Tuesday, July 21, 2009

INTERNAL SECURITY ACT - ISA



ISA

1. Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA ( Internal Security Act ) sudah menjadi satu akta yang paling popular diperbincangkan. Saya juga telah dijemput oleh TV9 untuk berdebat mengenainya dengan ahli Parlimen Keadilan, YB Wee Choo Keong, yang berasal dari DAP, di bawah rancangan 'HUJAH'.



2. Tajuk ISA ini menjadi bertambah popular apabila begitu banyak yang pernah ditahan di bawah ISA kini berada di dalam Parlimen, termasuk YB Wee Choo Keong.



3. Mungkin kerana mereka pernah ditahan di bawah ISA - lah maka ada di antara banduan ISA telah menggunakan masa dalam tahanan untuk menambah ilmu dan memupuk kesedaran baru sehingga berjaya memenangi pilihanraya dan menjadi Ahli Yang Berhormat.




4. Sebagai seorang pendebat di TV9, bukan sahaja dalam masa berdebat tetapi juga dalam perbincangan sebelum perdebatan bermula, saya baru menyedari bahawa banyak perkara dan fakta yang tidak disedari atau diketahui oleh sesetengah daripada mereka yang bercakap mengenai tajuk ini.



5. Sebagai seorang yang pernah menjadi Timbalan Menteri di Kementerian Dalam Negeri, di waktu Tun Ghazali Shafi'e menjadi menterinya, saya berpeluang bukan saja mempelajari secara mendalam sejarah, keperluan, faedah dan kekurangan Akta ISA ini.



6. Perlu saya tekankan di sini bahawa seluruh rakyat Malaysia sebenarnya terhutang budi kepada ISA. Tanpa ISA dan penggunaannya negara Malaysia tidak mungkin akan wujud dalam aman saperti sekarang ini.



7. Siapakah sebenarnya yang anti ISA?



8. Ada lima kelompok yang menentang ISA, iaitu"



8a. Bekas tahanan-tahanan di bawah ISA,

8b. Anggota keluarga kepada banduan ISA,

8c. Orang yang takut ditahan kerana keghairahannya berpolitik sehingga didapati bersalah di bawah ISA,

8d. Orang yang sering mendengar dakyah menentang ISA tanpa mendengar hujah sebaliknya, dan

8e. Orang yang mengikut arus kerana persekitaran yang ternampak menentang ISA.

9. Perlu diingat bahawa tidak semua yang pernah ditahan di bawah ISA menjadi penentang kepada ISA, walaupun mereka mengakui ada pembetulan yang di perlukan padanya.



10. Antara tokoh-tokoh yang pernah ditahan di bawah ISA tetapi tidak menentang ISA secara buta tuli, ialah YB Dato' Ibrahim Ali dan Dr. Kasim Ahmad.



11. Malahan Dr. Kasim Ahmad, yang dulunya menjadi Presiden Parti Sosialis Rakyat Malaysia telah memasuki UMNO setelah beliau keluar dari tahanan ISA.



12. Begitu juga dengan Penasihat Pakatan Rakyat YB Dato' Seri Anwar Ibrahim. Beliau menentang ISA sebelum memasuki UMNO. Beliau menyokong ISA bila menjadi Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dari parti UMNO. Beliau kini menentang ISA bila sudah terkeluar dari UMNO.



13. Begitu juga dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau tidak menentang ISA waktu menjadi pegawai kerajaan dan kemudian menjadi Menteri dari UMNO. Bila beliau terkeluar sekejap dari UMNO beliau menentang ISA. Bila beliau masuk balik sehingga menjadi Perdana Menteri beliau mengetuai kerajaan yang a) menggunakan ISA untuk menangkap tokoh-tokoh Hindraf, b) menggunakan ISA untuk menangkap Tan Hoon Cheng yang dikatakan oleh Menteri Dalam Negerinya kerana takut keselamatan Tan Hoon Cheng ( dan bukan keselamatan negara ) terancam, dan c) menangkap blogger terkenal Raja Petra walau pun beliau tidak mengancam keselamatan negara. Kini Tun Abdullah di luar kerajaan dan dia juga ikut berterompet saperti pembangkang yang menentang ISA. Kononya jika khidmatnya lebih panjang beliau akan menghapuskan ISA.



14. Saya dan mereka yang hidup berpolitik secara jujur dan sezaman dengan saya, adalah penyokong ISA, walau pun ianya perlu dipinda kerana ISA bukan hukum Allah dan tentu banyak yang perlu dirobah mengikut keperluan semasa



15. Jika, kerana kita lemah tenaga berhujah, dan sombong, kita mahu membuang langsung ISA pihak saya tiada kuasa menghalangnya. Boleh ISA ini dibuang tetapi perlu diganti dengan akta lain dengan pindaan yang bersesuaian.



16. Waktu saya di Kementerian Dalam Negeri saya dapati bagi setiap jenis manusia ada tempat baginya. Contohnya:



16a. Bagi yang memerlukan ilmu ada sekolah rendah, menengah, tinggi dan universiti,

16b. Bagi yang cacat anggota badan samada capik, pekak, bisu ataupun buta ada sekolah vokasyional untuk pelajar-pelajar istimewa,

16c. Bagi yang jahat ada Sekolah Gurney Boys School,

16d. Bagi pencuri ada lock-up,

16e. Bagi penyamun, perompak dan perasuah ada penjara, dan

16f. Bagi pembunuh ada tali gantung.



