Thursday, October 19, 2017

OTOBIOGRAFI SANUSI - 1. PENGENALAN

Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

Masukan blog kali ini berbeza sedikit kerana, sebagaimana tajuknya, ianya bertujuan memenuhi permintaan ramai sahabat yang meminta saya mengarang buku mengenai sejarah hidup saya dan juga seterusnya mengarang sebuah memoir mengenai penglibatan saya dalam masyarakat dan politik. Saya jawab 'Insya Allah.'

Buat permulaan saya tulis dulu INTRO BIOGRAFI SANUSI JUNID. Lepas ini saya akan terus memasukkan cebisan cerita tambahan secara beransuran, bila ada 'mood'.

Adalah menjadi harapan saya semoga generasi muda yang membacanya akan menyedari betapa sulitnya bagi seorang anak yatim yang bapanya, sebagai imigran, pemandu teksi dan lori, meninggal dunia waktu umur saya sekitar 12 tahun, untuk menjalani hidup yang penuh dengan cabaran, menuntut ilmu dan mencari pengalaman, tanpa dukungan keluarga yang ternama, berharta, berpengaruh dan berkedudukan.

Untuk tidak melambatkan penulisan saya tinggalkan dulu apa-apa fakta, yang tidak jelas, yang akan saya isi apabila sudah mendapat pengesahan mengenainya.

Saya mengalu-alukan sebarang cadangan, tambahan, teguran dan pembetulan dalam proses saya menulis biografi ini sebelum ianya dibukukan.

DARI ACEH KE KEDAH

Ayah saya Junid telah merantau ke Kedah, Malaya pada tahun 1942 dan telah dinikahkah oleh bapaknya Cut Ali dengan bonda saya bernama Juairiah @ Suriah anak kepada Nyak Osman bin Nyak Arif iaitu pengurus perniagaan Cut Ali.

Menyeberangi Selat Melaka dengan kapal ayah saya telah ke Penang dan terus ke Merbuk di Kedah bersama Guru Nyak Cut bin Teungku Sheikh Ibrahim yang menjalankan perniagaan di sana. Cut Ali juga ada kedainya di Merbuk bersebelahan kedai Guru Nyak Cut. Di situlah Junid diperkenalkan oleh Guru Nyak Cut kepada ayahnya yang tidak pernah beliau lihat sejak dilahirkan.
Junid ialah anak dari perkongsian hidup Cut Ali dengan isteri keduanya Cut Manyak anak kepada Teungku Sulaiman di Lambada anak ketiga dari Teungku Cik Di Tiro.
Di waktu Cut Ali berangkat ke Aceh pada sekitar tahun 1918 beliau sudah pun mempunyai tiga orang anak, di Kampung Aceh, Yan, Kedah, Malaysia hasil perkongsian hidupnya dengan Nyak Naim isteri pertamanya. Mereka ialah Nyak Husin, Nyak Maon dan Nyak Zainab, sementara Nyak Putih telah dilahirkan setelah Junid di lahirkan di Aceh.

Nyak Husin telah menikah dengan Nyak Asiah binti Teungku Hamzah iaitu adik Nyak Fatimah binti Teungku Hamzah yang menjadi isteri pertama kepada Nyak Gam seorang hartawan dan penyokong kuat Tengku Abdul Rahman, bapa kemerdekaan Malaysia.

Nyak Maon, anak lelaki Cut Ali yang kedua telah menikah dengan Aisyah binti Abu Bakar. Aisyah terkenal sebagai Bibik kepada anak-anak saudara yang sangat menyayanginya. Ibu kepada Bibik juga ialah ibu kepada Dato' Kasim yang bapanya juga bernama Nyak Maon iaitu nama yang sama dengan nama abang kepada Junid yang menjadi abang ipar Dato' Kasim.

Nyak Zainab, adik kepada Nyak Maon bersuamikan Nyak Cut Hashim sementara Nyak Putih binti Cut Ali bersuamikan Sheikh Umar bin Tengku Muhammad Dahan iaitu adik kandung Teungku Hasballah Indrapuri.

