dan mengalahkannya.
o Kuasa politik mana yang berani tegur pihak atasan yang non-politik jika benar si dia baru saja terlibat dalam proses demokrasi terpimpin dan membantu dalam pemilihan UMNO.
 
Ada yang berpendapat bahawa kalau judi itu sudah pastilah banyak duit China yang terlibat sedangkan Melayu sibuk kerana terdesak dengan masalah inflasi dan tak mampu berjudi.
o JADI RAKYAT KELAS KEDUA ATAU  'SECOND CLASS CITIZEN'
 
Tetapi yang pasti ialah bila banyak keuntungan dari judi maka bolehlah taukeh dan chettiar beli pasukan bola sepak di luar negara.

Bukan taukeh dan chettiar melabur dalam negara. Itu bukan tugas mereka.

Itu tugas kerajaan.

Kerajaan yang bertanggungjawab untuk menarik pelaburan dari luar negeri ke dalam negara. Sedangkan rakyat Malaysia boleh bawa beratus juta ringgit ke luar negara.

Bukan swasta saja,  malahan agensi-agensi kerajaan pun, setelah mengumpul duit rakyat dengan banyaknya terus terikut-ikut melabur di luar negara. Kerja seperti itu tidak perlu pandai sangat untuk menguruskannyaa, apatahlagi jika kita sanggup bayar harga harta yang kita beli lebih mahal dari harga yang orang lain mahu beli.  

Tidak ada kementerian khusus yang berkesan untuk menggalakkan orang tempatan melabur dalam negeranya sendiri.
o Hanya taukeh dan chettiar yang jadi rakyat kelas kedua sahaja yang mampu membeli kelab bolasepak luar negara; Melayu, bangsa yang dianggap kelas atasan atau pun tuan, tetap sebagai tuan yang tidak berduit.
o Apakah lebih baik ada duit tetapi dipanggil 'rakyat kelas kedua' atau tidak berduit tetapi dipanggil 'tuan.'

SIAPA SALAH KALAU MELAYU GAGAL?
o Sudah tentu kalau Melayu gagal dalam sesuatu bidang yang salah bukanlah Melayu tetapi kerajaan. Seronok betul merapu begini.
 
Bila pasukan bola sepak kitaa kalah perkaraa pertama yang dibuat ialah merenovasi stadium bola-sepak dan bukan mencari jalan supaya dalam stadium seburuk mana pun pasukan lain tidak menang mengalahkan kita. Bila dua pasukan bermain bukan mereka main di lain-lain padang.

Seolah-olah kita kalah kerana salah stadium dan bukan salah cara atau kemampuan kita. Sepertinya kalah dalam permainan bola-tangkis kerana raket.
o
Dulu saya juga pernah jadi Pengerusi Persatuan Bolasepak Negeri Kedah. Sebelum saya Kedah cemerlang kerana ada dua pemain dari Brazil dan Adigun dari Nigeria. Kerana Adigun pandai main bola orang Kedah tidak kelihatan marah apabila ada kes melibatkannya dengan seorang wanita Melayu Islam sehingga lahir anak di luar nikah. PAS pun tak bising, walaupun kejadiannya sebelum halatuju perjuangannya berkiblat kepada 'kebajikan' dan masih lagi kepada 'hudud' atau 'Negara Islam'.
 
Mungkin kerana ketua pasukan bola sepak Kedah di waktu itu ialah juga ketua sebuah ranting PAS di Kedah.
 
Saya tidak bangga jika kemenangan satu-satu pasukan, walau pasukan negeri mana jua, yang bergantung kepada pemain dari luar negara. Bila saya tidak sambung khidmat 3 pemain dari Negara asing Kedah pun jatuh prestasinya.
 
Saya lebih suka jika pemain kita berlatih dengan gigih kerana Negara yang jumlah penduduknya kurang dari Malaysia, dan negaranya lebih miskin dari Malaysia pun mampu mewujudkan pasukan bola-sepak bertaraf dunia.
 
Pasukan 'KENARI' di Kedah perlu gunakan 'Tangga Kenari Seribu Tahun' di Titi Hayun, Yan, Kedah sebagai tempat latihan untuk menambah stamina. Buatlah padang bola berdekatan dengan kawasan itu dan latihlah sehingga mencapai kemenangan.
 