17. Tetapi bagi orang yang 'kurang ajar' dan 'tiga suku' tidak ada tempat baginya. Itulah sebabnya kita dapati banyak pergaduhan di dalam masyarakat ialah kerana orang-orang yang 'kurang ajar' dan 'tiga suku'. Orang-orang ini mulanya bersikap sederhana tetapi kekurang-ajaran dan ketiga-sukuannya boleh menjadi bertambah melampau sehingga menimbulkan huru-hara.



18. Sikap 'kurang ajar' dan 'tiga suku' ini juga didapati di dalam Parlimen dan di kalangan penulis. Sudah tentu mereka ini tidak patut ditangkap di bawah ISA. Itulah sebabnya saya pernah cadangkan untuk ditubuhkan 'SOKATIS' atau 'Sekolah Orang 'Kurang Ajar' dan 'TIga Suku'. ( Iaitu SO = Sekolah Orang; KA = Kurang Ajar; dan TiS ( Tiga Suku ).



19. Cadangan ini tidak dibawa kedalam kabinet kerana lebih awal ditolak oleh Menteri saya di waktu itu.



20. Rakyat yang menyokong ISA pula umumnya terdiri dari:



20a. Mereka yang pernah terancam penghidupannya oleh keganasan komunis,

20b. Orang yang hidup di waktu Peristiwa berdarah 13 Mei, 1969,

20c. Rakyat yang hidup di zaman konfrantasi dengan Indonesia, dan

20d. Kerajaan yang ingin mempunyai kuasa untuk mengekalkan keamanan.



21. Bagi yang menyokong ISA pula mereka bukan saja mempelajari sejarah tetapi juga mengingatinya.



22. Dari sejarah kita pelajari bahawa asal ISA ini ialah dari Emergency Regulations Ordinance 1948. Ordinance atau undang-undang ini telah diadakan untuk menentang pengganas komunis di bawah pimpinan Chin Peng. Undang-undang ini telah memberi kesan positif sehinggalah tamat darurat pada tahun 1960, iaitu 3 tahun setelah merdeka pada 31hb Ogos, 1957.



23. Untuk menjamin keselamatan dan keamanan negara Bapa Kemerdekaan kita, YTM Tunku Abdul Rahman Putra, bersama-sama dengan rakan seperjuangannya telah bersetuju mengekalkan akta ini sebagai ISA mengikut kuasa di bawah Seksyen 149 Perlembagaan Malaysia.. Ianya wujud dan telah berjasa sehinga sekarang.



24. Pada tahun 1960, walaupun dharurat telah tamat di Malaysia tetapi di dua negara jiran, Singapura dan Indonesia, fahaman pelampau sosialis dan komunis telah tumbuh dengan suburnya. Lee Kuan Yew berfahaman sosialis dan Soekarno pula di pengaruhi oleh D. N. Aidit, Ketua Partai Komunis Indonesia ( PKI ).



25. Menteri saya, Tun Ghazalie Shafie, memberitahu bahawa pihak British, yang masih menjajah Singapura diwaktu itu, merasa bimbang, apabila Singapura merdeka ianya akan bekerjasama dengan Indonesia dan menutup perairan antara Singapura dan Indonesia yang tidak mempunyai perairan antarabangsa.



26. Jika perairan antara Singapura dan Indonesia ditutup berertilah sesebuah kapal laut perdagangan dari Eropah yang hendak ke Hongkong, Taiwan, Korea Selatan dan Jepun terpaksa belayar puluhan ribu batu di Selatan Selat Lombok, di utara Australia untuk kesana. Perjalanan ini tidak ekonomik.



27. British lebih selesa jika Singapura merdeka melalui Malaysia dengan menjadi sebahagian daripada Malaysia. Dengan adanya ISA pihak British mengetahui fahaman sosialis, yang mirip komunis, itu dapat diamankan oleh Akta ISA ini.



28. Dengan cara Singapura berada di dalam Malaysia maka kemungkinan pakatan mereka dengan Indonesia, untuk menutup Selat Melaka, tidak ditakuti lagi.



29. Memandang kepada jumlah kaum China yang begitu banyak di Singapura maka jika hanya Singapura yang memasuki Malaysia maka keseimbangan kaum akan memihak kepada kaum China. Situasi begini tidak boleh diterima oleh orang-orang Melayu dan kesetabilan politik akan tergugat.



30. Dengan kerjasama pejuang-pejuang Melayu di Sabah dan Sarawak, iaitu di bawah pimpinan Tun Dato' Mustafa dan Tun Dato' Patinggi A. Rahman Yaacob kedua-dua wilayah, Sabah dan Sarawak, telah bergabung di dalam Malaysia.



31. Dengan tergabungnya Sabah, Sarawak dan Singapura maka kesiimbangan kaum antara Melayu dengan China tetap membimbangkan; tetapi, dengan tercetuskan konsep Bumiputera, maka keseimbangan Bumiputera dan bukan Bumiputera memihak kepada Bumiputera.



32. Konsep Bumiputera ini telah diperkenalkan kerana orang-orang di Sabah, walaupun dari rumpun Melayu yang sama, tetapi tidak termasuk dalam definasi Melayu mengikut perlembagaan Malaysia yang mensyaratkan Melayu mesti berugama Islam. Orang-orang Kadazan dan Iban, sebagai contoh, selain berugama Kristian atau animis, tidak mahu dipanggil Melayu.



