Wednesday, February 24, 2016

23-02-2016 ACEHXPRESS.COM - MENYEMARAKKAN BUDAYA IQRA': PERLUNYA MEMUPUK TABIAT MEMBACA



MENYEMARAKKAN BUDAYA IQRA': PERLUNYA MEMUPUK TABIAT MEMBACA

Oleh: Tan Sri Sanusi Junid

(Tulisan ini telah dipublikasikan oleh Tan Sri Sanusi Junid dalam blognya ‘www.sanusijunid.blogspot.com’ pada hari Jumat, 15 Januari 2010)*

Ianya diterbitkan oleh media Aceh Express di Indonesia kerana kandungannya didapati oleh pihak akhbar sebagai relevan kepada masyarakat Melayu Islam di Indonesia juga. Bahasanya telah 'diIndonesiakan' oleh Sdr. Fahmi M. Nasir, seorang penyelidik di ACEH KELAB, Kuala Lumpur dan pelajar untuk PhD dalam bidang Wakaf di Fakulti Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Selamat membaca.


ISLAM - AGAMA YANG DIRIDHAI ALLAH

1. Kita bangga karena menganut agama Islam sebagai satu-satunya agama yang diridhai Allah s.w.t.. Kita bernasib baik karena ibu dan ayah kita beragama Islam. Kalau tidak kita mungkin berada di luar Islam sampai ke akhir hayat.  Kita bersyukur kepada Allah s.w.t. karena menjadi ummat di akhir zaman dan Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah terakhir dan penghulu bagi sekalian Rasul.

QURAN - KITABULLAH

2. Quran ialah Kitabullah. Ianya diturunkan oleh Allah kepada kita melalui malaikat yang menyampaikannya kepada Nabi Besar kita Muhammad s.a.w.. Kita bangga memiliki Al Quran walau pun kita jarang membacanya. Kita beli Quran yang cantik dan mahal untuk kita simpan di rumah dan di kantor sehingga ternampaklah kepada tetamu bahawa kita cinta kepada Al Quran.

3. Tidak banyak di antara kita yang memahami isi Al Quran. Kita tahulah sedikit yang kita selalu baca dalam sembahyang atau dengar tafsirannya. Kita hafal beberapa ayat, tahu terjemahannya, untuk kita gunakan waktu pidato politik supaya pemilih suka kepada kita. Kalau nada suara kita itu sedikit fasih dan kearab-araban dan kita pakai pula sorban dan jubah bertambahlah kepercayaan orang-ramai kepada kita.

BUDAYA 'TAK TAHU'

Sunday, February 21, 2016

ANTARA AKTA DAN UMNO

Asm. Wbt. Sdr. Pembaca. Memandang kepada kenyataan Presiden UMNO Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak dalam ucapannya, sebagaimana yang tersiar dalam media sosial, yang menyentuh mengenai pengharaman UMNO, sempena penglibatannya dalam UMNO selama 40 tahun, saya masukkan kembali tulisan saya pada 17hb Jun, 2011 pukul 12.34 tengahari, supaya perselisihan yang bergelora dalam UMNO dan negara sekarang ini tidak disalahertikan oleh generasi akan dating. Saya akan perlengkapkan lagi karangan ini, dengan catitan berwarna biru jika saya dapati perlu tanpa mengosotkan lagi keadaan. Selamat membaca.

KESAH PENGHARAMAN UMNO

Sepanjang saya mengarang dalam blog ini sering terdapat kritik, herdikan, sindiran dan hentaman yang bersabit dengan pengharaman UMNO di waktu saya menjadi Setiausaha Agong. Saya telah berdiam diri kerana perkara itu sudah pun berlaku dan UMNO kini sudah saperti sediakala.

Walau bagaimana pun perkara ini tidak memuaskan hati kawan-kawan saya yang ingin saya menjelaskannya.

UMNO sebenarnya diharamkan kerana ada 'manusia' yang menjadi ahli UMNO yang tidak puas hati dengan hasil pemilihan dalam Perhimpunan Agong UMNO pada tahun 1987. Untuk mengharamkan keputusan pemilihan itu mereka telah membawa UMNO ke mahkamah. Akhirnya UMNO itu sendiri yang diharamkan oleh Hakim.

Setelah melihat perkembangan politik, selepas UMNO diharamkan, tidak menguntungkan 'manusia' ini maka mereka menyokong apabila ada pihak yang ingin menghidupkan semula UMNO yang sudah diharamkan itu.

Oleh kerana UMNO telah diharamkan di bawah Akta Pertubuhan yang wujud di waktu itu, maka pihak yang ingin menghidupkan UMNO lama ini telah memilih untuk menyokong usul untuk meminda Akta Pertubuhan, walau pun apa yang perlu dipinda ialah perangai, tabi'at dan nafsu 'manusia' ini.

Usul yang dikemukakan perlu dikebelakangkan ( back-dated ) supaya yang sudah dihalalkan menjadi haram, dan UMNO yang sudah haram menjadi halal semula, cuma dengan cawangan Umno yang tidak berdaftar sahaja yang tidak dibolehkan hadir dalam Perhimpunan Agung jika pemilihan diadakan semula.

Bagi saya semua rakyat perlu patuh kepada undang-undang negara dan menanggung risiko jika melanggarnya. Kita tidak boleh pinda undang-undang dadah berbahaya jika yang dihukum gantung kerana mengedarnya ialah anggota keluarga yang kita sayangi. Kita tidak boleh salahkan undang-undang jika yang salah ialah sikap, fi'il, perbuatan, tindakan dan amalan kita.
 
Oleh itu pada kesempatan ini saya perturunkan di bawah ini ucapan saya di dalam Parlimen pada 6hb Disember, 1988 yang berkaitan dengan kesah ini yang dapat memberi fakta, kefahaman dan pengertian yang sebenarnya.

Ucapan ini ialah jawapan saya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri yang menentang usul dari Anggota Parlimen yang mencadangkan supaya Akta Pertubuhan dipinda untuk mewujudkan semula UMNO yang ditubuhkan pada tahun 1946.

Selain dari catitan dalam dokumen Parlimen sebuah buku kecil telah diterbitkan mengenai perkara ini. Malangnya, tidak ramai yang berminat membaca minit Parlimen apatahlagi mereka yang tidak ingin kesalahan mereka diketahui oleh umum.

Nama buku kecil yang telah dicetak mengenai perkara ini ialah:
Antara Akta dan UMNO
6hb Disember, 1988

USUL GUA MUSANG

1. Menteri Pertanian (Dato' Seri Sanusi bin Junid): Tuan Yang Di Pertua: saya bangun untuk membahaskan Usul yang telah dikemukakan oleh wakil dari Gua Musang kelmarin. Alangkah baiknya jika Yang Berhormat dari Gua Musang membawa Usul untuk mengesahkan bahawa UMNO Baru dan UMNO ’46 itu sama.

2. Saya telah mendengar dengan penuh minat dan teliti sama ada di dalam atau di luar Dewan, semua hujah-hujah yang telah diutarakan oleh Yang Berhormat dari Gua Musang dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain khususnya dari kalangan Pembangkang.

TIDAK IKHLAS

2. Saya telah tidak mengganggu mana-mana kenyataan dan teguran yang telah dibuat. Saya telah mendengar dengan penuh kesabaran segala tuduhan-tuduhan yang saya rasa tidak tepat dari segi fakta dan tidak ikhlas dari segi niat.

3. Di situlah punca kekecohan berlaku sekarang ini di dalam masyarakat Melayu.

AHLI UMNO

4. Pertamanya, saya ingin menjawab tuduhan yang meyatakan saya tidak sayang kepada UMNO. Saya telah menjadi ahli UMNO pada pukul 2.45 tengahari, hari Ahad, 13hb Oktober, 1963 di waktu umur sekitar 20 tahun.

5. Saya telah mejadi ahli UMNO di waktu Tunku Abdul Rahman menjadi Presiden. Saya menjadi Ahli Parlimen di waktu Allahyarham Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri dan Predisen UMNO; menjadi Timbalan Menteri di zaman Tun Hussein Onn memimpin UMNO dan menjadi Menteri di zaman Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad. Sudah 25 tahun menjadi ahli UMNO, lebih panjang umur saya di dalam UMNO dari di luar UMNO. Tidak benar jika saya dikatakan tidak sayangkan UMNO.

PERPADUAN BANGSA

6. Oleh itu saya selaku Setiausaha Agung UMNO di waktu ia diisytiharkan oleh Mahkamah sebagai pertubuhan yang tidak sah, membuat penjelasan-penjelasan tanpa gangguan dari Ahli-ahli Yang Berhormat kerana saya fikir penjelasan ini boleh membantu membawa kepada sedikit sebanyak ke arah perpaduan bangsa dan negara.