BOROS PAKAI JET
 
Lepas itu kita dengar pula kecaman ke atas isteri Perdana Menteri kerana menggunakan jet kerajaan untuk lawatan keluar negara. Bertengkarlah pemikir-pemikir Melayu sehinggalah Perdana Menteri sendiri terpaksa membela isterinya secara rasmi dalam ucapan penutup Perhimpunan Agong UMNO.
o Lupalah rakyat fasal kapal-terbang dan mula kesal terhadap Perdana Menteri.
 
Tetapi, bagaimana nak tahan Perdana Menteri dari mempertahankan isterinya jika tidak ada seorang tokoh lain, yang bergaji tinggi, yang mampu berbuat demikian dengan berkesan. Sepatutnya kerja membela tuduhan terhadap isteri Perdana Menteri janganlah suami yang membuatnya, ramai tokoh lain yang patut memainkan peranan.
 
Kita dengar pula banyak kapal-terbang di KLIA untuk kegunaan VVVIP. Tengah rakyat berhujjah mengenai sebab musabab perlunya banyak sangat kapal-terbang tiba-tiba Perdana Menteri Turkey pun membuat lawatan rasmi ke Malaysia dengan menggunakan kapal-terbang milik swasta Turkey dan tidak pakai jet khusus untuk Presiden.
 
Nampak untunglah kapal-terbang swasta Turkey bila VIP mereka menggunakannya untuk urusan kerajaan. Ada yang kesian pada syarikat penerbangan milik negara, MAS, yang terus menderitai kerugian. Mereka yang kesian pada MAS juga pakai kapal-terbang lain bila keluar negara. Saya pun pakai MAS kalau tiada yang lebih murah kerana saya kesian kepada diri sendiri.
o Baru-baru ini saya terbaca seorang tokoh politik barat telah ditanya kenapa beliau membawa wang tunai begitu banyak. Jawapnya 'saya orang kaya.' Malahan bapa komunis Deng Xiaopeng pun pernah ditanya kenapa dirumahnya ada kolam renang yang begitu besar, bertaraf olimpik, sedangkan mengikut fahaman komunis itu adalah satu pembaziran. Deng Xiaopeng menjawab 'saya suka berenang.'
o Kalau orang luar yang menjawab senang sangatlah terlepas dari kritikan, tetapi tidak semudah itu melayan bangsa sendiri. Di mana silapnya?
o KRISTIAN PAKAI NAMA 'ALLAH'
 
Bila bangsa kita membantah penggunaan nama Allah di dalam bible nampak seolah-olah kita bersungguh-sungguh mencari kebenaran.
o Bagi kelompok Katholik Nabi Isa itu dikatakan anak Tuhan. Bagi Umat Islam pula Allah adalah Yang Maha Esa. Tidak beranak dan tidak diperanakkan. Seperti dalam Surah Al Ikhlas. Bila Tuhan dalam Bible Katholik dipanggil Allah maka bercanggahlah Allah yang dikenal oleh Islam dan Tuhan yang dikatakan oleh golongan Katholik sebagai menjadi Bapak kepada Nabi Isa. Konsep 'The Trinity' tidak ada dalam Islam. Konsep itu diketengahkan dalam Nicea Creed di waktu Constantine menjadi Emperor di Rom, dan tidak ada sebelumnya.
o Kita diajar bahawa Nabi Adam itu tiada bapak dan tiada emak; Siti Hawa ada bapak, iaitu Nabi Adam yang dari tulang rusoknya dijadikan Siti Hawa, mempunyai Bapak (iaitu Nabi Adam) tetapi tiada ibu; dan Nabi Isa pula ada Ibu tetapi tiada bapak. Ini adalah satu dari tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah s.w.t..
o INFLASI

Harga barang naik, gaji pegawai dan kakitangan kerajaan juga naik tetapi rakyat yang bukan kakitangan kerajaan siapa pula yang nak tolong? Itu yang dipersoalkan.

Jawapannya 'Tidak mengapa. Kalau harga tol naik jangan guna jalan bertol.'

'Kalau harga ayam naik jangan makan daging ayam.'

Lojiknya, 'Kalau harga beras naik, jangan makan nasi.'

