Pencetus
1MDB punca masalah bukan yang bercakap, kata veteran parti
OLEH KC NAZARI DAN NABIHAH HAMID
Published: 4 November 2015 6:50 AM
Bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi Junid percaya kesal kerana Umno
melihat beliau dan beberapa individu sebagai punca masalah terhadap isu
1Malaysia Development Berhad (1MDB) sedangkan mereka cuma menyuarakannya. –
Gambar fail The Malaysian Insider, 4 November, 2015.
Mereka yang memulakan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mencetuskan
semua masalah berkaitan dengannya sebenarnya lebih teruk berbanding yang hanya
membincangkan skandal tersebut, kata bekas menteri besar Kedah Tan Sri Sanusi
Junid.
Beliau yang dipercayai termasuk dalam senarai 7 pemimpin Umno yang bakal
dikenakan tindakan disiplin berkata orang sepertinya, berani lantang bersuara
tidak sepatutnya dijadikan sasaran.
"Jika anda kata mereka yang bercakap tentang isu itu menyebabkan
perpecahan, maka orang yang menyebabkan masalah itu timbul adalah lebih teruk
berbanding yang bercakap tentangnya.
"Bukan kami penyebab masalah, kami hanya bercakap tentangnya. Pastinya
bercakap tentang masalah itu lebih baik berbanding menjadi pencetus
masalah," veteran Umno itu berkata kepada The Malaysian Insider ketika
diminta mengulas laporan mengatakan beliau antara 7 yang sedang berada dalam
pemerhatian parti.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak yang mengasaskan 1MDB sebagai firma pelaburan strategik negara dan turut
berfungsi sebagai pengerusi lembaga penasihatnya.
Sanusi dikatakan tersenarai sebagai 7 individu yang bakal
dikenakan tindakan kerana mengeluarkan "kenyataan tidak masuk akal"
terhadap parti.
Beliau hadir pada satu sidang media bersama 5 bekas pemimpin termasuk bekas
perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas timbalan perdana menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi
menuntut kerajaan agar tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah
Khas) 2012 (Sosma) terhadap pengkritik parti.
Selain Sanusi, turut dikatakan berada dalam senarai pemerhatian ialah Dr
Mahathir, Muhyiddin, Shafie Apdal dan bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin,
yang semuanya secara terbuka mengkritik Najib berhubung 1MDB.
Dua lagi dikatakan sedang diperhatikan ialah Ketua Umno Bahagian Sungai
Besar Datuk Jamal Mohd Yunus dan Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Seri Syed Ali
Alhabshee, kedua-duanya penyokong kepimpinan Najib.
Jamal dikenali sebagai jurucakap utama "perhimpunan baju merah"
atau Himpunan Rakyat Bersatu, yang diadakan pada 16 September sebagai tindak
balas terhadap perhimpunan anjuran badan reformasi pilihan raya Bersih 2.0.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, beliau berkata beliau tidak percaya
dirinya antara yang tersenarai dalam 7 pemimpin dalam pemerhatian Umno dan
berkemungkinan digantung daripada parti terbesar Melayu itu.
Bagaimanapun, beliau menerima keputusan itu sekiranya ia dibuat Majlis
Tertinggi Umno.
"Saya memang tidak percaya (berita senarai 7 pemimpin Umno) berita
daripada sumber itu.
"Saya tidak pernah tidak sehaluan (dengan parti) dan (kenyataan saya)
selari dengan apa yang diperkatakan dalam parti, kerana saya percaya apa yang
diperjuangkan presiden parti berada pada landasannya," kata Jamal.
Beliau yang berjanji akan menghormati dan akur keputusan parti turut
menegaskan tidak akan berganjak daripada memperjuangkan Umno.
"Saya tidak ada masalah, perjuangan perlu diteruskan. Saya masih tetap
dalam perjuangan Umno. Dalam prinsip saya, pemimpin umno perlu dipertahankan
terutamanya presiden parti," katanya.
Sebaliknya, menurut Sanusi, beliau yakin sebenarnya lebih ramai orang sudah
hilang kepercayaan terhadap pentadbiran negara dan parti.
Justeru, beliau percaya senarai mereka yang bakal dikenakan tindakan
daripada Umno perlu "diperluaskan" lagi.
"Saya teruja dengan perkara ini. Saya rasa kita perlu perluaskan lagi
senarai itu dan ada jawatankuasa warga bagi menilai skandal-skandal ini,
aktiviti penipuan yang sedang berlangsung," kata bekas ketua penerangan
Umno sewaktu Dr Mahathir menjadi presiden parti itu.
Ini kerana, "psike" nasional kini berupa kebencian terhadap
pentadbiran negara katanya, sambil menambah orang ramai dahulu takut dengan
kerajaan namun skandal demi skandal yang terbongkar merubah ketakutan itu
kepada kebencian.
"Melangkaui ketakutan adalah kebencian dan orang kini mula membenci
dan belajar membenci. Maka semua elemen ini, personaliti yang berasaskan dengan
mencipta ketakutan.
"Mereka boleh mengugut orang, tetapi mereka perlu ingat, dengan
mencetuskan ketakutan, mereka memberikan orang keberanian," katanya kepada
The Malaysian Insider.
Sementara itu, bekas menteri penerangan Zainuddin berkata, beliau tidak
sedih atau tersinggung kerana dikatakan sedang dipantau untuk tindakan
disiplin.
"Saya tidak ada isu. Saya tidak ada masalah jika mereka mahu
menggantung saya atau putuskan saya.
"Saya tidak mempunyai kepentingan dalam Umno. Saya tidak rugi apa-apa
walaupun sekiranya saya keluar," beliau dipetik sebagai berkata oleh
portal berita Malaysiakini. – 4 November, 2015.
2 comments:
Masalah dh pun tercetus. Plan pemulihan dh pun di terangkan. Bagi lah ruang proses tu berjalan dimana sy yakin ianya berjaya. Bila ditegur secara public berserta ngan roadshow, ini lah yg membuatkan kegusaran dan perpecahan.
Kepada Zam, kalo rasa xde kepentingan, baiklah berdiam diri sblm kelemahan dia sewaktu bertugas dgn kerajaan di londeh.
Ha..ha..ha plan pemulihan konon tengok apa dah jadi pada Edra dah lah rugi berbillion2 lebih sedih jatuh ke tangan asing pula!!!
Mamat atas ni dasar taat tapi tolol atau bak kata faridina "setiatolol"...
Post a Comment