Monday, August 22, 2016

TUN MUSA DAN DATUK IBRAHIM ALI

A NEW FICTION - 'FRANKLY SPEAKING'

1. Dalam bukunya yang baru dilancar Tun Musa Hitam telah menuduh AIDS (Anwar Ibrahim, Daim Zainuddin dan Sanusi Junid) sebagai 'conspirators' yang melagakan beliau dengan Tun Dr. Mahathir sehingga Tun Musa terpaksa meletak jawatan.

ANTARA TUN MUSA DAN DATUK IBRAHIM ALI

DATUK IBRAHIM ALI

2. Ada dua buah autobiography atau memoir yang telah terbit dalam masa terdekat yang baru berlalu. Lebih awal terbit buku PERJUANGAN TANPA NOKTAH dengan versi dalam bahasa Inggerisnya THE MISUNDERSTOOD MAN. Buku ini dikarang oleh sahabat saya sejak tahun 1972 Datuk Ibrahim Ali. Jika anda baca buku Datuk Ibrahim setebal 829 halaman anda akan terasa bahawa Datuk Ibrahim, dengan segala kontroversi yang dikaitkan dengannya, adalah seorang yang ikhlas, jujur berani dan bukunya bolehlah diberi tajuk FRANKLY SPEAKING. Bukan buku Tun Musa.

3. Begitu FRANK Datuk Ibrahim Ali sehingga beliau tidak hiraukan imejnya setelah buku itu ditulis dan beliau juga tidak takut atau bimbang jika bukunya itu membuka luka-luka lama di kalangan tokoh-tokoh yang ingin melupakan kisah masing-masing.

4. Apa yang mengekalkan persahabatan saya dengan Datuk Ibrahim Ali ialah sifat keterbukaannya dan sepanjang pengenalan saya dengannya saya dapati beliau tidak rasuah, tidak hipokrit atau pandai berpura-puraan, beliau bermonogami dengan hanya seorang isteri yang sentiasa rapat dan setia antara sesama mereka, sebagaimana setianya hubungan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah, beliau tidak lupa kepada kawan dan orang yang pernah membantunya, beliau seorang yang handal berpidato dan yang utama sekali ialah beliau seorang yang berani.

5. Keberaniannya itulah yang membuat beliau dapat membina dan menjayakan sebuah organisasi PERKASA, atas inspirasi, bekalan wasiat dan dorongan Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail, mantan kepala terus angkatan tentera Malaysia.

6. PERKASA ialah sebuah pertubuhan MELAYU dan ISLAM yang terbesar dan terkuat dengan ahlinya, dari semua lapisan masyarakat, dari berbagai parti politik dan juga yang tidak berparti, yang turut disokong oleh, ahli bersekutu, yang bukan Melayu dan bukan Islam yang mencari pemimpin Melayu yang jujur, berani dan jelas sikapnya.

7. PERKASA mempunyai ratusan ribu ahli dengan pendaftaran yang jelas dan tidak bergantung kepada Ketua-ketua Bahagian sesetengah parti politik yang hanya menyampaikan senarai, dulunya dengan yuran, yang dibayar sendiri oleh ketuanya, hanya untuk menunjuk bahawa bahagiannya semakin membesar walaupun sebenarnya unit bahagian ini laksana 'kedai runcit' yang dikunjungi oleh pelanggan yang ingin berhutang padanya sahaja.

8. Banyak pihak ingin 'membeli' sokongan dan kesetiaan Datuk Ibrahim Ali tetapi mereka lupa, atau tidak mengetahui, bahawa Datuk Ibrahim Ali akan menerima semua bantuan dari semua pihak untuk membantu kegiatan PERKASA dan ahli-ahlinya dan BUKAN UNTUK DIRINYA. Datuk Ibrahim, walaupun dibantu, tidak akan berganjak dari prinsipnya untuk berjuang DEMI UGAMA, BANGSA DAN NEGARA.

TUN MUSA HITAM

9. Baru-baru ini buku Tun Musa Hitam bertajuk FRANKLY SPEAKING telah diterbitkan. Buku ini dilancarkan oleh DYMM Sultan Perak, Raja Nazrin, Dengan penglibatan seorang sultan yang berpendidikan tinggi, dengan sendirinya buku Tun Musa bertaraf diraja dan sukar untuk rakyat biasa menegur isi kandungan titah di raja mengenai buku itu.  


TUN DAIM KATA: FICTION

10. Bila saya tanya Tun Daim Zainuddin mengenai buku FRANKLY SPEAKING beliau berkata bahawa beliau berada di luar negara dan belum membacanya, tetapi dari synopsis yang beliau terbaca nyatalah bahawa buku karangan Tun Musa Hitam ialah sabuah karangan 'FICTION'.

11. Agak malang bagi Tun Musa kerana beliau menulis di waktu mereka yang beliau tulis masih hidup, belum nyanyok dan masih memiliki ingatan yang jelas mengenainya.

12. Barangkali Tun Musa berfikir ini adalah waktunya untuk menerbitkan bukunya kerana Tun Dr. Mahathir sedang diserang oleh penguasa, penyokong dan pendukung 1MDB; Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih dalam tahanan penjara sementara Tun Daim dan saya terlalu tidak penting untuk beliau boleh mendabik dada dengan keangkuhannya.

13. Saya pernah juga bertemu Tun Musa, walaupun jarang dan hanya berkata hai-hai begitu saja bila berjumpa, tetapi beliau ada kesempatan untuk bertanya pada saya segala kemusykilan yang ada dalam kepalanya. Tetapi beliau memilih untuk membisu dan kini keluarlah bukunya yang bernama FRANKLY SPEAKING yang mengikut Tun Dr. Mahathir tidak bererti SPEAKING TRUTHFULLY.

MANA BIOGRAPHY SANUSI
14. Ada yang bertanya pada saya bila masanya saya akan menulis autobiography atau memoir saya sendiri. Saya susah untuk menulisnya kerana jika buku saya diberi tajuk FRANKLY AND TRUTHFULLY SPEAKING saya bimbang kesannya kepada anak-anak dan saudara mara watak yang saya sentuh dalam buku sebagai 'CROOK' kerana kebanyakan anak mereka saya dapati baik wataknya dan mereka pula sebaya dan ada antaranya bersahabat baik dengan  anak-anak saya.
15. Jika saya tulis pula yang buruk-buruk secara 'frank and truthfull' saya bimbang bukan sahaja akan hilang hormat anak kepada bapa yang saya dedah keaibannya, sebaliknya, jika mereka sayang pada ibu bapa mereka maka hubungan saya, keluarga saya dan keluarga watak yang saya tulis akan terjejas.
16. Ini jugalah yang akan berlaku jika saya tidak menjawab  tuduhan Tun Musa terhadap AIDS (Anwar Ibrahim, Daim Zainuddin dan Sanusi Junid) sebagai 'conspirators' yang menjatuhkannya. Kalau saya tidak menjawabnya maka seolah-olah saya akui Tun Musa berkata benar, sedangkan ianya dusta belaka.
17. Oleh itu, sebelum saya menerbitkn autobiography atau memoir saya memilih untuk mengisikan blog saya dengan berbagai pengalaman dan maklumat yang saya baca, yang boleh menjadi tauladan atau sempadan yang saya fikir bermunafa'at bagi generasi muda dan generasi tua, atau lama, yang ingin mengetahui mengenai sesuatu yang ditimbulkan baik dalam media sosial atau dalam media perdana.