33. Walau bagaimanapun penubuhan Malaysia pada 16hb September, 1963, telah ditentang oleh Indonesia. Mereka telah berkonfrantasi dengan Malaysia.



34. Beberapa urutan peristiwa berkaitan dengan konfrantasi Indonesia telah tidak diketahui oleh generasi muda malah dilupakan oleh generasi lama. Berikut adalah beberapa kejadian yang perlu diketahui untuk menghayati betapa seriusnya konfrantasi itu. Peristiwa-peristiwanya adalah:



34a. Pada 17hb Ogos, 1964 pasukan payung terjun tentera Indonesia telah mendarat di Barat Daya Johor;



34b. Pada 2hb September, 1964 pasukan payung terjun tentera Indonesia telah mendarat di Labis;

34c. Pada 29hb Oktober, 1964 52 orang anggota tentera darat Indonesia mendarat di Pontian; dan

34d. Pada 28hb Jun, 1965 pasukan rasmi tentera Indonesia menyeberangi Sabah.



35. Hanya apabila satu pemberontakan berlaku di Pulau Sumatera barulah pasukan tentera wanita PKI ( Partai Komunis Indonesia ) yang bernama GERWANI ( Gerakan Wanita Indonesia ) telah membatalkan serangannya keatas Sabah dan Sarawak. Mereka berundur dari sempadan kependalaman Kalimantan.



36. Sementara Indonesia bertubi-tubi menyerang Malaysia pihak pimpinan kerajaan Singapura pula tidak turut membantu. Bermula dari rusuhan kaum di Singapura pada 21hb Julai, 1964, YTM Tunku Abdul Rahman akhirnya telah memutuskan, melalui Parlimen, untuk memecat Singapura dari Malaysia mulai 9hb Ogos, 1965.



37. Tunku Abdul Rahman merasakan ancaman kepada kepimpinan Melayu hanyak boleh diselesaikan dengan pemecatan Singapura. Sebenarnya Singapura tidak perlu dikeluarkan dari Malaysia jika YTM Tunku membenarkan Tun Dr. Ismail menggunakan ISA untuk menangkap pengacau-pengacau politik di Singapura. Tun Dr. Ismail telah keluar dari kabinet Tunku sebagai protes terhadap tindakan memecatkan Singapura dari Malaysia.



38. Tun Dr. Ismail sendiri telah menyatakan hasratnya untuk menggunakan ISA dan menangkap pengacau-pengacau politik dari Singapura. Kerana dihalang maka beliau berhenti dari menjadi anggota kabinet. Beliau menyatakan perkara ini kepada sekumpulan pemimpin-pemimpin Pemuda UMO di waktu itu dan saya turut hadir sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban Timur di Negeri Sembilan.



39. Alasan Tun Dr. Ismail berhenti kerana beliau sakit, sebagaimana yang tercatit di dalam buku yang diedit, oleh seorang bukan Melayu dari Singapura, adalah tidak benar. Kerana Tun Ismail tidak sakitlah maka dia sanggup menerima semula jawatan dalam kabinet di bawah Tun Abdul Razak. Dia terima untuk berkhidmat semula bukan kerana dia sudah sembuh dari sakitnya.



40. Setelah Singapura dipecat dari Malaysia barulah kerajaan Malaysia bertambah tegap dan teguh untuk mengendalikan masaalah negara; akhirnya termeterailah persetujuan perdamaian antara Malaysia dan Indonesia, di Bangkok, pada 28hb Mei, 1966.



41. Konfrantasi tamat pada tahun 1967



42. Setelah gagal menggunakan ISA dan menahan usaha memecat Singapura dari Malaysia ada pemimpin di Sarawak dan Sabah pula yang ingin membawa Sarawak dan Sabah keluar dari Malaysia. Malah ada berita-berita angin yang menyatakan Sabah, Sarawak dan Singapura akan mewujudkan federation atau persekutuan yang baru.



43. Berita ini hanya angin belaka. ISA - lah yang telah menyelematkan Malaysia kerana ianya diguna secara bijaksana. Jika ISA tidak wujud atau wujud tanpa digunakan maka sudah pasti rancangan mengeluarkan Sabah dan Sarawak dari Malaysia menjadi kenyataan.



44. Kita ucapkan terima kasih kepada ISA kerana berbudi kepada negara Malaysia.



45. Malangnya setelah Pilihanraya Umum tahun 1969 kita telah alpa dan tidak menggunakan ISA untuk menghalang rusuhan berlaku. Seandainya ISA telah digunakan apabila pihak risikan memaklumkan ancaman terhadap negara sedang membara, sudah pasti peristiwa 13 Mei tidak akan berlaku.



46. Inilah kali kedua ISA gagal digunakan. Pihak yang menentang ISA selalu memetik ucapan Tunku Abdul Rahman apabila membela tahanan ISA tetapi mereka lupa bahawa kerana keengganan Tunku Abdul Rahman menggunakan ISA - lah maka Singapura tersingkir dari Malaysia dan Peritiwa berdarah 13hb Mei, 1969 telah berlaku.



47. Pada ketika inilah pendirian pihak keselematan negara telah memutuskan untuk tidak membiarkan sesuatu keburukan berlaku dulu baru ISA digunakan. Sebaliknya ISA perlu digunakan sebelum kekacauan atau peristiwa berdarah berlaku, supaya kekacauan dan peristiwa berdarah tidak berlaku.