Teungku Hasballah adalah ulama yang bertaraf mufti di Aceh di waktu Teungku Muhammad Dawud Beureueh menjadi Gabenor di Aceh sekitar tahun 1940an.

BEURAWE
 
Perjalanan Cut Ali ke Aceh pada sekitar waktu pergolakan yang melumpuhkan ekonomi dunia pada tahun 1920 menyebabkan keluarganya di Lambhuk, Beurawe, Kota Radja (kini bernama Banda Aceh) telah menjodohkannya dengan Cut Manyak dari Meuraxa. Saya difahamkan bahawa kelumpuhan perniagaan Cut Ali akibat krisis ekonomi 1920an telah pulih semula dengan modal sumbangan pusaka yang ada pada Cut Manyak. 

MERAXA

Pertama kali saya ke Lambhuk saya telah diberitahu oleh anggota keluarga di Beurawe bahawa nenekanda saya Cut Manyak ialah anak Cut Sufi Meraxa sedangkan dalam rajah salah silah keluarga Beurawe Meraxa saya dapati nama nenekanda saya tiada di situ. Saya tidak berkesempatan bertanya salah silah keluarga nenekanda Cut Manyak dari beliau sendiri.

TIRO

Hanya setelah saya turut menubuhkan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) pada tahun 1972, yang beribu pejabat di rumah saya di Bukit Damansara dan disebabkan ABIM aktif mengkritik pemerintah Malaysia, kerana kurang Islamiknya, maka saya didekati oleh Tun Ghazali Shafie, Menteri Dalam Negeri,  iaitu kenalan baik Teungku Hasan Muhammad Di Tiro cucu Teungku Cik Di Tiro. Teungku Hasan Di Tiro adalah dua pupu nenekanda saya Cut Manyak. Teungku Hasan Muhammad Di Tiro ialah pengasas GAM (Gerakan Aceh Merdeka) yang perjuangan untuk mencapai kemerdekaan untuk Aceh telah akhirnya tamat setelah Aceh ditimpa bala Tsunami.

SYARI'AH ISLAM

Aceh kini menjadi Nanggroe Aceh Darussalam, iaitu sebuah daerah istimewa di Indonesia dan satu-satunya daerah di Indonesia yang dibenarkan Syariah Islam sebagai dasar kenegaraannya.

Tun Ghazali Shafie, sebagai salah seorang terpenting dalam mendirikan negara Malaysia dan penubuhan ASEAN (Association of South East Asian Nations) yang juga menjadi Menteri Dalam Negeri bersahabat baik dengan Teungku Hasan Di Tiro sebagai asuransi keselamatan bagi Malaysia setelah berpengalaman dikonfrantasikan oleh Soekarno, Presiden Republik Indonesia.

PERTEMUAN
TEUNGKU HASAN TIRO DENGAN CUT MANYAK

Setiap kali Tengku Hasan Di Tiro kembali ke Aceh beliau bermalam di rumah nenek saya Cut Manyak di Lambhuk, Beurawe, sebelum berangkat ke kampong bapaknya Muhammad yang berasal dari Kampung Bungong. Cut Manyaklah yang telah bertanya samada Teungku Hasan terbang dari New York terus ke Jakarta atau Medan, sebelum ke Banda Aceh, telah memberitahu bahawa beliau pulang melalui Kuala Lumpur. Lantaran itu Cut Manyak memberitahu kepada Teungku Hasan bahawa beliau ada cucu bernama Sanusi yang juga tinggal di Kuala Lumpur yang Cut Manyak sangat rindu tetapi tidak pernah bertemu sejak ayahanda Junid meninggalkan Aceh lebih 25 tahun yang lampau.

TUN GHAZALI SHAFIE

Terkejut mendengar nama Sanusi maka Teungku Hasan, setelah mendapat pengesahan dari nenek saya, keluarga sepupunya, bahawa ayah saya bernama Junid iaitu anak kepada Cut Manyak, cucu Teungku Tjhik Di Tiro, terus memberitahu nenek saya bahawa sayalah yang sering bertemu dan meladeninya setiap kali beliau ke Kuala Lumpur, walau pun dia tidak tahu saya berketurunan Aceh, kerana Tun Ghazali Shafie telah menasihatkan saya supaya tidak memperkenalkan identiti saya kepada Teungku Hasan.