18. Setakat ini saya sudah masukkan 290 karangan dengan jumlah sekitar 5,000 mukasurat atau halaman. Alamat blog saya ialah sanusijunid.blogspot.com. Jika dikumpul dan dicetak boleh keluarkan 10 buah buku jika setiap buku tebalnya 500 muka.
19. Baru-baru ini seorang anak teruna saya, yang belum mendirikan rumah tangga, telah bersahabat dengan seorang gadis yang diminatinya. Malangnya, apabila gadis itu memberitahu kepada kakaknya bahawa anak saya itu bapanya mantan Menteri, terus anggota keluarganya mengingatkan kepada gadis tadi betapa bermasalah jika berlaku perkahwinan nanti. Akan berlaku cerai-berai dan pastinya apabila sudah jadi menantu nanti dia tidak kenal keluarga sang isteri kerana mertuanya kaya raya, boros, dan tambah abangnya, PEMAKAN DEDAK.
20. Apa yang kita lihat sekarang ini, dalam dunia Melayu, baik di Malaysia atau di Indonesia, kelakuan yang tidak senonoh bukan lagi dari kalangan orang miskin yang memerlukan. Ianya dari anak-anak muda yang membesar dengan duit judi, rasuah dan penipuan bapanya yang membesarkannya dan memberi makanan dan minuman dari hasil yang haram yang sudah menjadi darah daging anaknya.
21. Mengikut seorang pemikir Bill Moyer makanan yang manusia makanlah yang boleh merobah 'mimpi' dan seterusnya jalan hidup seseorang insan. Mungkin itulah sebabnya adanya makanan yang halal dan haram di dalam hukum Islam.
JAWAPAN SAYA DI DALAM

GRUP

WHATSAPP DAN FACEBOOK

22. Bagi saya elok juga Tun Musa tulis buku FRANKLY SPEAKING ini sekurang-kurangnya saya dapat menilai isi hati, fikiran dan perutnya. AIDS atau Anwar Ibrahim, Daim dan saya tidak pernah wujud sebagai satu pasukan, gabungan atau apa yang dianggap sebagai 'conspirators'. 
 
23. Kejatuhan Tun Musa adalah kerana sikap dan tindakannya sendiri. Dia tidak begitu hebat sehingga memerlukan satu pakatan atau 'conspirators' untuk merancang kejatuhannya.

24. Saya juga, kerana terlalu sibuk dengan kerja kementerian, tidak mempunyai masa untuk melapurkan sesuatu yang tidak baik mengenai Tun Musa kepada Tun Dr. Mahathir apatahlagi berpakat untuk menjatuhkannya. Saya pernah lihat Tun Musa dari jauh sebelum saya masuk ke dalam kabinet. Tiga orang pembantu Tun Musa saya kenal baik.

25. Pada tahun 1965 saya termasuk dalam rombongan Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Sembilan, mewakili UMNO Bahagian Seremban Timur, dalam KONVENSYEN PERGERAKAN PEMUDA UMNO MALAYSIA di Morib. Di situpun, kalau tak salah pertama kali saya melihat Tun Musa dan Dato' Muhammad Rahmat.
26. Tan Sri Shahril Samad pernah sekejap bekerja dalam Bahagian Pinjaman Bumiputra dan Luar Bandar di Chartered Bank di mana saya menjadi pengurusnya. Dua orang setiausaha Tun Musa, iaitu Allahyarham Datuk Ajib Ahmad dan Allahyarham Ismail Kamaluddin telah menikah dengan kerani dari pejabat saya, mungkin diperkenalkan oleh Tan Sri Shahril. Datin Rafeah ialah isteri Dato' Ajib dan Puan Nursiah Hamid, dari Lenggeng Negeri Sembilan ialah isteri Ismail Kamaluddin. 
27. Dengan mengenali mereka sebelum saya jadi Menteri saya tidak perlu dekat dengan Tun Musa.

28. Saya lebih kenal Tengku Razaleigh dari Tun Musa. Bila Tun Mahathir menyarankan pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO bagi menentukan Timbalan Perdana Menteri saya telah diminta oleh Tun Mahathir untuk turut kempen untuk menyokong Tun Musa, walaupun saya merasakan Tengku Razaleigh lebih layak.
29. Saya bekerja di Chartered Bank dan Tengku Razaleigh juga CEO Bank Bumiputra. Saya jadi Pengerusi Tugu Insurance, milik SHAMELIN, MAYC dan PERTAMINA, Tengku Razaleigh pun jadi CEO sebuah syarikat insuran milik PERNAS. Pendek kata saya dapat menilai kemampuan Tengku Razaleigh sementara saya tidak tahu apa kebolehan dan pengalaman Tun Musa. Tapi saya kempen untuk Tun Musa kerana Tun Mahathir berkata dia boleh bekerja sebagai Perdana Menteri lebih aman jika Tun Musa menjadi timbalannya. 

30. Inilah kesilapan Tun Dr. Mahathir yang pertama dalam memilih penggantinya.
31. Lepas Tun Musa menang saya pun terus tidak rapat dengan beliau tetapi bertemu dengan penolong-penolongnya dari masa ke masa bila perlu.

32. Sepanjang menjawat jawatan dalam kabinet saya hanya berkawan rapat dengan pengarah-pengarah, pegawai-pegawai dan kaki-tangan kementerian tempat saya bekerja. Masa lapang saya gunakan untuk isteri dan tujuh orang anak. 
33. Saya ke Sri Perdana, rumah kediaman Perdana Menteri jika ada urusan rasmi yang saya dijemput untuk turut serta. Kecuali rumah Tun Daim yang saya pernah pergi untuk jamuan makan saya tidak pernah ke rumah Anwar Ibrahim yang di Bukit Damansara. Rumah Dato' Mohd Rahmat saya pergi dua kali atas urusan kerja kerana beliau Setiausaha Agung UMNO. Saya tidak pernah tahu di mana tinggalnya Menteri-Menteri lain walaupun, bila saya pencen, baru saya sedar rumah mereka tidak jauh dari rumah saya. Oleh itu saya menemui kawan-kawan dalam kabinet dalam majlis-majlis rasmi atau dalam mesyuarat.

34. Dalam bidang politik juga saya tidak berbincang dengan Tun Musa dan saya juga tidak berminat kepada ucapannya kerana semuanya ditulis oleh pegawai-pegawai. Saya lebih suka berkawan dengan yang menulis ucapan-ucapan Menteri.

