Friday, November 11, 2016

BR1M DARI CHINA - IKAN DI KOLAM HO CHI MINH

TUGAS SEORANG PEMIMPIN
Mengikut bacaan saya yang terbatas seseorang pemimpin itu perlu mempunyai sekurang-kurangnya pengertian mengenai sikap manusia, khususnya yang di bawah pimpinannya. Hanya dengan mempunyai ilmu atau pengalaman sekitar persoalan sikap itulah baru seseorang pemimpin itu mengetahui cara mencorakkan kepimpanannya untuk membawa rakyat yang dipimpinnya ke matlamat yang diidamkan.
SEMUA RESOLUSI MENDESAK KERAJAAN 

Sejak merdeka pihak kerajaan dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia telah berjaya menganjurkan berbelas seminar, konvensyen atau persidangan untuk mencari jalan bertujuan memperbaiki keadaan bangsa Melayu dan Bumiputera. Ratusan usul telah dibentang dan dibahaskan dalam semua pertemuan tersebut. Boleh dikatakan kesemua resolusi atau usul itu mendesak pihak kerajaan untuk bertindak dengan satu cara atau cara yang lain atau pun mencadang untuk diwujudkan sesuatu badan atau program untuk bangsa Melayu dan Bumiputera.

Yang jelas ialah tidak ada satu usul pun yang berkaitan dengan sikap bangsa Melayu dan Bumiputera. Tidak ada desakan yang membawa ke arah perubahan atau pembaikan sikap dan tabiat bangsa Melayu dan Bumiputera itu sendiri.



TUMPUAN KEPADA PENDIDIKAN
 
Selama 59 tahun tumpuan diberi kepada aspek pendidikan. Pendidikan adalah satu kewajiban yang perlu diberi perhatian utama untuk menjayakan satu-satu bangsa, tetapi pendidikan hendaklah diberi dengan cara yang tidak terpisah dari nilai-nilai murni yang perlu ada sebagai prasyarat untuk memajukan bangsa yang berpendidikan.  
Walaupun ada ajaran ugama, dengan nilai-nilai mahmudahnya, tetapi aspek nilai tidak diutamakan dan ajaran ugama yang diberi sekadar untuk lulus dalam peperiksaan atau hanya untuk membolehkan seseorang mengerjakan Fardhu 'Ain.

Sementara tanggungjawab pihak ibu-bapa yang sepatutnya mendidik akhlak anak difikirkan sudah diambil alih oleh guru pihak guru pula memikirkan itu adalah tanggungjawab pihak ibu-bapa.

Bagi anak yang sudah ke asrama pula akhlak mereka terserah kepada cernaan perhubungan antara sesama mereka untuk membentuknya. 

Kesannya ialah seperti yang ada sekarang ini, di mana dari pihak atasan hingga ke bawah terdapat ketandusan nilai moral bukan saja terbatas kepada amalan dan jalan hidup seseorang tetapi juga mempengaruhi urusan pemerintahan apabila seseorang itu berkuasa.
KEPINTARAN PADA YANG TIDAK BERMORAL MERUGIKAN BANGSA

Jika kemampuan mental, atau kepintaran, seseorang itu ditingkatkan melalui pendidikan yang tinggi sekalipun ianya boleh menjadi satu bebanan, kepada masyarakat dan rakyat, jika ianya menjadi seorang pemimpin yang tidak bermoral. 

Jika sebelum dididik seseorang anak itu hanya mampu mencuri telor ayam tetapi setelah dididik sampai keperingkat ijazah tertinggi, kebolehan mencurinya juga akan meningkat sehingga sanggup mencuri harta waqf, barang amanah dan harta rakyat dan negara.

Oleh itu peningkatan pendidikan hendaklah didampingi dengan peningkatan moral juga. Dengan adanya pertimbangan moral maka pelaksanaan satu-satu program akan merangkumi aspek kemanusiaan termasuk membina sikap dan tabiat manusia.

Di sebabkan ketandusan ilmu mengenai sikap manusia maka kita dapati adanya program di dalam negara, walaupun dengan tujuan baik, yang merosakkan bangsa.

PEMIMPIN REVOLUSI YANG BIJAK
Salah seorang pemimpin revolusi yang berjaya mesyusun strategi dan melatih rakyatnya sehingga, setelah beliau meninggal dunia, mengalahkan Amerika Syarikat dalam peperangan, ialah Ho Chi Minh di Vietnam. Walaupun rakyat Vietnam miskin dan kurang canggih kelengkapan senjatanya tetapi kerana kebijaksanaan Ho Chi Minh, menanam nilai-nilai yang baik dan berguna kepada anak bangsanya, pihak Vietnam mampu mengalahkan Amerika Syarikat, yang memiliki sebuah angkatan bersenjata yang terbesar di dunia, dengan bekalan senjata yang tercanggih. Kegiatan tentera Amerika Syarikat pula didukung oleh kekuatan ekonomi yang tidak ada tolok bandingnya di masa itu. Ho Chi Minh lahir pada tahun 1890 ms dan meninggal dunia pada tahun 1969 pada umur 79 tahun.