Kan merapu jawabannya?

ISA DAN AKTA HASUTAN

Ramai dari mereka yang ditangkap di bawah ISA, waktu Operasi Lalang pada tahun 1981 kini menjadi Ahli Parlimen. Dan mereka rajin bercakap. Kata Goebels, Menteri penerangan Hitler, pembohongan yang diulang-ulang selalu akan dianggap sebagai kebenaran.

Malangnya Anggota Kabinet dan Ahli Parlimen BN tidak berhujjah balik menyokong ISA dengan meyakinkan. Lama kelamaan Kerajaan pun tunduk dan ikut kehendak 'merapu' pihak pembangkang dan terus memansuhkan ISA.

Kalau dulu Ahli-Ahli Parlimen yang pernah ditangkap di bawah ISA susah hendak memahamkan kepada anak cucu-cucu mereka kenapa mereka dianggap pengacau sehingga pernah ditangkap di bawah ISA, bila ISA sudah dimansuhkan mereka dengan mudah boleh mengatakan kepada anak cucu mereka bahawa ISA ialah sebuah Akta yang salah kerana itulah ialah telah dimansuhkan.

Dato' Ibrahim Ali. Presiden Perkasa, yang juga pernah ditangkap di bawah Operasi Lalang, menyokong kewujudan ISA dan membantah pemansuhannya. Bermakna Dato' Ibrahim mahu orang yang membuat huru-hara dalam negara, seperti beliau dulu, hendaklah ditangkap di bawah ISA.

Memanglah dulu ada seorang Menteri yang tak begitu cerdik, walaupun pandai, yang menangkap seorang anggota parti pembangkang dengan menggunakan kuasa di bawah ISA. Bila ditanya pada Menteri itu kenapa anggota parti pembangkang itu ditangkap dan dipenjarakan jawabnya, 'Untuk menjaga keselamatan anggota parti pembangkang itu, kerana, kalau tidak ditangkap ramai orang yang hendak memukul beliau.' Tak tahu pula saya boleh ditangkap orang supaya dia selamat dan bukan kerana dia jahat. Inilah merapu namanya.

Saya pernah Tanya kepada Perdana Menteri kenapaa Menteri begini dikekalkan dalam jawatan, Perdana Menteri menjawab kerana Menteri itu berpengaruh dalam pertubuhan belia. Bila saya bertanaya pada Menteri berkenaan kenapa dia tidak berhenti dari memimpin belia sedangkan 4 tahun berturut-turut tidak diadakan Mesyuarat Agung dia menjawab kalau dia berhenti nanti jawatan Menterinya juga hilang.

Sepatutnya Menteri begini dihantar saja jadi Duta di Mongolia kalau tak sampai hati nak buang kerana banyak rahsia yang ada padanya.

AKTA HASUTANO
Kini ISA sudah dimansuhkan dan bila Dato' Ibrahim Ali mempertahankan DEB dan Hak Istimewa orang-orang Melayu yang ada dalam Perlembagaan beliau dikatakan ekstrimis. Sepatutnya dia, kalau betul ekstrimis boleh ditangkap di bawah ISA yang sudah dimansuhkan.

Sebaliknya Akta Hasutan 1948 pun hendak dihapuskan.  Dato' Ibrahim juga menentang. Kenapa tidak tangkap saja Dato' Ibrahim kalau dia betul-betul menghasut. Tidak tangkap, kerana dia berani mempertahankan Perlembagaan.

Bila Akta Hasutan sudah dihapuskan jangan pula mengeluh jika Raja kita pun mula dihinakan oleh musuh-musuh Melayu dan musuh-musuh Islam.

Orang yang takut kepada Akta Hasutan ialah orang yang suka atau teringin menghasut tetapi tidak berani kerana ada akta.

OKTOBERFEST

Arak itu haram bagi orang Islam tetapi, mungkin dapat 'pahala' bagi orang kafir, yang meminumnya. Kita dah ada Perlembagaan yang menjamin kebebasan berugama. Kalau kafir nak ada pesta minum arak seperti yang ada di Jerman, kerana nak buat duit, jangan pula Melayu berkelahi kerana itu.  Kalau ada Melayu Islam yang minum, kerana Melayu dari Indonesia ada yang kafir, kita boleh ambil tindakan. Tetapi jangan heboh sampai yang minum jadi hero. Kerana sekarang ini orang yang menentang ugama dan hak Melayu semuanya dianggap hero oleh yang anti Melayu.

TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD

Sejak beberapa bulan yang lalu Tun Dr. Mahathir telah mengkririk secara terbuka dasar-dasar kerajaan. Kemudian beliau telah menarik balik sokongan beliau kepada Dato' Seri Najib sebagai Perdana Menteri. Kemudian sekali dia mendesak Dato' Seri Najib supaya berhenti dari jawatannya.

Banyak yang sokong Tun Dr. Mahathir secara terbuka dan banyak lagi yang sokong secara diam-diam. Kalau yang sokong Dato' Seri Najib hampir kesemuanya secara terbuka. Ada juga yang kelihatan menyokong Dato' Seri Najib secara terbuka tetapi secara diam-diam menentangnya.

Apa yang ramai penyokong Dato' Seri Najib ingin lupakan ialah kenyataan Tun Dr. Mahathir bahawa desakannya bertujuan supaya Dato' Seri Najib mengubahkan dasarnya ATAU berhenti dari jawatannya untuk memastikan UMNO dan Barisan Nasional tidak kalah dalam PRU ke 14 yang akan datang.  Mengikut analisa Tun Dr. Mahathir kalau dasar tidak diubah dan Dato' Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri maka UMNO dan Barisan Nasional akan kalah.

Ini bererti jika UMNO dan Barisan Nasional menang dalam PRU ke 14 walaupun Dato' Seri Najib kekal sebagai Perdana Menteri dan dasarnya tidak berubah maka ramalan Tun Dr. Mahathir itu salah.

Tetapi, bagaimana kalau Tun Dr. Mahathir betul.

Yang penting diingat ialah BN sudah kalah teruk dalam PRU ke 13 dan PRU ke 12. Sebelum kedua pilihanraya itu ramalan pakar-pakar yang menasihati Dato' Seri Najib dan sebelumnya Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi ialah kita akan menang dengan cemerlang. Ternyata ramalan-ramalan itu tidak betul sehingga Setiausaha-Setiausaha Politik Perdana Menteri yang telah memilih sendiri kerusinya yang ditandinginya sebagai 'Winnable Candididate' telah kalah dengan teruknya.

Waktu itu belum muncul lagi kes hukum gantung ke atas 2 pembunuh Altantuya, belum muncul lagi isu 1MDB, belum turun harga minyak dan ringgit Malaysia, belum ada GST dan hutang negara tidak setinggi timbunana hutang sekarang.

Cerita ini bukan merapu.

Tun Dr. Mahathir ialah seorang yang mengenang budi Tun Abd. Razak yang membawa beliau balik ke dalam UMNO setelah dipecat oleh Tunku Abdul Rahman. Saya pun terhutang budi kepada Tun Abd. Razak kerana meletak saya sebagai calon dalam pilihanraya tahun 1974 walaupun ditentang oleh Pergerakan Pemuda UMNO Kedah kerana saya tidak bayar yuran ahli UMNO sejak saya meninggalkan UMNO Bahagian Seremban Timur pada akhir 1960an. Tun Abd. Razak memaklumkan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Pahang bahawa saya ahli UMNO Pekan selama 5 tahun sebelum Pilihanraya 1974. Tun Abd Razak sendiri yang membayar yuran UMNO saya. Oleh itu tidak perlu ada syak wasangka terhadap Tun Dr. Mahathir sebagai seorang yang ingin menzalimi Dato' Seri Najib setelah beliau mencadang supaya Dato' Seri Najib menjadi Timbalan kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kemudiannya memainkan perana supaya Dato' Seri Najib menggantikan Tun Abdullah apabila terdesak untuk berhenti.

Tetapi, pendirian Tun Dr. Mahathir adalah jelas, kerana beliau meletak kepentingan parti di atas kepentingan peribadi. Beliau sedar bahawa beliau sudah berumur 90 tahun dan beliau sebagai ahli UMNO No. 001 sejak UMNO ditubuhkan semula dan saya sebagai ahli UMNO No. 007, tidak ingin melihat UMNO dan Barisan Nasional kalah sepanjang sisa hayat yang masih ada.