35. Hanya dalam tahun 1985 saya telah dihubungi oleh seorang pegawai dari pejabat Tun Musa menyatakan Tun Musa meminta saya pastikan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri (sejak 1981) dalam pertandingannya merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Pagoh dari Tan Sri  Osman Saat yang memegang jawatan Menteri Besar Johor di waktu itu.

36. Saya difahamkan bahawa hasrat Tun Musa untuk menjatuhkan Tan Sri Osman Saat ialah kerana UMNO Johor di bawah pimpinannya begitu kuat, sehingga di kebanyakan kawasan pilihanraya, jumlah ahli UMNO lebih 51 peratus jumlah pengundi dalam kawasan-kawan berkenaan.

37. Untuk memenangkan Tan Sri Muhyiddin saya, selaku Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, yang bertanggungjawab ke atas KEMAS telah meminta semua anggota KEMAS supaya membantu Tan Sri Muhyiddin untuk mencapai kemenangan. 

38. Saya mendapat tahu dari Penyelia Kanan Kemas Daerah bahawa ada seorang Penyelia Kemas dalam kawasan Pagoh yang protes dan menyokong Tan Sri Osman Saat dan tidak mahu menyokong Tan Sri Muhyiddin. Apabila saya hubungi Penyelia berkenaan saya dapati beliau ialah isteri muda Tan Sri Osman Saad. Saya pun minta maaf, kirim salam kepada Tan Sri Osman Saat dan mengarahkan beliau supaya melupakan arahan saya supaya menyokong Tan Sri Muhyiddin. Anggota KEMAS lain menyokong Tan Sri Muhyiddin sehingga Tan Sri Osman Saat dapat dikalahkan.

39. Hubungan saya dengan Tan Sri Osman Saat menjadi retak semata-mata kerana Tun Musa hendak menjatuhkan beliau kerana Tan Sri Osman Saat ialah penyokong kuat Tengku Razaleigh Hamzah.

40. Kekalahan Tan Sri Osman Saat dalam pemilihan pada Mesyuarat Agung UMNO pada tahun 1985 telah diikuti dengan Perhimpunan Agung UMNO tahun di mana Tun Musa telah dapat mengalahkan Tengku Razaleigh buat kali kedua dengan sedikit tambahan undi mungkin setelah Tan Sri Osman Saat dapat dikalahkan. Setelah Perhimpunan Agung UMNO pada tahun 1985, sebagai amalan biasa Tun Dr. Mahathir membuat  'Cabinet Reshuffle', sebelum pilihanraya tahun 1986.

41. Tan Sri Muhyiddin telah dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan di bawah Menterinya Tun Abdullah Ahmad Badawi, sahabat baik Tun Musa Hitam. Dato' Ajib Ahmad, Setiausaha politik Tun Musa telah mengganti Tan Sri Osman Saat untuk menjadi Menteri Besar Johor.

TAN SRI ABD. KADIR YUSUF
DAN
TUN GHAZALI SHAFIE
42. Walaubagaimana pun saya sangat dekat dengan dua Menteri saya iaitu Tan Sri Abd. Kadir Yusof kerana saya timbalannya di Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah dan Tun Ghazali Shafie kerana saya timbalannya di Kementerian Dalam Negeri. Tan Sri Kadir suka Tun Musa dan Tengku Razaleigh. Tun Ghazali tidak suka Tun Musa tetapi suka pada Tengku Razaleigh. Saya sangat rapat dengan pegawai dan kakitangan tempat saya bekerja. 

TUN MUSA JADI HERO

43. Antara peristiwa yang tidak dapat saya lupakan ialah peristiwa yang menyebabkan Tun Musa dianggap 'hero Melayu' walaupun sepatutnya yang menjadi hero ialah Tan Sri Abd. Kadir Yusof.

44. Perkara ini berlaku di waktu pihak MCA ingin menubuhkan UNIVERSITI MERDEKA. UMNO, khususnya Pemuda UMNO menentang keras penubuhan universiti perkauman ini.

45. Pada satu hari, sekembalinya dari mesyuarat Kabinet, Tan Sri Kadir telah diiringi oleh seorang pembantunya yang membawa 4 buah fail yang tebal. Saya diminta oleh Tan Sri Kadir untuk berada di dalam bilik setiausaha sulitnya untuk melihat melalui tingkap cermin sehala pertemuan beliau dengan Presiden MCA Tan Sri Lee Sam Choon. Saya tidak tahu apa perbualan Tan Sri Lee Sam Choon dengan Menteri saya yang juga memangku jawatan Peguam Negara di waktu itu.

46. Setelah hampir satu jam saya diminta oleh Tan Sri Kadir untuk menalipon pejabat Tun Musa untuk memberitahu bahawa rancangan penubuhan Universiti Merdeka telah dibatalkan oleh MCA.

47. Pada keesokan harinya Tun Musa mengadakan sidang akhbar untuk dengan bangga dan gagahnya memaklumkan pembatalan rancangan penubuhan Universiti Merdeka tanpa menyebut penglibatan Tan Sri Kadir. Tun Musa pun dianggap sebagai 'hero Melayu.'
48. Seterusnya, apabila Ismail Kamaluddin meninggal dunia di Hong Kong, Dato' Ajib ke Johor untuk menyandang jawatan Menteri Besar dan TS Shahril pula sudah jadi Menteri hubungan saya dengan pejabat Tun Musa terputus.

49. Saya terdengar desas desus Tun Musa bercakap mengenai apa yang beliau setuju dan apa yang beliau tidak setuju mengenai dasar dan cara Tun Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri. 
50. Saya tidak peduli semua itu kerana saya tahu Tun Mahathir lebih dekat hubungannya dengan Tun Musa daripada dengan saya.

51. Malahan, selain dari Tunku Abdul Rahman yang pernah memecat Tun Mahathir, saya juga pernah menyakitkan hati Tun Mahathir dengan menggugurkan beliau dari jawatan Pengerusi Lembaga Amanah WISMA BELIA dalam satu mesyuarat agung tergempar MAYC di dewan rumah Menteri Besar Perak Datuk Seri Kamaruddin Mat Isa pada tahun 1973.

52. Tun Musa yang saya tahu tidak pernah berkelahi dengan Tun Mahathir seperti yang pernah saya alami. 
53. Malahan Tun Mahathir menentang saya menjadi calon BN bagi kawasan Jerai pada tahun 1974. Saya adalah pilihan Tun Abdul Razak. Sejak 1976, setelah Tun Mahathir dan saya menghubungi semula tali silaturrahim saya telah mempelajari dan memahami Tun Mahathir, membaca semua ucapan dan penulisannya dan bertanya apa yang saya tak faham sehingga saya faham dan saya dapati Tun Musa sangat jauh ketinggalan baik dari segi ilmu, integriti atau perwatakan jika dibanding dengan Tun Mahathir. 
54. Memang ada penyokong Tun Mahathir yang tertawa apabila media mengenengahkan konsep 2M tetapi ini adalah perkara remeh yang tidak memberi kesan kepada Tun Mahathir. 2M lebih sesuai jika digandingkan Mahathir dengan Margaret Thatcher dan bukannya Musa. 
55. Bila Tun Mahathir mengumumkan hasrat Tun Musa untuk meletakkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO barulah saya mula aktif dan ingin membantu Tun Mahathir. Tetapi regu saya untuk mempertahankan Tun Mahathir bukanlah Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Tun Daim. Regu saya dalam mempertahankan Tun Mahathir ialah Allahyarham Megat Junid dan Allahyarham Kip Bahadun iaitu Setiausaha Kerja Umno di waktu itu. Kip adalah anak kepada pejuang UMNO Dato' Kontek Kamariah yang menjadi ahli UMNO yang ke 3 dalam daftar UMNO di waktu ianya ditubuhkan di bawah Dato' Onn Bin Jaafar.