PANGGILAN YAH CIK

Berikutnya, setiap kali Teungku Hasan ke Kuala Lumpur beliau bertemu saya selaku anggota keluarganya dan beliau meminta saya memanggilnya Yahcik. Pertemuan saya dengan Teungku Hasan bermula dari sekitar tahun 1971 setelah saya kembali dari Eropah (London dan Hamburg) untuk menuntut ilmu ekonomi dan perbankan.

WASIAT AYAHANDA JUNID
 
Ayahanda Junid telah meninggal dunia pada tahun 1956 di waktu saya berumur sekitar 12 tahun. Beliau ketika itu berumur sekitar 32 tahun. Beliau tidak pernah menceritakan kepada saya mengenai latar-belakang keluarganya di Aceh dan cuma mengingatkan saya supaya tidak lupa untuk menziarahi nenekanda Cut Manyak apabila saya sudah dewasa nanti.

PERTEMUAN PERTAMA
DENGAN NENEKANDA CUT MANYAK
Waktu saya pergi ke Aceh buat kali pertamanya saya telah bertemu dengan nenekanda Cut Manyak, seorang hafizah yang mengajar wanita-wanita muda di Beurawe membaca Al Quran. Entah apa sebabnya saya telah diberitahu oleh keluarga di Lambhuk bahawa nenekanda Cut Manyak ialah anak Cut Sufi. Kemudiannya, apabila saya mendapat salinan salah-silah keluarga Cut Sufi dan Teungku Sheikh Ibrahim saya tidak mendapati nama nenek saya sebagai anak Cut Sufi. Yang berkeluarga dengan Cut Sufi dan Teungku Sheikh Ibrahim ialah Cut Ali iaitu ayahanda Junid.
PESANAN TGK. MOHD DAHAN
UNTUK BERTEMU DENGAN
TGK MUHAMMAD DAWUD BEUREUEH
Lawatan saya yang pertama ke Aceh ialah atas keinginan bertemu dengan nenekanda Cut Manyak dan dorongan dari Teungku Muhammad Dahan, seorang ulama terkenal di Kedah. Atas pesanan Teungku Muhammad Dahan saya telah memberitahu nenekanda Cut Manyak atas pesanan Teungku Muhammad Dahan untuk saya menziarahi Teungku Muhammad Dawud Beureueh di Beureunuen, Sigli dan menyampaikan sepucuk surat untuknya.

Nenekanda Cut Manyak memberitahu saya bahawa untuk bertemu dengan Teungku Muhammad Dawud Beureueh saya hanya perlu pergi ke Aceh Hotel, di samping Masjid Baitul Rahman kerana di sana sering tinggal Teungku Mustafa Dawud anak kepada Teungku Muhammad Dawud Beureueh.

Di Aceh Hotel saya turut bertemu dengan Cet Li, Pengurus P. N. Toh iaitu sebuah syarikat kenderaan bas yang terbesar di Sumatera yang merintasi seluruh kepulauan Sumatera. Apabila saya memperkenalkan diri beliau terus menyambung 'Dron aneuk Bang Junid'. Bila saya memberitahu Cet Li saya dari Lhambhuk beliau terus menyampuk bahawa 'Kon, dron dari Tiro.' bererti 'Bukan, kamu dari Tiro.' Saya dengar sahaja.

Teungku Muhammad Dawud Beureueh berada di tengah-tengah sawah di waktu saya sampai di Beureunuen. Apabila diberitahu ada utusan dari Malaysia beliau terus menuju ke perbatasan sawah untuk bertemu dengan saya. Setelah bersalaman saya memberi surat dari Teungku Muhammad Dahan kepadanya. Beliau membaca dan tersenyum lebar, terus melipat surat itu dan disimpannya dalam raga yang dibawa bersama oleh seorang pembantunya. Saya terus dibawa ke Masjid Beureunuen yang masih belum selesai pembinaannya. Setelah makan siang di rumahnya saya terus berangkat ke Kota Radja menuju ke Aceh Hotel sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada keesokan harinya.