48. Inilah yang saya maksudkan apabila saya bertanya di dalam debat 'HUJAH' di TV9, pada malam itu, ' apakah kita perlu menangkap orang apabila kita tahu dia hendak membunuh, ataupun kita tunggu dia bunuh dulu baru kita tangkap pembunuh itu?'



49. Dari 27hb Oktober, 1987 hingga 14hb November, 1987, 106 orang telah ditangkap di bawah 'Operasi Lalang'. Banyak juga antara yang tertangkap itu kini berada di dalam Parlimen.



50. Kita tidak hairan melihat mereka menentang ISA, walau pun YB Dato' Ibrahim Ali, yang turut ditangkap tidak menentangnya. Mereka yang menentang ingin mencatitkan bahawa mereka tidak bersalah dan yang bersalah ialah undang-undang. Sepatutnya mereka bertanya kenapakah mereka ditangkap?



51. Waktu peristiwa 'Operasi Lalang' ini saya memegang jawatan Setiausaha Agong UMNO dan juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan. Yang menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri pada waktu ialah Tan Sri Megat Junid bin Megat Ayob.



52. Pada satu hari, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tun Dr. Mahathir telah memaklumkan bahawa beliau, sebagai Menteri Dalam Negeri, telah menolak permohonan dari kira-kira 50 pemohon untuk mendapat kerakyatan Malaysia.



53. Malangnya kes ini akan dibawa oleh seorang peguam ke mahkamah untuk mendapat kerakyatan di bawah 'natural justice'. Jika 50 kerakyatan ini diluluskan oleh mahkamah maka hakim telah mengambil alih kuasa eksekutif.



54. Jika ini berlaku maka ratusan ribu bukan rakyat akan menjadi rakyat Malaysia melalui mahkamah. Ini akan memberi kesan negatif kepada kuasa politik Melayu dan sudah pasti orang-orang Melayu akan bertindak terhadap keputusan ini.



55. Didalam mesyuarat kabinet berikutnya Tun Dr. Mahathir telah melaporkan perkara yang sama. Kabinet diberitahu bahawa ada laporan risikan atas sebab hakim berkenaan berani merancang untuk bertindak meluluskan kerakyatan. Mengikut laporan, di waktu seorang hakim sedang di lambung khayalan kerana minuman kerasnya maka dia telah kedengaran berkata bahawa 'dia tidak peduli kepada kerajaan lagi kerana UMNO begitu lemah, kerana berpecah. Orang-orang Melayu tidak menyokong UMNO lagi.'

( Maksud UMNO berpecah di sini ialah kerana pada 25hb Jun, 1987 12 orang wakil UMNO telah memohon kepada mahkamah supaya Perhimpunan Agong UMNO pada bulan April, 1987 diisytiharkan tidak sah. Kes ini terkenal sebagai 'UMNO 11' kerana Hussain bin Manap telah kemudiannya menarik diri dari kumpulan 12 yang asal. UMNO akhirnya diharamkan oleh mahkamah oleh Hakim Harun Hashim pada 4hb Februari, 1988 )

56. Oleh kerana saya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan, dianggap oleh Tun Dr. Mahathir sebagai 'pakar' dalam urusan mengumpul orang ramai maka saya dilantik didalam kabinet untuk menjadi pengerusi untuk menguruskan perhimpunan raksaksa 'Perpaduan Melayu' di Stadium Merdeka pada 1hb November, 1987.



57. Oleh kerana Tun memberikan kepada saya tempoh masa 3 bulan untuk menjalankan kempen perpaduan maka saya menjadikan sasaran untuk mengumpul 1 juta orang untuk berarak beramai-ramai dari Padang Besar di Pantai Barat, dari Rantau Panjang di Pantai Timur, dan dari Johor Bharu di Selatan, kestadium Merdeka sebagai tanda Melayu bersatu.



58. Kira-kira satu minggu sebelum perhimpunan raksaksa diadakan saya mendapat arahan dari pihak polis supaya membatalkan perhimpunan raksaksa ini. Alasan yang diberi oleh polis ialah untuk menjaga 'keselamatan negara' kerana katanya ada satu perjumpaan yang telah diadakan, oleh seorang tokoh, untuk merancang membuat huru-hara dengan membakar kedai-kedai China pada 1hb November, 1987, iaitu pada 'Hari Perpaduan Melayu'.



59. Oleh kerana polis bimbang dengan apa yang akan berlaku, dan saya pula tidak mahu jatuh air muka untuk membatalkan perhimpunan, sedangkan saya sudah bermati-matian berkempen melalui jentera UMNO untuk mengadakan rapat raksaksa itu, maka saya menyatakan sanggup ditangkap dan tidak akan membatalkan perhimpunan.



60. Tun Dr. Mahathir pula menyerahkan kepada pihak polis dalam urusan keselamatan. Itulah sebabnya pihak polis, dan bukan saya, yang membatalkan perhimpunan raksaksa yang dijadualkan pada 1hb November, 1987.



61. Polis juga atas dayausaha sendiri telah menangkap 106 orang yang disyaki boleh membuat huru-hara. Apa yang mengejutkan ialah antara yang tertangkap termasuklah kawan-kawan saya juga.



62. Dengan 'Operasi Lalang' di bawah Akta ISA maka terselamatlah negara dari peristiwa berdarah kedua pada 1hb November, 1987 selepas peristiwa berdarah 13hb Mei telah berlaku pada tahun 1969. Malah ada yang tertangkap dibawah 'Operasi Lalang' yang terlibat dalam Peristiwa berdarah 13 Mei, 1969.



63. Saya yakin bahawa ISA - lah yang menjamin keselamatan negara dari ancaman pengganas komunis, dari ancaman konfrantasi Indonesia, dari anasir yang ingin memisah dan mengeluarkan negeri-negeri dari negara Malaysia dan yang menghalang berulangnya peristiwa 13hb Mei, 1969.



64. Walau bagaimanapun ISA ini ternyata telah disalahgunakan dalam beberapa kes di zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dalam demokrasi seseorang itu tidak boleh takut kepada kritikan seperti beliau takut, sehingga sanggup menghalang mentornya Tun Dr. Mahathir dari memberi ceramah di mana jua



65. Blogger Raja Petra telah ditahan pada 12hb September, 2008 kerana karangan dan tuduhannya menyakitkan hati, walaupun tidak mengancam keselamatan negara, dan ada pemberita, Tan Hoon Cheng, yang ditangkap untuk menjaga keselamatannya dan bukan keselematan negara.



66. Hindraf juga ditahan di bawah ISA.



67. Kita patut bertanya sejarah kewujudan Hindraf. Pada mulanya tidak ada Hindraf. Hanya beberapa orang saja yang bergerak atas nama Hindraf. Kerana kekecewaan mereka terhadap seorang pemimpin India maka mereka telah membuat berbagai usaha untuk melaporkan masalah mereka kepada pemimpin negara.



68. Kecuaian pemimpin negara untuk bertemu dengan Hindraf-lah maka mereka telah merancang untuk tunjuk perasaan di depan Suruhanjaya Tinggi British. Pihak British menerima baik tunjuk perasaan mereka tetapi kita yang menghalang mereka. Akhirnya api yang mulanya kecil telah membesar yang menyebabkan ISA perlu digunakan.



69. Memang tidak salah kita menggunakan ISA untuk kita menghalangkan Hindraf dari mengganas, tetapi kita tetap bersalah kerana tidak mahu mendengar kelohan mereka sebelum mereka menjadi besar sehingga mampu mengancam keselamatan negara.



70. Berlandaskan fakta-fakta di atas adalah jelas bahawa ISA banyak berjasa kepada negara. Tetapi, penyalahgunaan ISA telah dilakukan oleh pemimpin yang terlalu takut kepada kritikan media cetak dan elektronik sahingga dianggap bahawa semua kritikan itu, betul atau tidak, sebagai ancaman kepada negara.



71 Adalah tidak bijak bagi seseorang pemimpin politik untuk menganggap ancaman kepada politiknya, atau politik peribadinya, sebagai ancaman kepada negara. Pemimpin bukan negara. Malahan kritikanlah, jika diteliti dengan bijak, boleh menghalang pemimpin dari merosakkan negara.



72. Kebanyakan dari bekas tahanan ISA telah mengkeritik ISA kerana ingin membersihkan nama mereka sebagai banduan; dan kritik juga membuat rakyat simpati kepada mereka. Tetapi lebih banyak lagi yang mengkeritik kerana:



72a. Boleh ditahan untuk 60 hari tanpa hubungan dengan pihak luar ( incommunicado ),

72b. Boleh terus ditahan selama 2 tahun tanpa dakwaan di mahkamah, dan

72c. Lepas 2 tahun boleh ditahan lagi selama 2 tahun dan seterusnya.



73. Selain dari tahanan tanpa dakwaan di mahkamah bekas banduan ISA juga mengeluh tentang layanan yang mereka terima di dalam penjara.



74. Soalnya ialah:



74a. Apakah tahanan tanpa hubungan selama 60 hari terlalu lama. Jika lama maka berapa harikah boleh ditahan tanpa hubungan dengan pihak luar yang difikirkan patut.

74b. Apakah 2 tahun terlalu lama untuk ditahan tanpa dakwaan. Berapa lamakah dianggap patut. Ataupun tidak boleh ditahan seberapa lama jua, tanpa dakwaan.

74c. Jika didakwa di dalam mahkamah berapa tahun pulakah hukuman yang maksima yang harus diberi.

74d. Bagaimana pula suasana bilik bagi tahanan yang telah didakwa. Jika pembesar parti, apakah perlu mendapat katil dan tilam yang berbeza dengan banduan lain.

74e. Bagaimana pula dengan makanan. Kalau di penjara di Britain banduan diingatkan 'What is good for the warden is good for the prisoners'. Apakah kita juga demikian setelah mengambil perbezaan ugama.



75. Walau apa juga gantian atau pindaan kepada Akta ISA ianya pasti ada cacatnya.



76. Lihat saja apa yang berlaku kepada MACC yang menggantikan ACA. Kalau kita baca pujian-pujian pembangkang terhadap pergantian agensi dengan commission, ianya seolah-olah kerajaan dibawah pemimpin Perdana Menteri yang lalu telah membuat sesuatu yang luar biasa dan tidak ada kekurangan lagi bagi membolihkan rasuah dibenteraskan.