56. Antara ahli ahli UMNO tertua yang masih hidup selain dari yang sudah kita kenali ialah Datuk Siti Rahmah Kasim dari Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan. Beliau, yang kini uzur, dilahirkan pada 30 November, 1930 dan sangat gigih, di waktu sihatnya, dalam berbagai kegiatan social.

57. Sama-sama kita do'akan semoga Datuk Siti Rahmah tidak mengetahui keadaan UMNO dan sekandal yang sedang dilalui oleh pemimpinnya sekarang ini.

58. Saya mengenali Datuk Siti Rahmah dan seorang saingan debatnya, Lebai Dolah, sejak 13 October, 1963 di waktu saya mendaftar untuk menjadi ahli UMNO dan bertemu dengannya bersama dengan Ahli Parlimen Rembau Tampin pada hari pertama di Ibu Pejabat UMNO Bahagian Seremban Timur di Jalan Lemon, Seremban. 

59. Datuk Siti Rahmah adalah sahabat baik dengan Dato' Kontek Kamariah iaitu ibu kepada Kip Bahadon yang saya sebutkan sebentar tadi sebagai salah seorang bersama Dato' Megat Junid yang bersama-sama dengan sahabat-sahabat lain yang mempertahankan Tun Dr. Mahathir untuk kekal sebagai Perdana Menteri.
60. Kip Bahadon, Megat Junid dan saya telah mendapat hasil risikan melalui kawan-kawan di Kementerian Dalam Negeri yang menyatakan bahawa Tun Musa cemburu dengan kedudukan Tengku Razaleigh yang dikekalkan dalam Kabinet walaupun dua kali kalah dengannya dalam pertandingan untuk jawatan Timbalan Presiden. Tun Musa juga, mengikut lapuran, curiga dengan kemaraan Dato' Seri Anwar Ibrahim. 

61. Perkara ini disahkan oleh Tun Daim dalam kiriman WhatsAppnya kepada saya waktu membuat komen mengenai buku FRANKLY SPEAKING yang beliau anggapkan FICTION itu. Dalam komen selanjutnya Tun Daim menulis:

" .... I'm told he is very critical of me in the book but that is to be expected of Musa who hasn't been happy since Dr. Mahathir invited me to join the cabinet as he wanted Dollah to be Minister of Finance in place of Ku Li. He was not happy because Dr. Mahathir did not remove Ku Li from the cabinet. But what he did not say in his book was that he was impatient and wanted to be Prime Minister quickly. In fact, he told me Mahathir was going to be a one term Prime Minister. He and his boys planned to get rid of Dr. Mahathir as soon as possible, but as you explained, he couldn't get the support of the supreme council members.'

62. Tun Musa telah meletakkan jawatan bukan kerana tidak berminat menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebaliknya kerana ingin cepat menjadi Perdana Menteri.

63. Setelah Tun Musa meletakkan jawatan satu usul telah diketengahkan oleh kawan-kawan yang dekat dengan Tun Musa supaya diadakan Perhimpunan Agung Khas untuk mendesak Tun Musa kembali sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. INI BERERTI TUN MUSA INGIN MENDAPAT MANDAT DARI UMNO SECARA LANGSUNG kerana dulunya Tun Musa menang atas sokongan Tun Mahathir. 
64. Tun Mahathir pula merasakan JIKA MUSA MENANG DENGAN BUDI DAN PERTOLONGAN MAHATHIR PUN TIDAK BOLEH MENYOKONG DASAR-DASAR MAHATHIR bagaimana pula jika MUSA MENANG ATAS KEHENDAK PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TANPA SOKONGAN MAHATHIR.

65. Strategi Tun Musa jelas gagal walaupun sahabat-sahabatnya meyakinkan beliau bahawa beliau akan menang. Antara bukti sahabat-sahabat Tun Musa yakin beliau akan menang terdapat dalam perengan 12 dan 13 masukan blog Chedet saperti berikut;

65a. 12 - Mesyuarat Majlis Tertinggi telah diadakan untuk membincangkan perletakan jawatan Musa. Jika saya inginkan kesetiaan tak berbelah bahagi sudah pasti saya singkirkan beliau sepertimana yang Najib lakukan terhadap mereka yang tidak cukup setia kepadanya.

65b. 13 - Zam telah berjumpa saya sebelum Mesyuarat Majlis Tertinggi. Beliau menjangkakan saya akan mengalami kejutan pada malam itu. Beliau fikir Majlis Tertinggi akan mengembalikan Musa sungguhpun saya bertentangan dengan hal itu.

SIAPA ZAINUDDIN MAIDIN?

66. Keyakinan Tun Musa, atas jaminan kawan-kawannya, termasuklah Zam atau Tan Sri Zainuddin Maidin, untuk dikembalikan ke dalam kerajaan melalui desakan Perhimpunan Agung Khas UMNO adalah satu strategi yang salah dan gagal.

67. Elok juga saya perkenalkan kepada Tan Sri Zainuddin apa yang saya tahu mengenai sikapnya yang beliau tidak tahu saya mengetahuinya.


68. Tan Sri Zainuddin Maidin ialah seorang wartawan yang senior dan berpengalaman. Beliau juga boleh dikatakan seorang wartawan yang nakal dan merasa dirinya lebih berkebolehan dari wartawan-wartawan lain.
 
69. Walaupun saya tidak pernah dekat dengannya di waktu saya menjadi Menteri dan di waktu saya memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penerangan UMNO Malaysia, Setiausaha Agong dan Naib Presiden UMNO saya mendapat tahu beliau tidak suka kepada saya.

70. Saya tidak tahu sebabnya.

71. Hanya ada dua orang yang memberitahu kepada saya mengenai kebencian Tan Sri Zainuddin Maidin terhadap saya dan maklumat itu tidak mempengaruhi hubungan saya dengannya.

72. Yang pertama ialah seorang staf di pejabat Tan Sri Zainuddin Maidin di Utusan Malaysia yang menjadi anggota pertubuhan Al Arqam di bawah pimpinan Ustaz Ashaari Muhammad. Saya diberitahu bahawa setiap kali ada berita mengenai saya beliau diberi tugas untuk memilih foto dengan wajah saya yang agak bengis, walaupun foto itu sudah lama.

73. Tanpa saya bertanya murid Ustaz Ashaari juga memberitahu bahawa Tan Sri Zainuddin Maidin tidak suka kepada ABIM kerana pemimpin-pemimpinnya tidak berpendidikan ugama. Saya dan Dato; Seri Anwar Ibrahim menjadi contohnya.

74. Tan Sri Zainuddin Maidin tidak mengetahui bahawa kerana kesedaran saya dan kawan-kawan mengenai kekurangn kami dalam bidang ugama itulah kami telah mendekati tiga orang ilmuan ugama untuk menjadi Presiden ABIM.

75. Setelah bertemu dengan Prof. Naquib Al Atas, Prof Usman Muhammadi kami membuat keputusan untuk melantik Ustaz Nawawi Ghazali sebagai Presiden pertama ABIM dan saya menjadi pembantunya.

76. Sudah tentu Prof. Nawawi Ghazali lebih mendalami soal ugama daripada Tan Sri Zainuddin Maidin, yang mendapat pendidikan ugama dari Maktab Mahmud Alor Setar. Prof. Nawawi juga memiliki sifat seorang ahli ugama yang sangat berbeza dengan sifat wartawan.

77. Seorang lagi sumber yang memaklumkan kepada saya betapa bencinya Tan Sri Zainuddin Maidin kepada saya ialah jirannya Allahyarhim Ibrahim bin Hashim yang meninggal dunia waktu menjadi Pengurus Besar Bank Pertanian Malaysia.

78. Allahyarham Ibrahim, beberapa bulan sebelum meninggal dunia telah memaklumkan kepada saya bahawa beliau berjiran dengan Tan Sri Zainuddin Maidin dan setiap kali ada kesempatan beliau bercakap-cakap dengannya melintasi sempada pagar rumah Tan Sri Zainuddin Maidin membuat berbagai tuduhan dan fitnah terhadap saya yang Allahyarham Ibrahim tahu tidak benar kerana beliau adalah sahabat karib saya dan Tan Sri Zainuddin tidak mengetahui cara saya bersahabat mesra dengan kakitangan kementerian yang berprestasi baik seperti Allahyarham Ibrahim.

79. Orang seperti Tan Sri Zainuddinlah yang menjadi penasihat kepada Tun Musa sehingga beliau berani menyatakan ramalannya kepada Tun Dr. Mahathir bahawa sesuatu yang penting akan berlaku dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada malam usul untuk mengadakan Perhimpunan Agong Khas ditolak. Tan Sri Zainuddin member gambaran seoalah-olah usul yang bertujuan membela Tun Musa akan menang sebagaimana yang dikehendakinya dan penasihat-penasihat yang lain.
 
USUL DITOLAK OLEH MAJLIS TERTINGGI UMNO  
 
80. Tiga hari sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO saya telah dipanggil oleh Tun Mahathir dan beliau memaklumkan bahawa jika dalam mesyuarat MT keputusan dibuat untuk diadakan Mesyurat Agung Khas UMNO Malaysia Tun Mahathir akan dengan serta merta meletak jawatan kerana beliau yakin keputusan Mesyuarat Agung Khas itu pasti mendesak Tun Musa untuk kembali jadi Timbalan Presiden dan TPM. 
81. Keputusan yang dipercayai akan menyatupadukan UMNO sebenarnya akan menggagalkan pemerintahan Tun Mahathir. Oleh itu saya telah bertemu dengan Dato' Senu Abd. Rahman, TS Mohd Khir Johari dan Tun Mustapha untuk mendapat nasihat mereka, sebagai veteran politik, bagi menewaskan usul berkenaan dalam MT. Berasaskan komen Tun Mustapha saya dan Kip serta Megat telah beroperasi. 
82. Bila undi diadakan dalam MT pada malam berkenaan keputusan yang didapati mengejutkan sahabat-sahabat Tun Musa kerana  hanya 3 orang ahli MT sahaja yang menyokong diadakan Mesyuarat Agung Khas. Adib dan Ajib tercengang dengan kekalahan yang tidak disangkakan itu. Sudah tentu Tan Sri Zainuddin Maidin, yang yakin keputusan akan memihak kepada Tun Musa tentulah kecewa dan terkejut dengan keputusan yang tidak dapat diramalkannya walaupun beliau merasa dirinya wartawan yang jaguh.
83. Setelah usul itu kalah barulah wakil UMNO Johor meminta supaya rombongan mereka yang sedang menunggu di Pan Pacific dibenarkan berangkat ke London untuk memujuk Tun Musa supaya menarik balik perletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Tun Mahathir setuju dengan cadangan supaya Tun Musa balik sebagai Timbalan Presiden UMNO tanpa memegang semula jawatan TPM kerana lantikan TPM adalah dalam bidangkuasa PM. Tan Sri Wan Mokhtar dilantik mengetuai rombongan.
84. Terdengar bisikan perwakilan Johor bahawa Tun Musa perlu ambil balik jawatan Timbalan Presiden UMNO kerana yang memegang jawatan ini juga akan menjadi Pengerusi JK Disiplin UMNO yang boleh memecat penyokong-penyokong Tun Musa jika Tun Musa menolak rayuan kawan-kawannya.

85. Sebenarnya tugas merayu ini tidaklah begitu berat kerana Tun Musa sudah tentu akan balik kerana strateginya telah gagal. 
86. Tun Mahathir mulanya ingin menunggu Perhimpunan Agung UMNO untuk memberi peluang kepada Tengku Razaleigh mengalahkan Tun Musa dalam pertandingan ketiga. Oleh kerana keadaan parti terus begolak selagi jawatan Timbalan Perdana Menteri itu kosong maka keadaan memerlukan Tun Mahathir melantik Tun Ghafar Baba menjadi Timbalan Perdana Menteri.
87. Setelah mengetahui Tun Mahathir tidak akan menerima Tun Musa sebagai Timbalan Presiden UMNO dalam pemilihan Perhimpunan Agung berikutnya. Tengku Razaleigh yang sepatutnya bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO telah telah ditemui oleh Tun Musa di Davos, Switzerland bertujuan menaikkan seleranya untuk bertanding bagi jawatan Presiden. Tengku Razaleigh telah tersalah perhitungan dengan mempercayai Tun Musa akan membantu memenangkannya menentang Tun Mahathir. 

88. Dalam fikiran saya, Tan Sri Megat Junid dan Kip Bahadon strategi Tun Musa ialah untuk mengalahkan Tengku Razaleigh sementara beliau menang menjadi Timbalan Presiden walaupun beliau menentang Tun Mahathir. 

89. Sebagai 'political animal' Tun Musa pasti tahu bagaimana memastikan Tengku Razaleigh kalah dengan harapan beliau menang menentang Ghafar dan akan menjadi Perdana Menteri apabila Tun Mahathir selaku Presiden menolak jawatan Perdana Menteri.

90. Dengan takdir Allah swt regu Tengku Razaleigh dan Tun Musa kalah dengan jumlah undi yang nipis yang menimbulkan kekecewaan yang tidak berhabisan.

91. Cukuplah setakat ini dulu. Saya akan buat huraian lebih panjang pada kesempatan lain jika isu ini dibangkitkan semula dalam bentuk apa sekalipun.
PETIKAN DARI MASUK BLOG YANG TERDAHULU
Di dalam masukan blog yang terdahulu saya juga telah menyentuh mengenai Tun Musa Hitam seperti berikut:
Masukan dalam blog pada Hari Rabu, 3 Februari 2010 dengan tajuk “TERIMA KASIH TUN GHAZALI SHAFIE
SERANGAN PELAMPAU
KE ATAS IBU PEJABAT POLIS BATU PAHAT
POLIS TIDAK AKAN TEMBAK DULU
....................

18. Pada bulan Oktober, 1980 satu serangan telah berlaku terhadap Ibu Pejabat Polis Batu Pahat oleh 8 orang fanatik ajaran sesat di bawah pimpinan Ahmad Nasir, seorang yang beragama Islam dari Vietnam. Mereka ditembak oleh polis setelah mereka mencederakan 14 anggota polis dan 9 orang awam. Dalam serangan ini saya melihat betapa disiplin pasukan polis kita. Pihak polis sebenarnya boleh menembak semua penyerang itu sebelum pihak polis dicederakan. Menjawab soalan saya Tan Sri Ghazali memberitahu 'polis tidak akan tembak sebelum mereka diserang .... polis tidak akan tembak dulu ..... kecuali kalau Menteri suruh.' Waktu saya mendengar laporan melalui 'wireless', dan telefon, saya hampir-hampir memerintah pihak polis supaya menembak sebelum tangan seorang wanita polis diputuskan, tetapi Tan Sri Ghazali balik terlalu cepat dari toilet sebelum saya sempat memerintah. Itulah sebabnya saya tertanya-tanya kenapa kawan saya Ibrahim Libya telah tertembak di Memali sedangkan sebelumnya kabinet telah mencadangkan supaya saya berjumpa dengannya pada hari Jumaat berikutnya.
TENTERA SABILULLAH JADI PAKIDA

36. Dalam lawatan saya ke Taiping saya juga telah berjumpa dengan puluhan Anggota Tentera Sabilullah (atau Geng Kermit) yang telah ditangkap kerana terlibat dalam demonstrasi harga beras di depan Pajabat Menteri Besar Kedah di zaman Allahyarham Dato' Kama Jaya Syed Nahar Shahbudin. Saya kenal mereka kerana di waktu saya meminjamkan wang kepada petani di Kedah, di semasa bertugas di The Chartered Bank, mereka telah banyak menolong saya untuk mencari tempat peminjam wang yang telah menghilangkan diri dan tidak membayar hutang. Tanpa bantuan mereka agak susah mencari di mana tempat tinggal sekitar 25,000 orang peminjam pada waktu itu. Rancangan pinjaman bank ini sedikit sebanyak telah menyelamatkan peminjam wang dari belenggu orang tengah yang sifatnya tidak berbeza dengan 'Ah Long' di kota-raya. Bila pihak bank menghentikan skim pinjaman ini dan pihak orang tengah telah membalas dendam mereka maka petani tiada pilihan kecuali untuk berdemonstrasi. Tetapi oleh kerana Tentera Sabilullah ini dipimpin oleh Bung Isa, bekas Setiausaha Agung Parti Melayu Semenanjung yang menyokong Soekarno yang didukong oleh PKI, diwaku itu, dan diharamkan, di waktu Konfrontasi Indonesia ke atas Malaysia maka label komunis telah diberi kepada mereka.

37. Saya sungguh sedih apabila Tun Ghazali tidak mahu merubah fikiran dan terus mengekalkan mereka di dalam tahanan ISA walaupun saya tahu mereka, yang pernah bergerak membantu saya, bukan sebagai komunis. Malah seorang darinya ialah Cikgu Yaakob Lebai Man sahabat saya dari kecil waktu saya tinggal di Telok Amboi, Kota Kuala Muda, Kedah di mana Lebai Man menjadi siak di masjid keluarga saya di sana. Sebaik sahaja Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri, Geng Kermit ini telah dibebaskan dan saya telah bekerjasama dengan Tuan Haji Yusof di Bagan Serai untuk menubuhkan badan baru secara terpisah dari Bung Isa, yang dinamakan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia dengan singkatan PEKIDA. Walau bagaimanapun Bung Isa telah berjaya juga menubuhkan saingan kecil kepada PEKIDA yang bernama PEKIMA yang diluluskan pendaftarannya di waktu Tun Musa Hitam menjadi Menteri Dalam Negeri dan Timbalannya Dato' Radzi Sheikh Ahmad.
Masukan dalam blog pada Hari Kamis, 10 Mac 2011 dengan tajuk MAHATHIR - DARI KACA MATA SAHABAT
DUA PERISTIWA YANG SANGAT BERERTI DALAM HUBUNGAN SAYA DENGAN TUN MAHATHIR
PERISTIWA PERTAMA - PERLETAKAN JAWATAN TUN MUSA HITAM
60. Setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan dan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai, 1981 UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agong Tahunan ( 1981 ) dan Tun Dr. Mahathir, kerana susah memilih antara dua sahabat untuk menjadi Timbalannya telah membenar UMNO untuk membuat pemilihan melalui pertandingan.
O
61. Oleh itu Tun Musa Hitam telah bertanding dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir memberitahu kepada saya beliau akan lebih aman bekerja jika Tun Musa menjadi Timbalannya maka saya telah menyokong Tun Musa Hitam. Tengku Razaleigh, kerana kurang rapi persiapannya, telah kalah dengan 205 undi (722 - 517).
O
62. Walau pun Teungku Razaleigh kalah, kerana 517 undi yang diperolehinya lumayan banyak, beliau terus dikekalkan oleh Tun Mahathir di dalam kabinet sebagai Menteri Kewangan sementara Tun Musa Hitam, sebagai Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri. Tun Dr. Mahathir berpendapat dengan pengekalan ini penyokong-penyokong Teungku Razaleigh akan merasa selesa dan terus mantap menyokong UMNO dan kepimpinannya. Tun Mahathir berpegang kepada prinsipnya 'If you win you cannot win all just as if you lose you cannot lose all'.
s
63. Tun Musa jelas tidak selesa dengan prinsip Tun Dr. Mahathir ini kerana Tengku Razaleigh kelihatan bertambah popular dengan jawatannya sebagai Menteri Kewangan. Tun Musa juga tidak selesa dengan kemasukan Dato' Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982, atas inisiatif Tengku Razaleigh dan Dato' Harun Idris, setahun setelah pertandingan antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa pada tahun 1981. Penyokong-penyokong Tengku Razaleigh terus membuat persiapan untuk pertandingan kali kedua antara dua tokoh ini.
 
PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAHUN 1984
O
64. Dalam Perhimpunan Agong UMNO ke 2 selepas Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO beliau sekali lagi pada tahun 1984 menang untuk jawatan Presiden tanpa bertanding. Timbalannya Tun Musa telah ditentang sekali lagi oleh Tengku Razaleigh untuk jawatan Timbalan Presiden. Yang aneh ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipermudahkan kemasukannya ke dalam UMNO oleh Tengku Razaleigh telah tidak menyokong Tengku Razaleigh, sebaliknya, Anwar sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dimenanginya pada tahun itu, telah menyokong Tun Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden.
 
65. Setelah Tengku Razaleigh dikalahkan oleh Tun Musa buat kali kedua pada tahun 1984 maka Tun Dr. Mahathir telah mengurangkan kuasa dan pengaruh Tengku Razaleigh dengan menurunkan jawatannya dari Menteri Kewangan untuk menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa. Tun Dr. Mahathir telah melantik Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan.
 
PERISTIWA MEMALI

66. Setahun kemudian pada tahun 1985, dalam mesyuarat kabinet sebelum Tun Dr. Mahathir berangkat ke negeri China, saya telah diminta menghubungi kenalan saya Ibrahim Libya yang dikehendaki menyerah secara aman kepada pihak polis. Saya telah menyampaikan hasrat saya untuk berjumpa Ibrahim tetapi, sepeninggalan Tun Dr. Mahathir ke China, dan belum sempat saya berjumpa Ibrahim, beliau telah terbunuh dalam peristiwa Memali. Pada waktu itu Tun Musa menjadi Menteri Dalam Negeri dan memangku jawatan Perdana Menteri.
O
TUN MUSA KIRIM SURAT PERLETAKAN JAWATAN
O
67. Beberapa waktu selepas Tun Dr. Mahathir kembali dari China beliau telah menerima sepucuk surat dari Tun Musa yang memberi tempoh satu tahun untuk meletak jawatan. Surat ini telah disimpan sebagai rahsia oleh Tun Dr. Mahathir.
O
68. Pada mulanya Tun Dr. Mahathir ingin menunggu sehingga diadakan Perhimpunan Agung UMNO sekali lagi setelah Tun Musa meletak jawatan, tetapi, oleh kerana kawan-kawan Tun Musa sedang berusaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas, kerana hanya dengan keputusan Mesyuarat Agung Khas Tun Musa akan menarik balik keputusan letak jawatannya.
O
CADANGAN TUN DR. MAHATHIR
UNTUK MELETAK JAWATAN
O
69. Sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan untuk menimbang cadangan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas Tun Dr. Mahathir telah memanggil saya dan memberitahu bahawa beliau akan meletak jawatan jika usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas, yang akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pada keesokan malamnya lulus maka beliau akan meletak jawatan kerana beliau yakin Mesyuarat Agung Khas tetap akan meluluskan usul mendesak Tun Musa untuk kembali memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.
O/
70. Apabila saya bertanya alasan atas keputusan demikian Tun Dr. Mahathir berkata 'Wakil UMNO hanya berfikir mengenai perpaduan sedangkan saya berfikir mengenai kerja. Jika Tun Musa yang mengetahui kemenangannya ialah dengan sokongan saya pun tidak dapat menyokong saya di dalam menjalankan tugas gambarlah apa akan jadi jika dia terpaksa saya lantik kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana keputusan Mesyuarat Agung Khas. Lagi-lagilah susah dia hendak bantu saya.'
o
PANDANGAN DATO' SENU, TAN SRI KHIR JOHARI
DAN TUN DATO' MUSTAFA
o
71. Saya pun merasa gelisah dan mencari jalan untuk mempertahankan kedudukan Tun Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO. Sebagaimana biasa saya telah cuba mendapat nasihat dan petunjuk dari tokoh-tokoh yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman. Saya telah hubungi Dato' Senu Abdul Rahman yang saya kenal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di waktu saya menjadi Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban Timur. Saya juga bertemu dengan Tan Sri Mohd Khir Johari yang pernah menjadi guru bahasa Inggeris kepada Tun Dr. Mahathir di Alor Setar dahulu. Kedua-dua tokoh dari Kedah ini enggan membantu kerana mereka adalah orang kuat Tengku Abdul Rahman.
72. Tokoh ketiga yang saya temui ialah Tun Dato' Hj. Mustafa. Beliau juga rakan karib Tengku Abdul Rahman. Bila dia melihat wajah sedih saya apabila dia kelihatan gembira mendengar Tun Dr. Mahathir akan berhenti jika usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas UMNO lulus, maka Tun Dato' Mustafa bertanya 'Apakah anak mahu usul itu kalah?' Bila saya mengesahkan kerana saya belum nampak seorang tokoh yang layak mengganti Tun Dr. Mahathir maka Tun Dato' Mustafa bertanya lagi ' Apakah fikiran orang UMNO, khasnya kebanyakan ahli-ahli Majlis Tertinggi mengenai usul itu, akan menang atau kalah?' Saya menjawab 'Hampir semuanya fikir usul itu akan diluluskan oleh Majlis Tertinggi dan apabila Mesyuarat Agung Khas UMNO diadakan usul itu akan lulus dengan sebulat suara kerana ahli-ahli UMNO berpendapat itulah caranya untuk menyatupadukan UMNO.' Tun Dato' Mustafa terus menyampuk 'Kalau ramai fikir usul itu akan menang maka menanglah; kalau ramai fikir usul itu akan kalah maka kalahlah .... yang penting ialah apa orang fikir.'
73. Mendengar pandangan Tun Dato' Mustafa saya pun berhenti makan malam dan meminta izin untuk balik ke pejabat UMNO walaupun sudah pukul 10 malam. Sebelum sampai di pejabat saya telah telefon Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Tan Sri Megat Junid Megat Ayob dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Kip Bahadon. Bertiga kami telah menghubungi hampir kesemua ahli-ahli Majlis Tertinggi yang rapat dengan kami untuk menyatakan pendirian masing-masing sekaligus memaklumkan secara tidak langsung bahawa usul yang akan dibentang dalam Majlis Tertinggi pada besok malam akan kalah.
74. Pada keesokan malamnya hanya 3 orang sahaja dari ahli Majlis Tertinggi yang menyokong usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas. Semua yang hadir merasa terkejut termasuk saya sendiri.
MAJLIS TERTINGGI MENOLAK USUL
MENGADAKAN MESYUARAT AGUNG KHAS
TETAPI MENERIMA USUL MENGHANTAR ROMBONGAN UMNO JOHOR
KE LONDON
75. Walau pun Majlis Tertinggi telah menolak cadangan mengadakan Mesyuarat Agung Khas, tetapi Majlis Tertinggi bersetuju menghantar satu rombongan UMNO dari Johor, yang dipimpin oleh Dato' Syed Zain, untuk memujuk Tun Musa, yang berada di London, untuk menarik balik perletakan jawatan Timbalan Presiden UMNO. Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dapat ditarik balik kerana Tun Dr. Mahathir sahaja yang berkuasa membuat perlantikan semula dan beliau tidak bercadang membuat demikian.
76. Di waktu rombongan UMNO Johor berangkat ke London saya lihat di dalam surat khabar sepanduk yang mengutuk saya, Tan Sri Megat Junid dan Kip Bahadon. Sepanduk ini berbeza dengan sepanduk yang dibentang di bangunan UMNO sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan di mana tiga tokoh yang disalahkan atas perletakan jawatan Tun Musa Hitam ialah apa yang disingkatkan sebagai A. I. D. S untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi Junid. Rupanya ahli-ahli rombongan sudah mengetahui mengenai kegiatan panggilan telefon kami bertiga Megat, Kip dan saya.
ROMBONGAN UMNO JOHOR
BERJAYA MEMUJUK TUN MUSA
MEMBATALKAN
PERLETAKAN JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO
77. Walau pun Majlis Tertinggi telah diberi jaminan oleh 3 orang ahlinya, yang menyokong usul yang kalah untuk diadakan Mesyuarat Agung Khas, bahawa Tun Musa tidak akan menarik balik surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden ternyata Tun Musa menarik balik perletakan jawatannya MUNGKIN kerana beliau bimbang atas nasib penyokong-penyokongnya kerana pemegang jawatan Timbalan Presiden biasanya juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang ditakuti akan bertindak ke atas penyokong-penyokongnya.
TUN ABD. GHAFAR BABA
JADI TIMBALAN PERDANA MENTERI
78. Kerana usaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas berjalan terus dan desakan-desakan terus membara maka Tun Dr. Mahathir telah memutuskan untuk tidak menunggu Perhimpunan Agung UMNO untuk memilih Timbalan Presiden baru sebaliknya terus melantik, pada tahun 1986, Tun Ghafar Baba untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.