Oleh itu, izinkan saya menjelaskan cara berfikir dan bertindak Tun Dr. Mahathir Mohamad yang saya kenali, dalam menyelesaikan satu-satu masalah.

Kata Tun Dr. Mahathir, 'Sebagai seorang doctor, apabila berdepan dengan seseorang pesakit saya terlebih dahulu akan mengkaji dan menyelidik penyakit yang sedang dihadapinya. Bila saya dah tahu apa penyakitnya barulah saya mencari ubat untuk penyakit itu. Jika ubat yang ada berbentul pil maka saya akan berikan pil; kalau tiada pil tapi perlu beri ubat cair maka saya berikan ubat untuk diminum; kalau ubat itu tidak ada yang manis maka saya berikan ubat yang pahit; kalau si pesakit perlu dibedah maka saya akan beri ubat bius supaya pembedahannya tidak sakit; tetapi, jika pembedahan perlu dilakukan, tetapi, tidak ada anesthetic untuk mengebaskan atau menidurkan si pesakit yang hendak dibedah, saya akan ikat dan tambat pesakit tadi dan saya akan bedah juga walaupun pesakit menjerit sekuat-kuat jeritan.' Itulah cara Tun Dr. Mahathir bertindak.

Beliau sangat yakin UMNO kini sudah kena penyakit yang boleh membawa kepada kekalahan dalam pilihanraya jika tidak diobati. Oleh itu, Tun Dr. Mahathir tidak akan peduli apa yang orang kata padanya, atau caci hamun yang dilemparkan kepadanya, dia tetap akan menjalankan 'pembedahan' sehingga UMNO sembuh semula.

Dalam kontek inilah ahli-ahli UMNO perlu memahami Tun Dr. Mahathir.

Beliau mahukan UMNO dan BN menang kerana beliau yakin disitulah survival bangsa dan negara.

Sekian. Wallahu'aklam.
 

8 comments:

Anonymous said...

Coretan yang bernas setelah sekian lama menyepi...tahniah tan sri..diharap tan sri terus menulis

Anonymous said...

Terima kasih.
Catatan yang sangat baik untuk generasi muda seperti saya

Anonymous said...

Saya sentiasa memeriksa kalau ada catatan terbaru dan akan beritahu rakan-rakan mengenainya.Terima Kasih Tan Sri.

Hamdan Rukun said...

Barangkali Tan Seri perlu bertemu DS Najib, pertemuan bapa dengan anak. Demi UMNO...

RD. said...

Terima Kasih kerana menyokong Tun Dr.M.
Terima Kaseh sekali lagi Tan Sri.

Anonymous said...

tan sri pohon jgn sepi... ilmu bangsa..ilmu sejarah..ilmu tamadun..ilmu islam...susah payah tan sri belajar smuanya dari masa muda smpai sekarang...sy pohon jgn diam tan sri.. jgn behenti menaip..
rindu dgr ilmu dr org yg berilmu...

Unknown said...

Salaam buat ts sanusi....

Sihat ? Mudah2an. Sebagai warga yg membesar d era tdm saya tak dapat tidak merasakan keistimewaan d zaman itu. Negara memiliki pemimpin yg cukup berani dan tegas dlm misi membangunkan negara. Dan barisan kabinet nya termasuk lah ts sendiri.....terasa bersemangat seolah2 terbenteng oleh sesuatu yg tidak nampak.
Namun perubahan yg berlaku selepasnya era itu membuat kan saya membuat rumusan......bangsa saya yg berdaulat ini kian layu oleh dunia yg penuh tipu helah. Yg memerlukan ilmu utk melaluinya. Bukan dgn cara sebaliknya. Memaki hamun menghina dgn kata2 kesat......inikah bangsa saya ?. Akal yg d beri gunakan lah sebaik2nya. Jgn lah memandang sesuatu dari sudut yg amat sempit......maka sempit lah yg kita nampak.....bukalah minda seluas2nya dan ingat lah kita bangsa berugama dgn agama yg benar d sisi Allah.......KITA BANGSA MELAYU BERDAULAT.

Sekian.

Wassalam. Moga ts d lindungi dgn keberkatan. Amin.

Anonymous said...

Alhamdulillah, thank you for sharing. This is very insightful.