77. Kini, yang terbunuh tidak bersalah. Yang dituduh belum terbukti. Bayi di kandungan tidak berbapa. Yang menjalankan tugas sebagai pegawai MACC juga tidak bersalah kerana semuanya dengan izin Akta MACC. Yang pasti bersalah ialah Akta MACC.



78. MACC yang baru ini, yang dipuji-puji oleh pembangkang selama ini, sudah tercela namanya walaupun MACC belum sempat wujud sepanjang ISA yang telah berjasa selama 50 tahun Merdeka.

15 comments:

Abd Rashid Mohd Ali said...

ISA skrg ini telah dislahgunakan utk menahan musuh politik, bukannya lagi utk menangkap teroris algi.

Middle Line said...

Memandangkan kita sama-sama beragama islam, saya ingin bertanya pandangan Datuk Seri, dari sudut Islam ada tak suatu dalil yang manghalalkan tahanan tanpa bicara seumpama kes ISA ini ?

Anonymous said...

DATO' BAGI CONTOH RAJA KATAK@RAJA LALANG SEDUNIA MEMANG DATO BUAT LAWAK LA...
IBRAHIM ALI? KAH KAH KAH....

mycorpora said...

Tuan,

Saya hanya seorang rakyat biasa yang tidak begitu berminat didalam politik.

Terima kasih kerana menulis dengan fakta dan dibaluti dengan perspektif menarik.

Tuan, isu ISA ini bukannya ada kena mengena dengan undang-undang ISA itu sendiri. Rakyat yang baik dan berdisiplin tidak akan berasa sedikit pun takut dengan apa-apa undang-undang yang wujud wbg beratnya undang-undang itu dari segi hukumnya.

Tuan, tidakkah terlintas difikiran Tuan bahawa isu ISA ini hanyalah berkait dengan penyalahgunaannya oleh manusia. Undang-undang lain juga disalahgunakan tetapi disebabkan hukuman ISA agak "berat" maka ia mendapat perhatian.

Tuan, memandangkan UMNO adalah kerajaan "of the day" maka UMNO telah dimomokkan kerana mempersalahguna ISA. Mana-mana kerajaan pun boleh tergamak membuat demikian didorongkan "political survival" masing-masing.

Tuan, cubalah Tuan selidik semula adakah ISA sekarang digunakan dengan sewajar "spirit it was promulgated to be"?

Tuan, pada pendapat saya, ISA ini bukan satu yang begitu hangat; yang hangatnya ialah kita diterajui kerajaan yang sudah rosak teruk akhlak dan akidahnya. Saya berasa sedih kerana kerajaan mana dan apa yang wujud, ia melambangkan keperibadian rakyat Malaysia itu sendiri.

Bukankah begitu Tuan?

arman_215 said...

salam dato. yg nyata skrang ini ISA bukan untuk keselamatan negara, tetapi untuk keselamatan pemerintah yang takut akan kebenaran.ISA skrang ni adalah alat politik BN..rakyat semua dah tahu . jangan dato nak temberang dgn fakta2 basi di atas.

Syalimy said...

Teruskan nostalgia dato. Kalau boleh lagi panjang, lagi baik.

Unknown said...

Datuk, saya rasa datuk sudah nyanyuk la...akta ini telah disalahgunakan dengan begitu teruk sekali. Lebih lama akta ini kekal lagi teruk ia akan dipergunakkan. Undang undang yang ada biarpun undang2 sivil ataupu syariah sudah memadai. Saya rasa kalau akta ini dimansuhkan, cuma orang2 UMNO,MCA dan MIC saja yang akan tergugat. Nanti hilang kontrak berjuta-juta. Nanti tak mampu lagi lah nak hantar anak2 ke luar negeri walaupun memuji sistem pendidikan dinegar kita. Tak boleh la nak bercuti luar negeri(disneyland,dll) pakai duit rakyat, buat rumah berjuta-juta tak payah kelulusan,...Datuk kalau nak cerita banyak sangat rahsia2 yg akan terbongkar kalau tak ada ISA...dengan ada ISA bolehlah tutup mulut yg lantang menyuarakan hak dan kehendak rakyat.

CHAIRMAN KAGA said...

23 July 2008

YAB Tan Sri Dato Sanusi Junid
Putrajaya


Pe: POSTING ISA

Saya amat tertarik dengan posting ISA yang dipaparkan diblog Tan Sri.

2. Saya merupakan penyokong tegar pihak PAS dan mendapat bukan segala point point yang ditulis Tan Sri boleh diterima ataupun ditolak.

3. Masalah ISA adalah ISA tidak digunakan secara sama rata. Contohnya, saya telah bersusah payah membendung kegiataan bloggers Parpu Kari (http://parpukari.blogspot.com) yang suka mengungkit pekara pekara yang bakal menggangu ketenteraman awam.

3b. Posting posting Parpu Kari kerap boleh menimbulkan ketengangan diantara kaum, merosakkan minda minda murid murid di sekolah dan boleh menyebabkan pelbagai masalah terutamanya dikalangan mereka mereka yang kurang berpendidikan. Komen - komen di blog tersebut berbaur unsur perkauman dan sering menyerang peribadi pemimpin pemimpin negara.

4. Saya percaya jikalay Tan Sri merangkap Mentehri Dalam Negeri, kegiataan bloggers tersebut akan dapat dibendung.

5. Diharap jikalau pihak Tan Sri Dato dapat memberi kata nasihat kepada bloggers tersebut ataupun memberi kesedaran kepada YAB Mentehri Dalam Negeri supaya sendiri mengambil berat tentang hal ni.