2 comments:

Anonymous said...

faridina menulis..

Assalamualaikum Tan Sri,
Syukur alhamdulillah kerana Allah SWT telah mengurniakan kesihatan yang baik buat TS sehinggakan dapat memberi pencerahan yang didambarkan kami rakyat marhaen bagi mendapatkan kebenaran atau mendengar kisah sebenar perihal dakwaan2 Musa England dalam buku fiksyennya 'Frankly Speaking Rubbish!'.

Musa England selama inipun bukannya pemikir ulung kerana harus diingatkan sehingga ke hari ini beliau tidak pernah menghasilkan sebarang buku yang boleh memberi manfaat kepada generasi seterusnya sekurang2nya asas2 perjuangannya dalam berpolitik.

Dibandingkan dengan ayahanda rakyat Tun M yang memang aktif menulis buku2 sebelum bergelar PM, semasa bergelar PM dan setelah bergelar mantan PM cukup banyak karya2nya yang boleh dipelajari dan diselidiki.

Seburuk2 Lim Kit Siang di mata Musa England sekalipun tetapi beliau telah menghasilkan 35 judul buku.

Hanya apabila Pee M Najib terjebak dalam menghasilkan banyak buku 555 (buku hutang klasik) barulah Musa England terpanggil menulis buku bukan ilmiah tetapi buku biografi dirinya yang disesuaikan dengan kehendak Raja Klepet bagi menjatuhkan imej Tun M kununnya.

Musa England sepatutnya berterima kasih kepada Tun M kerana tidak mengamalkan politik dendam kesumat dengan melantik anak didiknya dari team B iaitu Pak Dol yang memungkinkan dirinya tanpa segan silu tersengih bak kerang busuk muncul dalam arena politik perdana selepas 17 tahun (1986 - 2003) dilupakan rakyat.

Lebih teruk lagi Pak Lah disuruh anugerahkan dia gelaran 'Tun' supaya nampak dia macam berjasa pada negara perrhh dia ni memang gila pangkat tak dapat jadi PM jadi seorang 'Tun' pun jadilah sekurang2nya sama dengan gelaran Tun M. Bayangkanlah secara logiknya layakkah jasanya dihargai setelah 20 tahun (2006 - 1986) berlalu, jawapannya tidak kerana hanya Pak Dol seorang sahajalah yang dipaksa mengenang jasa Musa England.

Tapi ingat sikitlah wahai bangsat Johor yang juga merupakan orang yang mempelopori konsep 'berani untuk kurang ajar' kerana kebangsatanmu dan kurang ajarmu maka kamu tidak di anugerahkan pun Darjah Kerabat Kelas Pertama (DK 1) Johor sepertimana ayahanda Tun M dapat dari Almarhum Sultan Mahmud Iskandar tapi yang kamu layak dapat hanyalah berpeluang dimurkai baginda Sultan dikhalayak ramai, padan muka kunun nak promosi sikap 'kurang ajar' nasib baik tak makan penampar baginda.

Dulu kami pernah membaca
buku tulisan Syed Hussain Allattas berjudul 'Musa Derhaka' dan bagaimana kedatangan M (Sultan Mahmud) berdaulat satu lagi ke dalam 2M maka satu lagi M mesti pergi itulah Musa England.

Benar kata TS bahawa Tun M telah tersilap memilih Musa England sebagai penggantinya tetapi hari ini Tun M sendiri mengaku telah silap pilih semua penggantinya kecuali mungkin En Ghaffar Baba dan TSSJ juga bernasib baik masih bersama Tun M hari ini kerana TSSJ bukan pilihan Tun M tapi Tun Razak :) .

Kami rasakan Musa England ini hanyalah seorang atau seekor 'political animal' yang mengamalkan politik dendam kesumat iaitu politik orang kecewa dan terkini politik cari makan cara mudah sambil balas dendam atau sambil menyelam gigit taik Najib yang separuh tenggelam - cissh dasar pengotoq.

Terkejut dengan pendedahan TS bahawa Musa England tidak pernah menulis sendiri teks ucapannya sewaktu bergelar menteri atau TPM sebab mungkin dia asyik berparti sepanjang malam kot hahaha..

Kalau benar si kurang ajar ni tidak pernah menulis sendiri teks ucapannya maka besar kemungkinan dia bermimpi wang besar yang membuatkan dia tiba2 setelah 30 tahun (2016 - 1986) menghasilkan satu karya pembohongan agung untuk kepentingan dirinya dan King of Cash merangkap kleptokrat tersohor abad ini.

Sesungguhnya bellau bukan seorang ahli politik commoner seperti dinyatakan Sultan Perak tetapi seorang ahli politik elit berpelajaran tinggi yang lebih fasih berbahasa England dari orang England sendiri yang berasa janggal bercakap Melayu hingga pernah bernikah dengan orang putih seksi sebab dirasakan kaum Melayu itu kuno out dated gitu.

Anonymous said...

Musa England sekarang dengan bangganya mempelopori Pertugal (bunyi macam Portugal) iaitu singkatan Pertubuhan Orang2 Tua Gatal.

Terima kasih TS kerana membogelkan pembohongan Musa England bahawa AIDS berkonspirasi menjatuhkannya dahulu sedangkan sebenornya orang2 dia pun tahu ini kerja SMK (Sanusi, Megat Junid dan Kip Bahadun).

Teruskan menulis TS kami perlukan lagi.

Wasalam.