Popular kerana cuma berani mengata kerajaan
MONA AHMAD & AZRUL AFANDI SOBRY
Berita Harian - Isnin 15 April 2013
Kolom Rencana, Berita Harian muka surat 26-27
Tiga puluh tahun
sebagai wakil rakyat dan berdepan enam kali pilihan raya umum menjadikan Tan
Sri Sanusi Junid seorang tokoh politik yang sangat berpengalaman. Malah,
perkenalannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak zaman sekolah menengah
hingga bersama dalam pimpinan kerajaan membuatkan beliau mengetahui pelbagai
kisah mengenai Ketua Pembangkang itu. Wartawan BH, Mona Ahmad dan Azrul Affandi
Sobry, menemui beliau untuk mendapatkan pandangan peribadi berhubung pelbagai
isu menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Wartawan: Berdasarkan
senario semasa, difahamkan beberapa tokoh lama dalam Barisan Nasional (BN)
tidak dicalonkan kali ini, sedangkan mungkin ada yang mahu terus bertanding. Apa
pandangan Tan Sri mengenai situasi ini?
Sanusi: Ada beza antara PRU-12 dan PRU-13 dalam konteks
kesediaan untuk bertanding. Dulu, ramai dalam BN terlebih yakin, menyebabkan
ramai yang mahu bertanding dalam PRU-12 kerana yakin boleh menang. Ia sekali
gus menyebabkan ramai yang marah tidak dicalonkan ketika itu kerana keghairahan
masing-masing untuk bertanding. Namun, apabila berlaku kekalahan di beberapa
negeri dan kegagalan BN mendapat majoriti dua pertiga menyebabkan kali ini kita
tidak dengar ramai sangat yang berani tawarkan diri untuk bertanding pada
peringkat awal. Suasana senario muram PRU-12 masih terasa. Namun, selepas
pelbagai program dan tindakan digerakkan Perdana Menteri beserta pelbagai
polisi, muncul satu keyakinan yang kita akan menang besar. Keyakinan inilah
yang mengembalikan kumpulan seperti PRU-12 dulu iaitu mahu tumpang menang. Keadaan
inilah yang sedikit merugikan, tetapi kita ada cukup masa untuk berkempen. Tempoh
kempen paling panjang dalam sejarah. Pengalaman saya bertanding sebanyak enam
pilihan raya dan sepanjang 30 tahun menjadi wakil rakyat, inilah tempoh
terpanjang untuk berkempen. Sekurang-kurangnya, siapa yang tidak dicalonkan
nanti, ada cukup masa untuk berfikir dan difahamkan kenapa ia tidak dicalonkan.
Hakikatnya semua pihak perlu sedar, apakah dia mahu terus merana selama lima
tahun lagi di bawah kerajaan negeri pimpinan pembangkang. Saya tidak risaukan
Kerajaan Pusat kerana BN pasti menang.
S: Adakah dengan
pengguguran tokoh lama akan memberi kesan?
J: Ini bergantung, sama ada calon ini hebat buat
kenyataan akhbar dan kuat mengata dalam Parlimen atau jenis tak kisah semua
rumah kenduri beliau hadir. Tetapi yang selalu bersyarah atau keluar dalam
akhbar pun kadang kala tidak berkesan. Melayu ini, mereka lebih pilih kawan
bukan prinsip. Kalau kawan dia curi pun tak apa asal jangan curi duit dia. Datuk
Seri Najib Razak (Najib) ada kelebihan dari segi populariti. Tetapi ramai
pemimpin UMNO yang tidak tahu pasal PAS sebenarnya. PAS ini ada di kawasan ada
padi. Kalau tiada padi, penyokong PAS lebih kepada pensyarah. Di Marang tiada
padi tapi ada Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Cuba kita tengok mana tempat
ada padi seperti Kedah, Kelantan, Kuala Selangor dan Seberang Prai, semua ada PAS.
Di mana ada padi dan pondok (sekolah pondok), di situ ada PAS kerana sekolah
pondok bergantung duit zakat padi pada awalnya.
S: Adakah Tan Sri
cukup yakin BN akan menang besar?
J: Jika pada hari ini, Najib saja yang bertanding
menentang ketua pembangkang, iaitu pilihan raya presiden, saya rasa Datuk Seri
Anwar Ibrahim (Anwar), Lim Kit Siang atau Karpal Singh, semua lawan Najib ini
akan hilang wang pertaruhan. Itu jika pertembungan satu lawan satu. Namun,
kerana pilihan raya kita membabitkan ramai calon, maka berlakulah sedikit
konflik. Isu itu bukan hanya dalam BN dan sebenarnya di pihak pembangkang,
lebih teruk lagi. Mereka lebih teruk kerana baru rasa kuasa. Mereka mula berebut
kerusi kerana mahu rasa sama kuasa itu.
S: Jika Najib bukan
masalahnya dan faktor utama kini lebih kepada calon, siapakah yang selayaknya
diletak sebagai calon untuk memenangi hati rakyat?
J: Ia bergantung kepada siapa soalan ini ditujukan. Jika orang
muda yang berkelulusan, tentunya mereka ini akan perjuangkan kelompok mereka
sendiri. Faktor calon boleh menang di pihak bawahan tentunya berbeza dengan
atasan. Pada peringkat Najib, tentunya beliau merujuk kepada pelbagai maklum
balas dari pelbagai aspek. Ia juga tidak bermakna maklum balas itu tepat
semuanya. Apa yang paling utama, bukan faktor siapa calonnya sebab mereka ini
jika menang pun hanya untuk berdebat di Parlimen. Yang akan buat dasar ialah
kerajaan, bukan mereka. Kerana itulah Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya
lebih penting. Kerana itu orang sekarang menilai peringkat atasan. Mereka lihat
Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin serta bandingkan dengan pemimpin pembangkang.
Contohnya, katakanlah pakatan pembangkang menang, keputusan akan dibuat pada
peringkat pimpinan mereka. Jika Karpal atau Lim Kit Siang serta barisan
pemimpin pembangkang yang lain kata kalimah Allah akan dibenarkan untuk semua
agama, apa penyokong dan calon pakatan boleh buat? Keputusan, bukan di tangan
mereka. Jika pemimpin mereka nak menghalalkan budaya lesbian, gay, biseksual,
dan transeksual (LGBT), siapa boleh halang...Apa Dewan Ulama PAS boleh buat?
Jika nak buat perubahan, tunggulah lima tahun lagi.
S: Tidak dinafikan
dulu ada kelompok yang tidak suka BN cuma tidak menyerlah, tetapi tahun lalu
dan tahun ini, mereka lebih berani menyuarakan penolakan mereka termasuk kaki
tangan kerajaan. Bagaimanakah Tan Sri melihat senario ini?
J: Orang Melayu ini bukan cari orang cerdik, tapi suka
cari orang berani. Anwar menjadi popular ini kerana dia berani berkelahi dengan
kerajaan. Sesetengah orang ini, mereka suka orang yang berani bantai kerajaan. Saya
dulu pun apabila saya bantai kerajaan ramai yang suka dan menjadi popular.
S: Adakah Anwar
masih ada kekuatan pada pandangan Tan Sri?
J: Anwar kita boleh umpamakan seperti pelakon atau
bintang filem. Saya mengenalinya sejak dia masuk Tingkatan Satu, manakala saya
Tingkatan Lima di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Saya juga amat
mengenalinya ketika di Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan juga amat
mengenalinya dalam kerajaan. Dia boleh berlakon sebagai ulama dan boleh jadi
apa saja. Malah, kehebatannya sebagai perunding juga diakui pada peringkat
dunia. Bayangkan bagaimana dia boleh berunding dengan PAS yang selama ini
mahukan Islam sehingga akhirnya menukar prinsip mereka daripada negara Islam
kepada negara berkebajikan. Dia juga berjaya berunding dengan Karpal yang
pernah kata langkah mayatnya dulu jika mahu buat negara Islam. Awak fikirlah
sendiri adakah dengan kedua-dua pihak itu dia cerita perkara yang sama. Saya tak
rasa dia cakap perkara yang sama sebab tentunya akan ditolak. Pelik apabila ada
seorang lelaki Melayu yang berjaya buatkan Arab dan Yahudi sukakannya. Mesti ada
yang tak kena sebab Amerika Syarikat pun tak berjaya ke arah itu. Saya mudah
saja, jika diberi pilihan sama ada mahu Ibrahim Ali atau Anwar menjadi Perdana
Menteri, saya lebih rela pilih Ibrahim. Sekurang-kurangnya beliau ada pandangan
dan telus. Namun, perlu diingat, kejayaan rundingan itu mungkin hanya mampu
pikat pihak peringkat atasan, tapi tidak pada peringkat akar umbi. Orang tahu
dia adalah seorang manusia beribu wajah. Hanya orang yang tak kenal dia akan
terus sokong. Siapa yang kenal, ramai sudah meninggalkannya. Mereka bukan orang
bodoh. Ketika kelulusan mereka tidak seberapa, Anwar jadi ikutan. Apabila mereka
sudah bijak, Anwar ditinggalkan.
S: Ramai melihat
Anwar antara orang penting yang mengasaskan ABIM dan disebabkan itu beliau
sering ditampilkan sebagai tokoh Islam. Benarkah Anwar adalah orang di belakang
penubuhan badan bukan kerajaan itu?
