Monday, April 15, 2013

KEMISKINAN BERBAGAI WAJAH

MISKIN WANG, HARTA, ANAK DAN PEKERJAAN

1. Bila saja disebut 'miskin' maka tergambarlah oleh kita bahwa orang miskin itu ialah orang yang tidak mempunyai pekerjaan, wang, harta atau anak yang boleh membantunya.

2. Sedangkan ada orang yang miskin wang, tiada anak dan pekerjaan tetapi kaya harta.

3. Ada juga yang tidak berharta tetapi tidak miskin kerana ada kerja dan ada juga wang tunai tersimpan di dalam bank mungkin kerana anak turut memberinya.
 
4. Ada yang bekerja tetapi tiada harta, tiada anak dan wang simpanan. Gajinya hanya cukup untuk belanja hidup.

5. Ada yang ada anak yang tidak peduli kepada ibu atau bapanya yang papa kedana.

6. Berbagai 'computation' dan 'permutation' boleh digambarkan dari empat faktor ini - iaitu pekerjaan, wang, harta dan anak yang boleh membantunya.

MISKIN KEBENDAAN

7. Asalkan seseorang itu ada wang dan/atau harta dan/atau pekerjaan dan/atau anak yang membantu  maka ianya tidak boleh dikatakan miskin dari aspek kebendaan.

8. Siapakah yang menentukan samaada seseorang itu miskin atau kaya atau sekurang-kurangnya tidak miskin?

9. Biasanya orang yang miskin wang, anak dan harta itu dapat kita lihat dari keadaan rumahnya, makanannya, pakaiannya dan cara dia pergi dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
 
10. Ada juga orang yang kelihatan kaya tetapi sebenarnya miskin jika kita tolak harta dan wangnya dengan hutang tanggungannya yang belum dibayar.

11. Orang ini mempunyai keistimewaan sendiri kerana boleh mendapat pinjaman walau pun tidak mempunyai harta sebagai cagaran.

PANDANGAN BANK DUNIA

12. Klasifikasi orang miskin juga dibuat oleh Bank Dunia. Cara klasifikasi miskin tenat (hard-core poverty), miskin (poverty) dan tidak miskin yang dibuat oleh Bank Dunia bergantung kepada pendapatan seseorang itu. Pendapatan ini ada batas penentuannya.
 
13.  Saya tidak mempunyai data rasmi masakini mengenai kemiskinan yang ditentukan oleh Bank Dunia. Di waktu saya berada dalam kerajaan di masa lampau gelaran 'hard-core' poverty diberi kepada yang tidak ada wang, harta, anak dan pekerjaan. Jika ada pun ianya secara yang paling sederhana kewujudan atau kemampuannya. 

14. Bagi yang ada pendapatan pula, mungkin dengan bekerja sendiri atau ada gaji yang kecil dan ada  banyak anak tanggungannya, gelaran yang diberi ialah 'poor' atau orang miskin.

        PENYELESAIAN KEPADA MASALAH KEMISKINAN

15. Berbagai cara telah dibuat oleh pihak kerajaan untuk mengatasi masalah kemiskinan ini sehingga boleh dikatakan yang bergelar 'hard-core poverty' sudah tinggal sedikit sekali.

16. Yang miskin juga sudah kekurangan.

17. Saya telah menghuraikan mengenai program atau rancangan kerajaan untuk membasmi kemiskinan di dalam perenggan 14 hingga 17 dalam blog ini atas tajuk 'Wiper Membasmi Kemiskinan'. Jika ada yang saya ulangi di dalam karangan ini atau karangan-karangan dalam blog yang akan datang, dalam tajuk yang sama atau berkaitan, ia adalah kerana masalah kemiskinan adalah relatif dan memandang kepada pertumbuhan ekonomi yang tidak seimbang bagi antara kaum, dan di dalam setiap kaum, maka tidak mustahil kemiskinan yang relatif itu akan berulang lagi.

           EKONOMI MELAYU EKONOMI KELAS KETIGA

18. Membaca blog Dato' Abd. Kadir Jasin bertajuk ' Melayu di peringkat ketiga ' dalam bidang ekonomi saya terpanggil untuk berfikir sama-sama bukan mengenai tajuk itu kerana ianya telah cukup disambut oleh komen dari begitu ramai pembaca, tetapi sekadar mencari jalan, atau menyumbang fikiran, supaya walau pun bangsa Melayu itu rendah kedudukannya, tetapi hidupnya selesa dan bahagia.

19. Tugas memikirkan cara untuk meningkatkan Melayu dalam bidang ekonomi supaya walau pun jumlah penduduknya sekitar 60 % dari jumlah rakyat, tetapi penguasaan atas ekuiti dan ekonomi negara tidak sampai 8 %, menjadi tanggungjawab kerajaan dan pemimpin-pemimpin Melayu yang pakar dalam bidang itu.

20. Secara ringkas saya cadangkan supaya pemimpin Melayu di semua peringkat merobah sikap dan nilai yang dipegang olehnya dan bawahannya sebagai prasyarat untuk maju. Kita tidak boleh menyalahkan kerajaan atau kaum lain atas kegagalan kita. Kita perlu sedar yang miskin itu kita dan kerana kita sendiri. Biasa kejadian seseorang pemimpin GLC Melayu yang gagal diminta supaya diganti dengan seorang yang lain. Sejarah menunjukkan bahawa kegagalan pemimpin yang dikatakan gagal itu sebenarnya bukan kerana orang lain yang menggagalkannya tetapi kerana dia itu ialah seorang Melayu. Sudah ada trend untuk melantik bukan Melayu untuk mengambil alih jawatan yang biasanya dipegang oleh Melayu kerana ada pihak yang berpendapat kegagalan tugasnya itu sudah lama gagal di bawah pimpinan Melayu walau pun sudah silih berganti. Selagi kita menyalahkan orang lain atas kegagalan kita, kita tidak akan maju.

21. Kalau begitu, apakah orang Melayu perlu hidup merana kerana pemilikan saham kita di tempat ketiga. Apakah kita perlu tunggu sehingga kita mencapai peratus yang kita kehendaki baru kita akan hidup bahagia. Memang itulah lojiknya jika kita menganggap rakyat akan jadi miskin jika peratus ekuiti kita tidak mencukupi.

22. Sebenarnya jika peratus saham yang dimiliki oleh Bumiputera atau Melayu tinggi sekali pun tidak bererti masalah bangsa Melayu pada keseluruhannya sudah selesai. Yang ada saham untunglah. Apakah yang tidak memiliki saham harus menderita? Dalam keadaan jurang berbezaan antara yang kaya dengan yang miskin bertambah jauh berertilah pencapaian ekuti yang lumayan tinggi tidak akan menyelesaikan masalah umat.

             UKURAN BARU PARADIGMA KEMISKINAN

23. Kita hanya dapat membasmi penderitaan hidup, walau pun kita miskin wang ringgit, jika kita merubah paradigma atau cara pandangan kita terhadap persoalan kemiskinan itu sendiri.

24. Kita hendaklah tidak membataskan definasi kemiskinan kepada wang sahaja. Jika kita tinjaukan dari kepala hingga ke kaki kita maka kita akan dapati berbagai jenis kemiskinan seperti berikut:

a. Kepala - Kemiskinan rambut kerana botak
 
b. Mata - Kemiskinan penglihatan kerana
buta dan tidak dapat melihat keindahan dunia
 
c. Hidung - Kemiskinan bau-bauan yang
wangi kerana persekitaran yang busuk
 
d. Telinga - Kemiskinan pendengaran
kerana pekak
 
e. Otak - Kemiskinan kemampuan berfikir
kerana kurang pendidikan dan kewarasan
 
f. Hati - Kemiskinan perasaan timbangrasa
kerana sikap yang rakus
 
g. Perut - Kemiskinan makanan
kerana tidak pandai memasak
 
h. Tangan - Kemiskinan kebolehan
kerana tidak pandai menulis, mengukir atau menggunakan alat
untuk membuat sesuatu yang boleh dipasarkan
 
i. Kaki - Kemiskinan kemampuan berjalan dan berlari
kerana capek atau lumpuh
 
j. Kemaluan - Kemiskinan kemudahan menikmati
pemberian Allah kerana penyakit jantina
 
k. Badan - Kemiskinan kesihatan kerana penyakit

l. Pakaian - Kemisikanan kain, kupiah, baju, seluar dan kasut

m. Kawan - Tidak mempunyai sahabat yang setia dan berkemampuan

n. Budi - Kemiskinan budi bahasa di waktu dalam kesenangan
atau dalam kesusahan

o. Pangkat - Kemiskinan pangkat dalam apa jua jabatan
dan institusi yang dianggotainya

p. Ugama - Kemiskinan Iman, akhlak dan amalan yang soleh.


25. Apakah ada ertinya kekayaan wang jika kita miskin dalam semua bidang di atas sedangkan kita kaya dengan wang ringgit.

26. Samaada kekayaan kewangan kerana warisan kedudukan, pusaka harta, menumpang janda yang kaya, menang loteri, bekerja dengan gaji yang besar (samada kerana kelayakan atau kerana hubungan kawan dan keluarga), mendapat komisyen atas tender yang dijual kepada orang lain kerana tidak mampu mengerjakan sendiri, menipu atau menyalahgunakan tabung atau kumpulan wang yang diamanahkan atau kejayaan di dalam perniagaan atau pengurusan sebagai usahawan, kesemuanya tidak bererti jika kita menjadi lumpuh dan terlantar di katil lebih-lebih lagi tidak dapat berkata-kata walau pun dapat melihat.

27. Kekayaan dalam 16 perkara di atas ( dan anonymous boleh tambah dengan jenis kemiskinan-kemiskinan lain lagi) akan membawa kita kepada kebahagian jika kita dapat mengurusnya dengan sebaik mungkin.

PENDAPATAN DARI BARANG DAN KHIDMAT YANG BOLEH DIPASARKAN

28. Sementara orang yang diklasifikasikan sebagai miskin wang perlu mempelajari cara untuk mencipta dan membuat sesuatu benda atau mengamal cara menjalankan usaha yang diperlukan oleh anggota masyarakat atau pasaran, asal usaha kita tidak bertentangan dengan ajaran ugama. Kita boleh jual hasil ciptaan kita atau perkhidmatan yang kita ada kepakaran untuk melakukannya.

29. Kesimpulannya ialah kemiskinan wang tidaklah bererti miskin segala-galanya dan jika kita pandai menggunakan apa saja yang kita tidak miskin Insya Allah masalah kemiskinan wang dapat kita atasi dengan sebaik-baiknya.

BERSYUKURLAH DENGAN APA YANG KITA PEROLEHI

30. Malahan jika kita ditakdirkan menjadi calon dalam PRU 13 kita hendaklah menganggap kemenangan kita adalah satu amanah dari Allah s.w.t., dan jika kita tidak terpilih atau kalah dalam pertandingan maka kita terimalah keputusan itu sebagai sesuatu yang mempunyai rahmat padanya.

31. Semoga kita akan menjadi manusia yang bersyukur dengan apa yang diizinkan oleh Allah s.w.t. untuk kita sementara kita tidak lupa bahawa 'Allah tidak akan merobah nasib sesuatu kaum jika kaum itu tidak mengubah dirinya.' Wallahu'alam
 

1 comment:

Anonymous said...

YANG MEMISKINKAN BANGSA MELAYU- DALAM SERBA SERBI-ALAH UMNO BARU TAJAAN MAMAK KUTTY






AHLI UMNO TULIN 1974