Amerika Syarikat telah dikalahkan oleh Vietnam pada 30 April, 1975 apabila pada pukul 11.30 pagi bendera Viet Cong dinaikkan di ISTANA MERDEKA, kira-kira 6 tahun setelah Ho Chi Minh meninggal dunia.

LAWATAN KE VIETNAM
Sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar saya telah berada di Hanoi, Vietnam pada 7 Disember, 1989, 20 tahun setelah Ho Chi Minh meninggal dunia, dan 14 tahun setelah Amerika Syarikat dikalahkan oleh Vietnam, untuk menghadiri persidangan CIRDAP (Center for Integrated Rural Development for Asia and the Pacific).

Selain dari waktu persidangan program kami diselang-seli dengan lawatan ke tempat-tempat bersejarah yang kami masing-masing minati. Ada beberapa orang perwakilan ke persidangan yang memilih untuk melawat tempat kediaman Ho Chi Minh. 

Setelah masuk sekejap ke rumahnya yang cukup sederhana, lebih sederhana dari rumah PPRT untuk orang-orang yang dianggap miskin di Malaysia, kami telah dibawa ke sebuah kolam ikan yang besar di halaman depan rumah Uncle Ho (panggilan yang digemari oleh Ho Chi Minh).

IKAN DI KOLAM HO CHI MINH

Pegawai yang memandu kami dalam lawatan tersebut telah memberitahu bahawa Ho Chi Minh sangat gemar kepada ikan dan amalannya setiap pagi ialah untuk pergi ke tepi kolam dan memberi makanan kepada ikan. Tetapi, sebelum makanan dicampak ke dalam kolam beliau terlebih dahulu menepuk tangannya.

Setelah beberapa lama beliau berbuat demikian akhirnya beliau dapati setiap kali beliau tepuk kedua belah tangan beliau perhatikan setiap ikan, yang sudah mengetahui isyarat tepukan tangan yang bererti akan datangnya makanan, tanpa lengah, terus melompat setinggi mungkin untuk mendahului ikan yang lain supaya terlebih dahulu mendapat makanan. Semakin lama semakin merebak respon sedemikian sehingga, seperti ombak, barisan ikan yang terdekat di tepi kolam melompat diikuti oleh ikan-ikan yang lain di sekeliling dan di belakangnya. Lama kelamaan ikan yang di hujung kolam di sebelah belakang juga turut melompat tetapi hanya setelah ikan-ikan di depannya melompat dulu.

Pemandu kami telah menjelaskan bahawa dari memerhati tabiat ikan dalam kolamnya inilah Uncle Ho (nama kegemaran untuk rakyat Vietnam) melihat satu persamaan dengan perangai manusia. Manusia, seperti ikan, akan mendatangi apabila ada saja signal yang menunjukkan tanda dan arah satu-satu habuan dapat diperolehi olehnya.

Berasaskan kesedaran sikap manusia yang sedemikian maka Ho Chi Minh telah melatih kader-kader parti komunisnya sehingga budaya mengikut tanpa berfikir, dan hanya kerana dorongan kepuasan nafsu, seperti ikan, tidak menjadi budaya pejuang tentera gerila Vietnam yang mahu menang mengalahkan Amerika Syarikat.

Oleh itu usaha menawarkan kemewahan, pujian, pangkat sumber kepuasan nafsu seksual, oleh pihak musuh, tidak mempengaruhi pejuang Vietnam; dan minoriti yang terpengaruh dengan budaya ikan dapat dimusnahkan oleh pejuang Vietnam.  

BUDAYA PUSAKA NENEK MOYANG IKAN

Sudah tentu semua ikan yang melompat waktu kami melawat kolam ikan itu pada tahun 1989 bukanlah ikan yang sama dengan yang diberi makan oleh Ho Chi Minh 20 tahun lebih yang lalu, sebelum beliau meninggal dunia pada tahun 1969.

Jawab pemandu kami, ikan-ikan ini adalah lebih dari 20 keturunan ikan yang terdahulu. Kini kita tidak perlu beri makanan lagi kepada ikan di kolam jika kita mahu ikan itu melompat; kita hanya perlu menepuk tangan. Sebabnya ialah kerana respon 'melompat apabila mendengar tepukan sudah menjadi budaya kepada ikan di kolam Ho Chi Minh. Keadaan ikan di dalam kolam tidak lagi menunggu makanan tetapi sekadar menunggu tepukan saja untuk mereka melompat.

