Melayu
mesti diperkasa
Pidato
di UPSI bincang masa depan bangsa
(Berita Harian - Nasional - Ahad 16-12-2012)
Oleh: Ihsan Noorzali
Asal usul dan masa depan bangsa Melayu
menjadi fokus bicara pada pidato anjuran Institut Peradaban Melayu (IPM),
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sesi itu menampilkan bekas Menteri Besar
Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Pensyarah Fakulti Pengajian Pertahanan,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UNPM), Prof. Datuk Dr. Wan Hashim Wan The
sebagai pembicara, manakala Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mior Kamarul Shahid
sebagai pengerusi.
Pidato itu sempena Seminar Gagasan
Melayu Serumpun Dalam Peradaban Malaysia dan Pelancaran Buku IPM di Dewan
Konvensyen, Bangunan E-Learning, UPSI di sini, kelmarin.
Sanusi menyentuh soal orang Melayu yang
semakin hilang sifat positif hari ini ketika menyampaikan pidatonya bertajuk “Perpaduan
Dalam Peradaban Melayu”.
Katanya, beliau mengagumi sastera Melayu
kerana berupaya menyatupadukan bangsa selain idealisme bangsa penting sebagai pengukuh perpaduan.
Beliau berkata, orang Melayu perlu
sentiasa menambah pengetahuan melalui penguasaan bahasa lain selain Bahasa
Melayu.
“Orang Melayu perlu meluaskan ‘penjara’
bahasa dengan mempelajari bahasa Inggeris supaya banyak ilmu dari luar dapat
difahami dan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mereka”, katanya.
1,500
tahun bina tamadun
Wan Hashim dalam pidatonya bertajuk ‘Migrasi
dan Kecemerlangan Peradaban di Rumpun Melayu’ menyimpulkan kedudukan rumpun dan
bangsa Melayu bermula pada kurun ke-16 dengan kira-kira 1,500 tahun membina
tamadun yang cemerlang berbanding bangsa lain di dunia termasuk Eropah.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof.
Datuk Dr Zakaria Kasa melancarkan 10 buku terbitan IPM.
Buku itu antaranya, ditulis oleh Menteri
Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim; dua Sasterawan
Negara, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) dan Prof Emeritus Dr Muhammad
Salleh; Prof Emeritus Datuk Dr Asmah Omar dan pensyarah UPSI.
Pengarah IPM, Prof Datuk Wira Dr Abdul
Latiff Abu Bakar berkata IPM sebagai pengembang dan penyebar ilmu melalui
penerbitan ilmiah bagi memenuhi keperluan semasa pengajian peringkat tinggi.
No comments:
Post a Comment