Assalaamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh.
REVOLUSI
KEKAYAAN
Catatan di bawah ini adalah garis panduan kepada ucapan yang disampaikan dalam program 'BICARA TOKOH KOPERASI' anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang diadakan di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A. Aziz, Kelana Jaya, Selangor pada 24hb Disembar, 2013.
Garis panduan ini adalah tambahan kepada 'talking points' yang pernah saya poskan dalam blog ini pada 19hb November, 2013 di bawah program 'BICARA TOKOH' yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Cawangan Wilayah Persekutuan.
Bagi peminat koperasi saya cadangkan rujukan kepada masukan dalam blog ini pada 1hb Februari, 2012 atas tajuk 'Shamelin - Dihempas Badai Dilambung Gelombang'. Ianya ialah ucapan perasmian Mesyuarat Agung Shamelin yang saya sampaikan 32 tahun yang lalu, sebagai Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar, pada hari Ahad 27hb Disember, 1981 di Dewan Tun Abdul Razak Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi. Apa yang saya katakan itu masih relevan untuk masa sekarang.
Sebagaimana biasa dalam ucapan saya di mana-mana banyak isinya yang terkeluar dari garis panduan yang disediakan. Walau bagaimana pun bahagian yang tercicir dari ucapan tidaklah bererti kurang pentingnya daripada isi ucapan yang dilafazkan. Ianya mungkin tercicir kerana keterbatasan masa atau kerana tuntutan keadaan di waktu berucap.
REVOLUSI
1. Berbagai jenis revolusi telah berlaku di dunia ini sepanjang zaman. Revolusi di Russia tercetus berpuncakan buku Das Capital karangan Karl Marx, revolusi di China berpandukan Buku Merah Mao Tse Tung, revolusi di Jerman berlandaskan buku Mein Kamph (My Struggle) karangan Adolf Hitler. Sementara revolusi di Iran, India, Indonesia pula bertuankan kepada pemimpin di sana seperti Ayatollah Rohullah Khomeini, Mahatma Ghandi dan Soekarno.
2. Revolusi di Peranchis dan di Amerika Syarikat pula berlandaskan kebencian kepada sistem yang bertuankan kepada raja di Peranchis dan penguasaan British dengan sistem monarkinya.
3. Berakhirnya semua revolusi ini ialah dengan tertubuhnya kerajaan di bawah pemimpin tokoh yang kemudiannya menubuhkan organisasi untuk memperkukuhkan pegangannya ke atas kepimpinan.
4. Sepanjang zaman, pemimpin pertubuhan dan kerajaan menjadi pemandu halatuju nasib rakyat.
5. Ada negara yang berjaya kerana kebijakan pemimpinnya tetapi banyak juga negara yang mundur atau hancur kerana ketidakmampuan pemimpinnya.
KEKAYAAN