J: Selepas Anwar menamatkan pengajian di Universiti
Malaya (UM) beliau membuka perniagaan Yayasan Anda dan menjadi guru besar. Semasa
di UM beliau aktif dalam persatuan pelajar. Jadi apabila keluar UM, beliau
memerlukan landasan untuk terus aktif. Justeru, beliau menyertai dan menang
jawatan dalam Majlis Belia Malaysia. Saya waktu itu dalam Majlis Kelab-Kelab
Belia Malaysia (MAYC) begitu juga Anwar yang secara automatik masuk MAYC kerana
menyertai MBM. Saya berhasrat menubuhkan Angkatan Dakwah Malaysia (ADAM). Pada masa
sama pun, Anwar terfikir menubuhkan satu pertubuhan belia lagi kerana jika mahu
teruskan jawatan dalam MBM perlu ada kelab gabungan. Selepas berbincang dengan
Allahyarham Ustaz Osman Bakar dari Kampung Gajah, Perak, kami telah memilih untuk menubuhkan Angkatan Belia Islam
Malaysia (ABIM). Anwar langsung tiada dalam jawatankuasa penubuhan ABIM dan
tidak pernah menyertai mana-mana mesyuarat penubuhannya. Saya enggan menjadi
Presiden ABIM kerana tidak pandai berbahasa Arab dan kami melantik Ustaz Razali
Nawawi (kini Prof Dr) sebagai Presiden. Saya sendiri dilantik sebagai Naib
Presiden ABIM. Pejabat pertama ABIM didaftarkan di rumah saya di alamat No. 3,
Lorong Battai Dalam, Damansara Heights, 50490 Kuala Lumpur.
S: Jadi, bagaimana
Anwar mendakwa bahawa beliaulah orang di belakang ABIM sebelum ini?
J: Selepas dua tahun penubuhan ABIM, Anwar berhenti dari
PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia), kerana dia bukan pelajar lagi dan dilantik sebagai Setiausaha Agung ABIM pada penghujung
1972. Pada masa sama, geng-geng al-Arqam pun berminat menyertai ABIM. Saya tidak
setuju, alasan bukan pasal soal penyelewengan. Saya berkawan baik dengan mereka
kerana Arqam ketika itu membekalkan kicap dan mi orang Islam kepada rangkaian
kedai runcit Koperasi Shamelin.
Saya tidak setuju kerana geng dia lebih kuat solat
daripada kami dan mereka lebih faham al-Quran dan tafsir sedangkan kami
daripada sekolah Inggeris. Selepas itu, tiba-tiba timbul isu saya bekerja
sebagai pengurus bank riba dan memimpin persatuan Islam. Jadi saya perlu pilih
antara kerja bank atau ABIM. Apabila saya memilih untuk terus bekerja dengan
Chartered Bank, saya terpaksa melepaskan jawatan dalam ABIM. Razali pula
apabila saya berhenti, beliau pun meletakkan jawatan. Pada masa inilah, Anwar
dilantik mengetuai ABIM.
S: Mengapa Tan Sri
memilih untuk terus bekerja dengan bank berbanding ABIM sedangkan Tan Sri
antara pengasasnya?
J: Apabila saya terpaksa memilih antara dua, bank dan
ABIM, saya maklumkan kepada pihak pengurusan bank yang saya mahu berhenti
kerana bukan bank syariah, tetapi mereka tidak benarkan dan membuat tawaran apa
saja supaya saya terus kekal dalam bank itu. Jadi, saya balik kampung dan
berbincang dengan bapa tiri saya yang juga orang PAS. Dia tanya saya mengapa
saya mahu berhenti saya katakan tidak mahu terbabit dengan riba.
Bapa tiri saya tanya berapa riba yang dikenakan. Apabila saya
kata 10 peratus, beliau kata itu terlalu rendah berbanding apa yang petani
terpaksa bayar kepada pemborong dan pengilang sehingga 80 peratus kadar bunga. Saya
buat cadangan kepada Chartered Bank memberi pinjaman RM50 juta kepada 25,000
petani di Kedah, Perlis dan Seberang Prai dengan kadar RM2,000 seorang supaya
mereka boleh melangsaikan hutang dengan orang tengah dan hanya perlu membayar
faedah 10 peratus. Saya ingatkan cadangan itu tidak diluluskan dan mereka
benarkan saya berhenti. Rupanya sebaliknya. Saya berbincang dengan ulama di
Kedah dan Aceh. Mereka kata pekerjaan itu haram, tetapi tidak benarkan saya
berhenti kerana ketika itu tiada pegawai Islam dalam bank untuk menguruskan pinjaman
25,000 petani dan menyatakan Allah Maha Pengampun. Jadi, saya teruskan kerja di
bank hingga petani semua tamat membayar hutang barulah saya berhenti.
S: Sejauh mana
kekuatan gabungan pembangkang kali ini?
J: Saya tak nampak ia kuat lagi. Gabungan ini terdiri
daripada mereka yang kecewa. Mereka semua ini hanya mengangkat Anwar kerana
perlu ada seorang pemimpin Melayu dan mungkin Anwar boleh menguntungkan mereka.
Saya tak nampak langsung peluang mereka untuk menang. Jika menang sekalipun
tidak akan bertahan lama, pasti akan berpecah. Dalam PAS ada Dewan Ulama yang
takkan biarkan agenda mereka gagal. Mereka ini akan bergaduh kecuali PAS sedia
korbankan perjuangan Islam mereka. Bagaimana nak luluskan kebebasan seks jika
PAS masih pertahankan hukum Islam. Adakah PAS setuju jika kita mahu berkawan
dengan Israel?
No comments:
Post a Comment