MELAYU DILATIH MEMILIKI TABIAT IKAN

Rakyat dalam negara Malaysia juga dalam keadaan demikian. Kita lihat rata-rata watak-watak Melayu, tanpa mengira pangkat dan kedudukan akan 'lompat' apabila mendengar ada 'King' yang bawa 'Cash' - dalam budaya 'Cash is King'.

Apabila negara China pula melihat budaya 'Cash' atau wang boleh menjadi 'King' atau raja, maka terlintaslah di hati mereka untuk menawarkan 'Cash' kepada 'ikan-ikan' di Malaysia kerana mereka tahu budaya 'Wang boleh membeli segala-galanya' itu sudah mula menular dalam darah daging bangsa Melayu.

Apabila idea yang dicetuskan oleh sebab 'Cash is King' sudah menjadi budaya maka yang ada 'Cash' akan menjadi tuan. Dan yang paling banyak 'Cash' di dunia masakini ialah negara China, maka bangsa Melayu dalam UMNO perlu bertanya samaada mereka sudah sanggup mengorbankan ketuanan Melayu untuk menerima, bukan China Malaysia sebagai tuan, tetapi 'Ketuanan Bangsa China di Komunis China?'

Semua pemimpin China  di berbagai peringkat, yang berfahaman komunis seperti fahaman Ho Chi Minh, sudah tentu mempelajari pengalaman yang luar biasa yang dilaluii oleh Ho Chi Minh dari perangai ikan di kolamnya.

Pakailah songkok, kupiah atau mahkota, dan bawalah keris, pedang atau apa jua senjata, asal kita tidak menjadi budak kepada negara lain.

DULU KAPITALIS AMERIKA SYARIKAT,
KINI KOMUNIS CHINA

Dulu Amerika Syarikat menjadi pelindung pemimpin kita sehingga kerajaan Malaysia sanggup mengorbankan kepentingan negara dengan menantangani TPPA. Kini negara China pula menjadi tempat sandaran maruah bangsa Melayu dan negara Malaysia.

Pemberian BR1M sebagai 'dedak', jika banyak dipanggil 'derma', dalam bentuk-bentuk lain juga, jika berterusan, akan menjadi satu latihan dalam menyuburkan budaya bangsa Melayu untuk patuh kepada yang memberi secara tidak ikhlas, dan dipenghujungnya siapa yang tepuk tanganlah yang menjadi tuan kepada bangsa Melayu yang sudah biasa dimanjakan untuk menerima 'hadiah' sebagai upah untuk mendapat sokongan.

NEGARA CHINA PILIH MELAYU UMNO
DAN TIDAK CHINA DAP - YANG MENENTANG RASUAH

Di waktu PM mengisytiharkan bahawa penerimaan RM2.6 billion sebagai 'derma' dari kerabat di raja Arab, walaupun sebenarnya disalurkan melalui beberapa syarikat yang menerimanya dari 1MDB, untuk kegunaan UMNO, yang bercanggah dengan akta pertubuhan, saya telah bertanya apa sikap kerajaan jika Negara China meng'hadiah'kan berlipat kali ganda kepada parti DAP yang dipimpin oleh China.
Tetapi negara China lebih bijak kerana mereka tahu tidak ada gunanya mereka membiayai DAP, yang MENENTANG RASUAH,  untuk menubuhkan kerajaan kerana DAP, jika menang semua kerusi yang ditandinginya sekalipun, tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan. Republik Rakayat China memilih untuk MEMBERI MAKAN DAN LAYANAN KEPADA IKAN YU YANG LEBIH BESAR DAN MEMEGANG PEMERINTAHAN.
MUNGKIN DENGAN 'DERMA' YANG CUKUP LUMAYAN BESAR, MELALUI PROJEK YANG HARGANYA DILIPATGANDAKAN, IKAN YANG KENYANG AKAN MENGORBANKAN MASA DEPAN BANGSA DAN NEGARANYA. 
WALLAHU'AKLAM.

1 comment:

Anonymous said...

Antara monarki dan komunisma, tiada mampu jalan seiring, satu antara dua perlu pergi, cuma cara kepergiannya bagaimana? dipaksa atau rela...Ikan-ikan di kolam akan terus melompat bila terdengar tepukan walaupun kemudiannya pasir yang ditaburkan..kita tak pernah terfikir untuk berfikir lebih dari seinchi...