MENANGANI ISU PERTANIAN
PERJALANAN MENUJU KEMENTERIAN PERTANIAN
1. Sebelum memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan, walaupun sudah menjadi Ahli Parlimen, sejak tahun 1974 sehingga tahun 1978, saya bekerja dalam sebuah bank swasta yang pada waktu itu bernama The Chartered Bank yang kini, sejak sekitar tahun 1978, telah bergabung dengan The Standard Bank dan mendapat nama baru The Standard Chartered Bank. Majority saham bank ini dimiliki oleh rakyat Scotland. Sepanjang saya menjadi Anggota Kabinet dari tahun 1978 hingga tahun 1995 dan menjadi Menteri Besar Kedah dari tahun 1996 hingga tahun 1999 banyaklah pengalaman dan cabaran yang saya hadapi. Walaupun zaman sudah berubah saya dapati banyak masalah yang dihadapi di masa lampau masih menjadi isu yang dihadapi dan diperdebatkan di masa sekarang.
2. Oleh itu saya telah dan akan terus menurunkan, dari masa ke masa, dalam blog ini sedikit demi sedikit perjalanan yang telah saya lalui yang mungkin bermunafaat untuk generasi masakini dan masa akan datang. Yang baik bolehlah dijadikan tauladan dan yang buruk dijadikan sempadan. Semoga program yang dianggap sudah lapuk pula tidaklah patut berulang.
TIMBALAN MENTERI DULU DAN SEKARANG
3. Walau pun saya berada dalam Kabinet dari tahun 1978 hingga tahun 1995 selama masa dari tahun 1978 hingga tahun 1980 saya hanya menjadi Timbalan Menteri dan bukan Menteri penuh. Walau bagaimana pun di masa itu seseorang Timbalan Menteri terus memangku jawatan Menteri jika Menteri bercuti, keuzuran atau berada di luar negeri. Keadaan sekarang sudah berbeza.
4. Sebagai Timbalan Menteri di dua kementerian sepanjang masa Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri saya bertugas di Kementerian Pembangunan Tanah dan Pembangunan Wilayah dan di Kementerian Dalam Negeri. Menteri saya ialah Allahyarham Tan Sri Abd. Kadir bin Yusof, seorang peguam dan Allahyarham Tun Mohd Ghazali bin Shafie seorang pentadbir dan diplomat.
PENUBUHAN SEMULA KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA DAN LUAR BANDAR DAN KEMENTERIAN PELANCONGAN
5. Sebelum menjadi Menteri Besar Kedah saya bertugas sebagai Menteri Pertanian setelah sebelumnya saya memegang jawatan Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar. Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar telah pun dihapuskan di bawah pentadbiran Tun Hussein Onn dan diwujudkan semula apabila Tun Dr. Mahathir mengambil alih pimpinan negara. Selepas perlantikan menjadi Perdana Menteri itulah Tun Dr. Mahathir telah mengumumkan kewujudan semula Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar dan penubuhan Kementerian Pelancongan. Malaysia adalah antara Negara yang pertama di dunia yang mewujudkan Kementerian Pelancongan.
PENGLIBATAN DALAM DUNIA SWASTA
6. Semua pengalaman dalam berbagai jawatan sangatlah mencabar dan memberi pengalaman dan kepuasan kepada saya walaupun ianya tidak ada kaitan dengan kelulusan dan pengalaman saya dalam bidang kewangan dan perbankan. Semasa saya bertugas di bank saya turut terlibat dalam kegiatan swasta sebagai pengasas SHAMELIN, INSAN DIRANTO dan TUGU INSURANCE yang kini sudah berubah menjadi Arab Malaysia Insurance Berhad. Saya juga telah merancang bersama-sama seorang tokoh perniagaan dari Bahrain yang bernama Hussein Najadi untuk menubuhkan sebuah Bank Islam kerana di waktu itu belum ada bank sedemikian di Malaysia. Malangnya apabila lesennya dikeluarkan Hussein telah dipenjarakan di negaranya kerana melanggar persetujuan negara-negara yang beraja di Timur Tengah dengan Amerika Sharikat yang tidak membolehkan usaha mewujudkan apa jua bentuk institusi kewangan dan bank Islam, di waktu itu. Hussein memikirkan persetujuan itu terbatas untuk bumi Arab yang beraja sahaja sebaliknya ia mengikut rakyat sesebuah negara Arab itu sendiri dan halangan merangkumi kegiatan rakyat negara Arab di seluruh dunia. (Saya agak terkejut mendengar Hussein Najadi telah terbunuh dengan kejam baru-baru ini iaitu di waktu saya berada di Mekah di akhir Ramadhan untuk melaksanakan ibadah Umrah di sana).
PENGLIBATAN DALAM PERBADANAN DAN JAWATANKUASA KERAJAAN
7. Setelah saya mengenali Tun Abdul Razak, sebagai eksekutif bank dan pemimpin belia MAYC dan Koperasi SHAMELIN, maka saya telah dilantik ke dalam beberapa badan kerajaan seperti BANK SIMPANAN NATIONAL, LTAT DAN FELDA.
8. Saya juga berpeluang menjadi anggota majlis NACIT (National Advisory Council on Industrial Training) dan jawatankuasa yang mengawasi perkembangan kedai-kedai borong runcit Melayu untuk memastikan tidak berlaku 'hartal' jika berulang lagi peristiwa seperti yang berlaku pada 13 Mei, 1969, selepas pilihanraya 1974.
KEMENTERIAN KEMAJUAN TANAH DAN KEMAJUAN WILAYAH
9. Oleh itu, dalam menjalankan tugas saya sebagai Menteri jarang sekali saya berinteraksi dengan tokoh-tokoh korporat dan jutawan. Di Kementerian Pembangunan Tanah dan Wilayah saya berkesempatan berhubungan rapat dengan pegawai dan peneroka FELDA, petani dan peladang FELCRA selain dari kalangan penanam getah RISDA. Saya juga sering melawat kawasan KESEDAR dan DARA di Pahang, KEJORA di Johor, KETENGAH di Terengganu, KADA di Kelantan dan KEDA di Kedah. Semua pesertanya dari kalangan yang berpendapatan rendah belaka di waktu itu.
10. Di Kementerian Dalam Negeri pula saya terdedah kepada BANDUAN dalam penjara, PENAGIH dadah, PELACUR yang ditangkap dan PENJENAYAH serta mereka yang menjadi PENGANCAM KESELAMATAN NEGARA.
KEMENTERIAN PEMBANGUNAN NEGARA DAN LUAR BANDAR
11. Sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar saya berdepan dengan AHLI-AHLI dan masalah-masalah KOPERASI, PEMINJAM BANK RAKYAT dan masalah kerugian tertumpuk BANK RAKYAT kerana hutang lapuk yang bermula dengan skandal United Manufacturers dan perlawanan tinju Muhammad Ali dan Joe Bugner, PEMINJAM WANG MARA, BIASISWA DAN PEMEGANG BIASISWA MARA, JALAN dan AIR, juga LETRIK LUAR BANDAR, INDUSTRI KECIL dan pembangunan KRAFTANGAN.
KEMENTERIAN PERTANIAN
12. Di Kementerian Pertanian saya berdepan dengan masalah PETANI, PENTERNAK dan NELAYAN.
TERIMA KASIH KEPADA PEGAWAI DAN KAKITANGAN DI SEMUA KEMENTERIAN, DAN MEMOHON MAAF ATAS SEGALA KESILAPAN
DAN SALAHLAKU DAN KESILAPAN TINDAKAN