TEUNGKU DAWUD BERCUTI DI LUAR NEGARA

Sebelum Indonesia mengadakan pilihanraya umum atau pemilihan umum tahun 1971 di Indonesia, keputusan Presiden Soeharto ialah untuk membiayai rombongan Teungku Mohd Dawud Beureueh melancong ke luar negara. Dari staf kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur saya difahamkan bahawa lawatan ini dianjurkan untuk mengelak Teungku Mohd Dawud Beureueh dari memainkan peranan, atau tegasnya campur-tangan, atau terus terang mengganggu, dalam pemilihan umum berikutnya, dan beliau akan pulang ke Indonesia setelah selesai pilihanraya umum.

Dari Teungku Dawud Beureueh pula saya diberitahu oleh beliau bahawa penerimaan tawaran untuk beliau keluar negeri sebelum pilihanraya umum, walau pun beliau mengetahui hasrat tersembunyi pemerintah Indonesia, beliau telah terima atas empat sebab. Pertama ialah untuk menziarahi maqam sahabatnya Teungku Hasballah Inderapuri di Kampung Aceh Yan. Teungku Hasballah Inderapuri ialah abang kepada Teungku Muhammad Dahan dan salah seorang dari empat ulama yang menerima cadangan Soekarno-Hatta untuk Aceh menolak tawaran Belanda untuk Aceh menyertai Republik Indonesia. Selain Teungku Mohd Dawud Beureueh dua orang ulama lagi ialah Teungku ______________ dan __________. Tujuan kedua ialah untuk ke Mekkah mengerjakan umrah dan sekaligus memenuhi pesanan sahabatnya Kahar Muzakkar dari Sulawesi untuk Teungku Dawud Beureueh mendo'akan untuk beliau di hadapan Ka'bah di Mekkah. Ketiga, ialah untuk mencari dana bagi mempersiapkan masjid beliau. Sebab keempat ialah untuk bertemu dengan sahabat-sahabat di luar negara., antaranya ialah Teungku Hasan Di Tiro yang berada di Amerika Syarikat.

DI MAKAM TEUNGKU HASBALLAH INDERAPURI

Di waktu selesai berdo'a di makam Teungku Hasbullah Inderapuri di samping meunasah Setoi, Kampung Aceh, Yan Kedah Teungku Dawud Beureueh telah bertanya pada pendampingnya samaada ada dari kerabat Teungku Hasballah Inderapuri seorang putra sekitar umor di bawah 30 tahun yang belum mendirikan rumah tangga. Pada waktu itu saya yang berada di Kuala Lumpur menerima talipon dari Ustaz Yasin yang bertanya samaada saya sudah mempunyai calon, kenalan atau pacar dengan ikatan untuk mendirikan rumahtangga. Saya merasa kehairanan dengan pertanyaan itu dan bila mengetahui yang bertanya itu ialah Teungku Mohd Dahan bagi pihak Teungku Mohd Dawud Beureueh maka saya terus menjawab "Kirim salam saya kepada Teungku Dawud Beureueh dan Teungku Mohd Dahan dan kaum kerabat di kampong yang ada bersama. Saya juga memberitahu bahawa saya belum sempat berfikir untuk mencari pasangan hidup kerana sibuk dengan urusan kerja dan kegiatan mendirikan Koperasi Shamelin dan memimpin pertubuhan belia MAYC (Malaysian Association of Youth Clubs). Kata yang menalipon, 'Kalau begitu biarlah orang tua-tua di kampong sahaja yang membantu untuk memilihnya.' Saya menjawab, 'Terima kasih, asal ada yang mahu membantu.'

PERTEMUAN DI SINGAPURA

Selepas hampir sebulan Teungku Mohd Dawud Beureueh mengelilingi dunia, dalam perjalanan pulangnya beliau singgah di Singapura dan menginap di Goodwood Park Hotel. Di Singapura Teungku Dawud Beureueh telah bertemu dengan keluarga sepupu ayahanda Junid, Teungku Nyak Mahmud iaitu ayah kepada Teungku Malik Mahmud Wali Nanggroe Aceh yang ada sekarang. Nyak Mahmud telah meninggalkan Lhambhuk Beurawe untuk berusaha di Singapura sebelum Aceh menjadi sebahagian dari Indonesia.