Sekian Sahaja

Berkhidmat Untuk Kao Orang
Pengerusi Kaga

Melayuku Hebat said...

Tan Sri,
Saya merasakan bahawa ramai yang telah kecewa dengan kerajaan semasa pemerintahan Pak Lah. Justeru mereka melihat bahawa kerajaan BN tidak relevan lagi.

2. Dengan itu mereka menolak bulat-bulat segala apa yang baik yang sudah sedia ada. Kini, sudah menjadi satu trend bahawa semua hendak menjadi pengkritik kepada kerajaan BN dan dasar-dasarnya.

3. Ada yang menggunakan nama Islam untuk mengatakan bahawa ISA tak ada dalam ISlam. Yang mereka lupa ialah dalam Islam ada mengatakan tentang taat dan patuh pada pemimpin. Kenapa tak ikut? BN dah menang pilihanraya, jadi kenapa tak boleh terima hakikat? Patuh sajalah. Bukankah itu yang dituntut oleh Islam?

4. Negara ini amanpun kerana ISA. Cuma pengacau saja yang tak nak ISA.

5. Saya adalah rakyat negara ini. Saya tak suka lihat tunjuk perasaan dan kata mengata yang akhirnya membawa pergaduhan. Janganlah kita nak meniru negara barat hanya atas nama kebebasan.

6. Anwar Ibrahim adalah raja segala benda-benda haram. Daripada Perarakan haram hinggalah hubungan haram. Dulupun dia nak tubuhkan kerajaan haram pada 16 september. Sekarang menjadi kepala perhimpunan haram.

7. Orang macam ni dah patut lama kena ISA. Bila kita tangkap, ramai kata kita tangkap musuh politik tapi hakikatnya perangai macam teroris pun. Di Malaysia, ramai pemimpin politik tak bertamadun. Baik BN atau PKR, PAS dan DAP.

8. Orang ramai marah BN kerana ramai budak budak hingusan BN dah jadi kaya sekelip mata. Sumbangan pada masyarakat tak nampak pun.

9. Orang marah pada PKR kerana cakap tak serupa bikin. Pembangkang di Malaysia tahu bangkang tak habis-habis. Benda yang baikpun dibangkang. Tolol.

10. Di negara barat, habis saja pilihanraya mereka bersatu semula dan membangunkan negara. Di malaysia, pembangkang tak mcm tu. Tak pernak habis berpolitik.

11. Dulu Pas kata UMNO kafir sebab berkawan dengan MIC dan MCA. hari ini Pas gabung dengan DAP dan PKR yang penuh dengan India. Tak kafir ke? Tak, sebab PAS ingat Islam tu dia punya.

12. Nizar pemimpin Pas sama-sama nyala lilin untuk seorang cina meninggal. Tak salah Nik Aziz kata. Sebab hukum ada dua. Satu untuk PAS dan satu untuk UMNO. Nanti kalau ada lagi cina mati, Nik Aziz pun boleh nyala lilin. saya boleh supply lilin untuknya.


13. Jadi apa beza UMNO dengan Pas? Sama saja.

14. Saya setuju dengan tulisan Tan Sri bahawa ISA masih relevan untuk menentukan bahawa pengacau tak buat banyak kacau.

15. Kalau Pas bentuk kerajaanpun saya tetap sokong ISA dikekalkan. Datang ke majlis angkat sumpah Anwarpun saya sanggup. Cuma saya tak berani berdiri di depannya. masa tu Nizar dan Nik Aziz boleh nyalakan lilin.

Entahlah bang.

KS said...

Tampalan Dato' yang panjang lebar sedikit pun tidak menyentuh peristiwa Mamali yang berlaku di Zaman yang terkenal dengan 2M .Dato' dah lupa atau buat-buat lupa .Mungkin ramai pembaca ingin menilai sejauhmana kebijaksanaan 2M menangani kes Mamali dalam konteks Keselamatan Dalam Negeri dan ISA. Siapa yang mengorbankan siapa?Tulislah sikit Dato' supaya generasi baru dapat menilai.

icewater said...

Pandangan dan maklumat sebeginilah yang wajar dan patut dihidangkan pada umum secara meluas...namun dengan hebahan dan pendedahan yang dibuat di dalam laman blog sebegini pasti tersemat dalam lipatan sejarah dan akan kekal lebih lama..

Saya yakin, ramai lagi rakyat Malaysia yang dahagakan maklumat serta pendedahan sebegini...Alangkah ruginya negara apabila tidak memahami isu ISA ini dengan tepat dan jelas.

Tokoh seperti Tan Sri Sanusi harus kembali ke arus perdana setidak-tidaknya sebagai saluran penerangan kerajaan dan sejarah negara yang perlu diperbetulkan dari segi pemahaman dan kesedaran.

Wajarnya, suatu agensi ditubuhkan atau gunakan sahaja apa-apa agensi kerajaan yang sedia wujud sebagai pemangkin pantas atau 'jump start' projek mega ini...Roadshow Mega ala Hujjah yang kian digemari boleh diolah untuk memperdengarkan bicara sebenar isu-isu semasa..

Tan Sri Sanusi harus diberi kepercayaan untuk mengepalai agensi ini dan pergerakan itu harus disokong penuh oleh kerajaan yang pastinya amat memerlukan suntikan atau 'booster' bagi melancarkan gerakan sokongan rakyat kiranya benar ingin melihat kejayaan yang lebih gemilang dan berkualiti pada pilihanraya akan datang..

Tahniah Tan Sri Sanusi.

Melayuku Hebat said...

Tan Sri,
Minggu ini bermulalah mesyuarat perwakilan UMNO bahagian. Di dalam mesyuarat ini nanti akan ada pertandingan untuk G7 untuk menentukan siapa yang akan pergi ke persidangan kebangsaan di PWTC.

2. Secara jujur saya berani mengatakan bahawa G7 adalah merupakan punca kelemahan UMNO sehingga menyebabkan UMNO hampir menerima padah di dalam pilihanraya yang lalu.

3. Saya mengatakan ini kerana UMNo telah menjadi begitu teruk sehinggakan yang terpilih selalunya adalah mereka yang tidak berkualiti.

4. Mereka selalunya menang bukan disebabkan mereka boleh membela nasib Melayu tetapi kerana mereka telah berpakat sesama sendiri untuk meenentukan bahawa di kalangan mereka saja yang terpilih. Secara rengkasnya, A sokong B dan B sokong A.

5. Amat susah orang yang benar-benar ikhlas dan berjiwa UMNO yang boleh menembusi pakatan berkepentingan untuk menang G7. Akhirnya mereka yang sama pergi ke PWTC tiap tahun.

6. Kebanyakkan mereka yang pergi ke persidangan UMNO terdiri daripada kontraktor atau orang bisnes yang lain. Dari kontraktor kecil hinggalah yang paling besar.

7. Perebutan tempat untuk menjadi anggota G7 menjadi lebih bermakna dan sengit jika ada pertandingan di peringkat pusat. Di waktu inilah mereka boleh mengumpul duit untuk beli kereta dan sebagainya. paling kurang bayar down paymentnya.

8.Sejak kebelakangan ini perbahasan sudah tidak menarik lagi. Semasa zaman pak Lah, pebahasan menjadi medan tempat mengampu pemimpin walaupun pemimpin tersangat lemah.

9. Ramai yang sedar bahawa yang dipilih untuk berucap semasa persidangan adalah mereka yang di'handpicked' oleh ketua perhubungan negeri. Ketua perhubungan negeri akan mengingatkan wakil berucapnya supaya cakap yang baik sahaja.

10. Ucapan di persidangan dipenuhi dengan suka-suka termasuklah syair dan gurindam memuji pemimpin. langsung tak ada kualiti.

11. Persoalan saya ialah apakah ahli lain tidak layak menghadiri dan berucap diperhimpunan?

12. Untuk mengembalikan kepercayaan ahli dan bangsa Melayu terhadap UMNO saya ingin mencadangkan kepada Presiden supaya :

1. Wakil-wakil yang berucap di persidangan UMNO hendaklah diberi peluang kepada wakil-wakil profesional dan lain-lain.

2. Contohnya mesti ada wakil guru, doktor, nelayan, orang kampung,pelajar universiti dan lain-lain. Mereka ini boleh mebuat permohonan dan satu jawatankuasa bolehlah memilih.

13 Apabila suara semua golongan didengar, barulah kepercayaan terhadap UMNO kembali pulih. dan barulah persidangan menjadi lebih bermakna dan berkualiti.

Apa pendapat Tan Sri?

Pro Raja Nong Chik's said...

Assalamualaikum Tan Sri,

Saya menghormati Tan Sri selepas mendengar ucapan Tan Sri di majlis kecil di Damansara sebelum PRU-12.

Saya faham masalah Tan Sri, iaitu walau terlalu banyak ingin diceritakan, tapi sebanyak itu jugalah yang terpaksa disimpan sehingga mati kerana yang membaca bukan setakat orang Melayu Islam sahaja.

Mungkin sebab itulah tulisan Tan Sri pada pandangan saya walau penuh informasi utk org semacam saya yg rajin dan sanggup mmbaca 2-3 kali, tapi bagi umum mungkin agak merewang. Mungkin Tan Sri dapat compactkan sikit lain kali.

Mungkin Tan Sri boleh ambik contoh tulisan Akhram - sentiasa padat dan dapat menyampaikan mesejnya walau selalunya tulisannya agk pendek.

Sekian, salam hormat.

http://prorajanongchik.blogspot.com

Anonymous said...

Saya amat terhibur dengan cara penyampaian Tan Sri di dalam blog ini, terutama di dalam entry 'Kokkoru'. Sentiasa bermukadimah dengan mengambil iktibar daripada hasil penulisan buku. Benarlah kata orang ramai bahawa Tan Sri adalah seorang ulat buku.

2. Saya juga amat tertarik kepada beberapa idea Tan Sri sewaktu memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah & Menteri Pertanian. Unik dan bernas. Harap Tan Sri dapat menceritakan kisah jatuh/bangun Kampung Buku Langkawi. Bagaimana idea itu tercetus, serta apa yang menyebabkan kegagalannya... dari perspektif Tan Sri sendiri.

3. Saya juga yakin ramai rakyat juga berminat mengetahui kisah2 menarik sewaktu berada di dalam kerajaan.

T.Kasih.

Anonymous said...

http://www.shalattas.com/news.php.