Wednesday, October 7, 2015

SINAR HARIAN - 6/10/15 - SEMUA KAUM BERSATU


Tidak ingin bersatu punca perpecahan, kata Sanusi

NIZAM ZAIN
6 Oktober 2015


Bekas menteri besar Kedah,Tan Sri Sanusi Junid ketika berucap pada program Bicara Minda & Sesi Dialog yang bertajuk Perpaduan:Mengapa Kita Masih Keliru? bertempat di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam hari ini. - Foto Sinar Harian Oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM - Veteran Umno, Tan Sri Sanusi Junid berkata, semangat perpaduan rakyat Malaysia boleh “berkubur” sekiranya masyarakat Melayu, Cina dan India tiada keinginan untuk bersatu padu.

Beliau berkata usaha untuk menyatupadukan ketiga-tiga kaum terbesar itu semakin sukar apabila tiada persamaan dari segi pengalaman dan penderitaan bersama susulan jurang ekonomi semakin jauh.

“Kita kenalah ada keinginan nak bersatu, Melayu, Cina, India ingin tak nak bersatu? Melayu ingin tak bersatu sesama Melayu? Cina ingin tak bersatu dengan Melayu? India ingin tak bersatu dengan Melayu?

“Kalau tiada keinginan, itu penghabisannya. Kalau tahap ekonomi itu telah terlalu berbeza, maka dengan sendirinya tiada kebersamaan dari segi pengalaman (hidup),” katanya pada program Bicara Minda Sinar Harian yang bertajuk: Perpaduan: Kenapa kita masih keliru di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau juga berkata, perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang berlaku sejak akhir ini berpunca dari segi perbezaan taraf ekonomi dan tiada sikap kepedulian sesama mereka.

“Sebagai orang Islam kita diminta supaya hendaklah berpegang kepada tali Allah dan jangan berpecah-belah dan kita sebagai orang Islam juga, kita bersaudara.

Di manakah kita sekarang ini? Melayu sekarang ini ada di peringkat yang berbeza-beza, ada yang sudah kaya, ada di peringkat pertama, ada yang tak peduli pada orang, di sini datangnya perpecahan dalam bangsa kita,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, kebergantungan orang Melayu kepada sistem pendidikan semata-mata tanpa mengambil kira pengetahuan sejarah dan nilai-nilai murni dalam hidup turut menyumbang kepada perpecahan pada hari ini.

“Itulah sebabnya kita dapati sekarang ini, kalau dulu kita mencuri ayam, hari ini kita mencuri harta dan kita merompak negara kerana ilmu ada pada kita tiada nilai-nilai yang baik,” katanya lagi.

Sanusi turut menyindir sikap pemimpin Melayu kini yang gemar menyuruh rakyatnya daripada amalan rasuah, namun mereka sendiri melakukan jenayah tersebut.

“Kita tak boleh ajar orang benda yang kita tak buat, bagaimana kita nak suruh orang jangan rasuah, sedangkan kita sendiri rasuah.

“Taiwan, ada 20,000 pemimpin di semua peringkat yang memiliki ciri-ciri amanah, berani, disiplin dan setia, itu sudah cukup. Adakah Melayu yang amanah, berani, disiplin dan setia seramai 20,000 orang?” soalnya.

No comments: