Monday, December 17, 2012

SANUSI BERSYARAH ATAS TONG IKAN


 Bersyarah atas tong ikan.

(Kolom Rencana - Personaliti - Berita Minggu 16-12-2012)
 
Empat pesanan bapa jadi panduan hidup Sanusi

Mona Ahmad

Pengalaman menyampaikan kisah Nabi-Nabi di atas tong ikan dan diperhatikan oleh orang ramai setiap kali mengikut bapanya menghantar bekalan ke Ipoh, menjadi medan latihan syarahan pertama bagi bekas Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid.

Seawal usia tujuh tahun itu, Sanusi diberi pendedahan oleh bapanya, Junid Cut Li, yang sudah dapat meramal masa depan anak sulung kesayangannya itu.

Malah, empat pesanan Allahyarham bapanya masih diingati dan diamalkan ialah belajar trengkas, menaip, bermain tenis dan memasak.

“Menurut arwah bapa ketika beliau belajar di sekolah agama di Padang, satu masalah yang timbul ialah pelajar tidak dapat menyalin apa yang diajar ustaz. Justeru, jika kita pandai trengkas dapat menyalin dengan cepat.

“Dengan kecekapan menaip, kita bukan hanya boleh membuat nota disampaikan guru bahkan boleh menjualnya kepada rakan. Belajar memasak pula mesti sekurang-kurang tiga jenis masakan kerana jika pandai memasak tentu ramai yang mahu berkawan.

“Belajar bermain tenis, jika tidak pandai, ambil upah kutip bola tenis kerana masa itu ramai pegawai Belanda di Padang, Indonesia yang bermain tenis,” katanya.




Semasa bersekolah di Sungai Petani, seorang pelajar senior, Miskin Fakir (bapa pelakon, Jehan) yang menjadi kedi, mengajaknya jadi pembantu kedi yang antara mengambil bola yang jatuh dalam selut.

“Bapa izinkan selepas mendapati ramai pegawai British yang bermain golf kerana mahu anaknya tahu berbahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Damansara, baru-baru ini. Sebelum bapanya meninggal ketika Sanusi berusia 12 tahun, beliau berpesan supaya rajin belajar jika mahu menaiki kapal terbang percuma.

“Ketika itu pesawat British sering berlegar di udara untuk mengesan komunis. Sebagai budak kampung, kami keluar runah tiap kali pesawat lalu dan melambai-lambai.

“Bapa berpesan sebagai pendatang (keluarga dari Aceh, Indonesia), di mana saja jangan berebut pangkat kerana akan dapat banyak musuh. Carilah kerja, tentu tiada musuh kerana tidak semua orang mahu bekerja,” katanya.

Disebabkan miskin selepas kematian bapanya, Sanusi lewat empat bulan mendaftar di Kolej Melayu Kuala Kangsar kerana tidak cukup pakaian.

Tiada baju masuk asrama

“Syarat masuk asrama perlu ada beberapa pakaian harian dan seragam tetapi saya hanya ada dua pakaian harian. Kebetulan ibu bekerja sebagai tukang jahit dengan bapa saudara, Nyak Putih. Saya sering mengikut Nyak Putih berniaga kain di Pekan Rabu, Alor Setar. Saya juga tukang baca surat di pasar minggu itu.

“Sebelah petang di belakang pasar, ramai yang berkumpul mendengar orang menjual ubat antaranya Rahman Siam (mencabut gigi); Ghani (menjual ubat cap Rumah Api); Amat Turki (menjual minyak kambing gurun) dan Radin Saleh (menjual makjun Puteri Madura yang kini dikenali sebagai Makjun Peladang). Tugas saya ambil upah pukul gendang selain membantu menjual pakaian. Apabila duit dikumpul cukup baru masuk ke sekolah asrama,” katanya.

Pengalaman sebagai pegawai bank Melayu pertama di Negeri Sembilan, antara kenangan yang tidak dapat dilupakan tokoh berusia 69 tahun itu. Ketika itu, kebanyakan petani di Kedah berhutang dengan orang tengah dan membayar bunga 80 peratus.

“Saya buat cadangan kepada Bank Chartered memberi pinjaman RM50 juta kepada 25,000 petani di Kedah, Perlis dan Seberang Prai dengan kadar RM2,000 seorang supaya mereka boleh melangsaikan hutang dengan orang tengah dan hanya perlu membayar faedah 10 peratus. Cadangan itu diluluskan ibu pejabat di London dan dilaksanakan.

Dilema kerja di bank

“Saya dalam dilema untuk berhenti kerana tidak mahu terbabit riba. Saya berbincang dengan ulama di Kedah dan Aceh. Mereka kata pekerjaan itu haram tetapi tidak benarkan saya berhenti kerana ketika itu tiada pegawai Islam dalam bank untuk menguruskan pinjaman 25,000 petani dan menyatakan Allah Maha Pengampun. Saya bekerja di bank itu sehingga sepenggal menjadi Ahli Parlimen,” katanya.

Bercerita mengenai Perhimpunan Agung UMNO, beliau yang juga bekas Setiausaha Agung  parti itu berkata, pertandingan jawatan presiden antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah pada pemilihan tahun 1987 peristiwa paling mngejutkan.

“Malam itu, seorang wartawan, Pillay menelefon saya memberitahu kunci kotak undi bercampur. Saya tidak percaya. Keesokannya ketika mahu memulakan pengundian kunci bercampur aduk dan selepas Tun (Mahathir) berucap, pemilihan ditangguh sehingga jam 3 petang.

“Dalam tempoh empat jam itu saya nampak buat pertama kali politik wang diamalkan dengan terang-terangan. Di tandas PWTC pun mereka agih duit. Dulu ada wang kertas RM500. Ada yang dapat wang separuh, jika Tun tidak kalah mereka tidak dapat separuh lagi (ketika itu wang yang ditampal dengan plastik laku digunakan).

“Saya yakin, calon yang bertanding tidak tahu perkara itu dan ia bukan arahan mereka. Tun menang tipis, jika tiada sabotaj dengan sabotaj kunci dan politik wang mungkin undi lebih besar dimenangi,” katanya.

Nasihatnya kepada ahli UMNO, jangan cari pangkat dalam perjuangan, carilah kerja kerana jika berebut pangkat semua akan berkelahi.

“Kita perlu pasang niat, cara kena betul untuk mencari keredaan Allah dalam apa juga akhirnya kuasa Allah yang menentukan,” katanya yang sentiasa membaca al-Quran, buku dan mempelajari bahasa asing untuk menajamkan fikiran.

2 comments:

Anonymous said...

idea bagus, tetapi kalau tiada cara untuk mencari orang yang boleh melaksanakan idea tersebut masih sia-sia. Masalah melayu telah dibincangkan tetapi apakah tindakan dan atau perancangan

Anonymous said...

Nyak Puteh itu bapa P Ramlee?
Kenapa terlepas pandang. Saya ingat Tan Sri jarang bercerita tentang P Ramlee lebih detail.