KAK ROHANI DAN CUT ABANG GHAZALI

Untuk mengeratkan hubungan keluarga dua isteri Cut Ali yang bermadu, iaitu Cut Manyak dan Nyak Nain, anak sulung Teungku Nyak Mahmud, yang berhubungan keluarga dengan Cut Manyak, isteri kedua Cut Ali, yang bernama Kak Rohani telah dijodohkan oleh Cut Ali dengan seorang lagi cucunya, dari sebelah isteri pertamanya Nyak Nain, bernama Ghazali dan mereka tinggal di Pulau Pinang di waktu itu. Perkahwinan ini dirancang oleh Cut Ali untuk mendekatkan hubungan antara keluarga kedua isterinya. Begitu kira-kira yang difahamkan kepada saya.

PERTEMUAN KEDUA
DENGAN TGK. MOHD DAWUD BEUREUEH
Saya telah menerima talipon dari Goodwood Park Hotel di Singapura menjemput saya untuk segera kesana untuk bertemu dengan Teungku Mohd Dawud Beureueh.

Dalam pertemuan itu saya telah ditemuduga mengenai berbagai soalan berkaitan dengan ugama, pekerjaan dan kegiatan saya yang lain. Malah, dalam ingatan saya yang kabur, saya juga telah diminta untuk menjadi imam solat Maghrib pada malam itu. Agak susah untuk saya menjadi imam solat Maghrib kerana terpaksa membaca ayat-ayat yang nada yang kedengaran kepada makmum. Saya tidak dijemput mengimamkan solat Zohor atau Asar kerana dua solat ini telah saya jamakkan.

Soalan mengenai ugama juga agak mencabar kerana ia melibatkan ibadat, rukun Islam, rukun Iman dan sejarah Islam dan tokoh-tokohnya di Malaysia, Indonesia dan sejarah awal Islam di zaman Nabi dan Khalifah. Saya bernasib baik kerana sebagai salah seorang pengasas ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) saya sering bersyarah di sana sini mengenai ugama sekadar yang saya tahu. Selesai 'interogasi' di Singapura saya meninggalkan Singapura dengan peluh dingin.

BERSAMBUNG...

6 comments:

wmu350 said...

Terima kasih Ts Sanusi atas perkongsian

Nizam Adham
12.49am
6hb feb 2017

Unknown said...

Subhanallah....hebat sejarah TS

msh said...

Salam Ts...

Alhamdullilah...agak detail.

Sy dari Kedah...selalu ke Yan...dan tahu serba sedikit tentang org2 Acheh disana.

Ingin juga sy ketahui tentang ramai keluarga Ts dari Aceh yg tinggal diYan....atau disemenajung yg telah berjaya dlm kerjaya masing2...sekadar menjadi inspirasi dan berkongsi dgn anak cucu betapa kental dan hebat jatidiri perantau spt keluarga Ts selain perantau dari benua Cina dan India berbanding peribumi.

Hata.ingin dibuat teladan....jika sudi.

Anonymous said...

Assalamualaikum Tan Sri.

Dah lama saya menunggu buku mengenai Tan Sri. Silalah disambungkan lagi agar ianya dapat dijadikan naskhah yang boleh dibuat rujukan.

Terimakasih.
MSA

Sanusi Junid said...

Assalaamu'alaikum wrbt. Saya mengucapkan ribuan terimma kasih kepada saudara pembaca dan yang membuat komen yang menggalakkan untuk saya terus menulis. Sehingga hari ini 2hb Disember, 2017 saya telah menulis 7 bab di bawah nama OTOBIOGRAFI SANUSI dan saya berharap jika ada yang mengenali saya dan ada fakta, tarikh dan nama yang tersilap dapat membeeritahu kapda saya supaya dapat saya betulkan. Maklumlah, pada umur 74 tahun sebahagian dari pengalaman saya sudah pudar dalam ingatan. Selamat membaca. Terima kasih.

Apar said...

Allahu Akbar :)